You are on page 1of 3

KOMSAS menyumbang pembinaan penghayatan yang tinggi terhadap Islam.

Kesusasteraan Melayu telah menjadi komponen wajib dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu di semua sekolah menengah (aliran sastera, sains, teknik, agama dan vokasional) di negara ini. Para pelajar diwajibkan membaca dan mendalami buku- buku sastera Melayu tersebut. Sehubungan itu, penggunaan bahan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kini dilaksanakan melalui KOMSAS. Teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Bahasa Melayu terdiri daripada puisi, cerpen, drama dan novel. Pembelajaran Kesusasteraan Melayu sebagai komponen wajib dalam Bahasa Melayu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai Mac 2000 (Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat) dan telah dinilai mulai tahun 2001, peringkat SPM dan tahun 2002, peringkat PMR. Pendekatan pengajaran- pembelajaran subjek ini lebih bersifat menyeluruh iaitu ke arah pembinaan pemikiran akal budi, yang banyak terpancar menerusi genre-genre tersebut. Dalam hal ini, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hasil saranan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), melalui panel pemilihnya, telah menetapkan dua teks untuk digunakan di setiap tingkatan. Teks-teks tersebut ialah sebuah novel (daripada pilihan empat judul) dan sebuah teks antologi yang bermuat enam puisi tradisional, enam sajak, empat prosa tradisional, enam cerpen, dan tiga buah drama. Kesemua genre tersebut akan diajarkan dalam 56 waktu setahun. Genre puisi (sajak dan puisi tradisional) akan diajarkan sebanyak 12 waktu setahun manakala genre yang lain hanya 11 waktu setahun. Kini teks KOMSAS telah memasuki pusingan kedua dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Semua pelajar diwajibkan mempelajari teks baharu mulai 2010 bagi Tingkatan satu, dua dan empat bagi Tingkatan lima pada 2011, Tingkatan tiga 2012. Sehubungan itu, diharapkan KOMSAS yang dalamnya mengandungi genre novel, cerpen, puisi lama (pantun) dan baru (sajak) yang diajarkan di sekolah melalui teks pilihan KOMSAS berupaya memberikan pendedahan tentang falsafah akal budi yang luhur, nilai estetik dan keindahan, pengalaman baru, falsafah dan pemikiran yang terpancar dalam makna tersurat dan tersirat dalam puisi-puisi pilihan tersebut. Hal ini demikian kerana, akan membentuk jiwa dan mendidik rasa kecintaan kepada beberapa genre. Terdapat beberapa pendapat yang mengatakan mengapa pelajaran kesusasteraan dianggap kurang penting. Ada pendapat mengatakan, mata pelajaran kesusasteraan hanya diambil oleh pelajar lemah. Di samping itu, pelajaran kesusasteraan tidak ada nilai ekonomi sehingga menyebabkan pelajar kurang meminatinya, dan juga masyarakat menganggap pelajaran kesusasteraan tidak penting dalam kehidupan masa depan. Pendapat dan pandangan ini seharusnya dibuang jauh-jauh dari lubuk hati, jika kita mencintai hasil seni sastera bangsa. Kementerian Pelajaran melalui Kajian Pembangunan Pendidikan 2001-2010 iaitu Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan menegaskan negara memerlukan ramai tenaga manusia yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan teknologi. Untuk memenuhi keperluan tersebut, sistem pendidikan telah menetapkan dasar 60 : 40 (Sains/Teknikal : Sastera). Berpengetahuan

Hala tuju dunia pendidikan tanah air bagi menghasilkan individu-individu yang berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berkemampuan ke arah berteraskan sains dan teknologi khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Di samping itu juga, kita perlu memiliki keteguhan dalam agama dan budaya bangsa yang ada dalam bahan kesusasteraan. Dalam hal ini, Ali Ahmad (1994) menjelaskan; Kesusasteraan sebagai satu kegiatan kesenian mendapat perhatian penting oleh masyarakat. Minat yang sedemikian mendalam, khususnya bagi masyarakat lama, mudah difahami, iaitu atas sebab tidak ada batas yang jelas antara kegiatankegiatan keagamaan, kesenian, dan ekonomi. Pada zaman lampau, misalnya puisi (seperti pantun) atau perbilangan adat, digunakan ketika melaksanakan kegiatan ekonomi, budaya atau pendidikan moral. Dewasa ini kegiatan sedemikian tidak berlaku lagi. Pandangan ini sejajar dengan pendapat Roger Webster (2004: 16) yang menyatakan pengajian kesusasteraan dihubungkaitkan secara erat dengan alam pengalaman dan istilah-istilah yang berkaitan seperti perasaan dan emosi. Oleh sebab itu, kajian sastera cenderung diletakkan bertentangan dengan sains dan sains sosial oleh persepsi subjek-subjek akademik, terutama sekali di institusi-institusi British. Sementara itu, Rahman Halib (2000) menjelaskan masalah pembelajaran kesusasteraan Melayu masa kini adalah disebabkan pelajar kurang berminat membaca sedangkan kemahiran membaca amat penting dalam menikmati karya sastera. Sikap ini juga menjejaskan apresiasi pelajar terhadap karya sastera. Selain itu, pelajar menganggap sastera tidak mendatangkan sebarang faedah kerana tidak mempunyai nilai ekonomi. Tanggapan negatif ini menjejaskan minat, apresiasi dan penghayatan terhadap sastera. Pelajar juga kurang memahami dan menguasai konsep-konsep sastera yang tertentu misalnya pelajar tidak dapat memahami konsep plot, sinopsis, metafora, personifikasi dan lain-lain lagi. Kelemahan pelajar menguasai konsep menyebabkan pelajar sukar menjawab soalan peperiksaan yang berkaitan dengan konsep sastera. Sikap dan minat terhadap sastera menimbulkan masalah dalam menentukan keberkesanan pengajaran kerana teks membosankan. Namun, ramai sarjana berpendapat antaranya Shahnon Ahmad menyatakan, pendidikan kesusasteraan ini penting dalam peranannya membina pemikiran dan sahsiah manusia kerana dalam kesusasteraan itu banyak mengandungi unsur-unsur mendidik nilai kemanusiaan yang tinggi. Seni sastera menjadi nadi kepada tamadun bangsa mestilah boleh menyumbang ke arah pembinaan budaya yang besar. Ciri-ciri kesusasteraan mestilah memperlihatkan wawasan yang jelas dan benar, mempertahankan kehalusan kesenimanan, mengadunkan pandangan alam dan garapan seni yang tinggi, dengan analisis dalam penerokaan setiap aspek keinsanan, boleh menghayati pergolakan jiwa dan emosi watak-watak yang ditonjolkan dan berketerampilan dalam penggunaan gaya bahasa sasteranya. Melalui sastera sesiapa juga dapat dididik menjadi pemikir dan pemerhati yang tajam lagi kritis mentafsir pengalaman-pengalaman yang bermakna serta dapat mencabar daya kreatif pihak yang mengukir karya sastera. Selaras dengan sastera-sastera agung dunia, kesusasteraan kita mestilah

merupakan sumbangan untuk memahami segala aspek kemanusiaan tanpa mengetepikan estetik dan idealisme. Secara jelas, segala kegiatan kehidupan pada zaman moden ini bersifat khusus. Kesan daripada revolusi industri terhasil pembahagian tugas yang khusus bagi proses pengeluaran. Semangat pengkhususan ini menular ke dalam lapangan ilmu. Hal yang sama tidak terkecuali berlaku dalam kegiatan yang berkaitan dengan kesusasteraan. Sastera Melayu dewasa ini jelas dimajukan sebagai salah satu mata pelajaran yang diperkenalkan di semua peringkat pendidikan sekolah secara formal. Atas dasar itulah Kementerian Pelajaran melakukan pembaharuan yang drastik dengan memasukkan komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu. Disebabkan subjek ini merupakan subjek wajib yang diambil oleh semua pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, falsafah dan pendidikan diajar dan dikaji semoga dapat diterapkan dalam pemikiran pelajar tanpa mengira kaum dan aliran pelajaran mereka. Cadangan menjadikan sastera Melayu sebagai satu mata pelajaran di universiti juga harus difikirkan bagi mendidik akal budi manusia. Permasalahannya, adakah teks genre sastera yang dipilih itu dapat membina akal budi setiap pelajarnya? Hal inilah yang harus difikirkan dan dilakukan oleh pengkaji dan peneliti sastera dalam mengkaji bahan sastera yang sesuai dijadikan bahan P&P dan kajian di sekolah bagi pembangunan akal budi pelajar.

You might also like