You are on page 1of 10

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia - "Hidup Biar Berjasa"

PENGURUSAN STRESS MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


KAMAR
Posted by: spp
Posted on : 2006/2/28 0:55:22

ABSTRAK

Seorang manusia yang tidak mampu menjalankan kefungsiaannya sebagai seorang insan dalam
menjalani kehidupan harian akibat daripada tekanan atau stress adalah disebabkan
ketidaksempurnaan komponen jasad (fizikal), akal (mental) dan roh (spiritual) untuk berfungsi
dengan baik. Maka, untuk mengembalikan kefungsiaan manusia agar dapat menjalani kehidupan
harian dengan baik serta mampu mengurus stress, penulis melihat peri pentingnya pengecasan
semula ketiga-tiga komponen tersebut.

1.0 IFTITAH

Seringkali stress diungkapkan dalam sudut yang berbaur negatif berbanding dalam ruang lingkup
yang positif. Stress dianggap sesuatu yang membebankan, menyusahkan malah menyesakkan
emosi dan minda! Perlu difahami bahawa stress juga memberikan implikasi yang positif kepada
individu. Ianya merupakan satu mekanisme yang boleh menggerakkan motivasi diri untuk mencapai
sesuatu maksud dan tujuan. Stress perlu wujud dalam kehidupan manusia. Bayangkan jika tidak
wujud stress, manusia mungkin akan berada ditakuk yang sama! Namun begitu, penulisan ini akan
lebih banyak membicarakan mengenai distress ataupun stress yang memberikan implikasi yang
negatif dan bagaimana menanganinya menurut perspektif Islam.

Stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan tindak balas daripada
ketidakupayaan beliau menangani masalah yang sedang dihadapi. Ketidakseimbangan antara faktor
fizikal, mental dan emosi akibat tekanan yang dihadapi menyebabkan seseorang individu tidak dapat
berkelakuan normal (abnormality behaviour) seperti kemurungan, lemah longlai, lesu, tidak
bermotivasi malah boleh menyebabkan kematian sekiranya tekanan atau stress yang dialami ditahap
yang kritikal. Sekiranya tekanan atau stress ini tidak ditangani, ianya akan memudaratkan individu
tersebut baik dari aspek fizikal, mental, emosi mahupun keterlibatan sosial mereka.

2.0 PANDANGAN ISLAM MENGENAI STRESS

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 1


“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapat
pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa (daripada kejahatan yang
dikerjakan)”

(Surah Al-Baqarah : 284)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala tekanan dan dugaan dalam kehidupan seperti
kesempitan hidup dan kecacatan anggota badan misalnya merupakan kurniaan Allah kepada
manusia berdasarkan kemampuan manusia itu sendiri. Stress juga dikategorikan sebagai dugaan
dan ujian hidup. Boleh jadi disebabkan kesempitan hidup mengundang stress dan tekanan yang
negatif. Apatah lagi dengan mereka yang mengalami kecacatan anggota badan akibat kemalangan
yang tidak dijangka. Namun hanya diri kita sendiri yang dapat menjadikan sama ada tekanan
tersebut mendatangkan kesan yang baik atau sebaliknya. Benarlah apa yang dinyatakan di akhir
surah ini ….”ia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan mendapat seksa
(daripada kejahatan yang dikerjakannya)”

3.0 PUNCA-PUNCA TEKANAN ATAU ‘STRESSOR’

Punca tekanan atau stressor adalah faktor yang menyebabkan tekanan wujud dalam diri seseorang.
Punca kepada tekanan itu boleh berlaku disebabkan oleh peristiwa dalam kehidupan, pemikiran, dan
keinginan diri yang belum tercapai. Punca-punca kepada terjadinya tekanan boleh dikategorikan
kepada faktor biologi, psikologi, sosial, dan spiritual.

Tekanan yang timbul oleh faktor fizikal berlaku tanpa sebab-sebab yang nyata. Tanda ini tidak
dirasai oleh individu yang mengalami atau dilihat oleh orang lain. Tekanan ini timbul berpunca
daripada segi fisiolgi seseorang individu.

Apabila kepenatan dan keletihan seseorang individu tidak boleh mengawal emosinya. Kepenatan
dan keletihan yang dialami menyebabkan daya tahan jiwa berkurangan. Ini akan mengakibatkan
seseorang itu mengalami ketidakseimbangan emosi. Kadang kala berlaku perubahan-perubahan
dalam tubuh badan individu itu dari semasa ke semasa.

Tekanan punca psikologi pula timbul apabila perasaan tidak berpuas hati terhadap
jangkaan-jangkaan yang telah dibuat berlawanan dengan realiti sebenar. Contohnya seorang pelajar
merasakan dia boleh lulus dalam dengan cemerlang dalam satu peperiksaan tetapi sebaliknya telah
berlaku. Pelajar itu tidak dapat menerima hakikat apa yang telah berlaku dalam hidupnya. Mereka
akan merasa dunia ini tidak berguna, gelap gelita dan pelbagai perasaan yang lain. Ini akan
menyebabkan mereka merasa tertekan.

Tekanan yang berpunca dari sosial pula adalah berkaitan dengan kehilangan orang yang disayangi
atau peristiwa-peristiwa tragik. Contohnya kematian, perceraian, perpisahan, kehilangan pekerjaan,
dan kekecewaan. Mereka yang mengalami situasi ini akan merasai kesedihan yang amat sangat dan
mendapat tekanan. Mereka berada dalam kesedihan yang tidak berkesudahan dan tidak bermaya

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 2


untuk meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.

Tekanan yang berpunca dari spiritual adalah apabila seseorang individu melakukan perbuatan yang
keluar daripada landasan agama atau norma masyarakat. Contohnya, apabila seorang remaja
perempuan melakukan seks secara sukarela. Pada suatu masa, dia merasai pelbagai perasaan
seperti mengutuk diri sendiri, takut kepada dosa, takut untuk berkahwin, dan malu kepada
masyarakat. Perasaan itu selalu bermain di fikiran dan mengganggu emosinya. Dia akan mengalami
gangguan sepanjang masa.

4.0 BAGAIMANA MENGURUS STRESS ?

Persoalannya bagaimanakah cara atau kaedah yang sesuai untuk menangani tekanan atau stress ?
Penulis berpendapat, stress boleh diurus dengan baik berdasarkan impak yang diterima oleh individu
tersebut. Untuk lebih jelas lagi, penulis cuba memaparkan idea dan kaedah pengurusan stress
melalui perspektif Islam berdasarkan tiga tujahan utama iaitu pengurusan stress melalui aspek
fizikal, mental, dan kerohaniaan (spiritual). Kombinasi ketiga-tiga aspek ini sangat berkaitan dengan
cara individu mengurus kehidupan harian mereka.

Secara umumnya, pengurusan stress yang ingin penulis jelaskan di sini boleh diaplikasikan
berdasarkan ilustrasi berikut:

MODEL PENGURUSAN STRESS

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 3


Penulis cuba melihat pengurusan stress ini berdasarkan kepada penjelasan Al-Quran tentang
siapakah diri manusia yang sebenar. Al-Quran jelas menerangkan bahawa manusia itu terdiri
daripada kombinasi elemen-elemen berikut;

1. Komponen Roh

2. Komponen Qulb

3. Komponen Nafs

4. Komponen Akal

5. Komponen Jasad

Penulis berpendapat seseorang manusia yang tidak mampu menjalankan kefungsiaannya sebagai
seorang manusia dalam menjalani kehidupan harian akibat daripada tekanan atau stress adalah
disebabkan ketidaksempurnaan kelima-lima komponen ini berfungsi dengan baik. Maka, untuk
mengembalikan kefungsiaan manusia agar dapat menjalani kehidupan harian dengan baik serta
mampu mengurus stress dan tekanan, penulis melihat peri pentingnya pengecasan semula
kelima-lima komponen tersebut.

Namun begitu, penulis ingin mengambil pandangan Imam Al-Ghazali sebagai initipati kertas
kerja ini. Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa manusia itu terdiri daripada 3 komponen utama iaitu
jasad, akal dan roh.

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 4


1. KOMPONEN ROH

Setiap manusia punyai roh. Namun jasad dan sifat roh tidak mungkin dapat difahami oleh
manusia itu sendiri. Roh yang ada pada manusia adalah milik Tuhan yang Esa. Roh menjana segala
tingkah laku seorang manusia. Roh yang baik akan dijelmakan melalui tingkah laku yang baik. Begitu
juga sebaliknya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“ Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh)nya roh (ciptaan)-Nya”

(Asy Syams ayat 9 dan 10)

Pada pendapat penulis, roh adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Namun roh
sesuatu suatu benda yang hidup. Dalam erti kata yang lebih mudah untuk difahami, ia mencakupi
soal kerohaniaan atau spiritual. Setiap manusia punyai fitrah untuk rasa bertuhan. Seorang mukmin
percaya akan Allah yang Esa. Menyakini bahawa setiap yang berlaku ke atas dirinya adalah
kehendak Allah Taala. Sebagai contoh, setiap musibah yang berlaku sebenarnya punyai hikmah
yang perlu dicari. Walaupun kita merasa tertekan dan stress dengan ujian dan dugaan yang datang
menimpa-nimpa, seharusnya rasa lemah, tertekan dan tidak berkeupayaan haruslah disandarkan
kepada Allah Taala sepenuhnya.

Stress atau tekanan yang dihadapi boleh diurus dengan menyucikan roh atau dalam erti kata
yang lain menguatkan aspek kerohaniaan dan spiritual, bukan hanya dengan melakukan ibadah
yang bersifat ritual semata-mata seperti memelihara solat lima waktu, membayar zakat mahupun
membaca dan menelaah Al-Quran. Imam Al-Ghazali berpendapat di antara kaedah-kaedah yang
boleh dipraktikkan adalah seperti berikut;

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 5


Menanam dan menyuburkan jiwa ini dengan sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) seperti amanah,
ikhlas serta jujur.
Mengikis sifat-sifat yang negatif (mazmumah) seperti riak, ujub, sombong dan takbur.
Menunaikan hak sesama insan baik hak suami, hak isteri, hak anak-anak hak pemimpin dan hak
masyarakat dan tidak menzalimi orang lain demi untuk kepentingan sendiri.
Tidak memakan makanan yang haram dan syubhah baik diragui dari segi sumber atau bagaimana
cara ianya dihidangkan.

2. KOMPONEN JASAD

Al-wiqayatu khairun min al-‘ilaj yang kira-kira bermaksud “Mencegah lebih baik daripada merawat”.
Islam sangat menganjurkan agar setiap penyakit yang dihadapi haruslah dicegah daripada diubati
kerana mengubati hanya mengurangi kesakitan dalam jangka masa pendek dan kesakitan itu akan
kembali dirasai setelah kehabisan

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepadamu, dan
bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadaNYA”

(Al-Maidah ayat 88)

Di dalam ayat ini, Allah Taala memerintahkan kepada hambaNYA agar memakan makanan yang
halal dan baik. Makanan yang halal ialah makanan yang sumbernya merupakan sumber yang halal.
Sebagai contoh, wang yang kita gunakan untuk membeli makanan merupakan wang yang halal yang
dibayar kepada kita setimpal dengan pekerjaan lakukan. Kalau para pembaca masih ingat lagi
dengan kisah Imam Syafiee semasa beliau dalam usaha menghafaz Al-Quran. Beliau dikatakan
tidak dapat menghafal ayat Al-Quran pada suatu hari sedangkan hari-hari yang sebelumnya beliau
sangat lancar menghafaz AL-Qura’n. Beliau sangat hairan dan akhirnya beliau cuba untuk mencari
asbab mengapakah perkara ini berlaku. Akhirnya di dapati susu lembu yang diminum oleh beliau
tidak halal kerana lembu tersebut telah meragut rumput dikawasan orang lain dan bukan dikawasan
rumput kepunyaan penjaganya.

Makanan yang halal sahaja tidak mencukupi malah makanan itu haruslah baik atau erti kata
berkhasiat dan tidak memudaratkan kita. Makanan yang baik adalah makanan yang mempunyai
kombinasi zat-zat makanan yang diperlukan oleh tubuh badan. Sebagai contoh, badan kita
memerlukan zat karbohidrat untuk digunakan sebagai tenaga segera demi untuk melaksanakan
aktiviti harian. Sekiranya badan kekurangan zat karbohidrat, badan akan menggunakan sumber

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 6


protein dalam badan untuk ditukarkan kepada tenaga segera. Penggunaan protein yang tinggi
sebagai menggantikan karbohidrat akan menyebabkan kepekatan asid amino yang tinggi dalam
badan. Ianya boleh memberikan implikasi kepada otot kita di mana kita sering mengalami
kekejangan otot.

Makanan yang kita makan akan menjadi darah daging kita. Penulis percaya bahawa segala
perbuatan dan pemikiran kita juga dipengaruhi oleh makanan yang kita makan. Boleh jadi kita
mudah kalah bila mendapat tekanan atau stress disebabkan kita mengabaikan soal dari sumber
manakah makanan yang kita makanan dan adakah ianya baik untuk kesihatan kita

Senaman yang konsisten dan bukan bersifat terpaksa atau memaksa antara alternatif yang terbaik
mengurangi tekanan yang dialami. Senaman boleh meningkatkan daya tahan terhadap tekanan
dengan meringankan bebanan ke atas diri. Ianya mampu mengalihkan elemen psikologi seperti
tenaga marah, agresif dan perasaan risau lalu diterjemahkan melalui pergerakan fizikal yang lasak.
Namun ramai yang terlepas pandang sebelum memulakan senaman harus dimulai dengan
memanaskan badan atau warming up agar otot-otot badan tidak akan mengalami kekejangan
selepas senaman.

3. KOMPONEN AKAL

Fenomena kemiskinan ilmu dan kemahiran merupakan faktor terpenting kegagalan individu
mempelbagaikan alternatif ke arah penyelesaian masalah. Bukankah ini akan mendatangkan
tekanan ?

Setiap manusia dikurniakan oleh Allah akal untuk membolehkan mereka berfikir, malah faktor
inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Berfikir menggunakan akal adalah satu
perbuatan dan ianya memerlukan sesuatu benda untuk difikirkan. Kalau tubuh badan manusia
memerlukan makanan berkhasiat, akal juga memerlukan bahan-bahan yang berkhasiat dan
bermanfaat untuk difikirkan. Ianya disebut sebagai bahan intelek (intellectual substances). Ianya
diperolehi daripada bahan bacaan yang juga bersifat intelek dan menjana kreativiti.

“ Katakan ia (Al-Quran) ialah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman ”

(Al-Fusshilat 41:44)

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita Al-Quran merupakan sumber intellectual
substances yang terbaik untuk dirujuk oleh manusia demi untuk mematangkan akal dan fikiran,

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 7


waras dalam pertimbangan dan tepat membuat sebarang keputusan. Tekanan dan stress yang
dialami boleh diurus apabila individu tersebut mempunyai pengetahuan dan maklumat yang luas.
Individu tersebut tidak akan membuat sebarang tindakan yang boleh menzalimi dirinya sendiri atau
orang-orang disekelilingnya.

Ketiga-tiga komponen ini saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain dalam
menghadapi distress. Penulis ingin memberikan satu contoh yang mudah untuk difahami oleh
pembaca.

KAJIAN KES

Asmawi Ani (bukan nama sebenar) telah diberhentikan kerja dengan notis 24 jam kerana syarikat
tempat dia bekerja telah diisytiharkan muflis. Asmawi telah berkeluarga dan mempunyai 2 orang
anak yang masing-masing berusia 7 tahun dan 3 tahun. Telah hampir 3 bulan berlalu namun Asmawi
masih tidak mendapat sebarang pekerjaan. Duit simpanan semakin susut dan keperluan dapur dan
susu anak telah habis dan Asmawi tidak mempunyai wang yang cukup. Asmawi semakin buntu dan
tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Persoalannya, adakah model pengurusan stress melalui perspektif Islam dapat membantu
Asmawi menjadi distress kepada uestress. Penulis menyakini, tekanan dan stress tidak dapat
dihilangkan dalam sekelip mata namun kebijaksanaa individu mengurus distress supaya menjadi
uestress dan mendatangkan faedah kepada mereka.

Asmawi seharusnya menganggap kehilangan kerja yang dialami oleh beliau merupakan satu
kejadian yang tidak dijangka. Seorang mukmin harus percaya bahawa ianya merupakan satu ujian
dan dugaan daripada Allah Taala demi untuk menguji sama ada hambaNYA itu beriman atau tidak.

“ Tiada musibah (bencana) yang menimpa seseorang muslim melainkan Allah menkafarahkan dosa
(menghapuskan) sebahagian daripada dosanya kerana bencana itu, walaupun ia merupakan
tusukan yang diterimanya daripada tikaman duri “ (Al-Bukhari)

Ujian dan dugaan yang diberikan merupakan tanda kasih sayang Allah kepada hambaNYA dan
setiap kesusahan tersebut pasti disusuli kemudahannya.

“ Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”

(Surah Al-Insyirah ayat 5)

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 8


Selain itu, kita harus sentiasa mengingati bahawa di sebalik kesukaran yang kita hadapi itu ada
kesenangan dan kemudahan yang kita akan perolehi. Dalam Islam, apabila menerima tekanan, kita
dilarang mengeluh. Ini adalah kerana, ia membayangkan betapa kita tidak tahan dengan ujian yang
Allah berikan kepada kita. Jika orang yang sakit mengeluh sambil mengingati Allah, maka itu dikira
tasbih. Islam juga melarang umatnya berputus asa.

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya, Allah mengampuni
dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Az-Zumar : 53)

Ayat ini menerangkan kepada kita agar tidak sesekali berputus asa apabila menerima ujuan atau
tekanan. Kita perlu mencari alternatif yang terbaik dan melakukan sesuatu yang dihalalkan untuk
dijadikan penyelesaian. Tingkah laku bilazim seperti minum arak, membunuh diri, menghisap dadah
tidak akan berlaku sekiranya kita menghayati konsep-konsep dalam Islam dalam menghadapi
tekanan.

Maka, Asmawi harus menggunakan kekuatan Jasad (fizikal) dan Akal (mental) di samping kekuatan
spiritual yang tinggi perlu diyakini. Melaksanakan dan menunaikan hak Allah dengan mengerjakan
segala peraturan dan meninggalkan larangannya dan terus berusaha membaiki kehidupan dunia
tanpa mengkesampingkan soal kehidupan ukhrawi.

Dengan mengekalkan kesihatan fizikal, Asmawi seharusnya lebih berupaya untuk mencari
pekerjaan lain. Faktor kesihatan fizikal penting kerana sekiranya beliau mengalami implikasi negatif
terhadap kesihatan fizikal akibat tekanan dan stress yang dialami, barangkali beliau tidak mampu
mencari pekerjaan yang sesuai. Tambahan pula, tekanan dan stress ini dapat diurus sekiranya
beliau mempunyai strategi, pengetahuan dan maklumat terkini mengenai kekosongan kerja yang
terdapat di mana-mana syarikat yang menawarkannya. Harus diingat bahawa akal boleh bertindak
lebih rasional jika kunci membaca sebagai tambatan untuk mengaut pelbagai ilmu dan maklumat
digunakan secara optimum. Bukankah Asmawi akan mampu menguruskan distress dan
menukarkankannya kepada eustress?

5.0 KHULASAH

Islam telah menganjurkan kepada umatnya cara yang terbaik untuk menguruskan tekanan
dan stress. Islam sangat menekankan pengurusan rutin kehidupan yang baik dan inilah kunci utama
dalam menangani distress. Komponen jasad, roh dan akal yang ada dalam diri manusia harus diurus

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 9


dengan bijaksana agar manusia dapat melaksanakan kehidupan dengan lebih sempurna. Biar hati
sentiasa bertuhan, jasad sentiasa tegar dan akal sentiasa berfikir dan merenung ciptaan Illahi !

“ Dan jika aku sakit, DIA lah yang menyembuhkannya “

(Surah As Syura ayat 80)

“Aku sekali-kali tidak akan menganiayai hamba-hambaku…”

(Surah Qaaf : 29)

http://www.pkpim.net 2009/2/23 21:03:21 - 10

You might also like