You are on page 1of 19

CERITA SEORANG LELAKI MUDA

1. Akibat kawasan yang diperuntukkan sudah penuh - aku memakir kereta betul-betul di hadapan bank, di satu ruang yang tertulis No Parking dengan dakwat kuning yang bersilang-silang di atas aspal. Isteriku, dengan pergerakan yang lincah, membuka pintu kereta, menutupnya kembali, sebelum hilang di sebalik pintu cermin yang dibias cahaya matahari. Paling kurang, isteriku akan terkurung lima belas minit di sana, sebelum nombor gilirannya mencelah di tengah suara pelanggan dan deringan telefon atau mesin faks. Sementara itu, supaya kebosanan tidak menguasai diriku akibat terlupa membawa buku, punat radio yang tertulis perkataan play kutekan, lalu sekejap sahaja keretaku diisi suara omelan penyampai radio.

Aku memejam mata. Lima belas minit dengan muzik dan suara merdu, mungkin aku boleh tidur. Tapi, kerana aku jarang tidur pada waktu siangcuba melelapkan mata pada saat sebegini, sesukar mendapatkan kelulusan cuti rehat daripada majikanku.

Di sekelilingku, orang sibuk dengan pelbagai urusan. Mereka lalu lalang tanpa pedulikan orang lain, seolah-olah di kota ini, mereka tidak perlukan

pertolongan sesiapa walau ketika dirundung malang. Mereka seperti robot, diprogramkan untuk kegunaan tertentu. Salah seorang daripada mereka bergesel dengan cermin sisi keretaku tetapi tidak pula meminta maaf atau betulkan kembali kedudukan cermin sisi seperti asal. Entah kenapa, perkataan maaf begitu berat dan jarang basah di bibir manusia yang rata-ratanya berpelajaran. Tapi, beginilah kehidupan alaf baru berputar.

Dalam kesibukan urusan masing-masing, betul-betul di hadapan keretaku, seorang lelaki melemparkan senyuman. Dia nampak tenang, seolah-olah dunia dan kota ini tidak pernah memberi masalah. Kulitnya sawo matang. Dia memakai baju t shirt kuning, bertopi biru yang tertulis Cintai sungai kita, dan berkasut but coklat. Mukanya bujur, pandangannya tak bertenaga, hidungnya kemik, janggut dan misainya terjaga rapi. Seluar jeans yang dipakainya sudah lusuh.

Senyumannya kubalas. Sedar aku takkan boleh tidur, aku matikan enjin, keluar dari kereta, menutup pintu dan dengan perlahan aku mendekatinya. Udara hari ini sungguh panas. Pukul sebelas setengah, rasanya seperti pukul dua belas tengah hari.

Handphone murah. Mahu?

Beberapa bulan lepas, seorang lelaki seberang mahu jualkan jam dan cermin mata kepadaku dengan harga murah. Biasanya barang yang mahu dijualkan selalunya barang-barang curi.

Aku memerlukan wang untuk pulang ke rumah dan mulakan hidup yang lebih bermakna.

Aku melihat jam. Entah pukul berapa baru isteriku selesai urusannya di dalam bank. Aku tahu, kalau aku balik ke dalam kereta, dia pasti membuntutiku lalu tanpa putus asa terus memujukku untuk membeli telefon bimbitnya. Lagipun, seorang penulis sepertiku bukankah perlu bergaul dengan semua orang? Mungkin ada sesuatu yang menarik di dalam dirinya, yang mungkin boleh mencetuskan ilham kepadaku. Ataupun, sebuah cerita yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa tersimpan dalam dadanya, yang hanya menunggu kesabaran dan kepetahan untuk dibuka.

Begini sajalah, ujarku perlahan, ceritakan sebuah pengalamanmu. Kalau menarik, handphonemu kubeli. Hidup ini memang pertaruhan, bukan? katanya, tersenyum liris.

Aku punyai hidup yang sangat berbeza denganmu. Aku sangat pasti. Biarpun kita tak pernah berjumpa, tapi raut mukamu menggambarkan kau berasal dari keluarga yang bahagia, yang melalui kehidupan tanpa pengalaman menarik atau luar biasa.

Pernahkah kau melihat pembunuhan? Aku pernah melihatnya. Aku telah melihat dua mayat, yang dibunuh di dalam rumahku sendiri. Dan kedua-dua mayat itu ialah ibu dan bapaku. Begitulah hidup menghukumku, mencatat takdir yang tak dapat kukikis daripada ingatan, seperti tatu yang dilukis di lengan - dakwatnya telah menyatu dengan daging.

Malam itu, ketika aku baru beberapa jam tertidur, dua belas bunyi letupan mengisi kosong malam, yang kurasa seolah-olah bergema di tepi cuping telinga. Malah tanpa disangka, saat kutertanya-tanya, adakah bunyi letupan itu mercun bom yang dicucuh remaja liar di kawasan perumahanku, atau bunyi tembakan yang meluru dari muncung pistol, saat itulah kedua nyawa ibu bapaku melayang, jadikan aku seorang yatim piatu. Serentak dengan itu, bunyi kuakan pintu menusuk telinga, dan barulah kusedar, ada sesuatu yang tak dingini telah menimpa keluargaku.

Dari lubang kecil yang memang dibuat di pintu bilikku untuk melihat siapa di luar, kulihat seorang lelaki yang berwajah tenang dan bermisai melangkah biasa, dan derap kasutnya yang bergesel dengan pasir yang entah dari mana datangnya, tidak

ubah seperti suara syaitan yang membisikkan kematian, dan menukang kegerunan yang bukan kepalang dalam hatiku. Lelaki itu terus menuruni tangga sambil menanggalkan sarung tangan hitam kulitnya, menghilang dari pandanganku, keluar dari rumah, dan beberapa saat kemudian, bunyi enjin motor berkuasa besar mengaum dan sayup-sayup meninggalkan kawasan rumah.

Aku berlari tak bermaya ke kamar tidur ibu dan bapaku. Saat kukuak pintu biliknya, bau hangit seperti bau belerang terbakar dan hanyir darah menyerbu ke dalam hidung. Di atas lantai yang dipenuhi darah, di bawah simbahan cahaya lampu yang baru sahaja kubuka, dua wajah manusia paling kusayang dalam keadaan sangat ngeri, terbaring tanpa nyawa. Dua belas das tembakan telah menghancurkan wajah ibu dan bapaku. Sebilah pisau yang selalu kulihat dalam filem Ramboo, yang terlebih dahulu mengelar tengkuk bapa, terbenam di leher mulus ibu.

Sebagai seorang kanak-kanak, yang setiap hari menerima ciuman mesra di muka pintu, di susuli dengan pizza atau ayam goreng kegemaran saat kedua ibu bapaku pulang dari kerja, apa lagi yang mampu difikirkan selain meraung dan menangis. Tangisanku yang kuat itu telah menarik perhatian beberapa orang jiran, dan setelah mereka melihat apa yang berlaku, dengan segera polis dihubungi. Malam itu, saat air hujan memenuhkan longkang rumahku, beberapa orang polis datang dan dengan ketekunan yang selalu kulihat dalam filem-filem penyiasatan, mereka

meneliti setiap sudut bilik ibu bapaku. Mereka merakam berkeping-keping gambar mayat, mencabut pisau dari tengkuk ibuku, lalu memasukkannya ke dalam plastik. Saat babak-babak penyiasatan yang kini betul-betul berlaku, seseorang telah datang dari belakang, menutup badanku dengan sehelai selimut putih, menenang dan memelukku, lalu membawaku ke hospital dan balai polis. Tanpa suara, dengan rasa tekejut terhadap peristiwa yang terjadi di depan mataku sendiri, aku hanya mampu mengangguk dan menggeleng terhadap semua soalan yang ditanyai dua orang pegawai polis.

Sejak itulah, di dalam diriku, yang ada hanyalah dendam. Dendam telah menjadi api, memanggang hatiku hingga terbakar. Wajah seorang lelaki yang sangat tenang, yang berjalan tanpa rasa gusar, bunyi tembakan, kuakan pintu dan derap kasut yang bergeser dengan pasir, hanyir darah dan ngauman motosikal, setiap malam datang ke dalam mimpiku, menjadi aktor-aktor yang membunuh kenyenyakan tidur. Sepuluh tahun, memang jangka masa yang begitu panjang tetapi tetap tidak menghadiahkanku sebab untuk kulupakan peristiwa yang telah membunuh impian-impian yang terbina waktu kecil. Lalu, setelah berfikir panjang, hari pertama saat aku berumur lapan belas tahun, aku pun mengambil keputusan untuk menyelesaikan segala masalah tersebut dengan menjejak seorang pembunuh yang telah merampas ketenanganku selama sepuluh tahun.

Tetapi, kautahu, di negara kita ini yang mempunyai berpuluh-puluh juta penduduk, di manakah manusia sehina itu harus kujejak? Memang, sepuluh tahun mungkin masa yang sudah cukup untuk melunturkan ingatan pembunuh itu, bahawa suatu masa lalu dia lebih ganas dari seekor harimau. Namun, kerana tidak mahu dikalahkan dengan alasan demi alasan, aku memilih menjadi seorang pengembara. Kecuali rumah kedua ibu bapaku, segala harta yang telah diwarisi kujual dengan harga yang sangat memuaskan. Dicampur dengan wang arwah kedua ibu dan bapaku, aku pasti aku tak perlu berfikir langsung tentang perbelanjaan hidup untuk beberapa tahun.

Berbelas tahun, kaubayangkan, aku menjadi lelaki yang dirasuk dendam. Aku berpindah dari sebuah kota ke sebuah kota, dengan harapan akan terserempak manusia durjana itu. Tapi, usahaku itu hanya menemui kegagalan. Satu-satunya yang kupasti hasil daripada pencarianku selama lima tahun itu hanya satu aku hampir kehabisan wang.

Suatu malam, saat hatiku semakin rusuh memikirkan pencarianku tampak sia-sia tanpa sebarang hasil, aku cuba mengubat rasa kecewa dengan menonton wayang. Namun, tanpa kusangka, rasa kecewaku betul-betul terubat apabila lelaki yang kucari-cari itu muncul betul-betul di depan mataku.

Lelaki berwajah tenang itu, biar tiga belas tahun berlalu, dia masih menyimpan misai. Dia, dengan baju warna kuning dan seluar hitam, kasut berkilat dan bertali leher, tentu tidak ada orang akan percaya jika aku ceritakan dia seorang pembunuh. Ketika itu, dia baru sahaja menapak keluar dari kompleks beli belah, dengan kedua-dua belah tangannya membimbit barang-barang.

Terlintas dalam fikiranku, apa kata kalau aku keluarkan pisau yang sentiasa ada di dalam poket seluarku, kubenamkan di pinggangnya, lalu keterus lari di celah orang ramai meninggalkan dia tergeletek kesakitan. Tapi, aku rasa tindakan itu sangat bodoh. Bertahun-tahun diganggu mimpi ngeri, aku perlukan satu cara yang berbeza, agar segala-galanya lenyap sekelip mata. Jadi, aku telah mengikutnya dari belakang. Dia berjalan tenang ke tempat letak kereta, membuka pintu keretanya, menghidupkan enjin, lalu saat itulah aku masuk dan meletakkan pisau di tengkuknya.

Jalan, atau mati? ugutku, dengan menekan pisauku di tengkuknya. Dia tidak berkata apa-apa. Nafasnya seperti biasa, tidak menampakkan dia berada dalam ketakutan.

Terus ke rumahmu kalau mahu hidup. Ingat, jangan menipu. Satu penipuan, kau ke neraka.

Perlahan-lahan, kereta yang dipandunya masuk ke kerongkong malam. Lidah jalan yang bengkang-bengkok membuatku sukar meletakkan mata pisau betul-betul di tengkuknya. Jadi untuk mengelakkan hal yang tak diingini, kutarik sepucuk pistol yang terselit dipinggang. Cara itu lebih senang. Aku tak perlu hampir dengan badannya. Aku cuma perlu pastikan, muncung pistolku menghala ke jantungnya, atau tepat di otaknya. Malah, malam di kota yang sering menyembunyikan bulan, membuat kerjaku makin senang.

Kautentu sudah lupa.

Jam kupakai ini emas tulen. Harganya lebih dua puluh ribu. Ambil dan pergi. Aku takkan report polis. Lelaki itu masih mampu bercakap dalam nada yang sangat tenang dan terkawal. Malah masih berniat membuat tawaran.

Pistol ini bila-bila sahaja boleh meletup. Pelurunya berkubang di jantungmu dan kau jadi bangkai. Tapi ya, aku tak perlu ceritakan tentang pistol kepada seorang pembunuh yang lebih mahir dariku. Supaya tak tertanya-tanya tentang kematianmu sendiri, cukuplah jika aku katakan, kau telah lama kucari. Sejak ibu bapaku dibunuh tanpa sebab.

Kau salah orang. Aku tak bunuh sesiapa. Nadanya yang tenang seolah-olah tak bersalah itu membuatkan aku bertambah jengkel. Mahu saja aku memetik picu, biar otaknya bersepai dan memercik ke kaca tingkap kereta. Tapi kerana aku sudah ada rancangan yang lebih baik, aku cuba bersabar. Di dalam kepalaku, sampai sahaja di rumahnya nanti, aku akan jadikan dia seperti papan dart. Beberapa das tembakan akan meluru dahulu, sebelum sebilah pisau kubenamkan ke kerongkongnya.

Kau akan ingat nanti. Dan aku terus diam. Pistol di tanganku, tetap menghala betul-betul ke jantungnya.

Lima belas minit menyusuri jalan utama dengan kelajuan sederhana, keretanya mula membelok dan hendak memasuki sebuah kawasan kondominium mewah.

Berhenti! Aku memberi arahan dengan suara yang agak kuat. Dia memberhentikan kereta di tepi jalan. Lima puluh meter di depanku, kondominium mewah berdiri megah.

Betul rumahmu di sini?

Ya.

Kalau begitu kita takkan ke rumahmu. Kita perlu ke tempat yang sunyi.

Cepat dia memutar stereng kereta. Kini kereta itu kembali ke jalan besar. Dalam kegelapan malam, dan dengan kelajuan yang sederhana, kulihat garis-garis putih di tengah jalan terbang ke arahku.

Sebenarnya, aku terfikir, jika aku mahu membunuhnya di sebuah kawasan yang begitu dikawal rapi seperti di kondominium tadi, pasti ada kesukaran. Dia dengan senang sahaja boleh menipuku. Lagipun, katakanlah jika aku berjaya membunuhnya, dengan bantuan kamera yang terpasang di setiap sudut, aku pasti ditangkap oleh polis hanya setelah beberapa jam operasi memberkasku dilancarkan. Oleh itu, aku fikir tempat yang sunyi lebih sesuai. Aku akan menembaknya, membuangnya ke dalam semak atau ke dalam longkang yang dalam, dan aku akan terus melarikan diri dari kota ini.

Kau tentu tak sangka malam ini cukup celaka. Entah kenapa, kesunyian membuatku rasa tidak selesa, lalu lidahku makin gila meludah aksara demi aksara. Seperti aku. Aku juga tak sangka, separuh usiaku dihabiskan semata-mata untuk menjejakmu. Kalaulah kau tak bunuh ibu bapaku, malam yang celaka ini mungkin malam paling manis bagimu.

Kau silap orang. Aku tak pernah bunuh siapapun. Suaranya tenang, lakonannya membuat kejengkelan bergunung-gunung dalam hatiku.

Aku masih ingat malam itu. Dua belas das tembakan membunuh ibu bapaku. Dan kau, ya kau, tenang tinggalkan mereka dengan motosikal besar. Apa kau sudah nyanyuk? Kemarahanku betul-betul tidak terkawal. Lantas picu kutarik, letupan bergema, dan cermin pintu keretanya retak seribu. Kau tahu, wajahmu malam itu hingga kini masih tak dapat kulupakan! Jeritanku memang kuat. Hingga kerongkongku rasa kering dan perit.

Aku menatap wajahnya. Nafasnya masih terkawal. Tidak ada raut ketakutan tergambar di mukanya. Apakah dia manusia?

Pembunuh bukanlah kerja yang sesuai untukmu. Kau terlalu pemarah untuk menjadi pembunuh. Ternyata sebutir peluru yang sengaja kuhala ke cermin pintu keretanya tidak berjaya merenggut ketenangan yang sejak tadi terpapar di mukanya. Dan dia masih mahu berkata-kata. Membunuh perlukan ketenangan. Kemarahan akan bunuh dirimu sebelum kau sempat tarik picu. Senjata seorang pembunuh adalah ketenangan, bukannya pistol atau senapang.

Kau tak perlu ajarku, syaitan! Aku rasa, kini aku betul-betul marah. Mahu saja aku menembaknya bertubi-tubi. Tapi, jika dia kutembak sekarang, pasti kereta takkan terkawal. Itu membahayakan diriku sendiri. Aku tidak mahu mati bersamasama orang paling kubenci.

Belum terlewat orang muda. Dengan membunuhku, kau hanya panjangkan sengketa. Di suatu masa, anak-anakku mencarimu pula. Kautahu, aku ada lima anak lelaki.

Hahahaaaaa! Aku ketawa panjang. Ternyata dalam permainan yang sudahpun kukuasai, dia masih mengugutku.

Gila! Apa, setelah berbelas tahun saat ini kutunggu, aku harus lepaskan kau begitu saja? Aku ketawa senang, makin kuat dan panjang. Suaraku mungkin sangat menjengkelkan. Kutekan keras kepalanya dengan muncung pistolku. Kenapa kau bunuh bapa dan ibuku. Apa kau tak fikir, suatu masa nanti anaknya takkan balas dendam?

Segala-galanya telah kufikirkan. Tapi, rasa dendam lebih kuat dari fikiran jernihku.

Kenapa kau berdendam dengan bapa dan ibuku? Entah kenapa, aku boleh menyambut kata-katanya dengan rasa ingin tahu, biar pun jauh di dalam fikiranku, mungkin kini dia sedang memasang perangkap.

Bapamu telah membunuh bapaku.

3 Jadi kau tidak membunuhnya?

Tidak. Apakah aku dapat hidup tenang setelah dia kubunuh? Lagipun, aku tak mahu pembunuhan ini tidak bertitik. Dia menjawab sambil mengurut-urut janggutnya.

Kenapa bapamu bunuh bapanya? Soalku tergesa-gesa.

Dia tak ada jawapan untuk itu. Mungkin beratus tahun dahulu, tragedi ini sudah bermula. Kami keturunan seterusnya, hanya melengkapkan pusingan.

Aku menatap wajahnya. Aku tidak sangka, di petang yang mendung dan dingin ini, aku akan mendengar sebuah cerita yang sangat menarik. Hinggakan, aku

tidak dapat mengagak dengan betul, adakah ini sebuah cerita atau betul-betul telah berlaku dalam hidupnya.

Kau seorang pencerita yang hebat. Ceritamu sangat menarik. Ujarku, sengaja mahu menguji.

Terpulanglah untuk percaya atau tidak. Sekarang, permintaanmu telah kupenuhi. Jadi, kau mesti tunaikan janji. Ujarnya dalam suara yang mendatar. Dia perlahan-lahan menyeluk poketnya, mengeluarkan sebuah telefon bimbit yang kurasa baru berada di pasaran beberapa bulan.

Berapa? Aku rasa dikalahkan dalam permainan yang kucipta sendiri. Tapi, aku bukanlah orang yang akan memungkiri janji.

Tiga ratus.

Tiga ratus memang harga itu cukup rendah bagi harga telefon bimbit secantik itu. Namun, tiga ratus adalah nilai yang sangat tinggi untuk seorang penulis sepertiku. Harga itu sudah boleh menampung dua minggu keperluan dapur keluargaku. Tidak, bukan dua minggu, sebulan sebenarnya.

Aku tak bawa wang sebanyak itu.

Seratus setengah. Potongan lima puluh persen. Harga mati. Dia melarik senyuman.

Aku hanya ada lima puluh ringgit. Jawabku dengan rasa serba salah. Begini sajalah. Esok pagi, aku akan datang beli telefon ini.

Dia terkelip-kelip memandangku. Telefon bimbit yang mahu dijualkan kepadaku, diangkat hingga menyentuh janggutnya.

Tak apalah kalau memang tak cukup duit. Aku akan cari pembeli lain. Dia duduk kembali. Tindak balasnya buatkan rasa bersalah dalam diriku jadi makin kuat.

Kau ambil dulu lesen memanduku. Esok kalau pukul sepuluhku belum sampai, kau rosakkan saja lesen ini.

Tak perlu. Aku percayakan kau. Itu, isterimu, sudah menunggu di kereta.

Pukul sembilan empat puluh lima pada pagi esoknya, aku sudah pun berada di dalam kereta. Saat aku mahu keluar dari rumah, isteriku bertanya, ke manakah aku

hendak pergi? Aku jawab ringkas, mahu bersenam. Aku tahu, itu sebab yang bodoh, tapi untuk orang seperti isteriku yang jarang menyoal, sebab itu sudah mencukupi. Lagipun, aku tidak menipunya, kerana dalam perancanganku, selesai sahaja aku dengan lelaki itu, aku akan ke taman rekreasi juga, akan berjoging dan bersenam juga.

Lima belas minit berlalu, tepat pukul sepuluh pagi, aku sampai. Hari minggu, pukul sepuluh pagi, sebenarnya masih terlalu awal. Waktu sebegini, ramai warga kota akan tidur melepas lelah enam hari bekerja. Ketika aku membuka pintu kereta, aku lihat dia sedang duduk, tersandar di dinding bangunan. Semalam, mungkin di sinilah dia merehatkan diri. Kalaulah memang cerita yang diceritakan kepadaku benar, aku rasa habis saja dia menerima wang seratus lima puluh ringgit ini, tentu dia akan memintaku menghantarnya ke stesen bas, dan dia akan pulang ke kotanya.

Beberapa langkah, aku sudah sampai di depannya. Aku menyentuh bahunya, dan saat dia mengangkat kepala, aku lihat mukanya pucat tak berdarah.

Semalam dia datang. Lelaki itu, tikamku dari belakang. Kata-katanya yang diluahkan terputus-putus. Pe..pe..ngec..cut.

Aku dengan segera memapahnya ke kereta. Ketika dia kupapah ke kereta, barulah kusedari, baju dan seluarnya dibasahi darah. Aku harus membawanya ke hospital dengan segera. Kini aku betul-betul yakin, apa yang diceritkannya memang betul dan nyata.

Kau harus bertahan. Aku dudukkan dia di kerusi depan. Mukanya bertambah pucat. Tergopoh-gapah, enjin kereta kuhidupkan. Sebentar sahaja, keretaku sudah di jalan utama. Nasiblah kenderaan tidak banyak. Sekurangkurangnya, jika aku berjaya sampai ke hospital dalam masa kurang daripada dua puluh minit, mungkin doktor dapat melakukan sesuatu untuk selamatkannya.

Kau tak perlu pandu laju hanya untukku, antara dengar dengan tidak suaranya masuk ke dalam telingaku. Serahkan segala-galanya kepada Tuhan. Jika aku mati, tiada lagi anak yang perlu simpan dendam untuk berbelas-belas tahun.

Berhenti bercakap. Kau buat lukamu semakin parah.

Dia berpaling menyeluruhi mukaku dan, Biar aku mati dengan aman kerana sengketa ini telah pun tamat. Dan aku syahid kerananya.

Tidak ada apa-apa lagi yang dapat kulakukan saat ini. Aku rasa biarkanlah dia terus bercakap, kalau itu yang dimahukannya. Aku menekan pedal minyal semakin kuat. Keretaku meluncur semakin laju. Seketika kemudian, ketika aku berpaling untuk melihat keadaannya, dia sudah tidak berpaling melihat mukaku lagi seperti yang dilakukannya tadi. Dengan lesu, aku perlahankan kelajuan keretaku. Terasa keretaku terenjut-enjut dan sepasang kakiku tak bertenaga.

You might also like