You are on page 1of 2

REFLEKSI BINA INSAN GURU MOHAMAD FARID BIN ABDULLAH

Bina insan guru (BIG) pada kali ini bertemakan khidmat komuniti di mana kami perlu melaksanakan satu program yang memberi sumbangan kepada komuniti di kawasan tertentu. Kami telah menetapkan untuk melaksanakan program gotongroyong di sebuah tempat rekreasi iaitu Hutan Lipur Bukit Kubu. Rasional pemilihan tempat ini kerana bersesuaian dengan major kami iaitu Pendidikan Jasmani di samping ianya memang menjadi tumpuan komuniti di sini untuk beriadah di waktu petang dan hujung minggu dengan aktiviti berjoging dan mendaki bukit melalui trek yang telah disediakan. Kami membersihkan seluruh kawasan rekreasi dengan mengutip dan menyapu sampah. Berada dalam biro protokol memberikan saya satu pengalaman baru di mana ianya berkaitan peraturan-peraturan yang perlu ada ketika melaksanakan BIG. Pengalaman paling bermakna buat saya adalah mengendalikan majlis penutup program big pada kali ini. Tugas sebagai pengerusi majlis memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki kelemahan diri terutamanya bercakap di hadapan umum. Tugas ini telah menambah keyakinan diri saya untuk bercakap secara spontan apabila berada di hadapan umum. Selain dari itu, saya turut berkomunikasi dengan komuniti sekitar seperti penjaga taman rekreasi tersebut untuk mengetahui beberapa maklumat. Saya dapat mempelajari kemahiran yang baru secara tidak langsung. Aktiviti gotong-royong ini telah meningkatkan kesedaran dalam diri saya akan kepentingan menjaga alam sekitar. Alam sekitar menjadi satu medium penting dalam melaksanakan aktiviti rekreasi kerana ianya memberi ketenangan jiwa dan minda. Kami dipecahkan dalam beberapa kumpulan dan ditempatkan di beberapa kawasan memandangkan tempat rekreasi tersebut luas. Wujud sikap bertolak ansur antara kami dengan menerima arahan daripada pengerusi tanpa sebarang bantahan. Nilai kerjasama antara rakan di pupuk dengan baik apabila setiap ahli dalam kumpulan saya memberi komitmen dalam melaksanakan gotong-royong. Dalam kumpulan, kami membahagikan tugas-tugas bagi memastikan setiap orang membuat tugas yang sepatutnya. Di sini, saya belajar untuk mengurus walaupun dalam kumpulan yang kecil.

Aktiviti seterusnya adalah berbentuk permainan. Permainan yang mudah namun memberi seribu makna tersirat. Pada saya, aktiviti permainan yang dilaksanakan bertumpu untuk mengeratkan silaturahim antara kami. Keakraban perlu sentiasa dipupuk bagi memastikan kami sentiasa bersatu tanpa ada perpecahan. Ini kerana, perpacahan akan merugikan kumpulan kami sendiri kerana banyak programprogram yang akan datang tidak akan berjalan dengan lancar. Kemesraan antara satu sama lain jelas terpancar di wajah rakan-rakan saya. Selain daripada itu, teguran dan nasihat daripada mentor kami iaitu Puan Lily Rozita binti Muhamad telah membuka minda saya berkaitan hal-hal pengurusan terutamanya. Banyak lagi perkara yang kami perlu pelajari dan mendalami bagi memastikan pengurusan kami lebih teratur dan kemas terutamanya berkaitan jawatan yang telah saya pegang. Hal ini sangat penting kerana tugas seorang guru selain daripada mengajar adalah mengurus. Oleh itu, saya perlu menguasai atau memperbaiki kelemahan-kelemahan diri dalam bidang pengurusan. Sebagaimana program BIG yang lepas, BIG pada kali ini juga mengandungi pelbagai perkara positif yang dapat saya serap ke dalam diri bagi

memperlengkapkan lagi jasmani dan rohani untuk meghadapi tugas sebagai seorang pendidik. Program BIG ini sangat berkesan dalam memantapkan lagi nilai seorang guru yang semakin hilang mengikut peredaran zaman. Zaman sekarang, guru tidak lagi disanjung dalam komuniti kerana kurangnya penglibatan dalam aktiviti bermasyarakat seperti gotong-royong ini. Secara tidak langsung, hubungan dengan komuniti luar menjadi renggang. Program-program seperti ini menjadi batu loncatan kepada bakal guru untuk meneruskannya di masa akan datang. Bak kata pepatah melentur buluh bialah dari rebungnya .

You might also like