You are on page 1of 1

Bagaimana Mengenalpasti Lailatul Qadar?

10 Ogos 2012

Para ulama menjelaskan, Ramadan adalah bulan yang menjanjikan sebaik-baik balasan kepada mereka yang berbuat amal soleh sama ada di awal, pertengahan ataupun di akhirnya. Sebaliknya mereka yang malas dan yang terus melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan dosa, atau memandang bulan Ramadan itu sama seperti bulanbulan yang lain, bukan sahaja mereka tidak dapat pahala yang dijanjikan malahan akan menerima azab akibat dari kejahatan yang boleh menjatuhkan kesucian Ramadan dan keluhuran akhlak umat Islam seluruhnya. Allah telah menetapkan satu malam yang dikenali sebagai Lailatul Qadr dalam bulan Ramadan dan ia mempunyai kelebihan 1000 kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain. Petanda sesuatu malam itu ialah Lailatul Qadar dapat diketahui melalui riwayat sahih yang disebutkan petandanya dalam riwayat Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Paginya malam Lailatul qadar itu ialah apabila mataharinya muncul dengan lemah cahaya dan kurang panasnya seolah ianya redup sehingga meninggi (Hadith sahih riwayat Muslim: 762). Manakala menurut riwayat Ibn Abbas r.a., telah bersabda baginda Rasulallah salallahualaihiwasallam yang bermaksud: Lailatul qadar itu malam rahmah, berkah dan bercahaya (berseri-seri indah), tidak panas dan tidak pula sejuk dan pada paginya matahari menjadi lemah cahaya dan panasnya) kemerah-merahan. Kebiasaannya sekiranya hujan pada waktu siang maka malamnya akan menjadi sebuah malam yang sederhana suhunya dan tidak panas serta tidak sejuk dan keesokan harinya menjadi redup menurut fenomena biasa. Walau bagaimanapun, hanya Allahlah yang mengetahui secara tepat dan hendaklah umat Islam berusaha beribadah setiap malam dan waktu kerana Allah dan mengharap redha-Nya. Bilakah malam Lalilatul Qadr? Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Jaga-jagalah oleh kamu kedatangan Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir (bulan Ramadan) pada malam-malam yang ganjil. Suatu hari Siti Aisyah berkata yang bermaksud, ``Bila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w mengikat kuat kainnya (menambah kesungguhan ibadahnya), menghidupkan malam (dengan banyak zikir dan munajat), membangunkan keluarganya (untuk ikut bertahajud kepada Allah dan melakukan amalan-amalan sunat)''. Siti Aisyah juga berkata, ``Rasulullah berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadah di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, yang tidak biasa dilakukannya di hari lain.'' Kata Siti Aisyah lagi, ``Baginda beribadah hingga menjelang subuh''. Demikianlah contoh teladan kisah Rasulullah SAW. menghadapi sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Bacalah Al-Quran sentiasa. Al-Quran perlu dibaca dan dipraktikkan. Ia perlu menjadi budaya kita dan keluarga serta masyarakat. Sabda Rasulullah s.a.w. berikut perlu untuk kita renungkan bersama: Sesungguhnya rumah yang di dalamnya dibaca al-Quran, lapanglah kehidupan penghuninya, banyak kebajikannya, malaikat hadir dan syaitan keluar melarikan diri dari rumah itu. Sebaliknya rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya, sempitlah kehidupan penghuninya, sedikit kebajikan, keluar malaikat dan hadir syaitan di rumah tersebut. Berdasarkan kepada sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim, al-Baihaqiy dan an-Nasai, bahawa al-Quran diturunkan dari Lauh al-Mahfuzh ke Bait al-'Izzah pada malam Lailatul Qadar, iaitu suatu malam yang menurut surah al-Qadr ayat 2-5 di antaranya mengandungi empat keistimewaan. (1) Pada malam itu al-Quran diturunkan. (2) Malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan (lebih kurang 83 tahun). (3) Pada malam itu para melaikat dan roh-roh turun ke muka bumi, mengucapkan selamat dan sejahtera kepada orang-orang yang beriman. (4) Malam tersebut adalah malam yang penuh dengan kesejahteraan. Tentang bila waktu terjadinya Lailatul Qadar, majoriti 'ulama' berpendapat bahawa ia terjadi pada salah satu malam daripada malam-malam ganjil setelah Ramadan yang ke-20 iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29. Imam Syafie misalnya lebih menekankan malam yang ke-21 dan 23. Lailatul Qadar memang merupakan suatu malam yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t. agar kita lebih giat beribadah pada malam-malam 10 yang terakhir daripada bulan Ramadan, yang mana pada waktu-waktu tersebut semangat ibadah lazimnya telah berkurangan kerana perhatian yang tidak lagi sepenuhnya tertumpu kepada ibadah puasa. Tentang turunnya al-Quran pertama kali kepada Rasulullah, menurut kebanyakan para ulama seperti Ibn Ishak, Tabari dan al-Qastalani, terjadi pada 17 Ramadan.

You might also like