You are on page 1of 8

Laporan Bina Insan Guru

Laporan Lawatan Benchmarking Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara.

Pada semester ini, kami telah memilih tarikh pada 6 Mac 2012 untuk menjalankan siri Bina Insan Guru V yang merupakan Lawatan Bench Marking ke sekolah bestari ataupun sekolah berprestasi tinggi. Pemilihan sekolah bestari merupakan pilihan kami untuk lawatan pada kali ini kerana kami ingin menambah pengalaman mengenai perbezaan antara sekolah bestari dan sekolah arus perdana yang standard. Justeru, setelah bersetuju dan membuat beberapa pertimbangan, kami telah bersetuju untuk memilih Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara sebagai sekolah bench marking kami pada semester ini. Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara merupakan sekolah perintis sekolah bestari yang terletak di Taman Shamelin, Cheras. Antara rasional lawatan bencj marking ini diadakan adalah u ntuk melahirkan bakal guru yang boleh membina generasi Malaysia yang mempunyai modal insan berkualiti tinggi, berilmu, berkemahiran, memiliki kekuatan spiritual dan sahsiah yang unggul di samping memiliki ciri-ciri kepimpinan yang boleh diteladani hasil daripada pemerhatian dan pengetahuan yang akan dipelajari semasa lawatan diadakan. Lawatan di Sekolah Kebangsaaan Seri Bintang Utara ini sememangnya merupakan satu lawatan ilmiah yang banyak memberi manfaat serta pendekatan yang berbeza yang tidak diamalkan dan tidak dilaksanakan oleh sekolah harian yang lain. Tepat jam 8.00 pagi, pada 6 Mac 2012, kami kumpulan 5 PISMP Matematik bertolak dengan bas IPG Kampus Teknik ke sekolah. Jarak antara IPG ke sekolah tidak begitu jauh, namun kami mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk sampai kerana masalah kelewatan dan kesesakan jalan raya pada awal pagi. Lawatan ini telah disertai oleh 28 orang guru pelatih dan seorang Mentor pengiring.

Sebenarnya, melalui lawatan ini, kami telah didedahkan dengan pelbagai pengalaman baharu serta kami juga mempelajari bagaiman untuk membentuk sebuah sekolah supaya disegani dan mendapat prestasi yang meningkat secara konsisten.
Melalui lawatan ilmiah yang telah dijalankan ini kami mengharapkan agar penampilan profesional yang tinggi, ciri-ciri sahsiah serta perilaku terpuji dapat memperkasakan kebolehan, disiplin, nilai, dan akhlak keguruan dalam kalangan pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Pendidikan Teknik menerusi lawatan ini. Perancangan yang rapi telah dibuat sebelum mengadakan lawatan ke sekolah bestari ini sejak dari awal semester lagi. Mohamad Firdaus bin Abu selaku ketua kumpulan telah membahagikan tugas masing-masing supaya lawatan ilmiah ke sekolah akan berjalan tanpa sebarang masalah. Sejak dari awal lagi, kami telah merancang untuk memilih Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan sebagai platform lawatan kerana prestasi dan kejayaan sekolah ini dalam pelbagai bidang akademik. Lawatan pada kali bukanlah hanya berfokus kepada lawatan semata-mata namun kami ingin melihat sekolah ini daripada pelbagai sudut perspektif supaya apabila berada di sekolah nanti, kami mampu membentuk serta mengubah cara sekolah supaya menjadi contoh dan teladan bagi sekolah-sekolah yang lain. Sebelum lawatan ke sekolah berlangsung, kami mengadakan perbincangan dan membuat beberapa perubahan supaya tidak berlaku sebarang masalah teknikal di saat akhir kelak. Perancangan kertas kerja serta tentatif program juga telah disusun dengan rapi agar segala perjalanan pada hari tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah, segala yang dirancang berjaya dikelolakan dengan baik dan kami dapat mengadakan lawatan ilmiah ke Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara dengan jayanya. Guruguru pelatih juga telah menunjukkan komitmen serta kerjasama untuk bersama-sama menjayakan lawatan pada kali ini.

Tanggal 6 Mac 2012 kami telah mengadakan lawatan ilmiah ke sekolah bestari, Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara dengan menaiki kenderaan institut. Perjalanan program lawatan pada hari tersebut berlangsung dari jam 8.00 pagi sehingga pukul 1.00 tengahari. Lawatan pada kali ini berfokuskan untuk melihat dimensi dan pencapaian sekolah bestari dalam pelbagai aspek pembangunan pendidikan. Permulaan bagi lawatan ilmiah pada kali berjalan dengan lancar dan semua guru pelatih sentiasa menunjukkan keazaman dan semangat iltizam yang tinggi.

Kami telah selamat sampai di sekolah tersebut sekitar jam 8.30 dan pihak pentadbir telah bersama-sama untuk menjemput kedatangan kami. Sebaik sahaja melangkah ke kawasan sekolah tersebut, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran kami ialah ini merupakan antara sekolah elit yang mempunyai struktur bangunan yang begitu dinamik serta menarik. Pemandangan luaran serta lanskap sekolah sahaja cukup membuktikan bahawa sekolah ini amat mementingkan penjenamaan supaya seiring dengan pembangunan teknologi yang semakin berkembang dek perubahan zaman. Sejurus selepas sampai di sekolah, kami telah dijemput untuk mengambil tempat dan mendengar sedikit latar belakang mengenai pengurusan sekolah oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara. Daripada penerangan ringkas yang telah diberikan oleh Guru Besar tersebut, jelaslah bahawa sekolah ini sememangnya mempunyai reputasi dan prestasi yang sewajarnya dibanggakan. Lebih

menggembirakan lagi apabila kami telah diberitahu bahawa sekolah ini merupakan sekolah perintis sekolah bestari di Malaysia. Taklimat ringkas disampaikan secara bersahaja oleh Guru Besar kerana beliau mempunyai urusan pentadbiran dan menyerahkan lawatan ilmiah kepada guru IT sekolah tersebut untuk membawa kami melawat bangunan sekolah serta bertanya maklumat dan pencapaian sekolah. Program lawatan ilmiah telah dimulakan dengan menonton video yang telah dibuat oleh guru IT sekolah mengenai sejarah dan perkembangan Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara sehingga sekolah diiktiraf sebagai sekolah bestari di Malaysia. Kami berasa bangga dan teruja melihat prestasi dan perkembangan sekolah yang hanya bermula sebagai sekolah harian biasa sejak beberapa belas tahun yang lalu. Guru IT juga sempat memberikan kami beberapa teknik mengambil gambar dan mengedit dalam bentuk video untuk tatapan yang lebih kemas dan cantik. Kami berasa bangga kerana video yang dihasilkan kelihatan kemas dan mudah untuk difahami. Program pada pagi tersebut disudahi dengan beberapa soalan pendek dan kemudiannya, kami dihidangkan dengan santapan pagi yang disediakan oleh pihak katering sekolah.

Selesai sahaja sesi sarapan, kami dibawa melawat kawasan sekolah. Pada pandangan kami, sekolah ini mempunyai keunikan yang tersendiri kerana bangunanbangunan di sini tidak dihias dengan pelbagai mural kerana ingin mengekalkan identiti sekolah. Secara keseluruhannya, sekolah ini mempunyai struktur bangunan dan kawasan persekitaran yang menarik dan kemas. Kemudian, kami mulakan tentatif lawatan dengan melawat kawasan dan bangunan-bangunan yang terdapat di kawasan sekolah seperti pejabat pentadbiran, perpustakaan, bilik pemulihan khas, bilik prasekolah, studio, dan banyak lagi. Dalam rangka lawatan pada kali ini, kami berasa seronok dan teruja kerana inilah kali pertama dapat menjejakkan kaki ke studio broadcast yang berada di sekolah ini. Sememangnya, Bintang Studio mempunyai tarikan yang tersendiri kerana peranannya sebagai konti/radio sekolah yang mempunyai siaran secara langsung dan digunakan sebagai platform siaran pendidikan bagi warga sekolah ini. Beberapa orang guru pelatih bersama Encik Abdul Hamid Tan turut dapat mencuba dan beraksi sebagai DJ Radio di Bintang Studio ini. Kemudian, kami melawat perpustakaan SK Seri Bintang Utara yang diiringi oleh guru IT dan guru pembimbing perpustakaan. Bangunan perpustakaan sangat teratur dan mempunyai banyak bilik khas yang mempunyai pelbagai kegunaan untuk meningkatkan penguasaan murid secara optimum dalam pelbagai aspek pembelajaran. Buku-buku mudah dicari dan penggunaan teknologi yang maksimum digunakan di dalam sistem perpustakaan di sekolah ini. Terdapat juga beberapa slot dan sudut patriotik yang berlainan berbanding di sekolah-sekolah lain. Selepas itu, kami melawat bilik pemulihan khas dan juga bilik prasekolah. Sememangnya, sekolah bestari ini merupakan salah satu sekolah yang mempunyai prasarana kelas pertama kerana setiap sudut dalam bilik-bilik ini dihias dengan cantik dan ceria. Penggunaan teknologi serta pembelajaran menggunakan komputer juga dilaksanakan di dalam setiap bilik darjah. Hal ini dapat membangkitkan semangat ingin belajar dalam diri kanak-kanak dan suasana yang kondusif bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan berkesan.

Kami juga sempat menyaksikan murid-murid membuat rehearsal dan persiapan bagi persembahan seni muzik. Suasana bilik muzik yang disediakan dengan pelbagai peralatan yang canggih dan menarik menyebabkan murid-murid dapat

mengembangkan potensi diri dengan lebih mendalam lagi. Secara keseluruhannya, bangunan-bangunan akademik yang terdapat di sini merupakan prasarana berkelas pertama dan setiap murid diperkenalkan dengan teknologi sejak berada di tahun 1 lagi. Pendedahan awal mengenai teknologi dan penggunaannya dalam kehidupan seharian akan menyebabkan murid-murid dapat mengaplikasi budaya belajar yang lebih sistematik dan tersusun. Lawatan diakhiri dengan beberapa soalan dan perbincangan di dalam bilik mesyuarat. Berdasarkan lawatan dan perbincangan dengan wakil sekolah, Encik Abdul Hamid Tan serta kumpulan guru pelatih Matematik, kesimpulannya, lawatan ilmiah pada kali ini berjaya mencapai objektifnya. Sesi lawatan ilmiah di Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Utara diakhiri dengan sesi bergambar dengan pihak sekolah dan para guru pelatih 5PISMP Matematik.

Laporan Reflektif Syukur ke hadrat Illahi kerana limpah dan kunia-Nya, saya dan rakan-rakan warga 5 PISMP Matematik ambilan Januari 2011 telah berjaya melaksanakan aktiviti dan program Bina Insan Guru bagi kali ke-5. Pada semester ini, kami telah diminta untuk melaksanakan satu program lawatan bench marking di sekolah harapan, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah bestari di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Melalui program dan pendekatan seperti ini, para guru pelatih akan didedahkan dengan pelbagai elemen kemanusiaan dan pembangunan sekolah untuk diterapkan sebagai seorang bakal guru pada masa hadapan kelak. Penyertaan saya dan rakan-rakan dalam khidmat komuniti ini sebenarnya memberi seribu satu pengetahuan dan pengalaman yang amat berharga untuk digunakan pada masa akan datang. Sejak dari mula lagi, saya sudah tertarik dengan agenda untuk mengadakan program dan lawatan bench marking di sekolah pilihan dan mempunyai prestasi cemerlang. Program ini dapat menyuntik semangat muhibbah serta memupuk nilai kasih sayang dalam kalangan warga pendidik. Melalui lawatan ilmiah pada semester ini, kami sebagai bakal pendidik akan didedahkan dengan pendedahan yang lebih terperinci mengenai pentadbiran serta pembangunan sekolah bestari di Malaysia. Sebenarnya, bukan sahaja kawasan bandar mempunyai sekolah bestari, namun, kawasan luar bandar juga mempunyai sekolah bestari dengan acuan dan pembangunannya yang tersendiri. Tetapi pada kali ini, kami berpeluang dan sempat menambah ilmu mengenai sekolah bestari yang terletak di bandar Kuala Lumpur. Sepanjang menjalankan aktiviti Bina Insan Guru pada kali ini, saya dapat melihat banyak kemajuan dalam bidang pendidikan yang sedang berkembang di negara kita. Sebenarnya banyak program yang dibangunkan untuk memastikan pendidikan di negara kita seiiring dengan pembangunan teknologi di negara-negara maju yang lain. Sekolah bestari juga merupakan platform dan sekolah perintis untuk

memperkembangan kaedah ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

Sepanjang melaksanakan program Bina Insan Guru ke-5 ini, tidak ada banyak masalah yang terjadi dan hampir kesemua perancangan telah berjaya dicapai dengan jayanhya. Misalnya, sebelum menyempurnakan misi dan tugasan semester 5 ini, kami telah bersepakat untuk memberi komitmen dan bekerjasama untuk memastikan perjalanan lawatan ke SK Seri Bintang Utara berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah teknikal. Alhamdulillah, kami berjaya mengadakan lawatan ilmiah pada kali ini dengan jayanya dengan adanya nasihat dan bimbingan daripada Tuan Haji Abdul Hamid Tan yang banyak memberi kami idea dan nasihat sebelum menjalankan aktiviti Bina Insan Guru siri kelima ini. Seperkara lagi, banyak pengetahuan serta pengalaman yang berharga yang dapat diraih melalui aktiviti dan program Bina Insan Guru ini. Antaranya ialah nilai kerjasama yang tinggi dalam kalangan guru pelatih. Program ini telah dirancang dan kami semua telah memberikan komitmen yang tinggi agar segala perjalanan program berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan kesulitan. Melalui kerjasama dan komitmen yang diberikan, hubungan antara guru pelatih juga bertambah erat tanpa sebarang pergaduhan dan perselisihan faham. Semua ahli jawatankuasa yang telah dilantik juga menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan bersedia memberikan khidmat yang positif sepanjang program dan aktiviti ini berlangsung. Sebagai rumusannya, aktiviti pada kali ini banyak memberikan pengetahuan serta pengajaran yang berguna untuk digunakan pada masa hadapan kelak sebagai seorang guru yang berjiwa rakyat. Melalui penghayatan program sebegini, saya dan rakan-rakan menyedari bahawa pentingnya kita sebagai seorang guru untuk sentiasa menambah ilmu dan kemahiran untuk melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran supaya berlangsung dengan lebih berkesan dan efektif. Sekian, terima kasih.

Analisis S.W.O.T Strengh (Kekuatan) Melalui program Bina Insan Guru kali ke-5 ini, antara kekuatan yang dapat dilihat jelas ialah kerjasama erat guru pelatih dan perancangan projek yang teliti. Kerjasama yang erat serta paduan tenaga yang ditunjukkan oleh guru pelatih telah menyebabkan program berjalan dengan lancar di SK Seri Bintang Selatan. Kekuatan seterusnya ialah perancangan projek yang sangat teliti telah menyebabkan program berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan perselisihan faham antara kalangan guru pelatih. Seterusnya, antara kekuatan yang menyebabkan program dapat berjalan dengan lancar adalah pemilihan dan lokasi sekolah bestari yang mempunyai prestasi dan kedudukan sekolah yang terbaik dalam wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Weaknesses (Kelemahan) Antara kelemahan yang terdapat sepanjang program ini berjalan ialah mengenai ketepatan masa dan kehadiran. Seharusnya guru pelatih lebih peka mengikut susun atur jadual dan menghadirkan diri lebih awal untuk mengelakkan kelewatan program lawatan berlangsung.

You might also like