You are on page 1of 12

Kepentingan Identiti dan Perjuangan Etnik dalam Masyarakat Malaysia1 Amir Hasan Dawi Universiti Pendidikan Sultan Idris

amir@upsi.edu.my Abstrak

Kertas kerja membincangkan bagaimana setiap etnik mempertahankan kepentingan masing-masing yang memberi kesan kepada masyarakat. Dikemukakan usaha-usaha setiap etnik mempertahankan etniknya berdasarkan alasan tertentu. Terdapat pelbagai alasan seperti dari sudut budaya, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Perjuangan

mempertahankan etnik selalu dianalisis dalam konteks menimbulkan konflik dalam masyarakat multietnik Malaysia. Kerap digambarkan konflik etnik akhirnya mendatangkan kesan menghancurkan negara. Namun kertas kerja ini melihat konflik yang dilahirkan atas kepentingan etnik telah membuahkan hasil kepada etnik tertentu yang memperjuangkannya. Antaranya konflik yang diadakan telah menyebabkan perubahan dalam dasar yang menyebelahi etnik berkenaan. Dirumuskan bahawa usaha mempertahankan etnik masingmasing merupakan situasi dinamik untuk masyarakat Malaysia berfungsi. Kata kunci: afirmatif Pendahuluan etnisiti evolusi identiti habitus Spencerian teori

Masyarakat Malaysia yang pelbagai etnik telah menjadi diskusi sejagat. Iklan pelancongan sering menggambarkan masyarakat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian. Namun dalam situasi sebenar, setiap etnik bukan sahaja mempertahankan identitinya malah analisis menunjukkan perjuangan antara etnik berlaku. Persaingan antara etnik dalam merebut peluang-peluang yang ada sememangnya wujud. Setiap kumpulan etnik memperjuangkan kepentingan masing-masing dengan gelagat tertentu. Selalu ditimbulkan persaingan dibimbangi akan menimbulkan konflik etnik yang memusnahkan. Ada pihak yang begitu takut kesan-kesan negatif persaingan antara etnik. Hakikatnya persaingan etnik dalam mengekalkan kepentingan masing-masing berterusan. Secara teori, persaingan merupakan sesuatu yang fungsional dalam masyarakat (Amir Hasan Dawi, 2006). Ahli-ahli masyarakat
1

Dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Minoriti dan Majoriti: Bahasa, Budaya dan Identiti , 23-24 November 2010, Kuching, Malaysia.

akan menjadi lebih dinamik dengan adanya persaingan. Dalam usaha masing-masing mengekalkan status quo, mereka cuba merungkaikan kekuatan pihak lawan. Dalam persaingan, selalu ada kalah menang yang menurut Spencerian selalunya yang kuat akan mengatasi yang lemah, akhirnya yang lemah akan ketinggalan.

Keharmonian dan Etnisiti Masyarakat

Malaysia merupakan sebuah negara yang diduduki oleh masyarakat pelbagai etnik yang sentiasa berusaha mencapai keadaan aman dan harmoni. Sebelum negara mencapai

kemerdekaan, terdapat pandangan bahawa amat sukar untuk negara mengecap nikmat kemerdekaan yang stabil lantaran daripada komposisi kaum yang pelbagai. Wujud andaian bahawa pemerintahan yang didominasi etnik Melayu berkemungkinan mengakibatkan ketidakadilan terhadap etnik lain. Walhal ketika kemerdekaan, majoriti orang Melayu sememangnya merupakan kumpulan miskin yang ditandai oleh ketinggalan mereka dalam bidang-bidang penting terutamanya dalam sektor ekonomi dan pendidikan (Amir Hasan Dawi, 2009). Justeru selepas kemerdekaan, banyak harapan diberikan agar kemunduran etnik Melayu dapat diseimbangkan dengan etnik lain melalui pelbagai dasar yang dirancang. Adalah menjadi matlamat kebangsaan dasar-dasar yang dilaksanakan akan memadamkan atau setidak-tidaknya mengurangkan identiti etnik melalui kegiatan-kegiatan ekonomi, politik, pendidikan dan sosial.

Catatan sejarah selalu menyebut betapa harmoninya keakraban antara etnik dalam memperjuangkan kemerdekaan. Etnik yang pelbagai dengan didahului terutamanya oleh etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komposisi terbesar dikatakan telah dapat menyelesaikan perbezaan antara mereka untuk sama-sama mempersetujui kemerdekaan. Digambarkan yang setiap etnik telah menyepakati segala syarat dan hak masing-masing seperti yang digariskan dalam perlembagaan negara. wujudnya kontrak sosial antara semua etnik terlibat Tidak kurang juga dikatakan dalam mengiktiraf hak-hak yang

dinyatakan. Dibangkitkan suatu pengorbanan besar berlaku yang merelakan ego etnisiti, seolah-olahnya semua berpuas hati dalam memastikan wujud keadilan bagi setiap pihak. Antara pengorbanan ialah pengiktirafan etnik imigran sebagai warganegara sebagai timbang balas kepada hak istimewa yang tersendiri bagi etnik bumiputera.

Namun begitu kini, selepas lebih lima puluh tahun dasar-dasar afirmatif ke arah kesaksamaan antara etnik dilaksanakan, permasalahan jurang antara etnik kelihatan masih tidak dapat dipadamkan malah dalam banyak keadaan dikatakan semakin meruncing. 2

Antaranya kekayaan ekonomi etnik bumiputera termasuk Melayu masih ketinggalan berbanding etnik yang asalnya imigran. Kegawatan sosial etnik Melayu juga kelihatan misalnya dengan ramainya yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, masalah berkaitan seksual dan pengangguran (Amir Hasan Dawi, 2007). Pendidikan masih gagal untuk menjadi pemangkin kepada bumiputera untuk bergiat cergas dalam aktiviti perniagaan tetapi meneruskan kecenderungan mereka untuk makan gaji atau menjadi pekerja kolar putih dan biru. Keseluruhannya identifikasi etnik masih wujud. Maka sebenarnya masyarakat Malaysia jelas telah mempertahankan etnisiti masing-masing.

Pengekalan Identiti dalam Bangsa Malaysia

Seruan untuk membentuk rakyat Malaysia sebagai Satu Bangsa sentiasa lunak kedengaran. Dasar-dasar ke arah bangsa Malaysia digariskan sepanjang pasca merdeka. Pada setiap era kepimpinan rakyat diraikan dengan slogan-slogan hingga yang terkini slogan Satu Malaysia. Hakikatnya rupa bentuk Satu Malaysia bukanlah seperti hasilan melting-pot tetapi mungkin lebih memiripi acuan mangkuk salad. Masyarakat Malaysia diraikan sebagai pelbagai di mana mereka memang bergaul bersama dalam ikatan yang masih mengekalkan warna-warni setiap pihak. Jelasnya setiap pihak secara tersurat dan tersirat merasakan suatu keperluan untuk mengekalkan identiti masing-masing. Sebagai penegasan, jika dari segi ekonomi pengekalan identiti dikekalkan dalam penguasaan bidang, dari segi budaya juga mereka kelihatan menolak satu budaya asli tetapi mahukan penerimaan pelbagai budaya. Lantas pada hari ini, penguasa polisi tidak berdaya menahan perjuangan pluralisme budaya yang berteraskan etnisiti melainkan mengizinkan dan mengiktirafnya. Malahan hujahan untuk menyokong kepelbagaian budaya diterima tepat dengan tuntutan globalisasi.

Kelompok yang Bimbang

Semenjak merdeka, rakyat Malaysia telah ditakutkan oleh bayang-bayang konflik etnik yang mungkin menghancurkan negara. Kehidupan yang harmoni mampu tergugat sekiranya etnik yang ada memperjuangkan kepentingan masing-masing. Misalnya selalu ditoleh peristiwa 13 hb. Mei 1969 sebagai tanda amaran dan perlu dielakkan. Rakyat majoriti yang miskin digusarkan satu hari nanti mala petaka yang dahsyat iaitu persengketaan etnik akan memusnahkan cucu-cicit mereka. Bagi kumpulan kaya kecil daripada kalangan majoriti miskin bimbang kemewahan yang mereka kecapi kini akan hilang begitu sahaja. Maka sungguhpun ada yang sayang kepada warisan, bayangan ketakutan dan kemiskinan melampaui segalanya. Sebaliknya, bagi rakyat daripada kalangan majoriti yang berada, 3

mereka nampak tidak begitu bimbang dengan bayang-bayang. Sebaliknya terdapat yang menggunakan kesempatan daripada bayang-bayang ketakutan untuk memperkukuhkan kekuatan etnik masing-masing.

Tidak dinafikan 13 hb. Mei 1969 sebagai suatu peringatan apabila pihak minoriti yang berasa kuat menggunakan kelebihannya untuk menindas yang dianggap lemah tetapi sebaliknya pihak yang lemah telah respons dengan penentangan massa.

Ketidakseimbangan ekonomi antara etnik yang dicatatkan sebagai punca kejadian telah memungkinkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan. Sungguhpun DEB merupakan serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang antara kaum bagi semua, gambarannya DEB memihak kepada etnik bumiputera. Lebih utama untuk difikirkan ialah bagaimana peristiwa yang sering kali menjadi amaran ini telah mengukuhkan pula semangat memperteguhkan etnisiti. Pada satu pihak, ia ini golongan bumiputera yang dianggap mendominasi telah menggunakan kekuasaan politik dalam menggubal polisipolisi yang memihak kepada mereka. Kemungkinan pada anggapan mereka pesaing akan menerima sepenuhnya tanpa soalan. Mereka mungkin tidak sedar bahawa selama ini pesaing telah secara strategik respons dalam penentangan terhadap apa yang berlaku.

Persaingan Etnik Malaysia

Lima puluh tahun pertama merdeka merupakan fasa awal persaingan antara etnik pasca merdeka di Malaysia. Boleh dikatakan ketika itu fungsi persaingan berlaku secara tidak ketara. Sungguhpun terdapat dominasi ketara dalam penggubalan polisi untuk etnik bumiputera, respons daripada etnik bukan bumiputera tidak dizahirkan secara nyata. Pada gambaran kasar golongan bukan bumiputera seolah-olah pasif menerima pelaksanaan dasar-dasar afirmatif membantu bumiputera. Pada hakikatnya, mereka mempunyai tindakan yang dilaksanakan di pelbagai bidang dalam persaingan demi mengekalkan identiti.

Ekonomi Di sebalik banyaknya langkah memperbaiki keadaan bumiputera, strategi yang dilakukan bukan bumiputera, terutama etnik Cina adalah secara senyap tetapi berjaya. Bidang ekonomi, bukanlah menjadi masalah untuk etnik Cina terus menguasainya. Kerjasama dengan etnik bumiputera berlaku dengan harmoni apabila golongan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai kemahiran dalam perniagaan. Dalam tempoh 50 tahun selepas merdeka, boleh dikatakan tidak banyak kemahiran perniagaan yang dipindahkan kepada golongan bumiputera. Malahan etnik Cina khususnya semakin memperkukuhkan 4

jaringan perniagaan dalam kalangan mereka. Semangat yang ada dalam persatuan perniagaan dan persatuan etnik Cina menjadi tiang kepada penguasaan ekonomi.

Punca-punca kegagalan DEB untuk mencapai matlamat penguasaan 30 peratus bumiputera dalam ekonomi negara telah banyak yang cuba menganalisisnya. Walau apa pun, di sebalik kegagalan bumiputera, etnik bukan bumiputera terutamanya etnik Cina telah meningkatkan penguasaan mereka dalam ekonomi. Natijahnya etnik Cina adalah lebih kuat dalam ekonomi berbanding etnik Melayu dan mereka sentiasa memelihara dan mengembangkan kekuatan itu. Kejayaan mereka bukan hanya disebabkan kekuatan habitus tradisi dalam perniagaan, malahan diperkukuhkan dengan kepintaran dalam persaingan sihat yang strategik. Ini termasuk pemanipulasian golongan peniaga baru Melayu yang selesa dengan strategi perniagaan seperti melalui konsep ali baba. Secara teori, dalam era moden, bentuk perkongsian perniagaan sebegini menunjukkan bagaimana golongan yang kuat telah bertindak secara pintar untuk menang dalam persaingan.

Pendidikan Pendidikan merupakan satu bidang penting yang Melayu ketinggalan. Kelahiran DEB telah memberi ruang terhadap bantuan untuk bumiputera berjaya dalam pelajaran. Banyak kelebihan diterima oleh golongan bumiputera atas usaha proaktif kerajaan. Antaranya mewujudkan banyak sekolah asrama yang pengisiannya didominasi oleh etnik bumiputera. Majoriti biasiswa diberikan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan di luar negara. Sistem kuota diwujudkan untuk memasuki universiti awam. Hasilnya kini orangorang bumiputera boleh berbangga dengan ramainya bilangan mereka yang berkelulusan universiti.

Respons bukan bumiputera dalam persaingan pendidikan memang jelas. Wujud kumpulan pendesak yang mempertahankan survival pendidikan untuk etnik Cina di luar kerajaan. Kumpulan ini terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan pendidikan seperti Dong Jiao Zhong. Begitu juga parti politik seperti DAP yang banyak bercakap mengenai pendidikan Cina termasuk pada suatu ketika memperjuangkan penubuhan Universiti Merdeka. Semangat yang ditunjukkan oleh kumpulan-kumpulan berkenaan telah menentukan keberlangsungan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Amir Hasan Dawi dan Ikhsan Othman, 2009). Malah sistem pendidikan Cina yang dipertahankan dan dilanjutkan ke peringkat persediaan universiti telah meneruskan keupayaan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Dalam konteks ini, ada yang menuduh parti politik dan pertubuhan Cina yang menyokong kerajaan tidak berbuat apa-apa. Ini merupakan anggapan yang tidak tepat. Jika pertubuhan di luar kerajaan secara terbuka berjuang untuk survival etnik Cina, mereka yang berada dalam kerajaan telah secara strategik melakukan sesuatu untuk kepentingan etnik Cina. Didahului oleh MCA yang menjadi parti politik kedua terbesar dalam Barisan Nasional; pelbagai usaha dilakukan dalam mempengaruhi dasar kerajaan demi meneruskan keberlangsungan pendidikan untuk komuniti Cina. Malah kemuncak kepada kejayaan pendidikan Cina di Malaysia boleh dilihat pada era Foong Chan Onn menjadi Timbalan Menteri Pendidikan. Dasar-dasar yang memberi ruang kepada emansipasi pendidikan Cina telah tergubal pada tahun 1996 ia ini apabila diluluskan Akta Pendidikan yang baru. Sungguhpun Akta berkaitan pendidikan tahun 1996 adalah bertujuan nasional, ia telah secara langsung memberi faedah kepada pendidikan Cina. Melalui akta berkenaan, sekolah jenis kebangsaan telah bebas dari sekatan kuasa menteri dan sebenarnya pendidikan Cina boleh dikembangkan sehingga ke peringkat universiti.

Sosial Hak keistimewaan kepada golongan bumiputera selalu dikaitkan dengan kontrak sosial. Kontrak sosial dilambangkan sebagai kesepakatan antara kaum semasa mencapai kemerdekaan yang pada asasnya bertujuan menjamin hak setiap etnik. Golongan peribumi mengharapkan konsep hak keistimewaan ini akan terus diterima secara positif oleh golongan bukan bumiputera. Namun kini situasi tergugat apabila ia telah mula dicabar. Keberanian sekumpulan etnik lain mempersoalkan hak istimewa Melayu telah menimbulkan kemarahan pihak Melayu kerana dianggap adalah tidak wajar perkara yang secara kontrak sosialnya telah diterima dan dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikaikan. Rentetan itu telah tertubuh kumpulan pendesak Melayu seperti Perkasa (Peribumi Perkasa Malaysia) yang mempertahankan hak-hak mereka. Bagi mereka, hak keistimewaan bumiputera adalah hak yang tidak boleh dipertikaikan setelah ia termaktub dalam perlembagaan. Namun bagi penentang, hak keistimewaan dianggap tidak adil dan berat sebelah serta didakwa terdapat rakyat yang dilayan sebagai kelas kedua. Prinsip kesaksamaan dijadikan sebagai modal perjuangan dalam mengetengahkan isu ini.

Budaya dan Agama Berdasarkan kepada Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, telah ditetapkan bahawa terdapat tiga prinsip bagi membina kebudayaan kebangsaan iaitu kebudayaan kebangsaan haruslah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal di rantau ini, unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima untuk menjadi unsur kebudayaan 6

kebangsaan dan Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan. Kini, konsep kebudayaan kebangsaan telah semakin longgar apabila masyarakat Malaysia bukan sahaja berbangga dan meraikan budaya yang bukan berunsur peribumi, malah semakin menerima pelbagai unsur kebudayaan asing termasuk yang dari Barat sebagai cara hidup seharian. Penampilan dan penerimaan budaya yang pelbagai telah mencerminkan kekuatan kumpulan etnik berkenaan mengetengahkan identiti mereka.

Perjuangan menuntut hak kini memasuki fasa terjahan kepada perkara yang selama ini dianggap paling sensitif ia ini isu agama. Keberanian telah ditunjukkan dalam mencabar hak beragama dalam kalangan orang-orang Melayu. Usaha-usaha yang semakin berani menyentuh sensitiviti tradisional orang-orang Melayu antaranya seperti penggunaan kalimah Allah, kebebasan menganut agama lain dalam kalangan Melayu dan hakim bukan Islam di Mahkamah Syariah. Cabar mencabar dalam agama bukan sahaja melalui hujahan awam dan di mahkamah malahan juga ditonjolkan dalam aktiviti perkauman jalanan seperti peristiwa pelontaran anggota babi di masjid, perarakan kepala lembu serta pembakaran gereja dan surau.

Pada satu segi, adalah difikirkan keberanian mencabar hal agama mempunyai kaitan dengan semakin lemahnya sensitiviti agama dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri. Secara teorinya memang terdapat banyak faktor yang melemahkan sensitiviti etnik Melayu terhadap agama. Namun begitu dalam teori konflik, golongan yang berjuang selalu akan melihat kelemahan pihak lawan dan akan menyerang kelemahan-kelemahan berkenaan (Amir Hasan Dawi, 2006). Justeru secara teori juga diramalkan pada masa akan datang sedikit sebanyak akan berlaku perubahan dalam struktur kepercayaan beragama dalam kalangan masyarakat Melayu.

Satu lagi status quo yang cuba dipertahankan oleh etnik Melayu ialah hak ketuanan Melayu. Sejauh mana hak ketuanan Melayu wujud banyak bergantung kepada definisi hak ketuanan itu sendiri. Selama ini kemungkinan ketuanan mempunyai kaitan dengan kepimpinan yang berwibawa. Namun dalam era moden kapitalis amatlah sukar mempertahankan ketuanan politik tanpa kekuatan ekonomi. Pengiktirafan kepada ketuanan tidak mungkin dapat dipertahankan dalam masyarakat yang bertunjangkan kapitalisme sekiranya tidak disokong oleh kedudukan kewangan. Lantas ketuanan berkemungkinan hanya suatu simbol di mana dalam realiti ia tidak bermakna. Sebaliknya bagi golongan bukan bumiputera yang mengusai ekonomi, penguasaan mereka adalah suatu realiti ketuanan. Oleh itu dalam golongan bumiputera terdapat keperluan memperkukuhkan ekonomi jika mahu meneruskan 7

ketuanan. Tidak ada pihak yang rela menerima sifat ketuanan yang lemah. Dalam jangka masa panjang, teori evolusi membuktikan ketuanan diterima adalah yang berlaku secara proses semula jadi. Konflik Kesaksamaan

Perjuangan menuntut hak telah berlaku semenjak awal peradaban manusia. Dalam setiap zaman, tesis dan anti tesis telah melahirkan pelbagai teori sosial. Dalam banyak negara moden pelbagai etnik, perjuangan hak kesaksamaan etnik adalah meliputi semua aspek termasuk ekonomi, politik, sosial, agama dan pendidikan. Ciri kepelbagaian etnik negara moden yang dimaksudkan terdapat dalam negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Di Amerika Syarikat dan Britain misalnya, sering ditonjolkan isu-isu antara Kulit Putih, Afro-Karibean atau Kulit Hitam dan Asia. Penganalisis telah melahirkan pelbagai pandangan dan teori mengenai konflik etnik di negara berkenaan. Nampaknya apa yang berlaku dalam konflik etnik untuk menuntut kesaksamaan di Malaysia hari ini merupakan suatu cerminan dan peniruan dengan apa yang berlaku di Barat.

Dalam Malaysia, perjuangan etnik semakin ketara pada awal dekad ini. Kini desakandesakan kumpulan etnik semakin terbuka. Keberanian terserlah terutama apabila sikap terbuka dan liberal ditunjukkan oleh banyak pemimpin Melayu sama ada yang berada di dalam atau di luar kerajaan. Sememangnya terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada sikap liberal pemimpin Melayu. Paling menonjol dalam konteks teori moden ialah kerana ketidakstabilan Melayu dalam perebutan kuasa pada era kapitalis. Perebutan ketara kuasa politik dan kuasa ekonomi etnik Melayu telah dibimbangi beberapa pihak dalam komuniti Melayu sendiri. Antara yang dibimbangi ialah ketuanan Melayu yang dikatakan semakin tercabar. Bagi etnik bukan Melayu, isu sama ada mereka mengambil kesempatan daripada kelemahan-kelemahan politik, ekonomi dan sosial Melayu tidak perlu dipersoalkan kerana perkara sebegini adalah realiti dalam persaingan dan mereka memang berhak sebagai strategi untuk menang.

Pacuan kini adalah mencapai impian status negara maju 2020. Sejauh mana Malaysia menjadi maju dalam acuan sendiri bergantung kepada model kemajuan dicontohi. Namun hingga kini nampak paksi kemajuan Malaysia hari ini adalah negara maju Barat. Hala tuju kemajuan ala Barat bukan semata-mata meniru gaya kapitalisme malahan dalam setiap aspek lain kehidupan sosial. Tidak ketinggalan hubungan etnik juga mahu mencontohi apa yang cuba diimplementasikan oleh Barat, termasuk konsep multikulturalisme, pluralisme dan 8

liberalisme yang didasari prinsip kesaksamaan. Justeru selagi teori hubungan etnik Barat diterima, maka usaha-usaha menuntut hak yang sama akan dilakukan oleh pihak yang menuntut. Sejauh mana kejayaan tuntutan bergantung pula kepada darjah sikap pertahanan atau kerelaan pihak yang dituntut.

Di Malaysia, etnisiti sedapat mungkin telah dikaitkan dengan perkara-perkara yang boleh dikonotasikan dengannya. Jika dalam perlembagaan ada fasa yang mengatakan Islam sebagai agama orang-orang Melayu, pejuang etnik bukan Melayu telah memasukkan perkara ini dalam agenda mereka. Begitu juga isu gender telah dimanipulasikan dengan menonjolkan seolah-olah penindasan gender ada kaitan dengan budaya dan agama orangorang Melayu. Secara langsung atau tidak, memang terdapat golongan Melayu yang telah terpengaruh dan menerima aliran ini. Mereka telah memasuki kumpulan-kumpulan hak asasi yang sebelum ini enggan disertai oleh orang-orang Melayu beragama Islam. Dari satu segi, situasi ini merupakan dinamik sosial. Berikutan dari itu, persoalan timbul mungkinkah nanti semakin ramai golongan Melayu yang melihat persamaan hak dalam perspektif Barat?

Penegasan di sini adalah sungguhpun Malaysia mempunyai latar negara yang berbeza dengan Amerika Syarikat atau Britain, tren perjuangan menuntut hak etnik di Malaysia kini adalah mirip tren perjuangan etnik yang telah berlaku seperti di Amerika Syarikat. Perjuangan etnik bukan semata-mata atas etnisiti tetapi dikaitkan dengan isu-isu lain seperti gender dan kelas sosial. Teori Ras Kritikal yang muncul di Amerika Syarikat telah menonjolkan bagaimana insiden-insiden mikro diketengahkan sehingga kelihatan begitu besar oleh kelompok tertentu (Tate, 1997; Delgado dan Stefancic, 2000). Kumpulankumpulan yang dianggap kritikal mengemukakan hujah berdasarkan isu kecil atau setempat sehingga ia dianggap sebagai masalah yang begitu besar dan mengancam kestabilan serta keharmonian negara. Akhirnya perjuangan mereka telah membuahkan hasil.

Satu contoh isu yang dikritikalkan ialah seperti yang telah ditunjukkan oleh kumpulan Hindraf (Hindu Rights Action Force) yang menuntut keadilan dan kesamarataan bagi kaum India di negara. Mereka menimbulkan konflik sehingga mendakwa telah berlaku penghapusan etnik oleh pihak kerajaan. Bantahan bukan sahaja di dalam negara malah telah melaungkannya ke luar negara. Sungguhpun ramai boleh mendakwa bahawa kumpulan seperti Hindraf tidak berwibawa kerana membawa isu-isu yang tak masuk akal, namun sikap seperti inilah yang dituntut dalam Teori Ras Kritikal. Kesannya semasa mungkin tidak ketara. Namun dalam jangka panjang implikasi adalah besar apabila masyarakat masa depan melihat ia sebagai

betul berlaku; apatah lagi jika ada para sarjana kritikal mengutip keratan peristiwa Hindraf sebagai bahan ilmiah yang benar-benar berlaku!

Golongan pejuang etnik yang kritikal telah menterbalikkan hujah seperti marxisme mengkritik kapitalisme sebagai paksi kejahatan. Mereka telah berhujah untuk menidakkan usaha-usaha kerajaan dalam menyusun masyarakat daripada persepsi ketidakadilan. Misalnya DEB yang ditujukan untuk semua kaum dilihat sebagai hanya untuk Melayu dan meminggirkan etnik lain. Dasar Kebudayaan Kebangsaan dikatakan sentrik Melayu. Dasar kuota pemberian biasiswa dicemuh telah menidakkan bukan Melayu. Begitu juga Dasar Pelajaran di sekolah dianggap telah menafikan hak sekolah bukan kebangsaan. Ringkasnya disebabkan dasar-dasar yang memihak kepada Melayu, maka didakwa semenjak merdeka golongan bukan bumiputera bukan sahaja dianaktirikan, malahan telah ditindas. Rumusan: Perjuangan Berterusan

Dakwaan-dakwaan penindasan terhadap bukan bumiputera di Malaysia berkemungkinan dilihat sebagai keterlaluan dan tidak munasabah. Sering dihujahkan bahawa selama ini dasar-dasar kerajaan berkenaan secara nyata telah memberi faedah dan dikongsi bersama. Dalam DEB misalnya, di samping bumiputera, etnik lain juga turut menikmati hasil kekayaan negara dan sekali gus memastikan bahawa agihan kekayaan yang dinikmati oleh semua pihak adalah sama rata dan adil. Dalam hujah ini, walaupun dalam situasi DEB, etnik bukan bumiputera terus mendahului sektor ekonomi sementara etnik bumiputera tidak banyak perubahan. Dalam bidang pendidikan, semua etnik berpeluang ke pendidikan tinggi. Dasar kebudayaan pula tidak menyekat setiap etnik mengamalkan cara hidup atau adat masingmasing.

Namun yang lebih penting ialah untuk melihat kesan tuntutan dan dakwaan kumpulan etnik berkenaan. Kini banyak dasar-dasar telah memberi kelebihan atau keutamaan kepada yang diperjuangkan oleh etnik bukan bumiputera. Antaranya kerajaan telah memberi peruntukan biasiswa yang lebih besar kepada golongan bukan bumiputera, dasar merit diutamakan, tiada syarat eksekutif bumiputera di sektor swasta, peruntukan yang lebih besar kepada SRJK (Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan), taraf SRJK yang sama sebagaimana Sekolah Kebangsaan dan beberapa kebaikan yang lain. Justeru disimpulkan bahawa, konflik yang telah ditimbulkan telah membawa perubahan untuk kepentingan kumpulan-kumpulan etnik yang memperjuangkannya.

10

Sebenarnya perjuangan politik etnik di Malaysia yang didahului oleh parti-parti dalam Barisan Nasional telah membawa faedah kepada kumpulan etnik majoriti dan minoriti. Malahan kini dasar afirmatif dan prinsip ketuanan Melayu yang mementingkan bumiputera kelihatan telah semakin longgar. Dalam kerajaan sendiri komposisi etnik bagi jawatanjawatan menteri dan timbalan menteri telah banyak berubah yang menunjukkan keseimbangan antara Melayu dan bukan Melayu. Kini dasar-dasar Satu Malaysia telah memberi ruang ke arah kesaksamaan. Namun perjuangan kumpulan kritikal tidak akan tamat sehingga prinsip kesaksamaan hak yang mereka definisikan tercapai.

Kini terdapat tanda segelintir kumpulan bumiputera telah respons terhadap kejayaan perjuangan kumpulan pendesak bukan bumiputera. Antaranya termasuklah kumpulan Perkasa yang secara jelas mempunyai tujuan mempertahankan hak-hak dan juga memelihara kepentingan etnik Melayu dan bumiputera. MPM (Majlis Perundingan Melayu) pula telah cuba menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan matlamat memelihara dan memperjuangkan hak-hak orang Melayu serta perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Perjuangan etnik di Malaysia semakin diwarnai apabila terdapat pula kecenderungan kelompok etnik minoriti kecil bumiputera seperti kumpulan orang asli menubuhkan kumpulan menuntut hak. Oleh itu pada masa akan datang adalah dijangka konflik berkaitan etnik yang ditimbulkan golongan pendesak bukan bumiputera dengan pendesak Melayu dan bumiputera akan terus berlaku.

Kewujudan konflik merupakan suatu dinamika dalam proses perubahan sosial. Secara teoretikal, kewujudan golongan-golongan pendesak yang kritikal merupakan pemangkin kepada perubahan. Kejayaan sesuatu kumpulan bergantung kepada strategi yang dilaksanakan. Dalam konteks persaingan kini, golongan bumiputera dianggap sebagai golongan yang sedang mempertahankan apa yang didakwa hak mereka daripada tuntutan hak oleh kelompok pendesak bukan bumiputera. Ringkasnya konflik adalah pada fasa golongan pendesak Melayu sebagai kelompok yang bertahan sementara kelompok pendesak bukan bumiputera sebagai kelompok yang menyerang. Justeru sedang disaksikan sejauh manakah kemampuan golongan pendesak yang menyerang akan mengatasi kekuatan golongan pendesak yang bertahan akan membuktikan tesis Spencerian.

11

Bibliografi Amir Hasan Dawi. (2005). Interaksi Antara Etnik Di Malaysia: Rangka Perpaduan Dalam Masyarakat Berpola. Seminar Perpaduan Negara & Integrasi Nasional, 19-20 Mei. Putrajaya: Jabatan Perpaduan Negara. Amir Hasan Dawi. (2006). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Edisi Ketiga. Tanjong Malim: Quantum Books. Amir Hasan Dawi. (2007). Pendidikan Seks: Satu Perspektif Sosial. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris. Amir Hasan Dawi. (2008a). Globalization in multiethnic society, The 38th International Institute of Sociology Congress, 26-30 June. Budapest: IIS. Amir Hasan Dawi. (2008b). Social class dimension in Malaysian ethnic relation. 6th International Malaysian Studies Conference, Engaging Malaysian Modernity 50 Years and Beyond, 5-7 August, Kuching: PSSM. Amir Hasan Dawi. (2009). Sekolah dan Masyarakat. Tanjong Malim: Quantum Books. Tanjong Malim: Quantum Books. Amir Hasan Dawi dan Ikhsan Othman. (2009). Modal Insan dalam Memperkasakan Sekolah Kebangsaan. Laporan Penyelidikan FRGS/KPT. Universiti Pendidikan Sultan Idris. Bhavnani, R., Mirza, H.S. and Meetoo, V. (2005). Tackling the roots of racism, lesson for success., Bristol: Policy Press. Bourdieu, P. (1977). Outline of a Theory of Practice. (trans.). Cambridge: Cambridge University Press. Bourdieu, P. (1990). The Logic of Practice. Cambridge: Polity Press. Delgado, R. and Stefancic, J. (2000). Critical Race Theory: the cutting edge. 2nd ed. Philadelpia: Temple University Press. Gillborn, D. (2008). Racism and Education: Coincidence or Conspiracy? London: Routledge. Healey, J.F. (2006). Race, Ethnicity, Gender and Class, the sociology of group conflict and change. 4th. Ed. California: Pine Forge. KPM. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010, Edisi Pelancaran, Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia. Mackerras, C. (2003). Ed. Ethnicity in Asia. London: RoutledgeCurzon. Malaysia. (2006). Rancangan Malaysia Kesembilan 2006-2010. Putrajaya: Jabatan Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Meighan, R. and Harber, C. (2007). A Sociology of Educating.New York: Continuum. Tate, W.E. (1997). Critical Race Theory and education: history, theory and implications, in M.W. Apple (ed.). Review of Research in Education, 22, Washington DC: AERA, hal. 195-247. Troyna, B. (1993) Racism And Education: Research Perspectives. Milton Keynes: Open University Press. Hubungi: Profesor Madya Dr. Amir Hasan Dawi Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris 35900 Tanjong Malim, Perak, Malaysia Email: amir@upsi.edu.my amirhd@hotmail.com Tel: 012-3540456

12

You might also like