You are on page 1of 5

Cerpen: Asap di bawah daun Oleh Zaharah Nawawi 2010/07/17

TANGAN kurus dibaluti kulit berkedut seribu itu mengangkat tin bekas minyak tanah lima belas liter yang sudah dibasuh bersih. Air hujan tadahan dalam bekas tong minyak tar setinggi dada diceduk, dituang ke dalam tin tadi yang sudah diisi biji-biji jagung kering, diletak di atas tungku batu bata disusun dalam bentuk tiga penjuru berhadapan. Serpihan kecil papan dan kayu buangan dipungut dari dalam longgokan sampah di belakang dapur kediaman dan deretan kedai di sekitar Jalan Melayu di tengah bandar raya Harimaupura tersohor itu. Mata api yang masih merah sebesar hujung ibu jari tangan pada sebatang beluti separuh hangus sepanjang sehasta yang disimpan dalam abu dapur setiap kali selesai memasak, ditiup penuh kesabaran sehingga menyala. Ketika menyelongkar raga besar beranyam siatan kulit buluh selebar dua inci setiap keping di luar rumah bertembok tinggi bercat kuning muda itu tadi, tiba-tiba pintu belakang yang hanya jarak lima kaki dari tempatnya berada dikuak. Seorang wanita tercegat memandangnya. Segera dia mencampak semula kertas-kertas renyuk basah dikumpul sepanjang pagi tadi ke dalam raga. Dia tidak mahu disergah apatah pula dimarahi wanita tua kurus ceding itu. Dalam perjalanan hidupnya yang daif, maki hamun bukan lagi asing namun perasaannya masih belum lali. Setiap kata-kata kesat terutama sumpah seranah amat menyakitkan. Menjadi daif dan merempat bukan permintaannya. Dia tidak memilih jalan itu. Pantas dia melangkah meninggalkan bakul sampah separuh diselongkar tadi. Dia lebih rela membuang hasil cariannya pagi itu, biarpun usus kosongnya pedih mengerinyut ditoreh asid. asalkan hatinya tidak dicincang lumat dengan maki hamun orang yang tidak rela sampah buangannya dimanfaatkan. Hei, Nek! Mari sekejap! panggilan itu amat jelas dipendengarannya. Dia mengesat kedua-dua tapak tangan ke paha berbalut kain batik lusuh kerepot di sana sini kesan jahitan jelujur kasar pada rentas yang semakin merebak. Kain batik yang dipungut dari longgokan barang terpakai beberapa bulan lalu. Dia tidak menjawab panggilan tersebut, sebaliknya menapak perlahan menjauhi kawasan belakang dapur rumah agam itu. Pada langkah ketiga, dia mendengar lagi suara nyaring wanita tadi memanggil. Nek! Nek! Tunggu! suara itu semakin hampir. Namun dia pura-pura tidak mendengar. Dia terus melangkah biarpun kakinya terasa longlai. Hatinya lebih rela membiarkan perutnya keroncong daripada mengisi ruang sempit telinga dengan kata-kata menyayat. Aku dilahirkan bukan untuk dihina, gumamnya biarpun aku ditakdirkan hidup dalam kehinaan. Dulu dia pernah senang. Pernah dikasihi dan mengasihi. Dia jatuh hati dengan seorang anak tauke kedai runcit di bandar raya Harimaupura. Aming berbudi bahasa orangnya. Menghormati orang tua. Aming amat mencintainya. Aming minta izin keluarganya mengahwini dia. Ayah dan ibu dia memberi syarat besar kau mesti memeluk Islam. Anak saya tidak akan berkahwin

dengan orang bukan Islam. Ayah dan ibu Aming juga memberi syarat besar lagi berat. Kalau kau kahwin dengan perempuan kacukan yang tidak dapat dipastikan asal keturunannya itu, hubungan kita putus! Aming tinggalkan keluarga. Aming heret dia ke hulu ke hilir. Demi sebuah cinta terbit dalam ketulusan perasaan dan kemurnian jiwa dia ikut Aming walau merempat tidur menumpang di rumah kawan yang sudi, di masjid atau surau, malah kerap melabuh kepala berbantalkan bungkusan kain baju di mana-mana kaki lima kedai, sehingga Aming dapat kerja mengambil upah mengangkat guni-guni beras dan gula, bawang dan kentang dari lori kontena ke Kedai Runcit Badraii. Kerajinan Aming dan kegagahan tubuhnya yang masih muda menarik hati tauke Badraii. Aming dipelawa menjadi pekerja di kedai itu dengan gaji tetap. Namun hanya dua minggu, Aming meninggal dirempuh sebuah lori baja yang terbabas masuk ke dalam kedai. Nek! hampir terangkat punggungnya dari bonggol akar angsana diduduki. Dia menoleh ke kanan. Wanita yang menyuruhnya tunggu kejap tadi berdiri di samping. Tangannya menjinjit sesuatu. Bau enak ayam goreng menyentuh hidung. Dia menelan air liur ketika mata melirik memandang bungkusan di tangan wanita itu. Nah! Wanita itu menghulur. Jika diikutkan hati mahu saja dia menerkam bungkusan kertas dalam beg plastik merah di tangan wanita yang begitu hampir dengan tangannya. Namun dia menahan keinginan. Dia malu kelihatan rakus. Dia memandang anak mata wanita yang masih merenungnya itu. Terpancar warna ikhlas dari bebola jernih yang tidak berkelip memandangnya. Nasi untuk nenek. Makan ya. Wanita yang memanggilnya nenek itu pada perkiraannya mungkin sebaya jika tidak lebih tua daripada usianya. Wanita itu meletakkan bungkusan tadi ke atas ribaannya, lalu berlalu. Dia menoleh dari sebalik pokok angsana tempatnya bersandar. Wanita itu sudah tidak kelihatan. Pintu dapur yang tadi menganga kini sudah ditutup rapat. Tanpa berlengah, dia membuka bungkusan yang masih suam itu. Dia menyuap gelojoh nasi putih berlaukkan sambal tumis kerang dan seketul dada berserta kepak ayam goreng. Sedikit kuah kari menukar putih nasi jadi kekuningan. Aroma nasi itu membuatkan suapannya bertambah rakus. Letak punggung yang hampir melurut dari banir angsana tidak dipedulikan. Terlalu sedikit nasi itu baginya. Sudah tiga hari perutnya tidak diisi nasi. Selama tiga hari dia hanya mengalas perut dengan sisa roti canai lebihan makan pelanggan yang diletakkan dalam besen di belakang restoran mamak. Pemilik restoran itu sengaja meninggalkan saki-baki yang masih elok itu untuknya. Kenyang makan roti canai tidak sama dengan nasi. Sebiji dua nasi melekat di celah tulang-temulang ayam, dikais dengan jari lalu disuap. Saki baki urat-urat dan kulit ayam yang masih ada di sana sini diunggisnya sehingga bersih. Malah kepala lutut ayam yang mengandungi sedikit urat berlemak tidak dibiarkan begitu saja. Dimamahnya juga sampai lumat sebelum ditelan.

Selama jadi isteri Aming, dia tidak pernah kebulur biarpun hidupnya tidak mewah. Wajah Aming yang manis sentiasa menyenangkan mata memandang. Suara Aming yang lembut amat dirinduinya. Selesai makan dia keronyok kertas bekas bungkusan nasi itu kemas-kemas, lalu dibuang ke dalam tong sampah majlis bandaran tidak jauh dari situ. Diambilnya beberapa helai daun yang baru gugur, bersih, cantik berkilat dijadikan pengesat tangan. Nah! Dia terperanjat sakan. Khayalan indahnya bercempera. Dia bingkas berdiri. Matanya besar memandang datangnya arah suara. Wanita yang tadi memberinya bungkusan nasi kini menghulur sebotol air mineral bermuatan 500 ml. Dia malu hendak menyambut. Selepas memandang sekilas, dia tunduk merenung bumi. Nah, suara wanita itu kembali menyentuh gegendang. Dia masih pura-pura tidak mendengar. Ambil. Basuh tangan dulu sebelum makan. Di mana pun kita tinggal, kebersihan mesti dijaga. Kebersihan bermakna kesihatan. Berdebuk botol air mineral menyentuh sisi pahanya. Dia menengadah wanita yang tercegat di samping. Mata wanita itu kelihatan seperti mahu bicara. Di bawah sedar dia menepuk tiga kali tanah di sebelah punggung. Sudikah anak duduk dekat mak cik? Kadang-kadang dia rasakan tarafnya lebih rendah daripada kucing, ayam dan anjing. Jika ketiga-tiga jenis haiwan tadi yang menyelongkar bakul sampah sarat kotoran dan bau, tiada sumpah seranah dilontarkan. Setelah menghalau haiwan penyelongkar, pemilik bakul buluh senyap-senyap mengemas semula, menutup dengan plastik dan menindih dengan beberapa biji batu bata. Tapi wanita ini pun tidak memarahi aku, jauh sekali menghalau. Ada warna kekaguman di matanya. Tidak. Pantas wanita tersebut menjawab. Dia tidak terkejut. Jawapan itu sudah dijangkakan. Siapa yang sudi berada di samping orang merempat jika bukan orang merempat juga? Sekarang saya tanya: Sudikah mak cik tinggal dengan saya? Saya ada keluarga. Ada ibu, ada anak-anak seramai enam orang. Suami sudah meninggal. Masih ada ruang jika mak cik sudi tinggal bersama kami. Terasa berpinar matanya apabila diserbu genang gembira yang berebut-rebut menerjah keluar dari kelopak layunya. Betulkah? Dia menengadah langit yang mengintai di celah-celah rimbun daun lebat angsana. Betulkah apa yang saya dengar ini? Betul. Tidak salah sedikit pun. Tapi kenapa anak begitu baik? Mak cik tidak ada apa yang boleh dibalaskan. Mak cik

kekurangan segala-galanya. Waktu itu kedengaran bunyi keriau anak kucing jatuh ke dalam longkang. Sejak semalam dia mendengar jeritan cemas tersebut. Dia ingin membantu namun longkang itu terlalu dalam. Menyamai ketinggian dua lelaki. Jika dia turun, pasti tidak mampu naik. Dinding longkang itu licin berturap simen. Dia sedih apabila kucing itu tidak berbunyi. Dia mengandaikan mungkin sudah mati lemas atau mati kelaparan. Wanita tadi berpaling, lalu berjalan ke tepi longkang. Dia melihat wanita tersebut berlari-lari pulang, masuk ke dalam pintu belakang yang masih menganga. Bunyi kerentang kerentung besi berlaga dengan batu jalan menarik perhatiannya. Dia menoleh. Wanita tadi dengan segala susah payah membawa sebatang penyauk ikan di tangan kiri dan tangga aluminium putih biru setinggi lima kaki di tangan kanan. Hujung tangga yang terjuntai ke belakang terlantun-lantun tatkala menyentuh aspal. Melihat kesungguhan wanita itu, hatinya ringan saja membantu. Dia bangun. Tangga tadi diambilnya dari pegangan wanita tersebut. Terima kasih, wanita itu melemparkan senyum. Manis. Bersama-sama wanita itu dia menurunkan tangga ke dalam longkang. Semasa turun, wanita itu nyaris tergelincir apabila tersilap pijak anak mata tangga kedua. Cik naik. Biar saya ambilkan anak kucing itu, dia menarik tangan wanita itu agar kembali ke atas. Wanita itu segera membawa pulang anak kucing comot tadi ke rumah. Dia ikut di belakang dengan mengangkat sauk ikan dan tangga. Sampai di dapur, dia sandarkan tangga dan sauk di dinding bilik air. Wanita tadi mengambil tuala kering lalu masuk ke bilik air memandikan si comot. Jerit pekik si kecil bertompok putih hitam di sambut gelak ketawa dan pujukan lunak wanita itu. Diam sayang. Kita mandi dulu. Dah bersih nanti boleh makan. Ayam ada, ikan pun ada. Mak cik juga mandi. Busuk bau longkang kotor tadi. Wanita itu menyerahkan sepemeluk pakaian terpakai yang berlipat kemas ke tangannya. Dia bagaikan dipukau. Ikut saja arahan wanita itu. Selepas mandi dia ditunjukkan sebuah bilik bersebelahan ruang makan. Dalam bilik itu ada kipas angin, bantal, katil dan tilam bersalut cadar bersih. Ini bilik mak cik. Wanita itu menutup pintu bilik dari luar. Semasa memandang keliling dia melihat ada sejadah dan telekung bersangkut di penyidai ayan berwarna biru putih di sebelah almari pakaian. Di rumah besar itu dia dilayan seperti keluarga sendiri. Dia bebas menikmati kehidupan. Namun dia tidak biasa bersenang-senang sepanjang hari. Dengan simpuh sopan dan bahasa santun dia minta izin mencari duit sendiri. Mak cik hendak jual jagung rebus. Badan makc ik rasa sakitsakit jika duduk diam saja di rumah. Tanpa menunggu jawapan wanita yang masih bungkam itu, dia pantas mencari semua keperluan bagi melaksanakan impiannya.

Selepas solat Subuh dia mulai merebus jagung yang sudah direndam semalaman dalam besen besar, berhampiran rimbunan sekelompok pisang abu berdaun lebar dan subur. Liuk lintuk lidah api semakin mala. Sewaktu menyorong puntung kayu di bawah buntut tin dia memandang ke tingkat atas dapur. Seperti biasa pagi itu wanita berwajah mulus membuka tingkap. Dia senyum dan melambai ke arahnya apabila melihat asap nipis bermain angin di bawah daun. INFO Penulis ZAHARAH Nawawi yang berpengalaman luas dalam kewartawanan sejak 1950-an, menghasilkan karya sastera dalam pelbagai genre termasuk cerpen, novel, puisi dan esei. Pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan kepada penulis muda, menerima Anugerah Penulisan Sea pada 1996. Penulis boleh dihubungi di http://www.kepezi.blogsopt.com/

You might also like