You are on page 1of 5

Tegaknya pokok kerana akarnya, Tegaknya bangunan kerana tiangnya, Maka tegaknya saya di sini adalah untuk menyampaikan

sebuah syarahan yang bertajuk Hijrah Mengubah Corak Hidup Manusia. Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian, Sebelum kapal melabuhkan layarnya, sebelum hujah dihurai sempurna, izinkan saya terlebih dahulu untuk mentakwil serta mendefinisikan tajuk syarahan saya pada kali ini. Adakah hadirin dan hadirat memahami erti hijrah? Hijrah merupakan perpindahan Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat serta Masyarakat Islam dari Makkah AlMukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Berdasarkan konsep kita pada era ini, hijrah merupakan perubahan dalam diri kita daripada sikap yang buruk kepada yang baik dan sikap yang baik kepada yang lebih baik. Oleh yang demikian, hijrah ini mampu untuk mengubah corak hidup manusia lantaran hijrah mempunyai kesan-kesan yang cukup mendalam. Aiyuhal Ikhwah, Hujah saya yang pertama di bawah lembayung kata, Hijrah: Bermulanya Perkiraan Kalendar Islam. Sebagai agama wahyu, Islam diutuskan oleh Allah kepada Nabi Muhammad dengan membawa ciri-ciri pengembangan dan menerima kemajuan. Peristiwa 'Hijrah' tidak hanya menjadi peristiwa penting bahkan merupakan satu titik perubahan dalam sejarah Islam yang menyumbang kepada kemajuan dan pengembangan warisan generasi Islam. Tidak syak lagi, hijrah berlaku mengikut kehendak Allah kerana Nabi Muhammad s.a.w. tidak akan mengambil langkah seumpama itu melainkan dengan panduan dan tunjuk ajar daripada Allah yang mengetahui 'Hijrah' itu satu langkah yang amat perlu. Pada pandangan orang-orang Islam, peristiwa keputeraan Nabi dan 40 tahun kemudian peristiwa penerimaan wahyu, merupakan dua peristiwa yang mempunyai kepentingan

HIJRAH MENGUBAH CORAK HIDUP MANUSIA

tersendiri, namun begitu tidak ada satupun peristiwa itu yang dinyatakan oleh Nabi sebagai bermulanya zaman perkiraan kalendar Islam. Sebelum penghijrahan ke Madinah al-Munawwarah, ramai sahabat-sahabat nabi telah berhijrah ke Habsyah tetapi penghijrahan ke Habsyah juga tidak dijadikan titik mula kalendar Islam. Oleh sebab itu, selepas nabi menyatakan permulaan perkiraan kalendar bermula dengan peristiwa hijrah , Khalifah Umar menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai titik tolak penentuan tarikh dalam setiap urusan rasmi kerajaan. Secara tuntasnya, perkiraan Kalendar Hijrah memberikan pelbagai kesan positif dalam kehidupan manusia sehingga ke hari ini. Perkiraan Kalendar Hijrah ini digunakan sehingga kini dan tidak luput ditelan zaman. Aiyuhal Muslimin wal Muslimat, Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata Hijrah Memberi Kesan Terhadap Sosial Masyarakat Islam. Kepentingan dalam aspeks sosial boleh dilihat apabila wujudnya sebuah model masyarakat Islam di Madinah. Semenjak wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. hinggalah sampai tempoh 12 tahun, telah dilaksanakan oleh baginda untuk menanam akidah dalam minda setiap individu. Namun tidak ada satu contoh kehidupan bermasyarakat berasaskan konsep agama yang benar untuk ditunjukkan kepada dunia. Sementara itu, keadaan di Makkah al-Mukarramah pada peringkat awal nabi dibangkitkan menjadi Rasul, terdapat pelbagai kepercayaan dalam sesebuah keluarga; yang mana ketua keluarganya seorang yang beriman sementara anaknya menyembah berhala, atau isterinya beriman sedangkan suaminya penyembah berhala. Hanya terdapat beberapa buah keluarga sahaja seluruh ahlinya adalah Muslim. Kedudukan setiap individu muslim di Makkah Mukarramah ketika itu menimbulkan salah tanggapan terhadap Islam atau mempercayai bahawa al Quran itu diturunkan sematamata untuk kehidupan akhirat tanpa ada hubungan dengan kehidupan bermasyarakat. Tetapi selepas hijrah, orang ramai mula melihat dengan jelas bahawa Islam adalah cara hidup yang mengambil berat dan mengubah setiap wajah kehidupan manusia, memberi panduan mengikut setiap aspek kehidupan manusia. Hijrah juga membuatkan orangorang Arab khususnya dapat melihat sebuah keluarga muslim yang sepatutnya dan sebuah masyarakat Muslim yang sebenar.

Hanya selepas peristiwa hijrah juga dunia telah melihat aspek-aspek keindahan dan ketertiban sosial di bawah penguasaan Islam. Aiyuhal Mustamiunal Kirom, Hujah saya yang ketiga di bawah lembayung kata Persaudaraan Ansar Dan Muhajirin Memberi Kesan Terhadap Ekonomi Masyarakat Islam. Kepentingan hijrah dalam aspek ekonomi pula dapat dilihat kesannya apabila orang-orang Muhajirin menetap sepenuhnya di Madinah. Sifat peramah yang tidak ada tandingan yang ditunjukkan oleh penduduk-penduduk Madinah al Munawwarah terhadap kaum Muhajirin, tidak hanya menyediakan perlindungan dan tempat tinggal yang baru bagi pendatang baru, tetapi orang-orang Ansar (penduduk Madinah) banyak mengorbankan kepentingan diri menerima orang-orang Muhajirin dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang. Persaudaraan mereka ini Rasulullah gambarkan sebagaimana sabdanya:


Maksudnya, perumpamaan orang Islam itu adalah seperti satu anggota badan, jika salah satunya berasa sakit, maka akan sakitlah seluruhnya. Perumpamaan Melayu juga ada menyebut, cubit peha kanan, peha kiri terasa pedasnya. Apabila selepas hijrah, para sahabat dan pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w. berpindah dari Makkah Mukarramah ke Madinah Munawwarah, perniagaan telah semakin rancak terutamanya dalam bidang pertanian dan pertukangan menghasilkan revolusi ekonomi di tempat itu. Para Muhajirin telah diajar dan dilatih oleh Rasulullah sendiri hampir 13 tahun adalah orang-orang yang kuat tanggungjawab keagamaannya. Orang-orang Ansar membantu orang-orang Muhajirin ke tahap bersedia untuk membahagikan kepunyaan mereka antara orang-orang Muhajarin dan diri mereka sendiri. Tetapi akhirnya mereka tidak bersedia untuk menerima status menerima segala bantuan tanpa membuat apa-apa kerja. Jadi, itu adalah wajar bagi mereka yang tidak suka membebankan orang lain untuk selama-lamanya. Ringkasnya, orang-orang Muhajirin bekerja sebagai buruh di ladang-ladang, kebun dan

kerja-kerja pembinaan. Kemudian mereka menjadi pedagang, memulakan perdagangan secara kecil-kecilan yang membawa mereka menjadi pesaing ekonomi kepada orangorang Yahudi di Madinah al-Munawwarah. Salah satu aspek penting daripada kesan revolusi ekonomi ialah pedagang-pedagang Muhajirin membayar harga yang wajar kepada pengorbanan kerja utama mereka selama ini, kerana Rasulullah melarang amalan pertukangan dan pengukiran patung. Semua ini berlaku hanya selepas hijrah yang mana pertanian, perindustrian dan perdagangan membantu satu sama lain yang membawa satu ekonomi yang saksama, bersepadu dan berimbang kepada semua orang Islam. Aiyuhal Ikhwati wa akhowati al-ahibba, Hujah saya yang keempat di bawah lembayung kata Hijrah Memberi Kesan Terhadap Aspek Politik. Seterusnya, perkara yang membuat hijrah begitu penting ialah kebebasan politik bagi orang-orang Islam. Sebelum hijrah orang-orang Islam tidak dapat bersuara dalam apa-apa urusan dalaman dan luaran negara. Mereka adalah golongan minoriti berbanding dengan golongan majoriti yang mempunyai sikap bermusuhan. Orang-orang Islam adalah satu pihak yang tidak penting bagi penyembah-penyembah berhala di Makkah. Hijrah membuatkan orang-orang Muslim menjadi penguasa kepada urusan dalaman negara, perhubungan luar dan urusan yang berkaitan dengan peperangan dan perdamaian. Terdapat persefahaman yang jitu di kalangan orang-orang Islam. Sebagai contoh, dalam kes perselisihan faham yang berlaku antara Muslim dan bukan Muslim, keputusan akhir dibuat oleh Nabi S.A.W. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Islam sudahpun bermula. Sepanjang hidup Rasulullah atau sepanjang tempoh 10 tahun dibangkit menjadi Rasul, ini adalah permulaan sebuah negara Islam yang merentasi seluruh semenanjung Arab. Ini merupakan bukti bahawa peristiwa 'Hijrah' telah mengubah beratus-ratus orang masyarakat Arab menjadi masyarakat yang maju lagi berjaya. Penguasaan pengaruh Islam sepanjang tempoh itu adalah satu rekod. Semua ini mungkin belaka kerana bentuk peristiwa 'Hijrah' itu sendiri yang mengubah segala aspek kehidupan manusia.

Muslimin dan muslimat sekalian, Konklusinya, Hijrah telah mengubah corak hidup masyarakat Islam kepada kehidupan yang lebih bermakna dan syumul. Banyak perubahan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW kerana penghijrahan yang amat bermakna ini. Kita perlu muhasabah diri kita dan memahami konsep hijrah yang sebenar dan cuba mencorak kehidupan kita kearah kehidupan yang lebih bermakna. Kehidupan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaAllah. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Anfal-74,


Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orangorang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia. Akhirulkalam. Sungai Bintangor airnya merah, Tempat orang mencuci gigi, Kalau umur dipanjangkan Allah, Bolehlah kita berjumpa lagi.

You might also like