You are on page 1of 13

BAB 2 Engku Khatib Imam Perang: Peranannya dalam Penyebaran Islam di Ulu Tembeling Ahmad Zaki Hj Abdul Latiff

Fairuzah Hj Basri 1. Pengenalan Penelitian terhadap makam, khususnya batu nisan memang selalu digunakan oleh ahli-ahli sejarah untuk menentukan pentarikhan dan penyebaran Islam di sesuatu kawasan. Bentuk nisan, misalnya batu Aceh boleh menjadi indikator bahawa makam itu wujud sekitar abad ke 15 hingga 18 masihi iaitu zaman kegemilangan kerajaan Aceh di Sumatera yang mana salah satu eksportnya ialah batu nisan yang mempunyai bentuk dan ukiran yang unik (Othman Mohd Yatim, 1988). Batu nisan-batu nisan juga dijadikan pembuktian oleh sarjana-sarjana lain dalam menentukan tarikh dan juga asal usul kedatangan Islam ke sesuatu tempat kerana batu nisan untuk tokoh-tokoh penting seperti ulama atau pendakwah akan mempunyai diskripsi termasuklah tarikh-tarikh penting terutama tahun kematian tokoh berkenaan Salah satu struktur atau artifak yang paling penting yang boleh memberi inferensi penting tentang kedatangan dan penyebaran Islam di pedalaman Pahang ialah sebuah makam yang berusia melebihi 100 tahun di Kampung Bantal, Ulu Tembeling. Makam ini masih berkeadaan baik, walaupun temboknya telah menggalami hakisan dan mendapan. Makam ini dikenali sebagai makam Engku Khatib. Walaupun beberapa kubur lama boleh ditemui di sepanjang Sungai Termbeling, seperti di Kampung Kuala Sat, Kampung Kuala Keniam dan Kampung Sepia, namun kubur-kubur lama ini tidak dapat memberi maklumat lanjut kerana batu nisannya adalah dari jenis batu sungai dan tidak mempunyai apa-apa inskripsi. Namun kubur-kubur lama yang dijangkakan berusia melebihi 100 tahun masih menjadi petunjuk akan kewujudan komuniti Islam yang telah lama bertapak di sepanjang sungai Pahang termasuk cawanganya seperti Sungai Tembeling ini. Kubur ini membuktikan bahawa pemiliknya mestilah terdiri dari kalangan penganut Islam yang mengamal ajaran Islam berdasarkan formasi kubur yang mempunyai nisan kepala dan nisan kaki serta kedudukannnya yang mengadap kiblat. Ciri ini merupakan salah satu ciri penting dalam pengkebumian jenazah orang Islam. Beberapa struktur lain seperti masjid dan surau terpaksa diabaikan dalam kajian ini kerana masjid yang ada kebanyakannya merupakan struktur baru, sungguhpun dibina di atas tapak masjid lama. Masjid lama yang diperbuat daripada kayu telah dirobohkan sepenuhnya dan diganti dengan masjid batu yang dibina melalui peruntukan kerajaan. Sebagai contohnya adalah masjid baru di Kampung Bantal yang dibina di atas tapak masjid

lama yang mempunyai kaitan dengan tokoh-tokoh Islam di daerah ini termasuklah Engku Wan Ahmad bin Engku Wan Endut. Beberapa tinggalan atau artifak yang ditemui menerusi kajian ini ialah kitab-kitab agama yang sesetengahnya berusia menghampiri 100 tahun yang disimpan oleh penduduk di Kampung Bantal. Kitab-kitab bercetak termasuk sebuah manuskrip yang tidak bercetak menunjukkan telah ada tradisi keilmuan tradisional di daerah pedalaman ini sejak puluhan tahun dahulu. 2. Makam Engku Khatib Makam Engku Khatib yang terdapat di Kampung Bantal iaitu di koordinat N 04 30.069, E102 08.634 di satu kawasan perkuburan yang dikenali sebagai kubur Bukit Hangus. Kawasan ini terletak lebih kurang satu kilometer daripada tebing Sungai Tembeling iaitu salah satu cawangan Sungai Pahang. Kawasan ini dipilih sebagai tapak perkuburan kerana kedudukannya yang agak tinggi dan berbukit, oleh itu ia bebas daripada ancaman banjir yang akan melanda kawasan persekitaran sekali ataupun dua kali setahun. Makam ini dikelilingi oleh kubur-kubur lama dan juga kubur-kubur baru kerana kawasan perkuburan ini masih digunakan hingga sekarang oleh penduduk Kampung Bantal dan Kampung Kuching, iaitu perkampungan orang asli bersebelahan dengan Kampung Bantal. 2.1 Struktur Binaan Makam Binaan makam ini terdiri daripada tembok setebal 30 cm yang dibuat daripada batu sungai dan simen. Mengikut cerita penduduk tempatan, terdapat tembok yang tinggi iaitu melebihi paras dada melindungi makam ini dan tinggi tembok ini pada tahun 1950-an adalah melebihi 1 m. Mungkin kerana faktor mendapan, tinggi tembok makam ini kini kurang daripada 15 cm. Pembinaan tembok tersebut mungkin membuktikan ketokohan penghuninya walaupun mendirikan bangunan yang tetap dilarang oleh syarak kecuali para Nabi dan Rasul. Di dalam parameter tembok ini terdapat tiga set batu nisan, yang paling besar dipercayai milik Engku Khatib, satu lagi milik menantunya, Dayang Khadijah dan satu lagi nisan yang tidak dikenali kerana hanya menggunakan batu sungai sebagai nisan dan tiada sebarang inskripsi. Batu nisan utama makam ini iaitu kubur Engku Khatib, adalah dari jenis batu granit. Batu granit mula digunakan di perkuburan orang-orang Islam terutama oleh golongan berada di Malaysia selepas abad ke 18 menggantikan nisan daripada batu polos (sandstone) yang lebih dikenali sebagai Batu Aceh. Selepas abad ke 18, Batu Aceh sukar diperolehi kerana kesukaran mengimportnya dari Aceh yang sedang mengalami pergolakkan politik dan tidak dapat mencatatkan sejarah simati kerana ia diimport sebagai batu nisan telah siap sedia. Bentuknya juga lebih ringkas berbanding dengan Batu Aceh

sebelumnya sehingga tidak menampakan sebarang keistimewaan (Othman Mohd Yatim, 1988). Batu granit menjadi pilihan kerana ia lebih kukuh dan tidak mudah rosak berbanding Batu Aceh. Pada abad ke 18 dan 19, kebanyakan batu nisan daripada granit yang dipasang di makam-makam orang kenamaan di seluruh Semenanjung Malaysia sehinggalah ke Patani adalah ditempah daripada pembuat batu nisan di Melaka atau Singapura. Pembuat batu nisan ini kebanyakannya terdiri daripada tukang batu berketurunan Cina yang berhijrah ke Semenanjung Malaysia (Bougas, 1988). Oleh itu tata hias batu nisan daripada granit lebih kemas dan kadang-kadang terdapat unsur-unsur unik termasuklah motif dari China yang jarang diperolehi pada Batu Aceh. Batu nisan ini memperlihatkan ciri-ciri batu nisan milik seorang lelaki kerana berbentuk silender dan runcing di atas. Ini berbeza daripada batu nisan untuk simati perempuan yang akan berbentuk pipih dan bahagian atasnya berbentuk separuh sfera. Batu nisan ini mempunyai empat bahagian iaitu tapaknya berbentuk segi empat, bahagian tengahnya berbentuk oktagon, bahagian atas yang berbentuk bulatan dan bahagian pucuknya seperti kuncup bunga. Ciri-ciri yang terdapat pada batu ini adalah simbolisme falsafah kealaman orang Melayu yang berasal daripada pengaruh Timur Tengah (Bougas, 1988). Bentuk empat segi melambangkan alam makhluk yang sementara berbanding dengan bentuk bulat yang melambangkan alam tinggi yang abadi. Bentuk segi lapan adalah simbol kepada transisi antara segi empat dengan bentuk bulat, yang juga menjadi lambang daripada alam fizikal kepada alam spiritual dan juga dari kehidupan kepada alam kematian. Bentuk bunga kuncup yang menghiasi batu nisan ini adalah lanjutan daripada ragam hias sejak zaman Hindu-Buddha lagi yang tidak lekang daripada imej bunga teratai. Imej ini kekal dalam ragam hias seni ukiran Melayu tetapi telah diberi makna baru iaitu sebagai lambang kepada hakikat kenabian atau Hakikat Muhammadiyah (Nakula, 1984) . Kedudukan kedua-dua batu nisan ini agak hampir iaitu dengan jarak kurang dari 1 m berbanding kedudukan batu-batu nisan orang-orang Islam zaman sekarang. Selain daripada kemungkinan ensotan tanah, faktor kebiasaan tradisional perlu diberi perhatian.. Adalah menjadi kebiasaan masyarakat dahulu untuk meletakan dua nisan, iaitu nisan utama yang mempunyai inskripsi yang menceritakan siapakah simati di atas kepala jenazah, manakala batu nisan yang satu lagi di tanam sama ada di hujung kaki ataupun di bahagian bawah pinggang (Bourgas 1988). Kedudukan batu nisan ini konsisten dengan arah kiblat iaitu melintang mengadap arah kiblat.

Rajah 1.2: Lakaran batu nisan Engku Khatib bin Engku Perang. 2.2 Inkripsi Batu Nisan Engku Khatib Inskripsi batu nisan Engku Khatib hanya mengandungi maklumat mengenai nama dan tarikh meninggal selain daripada kalimah Allah serta Muhammad. Selain daripada itu tiada kalimat lain seperti ucapan doa kesejahteraan mayat atau lainnya seperti yang terdapat pada sesetengah batu nisan yang ditemui di Alam Melayu. Nama yang terukir pada batu nisan menggunakan tulisan Jawi khat nasakh; satu jenis khat yang luas penggunaanya di Malaysia sejak zaman awal pertapakan Islam di negara ini, malah rantau Alam Melayu 4

keseluruhannya. Tulisan khat ini dikelilingi lingkaran bulat seperti pada gambar di bawah. Tulisan khat ini jelas dikenalpasti dan dibaca setelah dilakukakan pembersihan pada batu nisan tersebut. Tarikh yang tercatat pada batu ini menggunakan bulan Islam (Rabiulawal), sementara perkataan tahun ditulis menggunakan perkataan Arab; sanah ( ,) diikuti dengan catatan tarikh yang menggunaan nombor Arab tetapi merujuk kepada tahun masihi. Penggunaan angka Arab untuk tahun masihi telah menjadi satu tradisi penulisan Melayu seperti yang dapat dilihat pada manuskrip berjudul Sejarah Tok Janggut. Angka yang jelas tercatat ialah 18 ? 5 (ditulis dalam angka Arab). Seandainya tarikh ini dimaksudkan dengan 1805 masihi (ditulis dalam angka Arab), ia tidak relevan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kehidupan tokoh dan juga peristiwaperistiwa penting di Pahang. Angka di antara 8 dengan 5 berkemungkinan adalah 7 dengan andaian tulisan telah mengalami hakisan semulajadi pada garis yang membentuk angka 7. Oleh itu, tarikh yang lebih sesuai pada batu nisan ini ialah 1875masihi. Selain dari tulisan khat, batu nisan ini juga mengandungi sedikit ragam hias ringkas yang bermotif bulan sabit dan bintang dalam kedudukan sejajar. Motif bulan sabit dan bintang ini seolah-olah menjadi kemuncak dan penutup kepada bulatan yang mengelilingi khat. Seni ragam hias dan bentuk batu nisan Engku Khatib yang lebih unik dari batu nisan sekitarnya seolah-olah menunjukkan penama adalah seorang yang berjasa pada masyarakat setempat. Keunikan batu ini dan ketiadaan batu-batu nisan yang serupa dengannya ditemui di perkuburan lain di sepanjang sungai ini menunjukkan bahawa besar kemungkinan batu nisan ini dibawa masuk dari luar ataupun dibawa mengilir dari Pekan di Pahang yang menjadi bandar diraja Pahang. Kaitan kekerabatan penama dengan keluarga diraja Pahang memungkinkan nisan yang lebih istimewa ditempah khusus untuk beliau.

Foto 2: Inskripsi pada Makam Engku Khatib.

Foto 1: Nisan Engku Khatib dengan inskripsinya Inskripsi pada batu nisan Engku Khatib bertulis seperti berikut:

____ 21 Engku Khatib bin Engku Perang 12 Rabiulawal sanah 1875

2.3 Siapakah Engku Khatib? Nama sebenar beliau ialah Wan Endut bin Tun Abdullah. Tun Abdullah adalah anak kepada Tun Pedah Yusuf (Tun Da) bin Dato Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid. Tun Pedah Yusuf (Tun Da) dilahirkan pada tahun 1718 dan memerintah antara tahun 17201802. Silsilah keturunan Tun Da berasal daripada Sultan Pahang, iaitu Tun Habib Abd Majid (mangkat, 1697) yang menjadi Bendahara Pahang dan memerintah bagi pihak kerajaan Johor (1688-1697) (Muzaffar, 2001). Menurut adat Melayu Melaka seorang sultan dibahasakan sebagai Tuanku dan keturunannya menggunakan prediket Raja di pangkal nama dan dibahasakan sebagai Tengku sedangkan keluarga bendahara meletakkan prediket Tun di pangkal nama dan dibahasakan sebagai Engku yang ditakrifkan sebagai darah separuh raja ( Suzana, 2001). Berdasarkan keterangan tersebut jelas bahawa Engku Khatib adalah berketurunan daripada susur galur bendahara Pahang. Engku Khatib dikenali sebagai al-Marhum Bukit Hangus, 6

sempena nama tempat pemakaman beliau di situ. Bukit Hangus merupakan salah satu mukim dalam Kampung Bantal. Sebelum merdeka, Bukit Hangus merupakan penempatan yang penting kerana kawasan ini agak selamat daripada limpahan banjir sungai Pahang. Peranan Engku Khatib dan bapanya membantu Bendahara Wan Ahmad dalam peperangan saudara di Pahang sangat penting. Hubungan kekerabatan dengan keluarga Diraja Pahang membolehkan keturunan mereka menyandang jawatan Hulubalang Diraja atau Penghulu Ulu Tembeling. Engku Khatib termasuk salah seorang penghulu Ulu Tembeling terawal. Jawatan ini kemudiannya disandang oleh anak beliau iaitu Engku Wan Ahmad Bin Wan Endut (m. 1934). Berdasarkan laporan etnografi yang dikumpulkan di Kampung Bantal, Engku Khatib dipercayai sebagai orang yang bertanggungjawab menyebarkan Islam dan menguatkuasakan peraturan-peraturan hidup berasaskan syariat Islam di Ulu Tembeling termasuklaha Kampung Bantal ini. Tugas awal yang dilakukan oleh beliau ialah membersihkan masyarakat daripada amalan pemujaan dan khurafat. Beliau juga dikatakan seorang yang tegas mengamalkan adab-adab Islam dalam keseluruhan tindakan dan pekerjaan. Kepada penduduk Kampung Bantal beliau dikenali sebagai seorang yang sangat warak sehingga diberi gelar Berak berjampi, tidur berjampi. Jampi dalam konotasi masyarakat tradisional ialah sama dengan doa. Berdasarkan peristiwa-peristiwa dan kronologi masa tentang Engku Khatib ini, terdapat tokoh yang sama disebut dalam Hikayat Pahang. Dalam Hikayat Pahang Engku Khatib bergelar Imam Perang Encik Endut atau Panglima Kakap Cik Endut atau Panglima Raja. Beliau juga disifatkan sebagai panglima yang sangat berani, berbudi bahasa dan sangat disayangi oleh raja sehingga diberi gelaran Imam Perang. Gelaran ini diberi kepada Engku Khatib setelah Imam Perang Diraja, dipercayai bapa beliau meninggal dunia. Engku Khatib terlibat dengan peperangan saudara antara Tun Mutahir dengan Tun Ahmad. Semasa peperangan tersebut, beliau mengalami luka-luka dan terpaksa berundur. Beliau dikatakan turut terlibat dalam perang saudara peringkat kedua ketika Wan Ahmad mengalami kekalahan dan terpaksa berundur ke Terengganu. Mengenangkan jasa beliau yang membantu Tun Ahmad, maka beliau telah dilantik sebagai pemerintah Ulu Tembeling. Maka dapat disimpulkan bahawa jawatan beliau sebagai pemerintah Ulu Tembeling telah diwarisi daripada bapa Engku Khatib sendiri aiitu Tun Abdullah dan seterusnya diwarisi pula oleh anaknya, Engku Wan Ahmad. Engku Khatib mempunyai enam orang anak lelaki. Salah seorang anaknya bernama Encik Engku Wan Ahmad Bin Engku Khatib Wan Endut yang berkahwin dengan Daeng (Dayang) Khadijah Binti Muhammad, seorang anak gadis yang berasal dari Brunei. Engku Wan Ahmad meninggal pada tahun 1934, manakala Daeng (Dayang) Khadijah meninggal pada tahun 1909 dan dikebumikan di Bukit Hangus, Kampung Bantal, Ulu Tembeling. Mengikut sumber tempatan, pada awalnya Dayang Khadijah dikebumikan di Kampung Kuala Sat, namun beberapa tahun kemudian makamnya dipindahkan ke Bukit Hangus, bersebelahan dengan kubur bapa mertuanya Engku Khatib. Walau bagaimanapun makam Engku Wan Ahmad yang menjadi penghulu di Kampung Bantal dan mewarisi jawatan dari bapanya Engku Khatib itu tidak diketahui. Mengikut sumber lisan makamnya terdapat di Kuala Tembeling Pahang.

Engku Wan Ahmad mewarisi personaliti bapanya, sebagai seorang yang menegakkan hukum-hukum agama di kalangan masyarakat Islam di Kampung Bantal. Beliau telah menetapkan hukuman takzir bagi orang yang tidak menunaikan solat Jumaat dengan menjemur di tengah panas dan dicukur kepalanya hingga botak. Tindakan tegas ini dilaksanakan mungkin kerana sistem pelaksanaan hukuman Islam telah menjadi warisan sejak zaman pemeritahan Engku Khatib lagi. Selain dari itu, pengajian kitab-kitab agama yang dipelajari di masjid-masjid turut menyumbang kepada pelaksanaan hukum Islam dalam masyarakat tempatan. Antara kitab yang digunakan seperti kitab Musalli dan Faidatul Faraid. Setelah memahami hukum Islam, pelaksanaan mula dikuatkuasakan. (temubual Abu Zaman Yusuf:2009) Walaupun tarikh pada batu nisan Engku Khatib agak mengelirukan, namun tarikh kematiannya dianggarkan sebelum tahun 1900. Tarikh kematiannya mestilah lebih awal daripada tarikh kematian menantu beliau, Dayang Khadijah yang meninggal pada tahun 1909 dan kemudiannya dimakamkan dalam kawasan makam yang sama. Menurut sumber tempatan lain, makam Engku Khatib telah wujud sebelum tahun 1926 M; tahun berlakunya peristiwa banjir besar yang menenggelamkan kampung sepanjang Sungai Tembeling. Ini bermakna tarikh kewafatan Engku Khatib adalah lebih awal daripada tahun berkenaan. 1) Tarikh pemerintahan Engku Khatib Tidak terdapat bukti yang jelas tentang tarikh pemerintahan Engku Khatib, namun demikian jangkaan tarikhnya boleh dikira berdasarkan penglibatan beliau dalam Perang Saudara Pahang dan susur galur keturunannya berbanding susur galur Tun Koris. Perang saudara peringkat kedua sekitar awal tahun 1861 dan perang ketiga sekitar tahun 1863. Berdasarkan silsilah keturunan Tun Habib Abdul Majid (1770-1802), Engku Khatib adalah cicit Tun Habib sama dengan kedudukan Tun Mutahir (1857-1863) dan Tun Ahmad (18631914) yang juga cicit kepada Tun Habib. Oleh itu, kemungkinan besar zaman pemerintahannya sekitar pertengahan abad ke-19 hingga akhir abad ke 19. 2) Penglibatan dalam Perang Saudara Pahang 1857-1863 Perang saudara di Pahang dibahagikan kepada kepada tiga peringkat, iaitu Peringkat Pertama, atau Perang Kemaman dalam tahun 1857M, Peringkat Kedua, atau Perang Endau dan Kuantan dalam tahun 1861M, dan Peringkat Ketiga, atau Perang Temai yang berlaku pada awal tahun 1863M yang berakhir dengan tragedi kemangkatan Tun Mutahir dua beranak akibat luka parah di Kuala Sedili pada bulan Mei 1863M. Engku Khatib dikatakan pernah terlibat dalam perang saudara peringkat kedua di Endau. Pada peringkat ini, Tun Ahmad telah berjaya mendapat sokongan dan dokongan Maharaja Perba Tok Raja yang amat berpengaruh di daerah Ulu Pahang itu . Kesetiaan rakyat Jelai pada Tun Mutahir mula dicurigai kerana mereka lebih setia pada Tok Raja. Walaubagaimanapun Perang Saudara Peringkat Kedua tetap tidak memihak pada angkatan Tun Ahmad, walupun pada mulanya pihak Tun Mutahir menghadapi tentangan yang hebat

darinya. Setelah terkepung, Tun Ahmad dan para pengikutnya berjaya meloloskan diri dan berundur kembali ke Terengganu, kemudian pergi menuju ke Kelantan dan berdiam diri di situ sehinggalah tercetusnya Perang Saudara Peringkat Ketiga dan yang terakhir. Perang Saudara Peringkat Ketiga (Perang Temai), menyusul suatu kejadian pemberontakan yang dicetuskan pada awal tahun 1862M, oleh salah seorang kerabat Tok Raja (Wan Daud) yang ingin membalas dendam di atas kematian saudara sepupunya Wan Embong. Sebilangan rakyat di Ulu Pahang yang didenda oleh Tun Aman kerana mengkhianati Bendahara Tun Mutahir juga masuk ke kem Wan Daud. Bagaimanapun, bilangan mereka tidak banyak. Oleh itu, orang-orang Rawa (orang luar) seramai 400 orang telah diupah untuk melakukan pemberontakan di kawasan Ulu Pahang. Pemberontakan pada mulanya nampak berpihak pada Wan Daud dan para pengikutnya, tetapi kemudiannya dapat dicantas oleh angkatan Tun Mutahir. Wan Daud beserta orang-orangnya telah dapat dikepung . Susulan darinya, Wan Daud telah menghantar utusan pergi berjumpa dengan Tok Raja yang ketika itu bersama dengan Tun Ahmad di Kelantan bagi meminta pertolongannya. Tok Raja bersetuju untuk kembali membantu pemberontakan di Ulu Pahang dengan mendapat restu dari Tun Ahmad. Sekembalinya Tok Raja ke tanah jajahannya telah menaikkan semangat orang-orangnya yang terus membuat keputusan menyokong pendiriannya. Pemberontakan demi pemberontakan yang berlaku di Ulu Pahang akhirnya telah memihak kepada Tok Raja, beberapa daerah kecil jatuh ke tangan para pemberontak tersebut.. Dengan keyakinan baru, Tok Raja dengan para pengikutnya menjemput Tun Ahmad kembali ke Pahang. Sampai di Tembeling, Tun Ahmad telah disambut secara besar-besaran. Dalam tempuh beberapa bulan berikutnya, Tun Ahmad dengan dokongan Tok Raja serta rakyatnya di Ulu Pahang telah berjaya mengambil satu demi satu daerah Pahang. Beberapa perkara yang terjadi dalam tempoh ini telah dilihat sebagai faktor yang merugikan pihak Tun Mutahir. Antara yang terbesar ialah sikap menantunya Temenggong Abu Bakar yang agresif dalam tindak-tanduknya membantu Tun Mutahir menangkis serangan kem Tun Ahmad dan Tok Raja. Dalam keadaan Tun Mutahir tersepit itu sekonyong-konyong British memberi restu kepada Temenggung Abu Bakar Johor iaitu putera Temenggung Ibrahim untuk masuk campur. Walhal Almarhum Temenggung Ibrahim dihalang sekeras-kerasnya. Berbanding dengan ayahandanya, Temenggung Abu Bakar lebih disenangi Inggeris. Bantuan Temenggung Abu Bakar itu bukanlah percuma walaupun Tun Mutahir itu mertuanya. Tun Mutahir terpaksa menerima kerana hanya Johor sanggup membantu memandangkan seluruh Tanah Melayu ketika itu bergolak dengan hebat. Temenggung Abu Bakar telah membuat suatu pengisytiharan bahawa Pahang telah diamanahkan di bawah jagaannya, atau seperti kenyataannya kepada beberapa pemerintah di Tanah Melayu bahawa sudah terserah negeri Pahang itu kepada Seri Paduka anaknda jahat baiknya. Temenggung Abu Bakar juga menawarkan hadiah bernilai $500 pada sesiapa yang dapat membunuh Tun Ahmad. Sikap agresif yang ditunjukkan oleh Temenggung Abu Bakar telah menimbulkan kemarahan para pembesar tempatan di Pahang yang melihat tindakan baginda sebagai suatu campurtangan dari orang luar yang cuba 9

mengambil alih kekuasaan dari mereka dalam urusan perang saudara di Pahang itu. Gabungan angkatan perang Temenggung Abu Bakar dari Rembau, Perak, Muar, dari tempat-tempat lain dan askar-askar upahan Bugis juga telah menyebabkan Orang-Orang Besar Pahang mula merasa tergugat dan terpinggir. Pihak Tun Ahmad segera mengambil kesempatan mengisytiharkan perang sabil dengan teriakan; kerana wajib mempertahankan orang yang mahu membinasakan negeri kita. Susulan dari itu, rakyat Pahang mula berpecah, ada yang masih setia kepada Tun Mutahir, namun ada yang mengalih sokongan kepada pihak Tun Ahmad. Kini perang saudara tidak lagi dilihat sebagai perang antara adik beradik, tetapi menjadi perang di antara orang Pahang dengan orang luar. Malangnya orang luar ini dilihat sebagai pendokong utama kepada Bendahara Tun Mutahir, maka bagindalah yang menjadi mangsa keadaan. Selepas Maharaja Perba, Orang Kaya Temerloh dan Orang Kaya Lipis pula berpaling tadah. Hanya Orang Kaya Chenor dan Orang Kaya Syahbandar sahaja yang masih setia kepada Tun Mutahir. Muslihat British yang terus menerus membiarkan orang Jelai dan angkatan Tun Ahmad dari Kemaman melakukan pemberontakan dan menghuru-harakan negeri Pahang untuk beberapa bulan lamanya telah juga membantu perjuangan Tun Ahmad untuk menawan bumi Pahang. Akhirnya, Tun Mutahir dan anakandanya Bendahara Muda Tun Koris mangkat semasa baginda sedang berundur di Kuala Sedili dan terus dibawa ke Johor dan dimakamkan di Tanjung Puteri.

TUN HABIB ABDUL MAJID (1770-1802)

10

Tun

Tun Muhamad

AbdulMutalib

Tun Koris

Tun Pedah (Tun Da)

Tun Abdullah Tun Ali (1853 -1857 ) Tun Muhammad

Tun Mutakhir (18571863)

Tun Ahmad (1863-1914) ( Sultan Pahang pertama dari Nasab Bendahara)

Engku Khatib ( pertengahan abad ke 19 )

KETURUNAN KESULTANAN PAHANG MODEN

Engku Wan Ahmad (m:1934)

Rajah 2: Salasilah Engku Khatib dan kaitannya dengan keturunan Diraja Pahang ( Diubahsuai dari Suzana (2001) dan Buyes( 2009) )

4. Kesimpulan

11

Kajian ini membuktikan bahawa wujud pertapakan dan penyebaran Islam di Ulu Tembeling sejak awal abad ke-19 lagi. Di antara faktor utama kepentingan penyebaran Islam di sini ialah kedudukan yang strategik berhampiran dengan jalan sungai utama ke Terangganu, ke Kelantan dan ke Melaka dan Johor. Kedua ialah peranan dan pengaruh para ulama tempatan menyebarkan ajaran Islam melalui dakwah dan pengajian kitab. Di samping itu, pengaruh Islam tersebar melalui peranan tokoh-tokoh tempatan yang mendapat pendidikan Islam melalui tokoh-tokoh ulama tempatan dari daerah atau negeri yang berjiran. Namun orang luar atau pendakwah dari luar juga berperanan terutama pada peringkat awal perkembangan Islam. Dalam konteks kajian ini, tokoh tempatan yang berperanan menyebarkan Islam di kawasan Ulu Tembeling sekitar pertengahan abad ke -19 ialah Engku Khatib bin Engku Perang. Walaupun tidak banyak keterangan tentang riwayat hidup beliau, namun demikian perjumpaan tapak makam beliau dan cerita-cerita lisan mengenai ketokohan dan kesufian beliau boleh dijadikan bukti pertapakan Islam dan penghayatan Islam berdasarkan Ahli Sunnah Waljamaah yang bermazhab Syafii.

Bibliografi Abdul Rahman Hj Abdullah. (1989). Islam Dalam Sejarah Asia Tenggara Tradisional. Kuala Lumpur: Penerbitan Pena Sdn. Bhd. Abdul Monir Yaacob. (1992). Tuk Shihabuddin Zainal Abidin, Pendakwah dan Penyair dalam Ulama Islam dalam Kenangan. Bangi: Penerbit UKM Auni Hj. Abdullah. (1991). Islam Dalam Sejarah Politik dan Pemerintahan Alam Melayu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise Auni Hj. Abdullah. ( 2005). Tradisi Pemerintahan Islam dan Kolonialisme Dalam Sejarah Alam Melayu. Kuala Lumpur : Darul Fikir Awang Mohd Jamil Al-Sufri. (2001). Tarsilah Brunei: Sejarah Awal dan Perkembangan Islam. Bandar Seri Begawan: Pusat Sejarah Brunei Buyong Adil. (1984). Sejarah Pahang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bougas. W.A. (1988). Islamic Cemeteries in Patani. Kuala Lumpur:The Malaysian Historical Society Clifford, H. (1992). Report of an expedition into Trengganu and Kelantan in 1895. Ulang cetak MBRAS Farid Mat Zain (ed.) (2007) Islam di Tanah Melayu Abad ke 19, Kuala Lumpur: Karisma Publications Sdn. Bhd. Gray,C. (1852). Journal of a route overland from Malacca to Pahang across the Malayan Peninsula. Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia Vol. 6 Ismail Che Daud. (2001). Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Tanah Melayu (1). Kota Bharu: Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Nakula (Abdullah Mohamed). (1980). Falsafah dan Pemikiran Orang-Orang Melayu. Kuala Lumpur: KKBS Nicholl, R. (ed) 1990. European Sources for The History Of The Sultanate Of Brunei In The 16th Century. The Brunei Museum: Brunei.

12

Othman Mohd Yatim. (1988). Batu Aceh: Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysi. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia S.Q. Fatimi. (1963). Islam Comes to Malaysia. Singapura:Malaysian Sociological Research Institute Ltd. ( Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman. (2002). Institusi Bendahara Permata Melayu Yang Hilang-Dinasti Bendahara Johor-Pahang. Kuala Lumpur: Pustaka BSM Enterprise. Syed Mohd Naquib Al-Attas. (1970). The Correct Date of the Terengganu Inscription. Kuala Lumpur: Museum Department. Syed Mohd Naquib Al-Attas. (1972). Islam dan Kebudayaan Melayu. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia:Kuala Lumpur: Winstedt, R.O. (1949). Malay and its History. London: Routledge & Kegan Paul PI www.royalark.net, 2009 (Sejarah Pahang)

13

You might also like