You are on page 1of 22

TAJUK : ANDA DIKEHENDAKI MENULIS PANTUN EMPAT KERAT (ASLI) BERDASARKAN TEMA MOTIVASI DAN NASIHAT BERDASARKAN KELOMPOK

KANAK-KANAK, REMAJA, DEWASA, IBU BAPA, NENEK DAN GURU.

NAMA KURSUS : EKSPRESI KREATIVITI KANAK-KANAK KOD KURSUS : EED 3217 NAMA PENSYARAH : PROF. MADYA DR. ABDUL RASID JAMIAN

OLEH ; NAMA : SARIYATOM BINTI IBRHIM NOMBOR MATRIKS : J 44226

PROGRAM : BACELOR PENDIDIKAN BAHASA MELAYU (PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH DENGAN KEPUJIAN (PPG) SEMESTER : SATU

TAJUK : ANDA DIKEHENDAKI MENULIS PANTUN EMPAT KERAT (ASLI) BERDASARKAN TEMA MOTIVASI DAN NASIHAT BERDASARKAN KELOMPOK KANAK-KANAK, REMAJA, DEWASA, IBU BAPA, NENEK DAN GURU. 1.0. PENGENALAN Pantun merupakan warisan kebudayaan masyarakat Melayu yang diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi hinggalah ke hari ini. Pantun merupakan hak mutlak masyarakat Melayu kerana dari segi sejarah dan hak miliknya tidak diketahui siapakah penciptanya. Sejarah pantun bermula sebelum orang-orang Melayu tahu membaca dan menulis lagi dan dilafazkan secara lisan. Pantun dilafazkan secara berbalas-balas atau ada soal jawab (jual beli) yang mengandungi nilai estetika yang tinggi dan pemikiran yang mendalam tentang sesuatu perkara.. Isinya padat mengandungi nasihat, sindiran, peribahasa, motivasi, gurauan, luahan hati dan seumpamanya. Malah sampiran atau pembayangnya juga mengandungi kaitan dengan maksud. Pantun dikatakan mempunyai pemikiran yang tinggi kerana proses penciptaannnya itu sendiri. Pantun mempunyai bentuk dan ciri-cirinya yang terikat iaitu tidak terlepas dari ikatan dan peraturan-peraturan tertentu supaya apabila pantun dilafazkan akan lahir satu rasa kesedapan dan keunikannya kerana pantun dilafazkan secara lisan dengan intonasi dan lenggokknya yang santun dan santai. Malah pantun juga telah dilagukan dalam lagu rakyat seperti Dondang Sayang, lagu-lagu Melayu Asli seperti lagu Gurindam Jiwa dan lagu kanak-kanak seperti lagu Anak Rusa Nani, lagu Geylang Si Paku Geylang, Rasa Sayang Eh dan dalam tarian seperti tarian Canggung (Perlis), tarian Lotah (Perak), permainan Tumbuk Kalang (Negeri Sembilan), tarian Hamdolok (Johor), tarian Pulai

(Terengganu), permainan Gendang (Sarawak), dan tarian Anding (Sabah). Pantun digunakan dalam tarian, permaianan dan lagu-lagu rakyat dengan tujuan untuk berhibur, melahirkan kesyukuran, perubatan, dan meraikan majlis-majis tertentu seperti majlis perkahwinan, bercukur, berkhatan, menuai padi dan upacara keagamaan.

2.0. DEFINISI DAN PANDANGAN TOKOH-TOKOH 2.1. Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) Pantun bermaksud sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya). 2.2. Kamus Sastera Melayu Terkini (2000) Puisi Melayu yang asli dan popular. Setiap rangkap terdiri atas sampiran dan maksud. Rima akhirnya a-b-a-b. Ada pantun 2, 4, 6, 8, 10, 12, 14, dan 18 (kerat) baris serangkap serta pantun berkait. Namun demikian, pantun empat keratlah yang paling popular. 2.3. Koecharaningrat. Pantun dalam kebudayaan Melayu berasal daripada kepercayaan mereka pada zaman purba yang meyakini bahasa berirama dan indah itu mengandungi kekuatan ghaib dan luar biasa (Mana). Apabila kata-kata yang indah itu diucapkan, lalu dapat mempengaruhi roh datuk nenek sehingga dapat memberikan kemakmuran dan kebahagiaan kepada orang yang masih hidup. 2.4. Prof. Van Ophuysen. Sebuah pantun dipandang orang Melayu bagus kalu beberapa perkataan daripada sebuah baris bersanjak dengan perkataan daripada sebuah baris yang menjadi

pasangannya. Dalam pantun-pantun yang indah-indah, boleh dikatakan segala perkataan pada baris ketiga bersanjak dengan segala perkataan pada baris pertama.

2.5. Sdr. Usman Awang Pantun adalah tradisi puisi rakyat (lisan) dan masih hidup subur di kampungkampung, iaitu dalam golongan luar bandar yang belum merasai arus hidup yang pesat di kota. 2.6. Sdr. Kassim Ahmad. Pantun adalah hasil masyarakat yang tertutup yang mementingkan adat istiadat, konvensi dan tradisi. Pantun sebagai puisi lisan, iaitu pantun dikarangkan untuk dilagukan beramai-ramai atau diucapkan sewaktu lawan bergurau dan bukan untuk dibaca. 2.7. Rogayah A. Hamid (Ketua Bahagian Kesusasteraan Tradisional, DBP) Pantun merupakan satu-satunya hak milik kekal bangsa Melayu yang tidak tercemar dalam pertembungan masyarakat dunia. 1 2.8. Abdul Halim Salleh (Penggiat Pantun) Pantun yang baik sepatutnya memiliki dua baris pembayang dan dua baris maksud. Kata-katanya harus diambil daripada kata-kata yang indah.2 2.9. Dr. Harun Mat Piah (Penulis dan Penyelidik Pantun) Sejarah dan perkembangan pantun Melayu amat jelas membuktikan pantun adalah milik bangsa dan tamadun Melayu. Pemahaman terhadap pantun Melayu sewajarnya mengambil kira beberapa aspek sastera dan budaya Melayu sendiri

Kertas kerja Kebijaksanaan Emosi Dalam Pantun , Seminar Pantun 2006 di Auditorium Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara, Kuala Lumpur. 2 Kertas kerja Berbalas Pantun Dan Kaedahnya Seminar Pantu 2006 di Auditorium Jabatan Kebudayaan , Kesenian dan Warisan, Kuala Lumpur.

termasuk ciri-ciri keunikan bahasa, aspek estetika dan etikanya, nilai dan pemikiran, jati diri dan pandangan dunia.3

2.10. Zaba (Pendeta Bahasa) Karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

3.0. ASAL-USUL PANTUN Perkataan pantun dikatakan berasal daripada perkataan bahasa Sanskrit ,paribhasya atau bahasa Jawa parik yang bererti peribahasa dalam bahasa Melayu. Menurut Dr. Brandsetter, perkataan pantun berasal daripada akar kata tunyang terdapat dalam bahasa Jawa iaitu tuntun, dalam bahasa Tagalog disebut tonton yang diucapkan dalam aturan tertentu, bahasa Sunda, pantun bermaksud satu cerita (Karangan ) panjang berirama yang dinyanyikan dengan iringan muzik. Manakala, dalam masyarakat Melayu, pantun bereti kuantrain, iaitu puisi yang tersusun dalam struktur empat baris serangkap. Za'ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu menjelaskan, "Perkataan pantun itu pada mulanya dipakai orang dengan makna seperti atau umpama." Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing/penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam masyarakat tersebut. Pantun merupakan sejenis puisi tradisional Melayu, puisi tulen milik orang Melayu yang tumbuh subur lama sebelum orang Melayu tahu menulis dan membaca. Pantun dicipta sebagai satu pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan
3

Kertas kerja Sejarah Pantun dan Keindahannya. Sumber : Utusan Malaysia 02/03/2006.

terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara, malahan pantun digunakan untuk menyindir, berjenaka, memberi nasihat dan bersuka-suka. Dalam hubungan ini banyak yang telah ditulis dan dikaji tentang dunia pantun Melayu terutamanya tentang asalusulnya, peranannya mahupun dari segi bentuknya yang membezakannya dengan bentuk puisi Melayu yang lain. Beberapa orang tokoh seperi R.O. Winstedt, Andrian Van Ophuysen, Hoesein Djajadiningrat, Hans Overback, R.J. Wilkinson dan Pendeta Zaba adalah para pengkaji yang banyak memperkatakan tentang pantun Melayu. Kajian terbaru mengenai pantun yang cukup penting ialah Alam Pantun Melayu : Studies on the Malay Pantun (DBP, 1988) oleh seorang sarjana Perancis iaitu FrancoisRene Daillie. Tidak dapat dinafikan terdapat berbagai-bagai istilah yang digunakan bagi pengertian pantun di Nusantara. Dalam bahasa Sunda disebut Toen; bahasa Pampaga menyebutnya Tuntun: bahasa Tagalog menyebutnya Tonton ; sementara bahasa Jawa menyebutnya Tuntun, Atuntun, Matuntun; bahasa Bisayan pula menyebutnya sebagai Panton; dan bahasa Toba menyebutnya Pantun. Mungkin dari segi struktur bahasa, pantun dalam pelbagai kelompok itu berbeza tetapi pada dasarnya tetap sama iaitu merujuk kepada sesuatu yang tersusun, teratur sama ada pada ucapan, pimpinan, didikan, dan kesopanan yang dapat dikesan dalam serangkap pantun.

4. SEJARAH PERKEMBANGAN PANTUN Pantun adalah genre kesusasteraan tradisional Melayu yang berkembang di seluruh dunia khususnya di Nusantara sejak ratusan tahun lampau. Pantun adalah simbol artistik masyarakat Nusantara dan mencerminkan kebijaksaanaan masyarakat berfikir. Pantun merupakan alat komunikasi komunikasi yang penting dan tinggi martabatnya. Pantun bersifat ringkas, padat dan mampu melahirkan aspirasi masyarakat

dengan begitu jelas. Di Nusantara, pantun wujud dalam 39 dialek Melayu dan 25 bukan dialek. Seterusnya, pantun juga didapati turut berkembang di selatan Burma, Kepulauan Cocos, Sri Lanka, Kemboja, Vietnam serta Afrika Selatan (imigran Malaysia dan Indonesia). Pantun di Malaysia dan Indonesia telah ditulis sekitar empat abad lalu dan mungkin lebih tua daripada itu seperti yang dicatat dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu. 4.1. PETA PERKEMBANGAN PANTUN DI ASIA DAN DI DUNIA.

5.0. BENTUK DAN CIRI-CIRI PANTUN Bilangan baris dalam setiap rangkap pantun dikenali sebagai kerat. Lima bentuk utama pantun ialah pantun dua kerat, pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun dua belas kerat. Pantun yang popular digunakan ialah pantun dua kerat dan empat kerat. Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun. Pembayang dalam setiap rangkap adalah separuh pertama daripada keseluruhan jumlah baris dalam rangkap berkenaan. Separuh kedua dalam setiap rangkap pantun pula ialah maksud atau isi pantun. Antara ciri-ciri lain yang ada dalam sebuah pantun ialah pembayangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan alam dan persekitaran yang rapat dengan pengucapnya seperti yang terdapat dalam contoh pantun dua kerat berikut:

Sebab pulut santan terasa, Sebab mulut badan binasa. Rima pantun yang baik berakhir dengan ab,ab bagi pantun empat kerat dan a,a bagi pantun dua kerat. Selain daripada pembayang, maksud dan rima, pantun juga terikat dengan hukum suku katanya. Bagi pantun Melayu, suku kata untuk setiap baris ialah antara lapan hingga dua belas suku kata sahaja.

Melalui bentuknya yang kemas dan padat, pantun berjaya menjadi alat yang penting untuk menghibur, memberi nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan dan menyedapkan cakap. Pantun turut berfungsi sebagai media untuk menyampaikan hasrat yang seni atau rahsia yang tersembunyi melalui penyampaian yang berkias. 5.1. KANDUNGAN PANTUN MELAYU 5.1.1. Pembayang atau sampiran Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap pantun. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun. 5.1.2. Maksud atau isi Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersiratnya apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema). 5.1.3. Perkataan Pantun biasanya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memaparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya. 5.1.4. Suku kata

Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.

5.1.5. Rima atau bunyi Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun. Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a. Pantun di bawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris.Contoh pantun yang baik :

Ba/ik/ ber/galas/ ba/ik/ ti/dak/, Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/, Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/, A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

5.2. CIRI-CIRI PANTUN YANG BAIK Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:

10

mengandungi 4 kerat/baris jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah) bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama- a,b,a,b . bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.

maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup sarat dengan ciri-ciri tradisional-penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud, mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang melahir dan menggunakannya.

6.0. JENIS-JENIS PANTUN

Pantun 2 kerat Pantun 4 kerat (jenis paling popular) Pantun 6 kerat Pantun 8 kerat Pantun 10 kerat Pantun 12 kerat Pantun 14 kerat Pantun berkait 7.0. FUNGSI PANTUN Memberi nasihat sosialisasi dan pendidikan Sindiran atau tempelak 11

Melepaskan rindu dan kasih sayang Menyatakan penghargaan/terima kasih Berteka-teki atau mencabar ketangkasan fikiran Hiburan atau jenaka

8.0. PANTUN EMPAT KERAT MENGIKUT KELOMPOK / GOLONGAN 8.1 KELOMPOK KANAK-KANAK Pendahuluan Pantun kanak-kanak bertujuan untuk memberi hiburan kepada kanak-kanak dan menggambarkan tentang kesukaan dan keriangan mereka. Isi dalam bentuk pantun kanak-kanak lebih mudah difahami. Begitu juga dari segi diksi, perkataannya yang terdapat dalam baris pembayang dan baris maksud mudah dan senang difahami. Baris maksudnya jelas mengandungi nasihat, didaktik dan motivasi untuk panduan mereka. Berikut merupakan lima rangkap pantun tersebut. Rangkap pertama; Daun palas ketupat nasi, Mari dibelah makan tak jemu; Jangan malas bangun pagi, Pergi sekolah cari ilmu. Rangkap kedua; Bunga raya bunga melati, Buat hiasan taman di kota; Orang tua mesti dihormati, Adab sopan budaya kita.

12

Rangkap ketiga; Ambil joran panjang sedepa, Hendak mencari siikan toman; Mengaji al-Quran jangan dilupa, Jati diri kuatkan iman.

Rangkap keempat; Tumbuh berjajar pohon sena, Pokok gaharu tumbuh dahulu; Masa belajar janganlah lena, Ajaran guru dengari selalu. Rangkap kelima; Gunung daik bercabang tiga, Manakan sama gunung kepayang; Kalau kita berotak geliga, Hari muka hidupkan senang.

8.2. KELOMPOK REMAJA Pendahuluan. Golongan remaja merupakan golongan yang berada dalam krisis identiti antara alam kanak-kanak dan alam dewasa. Justeru, mereka ini banyak memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada orang dewasa. Mereka ini juga inginkan kebebasan, suka mencuba perkara-perkara yang baru dan tidak hairanlah pemikiran mereka mudah dipengaruhi oleh budaya dan fahaman barat. Oleh hal yang demikian, pantun dapat menjadi medium yang dapat memdidik mereka dengan cara yang lembut dan

13

berhemah. Maka, pemilihan maksud pantun adalah berbentuk nasihat tentang pembentukan akhlak dan sahsiah diri. Berikut merupakan lima rangkap pantun tersebut.

Rangkap pertama; Membawa bekal segelas susu, Makan kari bersama disaji Bijak berakal mengawal nafsu, Menjaga diri sifat terpuji. Rangkap kedua; Buruk baju tampal seribu, Lusuh kain koyak rabak; Buruk laku menanggung malu, Pengaruh kawan jangan terjebak. Rangkap ketiga; Burung terkukur berbunyi balam, Riuh berkicau di pagi hari; Ramah menegur hulurkan salam, Tiada musuh sahabat mencari. Rangkap keempat; Buah peria masak setangkai, Buah cermai lebat di pangkal; Beza manusia dengan bangkai, Hidup beriman bersendi akal. Rangkap kelima; Hujan lebat sampai ke pagi, Cantik taman di Bukit Timbalan; Al-Quran ubat penyakit hati, Subur iman kerana amalan.

14

8.3. KELOMPOK DEWASA Pendahuluan. Orang dewasa sering menaruh perasaan cinta, rindu dendam, perasaan pilu, sedih dan sayu kerana masa inilah mereka mula mencari pasangan hidup untuk mendirikan mahligai impian. Oleh hal yang demikian pemilihan diksi pada baris pembayang dan maksud mengandungi pemikiran yang lebih mendalam dan mempunyai keindahan bahasa yang tinggi nilainya sehingga menyebabkan orang mudah terpesona. Berikut merupakan lima rangkap pantun tersebut.

Rangkap pertama; Baik-baik memilih ikan, Jangan terpilih ikan haruan; Baik-baik memilih intan, Jangan terpilih batu tiruan. Rangkap kedua; Burung helang terbang dekat, Dahan beringin tempat titinya; Barang yang hilang takkan dapat, Cari yang lain buat gantinya. Rangkap ketiga; Sirih gagang tumbuh di batu Buluh hutan buat galah; Kasih sayang tidak tentu, Jodoh pertemuan kuasa Allah. Rangkap keempat;

15

Terantuk jenang jangan mengaduh, Di tiang seri tersangkut raga; Kalau memang sudah jodoh, Ke mana pergi bersua juga. Rangkap kelima; Dari Siam pergi ke Kelantan, Dari Kelantan ke negeri China; Sesal dahulu jadi pendapatan, Sesal kemudian tak berguna. 8.4. KELOMPOK IBU BAPA Pendahuluan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam sebuah institusi keluarga. Keluarga yang bahagia pula dapat melahirkan generasi yang seimbang jasmani dan rohani. Oleh hal yang demikin ibu bapa memainkan peranan penting untuk mendidik anak-anak dengan sebaik mungkin kerana anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang akan mencoraknya. Maka maksud pantun yang dipilih adalah berkaitan dengan nasihat cara mendidik anak-anak serta tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Berikut merupakan lima rangkap pantun tersebut.

Rangkap pertama; Disiang terubuk lalu diagram, Buat pekasam simpan di peran; Dalamnya lubuk curamnya jeram, Lautan pengalaman jadi sandaran. Rangkap kedua. Pokok kundur berbagai jenis, Tanam betik bersama petola; Iman subur hati pun manis, 16

Anak cantik bijak pula. Rangkap ketiga; Halwa betik halwa nanas, Makan bubur sebelum berjaja; Anak cerdik bak baru bertunas, Tumbuh subur jika dibaja.

Rangkap keempat; Pucuk labu panjang berjela, Sungguh enak kalau direbus; Bijak ibu mendidik membela, Sayang anak disilpinkan terus, Rangkap kelima; Sudah diketam lalu dipahat, Ketam beluti sebesar lengan; Sayang anak tegur nasihat, Sayang bini ditinggal jangan.

8.5. KELOMPOK NENEK Pendahuluan. Nenek dan datuk merupakan orang yang mempunyai pengalaman hidup yang paling luas dan banyak. Sudah menjadi adat resam dunia apabila kita tua, sikap kita juga akan menjadi kebudak-budakan dan seterusnya kita akan berhijrah ke alam lain seperti yang telah ditetapkan oleh kehendak Ilahi. Hidup kita di dunia ini hanyalah sementara akhirat jualah tempat kekal abadi. Maka maksud pantun bagi kelompok ini menjurus nasihat tentang kesihatan, amal ibadat dan bekalan kea lam barzakh. Berikut merupakan lima rangkap pantun tersebut. 17

Rangkap pertama; Bunyi suar katak di paya, Riuh sekali di kala hujan; Cantik di luar nampak bercahaya, Hiasan diri bacalah Al-Quran.

Rangkap kedua; Cantik bersinar berlian di tangan, Cincin berkarat usah diberi; Nikmat sebenar kemanisan iman, Kenal akhirat lalu mencari. Rangkap ketiga; Pohon kuini tinggal sebatang, Pohon sena di tepi muara; Kurang di sini boleh berhutang Kurang di sana kita dikira. Rangkap keempat; Riuh kenari bertemu tekukur, Terbang hinggap di kayu jati; Muasabah diri sejenak tafakur, Menilai hidup sebelum mati. Rangkap kelima; Sirih adat bunga sekuntum, Pinang seulas dibelah-belah; Amal ibadat mengikut hukum, Mengharap ikhlas rahmat Allah.

18

8.6. KELOMPOK GURU Pendahuluan. Guru memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan kerana gurulah yang memberikan ilmu pengetahuan kepada anak-anak didik. Tugas guru semamangnya mulia di sisi agama kerana tarafnya sebagai mualim. Justeru, maksud pantun adalah berkisar tentang peranan guru dan tugas guru sebagai pendidik. Berikut merupakan lima rangkap pantun tersebut. Rangkap pertama; Pergi berburu memakai purdah, Bawa senjata lembing dan tombak; Pekerjaan guru bukanlah mudah, Bagai kerja menolak ombak. Rangkap kedua; Burung merbah di tepi tasik Sayapnya lebar burung tekukur; Gigih dan tabah masa mendidik, Ikhlas dan sabar bila menegur. Rangkap ketiga; Bubur pulut tetamu dijamu, Makan nasi malam berinai; Berat mulut mengajar ilmu, Bagai berlian tidak dicanai. Rangkap keempat; Menahan bubu berhari-hari, Dapat pula siikan nakal; Mengheret lembu dengan tali, Menarik manusia dengan akal.

19

Rangkap kelima; Datang tetamu membawa keladi, Tetamu dihidang cucur badak; Cintai ilmu hiasi peribadi, Matang berfikir bijak bertindak.

PENUTUP Pantun merupakan hasil kesusasteraan Melayu yang digolongkan dalam genre puisi Melayu tradisional (lama) yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu sejak sekian lama kerana pantun merupakan satu-satunya warisan kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu dan diktiraf oleh sarjana-sarjana Barat Pantun adalah alat komunikasi yang sangat istimewa kerana bahasanya yang tepat dan mempunyai mesej untuk mendidik masyarakat. Setiap rangkap pantun sudah diukur terlebih dahulu dan kemudian baru digunakan. Keiistimewaan bahasa dalam pantun menunjukkan kebijaksanaan orang-orang Melayu dalam mendidik masyarakat supaya beradat dan beradab. Keistimewaan pantun juga terletak pada diksinya yang indah, kreatif dan kritis serta mengandungi pengertian dan pertautan antara baris sampiran dengan maksud yang perlu diteliti dengan mendalam maksudnya. Hal inilah yang telah mengangkat martabat dan darjat pantun itu sendiri. Tambahan pantun pula dilafazkan secara lisan dengan spontan dengan peraturannya yang khusus (bentuk dan ciri-cirinya) yang melahirkan keunikan, kesedapan dan keintelektualan yang tinggi. Hal ini saya akui sendiri kerana saya telah terlibat dalam dunia pesta pantun sejak sepuluh tahun yang lalu. Para peserta pertandingan pantun mestilah peserta yang bijak, kritis dan kreatif serta mempunyai komitmen yang tinggi. Tidak seperti pertandingan-pertandingan yang lain seperti pidato, bahas, syarahan, forum di mana para pelajar boleh menghafal dan bebas menyampaikan hujah. Berbeza dengan pertandingan pantun, pemantun perlu menjual pantun dalam masa yang pantas iaitu 15 hingga 30 saat dan membeli pantun dalam masa 60 saat. Pemantun-pemantun juga mestilah peka ciri-ciri pantun seperti pertautan antara baris pembayang dengan maksud,

20

bilangan perkataan, suku kata, jeda, rima tengah dan rima akhir Malah juga mesti mempunyai kemahiran mendengar, memahami dan berfikir yang tinggi untuk menjual dan membeli pantun. Itulah keistimewaan dan keunikan pantun. Pantun sepatutnya menjadi akar kebudayaan masyarakat Malaysia yang perlu dijadikan amalan harian kerana pantun membawa kesan yang positif kepada semua kaum.malah dapat mewujudkan masyarakat yang aman dan harmoni kerana kita dapat saling menegur, nasihat-menasihati dan seterusnya mengasah minda masyarakat supaya suka berfikir serta menggunakan bahasa yang indah dan sopan bukan menjadi perhiasan di majlis-majlis tertentu dan pertandingan sahaja.

21

BIBLIOGRAFI

1. Amina Haji Noor dan Shafieza Zainal (2010). Pantun Melayu Warisan Bangsa, Kuala Lumpur: Iqra Publications 2. Anwar Ridhwan dan Rahman Shaari. (1986). Kuntum Pertiwi Buku 1, Kuala Lumpur: DBP 3. Dr. Ismail Hamid. (2001). Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama, Selangor: Longman 4. Harun Mat Piah (1997). Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur : DBP 5. Kamarudin Hj. Husin. (1988). Kaedah Pengajaran Kesusasteraan, Selangor: Fajar Bakti 6. Kamilarani Kamal Shah. (2009). Koleksi 300 Pantun Moden, Kuala Lumpur: Iqra Publications 7. Khadijah Hashim. (2010). 1010 Pantun Baru, Selangor: K Publishing Sdn. Bhd. 8. Kurik-Kundi Merah Saga Kumpulan Pantun Lisan Melayu (2002) Kuala Lumpur : DBP 9. Siti Nor Azura bt. Abd. Wahid. (2002). Koleksi Puisi Melayu, Kuala Lumpur: Iqra Publications 10. Zainal Abidin Bakar. (1983). Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur : DBP

22

You might also like