\u201dWahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman- taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di
tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. ( as-Soff : 10- 13 )
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w.dan ummahatul mukminin, serta para sahabat dan sahabiyyah, ahlil Bait, juga buat seluruh para mujahidin dan mujahidat Islam di seluruh dunia dari dulu hingga Hari Kiamat.
Kita mulakan ucapan dengan lafaz kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi, kerana dengan taufik dan hidayah serta inayah-Nya, kita dapat mengadakan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan kali yang ke-36 pada tahun ini, dengan jiwa dan qalbu yang sarat rasa tanggungjawab untuk mempertahankan Islam, menyambung mata rantai perjuangan yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.
Bagi pihak saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan panitia Muktamar Tahunan Muslimat Negeri Kelantan kali ini, suka saya mengalu- alukan kehadiran para tetamu jemputan, para perwakilan dan para pemerhati. Serta yang teristimewa kepada Yang Berbahagia Dato\u2019 Ustaz Hj Mohamed Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulama\u2019 PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Ulama\u2019 PAS Negeri Kelantan, kerana sudi untuk hadir menyempurnakan muktamar Muslimat Kelantan pada tahun ini. Semoga Allah Taala akan memberikan ganjaran pahala yang sebaiknya kepada kita semua. Insya Allah.
Jika kita soroti kembali kalendar politik tanahair kita bermula detik 8 Mac 2008 hingga ke saat ini, tepat benarlah ungkapan\u2019tsunami politik\u2019 melanda negara kita . Bermula dengan kejutan dek kecemerlangan tak diduga Pakatan Rakyat pada PRU 12, bantuan demi bantuan anugerah Allah Taala kepada perjuangan Islam diturunkan bertali arus. Angin perubahan rakyat meratai seluruh cerun dan pelusuk negara. Diabsahkan di kawasan Parlimen Permatang Pauh, Pantai Barat berarak awan cerah ke Pantai Timur Kuala Terengganu, mara naik ke dua bukit, Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau menang mengulangi kejayaan di 3 buah negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat meluas ke sebuah lagi negeri jajahan UMNO BN. Alhamdulillah, berkat doa sekalian pejuang kita dimakbulkan Allah Taala mengikut iradat dan perancangan-Nya memberikan kita kemenangan yang bergaya, menjadikan rakyat sepakat
mahukan perubahan. Rakyat sudah membuktikan kuasa yang ada pada mereka. Rakyat tidak mahu politik dan pemimpin yang sarat dengan rasuah, salah guna kuasa dan buruk akhlaknya. Maka, kuasa rakyat telah terbukti!
Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan jutaan tahniah dan terima kasih kepada semua jentera HalWa Negeri Kelantan di semua peringkat, TERIMA KASIH DAUN KELADI! Satu gandingan gerakkerja yang mantap dan membanggakan dalam membantu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU 12 dan semua pilihanraya kecil yang lalu. Kepakaran dan kreativiti pendekatan serta kesungguhan muslimat hasil ilmu poltitik dan pengalaman tak terbeli jentera Halwa seluruh Kelantan amat menyerlah dan benar-benar memberi kesan kepada gerakkerja pilihanraya seluruhnya. Usaha jitu dan kerja keras muslimat telah mendapat penghargaan dan pujian daripada semua pihak dan diakui oleh pelbagai lapisan kepimpinan dari seluruh pelusuk negara.
Leave a Comment