You are on page 1of 2

Buli semakin berleluasa di sekolah kita.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat


semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras
ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap
pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin
berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan
membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar
dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap
masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti
sebagai penyumbang kapada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup
melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian
orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Mereka semakin ketandusan nilai
kemanusiaan.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga
menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap
materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang
ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli,
pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang
kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik
yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini.Antaranya ialah pihak kerajaan
seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran
di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan
Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu
kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada
perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti-buli juga boleh diadakan secara berterusan
di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala
buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam
menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap
pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi
diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk
membuli mangsanya.

Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah
di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang
cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar
juga boleh menyebarkan info yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu
akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar
biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat
membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini
sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.
Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk
membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli
harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat
diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus
berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes
itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin
bertambah dan berleluasa lagi.

Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga
ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan
keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak
mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung
kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak
akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa
adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja,
sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek,
anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa
juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan
memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan
diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari
rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi
mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu
bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara
kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-
matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini
pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu,
semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini
walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha
yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat
martabat bangsa di persada dunia.

http://mazlan66.wordpress.com/2008/02/03/buli/

You might also like