You are on page 1of 15

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |12

UNIT PELAJARAN 2 MODEL PENGURUSAN TINGKAHLAKU

HASIL PEMBELAJARAN Di akhir unit ini, anda diharap dapat: 1. Menerangkan model pengurusan tingkahlaku . 2. Menjelaskan jenis-jenis tingkahlaku.

PENGENALAN Bermula dari tahun 1920-an, kajian-kajian berkaitan tingkah laku menunjukkan faktor-faktor luaran atau persekitaran yang berlaku sebelum atau selepas sesuatu peristiwa akan merangsang sesorang individu mempamerkan sesuatu tingkah laku yang khusus. Menurut Bear, Wolf dan Risley (1968), kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa. Tingkah laku yang negatif seperti agresif, suka merosakkan harta benda boleh diubah kepada tingkah laku baru yang lebih positf jika individu itu diberi intervensi yang dirancang dengan teliti, iaitu sesuai dan sistematik. Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu. Manakala, menurut Kamus Dewan (1979), tingkah laku adalah berbagai ragam dan berbagai laku. Tingkah laku boleh didefinisikan sebagai semua tindakan fizikal dan mental yang dilakukan oleh manusia yg boleh diperhati, diukur dan dinilai. Tingkah laku juga bermaksud sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar, baik atau buruk, betul atau salah, berguna atau tidak dan produktif atau membazir. Secara umumnya, tingkah laku didefinisikan sebagai kanak-kanak bermasalah tingkah laku mempamerkan secara konsisten tingkah laku yang tidak bersesuaian dengan umur mereka, yang menuju ke arah konflik sosial, kesedihan, dan kegagalan. Wood (1982) mendefinisikan tingkah laku dalam empat elemen iaitu elemen yang mengganggu, elemen masalah tingkah laku, elemen persekitaran, dan elemen yang dianggap mengganggu.Carl Rogers (1999), pula menjelaskan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan. Sekiranya individu itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berinteraksi dan bertindak dengan lebih yakin. Menurut Lewis M.Beaker (2001), tingkah laku ditakrifkan sebagai sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, dan secara sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Manakala menurut Garry Martin & Joseph Pear(2003), tingkah laku juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi,

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |13 bertindakbalas, tindakan, dan reaksi. Dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kelenjar (glandular) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Pada dasarnya tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu khususnya kanak-kanak bermasalah tingkah laku. Definisi tingkah laku menurut Al-Ghazali dari perspektif Islam adalah tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan. Tingkah laku manusia mempunyai ciriciri. Setiap tingkah laku manusia adalah berasaskan dorongan serta tujuan. Dorongan atau motivasi itu berasal dari dalam diri manusia itu sendiri. Motivasi ini boleh di rangsang oleh rangsangan-ransangan luar atau dalaman yang berkaitan dengan keperluan-keperluan fisiologi atau emosi seperti perasaan lapar atau cinta dan takut kepada Allah. Motivasi akan mendorong seseorang individu melakukan sesuatu. Tingkah laku yang timbul adalah berkaitan dengan perasaan dan kesedaran terhadap satu-satu situasi itu. Interaksi sentiasa berlaku secara terus menerus antara satu motivasi dan tingkah laku. Salah laku bermaksud sebarang tingkah laku yang dianggap tidak sesuai kepada satu tempat atau keadaan di mana ia berlaku. Tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat termasuk sekolah (Mok Soon Sang, 2004). Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat. Tingkah laku bermasalah yang timbul adalah kerana kekurangan keupayaan individu dalam proses adaptasi atau akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Menurut Kauffman (1977), kanakkanak yang bermasalah emosi dan tingkah laku adalah mereka yang secara jelas memberi respon yang kurang memuaskan terhadap persekitaran dan tidak dapat diterima secara sosial. Walaupun begitu, kanak-kanak ini juga masih boleh atau dapat belajar bertingkah laku sesuai dan diterima oleh masyarakat. MODEL PENGURUSAN TINGKAH LAKU a.Model Persekitaran Model ini menyatakan bahawa punca gangguan tingkah laku ialah berlakunya perubahan persekitaran yang dilakukan oleh manusia. Dalam kata lain, bermaksud kesan persekitaran ke atas tingkah laku individu. Tingkah laku seseorang ditentukan melalui interaksi antara individu itu sendiri dengan sifat-sifat persekitaran menurut Apter dan Conoley (1984). Model ini menyokong pendapat penganalisaan serentak tentang penyesuaian individu terhadap persekitaran dan kesan kuasa persekitaran. Teori ekologikal atau persekitaran memberi penekanan terhadap penganalisaan ekosistem yang didefinisikan sebagai sistem interaksi yang mengandungi benda hidup dan bukan benda hidup yang ada di persekitaran kita seperti sekolah, keluarga, dan masyarakat. Menurut Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979, 1989), ianya menjelaskan perkembangan kanak-kanak sebagai hasil interaksi antara alam persekitaran dengan kanak-kanak tersebut. Menurut beliau, perkembangan kanak-kanak adalah kesan persekitaran terhadap kanak-kanak

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |14 dan juga ciri-ciri kanak-kanak tersebut ke atas persekitaran. Persekitaran perkembangan individu terdiri daripada lima sistem iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Mikrosistem merupakan lapisan persekitaran dalaman yang merujuk kepada aktiviti dan interaksi yang melibatkan hubungan secara langsung di mana kanak-kanak mempunyai interaksi secara langsung dan menghabiskan paling banyak masa dalam kehidupan mereka. Contohnya interaksi mereka dengan ibu bapa, adik-beradik, rakan, jiran, dan guru. Bagi kebanyakan kanak-kanak, mikrosistem mungkin terhad kepada hubungan mereka dengan keluarga sahaja. Persekitaran tersebut akan berkembang ke arah yang lebih kompleks seperti yang berlaku di pusat asuhan, Tadika, pergaulan rakan sebaya dan pemerhatian dalam aktiviti permainannya. Pada peringkat ini, kanak-kanak tidak hanya terpengaruh dengan individuindividu dalam kategori mikrosistem semata-mata tetapi turut terkesan dengan perwatakan biologi dan sosialnya sendiri seperti tabiat, perwatakan fizikal, pembawaan dan bakatnya. Mesosistem pula terletak di lapisan kedua yang merujuk kepada hubungan dalaman dalam kalangan mikrosistem seperti hubungan di rumah, sekolah dan rakan sebaya. Bronfenbrenner percaya bahawa lapisan ini mempunyai hubungan yang kuat dengan lapisan mikrosistem. Misalnya, keadan di rumah boleh mempengaruhi tingkah laku individu di sekolah. Contohnya, rumah-sekolah, rumah-jiran, dan sekolah jiran. Ia boleh meningkat dengan sokongan dan kestabilan mikrosistem. Eksosistem merupakan konteks di mana pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan murid secara langsung tetapi secara tidak langsung dapat mempengaruhi perkembangan mereka. Contohnya, sekolah-pasar raya. Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh tempat membeli-belah secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut. Makrosistem adalah konteks budaya atau kelas sosial yang terkandung didalam mikrosistem, mesosistem dan eksosistem. Perkembangan individu dipengaruhi oleh norma-norma, nilai dan amaln masyarakat. Ianya adalah ideologi yang benar-benar luas dan menentukan tentang bagaimana anak-anak perlu diuruskan, apa yang patut dianggap pada mereka dan apa matlamat yang perlu mereka usahakan. Dengan ini, di antara sesebuah budaya dengan budaya lain selalunya berbeza kerana setiap satunya mempunyai pendirian atau corak budaya tersendiri. Misalnya dalam sesebuah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrok, 2008). Manakala di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan di mana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan yang popular atau penting untuk sesebuah negara.

Kronosistem yang menekankan perubahan dalam keadaan suatu tempoh masa. Misalnya, kanak-kanak pada masa ini lebih berfokus kepada permainan komputer jika dibandingkan dengan kanak-kanak dahulu yang lebih gemar bermain di persekitaran. Selain itu, kronosistem juga bermaksud perubahan pada seseorang atau konteks perkembangan

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |15 ekologinya boleh memberi kesan terhadap perkembangan emosinya. Perubahan kognitif dan biologi seseorang anak pada peringkat remaja boleh menyebabkan konflik di antara golongan remaja dan ibu bapanya (Paikoff & Brooks-Gunn, 1991; Steinberg, 1996). Terdapat beberapa pendekatan yang diambil dengan menggunakan persekitaran sebagai langkah intervensi. Antara teknik yang boleh digunakan ialah intervensi berpusatkan kanakkanak, intervensi berpusatkan persekitaran, intervensi berpusatkan kanak-kanak dan persekitaran , serta intervensi berpusatkan perantaraan antara kanak-kanak dan persekitaran.

Intervensi berpusatkan kanak-kanak merupakan penglibatan kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku itu sendiri dalam mengatasi perlakuan tingkah laku mereka. Contohnya, kanak-kanak tersebut menghadapi masalah pertuturan. Kanak-kanak tersebut perlu melatih atau mengajar diri mereka untuk menyebut sesuatu perkataan dengan lancar seperti perkataan buku, cikgu, pensil dan sebagainya. Kanak-kanak ini akan fasih pertuturan mereka sekiranya mendapat intervensi awal dan bersemangat untuk memulihkan pertuturan mereka.

Intervensi berpusatkan persekitaran pula adalah melibatkan peranan dari guru dan ibu bapa kanak-kanak itu sendiri. Contohnya, keadaan bilik darjah atau keadaan di rumah perlulah diubahsuai untuk mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak tersebut. Ianya seperti tidak melekatkan bahan-bahan yang boleh menarik minat mereka untuk tidak menumpukan perhatian di dalam kelas dan mereka akan merosakkan barang-barang yang dihias di rumah. Langkah ini mungkin akan dapat mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku.

Manakala, intervensi berpusatkan kanak-kanak dan persekitaran pula adalah melibatkan kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa atau guru mereka. Seterusnya, intervensi berpusatkan perantaraan antara kanak-kanak dan persekitaran adalah peranan yang salin berkait antara kanak-kanak tersebut dengan ibu bapa mereka dan guru-guru serta keadaan sekeliling seperti rumah dan kelas.

Model Psikodinamik
Model-model Psikodinamik pada awalnya dikembangkan oleh Sigmund Freud (1974) dan pengikut-pengikutnya. Berasaskan kepada teori Freud (1949) dan Erickson (1963). Pendekatan yang berfokus pada proses kejiwaan dan masalah dalaman individu iaitu berkaitan dengan personaliti seseorang. Menurut model psikodinamik, punca gangguan tingkah laku disebabkan oleh masalah dalaman individu dan faktor persekitaran yang mengganggu kehidupan intrapsikik seseorang. Perkembangan teori psikodinamik dalam lingkungan teori-teori pekerjaan sosial masih diterapkan secara umum kerana penerapannya masih berpandukan pada ajaran Freud dengan mengarah kepada pengembangan psikoanalisis. Terdapat

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |16 beberapa idea dasar psikoanalisis iaitu perkembangan manusia, keperibadian dan psikologi abnormal, serta pengubatan. Dalam teori perkembangan mental pada psikoanalisis, terdapat libido. Kemudiannya akan berkembang dari beberapa tahap yang dimulai dengan peringkat oral, peringkat anal, peringkat falik, peringkat pendaman, dan peringkat genital. Pada peringkat oral, kepuasan yang mula dirasai oleh seorang bayi adalah keseronokan yang dikecapi di mulut. Peringkat ini bermula semenjak dilahirkan. Hampir semua objek dibawa ke mulut oleh seorang bayi. Mengikut fahaman psikoanalisis, keadaan ini menyebabkan keadaan lekatan sebagai mekanisma bela diri semasa dewasa yang boleh membawa kepada trait yang pasif, optimis dan ingin mengetahui. Pada peringkat anal pula, kanak-kanak mula berkembang dan berupaya mengasingkan fungsi pembuangan najis dari kehendak nalurinya yang semulajadi. Pada peringkat ini, kanak-kanak dilatih cara yang sesuai bagi melaksanakan kehendak pembuangan najisnya. Pelaksana psikoanalisis berpendapat bahawa latihan yang dilalui akan mempengaruhi sasiahnya apabila meningkat dewasa. Manakala pada peringkat falik,kanak-kanak mula berseronok dengan organ jantinanya. Peringkat ini juga merupakan permulaan berkembangnya kompleks oedipus dan kompleks elektra. Kompleks oedipus berlaku pada kanak-kanak lelaki apabila tanpa disedari ianya tertarik kepada ibunya. Penarikan ini juga berlaku terhadap kanak-kanak perempuan kepada bapanya, sealiran dengankompleks elektra. Rasa tidak puas terhadap sama ada ibu oleh kanak-kanak perempuan dan terhadap bapa oleh kanak-kanak lelaki menyebabkan kanakkanak mengikut serta mendapatkan perhatian kepada ibu atau bapanya. Peringkat paling kritikal ini akan menentukan kepesatan seksual yang berkembang dalam diri seorang individu. Peringkat pendaman berlaku pada umur lima hingga dua belas tahun, iaitu kehendak seksual terpendam. Maka bermulalah gejala penyekatan seksual dalam diri individu. Walau bagaimanapun, peringkat ini juga penuh dengan suasana menguatkan sifat serta ciri kelakian atau kewanitaan. Peringkat ini juga penuh dengan keupayaan berkawan sesame rakan sama ada dari jantina lelaki atau perempuan. Peringkat genital pula berlaku sebaik sahaja kanak-kanak menghampiri akhir baligh, kehendak seksual diganti dengan struktur ego yang mengambil alih semula perkembangan diri. Pada masa ini, objek yang jitu dari segi perkembangan diri menjadi lumrah dengan kematangan yang berfungsi. Ego yang terbentuk dijaga dan dikembangkan secara pengalaman yang baru serta bermakna bagi diri individu. Individu mula dengan peranan sosialisasi, perlaksanaan aktiviti berkelompok, mula dengan penarikan interaksi seksual dan persedian perkahwinan, berkeluarga dan penetapan vokasional. Zaman kanak-kanak ditinggalkan dan bermula dengan peringkat kedewasaan.

Lingkungan sosial dan budaya akan mempengaruhi perkembangannya. Menurut teori personaliti dalam psikoanalisis, tiga perkara yang penting dalam perkembangan keperibadian manusia iaitu id, ego dan super ego.

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |17

Id diandaikan semua gejala yang neutral dalam pemikiran seorang individu. Dalam pandangan psikoanalisis, ciri id seseorang itu sudah wujud semasa ianya dilahirkan. Id dianggap sebagai satu elemen struktur yang semulajadi, satu elemen yang diwarisi, satu elemen yang sedia ada dalam diri manusia. Id merupakan satu gejala bawah sedar dan tenaga yang primitif. Id tidak teratur, tidak rasional dan penuh dengan orientasi berkehendakkan kepuasan. Id merupakan sumber libido. Tujuan utama id adalah bagi mendapatkan kepuasan diri secara mendadak. Itulah sebabnya id tidak mempunyai penyatuan dari segi maksud tidak teratur dan tidak bermoral. Sebagai satu daya tenaga yang begitu primitif, id merupakan penggerak psikologikal yang tidak payah dipelajari.

Ego pula berbeza dengan id. Ego tidak wujud semasa kelahiran. Sebaliknya, ego berkembang secara berperingkat. Sebagai elemen pada tahap sedar, ego penuh dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan fungsinya mengikut keadaan. Perkembangan ego adalah melalui hubungan secara sosial dan identifikasinya dengan orang lain, objek di dalam alam sekelilingnya. Sebagai alat memperkukuhkan diri pada tahap sedar, ego memainkan satu fungsi yang penting dalam struktur tingkah laku dan personaliti individu.

Super ego merupakan struktur yang ketiga dalam pemikiran tingkah lakupsikoanalisis. Super ego lebih menyerupai hati nurani atau 'conscience' seseorang individu. Super ego merupakan akar tunjang dari aspek peneguhan moral yang baik. Moral yang dipelajari, dikenal pasti daripada ibu dan bapa, mahupun masyarakat. Moral yang demikian dipelajari hasil daripada asuhan semasa seorang individu itu masih kecil pada peringkat umurnya dan berkembang dengan penerapan moral sebagai sebati dengan hati nuraninya. Super ego mengawal ego dan id. Super ego bertindak seakan-akan seperti ibu bapa seorang individu, saling mengingatkan keadaan, suasana, peristiwa, persepsi, pemikiran, emosi, perasaan, sikap, tingkah laku. Disebalik super ego sentiasa wujud imej pengawalan. Sebagai contoh, lazimnya dalam kalangan orang Melayu, apabila hendak keluar dari rumah, secara automatic akan terlintas untuk memakai kasut. Keadaan menanggalkan kasut sebelum memasuk ke dalam rumah kediaman juga menjadi kelaziman adat orang Melayu. Strategi-strategi pengurusan gangguan tingkah laku dalam model psikodinamik ialah model psikopendidikan, teknik kaunseling, ekspresi seni, dan teknik pengaruh tingkah laku.

Model Psikopendidikan
Model Psikopendidikan menjadi syarat asas kepada teknik-teknik yang lain. Ia merangkumi pelbagai pendekatan psikologi dan pendidikan untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi gangguan tingkah laku. Antara prinsip yang ditekankan dalam model ini ialah pemikiran dan tindakan adalah dua proses yang saling berkaitan, seseorang perlulah menerima dan memahami masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak, memberi perhatian dan fokus pada masalah yang dihadapi serta melayan kanak-kanak dengan adil dan kasih sayang dan guru

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |18 perlu menjaga penampilan dan tingkah laku mereka kerana ia sangat mempengaruhi kanakkanak. Ganjaran boleh digunakan untuk mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak yang bermasalah. Terdapat tiga bentuk ganjaran yang digunakan iaitu ganjaran primer yang berbentuk makanan dan minuman, ganjaran sekunder atau lebih dikenali sebagai token, kupon, mainan, kad, dan bintang, serta ganjarana sosial pula adalah berbentuk senyuman, dan pujian. Ganjaran ini akan diberikan kepada pelajar sekiranya dia dapat mengawal atau mengubah masalah tingkah lakunya. Contohnya, sekiranya seorang pelajar itu tidak membuat bising dalam kelasnya, maka gurunya akan memberikan ganjaran berbentuk token kepadanya dan token itu mewakili markahnya dan dia boleh menukar token tersebut dengan hadiah yang disukainya. Selain itu, dendaan juga digunakan dalam menangani masalah tingkah laku dalam kalangan pelajar atau kanak-kanak bermasalah. Antara dendaan yang dikenakan adalah pulang lewat ke rumah, mengambil semula token yang diperolehi, dan sebagainya. Contohnya, sekiranya seseorang itu ponteng sekolah tanpa sebab yang kukuh, maka guru boleh mengenakan dendaan kepadanya seperti menarik semula token yang dia telah kumpul. Dengan itu, pelajar tersebut akan takut dan tidak mahu ponteng sekolah lagi kerana dia saying akan token yang sudah dia perolehi. Pengasingan juga boleh dilakukan terhadap murid yang melakukan kesalahan. Pengasingan atau time-out, merupakan peneguhan daripada tingkah laku yang dipilih seperti mengasingkan pelajar yang bermasalah atau yang melakukan kesalahan daripada mengikuti aktiviti yang digemarinya seperti permainan alat muzik. Apabila pelajar ini diasingkan daripada aktiviti tersebut, dia akan berusaha mengubah tingkah lakunya kepada yang positif agar dia juga dapat menyertai aktiviti tersebut. Seterusnya, perjanjian atau kontrak. Kontrak ini melibatkan persetujuan antara dua pihak atau lebih iaitu guru dan pelajar secara lisan atau bertulis. Pelajar yang terliobat dalam kontrak ini dipertanggungjawabkan terhadap perkara atau aktiviti yang mereka pilih. Kontrak tersebut akan berjaya dilaksanakan sekiranya mereka faham akan tingkah laku yang hendak diubah dan mereka faham akan kesannya sekiranya mereka ingkar akan perjanjian yang telah dibuat. Model ini memperjuangkan matlamat pendidikan bagi membolehkan pelajar mengambil tanggungjawab untuk menentukan apa yang hendak dipelajari dan menjadi lebih mengarah kendiri, serta berdikari. Guru berperanan membimbing pelajar supaya dapat membina sikap kesempurnaan kendiri dan mengurus persekitaran pembelajaran supaya berkaitan dengan aktiviti yang bermakna iaitu tahap pembelajaran yang sesuai dengan pelajar dan kaedah pendekatan pembelajaran yang digunakan.

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |19

Teknik Kaunseling
Teknik kaunseling boleh diguna untuk membantu guru mengawal dan mengubah tingkah laku bermasalah melalui perbincangan secara peribadi yang produktif. Teknik ini perlu dilaksanakan secara konsisten oleh pihak yang terlatih dan berpengalaman. Antara teknik yang boleh dilaksanakan ialah temu bual dan terapi realiti. Teknik temu bual atau life-space interview dalam teknik kaunseling dibuat berdasarkan pengalaman kanak- kanak, dijalankan oleh guru yang berpengaruh ke atas kehidupan kanak-kanak tersebut, guru menstruktur insiden yang berlaku dalam kehidupan kanak-kanak untuk membolehkan dia mengatasi masalah-masalah yang dihadapinya dan penemuramah bertindak sebagai pembimbing kanak-kanak tersebut. Menurut Redl (1959), teknik temu bual terbahagi kepada dua (dalam Walker dan Shea,1988) iaitu clinical exploitation of life event yang memerlukan pengalaman dan latihan, serta menggunakan insiden sebenar untuk mengetahui ciri-ciri tingkah laku kanak- kanak yang terbabit. Contohnya, Ali sering mengelakkan diri kerana menganggap dirinya disisihkan oleh kawan-kawan sekelasnya. Guru yang bertindak sebagai pembimbing akan membantu Ali dengan menggalakkannya memberi respon terhadap senyuman, dan lambaian kawan-kawan sekelasnya. Manakala emotional first aid on the spot, adalah membantu kanak-kanak daripada sesuatu keadaan untuk membolehkan sesuatu aktiviti diteruskan dan dijalankan. Contohnya pertengkaran dan pergaduhan. Guru boleh membantu dari segi mengurangkan tahap kehampaan kanak-kanak yang terbabit, memberi sokongan moral ke atas kanak-kanak yang sedang emosi, dan membantu kanak-kanak dalam mencari penyelesaian untuk menghadapi masalah kehidupan harian serta insiden yang melibatkan emosi seperti pertengkaran dan pergaduhan. Contoh yang dapat diberikan ialah Ali dan Azman bertengkar semasa mendirikan khemah. Guru bertindak dengan menghentikan pertengkaran itu dan membiarkan mereka menenangkan diri sebelum memulakan sesi temuramah. Kemudiannya, Ali dan Azman menceritakan insiden yang berlaku. Mereka mendengar persepsi daripada guru terhadap kejadian itu dan seterusnya bersetuju untuk cuba mendirikan khemah itu semula dengan pelan tindakan yang spesifik. Akhirnya, khemah dapat didirikan dengan cepat. Terapi realiti atau reality theraphy dijalankan untuk membantu individu supaya dapat berfungsi dengan normal dalam persekitaran. Menurut Glasser (1965), manusia mempunyai dua keperluan psikologi asas (dalam Walker dan Shea, 1988) iaitu menyayangi dan disayangi; dan penghargaan diri serta dihargai orang lain. Untuk berasa menghargai diri dan dihargai orang lain, seseorang individu mesti mengekalkan tingkah laku yang diterima masyarakat. Kegagalan akan menyebabkan mereka sakit mental. Mereka memerlukan bantuan daripada seseorang yang mengambil berat akan diri mereka.Oleh itu, objektif pakar terapi atau guru ialah mengajar individu atau murid yang terbabit tentang tingkah laku yang bertanggungjawab. Menurut Glasser (1965), belajar menjadi individu bertanggungjawab tidak berlaku secara semulajadi. Ianya memerlukan penglibatan dan sikap tanggungjawab tertentu serta perkaraperkara lain seperti kasih sayang dan disiplin. Majoriti individu akan belajar menjadi seorang

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |20 yang bertanggungjawab daripada kasih sayang. Contohnya, Ali seorang yang cerdik namum dia sering gagal dalam subjek tertentu. Guru yang rapat dengan Ali menyedari hal itu dan dia telah menjalankan terapi reality. Dia mendapati bahawa Ali tidak akan menumpukan perhatian dan tidak mahu belajar sekiranya guru yang mengajar tidak disukainya. Melalui terapi, Ali menyedari tingkah lakunya hanya akan merosakkan dirinya sendiri. Oleh itu, guru menyediakan pelan tindakan dan Ali belajar untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab terhadap tingkah lakunya. Akhirnya, setelah beberapa bulan, keputusan peperiksaannya meningkat dengan mendadak dan cemerlang.

Ekspresi Seni
Ekspresi seni menggalakkan dan memberi peluang kepada kanak- kanak untuk menunjukkan dan meluahkan perasaan dan emosi mereka melalui aktiviti-aktiviti yang kreatif. Menurut Cheney dan Morse (1972), mereka merumuskan bahawa ekspresi seni dapat membina kebolehan ekspresi kanak-kanak tersebut. Ianya akan memudahkan kanak-kanak meluahkan perasaan dan emosi mereka. Ekspresi seni juga menyediakan ruang untuk kanak-kanak meluahkan perasaan dan emosi dengan cara yang betul. Ekspresi seni ditunjukkan melalui permainan bebas, boneka, main peranan atau lakonan, muzik, terapi likisan dan sebagainya. Namun hanya beberapa kaedah dalam ekspresi seni yang ditekankan iaitu permainan bebas, boneka, dan terapi seni.

Dalam permainan bebas atau free play, kanak-kanak dibiarkan bermain permainan atau alat mainan di ruang yang disediakan serta mereka digalakkan memilih alat mainan mengikut minat mereka. Alat-alat mainan mestilah sesuatu yang boleh memberi peluang kanakkanak tersebut untuk meluahkan perasaan dan emosi mereka. Contohnya, kereta mainan, robot, dan sebagainya. Alat-alat mainan ini sebenarnya bukan alat yang rumit. Contohnya, Azman seorang kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi. Dia tidak dapat berinteraksi dengan guru dan kawan-kawan sekelasnya. Sepanjang di dalam kelas, Azman hanya duduk dan mendiamkan dirinya sahaja. Oleh yang demikian, guru Azman mengambil inisiatif dengan memperkenalkan alat-alat permainan kepada Azman dan memberi panduan kepadanya untuk membuat aktiviti mudah. Selepas itu,guru memerhatikan Azman. Setelah beberapa bulan, Azman mula bercakap dengan kawan-kawan dan gurunya.

Boneka atau puppetry dapat membantu kanak-kanak meluahkan perasaan dan emosi bagi mereka yang sukar atau tidak mahu berkomunikasi secara langsung dengan orang lain. Menurut D Alonzo (1974), boneka tangan yang ringkas yang dibuat sendiri atau milik kanakkanak yang terbabit seperti wajah atau muka monyet, kucing dan sebagainya adalah amat berkesan (dalamWalker dan Shea, 1988). Pentas yang digunakan untuk boneka tangan boleh dibuat sendiri oleh kanak-kanak dengan bantuan guru.Contohnya menggunakan kotak kertas. Wayang kulit juga boleh dikategorikan dalam puppetry dan ianya lebih berkesan untuk

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |21 mengubah tingkah laku kanak-kanak kerana kanak-kanak akan lebih mempercayai tentang karektor dalam wayang kulit tersebut. Terapi seni harus diberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan diri mereka melalui seni terutamanya seni lukisan dan muzik. Seni lukisan dua dimensi merupakan kaedah yang amat sesuai untuk kanak-kanak bermasalah tingkah laku meluahkan perasaan mereka. Contohnya melukis menggunakan jari dengan mengunakan warna air dan sebagainya. Menurut Willian dan Wood (1977), seni dapat memberi manfaat kepada kanak-kanak dari segi komunikasi, sosialisasi, kreativiti, ekspresi diri, mengenal diri dan manipulasi persekitaran. Elemen penting yang dapat diterapkan dalam diri kanak-kanak tersebut ialah persepsi dan perasaan kanak-kanak. Seni tiga dimensi juga boleh digunakan tetapi ianya terhad disebabkan peralatannya. Contohnya menggunakan plastesin. Manakala ekspresi seni berbentuk muzik pula adalah nyanyian dan permainan alat muzik yang dapat kanak-kanak tersebut meluahkan perasaan mereka. Kanak-kanak seperti ini lebih menggemari akan kompang, dan drum kerana mereka dapat memuaskan perasaan mereka atau meluahkan semuanya melalui alat muzik tersebut.

Teknik Pengaruh Tingkah Laku


Teknik pengaruh tingkah laku atau behaviour influence boleh dilaksanakan semasa berlakunya tingkah laku yang bermasalah sama ada di dalam kelas, sekolah, taman permainan dan sebagainya. Terdapat lima teknik pengaruh tingkah laku iaitu tindakan tidak ambil peduli, isyarat gangguan atau peringatan, pengaruh orang berkuasa, tarikan, jenaka, dan desensitization. Teknik tindakan tidak ambil peduli atau planned ignoring merupakan kaedah yang dilakukan oleh guru dan keluarga kanak-kanak tersebut untuk mengurangkan tingkah laku bermasalah mereka. Kadangkala kanak-kanak melakukan tingkah laku bermasalah untuk menarik perhatian kawan-kawan sekelas, guru dan ibu bapa. Contoh tingkah laku tersebut ialah menjatuhkan buku, bersiul-siul, mengetuk pensil di atas meja dan sebagainya. Kaedah yang digunakan adalah seperti membiarkan, tidak menegur, tidak memberi respon dan sebagainya. Biasanya tingkah laku yang dibuat-buat untuk menarik perhatian akan berkurangan dan lenyap apabila tidak diambil peduli. Tambahan lagi, kanak-kanak tersebut akan rasa malu dengan sendirinya apabila perbuatan mereka itu tidak dipedulikan oleh orang sekelilingnya. Isyarat peringatan atau signal interference merupakan teknik pengaruh tingkah laku yang bukan secara verbal atau lisan. Contohnya, pandangan mata ke mata, renungan, tapping, dan sebagainya. Teknik ini sebenarnya menunjukkan peringatan atau amaran dari seseorang kepada kanak-kanak tersebut supaya mengawal tingkah lakunya dan teknik ini akan berkesan kepada kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku. Teknik pengaruh orang berkuasa atau proximity control merupakan teknik yang menggunakan orang-orang yang berkuasa dan berpengaruh untuk menakutkan kanak-kanak. Pengaruh orang berkuasa yang disebutkan adalah, guru besar, bapa, polis, guru yang garang

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |22 dan sebagainya. Contohnya, pelajar-pelajar dalam sebuah kelas membuat bising dan seorang guru telah menggunakan teknik ini iaitu dengan menggertak pelajar-pelajar tersebut dengan mengatakan bahawa dia akan memanggil guru besar untuk menghukum mereka. Selepas itu, pelajar-paelajar kelas itu diam kerana mereka takut dengan guru besar. Keputusannya tingkah laku yang bermasalah seperti bising tidak diteruskan atau dilakukan lagi. Manakala teknik tarikan atau interest boosting adalah teknik yang digunakan untuk menarik minat kanak-kanak yang bermasalah tingkah laku. Semua orang akan bosan dengan tugas-tugas rutin dan sukar. Oleh itu, guru yang mendapat tahu murid-murid mula bosan dengan kerja yang diberi harus berusaha untuk meningkatkan semula minat mereka. Guru boleh melakukan teknik ini dengan menawarkan bantuan, bertanya tentang sejauh mana tugas sudah disiapkan, membincangkan tugasan tersebut dan sebagainya. Selain itu, guru juga boleh menggunakan unsur-unsur selingan sebentar untuk menaikkan semangat pelajar-pelajar bagi minat dengan tugasan yang diberikan. Contohnya, guru menceritakan cerita-cerita yamg lawak berkaitan dengan tugasan yang diberikan kepada mereka. Dengan itu, pelajar-pelajar akan lebih bersemangat dan tidak mudah bosan. Teknik jenaka dalam tenik tingkah laku adalah teknik yang digunakan untuk menghiburkan kanak-kanak bermasalah tingkah laku khususnya. Teknik ini dapat mengurangkan tekanan dan ketegangan. Selain itu, ianya juga dapat membuat murid berasa tenang. Namun harus diingat bahawa jenaka yang dibuat itu tidak akan menyinggung perasaan individu lain. Contoh jenaka yang dibuat adalah seperti petikan dari cerita-cerita kartun yang terdapat di televisyen. Misalnya petikan dari cerita upin dan ipin.

Teknik desensitisation merupakan teknik yang digunakan untuk mengurangkan fobia, menghilangkan rasa gugup dan takut, latihan merehatkan diri, dan mengenali punca cemas. Contohnya, Ali fobia untuk menaiki basikal kerana dia pernah terjatuh basikal. Untuk mengatasi fobia Ali, bapa Ali perlulah mendekatkan semula Ali dengan basikal. Dengan cara ini barulah Ali dapat menunggang basikalnya semula dan sekaligus mengatasi masalh fobia ali terhadap basikal.

Bincangkan teknik-teknik pengurusan tingkah laku bagi kategori (ADHD),Sindrom Down,Bermasalah Pendengaran dan Lembam (Slow Learner).

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |23

Tahukah anda siapakah pakar yang akan terlibat dalam mengendalikan kanak-kanak bermasalah tingkahlaku ADHD

Rumusan
Masalah tingkah laku bermasalah ini merupakan perkara yang perlu diberi perhatian yang serius kerana bermula dengan permasalahan yang kecil sebegini jika ianya berterusan akan menjadikannya satu kebiasaan. Kemudian ianya akan dibawa hingga ke peringkat dewasa dan masalah ini tidak dapat diubah lagi. Setiap perlakuan atau perbuatan yang terzahir adalah oleh murid-murid adalah disebabkan faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi perbuatan tersebut. Namun setiap perbuatan ini mempunyai kesan-kesan tertentu yang mana kesannya adalah kepada murid itu sendiri tetapi juga memberi kesan kepada orang lain. Oleh itu cara-cara untuk mengatasi tingkah laku bermasalah ini hendaklah bersesuaian dengan tingkah laku bermasalah tersebut. Cara-cara mengatasinya adalah berbeza bergantung kepada masalah-masalah yang dihadapi. Terdapat pelbagai teknik-teknik dan penyelesaian yang berkesan yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Teknik-teknik modifikasi yang boleh dipraktikkan ini adalah untuk membantu murid mengubah tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif dan seterusnya melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Apabila tingkah laku positif dapat dibentuk, maka ini akan meningkatkan prestasi dan pencapaian serta keberkesanan aktiviti pembelajaran. Dalam usaha menangani masalah ini, semua pihak harus melibatkan diri samada ibu bapa, guru, masyarakat dan juga pihak kerajaan. Usaha bersama akan membuahkan hasil yang tidak akan mengecewakan semua pihak serta dapat melahirkan murid yang berkaliber serta berwawasan selaras dengan wawasan negara ke arah masyarakat yang berpengetahuan.

Rujukan
Jamila K.A Mohamed.(2006).Pendidikan Khas Untuk Kanak-kanak Caves,Selangor : PTS Publication & Distributors Sdn Bhd. Istimewa.Batu

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |24 Mohammad Fauzi.(2008).Pengurusan: Definisi, Sejarah dan Konsep Siri 1. Diperolehi pada September 26, 2008 daripada http://uniprof.wordpress.com/2008/01/07/pengurusan definisi-sejarah-dan-konsep-siri-1/ Ahmad Shukri Mohd Nain.(2002). Tingkah Laku Organisasi: Pengenalan Tingkah Laku Individu : Penerbit UKM Press. Nordin Mamat.(2005).Asas Sosial Kanak-kanak.Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn Bhd.

Prof Madya Dr.Rohani Abdullah,Nani Menon & Mohd Sharani Ahmad.(2004). Panduan Kurikulum Pra Sekolah.Universiti Putra Malaysia : PTS Publication &Distributors Sdn.Bhd. Rohani Abdullah.(2001).Perkembangan Kanak-kanak Penilaian Secara Portfolio. Universiti Putra Malaysia : Penerbit UPM

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |25

P e n g u r u s a n T i n g k a h l a k u D a l a m P e n d i d i k a n K h a s |26

You might also like