You are on page 1of 5

CIRI-CIRI BAHAN UNTUK PEMBELAJARAN MURID PINTAR CERDAS

a) Bahan yang mencabar

Sifat yang ada dalam diri seseorang yang pintar cerdas ialah suka mencabar kemampuan diri sendiri. Oleh itu, bahan yang paling sesuai bagi meningkatkan tumpuan dan seterusnya perkembangan mereka adalah bahan yang mampu mencabar kemampuan mereka. Bagi murid yang pintar cerdas ini bermain bagi mereka bukan bermakna permainan yang melibatkan aktiviti fizikal semata-mata, tetapi bermain adalah sebarang aktiviti yang boleh menyeronokkan mereka. Antara permainan yang biasa dijadikan permainan bagi murid pintar cerdas ini ialah kiub rubik. Mereka tidak bersaing dalam permainan ini sesama rakan yang lain tetapi dengan dirinya sendiri. Mereka akan sentiasa cuba untuk memperbaiki masa mereka untuk menyelesaikan kiub rubik tersebut.

b) Bahan yang memerlukan daya ingatan yang tinggi. Selain suka mencabar kemampuan diri, kanak-kanak yang pintar cerdas ini juga mempunyai daya ingatan yang sangat kuat. Mereka mampu untuk mengingat maklumat-maklumat kecil walaupun maklumat tersebut telah lama diperoleh oleh mereka. Malah, mereka boleh mengingat maklumat yang diperhati secara sepintas lalu sahaja. Ciri bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai adalah penting bagi memastikan daya ingatan yang tinggi bagi menyelesaikan sesuatu masalah pembelajaran. Bahan seperti ini akan mengasah potensi kanak-kanak dengan lebih berkesan.

c) Bahan yang objektif Murid-murid pintar cerdas mempunyai sikap yang mementingkan kesempurnaan ataupun perfektionis. Walaupun sikap ini sememangnya baik, namun sikap yang terlalu mementingkan kesempurnaan sehingga tidak terkawal akan mengundang banyak masalah. Antaranya, banyak kerja yang akan tertangguh kerana mereka beranggapan kerja yang telah disiapkan masih belum cukup sempurna dan ini juga boleh menjatuhkan semangat mereka untuk meneruskan sesuatu kerja kerana tidak dapat menyiapkannya dengan sempurna. Bahan yang disediakan oleh guru seharusnya perlu lebih objektif, yang mana hanya ada satu sahaja cara penyelesaian yang tepat. Salah satu contoh bahan yang mempunyai ciri ini adalah permainan Jigsaw.

d) Bahan berunsurkan penyelidikan Murid yang pintar cerdas ini mempunyai minat yang tinggi terhadap hubungan kesan akibat, struktur, susunan dan konsistensi dalam sesuatu perkara. Selain itu, mereka juga mempunyai sikap yang sangat tabah dan suka berdikari. Ciri-ciri ini boleh dikembangkan dan dipraktikkan dengan penggunaan bahan yang berasaskan penyelidikan. Kaedah penyelidikan yang dibuat bukan hanya tertumpu kepada penyelidikan berasaskan bahan maujud semata-mata, malah mereka boleh meluaskan penyelidikan tersebut menggunakan teknologi pencarian maklumat di internet.

e) Bahan berlandaskan kreativiti dan inovasi Kanak-kanak mempunyai pemikiran yang kreatif dan daya inovasi yang sangat tinggi. Sikap ini menjadikan mereka sangat fleksibel dan lebih terbuka. Oleh itu, mereka akan mencuba pelbagai cara untuk menjayakan sesuatu kerja sehingga sempurna. Mereka boleh menghubungkaitkan dua idea yang terpencil yang jarang difikirkan oleh orang lain. Mereka sering cuba untuk berfikir di luar kotak (think out of the box), inilah yang membezakan mereka daripada orang kebiasaan. Keistimewaan mereka ini boleh dikembangkan dengan bantuan guru dengan menyediakan bahan pengajaran yang menuntut penggunaan daya kreativiti dan inovasi murid pintar cerdas ini. Bahan yang digunakan perlu lebih fleksibel dan boleh dimanipulasi oleh murid dalam banyak cara.

You might also like