You are on page 1of 20

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

TRAVELOG JEJAK PATANI 2013 Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya 19-26 Mei 2013, Patani Thailand Disediakan oleh Izwan Suhadak Ishak | izwan@unisel.edu.my

Pengenalan Seramai tujuh orang sukarelawan daripada pelbagai latar belakang telah menabur bakti dalam Jejak Patani 2013 dengan tumpuan pada Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya. Ini adalah kali kedua. Program ini dianjurkan bersama Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), Universiti Selangor (Unisel), Global Peace Mission Malaysia (GPM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pelajar Islam Indonesia (PII) dan Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT). Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed (GPTD) selaku Pengarah Projek dibantu Timbalan Pengarah, Saudari Ili Akmal Mohd Razif (GPTD). Turut terlibat Saudari Ummahatul Hammimah Yatim (GPTD) sebagai Setiausaha, Saudara Mohd Rizaman Mohd Sukri (GPTD) sebagai Fotografer, Saudari Amalina Ismail (PKPIM), Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi (PII) dan Saudara Izwan Suhadak Ishak (Unisel) masing-masing sebagai sukarelawan. Peluang untuk mengembara dan berbakti di lapangan bukan perkara yang mudah dan selalu dapat dinikmati. Lebih-lebih lagi kepada yang sudah bekerjaya seperti saya. Sebagai tenaga pendidik di Unisel dan selaku Penasihat kepada Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD), ini merupakan satu kurnia dan rahmat daripada Allah swt kerana diberikan kesempatan untuk terlibat bersama-sama melihat realiti. Bukan sekadar tinjauan melalui ruang siber. Turun ke lapangan umat dengan membuat kajian dan memberi kesedaran memang menguji kesabaran dan daya tahan. Cabaran dengan rakan pasukan, interaksi dengan komuniti, halangan pihak ketiga, kekurangan dana, tekanan dengan tugasan dan sebagainya bukan menjadi penghalang kami untuk membatalkan niat murni ini. Tetapi ia sebenarnya merupakan tarbiyah terus daripada Allah swt untuk menguji sejauh mana keikhlasan, kesungguhan dan keberanian kami semua. Catatan ini adalah perkongsian peribadi sekumpulan sukarelawan yang membuat pilihan untuk menjalankan menabur bakti keilmuan, menimba pengalaman, mencari makna kehidupan, membina pemikiran yang matang, mengkaji sejarah sebuah tamadun, mengenal potensi diri dan masyarakat, mengangkat ketokohan setempat, meninjau realiti dan membina jaringan anak muda yang merentas sempadan geografi. Semoga ianya memberi manfaat pada diri dan orang lain. Semua ini dilakukan dengan menggenggam semangat motto GPTD, menjejak.meneladani.memimpin.

Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Masjid Kerisik & Meriam Sri Patani Menziarahi Masjid Kerisik adalah perkara wajib yang setiap kali kunjungan ke Patani. Masjid yang merakamkan banyak peristiwa sejarah dan berdarah. Secara peribadi, ini adalah kali ke 5 saya singgah ke masjid batu bata bercirikan binaan di timur tengah. Gerbang dan tingkapnya menyerupai konsep moor di Spanyol. Masih mengekalkan bentuk asal pada bahagian luar binaan. Batu bata merah tanpa simen disusun kemas menjadi dinding utama masjid. Sangat klasik. Tanpa kubah. Meninjau sejarah, ada yang mendakwa bahawa Masjid Kerisik adalah binaan yang tidak siap kerana tidak mempunyai kubah dan tidak bersimen. Mitos ini dikaitkan dengan kisah misteri dua beradik lelaki berlainan agama (Islam dan Budha) sehingga monumen tokong dan pokok besar tidak berdaun di belakang masjid nampak seperti kisah tersebut benar-benar berlaku. Dikatakan adik (Budha) mengajak abangnya (Muslim) untuk pulang ke China. Tetapi abangnya tidak mahu pulang kerana ingin tinggal di Patani dan menyiapkan Masjid Kerisik. Oleh kerana itu, adiknya membuat keputusan untuk gantung diri di dahan pokok yang besar berhampiran dengan masjid. Si abang yang terkejut dengan berita adiknya akhirnya memberhentikan kerja-kerja pembinaan masjid. Jika pengunjung ke sini akan melihat satu pokok yang besar di belakang masjid dan jirat cina (kubur cina) dalam bentuk bukit sebagai simbolik. Sedangkan pada papan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan mencatatkan bahawa Masjid Kerisik di bina pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (Phraya Tanisisultan) dan merupakan masjid pertama yang dibina di Patani. Selepas beberapa peperangan Patani dengan Siam, masjid rosak dan runtuh pada tahun 1786. Kemudian, kerajaan Thailand mengisytiharkan Masjid Kerisik sebagai monumen bersejarah negara oleh Fine Arts Department pada 1935. Masjid ini telah dibaikpulih pada tahun 1957 dan 1982. Catatan ini sangat berbeza dengan ceritacerita mitos yang sering didendangkan oleh masyarakat sekitar kepada para pengunjung yang hadir. Kadang-kadang, manusia malas berfikir sehingga boleh diperdaya dengan rekaan sejarah baharu. Peristiwa berdarah di Masjid Kerisik sentiasa menjadi ingatan umat Islam di seluruh dunia. Tanggal 28 April 2004 telah merakamkan kenangan pahit yang berlaku sewaktu masyarakat baru selesai menunaikan solat fardhu. Mereka telah di kepung oleh pihak tentera Thailand dan jemaah masjid tidak dibenarkan keluar. Tembakan M16 pun dilepaskan oleh tentera malah bom juga digugurkan daripada helikopter Apache yang ditujukan ke dalam masjid. Ketika itu binaan masjid pada bahagian kubah tidak di tutup. Serangan dan tembakan dibuat pada seluruh arah. Mangsa yang terkorban sejumlah 108 nyawa anak muda dan orang tua yang tidak berdosa. Mereka hanya disyaki ingin mewujudkan kebangkitan dan semangat melawan kerajaan Thailand tanpa sebarang bukti. Bagi menutup kesilapan pihak tentera, kerajaan Thailand mengambil inisiatif dengan memberi bantuan kewangan, kambing, baja dan sebagainya kepada keluarga mangsa dan orang kampung,
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Malah, kesan tembakan dan kerosakan di Masjid Kerisik juga di tutup dengan dibaik pulih semula. Sekarang, bahagian dalam masjid telah di simen serta ditambah dengan ukiran kayu. Bumbung juga sudah ditambah, permaidani lembut dihamparkan untuk kegunaan orang bersolat. Hanya nampak kesan tembakan pada bahagian luar pada dinding batu bata dengan warna hitam seperti terbakar. Pada papan yang mencatatkan tentang sejarah masjid ini juga berlubang kesan tembakan. Sejak peristiwa berdarah, ramai pengunjung daripada seluruh dunia yang datang berziarah ke Masjid Kerisik untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Nampaknya, kerajaan Thailand mengambil langkah selamat bagi menutup kezaliman yang pihak tentera telah lakukan. Ketika kami berada di Masjid Kerisik, sedang dalam pembinaan replika Meriam Sri Patani di hadapan masjid. Masyarakat Melayu Patani sudah beberapa kali meminta Meriam Sri Patani dikembalikan dan ditempatkan di Patani. Namun ditolak oleh pihak kerajaan dan hanya dibenarkan membina replika meriamnya sahaja. Meriam Sri Patani kini berada di hadapan Kementerian Pertahanan Thailand yang bertentangan dengan Istana Besar di Bangkok. Meriam Sri Patani berukuran 9 kaki merupakan meriam terbesar dan termasyur pernah dibina di Alam Melayu pada abad ke 17. Sekarang Sri Patani dijadikan simbol bagi Wilayah Patani.

Pemerintah Kerajaan Melayu Patani pada masa tersebut adalah Ratu Biru (1616-1624). Selepas mendapat perkhabaran tentang khabar angin bahawa Siam akan menyerang Patani, baginda telah menugaskan Tok Kayan untuk mengetuai pembinaan meriam. Tiga buah meriam telah dibina dan diberi nama Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Dimaklumkan bahawa meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Patani berjaya mempertahankan wilayahnya dengan menggunakan teknologi meriam ini dan telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani masing-masing pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638. Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Siam semasa kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menawan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, manakala Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat dikesan. 10 hari selepas siap replika meriam ini dikhabarkan Sri Patani telah dibom. Menurut Hara Shintaro, Pensyarah Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial di Prince of Songkhla University (PSU), kejadian ini merupakan satu mesej daripada masyarakat Melayu Patani agar Sri Patani yang sebenar harus di kembali ke Patani. Mereka rasa sangat terhina kerana Sri Patani adalah milik Patani dan dirampas ketika peperangan antara Thai dan Patani. Jika sebagai tanda
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

perdamaian dan persahabatan antara Bangkok dan Patani sewajarnya bukan Sri Patani palsu dihadiahkan kepada masyarakat Melayu Patani. Hara Shintaro seorang pensyarah Bahasa Melayu di PSU yang turut dalam diskusi tentang Proses Perdamaian Patani. Beliau merupakan graduan Universiti Malaya dalam Pengajian Melayu dan pernah mengeluarkan kenyataan di dalam Dewan Bahasa Edisi Mei 2009 yang memetik Sebagai pelajar-pengajar Bahasa Melayu, saya kecewa dengan sikap penutur dan pengguna bahasa Melayu di negara ini. Orang asing yang mempelajari bahasa Melayu kebanyakannya menyukai bahasa Melayu. Namun, perkara yang menyedihkan ialah bahasa yang kami pelajari dengan bertungkus-lumus ini tidak digunakan sepenuhnya di Malaysia. Dalam kalangan ahli bahasa, pejuang bahasa dan pencinta bahasa, wujud keazaman yang kuat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Namun, sebelum menjadi bahasa antarabangsa, sesuatu bahasa itu mesti kukuh di negaranya sendiri. Bahasa Melayu bagaikan sebatang pokok. Pokok bahasa Melayu tidak akan tumbuh dengan subur dan sempurna jika dibiarkan tidak bercahaya, berair dan berbaja. Kenduri Rakyat menjana dana pembangunan umat Inilah kali pertama saya dan sukarelawan menghadiri undangan Kenduri Rakyat. Tujuan Kenduri Rakyat diadakan untuk mengumpulkan dana pembangunan masjid, madrasah, NGO dan sebagainya. Majlis ini diadakan di Masjid Nurul Islam dalam rangka untuk membesarkan lagi masjid agar dapat dimanfaatkan oleh kariahnya. Mereka sasarkan seluruh masyarakat Islam di 3 wilayah iaitu Patani, Yala dan Narathiwat. Jumlah dana yang mereka sasarkan adalah 3 juta Bath (anggaran RM300 000). Setakat tengah hari sewaktu kami tiba, dana terkumpul sudah mencapai 1.2 juta Bath berdasarkan paparan di khemah penyerahan sumbangan. Majlis ini diadakan seawal 9.00 pagi sehingga lewat petang. Kadang-kadang ada yang melanjutkan sehingga malam. Menu istimewa yang disediakan adalah nasi kerabu dengan ulam, ikan, daging dan budu. Selera ketika menikmati jamuan ini benar-benar terbuka apabila budu yang pekat dan masin manis yang disediakan sangat menyelerakan. Berbeda dengan budu di Malaysia. Ada beberapa orang yang menjual ikan bakar, air manis sejuk, keropok akan singgah ke meja jamuan untuk memberi pilihan tambahan kepada pengunjung. Anggaran kasar saya, satu khemah boleh memuatkan 6 meja. Satu meja boleh menyediakan hidangan untuk lima orang. Dua khemah disusun bersebelahan dan disepanjang jalan di hadapan Masjid Nurul Islam. Ketika bergerak pulang saya sempat mengira jumlah khemah. Dianggarkan ada sejumlah 200 khemah, 1200 meja dan 6000 kerusi. Dalam satu-satu masa Kenduri Rakyat ini boleh menampung 6000 orang. Mungkin lebih 40000 orang yang akan hadir makan dan menderma. Warga kampung dan kariah masjid akan bergotong royong menyediakan menu makanan. Undangan Kenduri Rakyat ini akan diedarkan awal sebulan ke seluruh masjid, pondok, madrasah dan kampung di 3 Wilayah Selatan Thailand. Undangan berbentuk kad berserta sampul dalam tulisan jawi dan bahasa siam. Duit sumbangan daripada penderma individu atau masyarakat
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

kampung akan dimasukkan di dalam sampul. Sumbangan tersebut akan diberikan di sebuah khemah khas. Resit akan dikeluarkan sebagai bukti penyerahan. Setiap para jemputan yang tiba akan disambut oleh penyambut tetamu. Penyambut tetamu akan meraikan dan menunjukkan meja kosong untuk para tetamu. Penyambut tetamu akan melaporkan maklumat tetamu kepada DJ bertugas untuk diuar-uarkan kepada khalayak yang hadir. Di sepanjang khemah ada dua pondok DJ yang akan membuat liputan para tetamu. Sistem ini patut dipuji kerana budaya infaq di kalangan masyarakat Melayu Patani masih utuh. Jika di Malaysia, fund raising dibuat dalam bentuk Hi-Tea atau Dinner dengan ada persembahan istimewa. Lebih eksklusif dan terhad serta dianjurkan di hotel-hotel. Penyediaan jamuan makan akan diberikan kepada pihak catering. Orang-orang tertentu sahaja akan hadir ke majlis tersebut. Di sini sangat unik kerana semua lapisan masyarakat boleh hadir dan ingin menyumbang walaupun dalam jumlah yang kecil. Semangat bergotong royong masih kuat untuk bantu membantu tolong menolong. TADIKA survival jatidiri Melayu Patani Jika di Malaysia istilah tadika akan merujuk kepada institut pendidikan awal kanak-kanak atau pun pra sekolah. Di Indonesia pula tadika disebut dengan sebutan teka yang sasarannya untuk kanak-kanak seawal empat tahun. Di sini, tadika adalah sekolah yang mengajarkan Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu untuk pelajar berusia 4-12 tahun. TADIKA adalah kependekan daripada Taman Didikan Kanak-Kanak. Tadika beroperasi pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 7.30 pagi sehingga 4.00 petang. Rutinan pelajar-pelajar ini pada awal pagi akan berhimpun di perkarangan tadika dalam barisan yang lurus. Membaca doa, menyanyikan lagu semangat dan berikrar. "Allah Tuhanku, Muhammad Nabiku, Islam agamaku, Al-Qur'an panduanku, Muslimin saudara kami", laungan ikrar yang kuat para pelajar memang mengujakan kami. Kelas akan bermula jam 8.00 pagi mengikut tahap masing-masing. Pada 11.00 pagi para pelajar akan pulang ke rumah untuk menikmat makan tengah hari bersama keluarga. Ada juga yang tinggal dan membeli makanan yang dijual oleh penjaja di kawasan pagar tadika. Tepat 12.30 tengah hari, semua bersiap untuk solat Zuhur berjamaah yang diimamkan oleh guru mereka. Begitu juga apabila tiba waktu Asar, mereka akan berjamaah sekali lagi. Kemudian baharu dibenarkan pulang. Sebenarnya nama lama TADIKA adalah Sekolah Melayu. Ditubuhkan pada tahun 1950 kemudian bertukar nama pada tahun 1970 atas arahan kerajaan Thailand. Laporan statistik pada 2010 terdapat 2237 buah sekolah dengan 212 981 pelajar serta 11887 orang guru. Pada awal Januari 2013, pemerintah Thailand cuba menutup tadika. Malah sejak 2004, usaha untuk mengubah kurikulum tadika telah berlaku melalui Office of the Private Education Commission (Pejabat Suruhanjaya Pendidikan Swasta). Ada juga kegiatan yang dianjurkan oleh mahasiswa dari Prince of Songkhla University (Kampus Patani) dan Princess of Naradhiwas University ketika cuti sekolah panjang pada setiap bulan
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

April. Kegiatan tersebut lebih dikenali sebagai KOMPAS (Kem Musim Panas). Kem inilah yang sukarelawan Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) pernah terlibat pada tahun 2012 di Sekolah Perakthom Siksa Nad Tanjung, Yaring, Patani. Dalam pertemuan di Akademi Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Princess of Naradhiwas University. Husin Ramli, Presiden Persatuan Akademi Pengajian Islam dan Bahasa Arab memaklumkan bahawa setiap hujung minggu mahasiswa akan turun mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu di tadika yang terpilih bagi membantu masyarakat membangunkan sistem pendidikan. Insya Allah, GPTD berhasrat untuk menghantar sukarelawan secara berkala dari seluruh rantau Asia Tenggara untuk turun membantu dalam proses pendidikan ini. Tambahan pula, ASEAN (Association of Southeast Asian Nations) ingin merealisasikan ASEAN Economic Communittee (AEC) pada 2015 dan telah dipersetujui pada 20 November 2007 di Singapura semasa 13th ASEAN Summit. Dasar ini akan memudahkan pergerakan warga ASEAN dalam soal bisnes, pendidikan dan interaksi sosio-budaya antara sesama negara anggota. Sekolah Prathom dan Matthayom Ketika mengenali dan memahami sistem pendidikan di Patani. Saya merasakan bahawa jiwa anak-anak di Patani benar-benar kental dalam soal pendidikan mereka. Ini kerana bukan sahaja mereka akan bersekolah secara formal di Sekolah Prathom (Sekolah Rendah) dari hari Isnin sehingga Jumaat bermula jam 8.00 pagi sehingga 3.00 petang. Mereka juga akan menghadiri Kelas Qiraati bermula Maghrib sehingga Isya. Pada Sabtu dan Ahad pula perlu menghadiri ke Tadika seawal 7.30 pagi sehingga 4.00 petang. Saya terkenang kembali tradisi pendidikan zaman kegemilangan Patani yang telah memperkenalkan Islam sejak kanak-kanak lagi. Seawal usia lima, enam tahun sudah diasuh supaya menghafal pengetahuan mengenal Allah dan diajarkan pelajar nahu dan sharaf. Sistem pendidikan tradisional ini telah dilalui oleh tokoh hebat dan ulama besar Patani dan nusantara seperti Syeikh Daud al-Fatani. Di Sekolah Prathom, pelajar Melayu hanya diajarkan pendidikan akademik dengan bahasa pengantarnya adalah Bahasa Thai. Subjek Pendidikan Islam dan Bahasa Melayu langsung terabai di sini. Oleh sebab itu, ibu bapa khuatir jatidiri anak mereka akan terhakis sedikit demi sedikit. Krisis generasi muda yang sudah tidak pandai tulisan jawi dan berbahasa Melayu sudah pun wujud. Jika di Bangkok, orang Melayu sudah tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun dalam loghat Melayu Patani. Bahasa seharian mereka adalah Bahasa Thai. Ini disahihkan ketika saya kebetulan bertemu dan kelompok melayu yang berasal dari Bangkok yang membuat ziarah ke lokasi Masjid Besar Al-Fatani. Kami bersalaman dan ingin mulakan perbualan namun bahasa yang terpacul hanya bahasa Thai. Cuma sekali sekala keluar beberapa sebutan Melayu. Bahasa Inggeris juga tidak dapat difahami sebahagian mereka. Tetapi berdasarkan riak wajah dan senyuman mereka, mesej ukhwah fillah yang dapat dirasai. Saya terpaku. Terpanggil untuk lakukan ziarah ke Bangkok, melihat realiti orang Melayu di sana. Insya Allah pada masa hadapan.
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Struktur sekolah di Thailand dibahagi kepada 4 peringkat. Sekolah Prathom peringkat pertama darjah 1-3 untuk kelompok berusia 6-8 tahun. Manakala Sekolah Prathom peringkat kedua darjah 4-6 untuk kelompok berusia 9-11 tahun. Peringkat ketiga pula untuk Sekolah Matthayom (Sekolah Menengah) tingkatan 1-3 untuk kelompok berusia 12-14 tahun. Peringkat terakhir di Sekolah Matthayom tingkatan 4-6 untuk pelajar berusia 15-17. Peringkat ini memberi pilihan kepada pelajar untuk memilih aliran akademik atau vokasional. Selepas peringkat ini, pelajar boleh melanjutkan pelajar ke kolej atau universiti. Kanak-kanak seawal 2-3 tahun sudah belajar di pra-sekolah dengan didedahkan dengan bermain sambil belajar manakala 3-5 tahun pula adalah peringkat tadika. Kem Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris Mengajar adalah suatu perkara yang menarik tetapi mengajar kanak-kanak adalah perkara yang mencabar. Beberapa persiapan sejak di Malaysia lagi sudah dilakukan. Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed bertanggungjawab untuk menyediakan modul Bahasa Melayu. Manakala Saudari Ili Akmal Mohd Razif pula menyiapkan bahan modul Bahasa Inggeris. Kami fokus untuk membiasakan mereka bertutur dalam Bahasa Melayu laras piawai di Malaysia. Oleh yang demikian, kami cuba yang terbaik untuk menyampaikan permainan dan aktiviti dalam bahasa perbualan biasa di Malaysia. Adik-adik ini sangat teruja. Kakak dan abang mengajar macam dalam bahasa buku, kata Saudari Fatimah Mayon (Guru Tadika) dengan mengajuk kata-kata adik peserta. Bagi modul Bahasa Inggeris pula, mereka diajarkan dengan lagu dan permainan. Respon yang diberikan sangat baik dan mendapat sambutan. Kami membahagikan adik-adik peserta kepada 6 kumpulan dengan nama tokoh seperti Al-Fateh (Saudari Amalina Ismail), Cheng Ho (Saudari Ili Akmal Mohd Razif), Haji Sulong (Saudara Raziman), Syeikh Samad (Muhammad Salman Faris Alfarisi), Syeikh Ahmad (Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed), Syeikh Daud (Saudari Ummahatul Hamimah Yatim). Setiap kumpulan terdiri daripada 12 atau 13 orang. Masing-masing berlumba-lumba bersaing menunjukkan sorakan dan persembahan. Lagu nasyid Rasulullah menjadi pilihan untuk diajarkan kepada adik-adik ini. Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Namun penghayatan terhadap lagu ini lebih bermakna. Dengan keletah segelintir adik-adik lelaki yang nakal namun tetap menghiburkan. Saudari Amalina Ismail sebagai failitator yang kelihatan paling mencabar menguruskan kumpulannya. Kebetulan ahli kumpulannya segelintirnya merupakan pelajar otai yang suka buat perangai. Tetapi berkat kesabaran dan kepakaran beliau dalam bidang kefasilitatoran berjaya membentuk kumpulan AlFateh dengan baik. Semoga adik-adik ini dapat meneladani semangat juang dan ketokohan AlFateh. Penggunaan tulisan jawi masih menjadi medium pengajaran Bahasa Melayu Tadika. Oleh yang demikian agak sukar untuk adik-adik menulis dalam tulisan rumi. Jika ditulis, mereka akan eja
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

dalam bentuk sebutan loghat Melayu Patani. Kita harapkan program seperti ini dalam diperkasakan lagi. Agar bahan bacaan dari Malaysia dan Indonesia dalam bahasa Melayu rumi akan dapat dibaca. Kebangkitan dan perubahan yang berlaku di Patani harus melalui penguasaan pendidikan. Oleh yang demikian, kami berhasrat untuk menghantar sukarelawan sebulan sekali ke Patani yang boleh mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara intensif. Dialog Mahasiswa di Princess of Narathiwas University Sebaik tiba di destinasi yang dituju. Kami telah dinanti dan disambut oleh Saudara Bukhoree Abd Majid bersama barisan kepimpinan Persatuan Akademik Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Princess of Narathiwas University di Patani. Ketika ini, kampus ini baharu sahaja selesai menjalankan sesi orientasi mahasiswa untuk pengambilan semester baharu. Dalam kesibukan, mereka masih bertenaga dan bersemangat menyambut kunjungan kami semua. Sebelum ini, Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed dan Saudari Ili Akmal Mohd Razif yang bertanggungjawab membina jaringan dengan Saudara Bukhoree Abd Majid sewaktu menjalankan Kembara Qurban di Patani semasa Raya Aidil Adha tahun lepas. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga direalisasikan pertemuan bersejarah ini. Dialog Mahasiswa ini telah dikendalikan oleh Presiden Persatuan Akademik Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Saudara Husin Bin Ramli. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam sesi dialog kali ini. Walaupun menggunakan loghat Patani, namun semangat mengekalkan jatidiri amat kami kagumi. Selepas berkenalan dengan semua mahasiswa, dialog bermula dengan Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed selaku Pengarah Projek menerangkan tujuan utama pertemuan ini. Saudari Amalina Ismail memberikan pandangan tentang perspektif mahasiswa Malaysia tentang isu di Wilayah Patani. Beliau yang mewakili Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan bahawa perkembangan yang berlaku di sini sering menjadi perhatian. Malah sejak tahuin 70 an lagi PKPIM tegas dan menyokong perjuangan rakyat Patani dan mengecam tindakan kerajaan Thailand yang sering dilaporkan melakukan penindasan terhadap masyarakat Melayu Patani, lebih-lebih lagi tentang Dasar Siamisasi yang dijalankan. Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi pula menyatakan agar ada perkongsian maklumat yang terkini dan perkembangan terbaharu daripada mahasiswa di Patani supaya dapat disebarluaskan sehingga ke Indonesia dan serantau. Beliau selaku Exco Perhubungan Antarabangsa, Pelajar Islam Indonesia (PII) serius untuk mengetengahkan isu konflik Selatan Thailand di Indonesia bersama-sama gerakan mahasiswa dan aktivis hak asasi di sana. Malah Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) yang dianggotai oleh gerakan mahasiswa dari Malaysia, Indonesia, Singapura pernah mengadakan KONGRES PEPIAT pada 5-7 Julai 2011 di Universiti Selangor Kampus Shah Alam. Turut diundang adalah wakil daripada Yayasan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Daya Manusia Thailand (FEHRD) yang berkongsi pengalaman membantu mangsa kezaliman tentera di Wilayah Patani.

Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Kenapa milih Patani untuk mengadakan projek ini?, tanya Saudara Husin Bin Ramli dalam loghat Patani pekat. Ini adalah soalan yang seringkali ditanya dan paling sukar untuk diungkapkan. Kami saling berpandangan sesama sendiri. Kerana kami rasa sangat dekat dengan Patani dari segi bahasa, sejarah dan budaya , Saudari Ummahatul Hamimah Yatim menjawab tenang. Kami dimaklumkan bahawa setiap minggu mahasiswa akan turun ke Tadika untuk membantu mengajar pendidikan Islam dan Bahasa Melayu. Mereka turut mengalu-alukan penglibatan kami. Dialog tersebut ditutup dengan beberapa persetujuan dan tindakan bersama. Kami bersetuju untuk terus membina jaringan melalui laman sosial facebook. Selain itu, mengadakan kerjasama latihan kepimpinan dan program lapangan yang merentas sempadan. Semoga usaha kecil ini akan membuahkan satu kerjasama erat dan berpanjangan demi membina Asia Tenggara yang lebih harmoni. Dialog Santai bersama Majlis Perwakilan Mahasiswa Prince of Songkhla University Berbeda dengan pertemuan di Princess of Narathiwas University yang agak formal. Dialog Santai di Prince of Songkhla University memang mengujakan. Walaupun di dalam Bilik Gerakan yang tiada penghawa dingin tetapi diskusi kami agak dingin dan sesekali hangat. Hangat dengan topik Konflik Selatan Thailand dan Proses Perdamaian Patani. Dingin dengan senda gurau oleh Saudara Zuhree Toasi, mahasiswa Pengajian Bahasa Melayu yang sering berseloroh apabila memperkatakan tentang cabaran masyarakat Melayu terutama generasi muda. Walaupun ketika ini mereka sedang sibuk membuat persiapan minggu orientasi mahasiswa baharu. Layanan mesra tetap mereka berikan. Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Prince of Songkhla University, Saudara Husen Sawal dengan berbaju T menerangkan tentang peranan yang dimainkan oleh badan mahasiswa ini. Mereka baharu sahaja pulang daripada Lawatan Sambil Belajar ke Jakarta, Indonesia dalam rangka berkongsi tentang gagasan kependidikan di universiti yang dilawati. Insya Allah, mereka juga akan membuat kunjungan ke Institut Pengajian Tinggi di Malaysia pada beberapa bulan lagi. Mereka juga menyatakan hasrat untuk berziarah ke Universiti Selangor untuk mengukuhkan lagi hubungan kerjasama yang terjalin terutama GPTD. Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed sempat menjemput mahasiswa Prince of Songkhla University untuk turun bersama dalam kegiatan Kem Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris di Kg Datuk jika mereka ada kelapangan. Sama seperti di dalam penegasana dan perbincangan bersama mahasiswa di Princess of Narathiwas University, selepas dialog kami bersetuju untuk memugarkan kegiatan penulisan dan menerbitkan makalah yang boleh disebarluaskan di negara masing-masing. Terutama kepada mahasiswa Pengajian Bahasa Melayu seperti Saudari Pa-ezah Awang, Saudari Jehrohana Lormae, Saudari Haslinda Mamat, Saudari Adilah Pirisi dan Saudari Nazofah Sera-oh. Ini bagi melatih penguasaan Bahasa Melayu laras tinggi di kalangan mereka. Tambahan pula catatan dan penulisan mereka sangat bermakna buat kami di Malaysia dan Indonesia yang inginkan maklumat terkini dan perkembangan gerakan mahasiswa yang berlaku
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Selatan Thailand. Kami juga beriltizam untuk merealisasikan makalah ini agar ukhwah umat Melayu akan kembali bertaut dan mengangkat martabat karamah insaniah. Kami juga setuju untuk terus berinteraksi melalui laman sosial facebook dan meneruskan kerjasama strategik dalam jangka masa hadapan. Deep South Watch Deep South Jurnalism School Kami berpeluang untuk berdialog bersama aktivis Deep South Watch yang telah membuka pejabat operasinya di Prince of Songkhla University (PSU). Pa-ezah Awang, mahasiswa Ijazah Pengajian Bahasa Melayu di PSU merupakan wartawan pelatih di Akhbar Sinaran. Satu usaha untuk menerbitkan berita dalam bahasa Melayu dan mengekalkan tulisan jawi sebagai mediumnya. Ini bertujuan untuk mendidik masyarakat Melayu Patani yang masih keciciran maklumat tentang hak asasi mereka dan perkembangan Proses Perdamaian Patani yang sedang diusahakan oleh Kuala Lumpur antara BRN dan Bangkok. Saudara Muhammad Dueramae dan Saudara Saronee Deureh menerangkan peranan Deep South Watch secara terperinci. Mereka sedang giatkan melatih anak muda dari kalangan pelajar pondok dan mahasiswa universiti pada setiap hujung minggu dengan ilmu kewartawanan. Deep south Watch menubuhkan Deep South Journalism School (Madrasah Kewartawanan Sempadan Selatan) bagi menginstitusikan usaha menerbitkan berita di kalangan masyarakat Melayu di Patani. Malah mereka menawarkan kepada GPTD untuk terlibat sama dalam usaha ini. Ruang sekretariat mereka sentiasa terbuka untuk dimanfaatkan bersama. Dalam diskusi tersebut, GPTD, PKPIM & PII setuju untuk menyebarkan berita dan perkembangan semasa di Patani ke wilayah pengaruh masing-masing. Ini kerana, Deep South Watch akan melaporkan secara terperinci statistik kematian atau kecederaan yang berlaku akibat keganasan yang berlaku di sini. Ahli akademik daripada PSU akan membuat analisa data membuat komentar tentang perkembangan setempat. Deep South Watch juga memantau beritaberita seluruh dunia yang membuat liputan dan ulasan tentang isu di Patani. Mereka juga mengalu-alukan penulisan artikel atau travelog tentang sosio-budaya masyarakat Melayu Patani. Deep South Watch boleh dilayari di pautan berikut http://www.deepsouthwatch.org atau ingin mendapat Akhbar Sinaran dan mengikuti perkembangan Deep South Journalism School di http://www.deepsouthwatch.org/dsjs Kami komited untuk menyebarluaskan isu sebenar yang berlaku di negara masing-masing. Forum dan diskusi tentang masa hadapan Patani juga akan dianjurkan peringkat lokaliti secara berkala. Isu konflik selatan thailand adalah mirip dengan isu di Aceh dan Selatan Filipina. Semoga usaha untuk mencapai kedamaian dapat direalisasikan dalam beberapa tempoh lagi. Jika masyarakat ASEAN dan dunia mengambil prihatin terhadap isu yang berlaku di sini, insya Allah cahaya kedamaian akan terpancar juga. Saudara Hassan Todong, wartawan Deep South Watch telah membuat liputan terhadap pertemuan tersebut dan kegiatan sukarelawan yang menjalankan Projek Khidmat Pendidikan &
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Kajian Sosio-Budaya di Kg Datuk. Beliau telah menemubual Pengarah Jejak Patani 2013, Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed dalam bahasa loghat tempatan. Maka, sangat sesuailah kerana pengarah berasal dari Kelantan. Jurang bahasa dapat dirapatkan. Turut hadir adalah teman beliau iaitu Saudara Hasan Sarasu. Beliau adalah penyampai radio (DJ) di Radio Media Selatan. Saudara Hasan Sarasu menawarkan kepada kami untuk ditemubual di dalam studio di Jalan Cabang Tiga, Patani selepas Solat Jumaat. Radio Media Selatan 91.5FM Setelah selesai di Solat Jumaat di Masjid Besar al-Fatani. Saya, Saudara Mohd Rizaman Mohd Sukri dan Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi siap menunggu Saudara Hasan Todong. Tetapi beliau tidak dapat bersama kami kerana membuat liputan berita di Saiburi. Kami hilang arah sebentar. Tok Nebeng, Abdul Rahim pula membantu menguruskan masalah orang kampung. Oleh itu, kami tidak mahu menyusahkan beliau. Ketika di Masjid Besar al-Fatani kami perhatikan ramai mengunjung yang mengambil foto kenangan beramai-ramai. Dimaklumkan bahawa mereka adalah masyarakat Melayu yang tinggal di Bangkok. Kebanyakan mereka tidak boleh berbahasa Melayu. Jika ada pun tidak fasih. Sangat sukar untuk memahami maksudnya. Kami menyapa seorang pemuda yang segak. Assalamualaikum..., kata saya. Dia berjabat salam dengan sopan dan lembut sambil menjawab salam. Daripada mana? , dia bertanya. Saya terus menerangkan serba sedikit tentang misi kami dan bertanyakan tentang Radio Media Selatan. Nama beliau adalah Saudara Sobri merupakan pegawai yang bertugas di Stesen Televisyen Thailand yang sedang menguruskan liputan media bagi lawatan orang Melayu Bangkok ke Patani. Alhamdulillah, beliau kenal dengan Hasan Todong dan Hasan Sarasu. Allah telah permudahkan urusan kami. Allah menghantar tanda kebesarannya untuk membantu kami ke Studio Radio Media Selatan. Saudara Sobri menumpangkan kami ke lokasi yang di tuju. Sampai di pejabat Media Selatan, seorang kakitangan mereka telah menyambutkan dengan mesra. Kami menyapa dan bertanyakan nama. Saya Sobri...penyampai berita di sini, kata beliau dalam loghat Patani. Saya dan teman-teman tersenyum dan tertanya-tanya, kenapa nama orang yang kami temui sama belaka. Sepanjang kami di sini ada dua orang yang bernama Sobri iaitu Sobri Bin Aliyasak, Penyampai Berita di Radio Media Selatan dan Sobri, petugas di Stesen Televisyen Thailand. Dua orang bernama Hasan iaitu Hasan Todong, wartawan Deep South Watch merangkap Penyampai Berita di Radio Media Selatan manakala Hasan Sarasu, Penyampai Radio. Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi pernah memberitahu tiga orang adik-adik dalam kumpulannya juga mempunyai nama yang sama iaitu Husin. Radio Media Selatan ditaja oleh USAID (Agency for International Development) dan boleh diakses secara atas talian di http://rdselatan.com. Salah seorang penyampai radio adalah Saudara Astora Jabat, nama yang pernah popular di akhbar Utusan Malaysia pada suatu ketika dahulu merupakan penyampai radio di Radio Media Selatan. Beliau mengendalikan slot yang membincangkan Proses Perdamaian Patani setiap malam. Ramai pemanggil yang menghubungi
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

memberi pandangan dan respon terhadap perkembangan proses tersebut. Namun kami tidak berpeluang bertemu beliau kerana bukan waktu bertugas. Astora Jabat pernah bertanding sebagai calon wakil rakyat di Parlimen Ruso dalam Narathiwat semasa pilihanraya umum Thailand pada Julai 2011 tetapi tidak berjaya memenangi kerusi. Saya masih teringat poster beliau yang banyak di tepi sepanjang jalan raya di Patani. Beliau bertanding atas tiket Parti Harapan Baru (NAP). Nama sebenar beliau adalah Asae Toramae. Ketika Hasan Sarasu tiba di pejabat Media Selatan, beliau memberikan taklimat ringkas tentang soalan yang akan dilontarkan. Loghat Melayu Patani beliau sangat pekat. Ada beberapa perkataan yang tidak saya fahami. Saya dan Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi akan ditemubual selama satu jam dalam ruangan Tolong Menolong Bantu Membantu. Siaran radio ini boleh diikuti melalui frekuensi 91.5 FM, sama seperti frekuensi Radio IKIM.FM di Kuala Lumpur. Kami ditanyakan tentang tujuan dan kegiatan sukarelawan daripada Malaysia dan Indonesia menjalankan projek di Patani. DJ Hasan Sarasu meminta pandangan tentang Proses Perdamaian Patani yang sedang diusahakan oleh pihak Kuala Lumpur. Saya berpandangan, wakil Bangkok dan Kuala Lumpur perlu ikhlas dalam proses perdamaian ini. Persoalannya adakah BRN mewakili masyarakat Melayu Patani? Langkah paling awal adalah menggugurkan polisi Perintah Darurat (Emergency Decree) yang dikuatkuasakan pada tahun 2005 oleh Thaksin Shinawatra, Perdana Menteri Thailand. Sila rujuk http://en.wikisource.org/wiki/Emergency_Decree_on_Public_Administration_in_State_of_Emer gency,_BE_2548_%282005%29 untuk capaian. Polisi ini memberi kuasa yang lebih besar kepada pihak polis dan tentera untuk berperanan di Wilayah Patani. Perkara ini yang tidak disukai oleh masyarakat Melayu Patani. Sesiapa sahaja yang disyaki terlibat di dalam kegiatan keganasan tanpa sebarang bukti akan ditangkap atau ditembak. Kisah adik Mukhtar sebagai 1 contoh dalam beribu kes di Patani. Adik Mukhtar ditembak sehingga buta Misi Jejak Patani 2013 kali ini juga memberi ruang dan peluang untuk kami mendekati dan menelusuri pengalaman keluarga dan mangsa kezaliman tentera dan polis di Wilayah Selatan Thailand. Saudara Isama-ae Abdul Rahman, Presiden Yayasan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Daya Manusia Thailand (FEHRD) bersama para petugas kemanusiaan dan hak asasi sudi membawa kami menziarahi adik Mukhtar (berusia 13 tahun ketika kejadian) yang buta kedua belah matanya kerana ditembak oleh pihak tentera. Nasib adik Mukhtar pernah mendapat liputan daripada akhbar Berita Harian terbitan Malaysia berdasarkan keratan yang masih disimpan oleh pihak keluarga sebagai satu peringatan dan kenangan pahit yang mereka rasai. Melalui penerangan Saudara Isama-ae Abdul Rahman, mangsa menghadapi trauma dan tekanan daripada kalangan kejiranan. Ini kerana apabila keluarga dan mangsa dikaitkan dengan teroris berdasarkan laporan akhbar tempatan dan pihak autoriti. Penduduk kampung akan memulau dan
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

meminggirkan mereka tanpa diberi bantuan dan keperluan. Jika bantuan diberikan, bimbang pihak autoriti tentera atau polis akan mengesyaki mereka pula. Perkara inilah yang menjadikan keluarga dan mangsa bertambah tertekan. Ini satu contoh keluarga yang dibantu oleh pihak FEHRD daripada beratus lagi keluarga mangsa yang menghadapi pelbagai masalah seperti kematian suami, menjadi mangsa tangkap dan hilang serta ditahan oleh pihak berkuasa. Tentera itu mabuk, dia tembak anak saya di sebalik belukar tepi jalan, cerita ayah Mukhtar kepada kami semua. Menurut beliau, adik Mukhtar bersama lima kawannya pergi ke pasar pada waktu petang untuk membeli juadah makanan. Dalam perjalanan pulang mereka bermain soroksorok bersama-sama di sebalik belukar. Ketika itulah pihak tentera menembak secara rambang dengan menggunakan kenderaan pick-up yang lengkap bersenjata. Menurut pihak tentera, mereka menyangka teroris. Ketika kejadian tembakan kedengaran oleh penduduk kampung, mereka terus menuju ke lokasi. Selepas mendapat tahu remaja yang ditembak, tentera terus dikepung dan ditahan. Penduduk kampung mengesahkan tentera tersebut mabuk berdasarkan bau arak. Gabenor pada ketika itu berjanji akan mengambil tindakan terhadap tentera yang disyaki. Baharulah penduduk kampung melepaskan tentera daripada tahanan mereka. Namun yang mengecewakan adalah tertuduh masih bebas tanpa dikenakan tindakan sewajarnya. Walaupun pihak kerajaan telah memberi pampasan kurang lebih 1 juta Bath (anggaran RM100 000) kepada keluarga mangsa, nilaian tersebut bukanlah boleh menggantikan satu penglihatan. Menurut Saudara Isama-ae Abdul Rahman, kes adik Mukhtar telah diadili di Mahkamah Tentera Thailand. Tetapi menjadi beban kepada keluarga dan mangsa kerana perlu menguruskan segalanya sendiri. Mereka kena melalui Pos Keselamatan, diperiksa seluruh anggota ketika melalui kawasan Kem Tentera sewaktu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tentera Thailand. Oleh kerana kewangan untuk merawat adik Mukhtar yang tinggi, kos pengangkutan dan tekanan daripada masyarakat sekeliling yang tidak turut menyokong, akhirnya mereka tidak lagi ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan. Kes senyap begitu sahaja. Keadaan tengkorak adik Mukhtar pada awal kejadian berlubang, itulah yang digambarkan oleh ayahnya. Perlu membuat rawatan di hospital setiap bulan. Kini adik Mukhtar sudah 20 tahun. Bagaimanakah nasib beliau jika ibu bapa beliau sudah tiada lagi? Sebelum pulang saya menghadiahkan beliau kopiah hitam yang baharu dibeli di Kilang Kopiah Al-Ikhwan milik masyarakat tempatan.

Pemetaan Komuniti menyelami hati dan sanubari masyarakat Setiap pagi selepas solat Subuh para sukarelawan akan membaca al-mathurat bersama. Sementara menunggu sarapan yang disediakan oleh orang Kg Datuk ada sukarelawan yang memenuhi keperluaan masing-masing. Membasuh baju, membaca catatan perjalanan, memindahkan fail imej (kamera) ke dalam komputer riba, berbual tentang masa hadapan dan ada juga yang menimbang bola. Kali ini tugas kami penting dan serius. Taklimat diberikan sekali lagi
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

oleh saya tentang Pemetaan Komuniti. Di dalam Pemetaan Komuniti, sukarelawan akan meninjau, memerhati, temubual dan beramah-mesra bersama masyarakat kampung yang meliputi lapisan usia tentang sosio budaya setempat. Antaranya adalah demografi, isi rumah, pendapatan, pekerjaan, cara hidup, isu setempat seperti kemudahan asas dan permasalahan sosial. Di akhir slot ini, sukarelawan akan melaporkan dapatan masing-masing serta melakarkan peta laluan mereka. Kami dibahagikan kepada tiga grup. Grup pertama adalah Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed dan Saudari Ili Akmal Mohd Razif yang akan menumpu di lokasi rumah penduduk kampung di sebelah Selatan. Grup Kedua terdiri daripada Saudari Ummahatul Hammimah Yatim dan Saudari Amalina Ismail pula akan membuat pemetaan di kawasan yang berhampiran sungai dan laut. Grup Ketiga pula melibatkan Saudara Izwan Suhadak Ishak, Saudara Mohd Rizaman Mohd Sukri dan Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi akan fokus ke lokasi pemakaman dan rumah yang berhampiran di arah Utara. Semua akan berkumpul pada jam 11.00 pagi di Bilik Operasi di Tadika Darul Huda. Kami dari Grup Ketiga terus bergerak ke rumah sasaran yang merupakan sebuah kedai minuman. Saudara Mohd Rizaman Mohd Sukri dan Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi pada awal agak kekok dan teragak-agak untuk memulakan bicara dengan pengusaha. Saya memulakan dengan lafaz Assalamualaikum bagi menyapa Pakcik yang sedang menyapu lantai kedainya. Ada jual minuman apa pakcik, soalan terpacul di mulut. Pakcik tersebut tidak respon, semacam tidak faham apa yang kami ungkapkan kerana tidak sama dengan loghat mereka. Nasib baik dia tidak tanya nak minum apa... , terdetik di dalam hati. Saya terus menerangkan tujuan sebenar. Kami menemubual beliau dengan dipermudahkan bahasa oleh Saudara Mohd Rizaman Mohd Sukri yang berasal daripada Terengganu. Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kami. Pakcik Mohsen memberitahu kami tentang kegiatan anak muda yang mula make ubak (menagih dadah). Seawal 12 tahun ada yang sudah mengambil dadah. Dadah ini diedarkan oleh anak tempatan yang menerima daripada pengedar utama dari bandar. Mereka menjadikan salah satu daripada kedai minum di Kg Datuk sebagai tempat pengedaran dan penjualan dadah secara terancang. Walaupun maklumat sudah diberikan kepada pihak berkuasa namun usaha untuk membanteras masih gagal. Ada di kalangan ibu bapa yang melindungi anak mereka yang menjadi penagih. Malah di kalangan suami juga ada yang terlibat. Ini memang merunsingkan masyarakat Kg Datuk. Permasalahan ini bukan sahaja terjadi di sini tetapi hampir di seluruh wilayah utama di Selatan Thailand. Kebanyakannya mereka yang tidak mahu sambung pengajian atau memondok (belajar di pondok). Perkara ini pernah di beritahu oleh Tuan Wan Ab Rahman sebelum ini. Isu ini juga dilaporkan oleh grup pemetaan komuniti yang lain. Selain itu, isu kebersihan telah dibangkitkan oleh penduduk yang kami temui. Bukan semua pendudukan yang prihatin terhadap kebersihan kawasan Kg Datuk. Ini memang terbukti ketika
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

kami berada seminggu di Tadika Darul Huda dan sekitar kampung. Para pelajar akan membuang sampah (plastik makanan) mereka di merata tempat. Setiap hari Isnin dan Rabu pasar akan dibuka di hadapan Tadika Darul Huda. Pasar Isnin sama seperti Pasar Malam di Malaysia manakala Pasar Rabu sama pula seperti Pasar Tani yang menjual ikan, ayam dan keperluan dapur. Maka begitulah rutin kehidupan di Kg Datuk. Sampah hanya akan diangkut oleh lori pada setiap hari Khamis seperti yang dimaklumkan oleh Tok Nebeng (Ketua Kampung) Abdul Rahim. Namun berdasarkan pemerhatian kami, perkara ini tidak terjadi. Maka penuhlah sampah terlonggok di tapak pasar. Baunya agak kurang menyenangkan. Bukan itu sahaja, bau kambing dan biri-biri juga menambah aromanya. Kambing vs Anjing Uniknya pula kambing dan biri-biri yang diperlihara oleh penduduk kampung di biar lepas bebas. Ternakan milik masjid ditandakan dengan telinga yang berlubang manakala milik masyarakat kampung ditandakan dengan ikatan loceng yang khas bagi membedakan setiap satunya. Sekali pandang kambing dan biri-biri yang berjumlah sekitar 30 ekor yang sering lepak di hadapan Tadika Darul Huda dengan pasir putih yang menutupi tanah seakan kita berada di Timur Tengah. Ala-ala di padang pasir arabia. Tiada seekor anjing pun. Dimaklumkan oleh seorang sahabat ketika kunjungan saya yang pertama ke Patani, anjing akan di katok (ketuk) jika ditemui oleh orang ramai. Malah di kawasan pekan atau bandar kadang-kadang ada sahaja kambing. Umpamanya sama seperti kita melihat anjing di Malaysia. Makcik Yah pernah mengadu secara berseloroh kepada kami ketika menghantar cucunya ke Kelas Qiraati, kambing banyak sangat, duduk tengah jalan, susah makcik nak jalan, kata beliau dalam loghat pekat Melayu Patani. Makcik Yah juga pernah dilanggar kambing yang menggila. Isu ini benar-benar mengelikan hati kami yang mendengarnya. Insya Allah kami akan bawakan perkara ini kepada Tok Nebeng untuk tindakan lanjut. Pada awal tinjauan kami, agak pelik kerana kambing dan biri-biri ini dilepas begitu sahaja tanpa diberi makan. Namun setelah beberapa hari kami sedari bahawa ternakan ini akan makan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan oleh para pelajar dijalanan. Malah sisa makanan seperti ikan dan ayam yang kami buang di dalam tong sampah akan diselongkar oleh sang kambing. Bukan itu sahaja, makanan seperti nasi dan lauk ikan, ayam dan daging (mungkin kambing atau lembu) yang diberikan kepada kucing liar juga dimakan oleh ternakan ini. Unik. Memang unik.

Isu setempat dan cadangan penyelesaian Beberapa laporan yang diterima daripada grup yang lain selepas pemetaan komuniti juga agak sama. Menariknya apabila dicadangkan untuk diadakan program keluarga angkat (anak angkat akan tinggal bersama keluarga dan membantu kerja rutin), kebanyakan penduduk menyokong dan sangat berbesar hati. Maka, laporan ini akan direkodkan untuk tindakan susulan bagi projek seterusnya. Selain itu, isu sampah di kawasan sungai dan pantai agak membimbangkan. Perlu ada tindakan sewajarnya untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Kesedaran perlu
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

dilakukan, terutama adik-adik pelajar. Agar mereka dapat mendidik diri, keluarga dan masyarakat kampung. Ada penduduk kampung yang menyarankan agar mengadakan aktiviti untuk golongan muda seperti futsal, bola sepak pantai disamping memberikan pengisian dan ceramah supaya minda lebih terbuka. Sebahagian budaya anak muda di Kg Datuk bukan sahaja tidak sambung belajar malah bangun lambat. Ibu bapa pula yang menanggung perbelanjaan seharian. Maka tidak mustahil kecenderungan mereka untuk terlibat dengan gejala kurang sihat juga akan lebih besar. Peluang pekerjaan perlu disediakan dengan lebih meluas. Bengkel kemahiran yang mampu melatik anak muda dan masyarakat kampung sangat diperlukan bagi menambah pendapatan seharian mereka. Ketika mencadangkan kepada kaum ibu di sini, ramai yang menyambut idea tersebut. Kg Datuk adalah perkampungan nelayan dan kebanyakan mereka adalah Pengusaha Keropok Ikan. Kebanyakan setiap rumah ada kilang kecil untuk memproses keropok ikan. Pasarannya pula di seluruh Selatan Thailand dan Malaysia. Bahan mentah dihantar oleh pemborong ikan dari Pasar Patani. Cabaran besarnya adalah persaingan harga yang tidak terkawal sehinggakan harga menjadi rendah. Pasti yang mendapat untung besar adalah orang tengah dan penjual di pasaran luar. Oleh itu, usaha bersama bergabung di dalam koperasi amat penting dan bermakna. Harga dapat dikawal dan keuntungan berlipat ganda. Demi survival jangka masa panjang. Satu lagi isu utama dan penting adalah permasalahan akidah. Berlaku kegiatan khurafat di Kubur Datuk Panjang. Pengunjung daripada luar akan datang dan mandi di tepi kubur tersebut bagi menunaikan niat atau hajat. Bukan sahaja bukan islam malah yang muslim juga turut melakukan aktiviti ini. Semoga Allah swt menyelamatkan mereka daripada kerosakan akidah dan menjauhkan mereka daripada bencana yang lebih dahsyat lagi. Belajarlah daripada tsunami yang pernah singgah sebentar di kampung ini. Selatan Thailand bergelap Pada tanggal 22 Mei 2013, semasa saya dan jamaah maghrib selesai solat dan berzikir, lampu di Masjid Kg Datuk terpadam. Gelap gulita. Malah di luar masjid juga tiada cahaya. Cuma tinggal satu lampu kecemasan bernyala di ruang solat utama. Perasaan ketika itu agak mendebarkan dan bercampur baur. Fikiran sudah melayang kepada pelbagai persoalan. Ada tembak-menembak? Ada yang terbunuh? Ada serangan bom? Namun zikir terus dilafaz dan diyakin dalam hati. Selesai berdoa dan solat sunat saya sempat menyapa bilal, Cikgu Ali. Beliau memberitahu black out sering juga terjadi, kadang-kadang mengambil masa dua tiga jam. Makluman tersebut memang melegakan, maklumlah kami sekarang berada di dalam wilayah konflik yang panjang. Sebaik sahaja melangkah keluar dari masjid kelihatan pelajar Qiraati (pengajian al-Quran) sudah mula meninggalkan Tadika Darul Huda. Ada yang menaiki basikal dan berjalan kaki. Malah ada beberapa ibu bapa sedang menunggu anak-anak mereka di hadapan pintu sekolah. Pelajar-pelajar yang dalam perjalanan pulang tersebut sempat bersalaman dengan saya. Kenapa pulang awal,

Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

tidak mengaji ke hari ini?, tanya saya kepada mereka. Abe...api mapuh, kata mereka dalam loghat melayu tempatan. Pada awalnya saya tidak tangkap maksud mereka. Tetapi ketika bertemu Mudir Qiraati, Cikgu Nurdin bin Muhamat yang menghantar lampu suluh kepada kami, baharulah saya faham maksudnya adik tadi. Abang...lampu mati, kata saya dalam hati mengulang maksud kata-katanya tadi sambil tersenyum. Itulah kebiasaannya, jika berlaku kejadian black out para pelajar nampak tersenyum lebar kerana dapat pulang awal. Rupa-rupanya bukan Patani sahaja yang terlibat tetapi menjejaskan lapan juta penduduk di 14 wilayah di Selatan Thailand terjejas termasuk Chumphon, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Narathiwat, Pattani, Phang Nga, Phatthalung, Phuket, Ranong, Satun, Songkhla, Surat Thani, Trang dan Yala. Kg Datuk kembali bercahaya sekitar jam 8.00 malam. Kelas Qiraati dan belajar al-Quran Dalam rekod berdaftar pelajar Kelas Qiraati sejumlah 300 orang pelajar. Namun yang hadir mungkin dalam anggaran 200 orang sahaja. Ini kerana bukan semua ibu bapa atau penjaga pelajar memberikan penekanan tentang kewajipan hadir ke Kelas Qiraati. Kelas ini bermula dengan Maghrib berjamaah dengan dipimpin oleh ustaz mereka di ruang atas Tadika Darul Huda. Kemudian para pelajar akan meneruskan kelas qiraati mengikut tahap masing-masing. Kelas tamat dengan solat Isya berjamaah. Ruang untuk belajar memang agak sempit, ada di kalangan mereka yang terpaksa bertalaqi di luar kelas di ruang perkarangan tadika. Mereka akan bawa kerusi dan disusun kemas. Hanya ustaz atau ustazah sahaja disediakan meja bagi memudahkan semakan bacaan. Ustaz dan ustazah yang mengajar di sini adalah secara sukarela. Ada lima orang ustaz dan lima orang ustazah yang berkhidmat dengan gigih. Kebanyakannya adalah lepasan Maahad Darul Ulum yang berhampiran Masjid Besar Al-Fatani. Malah sebahagian mereka adalah anak murid kepada Ustaz Osman bin Ismail yang merupakan tenaga pengajar di maahad tersebut dan Imam di Masjid Al-Wustha di Kg Nad Tanjung. Setiap pelajar akan memberikan 5 kob (50 sen Bath) setiap kali lepas mengaji. Ini kami perasan ketika para pelajar memberikan duit kepada sukarelawan yang membantu mengajar Al-Quran setiap kali habis talaqi. Walaupun menolak upah tersebut mereka tetapi meninggalkan duit 5 kob di atas meja. Buku yang digunapakai pula mirip seperti buku IQRA bertahap di Malaysia. Selepas tamat tahap IQRA mereka akan mengaji Al-Quran sehingga khatam. Suatu perkara yang patut dipuji adalah kelancaran para pelajar ini mengaji. Makraj yang tepat dan sedap. Semangat belajar mereka yang kuat walaupun kadang-kadang degil dan lasak namun agak menghiburkan melihat gelagat mereka. Begitulah rutin mereka dari hari Isnin sehingga Jumaat. Ada pelajar yang sudah kelihatan di perkarangan tadika sejam sebelum maghrib. Mereka akan bermain bola sepak, sepak takraw bagi pelajar lelaki. Manakala pelajar perempuan, bermain tali getah. Ramai juga yang duduk di pondok-pondok bambu di tepi tadika sambil makan dan minum petang. Termasuklah ibu bapa dan nenek yang menghantar mereka. Saya dan sukarelawan berkesempatan berbual bersama Makcik Yah. Sebutan loghat Melayu Patani yang pekat agak menyukarkan saya menangkap setiap makna tutur bicaranya. Tapi yang pasti kehadiran kami sangat diraikan. Bahasa gurau senda benar-benar mengusik urat gelak ketawa kami semua. Malah Makcik Yah menawarkan kepada sukarelawan untuk tinggal di rumahnya.

Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Makan Malam Istimewa bersama Kam-Nan di Kg Budi Sebagaimana sudah diaturkan oleh Tuan Wan Abd Rahman, Penyelaras Global Peace Mission Malaysia di Thailand. Satu makan malam khas pada hari Khamis, 23 Mei 2013 bersama KamNan (Penghulu) Nik Mat yang menaungi Kg Nad Tanjung, Kg Datuk dan Kg Budi. Kami sangat terharu dan berterima kasih kerana makan malam yang disediakan sangat istimewa. Sebuah pondok kayu betul-betul di atas benteng konkrit dengan hempasan ombak laut memang mengujakan. Nun jauh di sana nampak hujung Pusat Kota Patani di sebelah kiri. Bangunan Prince of Songkla University juga dapat kelihatan. Hujung sebelah kanan, pokok bakau masih berani menyambut ombak dan badai. Kami berada di tengah-tengah teluk menikmati masakan sup udang dan sotong yang pelbagai saiz dan rasa. Ketam dan ikan segar membangkit selera kami. Malam itu mengenyangkan. Ustaz Osman Ismail dan Tok Nebeng (Ketua Kampung) Nad Tanjung, Tuan Kamarudin yang membawa kami dengan kenderaan pick-up turut menghayati jamuan yang lazat. Fatimah Mayon, anak murid Ustaz Osman Ismail turut menemani sukarelawan perempuan. Beliau juga adalah tenaga pengajar Kelas Qiraati dan Guru Bahasa Melayu di Tadika Darul Huda. Insya Allah akan menyambung pengajian di Institut Pengajian Tinggi di Jogjakarta, Indonesia. Telatah Fatimah Mayon semasa berfoto menarik perhatian saya kerana kebiasaannya anak-anak, remaja dan orang dewasa perempuan di Patani agak segan jika dirakamkan imej mereka. Fatimah benar-benar memberikan pose ketika berfoto bersama sukarelawan perempuan walaupun beliau bertudung labuh. Sama seperti remaja muda mudi di Malaysia yang suka memberikan isyarat peace dan bergaya sakan. Gelagat Ustaz Osman Ismail yang suka mengambil foto juga mengelikan hati saya. Kamera DSLR Nikon yang beliau milik seperti gaya seorang fotografer profesional. Cuma penampilan beliau sebagai imam dengan berkain pelikat, baju melayu dan kopiah tetap kekal. Benarlah kata orang, ilmu pada teknik mengambil foto buka pada pakaian. Sebelum ini, Ustaz Osman Ismail hanya mengunakan kamera digital Nikon edisi Compact. Di sebelah pondok kami menjamu selera, ada sebuah surau baharu yang dibina oleh Kam-Nan Nik Mat. Boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa. Kami solat Maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Osman Ismail. Kemudian kami berduduk santai di pondok yang ada dinding di belakang surau. Kami bertaaruf bersama Kam-Nan Nik Mat dan menyatakan tujuan menjalakan program Jejak Patani ini. Seperti sudah dipersetujui, Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed yang lebih lancar berbicara loghat tempatan memulakan diskusi. Beliau menyampaikan hasil Pemetaan Komuniti di Kg Datuk tempoh hari kepada Kam-Nan Nik Mat. Satu persatu diperjelaskan. Beliau sangat berbesar hati atas kajian dan tinjauan yang telah dilakukan oleh para sukarelawan. Beliau akan mengambil perhatian dan mengalu-alukan kehadiran kami pada masa akan datang. Bencana Tsunami di Kg Budi dan Kg Datuk
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

Kam-Nan Nik Mat juga berkongsikan tentang bencana tsunami yang pernah melanda Kg Budi dan Kg Datuk pada 1 November 2010. Jika di Kg Datuk 44 buah rumah rosak musnah, di Kg Budi pula hanya 17 buah rumah yang menjadi mangsa hentaman tsunami. Rumah Kam-Nan Nik Mat juga terlibat sama semasa kejadian tersebut. Kesan selepas kejadian tsunami boleh dilihat dalam media sosial YouTube di pautan http://www.youtube.com/watch?v=J6RSonHykAQ. Cerita Kam-Nan Nik Mat yang kurus dan mempunyai janggut berinai merah benar-benar menarik perhatian kami untuk mendengar dengan tekun. Majlis Agama Islam Patani adalah antara badan kerajaan Thailand telah menghulurkan bantuan kepada mangsa tsunami. Banyak bekalan seperti beras dan pakaian disumbangkan oleh orang ramai yang turut bersimpati. Digambarkan ketika kejadian berlaku adalah pada waktu petang. Ketika anak-anak masih lagi bermain bola dan masyarakat kampung masing-masing sibuk menguruskan keluarga di rumah, kelihatan awam mendung dan langit menjadi gelap. Angin kencang dan bunyi ribut mengejutkan warga penduduk. Ombak besar datang melanggar rumah ditepian pantai. Air bah memenuhi muka bumi. Saya berkesempatan berbual dengan Adik Che Husin, salah seorang peserta Kem Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Saya minta lakarkan keadaan bencana yang dia alami pada atas sekeping kertas A4. Gambarannya kayu kayan terapung penuh memenuhi ruang jalan antara rumah. Adik Che Husin diselamatkan oleh Bilal Masjid Kg Datuk, Cikgu Ali dengan menggunakan perahu nelayan. Mereka semua dibawa ke masjid. Sebahagian mangsa yang lain dihimpunkan di Tadika Darul Huda. Ketika banyak rumah yang rosak, masjid masih utuh binaan. Peristiwa ini menghimbau kenangan saya ketika menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Aceh Darussalam bersama Global Peace Mission Malaysia pada hari ke 100 selepas kejadian Tsunami. Rumahrumah sekililing tiada tinggal satu pun. Hanya tinggal tapak-tapak lantai rumah. Pandangan saya luas hingga ke pantai dan laut. Masjid masih berdiri kukuh menjadi tempat penduduk sekitar menagih rahmat Allah swt daripada dilanggar bencana besar tersebut. Adakah ini satu petanda daripada Allah swt? Jika Aceh Darussalam mendapat autonomi dengan pemerintahan sendiri oleh rakyatnya selepas dilanda tsunami. Mungkinkah gagasan Patani Darussalam juga dapat direaliasasikan?

Kesimpulan Pengalaman mengikuti Jejak Patani 2013 sangat bermakna pada saya secara peribadi. Berbakti di dalam wilayah konflik memang mendebarkan. Debaran tentang kekacauan, kemusnahan dan kehancuran dek pertembungan antara pihak tentera dan pejuang. Namun debaran itu hilang dengan keramahan dan kemesraan setiap peribadi umat Melayu Patani yang ditemui. Bicara dan santun mereka menterjemahkan budi pekerti Melayu sejati. Semangat juang keilmuan mereka seperti Syeikh Daud al-Fatani dan Syeikh Ahmad al-Fatani. Alhamdulillah, walaupun pelbagai kesusahan dan kepayahan yang ditempuh ketika meniti perjalanan, kami akhirnya dapat
Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) | Grup Jejak Patani

merealisasikan Misi Jejak Patani ini yang telah dimulakan setahun lepas. Sindiran yang hinggap di telinga, kami biarkan berlalu. Daripada 20 calon sukarelawan yang ingin sertai misi ini hanya 7 yang berjaya. Sekarang kita telah mengintitusikan Grup Jejak Patani agar misi di Patani dapat diteruskan dengan lebih baik. Saudara Muhammad Farid Salman Alfarisi dari Indonesia benar-benar meneladani Syeikh Samad Al-Palembangi yang turut berjihad membantu perjuangan umat Melayu Patani walaupun kena merentas sempadan. Saudara Amalina Ismail, sukarelawan yang terakhir menyertai grup ini melakukan misi mustahil kerana cepat mesra dan bertindak. Saudari Ummahatul Hamimah Yatim yang paling sabar mengurus dan mengatur cabaran. Saudari Tengku Farhanan Tengku Mohamed tetap cekal dan tabah, masih tersenyum dengan segala kerumitan. Saudari Ili Akmal Mohd Razif, sukarelawan yang kreatif, ceria dan unik. Saudara Mohd Rizaman Mohd Sukri sangat tekun merakam aksi lucu dan babak penting di sepanjang misi ini walaupun wataknya pentingnya (fotografer) paling kurang dirakamkan. Saya hanya sukarelawan yang suka dan rela melawan demi suatu perjuangan kemanusiaan.
BESTARI JAYA, MALAYSIA 12.00 tengah hari 12 Jun 2013 | 3 Syaaban 1434 Penulis adalah Penasihat Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dan Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya. Beliau turut serta dalam Jejak Patani sebagai pegawai pengiring dan sukarelawan. Nota : Kepada sesiapa yang berminat untuk serta sukarelawan GPTD di dalam dan luar negara, sila daftar secara atas talian di http://bitly.com/gptdvolunteer

Jejak Patani 2013 | Projek Khidmat Pendidikan & Kajian Sosio Budaya | 19-26 Mei 2013 | Patani Thailand

You might also like