You are on page 1of 12

KARANGAN TAHUN 5

BUKU SKRAP 2012

PERANAN WARGA TUA DADAH

MUHAMMAD HAFIZUDDIN BIN MOHD NAZRI

GEJALA MEROKOK DALAM KALANGAN REMAJA

PENCEMARAN SUNGAI

KARANGAN TAHUN 5 201 2


Peranan Warga Tua
Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran. Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa. Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini. Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita. Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita. Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat. Jika ini berlaku,
2

KARANGAN TAHUN 5 201 2


keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna. Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum. Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan. Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari. Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah sakit. Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan
3

KARANGAN TAHUN 5 201 2


makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan. Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang. Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara. Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

KARANGAN TAHUN 5 201 2


Dadah
Apabila anda merdengar ungkapan Enam Jahanam, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan Karnival Enam Jahanam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pada akhir tahun 1960-an, negara kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan hippie dan askar-askar Amerika yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh negara. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda- pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah, kerajaan telah mengambil sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi, pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan dengan hanya peruntukan undangundang seperti Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985)
5

KARANGAN TAHUN 5 201 2


walaupun mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian, tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama. Tindakan pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini. Masyarakat harus dididik sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati. Sebahagian besar penagih-penagih dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-29 tahun. Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan, sikap ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya, tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan, sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun 2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besarbesaran tahun ini dengan sasaran utama terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah 30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu

KARANGAN TAHUN 5 201 2


bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka. Kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah. Masyarakat harus sama-sama menyedari akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni. Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan najis dadah yang menjahanamkan masyarakat daripada terus hadir di Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu Perangi Dadah Habis-Habisan.

KARANGAN TAHUN 5 201 2


Gejala Merokok Dalam Kalangan Remaja

Gejala merokok kian meningkat kini walaupun pelbagai kempen dijalankan untuk mengurangkan perokok. Banyak remaja, lelaki mahupun perempuan yang terjebak dalam tabiat buruk ini. Tabiat merokok bukan sahaja membazirkan wang malah membawa pelbagai penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser paru-paru. Menurut Menteri Kesihatan, Dato Dr. Chua Soi Lek, peningkatan merokok dalam kalangan remaja kian meningkat mengikut statistik pada tahun 2006. Kempen antimerokok yang sedang dijalankan oleh kerajaan baru-baru ini sememangnya satu langkah yang baik. Kerajaan patut dipuji kerana berusaha untuk membanteras tabiat merokok. Kempen ini memberi penumpuan kepada rupa paras negatif orang yang merokok untuk menakutkan remaja yang terjebak dalam tabiat ini. Kempen ini juga menunjukkan keadaan paru-paru orang yang merokok. Paru-paru tersebut hitam, kering, dan sungguh menakutkan. Kempen antimerokok ini disebarkan secara meluas dalam pelbagai media. Televisyen, surat khabar, dan juga radio kini dipenuhi dengan iklan-iklan antimerokok. Para remaja yang majoritinya menonton televisyen serta mendengar radio diberi kesedaran mengenai
8

KARANGAN TAHUN 5 201 2


tabiat merokok dan kesan-kesan melalui iklan-iklan ini. Melalui pengiklanan golongan sasaran kempen ini, iaitu perokok seharusnya dapat dicapai dan kadar perokok dapat dikurangkan. Kempen antimerokok yang dilancarkan oleh kerajaan kira-kira setahun yang lalu di seluruh negara berlandaskan slogan Tak Nak! Slogan ini sangat sesuai untuk membuang tabiat buruk merokok dan mengatakan tak nak kepada rokok. Kesan-kesan buruk tabiat merokok yang dipaparkan dapat menanam rasa takut dalam jiwa perokok. Pihak kerajaan berharap kempen-kempen ini dapat menyedarkan perokok untuk berhenti merokok dan mengamalkan gaya hidup sihat. Kempen antimerokok ini merupakan antara langkah kerajaan yang amat dipuji. Harapan kerajaan melalui kempen ini adalah untuk menyedarkan perokok dan mengurangkan jumlah perokok khususnya remaja. Kesimpulannya, semua pihak berkenaan perlulah bekerjasama untuk menghapuskan tabiat yang membunuh ini. Dengan usaha kerajaan yang berterusan dan intensif ditambah dengan kerjasama masyarakat diharapkan kempen ini akan berjaya.

KARANGAN TAHUN 5 201 2


Pencemaran Sungai

Sejak beberapa tahun, kerajaan telah melancarkan kempen Sayangi Sungai dalam negara yang merangkumi pelbagai usaha memantau, memulihara, membersih dan mengindahkan keadaan sungai. Walaupun begitu, belakangan ini, isu pencemaran sungai kian serius sehinggakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid melahirkan rasa kecewanya kerana tidak terdapat kesan yang boleh dibanggakan terhadap keadaan banyak sungai kita. Masalahnya tidak kelihatan apa-apa tindakan berkesan dilakukan. Mereka yang mendiami sekitaran sungai seperti pengusaha kilang, peniaga gerai makan dan juga penghuni rumah masih menganggap sungai sebagai tempat untuk menyalurkan sampah dan segala macam sisa yang hendak dibuang. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri perlu mengadakan pelbagai acara membabitkan orang ramai dan industri. Sokongan orang ramai dan swasta adalah penting sekiranya kempen menyayangi sungai dikehendaki mendatangkan kesan. Perasaan cintakan sungai yang mengalir melalui kediaman atau bandar mereka diami adalah milik mereka
10

KARANGAN TAHUN 5 201 2


juga perlu dipupuk. Hanya dengan cara begini, baru akan timbul perasaan menyayangi sungai mereka sendiri dan dengan itu mereka juga berusaha memuliharanya daripada dicemari. Apa pun kebanyakan sungai dan kawasan lembahnya terus dilanda pencemaran. Malah tahap pencemaran terhadap beberapa batang sungai semakin teruk hingga ada yang terpaksa dikategorikan sebagai sudah mati. Mengikut perangkaan yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perairan dan Saliran, Datuk Keizrul Abdullah, kedudukan sungai dalam negara kita sebenarnya semakin meruncing. Daripada keseluruhan 120 kawasan lembah sungai yang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) kedudukan pencemarannya semakin buruk dari tahun ke tahun. Pada tahun 2002, masih ada 63 sungai dikategorikan sebagai bersih, tetapi setahun kemudian hanya tinggal 58 sungai yang masih bersih. Pada 2002, 43 sungai dianggap sudah tercemar manakala setahun kemudian jumlah sungai yang tercemar meningkat kepada 53. Bagaimanapun, jumlah sungai yang mengalami pencemaran teruk tinggal sembilan batang saja pada 2003 berbanding dengan 14 sebelum itu. Tidak diketahui apakah yang menyebabkan lima sungai yang tercemar teruk pada 2002 bertambah baik setahun kemudian. Pemantauan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa kiranya tidak ada rancangan berkesan memelihara kebersihan sungai, kedudukan kebanyakan sungai dalam negara akan terus dilanda pencemaran. Hal ini disebabkan, keseluruhannya rakyat negara ini amat kurang prihatin terhadap tahap kebersihan sungai. Kebanyakan daripada mereka seolah-olah tidak pernah terfikir bahawa merekalah juga yang menyebabkan keadaan kebanyakan sungai kita terus tercemar. Penghuni rumah di tepi sungai baik setinggan atau pun tidak, berterusan menganggap sungai seperti saliran membuang najis dan sampah. Kalau diperhatikan kawasan perumahan, bangunan dan rumah kedai yang didirikan 30 atau 40 tahun lalu semuanya membelakangkan sungai. Ramai ketika itu menjadikan sungai sebagai saliran sampah dan najis. Sehingga kini pun ketika pemaju perumahan misalnya sudah tidak lagi menganggap sungai sebagai saliran sampah dan mula mendirikan rumah menghadap sungai, itupun orang ramai masih tidak dapat mengikis pandangan mereka terhadap sungai.
11

KARANGAN TAHUN 5 201 2


Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Kesedaran demikian ini seharusnya dipupuk daripada bangku sekolah lagi. Perasaan cinta akan sungai dan prihatin terhadap persekitaran alam didedahkan kepada murid di sekolah lagi supaya apabila dewasa kelak mereka akan lebih prihatin terhadap usaha kebersihan alam sekitar. Media juga boleh memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya sungai dipelihara supaya terus bersih. Demikian juga walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan tidak bertanggungjawab ini tetap diteruskan. Pemantauan dan pencegahan oleh Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan media, barulah mereka bertindak. Bahkan kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan membolehkan kilang yang secara berterusan membuang sisa dan sisa toksik ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil? Sebenarnya kalau ada kemahuan, sungai-sungai ini sememangnya boleh dipulihkan menjadi bersih agar ikan akan dapat membiak kembali dan berbagai-bagai kegiatan riadah dan pelancongan boleh dilaksanakan menggunakan sungai terbabit. Jelasnya, segala usaha mungkin akan mengambil masa tetapi sekiranya ada keazaman dan dengan perangan rapi dan dapat pula dilaksanakan dengan betul tanpa pengecualian tentunya sungai-sungai yang terjejas dapat dipulihkan.

12

You might also like