You are on page 1of 21

Masalah Pembelajaran ( Kanak-kanak Lembam )

MASALAH PEMBELAJARAN (SLOW LEARNER) CADANGAN INTERVENSI DAN KHIDMAT SOKONGAN 1.Penggunaan kaedah Bahan Bantu Mengajar (BBM) turut boleh membantu mempertingkatkan tahap pendidikan dan pemahaman murid. Bersangkutan itu, penyediaan carta-carta yang digunakan dengan kad huruf yang berwarna-warni, akan turut menarik minat murid-murid seperti Siti Hajjar untuk terus fokus kepada pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Tambahan lagi, dengan menggunakan bahan rujukan dan ilmiah seperti buku-buku yang mempunyai gambar-gambar yang menarik. 2.Kanak-kanak bermasalah pembelajaran lembam akan diintervensikan melalui rancangan pengajaran yang lebih berpusatkan kepada individu bukan secara berkumpulan kerana setiap murid-murid khas mempunyai tahap pencapaian yang berbeza. Penyediaan perancangan dan jadual yang strategik oleh guru sebelum mengajar turut mempengaruhi isi kandungan pembelajaran murid semasa proses P & P berlangsung. Pemilihan kaedah dan khidmat sokongan yang sesuai membantu kanak-kanak lembam untuk mengikuti pengajaran guru dengan lancar dan berkesan. Khidmat sokongan yang boleh digunapakai adalah seperti berikut; a)Pengunaan Rancangan Pengajaran Individu (RPI) Menurut Meese (2001), kanak-kanak lembam memerlukan Rancangan Pengajaran Individu (RPI). RPI adalah satu perancangan pendidikan individu dibuat secara bertulis yang mengandungi perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk kanak-kanak tersebut. RPI juga turut merangkumi pandangan keluarga dan kanakkanak tersebut serta para profesional lain yang berkaitan. b)Pengajaran Secara Individu Zakaria Abdul Rahman (1992) mengatakan sekiranya terdapat satu kebenaran tentang pembelajaran, ia adalah satu penyataan bahawa setiap individu itu berbeza dan pembelajaran patutlah bermula daripada tahap pelajar berada ke tahap yang dapat dicapai olehnya. Oleh itu sebagai seorang murid yang lembam pengajaran secara individu akan berlangsung dalam RPI kerana mereka

memerlukan pengajaran secara individu khusus untuknya. Justeru itu, terdapat beberapa jenis pengajaran individu yang dijalankan mengikut tujuan dan objektif pengajaran tersebut. Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) telah menjeniskan pengajaran individu kepada empat, iaitu Munsyi atau tutoring, kursus melalui pos, Rancangan Berunit Mengikut Kecepatan Sendiri dan Pengajaran Terancang, dan Pengajaran Berbantukan Komputer. Namun, pengajaran melalui pos tidak bersesuaian atas murid lembam kerana tidak bersesuaian dengan tahap murid tersebut. c)Mengubah Yang Abstrak Kepada Konkrit Seorang pendidik perlu mengelakkan murid-murid lembab membayangkan sesuatu yang tidak nampak dalam pembelajaran. Pembelajaran akan menjadi lebih mudah sekiranya subjek diajar boleh dilihat dan didengar. Menurut Shaw (2002) strategik mengajar kanak-kanak lembam hendaklah secara jelas dengan mengubah yang abstrak kepada konkrit. Penggunaan kad berwarna dan alat bantuan fotografik akan memudahkan pengajaran guru kerana kanak-kanak lembam dapat melihat perkara yang diajar. Penggunaan kad yang pelbagai aras memerlukan imaginasi dan persediaan yang rapi tetapi hasilnya amat bernilai serta bermakna (Brian Cooke, 1976). Pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan banyak pancaindera murid-murid lembam akan mempertingkatkan keupayaan mereka. d)Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT) Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti penggunaan Power Point dalam komputer dan electronic dictionary dapat menunjukkan demonstrasi dalam konsep yang kompleks. Ini dapat menarik perhatian kanak-kanak lembam untuk mempelajari subjek yang diajar dan mengelakkan mereka daripada berasa bosan terhadap pembelajaran konvensional yang stereotype. Sebagai contoh, Edyburn (1991) telah membuktikan bahawa pelajar-pelajar istimewa lebih berjaya memperoleh maklumat dengan menggunakan ensiklopedia secara elektronik berbanding dengan penggunaan ensiklopedia bercetak. Selain itu, kajian menunjukkan penggunaan komputer dapat meningkatkan kemahiran membaca di kalangan murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran (Jones, Torgeswn dan Sexton, 1987: Torgesen, 1986). e)Terapi Hidro Selain itu, kanak-kanak tersebut juga seharusnya menjalani terapi. Terapi hidro dilihat sesuai untuk perkembangan fizikal kerana kombinasi pergerakan motor kasar dan halus serta mental kanak-kanak dapat dirangsang secara serentak. Pergerakan dalam air didapati lebih mudah dan bebas serta tidak dibebani oleh keperluan alatan sokongan selain daya apungan air sahaja.

Rangsangan air yang secara semulajadi dapat membantu kanak-kanak tenang walaupun pada permulaannya sesetengah kanak-kanak akan berasa takut untuk masuk ke dalam air. Perkara ini dapat diatasi dengan membawa kanak-kanak ke kawasan cetek sebelum berpindah ke kawasan yang lebih dalam. Secara tidak langsung telah dapat melatih membina keyakinan diri kanak-kanak "water confidence". Melalui terapi seumpama ini, ianya dapat memantapkan perkembangan fizikal dengan aktiviti-aktiviti seperti regangan seterusnya melembutkan sendi dan meningkatkan daya ketahanan jantung dan otot-otot rangka kanak-kanak tersebut. f)Cara Kerja Cara kerja pula boleh membantu murid-murid slow learner, sindrom down, disleksia atau terencat akal menjalankan aktiviti. Guru boleh melatih mereka bagaimanakah cara kerja yang betul agar dapat menyiapkan atau menyelesaikan aktiviti yang dijalankan dengan betul dan cepat. Bagi murid slow learner misalnya mereka boleh menjalankan aktiviti tetapi lambat menyelesaikannya. Sebagai contoh di sini, apabila guru meminta murid mengangkat kotak hadiah yang berwarna biru. Guru memberikan arahan ini berulangkali. Guru tidak harus jemu untuk mengulang-ulang apa sahaja kerana murid-murid ini kurang berupayaan untuk memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru terbabit. sahaja. Guru memberikan bimbingan kepada murid yang tidak dapat memilih kotak berwarna biru tersebut. g)Perkhidmatan Pemulihan Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai iltizam terhadap khidmat sokongan dalam konsep pemulihan menyeluruh berdasarkan prinsip pendekatan pelbagai disiplin untuk Orang Kurang Upaya(OKU). Perkhidmatan ini meliputi di institusi dan di luar institusi dan termasuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO). Perkhidmatan di luar institusi menyediakan pelbagai program bagi membolehkan OKU diintegrasikan sebagai ahli masyarakat, persekitarannya dan setursnya membolehkan mereka berdikari daripada segi ekonomi dan sosial. Manakala perkhidmatan di institusi pula memberikan kemudahan penjagaan, rawatan dan latihan kepada OKU bagi menjadikan merka sebagai ahli masyarakat yang produktif. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, telah diwujugkan kelas-kelas khas yang mengandungi sukatan pelajaran yang dikhaskan mengikut keperluan meraka. Contohnya seperti Kelas Pendidikan Khas dan juga Kelas Pemulihan Khas. Pendidikan yang mana di sediakan untuk mereka menampilkan para pendidik yang telatih dalam pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas ini. Bagi Badan Bukan Kerajaan (NGO) pula, wujud pelbagai pertubuhan yang menyediakan perkhidmatan seperti Pusat Jagaan dan Pemulihan Harian Ramah (PJPHR) di Seksyen 10, Shah Alam, Selangor. PJPHR adalah pusat

jagaan harian dan latihan pemulihan untuk kanak-kanak kurang upaya fizikal dan mental. Di antara program yang dijalankan di PJPHR ialah penjagaan harian, terapi multisensori, perkembangan awal kanak-kanak, pendidikan kanak-kanak lembam, pemulihan selepas rawatan hospital untuk kanak-kanak dan latihan pemulihan serta jagaan di rumah. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat itu telah disahkan oleh pakar perubatan mempunyai masalah-masalah seperti autisme, spastik, hiperaktif, lembam, serebral palsi, sindrom down dan terencat akal.

pendidikan khas masalah pembelajaran


ESEI BERFOKUS

Pendidikan khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa, iaitu kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial atau emosi, tidak mencapai tahap pertumbuhan dan penyuburan biasa, hinggakan mereka tidak mendapat faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa (Chua, 1982). Menurut Gargiulo (2003), pendidikan khas merupakan program pengajaran khusus yang di reka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran yang khusus. Kanak-kanak berkeperluan khas adalah seperti kanak-kanak cacat penglihatan, cacat pendengaran, terencat akal, cacat fizikal dan termasuk kanak-kanak pintar cerdas. Mereka merupakan contoh kanak-kanak yang memerlukan satu bentuk pendidikan yang khusus bagi setiap individu kerana setiap kanak-kanak berkeperluan khas memerlukan pendekatan pembelajaran yang berbeza-beza supaya mereka dapat belajar dengan kecacatan atau kekurangan atau kelemahan yang dimiliki. Dengan kata lain, pendidikan khas merupakan satu perkhidmatan pendidikan yang berbentuk khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak ini.

Masalah pembelajaran pula yang didefinisikan oleh Jabatan Pendidikan Khas sebagai kanakkanak yang mempunyai masalah kognitif (kerencatan akal) yang dianggap boleh diajar (educable) dan boleh mendapat manfaat pendidikan formal. Seterusnya, menurut IDEA mengenai istilah masalah pembelajaran ialah kanak-kanak yang mempunyai proses psikologi yang tidak teratur termasuk perkembangan pemahaman atau penggunaan bahasa, komunikasi atau penulisan. Kanak-kanak ini mempunyai masalah dalam mendengar, bercakap, membaca, menulis atau membuat pengiraan. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pendidikan khas masalah pembelajaran ini ditubuhkan untuk membantu kanak-kanak berkeperluan khas ini mengurus diri mereka sendiri sekaligus membolehkan mereka merasa tidak tidak terpinggir daripada kalangan orang yang normal.

Berdasarkan kajian kes yang telah dilakukan, kanak-kanak yang dikenali sebagai Faiz (bukan nama sebenar) merupakan kanak-kanak berkeperluan khas. Faiz merupakan kanak-kanak autisme dan dalam masa yang sama, Faiz mempunyai sedikit sikap hiperaktif. Namun begitu, tumpuan diberikan kepada autisme kerana ciri-ciri tersebut merupakan ciri dominon yang terdapat pada Faiz. Faiz dipilih dalam kajian kes ini kerana kanak-kanak autisme merupakan kanak-kanak yang sangat unik. Kanak-kanak berkeperluan khas ini mempunyai pelbagai tingkah laku yang berlainan, namun begitu kanak-kanak autisme mempunyai kelebihan dan

keistimewaan yang tersendiri jika kita berjaya mendorong mereka melakukan sesuatu yang baik.

Berdasarkan temubual dengan ibu Faiz, beliau menyatakan bahawa pada awalnya Faiz kelihatan seperti kanak-kanak normal ketika bayi. Namun begitu, beliau mula risau mengenai Faiz apabila dilihat anaknya tidak aktif seperti bayi lain malah anaknya juga tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Setelah meningkat usia, keadaan Faiz semakin teruk kerana Faiz tidak seceria kanak-kanak lain. Faiz lebih banyak menyendiri dan melakukan sesuatu perkara berulang-ulang kali seperti memetik suis dan memanjat pagar. Malah, semasa berkomunikasi Faiz tidak memandang ke arah orang yang bercakap dengannya. Hal ini membuatkan beliau hairan dengan tingkah laku anak bongsunya itu. Akhirnya, beliau membawa anaknya melakukan pemeriksaan doktor dan barulah beliau mengetahui anak beliau merupakan kanak-kanak istimewa.

Sejarah autisme bermula pada tahun 1943 apabila ahli psikiatri kanak-kanak dari Amerika iaitu Leo Kanner melakukan kajian selama beberapa tahun ke atas 11 orang kanak-kanak. Beliau melihat kanak-kanak tersebut menghadapi masalah dalam komunikasi harian mereka, mereka juga sering bersendirian dan berada dalam dunia sendiri. Namun begitu, kanak-kanak autisme ini mempunyai kepintaran yang luar biasa dan memiliki kemampuan kognitif yang baik. Istilah autisme ini timbul daripada perkataan asalnya iaitu autos yang bermaksud diri

sendiri danisme iaitu suatu aliran. Kesimpulannya, autisme ialah keadaan yang menyebabkan kanak-kanak menumpukan perhatian dalam dunianya sendiri. Autisme adalah gangguan dalam perkembangan mental kanak-kanak menyebabkan mereka mengalami masalah pertuturan, komunikasi, interaksi sosial, pemikiran, perilaku emosi, pola bermain dan juga mempunyai tingkah laku yang luar biasa.

Ciri-ciri yang terdapat pada Faiz sebenarnya boleh dikenal pasti apabila berusia dua tahun setengah ataupun tiga tahun. Hal ini kerana ciri-ciri autisme dapat dilihat dengan lebih jelas pada usia tersebut. Berdasarkan anggaran yang dibuat 75 peratus kanak-kanak autisme mempunyai masalah kerencatan akal daripada peringkat ringan hingga serius. Manakala 25 peratus daripadanya memiliki IQ seperti kanak-kanak normal.

Ciri-ciri yang dapat dilihat pada Faiz ialah Faiz mempunyai kebolehan mendengar dan melihat tetapi dia tidak mengikut norma-norma yang biasa kerana kadangkala dia seolah-olah tidak memahami apa yang dituturkan dan apa yang dilihat oleh Faiz. Dengan erti kata lain, Faiz seolah-olah berada di dalam dunianya yang tersendiri. Masalah utama yang dihadapi oleh Faiz ialah kemahiran komunikasi dan daya ingatan yang pendek. Hal ini menyebabkan dia gagal memulakan atau melibatkan diri dalam komunikasi. Faiz juga hanya mampu menuturkan beberapa perkataan sahaja dengan jelas. Ini akan menjadi masalah yang serius jika dibiarkan berterusan. Sekiranya tidak diberi rawatan ataupun tidak dibantu

mempertingkatkan kemahiran komunikasi, ia akan menjejaskan kehidupan sosial Faiz pada masa hadapan. Hal ini juga akan menyebabkan Faiz merasa tersisih daripada masyarakat normal yang lain.

Masalah seterusnya daya ingatan yang singkat menyebabkan Faiz tidak mengingati apa yang diajar oleh guru. Faizjuga tidak mampu memberi tumpuan yang lama di dalam kelas. Dia hanya mampu bertahan selama beberapa minit sahaja namun begitu berdasarkan pemerhatian yang dibuat, Faiz memberi tumpuan sepenuhnya apabila salah seorang guru Faiz menggunakan multimedia sebagai alat bantu mengajar. Guru tersebut menyelitkan setiap perkara yang diajar dengan video. Hal ini membuatkan Faiz memberi tumpuan kerana Faiz amat berminat dengan cerita tersebut.

Ciri-ciri seterusnya ialah kanak-kanak seperti Faiz ini sentiasa menimbulkan kekeliruan kerana mereka kelihatan normal seperti kanak-kanak lain. Sebagai contoh, pada waktu rehat apabila Faiz berada bersama-sama rakan sekelasnya dan murid-murid normal, kita tidak mampu kanak-kanak autisme dengan kanak-kanak normal. Walaupun begitu, kadang kala Faiz akan memaparkan tingkah laku dan pola perkembangan yang berbeza. Apabila masalah ini lambat ditangani oleh guru mahupun ibubapa, ia akan memberi kesan yang serius pada perkembangan Faiz dalam semua bidang terutama bidang kemahiran sosial dan komunikasi.

Ciri-ciri kanak-kanak autisme dari segi gangguan deria ialah tidak suka dipegang atau disentuh. Selain itu, sensitif pada bunyi yang kuat dan menutup telinga. Ciri-ciri ini merupakan ciri-ciri yang terdapat pada Faiz berdasarkan pemerhatian yang dibuat. Sebagai contoh, di dalam kelas matematik Faiz tidak suka disentuh oleh gurunya apabila guru Faiz mengarahkan semua pelajar menulis nombor satu hingga tiga. Apabila melihat keadaan Faiz yang hanya mendiamkan diri, guru tersebut memegang tangan Faiz dan membantu Faiz menulis nombor tersebut. Namun begitu, Faiz kelihatan tidak selesa malah dia akan menjeritjerit. Faiz juga sangat sensitif pada bunyi yang kuat sebagai contoh bunyi kapal terbang yang sangat kuat membuatkan Faiz menutup telinganya dan Faiz kelihatan seperti ketakutan.

Ciri-ciri kanak-kanak autisme dari segi emosi ialah emosi kanak-kanak autisme seperti Faiz ini mudah berubah-ubah dan sangat sukar untuk diramal. Faiz akan mengamuk apabila melakukan sesuatu yang tidak diingini olehnya. Sebagai contoh, Faiz mengamuk apabila gambar dan video mengenainya diambil ataupun dirakam.

Punca masalah yang menyebabkan autisme adalah kompleks. Autisme berlaku disebabkan satu masalah biologi yang menganggu perkembangan dan sistem saraf otak. Kajian mendapati faktor genetik juga memainkan peranan penting dalam penyebabkan berlakunya autisme ini. Sebagai contoh, kajian menunjukkan jika salah seorang daripada kembar seiras mengalami

autisme, risiko untuk kembarnya menghadapi autisme atau masalah interaksi sosial dan kefahaman bahasa amat tinggi.

Selain itu, punca masalah ialah jangkitan virus yang dihidapi oleh ibu semasa hamil. Contohnya, Rubella, Toxo, Herpes, pemakanan yang tidak berzat, pendarahan, keracunan makanan, turut mempengaruhi pertumbuhan sel otak seterusnya menganggu fungsi otak bayi yang dikandungi itu terutama dalam aspek fungsi pemahaman, komunikasi dan interaksi.

Malah, punca autisme yang telah dikenal pasti ialah masalah pencernaan yang kurang baik. Lebih daripada 60% kanak-kanak autisme mempunyai sistem percernaan yang kurang baik. Misalnya, susu yang berasaskan daripada haiwan dan tepung gandum tidak dapat dicernakan dengan baik. Hal in terjadi disebabkan protein daripada makanan ini tidak ditukar menjadi asid amino atau peptone yang dibuang. Kemudian, ianya diserap kembali oleh tubuh, lalu memasuki aliran darah lalu terus ke otak dan diubah menjadi morfin iaitu casomorfn dan gliadrofin, yang merosakkan sel-sel otak. Disebabkan punca ini, fungsi otak terganggu yang melibatkan fungsi kognitif, komunikasi resetif, perhatian dan tingkah laku.

Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, aspek perkembangan kanak-kanak iaitu Faiz dapat dilihat dari aspek kognitif, bahasa, komunikasi, sosial dan emosi. Dari aspek kognitif, dapat dilihat dengan jelas perbezaan perkembangan kognitif kanak-kanak normal dengan kanakkanak autisme. Faiz merupakan kanak-kanak yang mempunyai daya kognitif yang lemah

sepertimana kanak-kanak autisme yang lain. Namun begitu, sesetengah kanak-kanak autisme mempunyai perkembangan kognitif yang tinggi dan juga berbakat antaranya Matt Savage iaitu seorang pemain piano yang merupakan kanak-kanak autisme. seperti yang diketahui, kanak-kanak seperti Faiz ini mempunyai tumpuan yang singkat namun begitu mereka akan memberi tumpuan sepenuhnya apabila aktiviti yang dilakukan berjaya menarik minat mereka. Individu autisme ini selalunya tertarik kepada sesuatu aspek sahaja. Sebagai contoh, Faiz amat alat muzik walaupun dia tidak mengetahui cara penggunaannya dengan betul. Peringkat pertama iaitu menumpukan perhatian di dalam pemerolehan maklumat, maka kegagalan mengenal pasti aspek yang sesuai bagi alat muzik tersebut membuatkan keupayaan Faiz untuk bermain adalah terhad.

Selain itu, kanak-kanak ini juga mampu menerima input daripada deria tetapi mereka tidak mampu memilih isi-isi penting yang terdapat dalam ayat yang didengari olehnya. Maka, input yang diterima kekal tanpa sebarang perubahan. Selalunya maklumat yang diterima akan diproses dan disimpan dalam bentuk ingatan jangka pendek mahupun ingatan jangka panjang dan akan dikeluarkan semula apabila diperlukan. Namun, kanak-kanak autisme ini tidak mampu berbuat demikian. Disebabkan itu, mereka tidak mampu memberi tumpuan terhadap perkara-perkara yang mampu dikaitkan dengan ingatan masa lalu dan mengimbas kembali sesuatu perkara. Hal itulah yang menjadikan mereka sukar membuat atau memahami jenaka, membuat anologi dan sebagainya.

Aspek kedua yang boleh dilihat ialah aspek bahasa. Seperti yang telah diketahui, Faiz merupakan individu yang mempunyai masalah bahasa. Hal ini terjadi disebabkan perkembangan bahasa Faiz adalah terhad dan tidak fleksibel. Kanak-kanak autisme ini banyak bergantung dan menuturkan perkataan-perkataan yang mereka ingat secara hafalan iaitu berdasarkan interaksi mereka dengan ibubapa dan guru semasa di rumah mahupun di sekolah. Sebagai contoh, panggilan diri Faiz iaitu mamat. Dia mengingati nama timbangannya dan dia selalu menyebut nama timbangannya itu. Masalah perkembangan bahasa individu tersebut dapat dibahagikan kepada empat iaitunonsegmental phonology iaitu mereka tidak mampu menghasilkan pertuturan yang nonsegmental (prosodi). Perbezaan prosodi yang ditunjukkan oleh kanak-kanak autisme ialah irama yang stereotaip, pengeluaran bunyi vokal yang berubah-ubah turun naiknya dan tidak seperti biasa. Selain itu, pertuturan yang monotonus dengan nada suara yang terhad dan tidak menunjukkan perbezaan dalam intonansi dalam percakapan. Hal ini berbeza dengan perkembangan kanak-kanak normal yang mampu menuturkan sesuatu dengan menunjukkan perbezaan dalam intonansi dalam percakapan mereka.

Seterusnya, bahasa idiosinkrantik iaitu perkataan dan frasa yang dituturkan adalah unik. Perkataan yang dituturkan mempunyai proses semantik yang ganjil dan kekurangan dalam kefahaman. Dia mudah mengingati perkataan-perkataan yang pertama kali dia pelajari dan tidak tahu membuat generalisasi untuk menggunakan perkataan tersebut dalam situasi yang

baru. Pembahagian seterusnya ialah masalah kata ganti nama. Penggunaan kata ganti nama ini banyak menimbulkan kekeliruan dalam diri kanak-kanak autisme seperti Faiz. Keadaan ini terjadi disebabkan dia sukar memahami dan mengunakan perkataan yang berubah makna mengikut konteks. Akhir sekali ialah ekolalia yang membawa maksud kanak-kanak autisme mengulang-ulang apa yang dicakapkan tanpa niat untuk berkomunikasi dan berlaku secara automatik. Terdapat 3 jenis ekolalia iaitu ekolalia serta-merta iaitu pengulangan yang sertamerta apabila perkataan disebut, ekolalia lewat iaitu diucap agak lewat selepas perkataan disebut dan ekolalia terakhir ialah ekolalia ringan iaitu pengulangan segera tetapi terdapat perubahan apa yang dipertuturkan. Faiz mengalami ekolalia lewat kerana dia lambat menuturkan sesuatu yang didengari olehnya.

Perkembangan kanak-kanak autisme juga dapat dilihat menerusi perkembangan komunikasi. Faiz merupakan individu yang tidak mempunyai sebarang niat mahupun keinginan untuk berkomunikasi dengan orang lain. Malah, dia juga sukar untuk memahami bahasa badan dan ekspresi orang lain. Ini membuatkan dia tidak memahami perasaan orang lain dengan betul dan sentiasa melakukan kesilapan di dalam tindak balas yang dibuat. Hal ini menunjukkan perbezaan dengan kanak-kanak normal yang berkomunikasi apabila menginginkan sesuatu malah memahami bahasa badan mahupun ekspresi yang dibuat.

Dari aspek perkembangan sosial pula, kanak-kanak seperti Faiz ini menjadi handikap apabila berinteraksi dengan orang lain. Hal ini kerana dia selalu mengelak daripada bertentang mata ketika bercakap, tidak tahu memulakan perbualan, dan suka bermain bersendirian. Masalah tingkah laku sosial ini boleh dilihat dari 3 kategori iaitu penghindaran sosial, dimana mereka mengelak dari sebarang bentuk interaksi sosial. Mereka selalu menjauhkan diri apabila ada orang hendak berinteraksi dengan mereka. Kategori seterusnya ialah bersikap tidak acuh iaitu individu ini mengambil sikap tidak acuh dengan keadaan sekelilingnya walaupun mereka tidak menjauhkan diri dari pergaulan. Kategori yang terakhir ialah kekok ataupun janggal ketika bersosial. Hal ini terjadi apabila kanak-kanak autisme seperti Faiz ini berusaha untuk berkawan tetapi dia tidak berusaha untuk mengekalkan hubungan itu. Ini disebabkan dia lebih berminat bercakap mengenai dirinya berbanding memahami orang lain juga mempunyai idea, perasaan dan sebagainya.

Aspek terakhir dalam perkembangan kanak-kanak ialah perkembangan emosi. Faiz merupakan kanak-kanak yang sukar membuat hubungan secara emosi dengan orang lain kerana dia tidak memahami bahawa perasaan tertentu boleh ditunjuk dalam cara yang tidak salah faham. Selain ini dia juga tidak mampu mengawal emosinya daripada menyembunyikan perasaan suka atau tidak suka kepada sesorang. Perkara tersebut sangat berbeza dengan perkembangan emosi kanak-kanak normal seusia dengan Faiz yang sudah mampu mengawal emosinya.

Oleh itu, dapatlah dilihat perbezaan dan masalah yang dihadapi oleh Faiz dengan kanak-kanak normal. Walaupun Faiz merupakan kanak-kanak berkeperluan khas, ini tidak bermaksud dia perlu diabaikan. Berikut adalah cadangan-cadangan intervensi awal yang dapat dibuat untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini. Intervensi awal yang dapat dijalankan ke atas Faiz antaranya ialah terapi muzik. Terapi muzik dapat dilakukan ke atas Faiz kerana penggunaan muzik ini membolehkan kedua-dua bahagian otak menerima pelbagai aspek yang terdapat di dalam muzik iaitu melodi, pic, ton, ritma dan lain-lain. Penggunaan terapi muzik dengan aktif dapat memberikan ketenangan kepada kanak-kanak autisme seperti Faiz. Malah, terapi ini juga dapat menstimulasikan dan menghiburkan kanak-kanak tersebut kerana kanakkanak autisme sangat berminat pada bunyi muzik yang mempunyai daya tarikan yang luar biasa pada mereka. Elemen-elemen muzik ini haruslah diterapkan di dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan khas ini kerana terapi ini secara tidak langsung dapat membantu kanak-kanak seperti Faiz ini menyebut perkataan-perkataan mahupun angka yang diajar di dalam kelas. Sebagi contoh, lagu ABC, lagu Oh Mac Donald dan sebagainya. Kanak -kanak bermasalah pembelajaran ini juga mampu didisplinkan melalui muzik.

Intervensi awal yang dapat dilakukan seterusnya ialah terapi bermain. Seperti yang diketahui, setiap individu seperti Faiz mempunyai sesuatu benda yang amat diminatinya. Berdasarkan pemerhatian, Faiz amat berminat dalam permainan dam ular. Oleh itu, terapi bermain ini dapat diaplikasikan kepada Faiz kerana ia merupakan pendekatan yang digunakan dengan

cara bermain. Permainan yang digunakan untuk membuat terapi hendaklah merupakan permainan berdasarkan minat kanak-kanak tersebut. Secara tidak langsung, terapi ini akan membentuk kemahiran komunikasi dan sosial dalam diri mereka. Terapi ini dapat memberi impak yang hebat kerana melalui terapi bermain ini, mereka dapat membantu kanak-kanak autisme memahami perasaan mereka, persekitaraan dan hubungan mereka dengan ibubapa, adik beradik dan rakan. Hal ini kerana melalui terapi ini, kanak-kanak autisme berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti yang diminati oleh mereka sekaligus berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak memberi tekanan mental pada mereka dan mewujudkan perasaan riang, senyum dan ketawa dalam diri kanak-kanak ini.

Selain itu, intervensi awal yang dapat dibuat ialah rawatan perubatan dan pengurusan tingkah laku. Penggunaan ubatan Ritalin dapat mengatasi masalah kurang tumpuan dan hiperaktif didalam diri kanak-kanak autisme ini. Malah, dengan pengambilan vitamin B6 bersama magnesium juga dapat membantu meningkatkan kesedaran dan tumpuan perhatian kanak-kanak autisme.

Intervensi awal yang dapat dilakukan dengan menyediakan program pendidikan yang bersepadu dan terancang. Keunikan corak pembelajaran mereka adalah disebabkan kepelbagaian atau kerencaman masalah lain yang berkait dengan masalah autisme itu sendiri

seperti masalah tingkah laku, emosi, komunikasi, sosial, dan kognitif. Matlamat utama intervensi ini dapat membantu kanak-kanak autisme dari aspek pengurusan tingkah laku.

Seterusnya, terapi integrasi sensori juga merupakan salah satu intervensi awal yang dapat dilakukan. Cara terapi ini dijalankan ialah kanak-kanak autisme ini dibenarkan bermain dengan pelbagai tekstur seperti tanah liat, pasir, bongkah kayu dan sebagainya. Selain itu, permainan seperti bermain buaian mahupun duduk di atas tilam air mampu membantu kanakkanak itu bertindak balas dengan baik terhadap maklumat sensori tanpa perlu terlalu gembira. Terapi yang dijalankan ini, bermatlamat bukan untuk mengajar kemahiran tetapi untuk membantu meningkatkan kemahiran motor sensori sekaligus kemahiran motor halus dan kemahiran mengurus diri.

Intervensi awal tersebut dapat diaplikasikan kepada Faiz agar Faiz mampu membantu Faiz menjadi individu yang lebih baik. Namun begitu, intervensi awal ini haruslah disertai dengan khidmat sokongan agar Faiz dapat menghadapi masa depannya. Khidmat sokongan yang dapat dilihat adalah daripada tiga pihak iaitu kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta guru mahupun keluarga. Khidmat sokongan daripada kerajaan ialah wujudnya kementeriankementerian berkaitan pendidikan khas. Sebagai contoh, Kementerian Kebajikan Masyarakat yang diwujudkan untuk bertanggungjawab ke atas pendidikan kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terencat akal sederhana dan teruk serta kanak-kanak spastik. Selain itu, Akta

Pendidikan 1991 disemak semula kemudian digantikan dengan Akta Pendidikan 1996 yang mempunyai satu bab khusus mengenai Pendidikan Khas telah dimasukkan dalam akta tersebut yang salah satunya menyarankan menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34(1)(b) atau mana-mana sekolah rendah atau menengah yang difikirkan menteri suaimanfaat.

Khidmat sokongan seterusnya daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO). Khidmat sokongan yang ditubuhkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) ini menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti untuk menyedarkan ibubapa dan masyarakat mengenai kanak-kanak berkeperluan khas ini. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan berjaya menarik ramai ibubapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka di pusat-pusat tertentu yang telah disediakan. Secara tidak langsung, bilangan guru pendidikan khas serta bilangan kelas pendidikan khas semakin bertambah. Hal ini menunjukkan kesedaran pelbagai pihak terhadap kanak-kanak berkeperluan khas ini dari segi pendidikan, kemudahan dan lain-lain. Antara Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam penyediaan pendidikan khas ini adalah Pusat Bimbingan Sinaran Matahari, Pusat Harian Kanak-kanak Istimewa. Antara penyediaan pendidikan khas ialah menyediakan intervensi awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas di antara umur 2 16 tahun.

Khidmat sokongan yang terakhir ialah daripada guru dan keluarga iaitu ibubapa. Sebagai seorang guru pendidikan khas, guru tersebut haruslah memahami keperluan kanakkanak tersebut. Hal ini kerana dengan memahami keperluan serta perbezaan mereka, guru tersebut mampu meningkatkan pengurusan diri mereka. Pendekatan pembelajaran yang digunakan bagi setiap kanak-kanak haruslah berbeza-beza dan mengikut minat mereka. Ibubapa pula memainkan peranan yang amat penting dalam mengajar anak mereka mengenai cara mengurus diri semasa di rumah. Ini kerana kadang kala, kanak-kanak berkeperluan khas ini lebih selesa belajar dengan ibubapa mereka. Misalnya, apabila melipat kain. Kita boleh mengajar kanak-kanak tersebut mengenai warna pada pakaian tersebut ataupun bilangan pakaian. Ibubapa tersebut mungkin boleh meminta anak mereka mengira pakaian yang telah dilipat ataupun pakaian yang belum dilipat. Ibubapa juga boleh memperkenalkan sesuatu yang baru kepada kanak-kanak tersebut sebagai contoh memperkenalkan jenis-jenis pakaian seperti baju kurung, seluar dan sebagainya.

Tuntasnya, kanak-kanak autisme seperti Faiz mampu dididik dan dibentuk ke arah yang lebih baik. Malah, tidak mustahil bagi seseorang kanak-kanak berkeperluan khas sepertinya tidak mampu berjaya dalam hidup dan boleh menguruskan diri sendiri. Oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan yang amat penting dalam menjadikan Faiz sebagai seorang insan yang berjaya seperti individu-individu autisme yang lain, yang mampu berjaya dalam hidup mereka antaranya Temple Grandin. Beliau merupakan salah seorang penulis dan

jurucakap yang aktif dalam bidang autisme malah beliau mampu bekerja sebagai Professor Madya di Universiti Colarado.

http://studentipg.blogspot.com/2011/03/pendidikan-khas-masalah-pembelajaran.html

You might also like