You are on page 1of 6

Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Sultan Abdul Halim 2011

PENGGUNAAN KAEDAH NYANYIAN DAPAT MENARIK MINAT DAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBACA PERKATAAN (vkv, kvkv, vkvk, kvkvk) MURID PRASEKOLAH

Oleh : Mohamad Lutfi Bin Mat Saad IPG Kampus Sultan Abdul Halim

ABSTRAK Kajian ini dijalankan bertujuan untuk membantu murid prasekolah dalam meningkatkan kemahiran membaca perkataan dan seterusnya untuk melihat adakah kaedah nyanyian ini dapat menarik dan mengekalkan minat murid untuk belajar. Kajian ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar, Bedong. Kumpulan sasaran dalam kajian ini adalah seramai 25 orang yang terdiri daripada murid Prasekolah Nur Alif. Kajian ini dijalankan terhadap penggunaan kaedah nyanyian yang dilaksanakan oleh penyelidik sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas Prasekolah. Kajian ini menggunakan kaedah ujian pengesanan bacaan, pemerhatian dan kaedah temubual. Dapatan kajian menunjukkan terdapat peningkatan pencapaian responden dalam kajian ini dimana keseluruhan murid dapat membaca perkataan (vkv, kvkv, vkvk, kvkvk). Ini menunjukkan penggunaan kaedah nyanyian dalam pembelajaran meningkatkan kemahiran membaca perkataan adalah berkesan. PENGENALAN Pendidikan Prasekolah adalah pendidikan asas yang penting dan ia telah mendapat perhatian di semua peringkat masyarakat kerana ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan hidup seseorang individu selain daripada pendidikan yang diterimanya di rumah. Di Malaysia, program pendidikan prasekolah adalah satu program pendidikan untuk golongan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 6 tahun sebelum mereka memasuki pendidikan secara formal di tahun satu sekolah rendah (Garis Panduan Kurikulum Prasekolah, 1998). Berdasarkan kepada proses pengajaran dan pembelajaran semasa di dalam kelas, penyelidik mendapati murid kurang berminat semasa mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran. Mereka juga mudah menunjukkan rasa bosan dan sering membuat bising di dalam kelas. Walaupun peraturan telah ditetapkan, namun potensi untuk mengubah tingkah laku adalah sangat rendah. Penyelidik sempat melihat rekod peribadi murid untuk mengetahui sedikit sebanyak latar belakang murid-murid prasekolah ini dan penyelidik mendapati kebanyakan murid-murid prasekolah datang daripada latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri. Namun begitu, terdapat juga murid yang jarang datang ke sekolah tanpa ada alasan yang munasabah. Hal ini bukan sahaja membimbangkan penyelidik malahan apa yang menjadi kerisauan di sini ialah tahap perkembangan mereka tidak mencapai ke tahap yang maksimum. Berpunca daripada ini, mereka kurang dapat menguasai sesetengah kemahiran yang diajar oleh guru terutama kemahiran membaca di mana kemahiran membaca ini sangat penting untuk murid prasekolah sebelum mengikuti alam pembelajaran formal di tahun satu. Penyelidik mendapati semua murid berpotensi untuk menguasai kemahiran ini. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kebanyakan murid menghadapi masalah untuk menyebut, mengingat, menghafal dan yang paling ketara ialah masalah dalam membaca perkataan. Perkataanperkataan yang menjadi masalah kepada murid prasekolah ini untuk membaca ialah perkataan yang bersuku kata terbuka dan tertutup (vkv, kvkv, vkvk, kvkvk). Penyelidik mengambil inisiatif untuk menggunakan kaedah nyanyian di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid prasekolah ini. Banyak hasil kajian lalu (Colwell, 1994 dan Stanley & Hughes, 1997) telah menunjukkan bahawa nyanyian dapat meningkatkan kemahiran membaca dan mengingat. Menurut Drosher (2006) pula, pendedahan terhadap teknik nyanyian dapat meningkatkan IQ dan perkembangan mental. Manakala bagi pandangan Butzlaff (2002) dan Lamb & Gregory (1993) kaedah nyanyian dapat mewujudkan hubungan antara pencapaian membaca dengan teknik nyanyian. 1

Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Sultan Abdul Halim 2011

Menyanyi juga dapat menguji kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis. Selain daripada itu juga, aktiviti nyanyian dapat mempelbagaikan aktiviti pengajaran-pembelajaran di dalam kelas. (Hawijah Ahmad dan Md. Safea Mohamad, 1992). Kanak-kanak berasa gembira dan seronok apabila menyanyi kerana nyanyian boleh meransang minat kanak-kanak bagi mengikuti pengajaran guru, membantu menenangkan fikiran mereka dan memberi peluang mereka melakukan pergerakan (Ahmad Ramli Zakaria dan Osni Anuar Othman, 1992). Menurut Nani Menon ( 2005), kanak-kanak prasekolah berasa seronok menyanyi bersama-sama atau dalam kumpulan besar. Fokus Kajian Kajian ini memberi fokus terhadap penggunaan teknik nyanyian dalam mengatasi masalah murid dalam kemahiran membaca perkataan yang bersuku kata terbuka dan tertutup vkv, kvkv, vkvk dan kvkvk. Objektif Kajian Kajian ini bertujuan untuk membantu murid prasekolah dalam meningkatkan kemahiran membaca perkataan (vkv, kvkv, vkvk dan kvkvk) serta membolehkan murid suka untuk belajar. Soalan Kajian 1. Adakah kaedah nyanyian dapat meningkatkan kemahiran membaca perkataan vkv, kvkv, vkvk dan kvkvk di kalangan murid prasekolah? 2. Adakah kaedah nyanyian membolehkan murid menjadi suka untuk belajar?

METODOLOGI Instrumen Kajian Alat instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah ujian pengesanan bacaan, pemerhatian dan juga temubual. Ujian pengesanan bacaan ini dilakukan oleh penyelidik bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang tahap perkembangan kemahiran membaca murid-murid prasekolah ini. Ujian ini akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu sebelum penyelidik menjalankan intervensi dan selepas penyelidik menjalankan intervensi. Ujian ini digunakan untuk membandingkan prestasi tahap perkembangan membaca sebelum dan selepas intervensi yang dijalankan oleh penyelidik. Data pemerhatian di analisis tentang perlakuan murid semasa sesi pengajaran dijalankan. Pemerhatian dilakukan adalah untuk mengenalpasti respon dan minat mereka terhadap kaedah nyanyian yang dilakukan serta adakah mereka suka untuk melibatkan diri di dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas. Manakala bagi instrumen temubual, penyelidik telah menganalisis kandungan hasil temubual bertujuan untuk mendapatkan maklum balas tentang keberkesanan kaedah nyanyian dengan menekankan soalan-soalan yang berkaitan perasaan, minat, pendapat dan adakah mereka dapat mengingat dan membaca semula pekataan yang telah dinyanyikan. Responden Kajian ini melibatkan 25 orang murid prasekolah daripada Sekolah Kebangsaan Batu Hampar Bedong, Kedah. Mereka ini terdiri daripada beberapa orang murid yang mempunyai perbezaan dari segi jantina (11 orang lelaki dan 14 perempuan), tahap umur (5 dan 6 tahun). Berikut adalah pelaksanaan tindakan yang telah dilakukan dalam menjayakan kajian ini:

Membuat tinjauan awal

Melaksanakan sesi pengajaran 1

Melaksanakan sesi pengajaran 2

Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Sultan Abdul Halim 2011

Membuat tinjauan awal

Ujian Pengesanan Bacaan

Melaksanakan sesi pengajaran 1

Menggunakan kaedah nyanyian lagu vkv dan vkvk yang ditayangkan semasa set induksi, langkah 2 dan penutup.

-Ujian Pengesanan Bacaan -Pemerhatian -Temubual

Melaksanakan sesi pengajaran 2

Menggunakan kaedah nyanyian lagu kvkv dan kvkvk yang ditayangkan semasa set induksi, langkah 2 dan penutup

-Ujian Pengesanan Bacaan -Pemerhatian -Temubual

DAPATAN KAJIAN Soalan Kajian 1: Adakah kaedah nyanyian dapat meningkatkan kemahiran membaca perkataan vkv, kvkv, vkvk dan kvkvk di kalangan murid prasekolah? Kemahiran membaca perkataan dalam kalangan murid prasekolah meningkat selepas intervensi dijalankan kepada murid Prasekolah Nur Alif. Dapatan kajian menunjukkan seramai 7 orang murid telah mencapai objektif kajian. Kesemua murid ini boleh membaca kesemua perkataan (vkv, kvkv, vkvk, kvkvk) dengan betul. Walaupun murid lain tidak boleh membaca kesemua perkataan, namun dapatan kajian menunjukkan terdapat peningkatan terhadap jumlah perkataan yang boleh dibaca oleh mereka selepas intervensi dilakukan. Oleh itu, dapatan ini telah membuktikan bahawa penggunaan kaedah nyanyian ini dapat meningkatkan kemahiran membaca (vkv, kvkv, vkvk, kvkvk) murid prasekolah. Data-data yang diperolehi dari ujian pengesanan bacaan sebelum intervensi dan selepas intervensi kaedah nyanyian dijalankan telah dianalisis dalam bentuk huraian dan deskriptif. Berdasarkan jadual 1.0 dan 2.0 (rujuk lampiran 1dan 2), bagi perkataan vkv data menunjukkan hanya 14 daripada 25 orang murid sahaja yang boleh membaca sebelum intervensi kaedah nyanyian dijalankan manakala jumlah bilangan murid yang boleh membaca perkataan vkv ini meningkat daripada 14 kepada 21 orang selepas intervensi dijalankan. Jumlah perbezaan peningkatan ini adalah sebanyak 7 orang. Bagi perkataan kvkv pula, hanya 12 orang murid sahaja yang boleh membaca pada awalnya namun jumlah ini juga meningkat setelah intervensi dijalankan iaitu daripada 12 kepada 17 orang murid. Jumlah perbezaan peningkatan ini adalah sebanyak 5 orang murid yang boleh membaca perkataan. Sebanyak 6 daripada 25 orang murid sahaja yang boleh membaca perkataan vkvk sebelum intervensi kaedah nyanyian dijalankan. Walau bagaimanapun jumlah ini menunjukkan peningkatannya setelah intervensi dijalankan iaitu daripada 6 orang murid 3

Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Sultan Abdul Halim 2011

kepada 14 orang murid yang boleh membaca perkataan. Jumlah perbezaan peningkatan ini adalah sebanyak 8 orang murid. Perkataan kvkvk menunjukkan bacaan terendah dan mengecewakan dimana tidak seorang murid pun yang boleh membaca perkataan tersebut sebelum intervensi kaedah nyanyian dijalankan. Selepas intervensi ini dijalankan, bilangan murid yang tidak boleh membaca perkataan kvkvk meningkat kepada 7 orang murid. Keseluruhan peningkatan bagi kemahiran membaca ini boleh dijelaskan lagi berdasarkan graf 1 dan jadual 3.0 di bawah.

25 20 15 10 5 0 vkv kvkv vkvk kvkvk Tinjauan Awal Selepas intervensi

Rajah 1: Graf perbandingan peningkatan tahap bacaan murid melalui ujian pengesanan tinjauan awal dan selepas intervensi kaedah nyanyian dijalankan

Jadual 1: Jumlah peningkatan selepas intervensi kaedah nyanyian dijalankan. Perkataan Vkv Kvkv Vkvk kvkvk Jumlah Peningkatan 7 5 8 7

Oleh itu, analisis data di atas menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kemahiran membaca murid bagi keseluruhan perkataan yang diuji oleh penyelidik. Walaupun begitu, terdapat juga 4 orang murid yang tidak menunjukkan apa-apa peningkatan. Hal ini boleh dijelaskan dengan merujuk kepada Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner yang mengatakan bahawa setiap manusia di dunia ini mempunyai potensi yang berbeza dalam fitrahnya. Soalan Kajian 2: Adakah kaedah nyanyian membolehkah murid menjadi suka untuk belajar? Berdasarkan dari analisis data-data pemerhatian dan temu bual daripada sesi pengajaran satu dan dua, penyelidik mendapati bahawa keseluruhan murid-murid Prasekolah Nur Alif kelihatan gembira dan suka untuk belajar serta menunjukkan perlakuan yang baik dan menurut arahan guru semasa intervensi dijalankan. Mereka menunjukkan tingkah laku yang sepatutnya, tidak banyak menunjukkan bahasa badan yang kurang menyenangkan dan 4

Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Sultan Abdul Halim 2011

keseluruhan murid juga tidak menunjukkan pergerakan yang tidak diperlukan di dalam kelas semasa intervensi kaedah nyanyian dijalankan. Berdasarkan pada catatan bebas, bagi sesi pengajaran 1, keseluruhan murid menunjukkan tingkah laku baik dan hanya terdapat tiga atau empat orang murid sahaja yang menunjukkan tingkah laku yang kurang memuaskan. Bagi sesi pengajaran 2, hanya satu atau dua orang murid sahaja yang telah menunjukkan tingkah laku yang kurang memuaskankan. Jadi, boleh dikatakan di sini bahawa kaedah nyanyian ini berupaya merubah tingkah laku murid untuk belajar walaupun jumlah perubahannya kecil. Bagi bahasa badan dan pergerakan di dalam kelas yang difokus oleh penyelidik juga menunjukkan keseluruhan murid tidak banyak menunjukkan bahasa badan yang kurang menyenangkan dan keseluruhan murid juga tidak menunjukkan pergerakan yang tidak diperlukan. Walaupun begitu, hanya terdapat dua atau tiga orang murid sahaja yang menunjukkan bahasa badan yang kurang memuaskan dan pergerakan yang tidak diperlukan di dalam kelas semasa intervensi kaedah nyanyian dijalankan. Selain itu, daripada temubual dari ketiga-tiga murid juga menunjukkan mereka suka untuk belajar dan menyanyi semasa proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah nyanyian dijalankan. Oleh itu, penyelidik mendapati bahawa murid-murid Prasekolah Nur Alif ini telah menunjukkan respon dan minat mereka terhadap kaedah nyanyian yang dilakukan. Mereka juga suka untuk belajar dan dapat memberi tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas serta dapat meningkatkan tahap perkembangan membaca perkataan vkv, kvkv, vkvk dan kvkvk. Secara kesimpulannya, hasil dapatan daripada analisis pemerhatian dan temu bual ini dapat menunjukkan bahawa objektif penyelididkan ini tercapai.

PERBINCANGAN DAN CADANGAN Bagi kaedah nyanyian ini, penyelidik mencadangkan agar kajian diteruskan lagi dengan memanjangkan tempoh masa pelaksanaan supaya keberkesanan kaedah ini dapat ditingkatkan. Selain itu, kajian menggunakan kaedah nyanyian ini boleh diubahsuai dengan menggunakan nyanyian sambil membuat pergerakan serta lagu-lagu yang ingin digunakan juga boleh dipelbagaikan. Selain daripada itu juga, kajian ini boleh diteruskan dengan menggunakan perisian multimedia interaktif supaya proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan penglibatan murid dapat ditingkatkan.

Seminar Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Sultan Abdul Halim 2011

RUJUKAN Abdul Rahman Abdul Majid Khan (2008), Guru Sebagai Penyelidik: PTS Professional: Kuala Lumpur. Ahmad Ramli Zakaria & Osni Anuar Othman (1992), Projek Teknik Pengajaran dan Pembelajaran: Siri Panduan Guru KBSR. Jilid 4. Kementerian Pendidikan. DPB: KL. Hawijah Ahmad dan Md. Safea Mohamad, (1992) Nyanyian Aktiviti Bahasa: Siri Panduan Guru KBSR. Jilid 7. Kementerian Pendidikan. DBP: KL. Kamus Dewan, Edisi Baru, (2010) Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia (1998). Garis Panduan Kurikulum Prasekolah: Dokumen Standard Prasekolah. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia (2009). Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan: Dokumen Standard Prasekolah. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. Madzniyah Md.Jaafar, Muhammad Hussin, Choo Suet Lan, Hj.Mohd Zubir Embong, Aminuddin Mohd Sani dan Zakiah Idris. (1995). Modul Kajian Tindakan. Kuala Lumpur : Program PIER (Program for Innovation, Excellence and Research) Nani Menon (2005), Permainan, Lagu Dan Puisi Kanak-kanak: PTS Professional: Bentong. Prof. Madya Norhashimah Hashim & Prof. Aminah Ayob (1982). Panduan Pemakanan Prasekolah: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. William B. Stanley (2001), Critical Issues in Social Studies Research for the 21 st Century: Publisher IAP.

You might also like