You are on page 1of 13

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2012 (SEBELUM INTERNSHIP)

Internship merupakan satu program latihan di lapangan yang bertujuan untuk mengaitkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sedia ada dengan amalan sebenar tugas guru permulaan. Pelajar dikehendaki untuk merancang, melaksana dan menilai projek atau aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah atau aktiviti rutin yang telah menjadi amalan dan budaya sekolah. Sepanjang tempoh Internship, pelajar akan didedahkan dengan sifat kepemimpinan dan pengurusan pelbagai aktiviti di sekolah dengan bimbingan daripada seorang mentor.

Sebelum menjalani Internship di sekolah selama satu bulan, satu taklimat oleh unit praktikum telah diadakan pada 18 Jun 2012 bersamaan hari Isnin di Dewan Seri Melati. Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Praktikum, Encik Taufik bin Ahmed Sepanjang taklimat, saya telah didedahkan dengan apa itu internship dan projek yang boleh dijalankan di sekolah. Pelbagai input yang berguna telah diperoleh sepanjang hari taklimat dijalankan untuk memastikan para pelajar dapat menjalankan Internship dengan lancar.

Berdasarkan taklimat yang telah diberikan oleh Unit Praktikum Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan seperti penyediaan portfolio, menyediakan kertas kerja untuk setiap projek atau program yang telah dirancang serta cara untuk menguruskan sesuatu program dengan lancar dan berkesan. Penyediaan portfolio adalah wajib bagi pelajar untuk menyimpan bahan bukti dan bahan proses pendokumentasian sepanjang menjalankan Internship. Sebelum menjalani Internship, saya bersama dua orang rakan saya telah merancang projek yang akan dilaksanakan di sekolah kelak berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan sepanjang menjalani praktikum fasa 3 di Sekolah Kebangsaan Kampar. Kami telah mengambil kata putus untuk menaiktaraf bengkel Kemahiran Hidup yang terdapat di sekolah tersebut sebagai projek utama.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

Selain itu, semasa di sekolah nanti, saya juga perlu menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Namun, waktu pengajaran pada kali ini telah dikurangkan kepada dua hingga empat waktu sahaja untuk memberi ruang masa melaksanakan dan menyiapkan segala projek yang telah dirancang sebelum memulakan Internship di sekolah masing-masing. Penyediaan rancangan pengajaran pada kali ini juga adalah lebih ringkas kerana saya hanya perlu menulis ringkasan rancangan mengajar dalam bentuk bertaip. Tujuannya adalah untuk menjimatkan masa bagi membolehkan saya dan rakan-rakan menjalankan projek dengan baik dan lancar. Sepanjang menjalani Internship, saya juga telah bercadang untuk mengumpul data bagi Kajian Tindakan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran selama empat minggu di sekolah.

Melalui program Internship ini, saya berharap agar dapat menimba pengalaman sebanyak mungkin terutama dalam aspek pengurusan sesuatu program atau aktiviti yang akan menjadi kebiasaan kepada saya apabila menjadi bakal guru yang sebenar kelak. Saya juga berharap agar dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada sepanjang menjalani praktikum pada semester yang lalu terutama dari aspek komunikasi antara saya dengan murid serta guru-guru.

Akhirnya, saya berharap agar program Internship ini dapat memberi peluang dan membuka ruang kepada saya dalam usaha untuk meningkatkan tahap keyakinan diri, ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi cabaran sebagai seorang bakal guru kelak, membentuk sifat kepemimpinan serta akhlak yang baik serta dapat memupuk dan menerapkan nilai profesionalisme keguruan dalam usaha melahirkan bakal guru yang produktif serta efektif kepada bangsa dan negara.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2012 (SEMASA INTERNSHIP)

MINGGU 1

Pada minggu pertama menjalani Internship di Sekolah Kebangsaan Kampar, Perak, saya bersama dua orang rakan saya iaitu Noor Azrin binti Musa dan Siti Azlin binti Iris telah melaporkan diri terlebih dahulu di pejabat dan kami telah berjumpa dengan PK Pentadbiran Puan Nor Aznin binti Abd Rahim untuk membincangkan mengenai projek internship. Selepas itu, kami telah berjumpa dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampar iaitu Encik Mat Hussain bin Lateh bagi membincangkan mengenai projek yang akan dijalankan sepanjang menjalani Internship selama sebulan di sekolah. Saya dan dua orang rakan saya telah menyampaikan hasrat untuk melakukan projek utama yang merupakan projek bersama iaitu menaiktaraf bengkel Kemahiran Hidup sekolah tersebut dan alhamdulillah hasrat tersebut disambut baik oleh guru besar kerana beliau juga mempunyai hasrat yang sama. Saya juga telah membincangkan mengenai projek individu yang akan dijalankan di sekolah tersebut iaitu melukis mural pada dinding bahagian hadapan sekolah dan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran.

Pada hari pertama, saya dan rakan saya telah bertungkus lumus merancang dan memulakan proses untuk membuat kertas kerja bagi projek utama kami. Kami telah melawat bengkel Kemahiran Hidup terlebih dahulu untuk melihat keadaan bengkel tersebut. Rakan saya telah melakar semula kedudukan bengkel tersebut untuk menjadikan bengkel tersebut lebih kondusif dan selesa digunakan oleh para guru dan murid semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Kami juga telah berbincang untuk melakukan perubahan kepada bengkel tersebut iaitu mengecat bengkel, memindahkan beberapa perabot dan membuang barangan yang tidak boleh digunakan lagi. Pada hari pertama juga, kami telah melantik badan pelaksana untuk projek ini yang dibantu oleh dua orang guru Kemahiran Hidup iaitu Encik Mohamad Naim bin Junaidi dan Encik Md Azri bin Saad.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

Sebagai setiausaha bagi projek ini, saya telah menyiapkan kertas kerja dan juga borang soal selidik untuk diedarkan kepada beberapa orang warga Sekolah Kebangsaan Kampar yang terdiri daripada guru, staff dan juga murid-murid. Alhamdulillah segalanya selesai pada hari pertama menjalani Internship kerana dibantu oleh rakan-rakan saya serta guru-guru di sekolah tersebut.

Proses pelaksanaan menaiktaraf bengkel Kemahiran Hidup berlangsung pada hari kedua. Pada hari kedua, saya bersama dua orang rakan saya telah mengemas dan membersihkan bengkel. Kami telah memindahkan dan mengeluarkan segala barangan dan peralatan yang terdapat di dalam bengkel tersebut serta menyusun semula supaya kelihatan lebih teratur dan kemas. Proses pembersihan bengkel ini juga telah dibantu oleh beberapa orang guru dan pekerja di sekolah berkenaan dan kami berasa berbesar hati dengan pertolongan yang telah diberikan. Kerja pembersihan bengkel tersebut selesai pada jam tiga petang.

Projek menaiktaraf bengkel ini diteruskan pada hari ketiga iaitu kami telah memulakan proses untuk mengecat bengkel Kemahiran Hidup. Alhamdulillah kerana pihak sekolah sudi untuk memberikan tiga tin cat yang berwarna putih, coklat dan biru serta beberapa peralatan yang lain yang telah memudahkan kami untuk mengecat bengkel tersebut. Walaubagaimanapun, terdapat kesilapan apabila cat yang telah dibeli adalah salah. Namun, kami berjaya mengatasi masalah tersebut dengan

mencampurkan cat tersebut dengan cat putih. Kami telah mengecat kembali keseluruhan bengkel Kemhiran Hidup tersebut supaya kelihatan lebih menarik dan ceria. Saya dan rakan saya telah bekerjasama dengan baik dan dapat menyiapkan proses mengecat dengan lancar dan baik. Setelah selesai mengecat bengkel tersebut, kami meletakkan kembali perabot yang telah dipindahkan ke tempat asal.

Pada hari keempat, kami telah mengecat dinding utama di bahagian luar bengkel kemahiran hidup dan juga mengecat syiling di dalam bengkel Kemahiran Hidup untuk menjadikan bengkel kelihatan lebih besar dan luas. Walaubagaimanapun, proses mengecat dinding tidak dapat dijalankan kerana kehabisan cat putih. Proses mengecat

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

juga diteruskan dengan mengecat bingkai serta jaring yang terdapat di dalam bengkel Kemahiran Hidup dengan cat minyak yang berwarna biru. Proses mengecat ini mengambil masa yang agak lama kerana memerlukan terdapat banyak bingkai serta jaring yang perlu dicat. Walaubagaimanapun, proses mengecat ini telah disambung pada keesokan harinya.

Pada hari kelima menjalani Internship, saya dan dua orang rakan saya telah meneruskan proses mengecat bengkel dan mengecat bahagian dinding yang masih belum di cat. Proses mengecat dan membersihkan bengkel pada masa yang sama ini mengambil masa sepanjang waktu persekolahan pada hari tersebut dan alhamdulillah akhirnya proses mengecat bengkel Kemahiran Hidup selesai selepas empat hari bekerja keras untuk membersihkan dan menaiktaraf bengkel Kemahiran Hidup. Minggu pertama di sekolah telah banyak memberikan pengalaman berharga kepada saya dalam usaha meningkatkan pelbagai kemahiran yang belum saya cuba sebelum ini.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2012 (SEMASA INTERNSHIP)

MINGGU 2

Program Internship di sekolah ternyata telah banyak membantu saya terutama dalam aspek pengurusan pelbagai aktiviti di sekolah di samping meningkatkan kemahiran saya dalam pelbagai perkara. Di minggu kedua, saya dan rakan-rakan saya telah meneruskan projek kedua kami iaitu projek individu iaitu melukis dan mewarna mural bertemakan Budi Bahasa Budaya Kita seperti yang telah diminta oleh pihak sekolah. Sebelum memulakan projek ini, saya telah menyiapkan kertas kerja pada minggu pertama untuk memudahkan pelaksaan projek ini. Saya dan rakan saya telah merancang pelbagai cara untuk melukis tiga buah mural pada dinding yang sama, tetapi perancangan tersebut tidak dapat dilakukan kerana terdapat masala teknikal yang tidak dapat dielakkan. Akhirnya, kami telah sepakat untuk melukis sebuah mural yang besar di dinding utama sekolah berkenaan.

Proses melukis mural ini dimulakan dengan mengikis sisa cat lama pada dinding supaya permukaan dinding apabila melukis dan mewarna mural tidak mengalami masalah. Kemudian dinding telah dicat dengan cat berwarna putih untuk mencantikkan dinding. Selepas selesai mengecat, kami telah cuba untuk melukis mural pada dinding menggunakan teknologi LCD. Walaubagaimanapun, proses untuk melukis mural pada waktu pagi tidak dapat dilakukan kerana pencahayaan telah menghalang LCD untuk memancarkan gambar pada dinding. Akhirnya kami telah berbincang untuk melukis mural tersebut pada waktu malam.

Pada hari pertama di minggu kedua ini juga, kami telah menyiapkan projek mengecat meja di bengkel Kemahiran Hidup selepas berbincang dengan beberapa orang guru untuk menjadikan bengkel tersebut lebih menarik. Kami juga telah mencuci bengkel tersebut selepas selesai segala proses mengecat di bengkel tersebut.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dengan bantuan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Proses melukis mural telah dilakukan pada waktu malam hari kedua di minggu kedua menjalani Internship. Keadaan cuaca yang tidak menentukan menyebabkan kami terpaksa menangguh proses melukis mural yang sepatutnya dijalankan pada hari Isnin. Justeru, saya dan rakan saya telah menyiapkan projek individu masing-masing iaitu melukis mural di hadapan bengkel Kemahiran Hidup, menyiapkan papan kenyataan dan juga menyiapkan label untuk tumbuhan di taman herba berhampiran bengkel Kemahiran Hidup. Proses melukis mural pada malam tersebut telah berjalan dengan lancar walaupun dalam keadaan hujan dengan bantuan seorang guru dan seorang staf. Kami juga telah melukis mural berbentuk perkataan pada dinding di sepanjang kelas berhampiran dewan tertutup sekolah. Proses melukis mural tamat pada jam 11.30 malam.

Pada hari ketiga, kami telah memulakan proses mewarna mural seawal jam 8.00 pagi. Proses mewarnakan mural bertemakan Budi Bahasa Budaya Kita ini telah mengambil masa yang sangat lama kerana masalah dari aspek kekurangan warna dan juga kekurangan tenaga untuk menyiapkan mural tersebut. Walaubagaimanapun, segala proses mewarna mural telah dibantu oleh beberapa orang guru, pekerja sekolah serta murid-murid yang majoritinya berasa teruja apabila melihat mural tersebut. Projek mural ini akhirnya telah berjaya disiapkan dalam masa satu hari sahaja dengan bantuan daripada pelbagai pihak. Selain itu, pada hari ketiga juga, kami telah mengikuti latihan rumah sukan masing-masing yang telah dijalankan pada jam 2.00-3.00 petang.

Pada hari keempat, kami telah menyiapkan projek mural Budi Bahasa Budaya Kita secara keseluruhannya dan telah menambah mural berbentuk tulisan iaitu pantun budi di sebelah mural Budi Bahasa Budaya Kita. Kami juga telah mewarna mural berbentuk kata-kata hikmah sebagai mural sampingan di dinding pada setiap kelas. Pada hari keempat ini juga, saya telah menjalankan projek individu saya iaitu gotongroyong bersama lapan orang ahli Kelab Pencegahan Jenayah. Gotong-royong selama

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

satu jam itu bertujuan untuk membersihkan persekitaran bengkel Kemahiran Hidup. Alhamdulillah objektif projek yang telah dijalankan telah berjaya dicapai dan muridmurid telah memberikan kerjasama yang baik serta mereka sangat komited dalam melakukan kerja.

Pada hari kelima, kami telah melukis mural sampingan di dinding yang berhampiran dengan tangga sekolah dan mewarnakan mural tersebut. Mural tersebut dapat disiapkan hanya dalam masa satu hari dengan bantuan daripada guru-guru dan pekerja sekolah. Pengalaman di minggu kedua menjalani Internship di sekolah sangat membantu saya dapat pelbagai aspek terutama kemahiran berkomunikasi.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2012 (SEMASA INTERNSHIP)

MINGGU 3

Pada minggu ketiga menjalani Internship, kami telah bertungkus lumus untuk menyiapkan kesemua projek di sekolah termasuk projek individu. Kami juga sibuk menyiapkan portfolio Internship. Saya juga telah melukis gambar mural alatan tangan pada dinding bengkel Kemahiran Hidup. Selesai melukis, saya telah mewarna mural tersebut dan telah dibantu oleh rakan saya. Projek ini telah berjaya disiapkan dalam masa satu hari sahaja.

Pada hari kedua telah diadakan Senamrobik Serentak 1 Murid, 1 Sukan 1 Malaysia. Saya dan dua orang rakan saya telah ditugaskan untuk menjadi instruktor sepanjang senamrobik tersebut dan itu merupakan pengalaman pertama saya menjadi instruktor dan Alhamdulillah segalanya telah dipermudahkan dengan bantuan daripada guru-guru dan murid-murid sekolah berkenaan. Program senamrobik tersebut merupakan program yang dijalankan serentak di seluruh sekolah dan semua institusi pendidikan di Malaysia untuk dimasukkan dalam Malaysian Book of Record. Walau

bagaimanapun, program ini perlu penambahbaikan dari aspek tempat pelaksanaan kerana kawasan dewan yang digunakan semasa senamrobik dijalankan adalah tidak sesuai kerana terlalu sempit. Selain itu, saya dan rakan saya juga telah melukis dan menyiapkan logo sekolah sebagai projek sampingan sewaktu menjalani Internship.

Pada hari ketiga, saya telah mengajar di kelas 5 Delima dan mengumpul data yang diperlukan untuk kajian tindakan saya. Maklumat yang dikumpul adalah berdasarkan latihan menulis lima ayat berpandukan gambar menggunakan Kaedah Segitiga yang telah diperkenalkan oleh saya sewaktu menjalani praktikum fasa ketiga di sekolah berkenaan. Sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar kerana murid-murid telah dapat mengaplikasikan kaedah tersebut semasa membina ayat.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

Selain itu, saya juga telah memulakan proses penulisan draf laporan bagi setiap projek yang telah dilakukan bermula pada minggu pertama menjalani Internship.

Pada hari keempat, saya telah mengemaskini portfolio Internship seperti menulis pernyataan professional untuk minggu kedua dan minggu ketiga. Saya juga telah telah menyiapkan beberapa lampiran bagi setiap projek yang telah dilaksanakan. Pada hari keempat juga, saya telah meneruskan proses mengumpul data murid-murid taun 5 Delima untuk kajian tindakan saya.

Pada hari kelima, saya telah mulakan proses menulis laporan selepas kesemua projek yang dijalankan selesai.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2012 (SEMASA INTERNSHIP)

MINGGU 4

Minggu ini merupakan minggu terakhir saya menjalani Internship di Sekolah Kebangsaan Kampar. Hari pertama pada minggu terakhir ini dimulakan dengan perhimpunan yang pada kebiasaannya dijalankan pada hari Isnin. Guru-guru telah menyampaikan nasihat dan peringatan kepada murid-murid terutama berkaitan dengan pelajaran mereka.

Pada minggu terakhir ini, pelbagai perkara perlu diselesaikan terutamanya saya perlu menyiapkan portfolio Internship dan proses dokumentasi yang akan dijadikan bahan bukti sepanjang menjalankan program Internship di sekolah sebelum diserahkan kepada mentor dan guru besar sekolah untuk disemak. Pada minggu ini, saya perlu menyiapkan kajian tindakan serta mengumpul data yang terakhir untuk dianalisis.

Selain itu, pada minggu ini juga saya diberikan peluang untuk menggantikan beberapa orang guru yang tidak hadir ke sekolah dan peluang ini telah saya gunakan sebaik yang mungkin untuk membantu murid-murid terutamanya murid tahun 6 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September dari aspek kaunseling dan memberi nasihat kepada mereka untuk berusaha dalam peperiksaan tersebut. Melalui sesi kaunseling yang telah dijalankan di salah sebuah kelas tahun 6, saya telah dapat mengenalpasti beberapa masalah dalam kalangan murid yang perlu diatasi dengan segera supaya prestasi mereka tidak merosot.

Tuntasnya, segala pengalaman yang telah ditimba sepanjang menjalankan Internship selama sebulan di sekolah, saya berharap agar saya dapat mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran apabila menjadi bakal guru kelak.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

PERNYATAAN PROFESIONAL INTERNSHIP 2012 (SELEPAS INTERNSHIP)

Selepas sebulan menjalani Internship di Sekolah Kebangsaan Kampar, terdapat banyak ilmu dan pengalaman baharu yang telah saya peroleh. Melalui projek yang telah dilaksana telah banyak membantu saya untuk meningkatkan kemahiran saya dalam pelbagai aspek. Sepanjang menjalani Internship, segala proses pelaksanaan projek telah dapat dilakukan secara efisien dan lancar bermula daripada proses merancang projek yang akan dijalankan di sekolah sehinggalah selepas tamat projek. Kerjasama daripada rakan-rakan dan pihak sekolah juga telah memudahkan lagi pelaksanaan program selama sebulan ini.

Melalui program ini juga, saya telah belajar untuk merancang, mengurus dan melaksanakan sesuatu projek atau aktiviti dengan baik dan sebagai bakal guru, proses tersebut merupakan salah satu kemahiran yang perlu saya pelajari apabila berada di sekolah kelak. Selain itu, melalui projek yang dirancang juga telah membantu meningkatkan proses komunikasi saya bersama guru-guru, murid-murid dan juga pihak sekolah.

Di samping itu, melalui Internship juga, saya telah dapat meningkatkan tahap keyakinan saya untuk bekerja bersama dengan orang lain. Ini sekaligus dapat mengeratkan ukhuwah saya bersama guru-guru dan juga warga sekolah.

Sebulan berada di sekolah adalah terlalu singkat buat saya. Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan sepanjang menjalani Internship terutamanya menyiapkan projek yang telah dirancang bermula minggu pertama menjalani Internship. Alhamdulillah, segalanya telah dipermudahkan walaupun terdapat banyak kekangan yang terpaksa dihadapi oleh saya dan rakan saya.

INTERNSHIP | SK KAMPAR (2012)

Kesimpulannya, program Internship telah banyak membantu saya daripada pelbagai aspek dan kemahiran. Saya juga telah menimba pelbagai pengalaman daripada guru-guru di sekolah dan kesemua guru di sekolah berkenaan sangat baik dan memberikan kerjasama yang sangat baik. Saya berharap agar segala pengalaman yang diperoleh dapat membantu saya untuk menjadi bakal guru yang lebih baik pada masa hadapan dengan persediaan dari pelbagai aspek sebagai seorang guru.

You might also like