You are on page 1of 4

Pengenalan Pendekatan penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran

dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Menurut Arif Sukardi (1987) teori pembelajaran memainkan peranan yang penting kepada guru kerana menerusi teori-teori ini guru akan memahami proses pembelajaran yang berlaku di dalam diri pelajar, memahami faktor yang mempengaruhi dan mempercepatkan proses pembelajaran para pelajar. Selain itu guru akan dapat membuat ramalan yang tepat tentang hasil yang diharapkan dari proses pengajaran dan pembelajaran. Sehubungan dengan itu salah satu teori yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah teori konstruktivisme. Teori ini pada umumnya adalah merupakan pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Definisi Teori Konstruktivisme McBrien & Brandt (1997) menyatakan konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya menerima pengetahuan daripada orang lain. Briner,M., (1999) pula menyebut pelajar membina sendiri pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud. Menurut Brooks & Brooks (1993), teori konstruktivisme menyatakan bahawa murid membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka, maka mereka akan sama ada menginterpretasi apa yang mereka lihat supaya secocok dengan peraturan yang mereka telah bentuk atau mereka akan menyesuaikan peraturan mereka agar dapat menerangkan maklumat baru ini dengan lebih baik. Sushkin,N (1999), pula menyatakan bahawa dalam teori konstruktivisme penekanan diberikan lebih kepada pelajar berbanding kepada guru. Ini adalah kerana pelajarlah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, pelajar membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Autonomi dan inisiatif pelajar hendaklah diterima dan digalakkan.Nik Aziz Nik Pa (1999), menyebut konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang di terima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih. Berdasarkan pandangan-pandangan di atas maka pengertian pembelajaran secara konstruktivisme bolehlah dirumuskan sebagai satu fahaman bahawa pelajar membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Implikasi dari teori ini adalah pengajaran dan pembelajaran akan berpusatkan pelajar.

Pengetahuan yang dipunyai oleh pelajar adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif. Guru pula berperanan sebagai fasilitator yang membantu pelajar membina pengetahuan dan menyelesaikan masalah. Guru juga sebagai pereka bentuk bahan pengajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru. Guru akan mengenal pasti pengetahuan sedia ada pelajar dan merancang kaedah pengajarannya dengan sifat asas pengetahuan tersebut. Seterusnya ciri-ciri pembelajaran secara konstruktivisme adalah mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh pelajar, menggalakkan pelajar bertanya dan berdialog dengan pelajar lain dan gurunya, menggalakkan proses inkuiri pelajar melalui kajian dan eksperimen, memberi peluang kepada pelajar untuk membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui penglibatan pelajar dengan situasi dunia yang sebenar,mengambil kira dapatan kajian tentang bagaimana pelajar belajar sesuatu idea, menyokong pembelajaran secara koperatif, menganggap pembelajaran sebagai satu proses yang sama penting dengan hasil pembelajaran, menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi pelajar dan akhirnya menggalakkan soalan atau idea yang dimulakan oleh pelajar yang digunakan sebagai panduan merancang pengajaran. Bagaimana Penggunaan Teori Konstruktivisme dalam pengajaran guru memberikan kesan ke atas pembelajaran pelajar. Untuk melihat bagaimana penggunaan teori ini digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar , model Konstruktivisme 5 Fasa Needham digunakan. Needham (1987) menyatakan dalam model ini pelajar digalakkan bertukar-tukar fikiran melalui fasa pencetusan idea. Fasa ini juga dapat merangsang pelajar meninjau semula idea asal mereka. Dalam fasa penstrukturan semua idea, guru digalakkan merancang aktiviti yang sesuai untuk membantu pelajar mengubah idea asal mereka. Pelajar diberi peluang untk mencabar idea asal sendiri dan juga idea rakan-rakan mereka. Adalah dipercayai idea baru yang dibina oleh pelajar sendiri biasanya lebih mudah diterima oleh mereka jika sekiranya idea ini mudah difahami dan berguna. Dalam fasa penggunaan idea, pelajar boleh menggunakan idea baru mereka untuk menyelesaikan masalah dan menerangkan fenomena yang berkaitan dengan idea-idea itu. Fasa renungan kembali merupakan fasa terakhir. Dalam fasa ini pelajar membandingkan idea asal mereka dengan idea baru dan merenung kembali proses pembelajaran yang telah mengakibatkan perubahan ke atas idea mereka. Fasa ini juga dapat memperkembangkan kemahiran meta kognitif. 5 fasa yang dinyatakan diatas adalah : (i) Fasa orientasi: (Engage) Fasa ini bertujuan untuk menarik perhatian dan minat pelajar serta memotivasikan pelajar agar mereka terus berminat dalam pengajaran yang berlangsung. Antara contoh aktiviti yang boleh dijalankan dalam fasa ini adalah dengan membuat tunjukcara atau demontrasi oleh guru, membuat tayangan filem, membuat tayangan video, memberikan alam keratan akhbar kepada pelajar dan juga mengemukakan soalan-soalan yang boleh menjanakan perasaan ingin tahu kepada pelajar-pelajarnya. Kesan terhadap pembelajaran pelajar dalam fasa ini adalah pelajar lebih berfikir dan lebih seronok dengan aktiviti yang telah dijalankan dalam bilik darjah. (ii) Fasa Pencetusan idea: (Explore) Dalam fasa ini, guru-guru mengenalpasti kerangka alternatif pelajar. Idea-idea pelajar

yang terdahulu akan dikenalpasti melalui soalan-soalan yang diajukan untuk mendorong mereka berfikir mengapa idea mereka tidak selari dengan idea saintifik. Soal jawab yang mendorong pemikiran boleh dijalankan oleh guru. Guru boleh menggunakan kaedah inkuiri untuk menyelongkar dan menyiasat melalui kaedah eksperimen. Contoh aktiviti yang boleh dijalankan adalah membuat amali, perbincangan dalam kumpulan kecil, pemetaan konsep dan laporan. Kesan kepada pelajar dalam fasa ini adalah pelajar lebih berfikir, seronok dan lebih berkemahiran sosial. Pelajar lebih berfikir kerana dalam membina pengetahuan baru pelajar akan berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinanan. Ini boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan. Pelajar lebih seronok kerana mereka sendiri yang membina pengetahuan, konsep dan idea secara aktif. Ini akan menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Pelajar juga adalah lebih berkemahiran sosial kerana boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan mereka dan guru dalam membina pengetahuan. (iii) Fasa Penstrukturan Semula idea : (Explain) Dalam fasa ini, pelajar berpeluang untuk mengubahsuai kerangka alternatif kepada idea saintifik. Idea-idea baru akan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang sesuai dengan kecerdasan pelajar. Penerangan beserta dengan aktiviti yang sesuai dengan kecerdasan masing-masing akan digunakan untuk membantu membentuk konsep yang baru ini. Pelajar akan dapat membuat definisi, menerangkan konsep, menyoal tentang penerangan lanjutan dan meminta justifikasi serta penjelasan. Contoh aktiviti adalah perbincangan dalam kumpulan kecil dan membuat laporan. Kesan keatas pembelajaran pelajar dalam fasa ini adalah pelajar lebih yakin dan berani mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Pelajar mempunyai banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutama melalui perbincangan dalam kumpulan. (iv) Fasa Aplikasi idea: (Elaborate) Fasa ini bertujuan untuk mengenalpasti idea yang baru diubahsuai atau dibina dalam fasa penstrukturan semula idea dapat diaplikasi dalam situasi yang baru. Konsep yang telah dibina di kaitkan dan dikembangkan di dalam bidang yang lain atau di dalam dunia sebenarnya. Contoh aktiviti adalah penulisan sendiri kerja projek oleh pelajar. Kesan keatas pembelajaran pelajar adalah pelajar lebih faham dan ingat. Kefahaman pelajar tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang pelajar yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan situasi baru. Setelah memahami sesuatu konsep, pelajar akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. (v) Fasa Refleksi (Evaluate) Fasa ini bertujuan untuk menilai kefahaman murid dan menilai sama idea terdahulu telah berubah. Contoh aktiviti adalah membuat penyoalan kepada pelajar secara

reflektif seperti menyoal mereka apakah yang mereka fikirkan, apakah bukti yang anda ada atau apakah yang anda tahu tentang sesuatu pekara itu. Kesan daripada fasa ini keatas pembelajaran pelajar adalah pelajar dapat menilai adakah mereka faham dan dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mereka. Ahli-ahli konstruktif mencadangkan bahawa pelajar-pelajar membina pengalaman baru berdasarkan pengetahuan sedia ada. Pengetahuan sedia ada akan digunakan oleh pelajar untuk memberikan penjelasan berdasarkan pemerhatian mereka, makna akan dibina sendiri oleh individu dengan menambah atau mengubahsuai idea yang sedia ada (Driver,1983; Osborne& Freyberg, 1985; Scott,1987). Oleh itu guru perlu mengambilkira idea pelajar yang terdahulu dalam proses pengajaran. Guru perlu membina pengalaman yang dapat mencabar idea yang dimiliki pelajar untuk membantu mereka menstrukturkan semula idea yang baru. Konstruktivis juga percaya bahawa pelajar membina realiti mereka sendiri atau mentafsir realiti berasaskan persepsi pengalaman mereka. Setiap pelajar akan membentuk perwakilan pengetahuan frame of reference mereka sendiri melalui pengalaman yang dialami (Johnson & Gott, 1996). Contoh Pengajaran dan Pembelajaran Mengikut Model Konstruktivisme 5 Fasa Needham. Untuk menjelaskan lagi bagaimanakah penggunaan teori konstruktivisme ini dalam pengajaran guru dapat memberikan kesan keatas pembelajaran pelajar diberikan satu contoh P&P bilik darjah bagi matapelajaran Fizik tingkatan empat.

You might also like