You are on page 1of 3

Allah Engkau Dekat

Hisham, udah-udahlah tu. Bawa-bawalah sembahyang berjemaah! kata Kamarul. Kenapa pula? tanya Hisham. Ada ke tanya kenapa? Bukankah sembahyang berjemaah itu lebih baik daripada sembahyang seorang diri? Kamarul menggelengkan kepala. Sembahyang seorang diri lebih baik daripada tidak sembahyang langsung! bidas Hisham. Selamba. Hadith palsu? tanya Kamarul dengan nada mencabar. Ye la, ye la. Kau alim. Orang musolla. Aku jahat! jawab Hisham. Mencebik muka. Saya sering ketawa sendirian semasa terkenangkan dialog di atas. Kamarul memang sering bercakaran dengan Hisham, sahabat kami yang sering bersikap selamba dalam banyak perkara, namun ada kalanya komen beliau menyebabkan kita menggaru kepala, termenung sendiri. Memang benar solat berjemaah itu amat besar tuntutannya. Ia menjadi sesuatu yang maklum kepada sesiapa sahaja yang belajar tentang solat. Hanya tinggal hendak buat atau tidak buat. Itu sahaja. Namun dari satu sudut yang lain, saya terfikir tentang satu nilai tersembunyi di sebalik sembahyang sendiri-sendiri. Untuk melihat nilai itu, perbandingan solat sendiri bukanlah dengan solat berjemaah. Tidak juga dengan meninggalkan solat seperti hujah Hisham. Tetapi dengan sembahyang sebagai ritual agama lain. Allah Subhanahu wa Taaala berfirman: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul [Al-Baqarah 2: 186] Allah memberitahu, Jika kamu ditanya oleh hamba-hambaKu tentang diriKu, Nabi sallallaahu alayhi wa sallam berada di posisi Tabligh iaitu pada memberitahu kepada kita bahawa SESUNGGUHNYA ALLAH ITU DEKAT. Namun Allah tidak menyuruh Baginda memberitahu kepada kita. Allah tidak menggunakan pendekatan QUL yakni KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD seperti yang banyak kedapatan dalam ayat-ayat seperti:

Dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya [Al-Baqarah 2: 220] Sebaliknya Allah menjawab sendiri dengan firmanNya:

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) [Al-Baqarah 2: 186] Pada menyatakan bahawa Allah itu DEKAT kepada hamba-hambaNYA, Allah membuat pengumuman secara langsung. Tanpa perlu kepada Nabi Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam sebagai orang tengah terhadap kenyataan ini. Tidak perlu berdoa dengan suara kuat semasa berdoa. Tidak perlu kepada orang tengah atau pihak ketiga untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Agama kita tidak seperti agama lain yang proses mendekatkan diri kepada Tuhan mesti melalui orang agama atau institusi agama. Setiap kita berhubung secara langsung dengan Allah. Fikir. Zikir. Doa. Imam di dalam solat berjemaah hanya memimpin proses solat. Namun setiap musolli berhubung secara langsung dengan Allah. Sembahyang kita digalakkan berjemaah untuk meluaskan manfaat habl min an-Naas di sisi habl min Allah. Namun solat sendirian juga sah dikerjakan kerana kita tidak perlukan imam untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Tidak perlu kepada pihak ketiga atau orang tengah untuk merasa dekatnya Allah kepada diri. Kehidupan berimam menjadikan hidup kita berdisiplin, sistematik dan teratur. Ia tidak menjadikan kita terikat kepada orang lain untuk mendekatkan diri kepadaNya. Sentiasa berasa dekat dengan Allah, memberikan kekuatan yang luar biasa kepada seorang Mukmin. Jiwanya kaya dengan keyakinan, luas dengan harapan dan kukuh dengan kekuatan. Jika engkau bertanya tentang Allah

Sesungguhnya Dia itu hampir. Sesungguhnya ibadah puasa, menambahkan rasa dekat itu. ABU SAIF @ www.saifulislam.com 43000 Bandar Seri Putra
Artikel Disumbang Oleh: Hj. Mohammad Fauzi B. Khalid Penolong Pendaftar Kanan Bahagian Perhubungan Korporat & Antarabangsa Exco Pembangunan Akademik PRESTASI UPSI 2011 - 2013

You might also like