You are on page 1of 6

September 11, 2009 Adakah semua pihak mesti Islam untuk berguam di mahkamah syariah? Filed under: Nukilanku.....

Zainul Rijal @ 4:27 pm

Artikel di bawah ini telah dihantar ke salah sebuah akhbar tempatan (bukan kolum tetap saya), tetapi tidak disiarkan. Keadilan mahkamah Islam tanpa mengira agama Zainul Rijal Abu Bakar

Konflik pertindanan bidangkuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah sering mendapat perhatian media. Ia adalah merupakan dilema yang dihadapi dalam hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Dalam konteks Malaysia, ia diburukkan lagi dengan sentimen agama dan perkauman ini disulami dengan emosi dan sikap berprasangka antara satu sama lain. Jalan penyelesaian dikatakan gagal digapai walaupun negara telah mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun. Isu satu pihak beragama Islam dan sepihak lagi tidak beragama Islam perlu ditangani dalam kerangka atau skima Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di Malaysia. Malah sejarah juga perlu ditelusuri bagi mencari kaedah terbaik penyelesaian kemelut ini. Pada masa ini mahkamah sivil dalam hal pembubaran perkahwinan telah menutup pintu mereka kepada penganut Islam manakala mahkamah syariah pula menutup pintu mereka pula kepada orang bukan Islam. Hal yang demikian terpaksa dilakukan oleh kedua-dua mahkamah akibat dari peruntukan undang-undang yang ada. Hal yang sedemikian bukan sahaja

berlaku

dalam hal ehwal kekeluargaan malah dalam hal lain yang atau pertimbangan hukum

memerlukan determination of Islamic laws

syarak (sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan) juga telah dimonopoli oleh mahkamah sivil atas alasan antara lainnya kerana ia melibatkan orang bukan Islam seperti di dalam kes-kes perbankan Islam. Maka ujudlah penghakiman-penghakiman yang tersasar dari landasan Hukum Syarak kerana hakim sivil yang mengadilinya tidak dilatih di dalam undangundang Islam, malah alat yang digunakan untuk mengadilinya pula seperti undang-undang keterangan dan undang-undang prosedur juga adakalanya tidak Islamik. Begitu juga sifat hakim mahkamah sivil yang lebih kepada sistem adverseri berbanding sistem Islam yang melaksanakan inkuisitori juga memberi impak kepada penghakiman yang dibuat. Sebagaimana kita sedia maklum, semua enakmen negeri-negeri melibatkan undang-undang Islam dalam negara meletakkan peruntukan bahawa mahkamah syariah berkuasa mendengar dan memutuskan perkara di mana kedua-dua pihak mestilah beragama Islam. Penulis berpendapat bahawa sudah sampai masanya peruntukan ini diubah demi menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Malah Butiran 1 kepada Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dipinda bagi maksud ini. Begitu juga mana-mana undang-undang lain yang menyanggah orang bukan Islam dari diadili di mahkamah syariah perlu dimansuhkan. Semestinya Mahkamah Syariah sebagai Mahkamah yang memperjuangkan keadilan dan mempertahankan kedudukan Islam boleh mendengar dari manamana pihak sama ada orang tersebut beragama Islam atau pun tidak. Mengecilkan skop keadilan hanya kepada pihak beragama Islam sebenarnya

bertentangan dengan prinsip keadilan Islam itu sendiri. Sejarah perundangan Islam sendiri telah membuktikan penghakiman mahkamah syariah tidak semestinya memihak kepada orang Islam. Banyak kes telah dilaporkan mahkamah Islam memberi penghakiman kepada orang bukan Islam, malah pemimpin Islam juga pernah dikalahkan oleh rakyat biasa bukan beragama Islam di mahkamah Islam. Ini adalah manifestasi kebebasan mahkamah Islam dan keadilannya melampaui batasan agama. Namun begitu orang bukan Islam tidaklah perlu gusar, kerana hal ini tidaklah bertujuan untuk mengislamkan orang bukan Islam. Hanya dalam perkaraperkara tertentu sahaja seperti yang melibatkan orang Islam dan hukum syarak, permasalahan ini perlu ditadbir di mahkamah syariah. Penulis berpendapat sudah sampai masanya pelbagai pihak berkuasa termasuk Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Negeri sama-sama membawa kedudukan Islam seperti yang tercatat di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan dengan meminda peruntukan yang sesuai dan memartabatkan kedudukan Islam kepada seluruh masyarakat supaya ia dapat difahami di samping tidak merendahkan hak orang bukan Islam di Mahkamah Syariah dalam kes-kes di mana terdapat pertindanan bidangkuasa. Perlaksanaan bahawa kedua-dua pihak yang bertikai di mahkamah syariah tidak semestinya beragama Islam telah diamalkan di beberapa lain contohnya di Negara Brunei Darussalam. Brunei adalah tamsil yang baik boleh kita ikuti kerana kerajaan negara itu menyuntik prinsip Islam dalam pentadbiran mereka dan pada masa sama tidak menolak kemajuan. Begitu juga kontroversi bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang sering melanda negara kita dapat diselesaikan dengan aman dan harmoni di negara Brunei.

Hal yang sedemikian dijalaskan umpamanya dalam hal ehwal undang-undang keluarga Brunei, Bab 5 Perintah Darurat (Undang-Undang Keluarga Islam) 1999 menyatakan, peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam terpakai dalam sebarang hal di mana sekurang-kurangnya satu pihak menganut agama Islam dan sekurang-kurangnya salah satu pihak, sama ada atau tidak dia menganut agama Islam, bermukim atau bermastautin di negara itu, tetapi bermukim di luar negara.

Tiada mahkamah selain daripada Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar atau memutuskan apa-apa tuntutan atau prosiding di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak menganut agama Islam dan berkaitan dengan apa-apa perkara berbangkit dalam undang-undang keluarga itu.

Rakyat bukan Islam di Brunei tidak membantah pengenaan undang-undang ini ke atas mereka kerana mereka tahu ia bukan bertujuan untuk menukar kepercayaan agama mereka kepada Islam. Malah, mereka juga sedar undang-undang Islam menawarkan remedi lebih baik kepada pihak yang

bertikai berbanding undang-undang sivil. Rahsia kejayaan Brunei ini wajar dikaji dan diikuti untuk diterima pakai supaya Malaysia dapat mempelajari dan menambah baik peruntukan yang ada sekarang ini. Seringkali apabila isu berkaitan pemelukan Islam oleh seorang mualaf (khususnya apabila suami yang memeluk Islam) dikupas, pelbagai pihak membuat andaian dan memberi pelbagai pandangan negatif. Antaranya dikatakan orang mualaf tersebut memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan orang Islam, ingin lari dari tanggungjawab terhadap isteri dan

keluarga, ingin memutuskan hubungan kekeluargaan dan pelbagai kata-kata nista yang memandang sini sehingga boleh memalukan muallaf tersebut. Malah jika kita meneliti Laporan Ong (Suruhanjaya yang dibentuk bagi menggubal Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976), adalah jelas tertulis bahawa orang bukan Islam yang memeluk Islam ini hendak lari dari tanggungjawab mereka dan oleh yang demikian mereka tidak perlu diberi hak membubarkan perkahwinan mereka. Sikap prejudis seperti yang terdapat di dalam Laporan Ong inilah yang dicanang dan merendahkan martabat mualaf sedangkan menurut undangundang Islam, mualaf menikmati jaminan dan keistimewaan sama seperti orang yang lahir Islam. Malah, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan juga menjamin hak mualaf mengamalkan agamanya. Dalam hal penjagaan anak pula sering rujukan dibuat pada Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 yang memperuntukkan persamaan hak ibu bapa ke atas anak mereka. Namun mereka lupa dalam Seksyen 1(3)(b) akta tersebut menyebut secara jelas larangan penggunaan akta itu kepada orang yang memeluk agama Islam. Jadi apabila anak tersebut telah diiktiraf sebagai Islam, maka perkara yang menjadi subjek iaitu anak-anak yang telah memeluk Islam juga dianggap terkeluar dari naungan akta tersebut. Oleh yang demikian, penulis berpandangan penyelesaian konflik ini ialah dengan membuka ruang kepada orang bukan Islam di mahkamah syariah. Mana-mana undang-undang yang menjadi halangan perlulah dipinda bagi merealisasikan maksud ini. Ia juga selaras dengan usaha Kerajaan memartabatkan kedudukan Islam sepertimana yang termaktub di dalam perkara 3(1) Pelembagaan Persekutuan.

Pihak bukan Islam pula perlu faham tindakan ini tidak sekali-kali merupakan cubaan untuk mengislamkan mereka. Ia hanyalah sekadar memberi efek kepada perisytiharan yang dibuat di dalam Perkara 3(1) di atas. Malah kedudukan istimewa Islam di negara ini haruslah diterima oleh setiap rakyat berdasarkan kontrak sosial yang telah dipersetujui namun orang bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka dalam aman dan damai.

*Penulis adalah Peguambela dan Peguamcara, Peguam Syarie dan Setiausaha Peguam Pembela Islam.

You might also like