You are on page 1of 10

Falsafah Pendidikan Islam

Apakah sebenarnya yang dikatakan Falsafah Pendidikan Islam?

Sebelum kita meninjau Falsafah Pendidikan Islam, adalah lebih elok diperincikan dahulu tentang Falsafah Islam itu sendiri dan juga asal perkataan falsafah. Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani Kuno, dan dalam pengertian yang bebas ia bermaksud "Cintakan Hikmah"(Al-Syaibany, 1991) Hikmah ialah satu pandangan dan fikiran yang tinggi atau jauh serta matang. Pengamatannya tidak dapat dicapai oleh pengetahuan biasa. Dalam Oxfort Dictionary (1982) ditakrifkan falsafah sebagai: "Seeking after wisdom or knowledge especially that which deals with ultimate reality, or with the most general causes and principles of things and ideas and human perception and knowledge of them, physical phenomena and ethics" Jadi, falsafah merupakan satu usaha untuk mencari kebenaran, (seeking the thruth), dan kebenaran itu sebenarnya hanya Allah. Kalau kita cuba mencari erti hakikat hidup, maka ini adalah falsafah. Hakikat hidup yang sebenar hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Yang kita tahu berdasarkan apa yang diberitahu oleh Allah, maka itulah yang benar dan mutlak. Yang kita fikirkan sendiri menjadi falsafah kita dan tidak bersandarkan kepada kitab Allah, maka itu tidakalah sebenar, ia tidak mutlak dan ianya bersifat relatif. Sebab itu bermacam-macam falsafah timbul hasil pemikiran manusia. Seperti Liberalisme, Idealisme, Asetisme, Eksistensialime, Hedonisme, Kapitalisme, Kommunisme dan banyak lagi. Jika falsasfah itu berpunca daripada Allah atau wahyu, maka ia akan sama sahaja perinsipnya dan juga matlamatnya. Falsafah Islam ialah falsafah yang berteraskan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Jadi apabila seseorang Islam yang faham Islam membincangkan mengenai falsafah, tidak kira sama ada falsafah hidup atau falsafah pendidikan atau pun yang lain-lain, perbincangannya tidak akan lari daripada prinsip dan matlamat Islam. Sebaliknya, seorang Islam yang tidak memahami

hakikat Islam, malah ia telah lebih dahulu mendalami falsafah lain daripada Islam, menjadi sangat susah ia menerima falsafah Islam. Malah falsafahnya yang dikatakan Islam itu dalam banyak hal bertentangan dengan kehendak Islam. Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam. Dan ajaran Islam itu bersumberkan wahyu, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Failasuf Islam dari setiap zaman, apabila membincangkan tentang falsafah biasanya mereka tidak akan lari daripada soalan-soalan berikut sebagai asas perbincangan, iaitu: Siapa anda (apa hakikat diri anda)? Dari mana anda datang? Kenapa anda berada di sini (alam dunia)? Kemana anda akan pergi? Apa tujuan hidup? Dan apakah hakikat mati? (Yaljin, 1991). Perkataan hikmat disebut beberapa kali di dalam Al-Quran dengan maksud yang berbeza mengikut qarinah ayat berkenaan. Hikmah ada kalanya bermaksud bijaksana (surah An-Nahli 125). Mengikut Muhammad Nasir (1978) hikmah di sini bermaksud mengenal golongan. Sheikh Muhammad Abduh pula berkata bahawa "Hikmah itu ialah memahami sesuatu tentang rahsia dan faedahnya". Untuk memahami sesuatu tentulah memerlukan ilmu, kerana ilmulah penyuluh untuk mengenal sesuatu. Jadi ilmu ini tentulah ilmu yang benar. Dalam versi yang lain Muhammad Abduh mengatakan bahawa "Hikmah itu ilmu yang benar yang menjadi pengerak untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang berfaedah" Orang yang mempunyai hikmah ini digelar "Hakeem". Ia bermaksud orang yang mahir dalam sesuatu bidang dan melakukannya dengan cukup baik dan halus (Muhammad Nasir, 1978). Adakalanya hikmah itu bermaksud ilmu, iaitu ilmu yang tinggi martabatnya. Ini berdasarkan ayat 269 surah al-Baqarah. Orang yang mempunyai hikmah mempunyai pandangan yang jauh, bukan setakat lima atau enam puluh tahun ke hadapan, tetapi sampai ke alam akhirat. Ini jelas seperti cerita Luqman al-Hakeem di dalam Al-Quran. Falsafah Islam cuba maencari hakikat manusia dan alam semesta ini. Setelah berusaha mencari dan berfikir berdasarkan wahyu, maka dapat dirumuskan bahawa manusia dijadikan oleh Allah untuk hidup di alam ini sebagai hamba dan khalifah, kemudian mereka akan mati dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh Allah.

Ini adalah berdasarkan kepada ayat-ayat 55 surah Az-Zariyat, 30 Al-Baqarah, 72 Al-Ahzab, 172 Al-A`raf dan lain-lain. Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Ialam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan dan ilmu pengetahaun yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang saleh. Ahli falsafah pendidikan Islam atau failasuf pendidikan Islam ialah orang yang berusaha berfikir mencari apakah perkara-perkara yang perlu dimasuklah ke dalam kurikulum pendidikan. Ini termasuklah ilmu, kemahiran, nilai, pengalaman dan sebagainya, yang mana setelah menjalani pendidikan beberapa lama akan lahir seorang insan yang kenal dirinya, kenal Tuhannya, faham tujuan Allah jadikan segala yang ada, mengetahui hukum-hukum Allah dan mengamalkannya, bertamadun, pandai berkawan sama ada dengan orang Islam atau pun bukan Islam. Antara perkara yang penting yang difokuskan oleh falsafah pendidikan Islam ialah: Pendidikan Aqidah, Pendidikan Ibadah, Pendidikan Akhlak, Pendidikan Akal, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Rohani, Pendidikan Keterampilan, Pendidikan Keibubapaan, Pendidikan Kemasyarakatan, Pendidikan Kepimpinan, dan banyak lagi. Jadi, berdasarkan falsafah Islam, semua perkara yang disebutkan diatas itu perlu ada dan menjadi tajuk-tajuk penting dalam kurikulum pendidikan Islam. Dengan demikian, barulah dapat melahirkan insan soleh yang mampu melaksanakan tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan betul dan sempurna seperti yang dibincang dalam Matlamat Pendidikan Islam. Penyataan Falsalah Pendidikan Islam yang digubalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, nampaknya ada unsur untuk menuju ke arah ini.

Ke Laman Pendidikan Islam

Konsep Pendidikan Islam


Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau muridmurid/pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan. Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga kebersihan diri, bilik darjah, kawasan sekolah, kantin, padang adalah tuntutan Islam. Kekemasan diri, bilik darjah, kawasan rumah, juga tuntutan Islam. Menasihati pelajar atau murid melakukan semua ini ialah pendidikan Islam namanya. Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya; pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya. Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut. Sama juga dengan sekolah. Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam. Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Demikian jugalah dengan masyarakat. Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan

Islam. Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan. Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam. Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat. Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran. Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam. Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat. Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid. Dan sebelum ke masjid, guru patut juga mendidik pelajarnya. Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid. Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi. Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam. Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya. Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.

Ke Laman Pendidikan Islam

Kaedah Pengajaran
Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz AlQur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik. Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya. Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran. Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long

(1981) dan lain-lain. Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar. Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah: 1. kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran 2. kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai 3. kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran yang diajar 4. kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar 5. kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru 6. mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah bekenaan 7. kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang ada. An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik. Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:

1. Tujuan am (learning goal) 2. Objektif pelajar (specific objective) 3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran 4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar 5. Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur pencapaian pelajar

Kata Cangelosi (1992): Learning goal is the overall purpose of the teaching unit. It indicates what students are expected to learn. Specific objective, define the learning goal. That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24) Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu: Planning Implementation Evaluation

Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching). Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).

effective teacher is one who is able to demonstrate the ability to bring about intended learning goals. Parrott (1986:5)

Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam. Ini juga harus dirancang dengan saksama. Iaitu apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya. Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul. Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan. Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher). Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994). Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya. Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).

Rujukan Abu Saleh, Muhibuddin Ahmad (1988). Asasiyat fi turuq at-tadris al-`ammah. Riyadh: Dar Al-Huda. Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim (1986). At-Taujih al-fanny fi usul at-tarbiyah wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan. An-Nashmy, Ajil Jasim (1980). Ma`alim fit-tarbiyah. Kuweit: Makatabah Al-Manar. Atan Long (1981). Kaedah am mengajar. Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Azman Wan Chik (1987). Kaedah hayati amali. Kuala Lumpur: Karya Bistari.

Cangelosi, James S.(1992). Systematic teaching strategy. New York: Longman. Hasan Langgulung (1981). Beberapa tinjauan dalam pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Antara,. Mahfuzdh Shalahuddin (1987). Metodologi Pendidikan Islam. Surabaya: Bina Ilmu. Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2: Strategi pengajaran pembelajaran mikro. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman. Parrot, Elizabeth (1986). Effective teaching. London & New York: Longman, 7th ed. Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik darjah, kaedah & strategi. Kajang: Masa Enterprise. Sharifah Alwiah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala Lumpur: Heinemann, ctk. 4.

You might also like