You are on page 1of 20

Bagaimana kepelbagaian budaya mempengaruhi gaya penyampaian, kepimpinan dan komunikasi guru dalam bilik darjah?

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mempunyai rakyat pelbagai bangsa dan budaya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan masyarakat terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India. Selain daripada tiga kumpulan besar ini, terdapat juga kaum-kaum lain di Malaysia antaranya kaum Bumiputera dan golongan Peranakan (Che Su Mustaffa dan Rasilah Mohd Rosdi, 2005 :1).

Suatu hal yang nyata ialah apabila membincangkan kebudayaan setiap kaum dalam masyarakat, pembicaraan akan memberi fokus dan perhatian terhadap pentafsiran ciriciri budaya setiap kaum (Sutan Takdir Alisyahbana 1966) yang menyangkut perihal cara hidup, pergaulan dan hubungan sosial sehingga mewujudkan pertembungan dan percampuran unsur kebudayaan. Maharom Mahmood (2001) mengakui dalam usaha membentuk nilainilai patriotik dalam kalangan belia semua kaum, pemahaman tentang latar belakang dan sejarah budaya setiap etnik memainkan peranan penting, kerana pengalaman budaya membentuk pola kehidupan dan pola pemikiran.

Kamus Dewan (2005), budaya ditakrifkan sebagai kemajuan fikiran, akal budi (cara fikiran), berkelakuan dan sebagainya. Budaya juga dikelasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan sesuatu kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai .

Menurut Dr. Mohd. Arshad Hj. Taib (bekas professor Madya UiTM)

budaya ialah

amalan yang berupa gaya hidup dan peradaban bagi sesuatu masyarakat, lahir dari pegangan dan kecenderongan diri masyakarat berkenaan dalam berbagai bidang hidup, untuk memberi kepuasan dan meransang pembangunan hidup masyarakat tersebut.

Sementara itu menurut Andreas Eppink pula, kebudayaan ialah keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur struktur kemasyarakatan, keagamaan selain penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri ciri khas sesebuah masyarakat. Pengertian sebegini dipersetujui oleh Edward B. Taylor. Beliau memandang budaya sebagai satu konsep menyeluruh yang rumit yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang undang, adat resam dan lain lain kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat.

Budaya diberi pelbagai takrif mengikut kesesuaian dengan latar sosio masyarakat di sesuatu kawasan. Budaya merangkumi setiap aspek kehidupan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama penganutnya.

Perkataan budaya berasal dari cantuman perkataan Sanskrit dan Melayu yang membawa pengertian : Budhi (Sanskrit) : kecergasan fikiran dan akal

kecergasan akal fikiran seseorang akan menetukan tahap pemikiran dalam menangani sesuatu permasalahan dan mencari penyelesaian kepada permasalahan tersebut

Daya (Melayu) : kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh Mengunakan segala kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh semula jadi bagi membantu menjana pemikiran mereka

Dua peranan utama bagi pembentukan sesuatu budaya ialah : i) membina imej negara kearah mewujudkan keperibadian serta identiti ii) memupuk kesedaran kebangsaan dan kenegaraan bercirikan kerohanian, kemanusiaan, spiritual dan mental

Kepelbagaian Budaya dalam Konteks Pendidikan

Dalam konteks pendidikan di Malaysia, aspek kebudayaan dan masyarakat perlu dititik beratkan kerana pelajar secara realitinya hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Tanpa pendidikan yang bercorak kepelbagaian budaya, pelajar tidak akan mengenali jati diri masyarakat. Hal ini demikian kerana budaya merupakan sebahagian daripada warisan yang diperturunkan dan dipelajari daripada nenek moyang dan akan diperturun pula kepada generasi akan datang (Che Su Mustaffa dan Rasilah Mohd Rosdi, 2005:1).

Dalam konteks pendidikan, kepelbagaian sosio budaya individu itu bukan sahaja dilihat dari ras, etnik dan adat budaya mereka sahaja. Malah ia juga merangkumi skop yang lebih besar. Menurut Papalia (2001) individu manusia itu berbeza dari segi jantina, saiz badan, kesihatan, tahap tenaga, personaliti dan emosi. Manakala Slavin (1997) pula mengaitkan perbezaan individu dengan konteks pengajaran dan pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian pelajar terdapat dalam tahap prestasi, kadar belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas sosial, bahasa, jantina, bakat dan minat.

Kepelbagaian sosio-budaya di antara murid memberi implikasi secara langsung terhadap guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Implikasi kepada guru.

kita mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan minda dan jiwa rakyat untuk membawa kita kea rah wawasan yang ingin kita capai. Dato Sri Abdullah Ahmad Badawi PIPP 2006-2010 m.s 38.

Pada dasarnya adalah jelas bahawa institusi sekolah merupakan entiti utama dalam keseluruhan sistem sosial masyarakat. Institusi ini bukan sahaja menjadi sumber pendidikan kepada ahli masyarakat malah lebih penting lagi berfungsi sebagai penghubung kepada pelbagai budaya yang berkembang dalam masyarakat tersebut (Banks dan McGee,1997:23).

Dengan mengetengahkan prinsip pendidikan pelbagai budaya yang memperlihatkan perspektif positif terhadap aspek kepelbagaian budaya di sekolah, adalah diyakini prinsip tersebut berjaya menggalakkan pemahaman dan komunikasi antara silang budaya dan penerimaan perubahan oleh setiap kaum (Stephen May,1962:37).

Sementara itu, perlu ditegaskan bahawa kepelbagaian budaya penting untuk didedahkan kepada pelajar kerana mereka bukan sahaja perlu mengetahui tetapi juga menghargai asal-usul kebudayaan tempatan, jati diri dan identiti negara mereka (Ibrahim Saad, 1986:485).

Bagi mencapai objektif pembelajaran pelbagai budaya, sistem pendidikan perlulah memberi peluang kepada setiap individu untuk belajar menghargai dan berkongsi nilai-

nilai budaya kemasyarakatan termasuklah bahasa kebangsaan di samping mempelajari bahasa ibunda masing-masing.

Kepimpinan Guru

Guru merupakan agen perpaduan dan transformasi budaya kepada pelajar, oleh sebab itu bidang pendidikan dapat menjadi saluran penting bagi mendokong citacita perpaduan dan integrasi nasional (Chai Hon Chai 1977). Aliran falsafah realism mengakui inisiatif untuk menjayakan matlamat negara dan agenda perubahan adalah terletak ditangan para guru (Ahmad Rafaai 2000; 2009).

Guru perlu berkemahiran menangani masalah kepelbagaian sosio-budaya murid murid agar masalah guru syok sendiri dalam mengajar tida k berlaku.

Sewajibnya guru perlu berkemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi aspek perancangan dan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang dapat menjamin kemajuan pelajar secara optimum.

Sebagai seorang guru perkara perkara pokok seperti perancangan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, spesifik dan relevan dengan objektif pembelajaran, persekitaran bilik darjah, masa yang diperuntukkan dan profil pelajar mengikut tahap kecerdasan.

Memainkan peranan sebagai role model kepada murid-murid, adalah menjadi kewajiban kepada guru untuk menghormati dan memahami keadaan sosial murid-murid mereka. Perbezaan sosial murid-murid membentuk pelbagaian pendapat dan penguasaan ilmu di kalangan murid-murid. Ada juga terdapat murid-murid akan merasa rendah diri sesama rakan-rakan mereka disebabkan perbezaan social ini. Guru yang bijak dapat memanipulasikan perbezaan social di kalangan murid-muridnya untuk meningkatkan rasa hormat di kalangan mereka.

Guru hendaklah mengadakan suasana demokratik dalam kelas. Guru perlu berusaha untuk memberi pendedahan murid-murid terhadap kepelbagaian sosio budaya supaya murid-murid dapat mengetahui, memahami dan yang pentingnya menghormati budaya rakan-rakan mereka yang lain.

Sebagai pendidik, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menerapkan pendidikan nilai yang merangkumi nilai material dan bukan material mengikut acuan Malaysia. Ini membolehkan murid yang dihasilkan sekolah boleh diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Guru perlu mengelakkan diskriminasi daripada berlaku terutama apabila berada di dalam bilik darjah. Diskriminasi berlaku dalam banyak bentuk sama ada berbentuk individu atau kumpulan etnik dan mencapai tahap tertinggi apabila melibatkan pembuangan kerja, serangan fizikal secara terbuka atau percubaan penghapusan

sesebuah kumpulan etnik. Dalam pendidikan, ketaksamaan peluang pendidikan juga merupakan satu bentuk dsikriminasi yang perlu dielakkan.

Dalam pengurusan bilik darjah, setiap murid haruslah diberikan peranan dan tanggungjawab tertentu untuk menanam semangat kerjasama dan cintakan kelas mereka. Ahli Jawatan Kuasa keceriaan kelas perlu diwujudkan disamping jawatan ketua kelas dan penolong ketua kelas. Dengan ini setiap murid dapat merasakan diri mereka tidak dipinggirkan di dalam kelas mereka.

Penyampaian Guru

Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1988 menyatakan bahawa guru perlu mewujudkan interaksi yang baik antara guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu guru juga hendaklah mengambil daya usaha untuk menunjukkan kemesraan dengan murid-murid apatah lagi di dalam bilik darjah. Guru hendaklah bersedia melayani murid-murid mengikut kebolehan dan sifat mereka yang berlainan.

Guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka supaya murid-murid tidak merasa bosan dengan cepat. Kaedah pengajaran yang pelbagai juga dapat menjadikan guru lebih kreatif dan berinovasi. Ini secara tidak langsung menjadikan pengajaran guru lebih menarik dan murid-murid dapat memahami isi pengajaran yang disampaikan dengan lebih berkesan.

Guru juga harus bijak mencetuskan situasi pembelajaran yang mesra rakan. Aktiviti yang melibatkan interaksi di kalangan murid haruslah sentiasa dijalankan agar murid dapat menjalinkan hubungan yang lebih mesra sesama mereka tanpa mengira latar belakang sosial dan kecerdasan individu.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menggalakkan aktiviti yang melibatkan penglibatan semua murid di dalam kelas. Penglibatan semua murid ini akan dapat menjadikan mereka lebih merasa berkeyakinan untuk bergaul dan mengenali sesama mereka. Penglibatan semua murid ini juga dapat menjadi pengajaran guru lebih menarik dan berkesan.

Merujuk kepada Dasar Pernyataan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Malaysia, (2001), proses pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang dan dilaksanakan mengikut beberapa prinsip yang digariskan. Antaranya ialah: a) Pendekatan, kaedah dan teknk yang dipelbagaikan dengan melibatkan murid secara aktif;

b) Berpandukan bahan bahan sokongan yang relevan dengan tahap pencapaian semasa, potensi dan kemajuan murid;

c)

Penilaian

dan

penambahbaikan

P&P

secara

berterusan.

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, seseorang guru haruslah peka dengan kepelbagaian sosio-budaya murid muridnya. Pendekatan yang bijak harus digunakan dengan tidak membezakan kelas sosial murid. Murid hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira samada mereka dari kelas atasan atau bawahan. Perbezaan tahap kecerdasan murid juga harus dititik beratkan oleh seseorang guru dalam

menyampaikan pelajaran.

Guru harus mempelbagaikan kaedah pengajaran bersesuaian dengan tahap murid. Perkara ini perlu untuk mengelakkan murid murid merasa bosan dan seterusnya akan mengakibatkan masalah disiplin yang sukar dikawal.

Sebagai seorang yang menawarkan perkhidmatan, pelanggan iaitu murid haruslah sentiasa dihormati dan bersikap adil kepada mereka. Hukuman berbentuk deraan dan memalukan seharusnya tidak dilaksanakan kerana akan menyebabkan hubungan guru dengan murid akan renggang dan menghilangkan minat untuk mereka meneruskan pembelajaran.

Aktiviti pembelajaran yang dirancang oleh guru seharusnya boleh memberi peluang kepada semua murid tanpa mengira etnik dan jantina. Isu yang mempunyai unsur bias kepada mana mana jantina mesti dielakkan untuk member peluang sama rata pada setiap murid meneroka aktiviti pembelajaran. Bagi murid yang kecelaruan jantina, menjadi tanggungjawab guru untuk membentuk persepsi yang positif di kalangan murid supaya mereka tidak terus hidup dengan kecelaruan tersebut.

Isu sensitif berkaitan dengan agama dan kaum hendaklah dielakkan sama sekali. Setiap kepercayaan dan nilai haruslah diterima seadanya oleh setiap guru. Aktiviti pembelajaran yang dirancang hendaklah menjurus kepada penglibatan semua murid tanpa mengira kaum, adat budaya dan pegangan agama mereka.

Guru yang berwibawa sentiasa memikir kaedah bagi mencapai pengurusan yang cemerlang yang mana fokus utama ialah mengetahui dan memahami bidang kerjayanya, menghayati hasil kerja atau objektif kerja untuk jangka panjang dan jangka pendek, kerja yang dilakukan lebih spesifik, boleh diukur pencapaiannya, boleh dicapai, realistic dan bijak dalam pengurusan masa.

Guru merupakan ejen perubahan dan sumber inspirasi kepada murid. Anjakan paradigma haruslah dilakukan oleh setiap guru dan tidak berada di zon selesa. Guru haruslah pro-aktif dalam mengatasi kelebihan dan kelemahan muridnya. Penyampaian pengajaran guru haruslah kreatif dan efektif, menarik dan menyeronokkan.

Murid harus bersosial dalam melakukan aktiviti pembelajaran. Murid harus berinteraksi tanpa mengira kelas sosial dan perlu membuang sikap prajudis terhadap bangsa lain. Kepercayaan dan amalan agama yang dianuti tidak harus dipertikaikan dan aktiviti yang dijalankan haruslah berupaya menyemai semangat saling percaya dan mempercayai ke dalam jiwa murid.

Proses sosialisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah dikembangkan supaya proses pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Secara langsung semangat perpaduan dapat dijalinkan dalam masyarakat dan seterusnya berupaya membentuk masyarakat yang toleran kearah memacu pembangunan Negara.

Seharusnya guru perlu mengurangkan pendekatan yang hanya memberi penekanan kepada aspek membaca, menulis dan mengira serta peperiksaan kerana budaya pembelajaran sebenarnya lebih luas Murid perlu digalak untuk memburu maklumat daripada menerimanya secara pasif.. Murid perlu dilatih banyak merenung dan faham apa, bagaimana dan kenapa sesuatu perkara itu berlaku.

Komunikasi

Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan penting kearah pembentukan budaya penyayang. Komunikasi berkesan dapat dijelmakan dalam cara bertutur, pengunaan bahasa badan, penulisan dan juga pengunaan alat-alat tertentu seperti komputer, telefon dan sebagainya.

Kajian Verderber & Verderber (2002) mendapati komunikasi sebagai proses untuk membina atau berkongsi makna perbualan informal, interaksi dalam kumpulan atau syarahan. Komunikasi lisan memerlukan kedua-dua pihak memelihara aspek kesantunan dalam komunikasi.

Rumusan Wilbur Schramm ~ Komunikasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (1954)


Brown and Levinson (1978), menyatakan bahawa strategi kesantunan dikembang

untuk menjaga martabat pendengar dan pihak yang terlibat. Antara strategi kesantunan yang biasa digunakan adalah seperti berterus terang, kesantunan positif, kesantunan negatif dan berlaku tanpa rekod.

Guru perlu mengelak dari membebel, menilai dan menghukum. Semua pihak perlu bersifat terbuka dan saling menerima idea untuk kebaikan bersama. Kefahaman terhadap mesej yang dituturkan juga berbeza dimana proses fahaman boleh berlaku secara spontan. Guru harus berhati-hati dengan masej samada yang nyata tersirat atau tidak tersirat.

Guru yang mahir berkomunikasi dengan murid, biasanya dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak, kemahiran tertentu dapat diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan.

Guru perlu memahami murid dan murid akan memahami guru; bermaksud guru perlu mengunakan kecekapan kemahiran berkomunikasi untuk mempengaruhi muridnya mengekal tahap motivasi dalam pembelajaran. Interaksi dalam bilik darjah melibatkan individu dan individu dan interaksi antara individu dengan alam sekitar.

Dalam berkomunikasi, penggunaan bahasa standard iaitu Bahasa Melayu harus diamalkan oleh murid. Unsur unsur dialek mengikut kaum hendaklah dielakkan, penggunaan laras bahasa yang tepat mestilah diamalkan dalam situasi yang sesuai, aktiviti yang bercorak kearah peningkatan bahasa perlu disertai supaya tahap penguasaan bahasa murid sentiasa bertambah. Perbendaharaan kata yang tepat akan membantu murid mencapai kematangan sosial yang sepatutnya. Murid juga digalakkan berinteraksi dan berhubung dengan mereka yang berlainan jantina. Mereka juga perlu diberikan kesedaran batasan perhubungan dalam interaksi yang berlainan jantina.

Sesuatu laras bahasa bermaksud variasi yang ada pada tiap-tiap penutur dan berubahrubah mengikut situasi. Ciri-ciri laras yang penting adalah perbendaharaan kata, susunan ayat dan frasa yang digunakan. Dengan memilih laras bahasa yang tidak sama untuk situasi berlainan, murid akan dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi sosial yang berlainan wujud di sekitar mereka.

Guru yang mengunakan kemahiran berkomunikasi dapat: Menghasilkan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran Meningkatkan kecekapan dan meluaskan skop pembelajaran Meningkatkan mutu pengajaran

Rumusan

Malaysia mempunyai lebih dari 27 juta penduduk pada tahun 2008. Rakyat dinegara kita ini terdiri daripada lebih dari 200 etnik. Diantara kumpulan terbesar terdiri dari

Melayu, Cina , India, Kadazan-Dusun, Banjar, Iban dan lain-lain lagi. Kepelbagaian sosio-budaya Malaysia boleh ditinjau dari segi bangsa, struktur masyarakat atau kelas sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam dan jantina.

Menurut Kamus Dewan (1999), bangsa merupakan sekumpulan orang yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama. Kamus Pelajar (1993) pula memberi takrifan bangsa sebagai kumpulan manusia yang sama usulnya serta serupa sifatnya.

Bangsa merupakan suatu kelompok manusia yang dianggap memiliki identiti bersama, yang bersatu pada satu wilayah dan mempunyai keterikatan dengan wilayah tersebut. Contohnya, Melayu, Cina dan India di Malaysia yang hidup bersama sejak dahulu dan telah membentuk identiti Malaysia yang ada kini.

Bangsa juga merujuk kepada nilai sosial seperti bekerjasama, toleransi, hormatmenghormati, setiakawan, dedikasi, persahabatan, perkongsian, kesabaran dan kegigihan yang boleh dipupuk dalam kalangan murid untuk mencorakkan suasana bilik darjah yang sihat dan dinamik.

Aspek pendidikan telah dijadikan salah satu wadah utama kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi perkembangan dan kemajuan

Negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar.

Guru adalah sebagai agen sosialisasi. Ini membawa kepada pengertian bahawa guru memainkan perana yang penting dalam mengujudkan sebuah Negara yang aman dan damai. Dalam usha untuk mencapai matlamat ini guru perlu melaksanakan beberapa proses. Proses interaksi yang membolehkan manusia hidup dalam masyarakat secara harmoni. Proses mendisiplinkan individu supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat

Tugas, amanah dan tanggungjawab guru sememangnya besar kerana mereka yang membentuk aset negara iaitu murid sekolah untuk menjadi modal insan yang berguna pada masa hadapan.

Guru hendaklah sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa tanpa terlalu terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P)di bilik darjah. Murid adalah aset sekolah dan guru-guru berperanan membentuk mereka sebagai modal insan yang berjaya dalam akademik, sahsiah diri, keperibadian dan berketrampilan.

Membina bangsa ini memerlukan usaha gigih seorang guru melalui penerapan beberapa mesej mengenai pembinaan negara bangsa dalam proses pengajaran dan pembelajarannya iaitu:

a) Menyatupadukan kepelbagaian bangsa di Malaysia sebagai satu bangsa. b) Meningkatkan hubungan harmoni dan integrasi antara kaum agar dapat meningkatkan perpaduan dan kerjasama erat di antara mereka.

Oleh yang demikian para guru perlu kreatif dalam membina budaya dan persekitaran integrasi kaum dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tugas guru bukan hanya terbatas sebagai agen pendidik di dalam kelas tetapi juga sebagai agen perpaduan dan integrasi dalam memupuk semangat cintakan tanah air ini.

Sumber: http://coretanummicikgu.blogspot.com/2012/05/integrasi-dan-perpaduan-kaummelalui.html

myownweb1234.tripod.com/.../negarabangsa.html http://bmngaifen.blogspot.com/2011/11/guru-pembina-negara-bangsa.html http://leemersing.blogspot.com/2011/04/guru-sebagai-agen-pembentukan-akhlak.html http://csyahya.blogspot.com/2013/01/membentuk-budaya-pelajar.html http://www.adap.com.my/info.php?id=1078

You might also like