You are on page 1of 31

Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan Pelajar 1.

0 Pengenalan

Banyak yang telah kita dengar tentang gejala sosial. Berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita dan aktiviti yang terlibat begitu pelbagai sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan jenayah membabitkan pelajar dan remaja benar-benar membimbangkan kita.

Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).

Mereka bukan sekadar nakal dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani melakukan perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di pinggiran bandar, malah disekolah luar bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah digelar pelajar devian.

2.0 Teori Punca Salah Laku Dan Masalah Sosial Pelajar

Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap devian sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian merupakan tindakan golongan tertindas terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya dan deprivasi status pula berpendapat devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi selalu berpunca daripada kekurangan ekonomi dan kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan dan tekanan status lalu bertindak melakukan devian.

Teori interaksionisme melihat devian sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan suatu proses sosial. Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai dengan cara mereka menginterpretasi sesuatu. Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan cara yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai tindakan ) dan menentang (menolak matlamat persekolahan dan menggantikannya dengan matlamat lain).

3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar

3.0.1 Seks Bebas Dan Jenayah Seksual

Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota. Apa yang menyedihkan kita ialah penglibatan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika mereka mereka berada di tingkatan satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah mendedahkan bahawa beliau menemui kondom yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika pemeriksaan mengejut dilakukan di sekolah tersebut Peningkatan

pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.

Seorang lagi guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah membuat tinjauan di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana mendapati pelajarnya, lelaki dan perempuan meneguk minuman keras tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya terlibat dalam pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu. Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di kalangan pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan mengenai masalah seks rambang, hamil luar nikah dan pelacuran dikalangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur berjaya diselamatkan daripada kancah pelacuran dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat berjaya diselamatkan dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan guru-guru, didapati bahawa seorang daripada murid itu mengulangi apa yang yang dilihatnya dalam sebuah filem lucah, bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan oleh sebab sifat ingin tahu, dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan bilik darjah.

Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri yang sanggup mendedahkan anaknya kearah gejala sosial dengan menonton video lucah bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang menyebabkan berlakunya semua ini ? Adakah anak yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak yang perlu dipersalahkan? Ibu bapa hendaklah menjadi pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anakanak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat dan lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan VCD lucah amat mudah mempengaruhi tingkah laku anak-anak dan para pelajar.

Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja.

Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

3.0.2 Samseng Dan Gengsterisme

Gejala samseng atau gengsterime di sekolah menengah di seluruh negara juga semakin membimbangkan. Mereka ternyata semakin berani mencabar undang-undang dan tidak takut melakukan kesalahan jenayah termasuk menggunakan senjata merbahaya. Berita Harian , 12 Julai 2001 lalu melaporkan dalam tempoh 10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah membabitkan remaja lelaki dan pelajar meningkat sebanyak 35 peratus dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kemeterian Pendidikan dengan kerjasama polis telah mengenal pasti pelajar di 456 sekolah menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan sedikit dan menunjukkan gejala ini ini berada pada tahap membimbangkan.

Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan diperlihatkan kepada pembabitan pelajar dalam kes jenayah berat seperti membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan dadah, mabuk, memiliki senjata api menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa terbaru ialah kejadian membakar sekolah dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar sekolah. Seawal belasan tahun pelajar sudah terjebak dengan jenayah ekstrem seperti membunuh , merogol dan menyamun. Mereka yang sudah menjinakkan diri dengan kes seperti mencuri motosikal, pecah rumah dan memukul orang, tidak mustahil akan terbabit dengan jenayah berat seperti membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api.

Mengikut laporan Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen, statistik kesalahan membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala-gejala tersebut seperti faktor rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri pelajar itu sendiri. Ramai pelajar dan remaja mudah terpengaruh dengan media yang memberikan ganjaran keseronokan dan mula tersesat dengan meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran mereka. Selain itu rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah kelakuan tidak baik di kalangan remaja. Sekiranya ini berlaku pelajar atau remaja akan mengambil jalan singkat dengan menjadikan perbuatan tidak sihat sebagai jalan keluar kepada permasalahan mereka.

3.0.3 Ponteng Sekolah

Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial yang baru di kalangan pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan menunjukkan pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan iaitu 32092 orang pada tahun 1993, 154305 (1995) dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan pelajar lelaki dan baki 3 peratus adalah pelajar perempuan.

Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir, masalah ponteng lebih ketara berlaku di kalangan pelajar peringkat menengah iaitu tingkatan dua dan tiga terutama mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar.

Di antara faktor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya.

Sesungguhnya gejala ponteng sekolah adalah masalah serius yang perlu diberi perhatian.dengan mengambil pendekatan bersepadu dengan mengesan punca pelajar terbabit dengan gejala itu dan kaedah yang berkesan untuk menanganinya.

3.0.4 Black Metal

Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang menjangkiti remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu. Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai unsur pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada pengikut mereka yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil daripada siasatan, polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah di Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan mengikuti upacara yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam.

Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam mula terpengaruh dengan agenda Yahudi dengan menafikan tauhid Uluhiyyah. Adalah menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat golongan pelajar Islam di negara ini yang terpengaruh dengan budaya yang kurang sihat ini. Ilmu dan pengajaran daripada simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat tempat sebagai pegangan hidup kita.

Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita membebankan mana-mana pihak.

3.0.5 Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah

Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah dan judi bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328 kes manakala bagi tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Diantara jenis-jenis dadah yang dikesan dikalangan pelajar ialah ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa 10 orang pelajar ditahan dalam serbuan polis yang disyaki ponteng dan menghidu gam.

Masalah merokok di kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Akhbar Berita Harian bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri. Terdapat beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba, dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang lari atau menghilangkan dari rumah semakin membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang lebih besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup setelah dari dari rumah seperti terlibat dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya.

4.0 Penutup

Melihat kepada permasalahan dan gejala sosial yang melanda para pelajar dan remaja kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah sampai ke tahap yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan oleh pelbagai pihak mengenai sikap dan tingkahlaku pelajar dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat tujuan akademik dan tertumpu kepada punca masalah dan biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan terlalu banyak punca yang diramalkan, tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus.

Meskipun ada cadangan mengenai cara mana mengatasi masalah, namun ia hanya berakhir di meja perbincangan, forum atau seminar. Memang ada program yang dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi ianya hanya memberi manfaat kepada segelintir mereka sahaja dan lebih bersifat komersial. Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlulah berganding bahu dan bekerjasama dalam memikul tanggungjawab mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat makro. Oleh itu adalah wajar supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk dalam masyarakat malalui interaksi mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan diri dalam apa jua bentuk gejala buruk yang boleh merosakkan diri dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini juga perlu didedahkan dengan pengetahuan undang-undang agar mereka gementar dengan hukuman.

Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai ini. Masalah Sosial di Kalangan Remaja Kini Makin Meruncing

Pengenalan

Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Pelbagai kes jenayah berlaku turut melibatkan kes Juvana. Dalam tahun 1995 ,1,895 kes melibatkan Juvana. Daripada jumlah itu 406 kes curi kenderaan atau (21.42 peratus), lain-lain kecurian 451 kes (23.80%), pecah rumah malam hari 324 kes (17.10%), curi dalam bangunan/orang gaji 277 kes (14.62%), mendatangkan kecederaan 154 kes (8.13%), pecah rumah siang hari 148 kes (7.81%), rogol 70 kes (3.70%) dan samun 58 kes (3.06%). Perangkaan-perangkaan yang menggerunkan ini menyerlahkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini.

Ternyata bahawa pendidikan moral kita dengan enam belas nilai teras, pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya; masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam bidang ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya rupa-rupanya lebih berpengaruh dari asuhan institusi pendidikan yang sedia ada.

Perkembangan akhlak seseorang boleh dibahagikan kepad tiga tahap : a) Tahap awal kanak-kanak b) Tahap pertengahan dan akhir kanak-kanak c) Tahap baligh dan remaja

Peringkat pertama

Dalam peringkat ini kanak-kanak mula membentuk keyakinan kepada persekitarannya. Proses ini amat bergantung kepada belaian ibu yang berterusan di mana ibu memenuhi keperluan emosi dan fisiologinya. Hubungan ibu dan anak dalam peringkat ini perlulah dijaga dan perkukuhkan sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan kepada lingkungan dan alam sekitarnya. Anak-anak yang tidak memperolehi perhatian serta kasih sayang ibu dalam tahap ini perkembangan emosional dan fizikalnya mungkin akan terbantut. Anak tersebut kelihatan lebih kecil dari umurnya yang sebenar.

Dalam peringkat 18 bulan hingga 3 tahun kanak-kanak mula beralih daripada bersandarkan kepada ibu semata-mata. Kanak-kanak mula membentuk keperibadiannya tersendiri, di mana ia bertarung untuk memastikan pilihannya sendiri. Dalam peringkat ini ibu wajar memberikan penuh perhatian. Kegagalan kanak-kanak tersebut dalam merealisasikan kemandiriannya menyebabkannya ia akan ragu terhadap dirinya serta kurang yakin dengan kemampuannya sekaligus mengakibatkan berkurangnya keyakinan kepada orang lain. Anak-anak akan bersifat malu dan merasa serba kekurangan.

Keupayaan anak-anak untuk mandiri serta merasakan kewujudan dirinya yang tersendiri cukup penting dalam peringkat ini. Dalam tahap inilah berkembangnya sifat-sifat personal seperti sayang, benci, ego serta kebebasan untuk mengungkap perasaan. Dalam peringkat umur 3 hingga 6 tahun kanak-kanak tersebut terus mengembangkan kemandirian dengan kegiatan yang lebih meluas; di mana mereka lebih aktif bergerak, mempunyai tahap prihatin yang lebih tinggi, banyak bertanya dan bercakap. Ibu bapa dan pengasuh wajar mengarahkan kanak-kanak dengan bijak agar mereka

memperoleh kemahiran-kemahiran mengatur dan menyusun sesuatu sehingga kanak-kanak berjaya melaksanakannya. Layanan yang kasar serta kekerasan yang berlebihan boleh menjejaskan jiwa, mental dan fizikal kanak-kanak.

Ibu bapa tidak wajar menganggap kanak-kanak pada peringkat ini seperti orang tua dalam erti kata meletakkan tanggungjawab moral dan akhlak terhadap perbuatan dan reaksinya kerana kanak-kanak masih belum mampu membezakan dengan tepat dan memahami sesuatu. Mereka hendaklah dikasihi, diperlakukan secara lemah lembut dan sikap toleransi. Rasulullah S.A.W. sendiri pernah menunjukkan sifat-sifat yang demikian. Abu Qatabah meriwayatkan pada suatu hari Nabi keluar menemui kami. Beliau mendokong Umamah Abu 'Asr. Beliau bersembahyang sambil mendokong Umamah, apabila Baginda ruku', beliau meletakkan dan apabila ia bangun ia dukung semula Umamah. Hadis ini membayangkan betapa kasihnya Rasulullah kepada cucunya.Beliau tidak memperlakukannya sebagai manusia yang mengerti segala-galanya.Beliau membenarkan anak tersebut bersamanya ketika sembahyang walhal sembahyang itu adalah ibadah yang suci dalam Islam.

Peringkat pertengahan dan akhir kanak-kanak

Dalam peringkat ini kanak-kanak mula memperluas arena hubungan sosial dan pergaulannya dengan orang lain yang sekampung atau sesekolah atau juga rakan sebaya dengannya. Kanak-kanak mula menyesuaikan diri dengan situasi dan kondisi baru dalam hidupnya. Ia mula membezakan perbuatan dan jenis-jenis tindak tanduk yang disukai oleh orang lain atau sebaliknya. Ia gembira jika orang lain puas dengan perbuatannya. Sebaliknya ia kecewa, menyesal jika orang lain marah kepadanya. Ini adalah permulaannya yang betul bagi proses pembentukan akhlak yang luhur.

Perkembangan akhlak yang positif ini menyebabkan kanak-kanak selalu berusaha untuk menyelaraskan antara kehendak dirinya dengan kehendak orang lain. Antara kecenderungan dan motivasi dengan nilai agama, akhlak, tradisi, guru, peraturan dan undang-undang. Dalam peringkat ini terteralah kesedaran tentang tanggungjawab akhlak dalam diri kanak-kanak sehingga ia mencapai tahap perkembangan akhlak yang ke-3. Dalam peringkat ini ibu bapa dan guru perlu perihatin kepada kecendurangan ini dan amat perlu diarahkan secara yang bijaksana sehingga kanak-kanak dapat memperolehi model yang utama (role model) di samping mengembangkan kearah nilai-nilai kebaikan.

Peringkat yang ketiga iaitu peringkat baligh dan remaja

Perkembangan akhlak pada masa ini mula berakar dan mantap. Fizikal kanak-kanak mula berkembang dan membesar. Perkembangan ini diikuti oleh perkembangan sosioemosinya di mana anak tersebut mula memperolehi keperibadiannya yang unik. Ia mula merasakan 'sense of belonging' kepada kelompok yang lebih besar. Peringkat ini adalah peringkat yang amat komplikated (rumit) dan ia disertai oleh pengalaman-pengelaman baru serta peranan dan peluang-peluang yang baru. Menyerlahnya dorongan kejantinaan semakin merumitkan hubungannya dengan orang lain. Keupayaan fizikalnya semakin kukuh dan mencapah. Tanggungjawab persekolahan ikut bertambah, disiplin hidupnya mula terbentuk.

Kanak-kanak mula berubah menjadi manusia yang berupaya mengawal kehendak nalurinya. Ia mula menundukkan diri kepada contoh utama yang telah terserap jauh dalam batinnya. Ia menjadikan contoh utama tersebut sebagai kriteria dalam tingkah laku dan situasi yang bersifat moral. Ia akan beriltizam dengan saranan-saranan dan contoh yang ditunjukkan sama ada wujud dalam bentuk undang-undang, sistem, adat dan budaya sosial atau ketiadaannya.

Kesempurnaan perkembangan akhlak berkaitan dengan kesempurnaan perkembangan akal, kejiwaan dan sosial. Huzaifah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah kalian menjadi pak turut. Kalian menyatakan kalau orang lain buat baik kalian buat baik. Kalau mereka jahat kalian buat jahat. Akan tetapi mantapkanlah pendirian kalian. Jika orang baik kalian wajar berbuat baik. Jika mereka melakukan kejahatan janganlah pula kalian melakukan." Pembentukan Akhlak Remaja Islam

Pembentukan akhlak di dalam Islam dimulai dengan pengukuhan akidah melalui ikrar bahawa tidak ada Tuhan sebenarnya yang disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah Rasulullah. Bagi kanakkanak yang baru lahir pendedahan ini dimula dengan azan dan iqamat. Dalam peringkat berikutnya kanak-kanak dilatih dengan budaya hidup beragama Islam oleh ibu bapanya . Apabila lidah anakanak sudah boleh bertutur mereka dilatih menyebut nama Allah dan beberapa ayat ringkas seperti:

(111) Dan katakanlah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh!"

atau doa kepada ibu bapa:

(24)

dan lain-lain.

Pengungkapan syahadat sebagai suatu proses pembangunan akhlak bergandingan dengan tujuh syarat yang mustahak dipenuhi seperti mana yang disebutkan oleh Saikh Yusuf al-Badri:

a) Ilmu yang menafikan kejahilan b) Kecintaan kepada Allah yang menafikan kecintaan kepada yang lainnya c) Keyakinan yang menafikan keraguan d) Penerimaan yang menafikan penolakan e) Kepatuhan yang menidakkan keingkaran f) Keikhlasan yang menafikan kesyirikan g) Kejujuran yang menafikan sifat mendustakan atau sekadar berlakon.

Pemantapan kalimah tauhid ini bermakna pendidikan membentuk pemikiran, perasaan serta penanaman nilai-nilai keimanan yang dinyatakan oleh Rasulullah sebagai 60 atau 70 lebih cabang dalam diri umat Islam. Sesungguhnya kesedaran manusia tentang kewujudan, kebesaran, kekuasaan dan keesaan Allah s.w.t. tentunya akan menimbulkan keperihatinan yang tinggi terhadap arahanarahanNya.

Dalam konteks yang sama, perkara utama yang perlu dilakukan oleh seorang muslim ialah memastikan dirinya bersih dari kekufuran atau tanda-tanda kekufuran kepada Allah dan Rasulnya; iaitu samada menafikan perkara-perkara asas agama, atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan syahadat. Kemudian, ia harus memastikan dirinya terlepas dari sifat-sifat kemunafikan, samada yang bersifat tanggapan mahupun yang bersifat amalan. Kemunafikan dalam tanggapan umpamanya, meyakini sesuatu yang bercanggah dengan hakikat Islam yang sebenar walhal lidahnya mengatakan ia menurut Islam yang sebenar. Kemunafikan dalam amalan ialah melakukan akhlak-akhlak orang yang munafik seperti tidak mematuhi janji, membiasakan diri dengan berdusta dan bersifat khianat. Ia hendaklah memastikan dirinya bersih daripada kefasikan atau penderhakaan kepada Allah. Tidak melakukan apa yang dilarang oleh Allah. Tidak menyalahi perintah Allah. Manusia muslim mesti menghindarkan diri dari segala kejahatan ; lahir dan batin.

Pembangunan akhlak bermula dengan perlaksanaan : 1- solat.

2- zakat dan infak. 3- puasa. 4- haji. 5- membaca al qur'an. 6- zikir. 7- memikirkan penciptaan allah. 8- mengingati mati dan memendekkan angan-angan. 9- muraqabah, muhasabah, mujahadah dan mu'atabah. 10- jihad, amal makruf dan nahi mungkar. 11- dedikasi dan bersifat tawadduk. 12- mengenali tipu daya syaitan terhadap manusia serta menangkis dan menutup laluannya. 13- mengenal jenis-jenis penyakit hati serta mengetahui cara-cara merawatnya.

Bagaimana Membangunkan Akhlak Umat Islam

Menurut Syaikh Abdul Rahman al Midani; akhlak manusia memang boleh berkembang dan boleh dibentuk dengan berbagai cara. Antara cara-cara tersebut ialah melalui:

a- Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin

Pendidikan akhlak tidak hanya melalui penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat di mana mereka boleh memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut tetapi juga pendidikan akhlak boleh dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan atau penghayatan yang berterusan umpamanya. Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau tekanan dari luar, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat. Manusia sememangnya berupaya memperolehi akhlak atau sifat yang mulia melalui pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda ( maksudnya ) :

"Suruhlah anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya ketika umur mereka ( menjangkau ) sepuluh tahun.

Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak dari kecil , maka puasa, zikir dan tilawatul Qur'an pun boleh diamalkan sejak dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat-laun akan menjadi adat atau kebiasaan seseorang.

b- Meletakkan Diri Dalam Lingkungan Persekitaran Yang Soleh

Persekitaran sosial dan budaya kerap mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum tradisi, model tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohi figure yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya. Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini Allah SWT berfirman:

Maksudnya : "Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur." Surah al 'Araf, ayat 58 :

Masyarakat yang buruk ialah masyarakat yang tidak melaksanakan syariat Allah. Mereka menguatkuasakan peraturan dan undang-undang ciptaan manusia yang menyimpang dari jalan Allah yang lurus. Dengan demikian, warganya sudah pasti akan berkembang di dalam masalah sosial yang tidak sihat. Mereka akan terpengaruh dengan gejala-gejala kejahatan yang berkembang pesat dalam masyarakat yang dilanda oleh fenomena moral berkenaan.

c-Qudwah Hasanah

Manusia juga dipengaruhi oleh idolanya. Idola tersebut kerap menjadi rol model dalam kehidupan mereka. Manusia yang berperanan menjadi rol model tersebut antara lain ialah tokoh politik, artis, seniman, atlit sukan, ibu bapa, guru dan sebagainya. Meskipun Rasulullah adalah qudwah yang paling ideal bagi umat Islam, namun penghayatan nilai-nilai yang dibawa oleh Rasulullah hendaklah dipaparkan oleh golongan idola berkenaan. Mereka sewajarnya sentiasa berusaha menunjukkan contoh dan teladan yang terpuji agar dapat ditiru oleh generasi muda. Penghayatan golongan idola tersebut terhadap nilai-nilai yang luhur dan utama pasti akan mengukuhkan keyakinan generasi baru bahawa keutamaan dan keluhuran memang sebenarnya boleh dilaksanakan. Ia bukan zaman dahulu kala atau idealisme khayalan belaka; tetapi malah ianya suatu realiti yang tentunya boleh dicontohi dan direalisasi oleh generasi masa kini. Allah SWT berfirman:

Bermaksud; "sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati Allah." Surah al Ahzab, ayat 21.

d- Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam

Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan tata kelakuan berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of belonging kepada mereka. Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar, maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.

e- Kuasa Negara Islam melalui sistem keadilan dan galakannya

Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak dalam masyarakat. Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan akhlak umat akan lebih parah dan malang.Melalui puluhan kementerian, badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak akan digugat dan dihakis. Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam bidang akhlak tetapi juga dalam semua hal. Selain dari apa yang telah dinyatakan di atas maka akhlak juga boleh dibentuk oleh media massa, sekolah, rakan sebaya, masjid atau surau dan sebagainya. Untuk lebih jelas ada baiknya kita terangkan satu persatu peranan tersebut :

f - Peranan Media Massa

Media massa merupakan satu mekanisme yang mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa akauntabiliti, tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.

Para pengguna media massa terutama golongan yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru, pemimpin politik dan pentadbir hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing, meningkatkan rasionaliti, kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka. Media massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana "cultural domination dan imperialisme" melalui berbagai saluran teknologi maklumat yang canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.

g - Peranan Sekolah

Sekolah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mendidik generasi baru dengan akhlak Islam. Antara lain sekolah boleh : 1. Menggandakan keberkesanan institusi pendidikan, menambahkan produktivitinya, meningkatkan kewibawaannya di kalangan setiap anggotanya baik mereka itu pelajar atau petugas. 2. Memperbaiki suasana persekolahan, mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya yang berkaitan dengan persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau institusi. 3. Memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang lain, menjaga standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai, bekerjasama, melakukan self criticism, mengawal diri, menghargai ilmu, menghormati ulama' dan sebagainya. 4. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid dari segi kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari segi agama, akhlak dan sosial secara wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul tugas dan tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum atau menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.

Para pelajar di sekolah hendaklah dilatih supaya merendah diri dan memuliakan orang yang mereka bergaul dengan mereka. Mereka hendaklah digalakkan lebih suka memberi dari menerima. Dalam sanubari mereka patut dicambahkan keinsafan bahawa tangan yang memberi lebih utama dari tangan yang menerima. Disuburkan pula perasaan zuhud dalam hatinya dan di asuh agar tidak menjadi mata duitan.

Mereka harus juga diasuh supaya tidak meludah dalam majlis atau berkahak, tidak menguap besar di hadapan orang, tidak meletakkan kaki di atas sebelah kaki yang lain serta tidak membanyakkan cakap. Anak-anak harus digalakkan tidak banyak bercakap kecuali sekadar menjawab. Mereka harus dilatih pandai mendengar tuturan orang, lebih-lebih lagi jika orang yang bercakap itu lebih tua daripadanya.

Mereka mesti ditegah mengucapkan kata-kata kesat, atau bergaul dengan orang-orang yang celupar. Justeru antara kaedah mendidik anak-anak ialah melindungi mereka dari rakan-rakan yang jahat. Selain dari itu elok juga selepas belajar mereka dibenarkan bermain-main untuk menyegarkan tubuh mereka setelah penat belajar. Mereka hendaklah diasuh supaya patuh kepada ibu bapa, guru dan menghurmati mereka.

Selain dari latihan serta disiplin seperti di atas, pelajar harus juga dilatih menghargai tugas dan tanggung jawab dengan cara yang bijak, lemah-lembut tanpa terburu-buru melaksanakan kekerasan

atau pemaksaan melalui penderaan. Kepatuhan yang lahir dari keinsafan dan kesedaran batin biasanya lebih berkesan dan mantap. Bagi seorang pendidik menggunakan tindakan menghukum biarlah terhadap perkara yang paling akhir dalam fikirannya; samada mereka golongan guru atau bapa. Bahkan apabila hukum hendak dikenakan kepada murid biarlah sekadar yang perlu sahaja.

Bimbingan dan nasihat yang lemah lembut tetapi tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan di dalam hati serta dipatuhi. Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan satusatunya penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh yang baik, nasihat dan hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru tidak mampu lagi untuk digunakan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ( kerana enggan sembahyang ) apabila umur mereka sepuluh tahun". (Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).

Demikianlah dalam Islam pembelajaran tidak dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului oleh berbagai cara dan pendekatan untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya dengan memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah lembut tetapi tegas dan sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan mendidik bukan yang menimbulkan kecacatan fizikal dan sebagainya.

Firman Allah :

"Dengan rahmat ALlah kepadamu itu maka engkau berlemah lembut menghadapi mereka. Seandainya hatimu keras dan (sikapmu) kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu. (Surah Ali Imran : ayat 159)

Satu hakikat pembelajaran yang lumrah di sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru. Sekiranya guru mempunyai akhlak yang baik murid ikut terpengaruh dengan akhlak ini. Demikianlah sebaliknya. Pandangan negatif murid bukan setakat terhad kepada guru tetapi juga mungkin menjangkau kepada pelajaran, kepada sekolah dan seterusnya kepada sistem persekolahan keseluruhannya.

Displin sekolah hendaklah dilaksanakan dengan semangat kerjasama. Guru besar, nazir, guru, murid malah ibubapa hendaklah sama-sama berperanan. Ini bermakna harus ada penerimaan dan permuafakatan tentang polisi dan cara-cara merealisasikannya seboleh-bolehnya dari semua pihak agar masing-masing melindungi dan mempertahankannya.

Usaha mengatasi masalah di sekolah hendaklah dengan menghapuskan sebab-sebab pokok atau punca dari mana datangnya permasalahan itu. Ini termasuk menghapuskan suasana yang membantu atau menyokong salah laku dari murid . Di samping itu juga penyelesaian boleh di usahakan dengan mengambil langkah pencegahan dan mengujudkan suasana yang lebih positif. Ini di dasarkan kepada prinsip "mencegah lebih baik dari merawat".

Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh sekolah dalam membangun akhlak ialah dengan mengadakan kempen menyedarkan murid tentang keperluan menghormati disiplin sekolah, menerangkan tentang mengapa suatu disiplin itu dibuat dan memperbanyakkan aktiviti sekolah dengan mempelbagaikannya, menggunakan atau memenuhi masa lapang murid, menghubungkaitkan sukatan pelajaran dengan keperluan diri dan masyarakat mereka dan langkah-langkah yang lain.

h - Peranan rakan sebaya

Antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka. Perasaan "sense of belonging" kepada kumpulan adalah suatu yang lumrah. Remaja akan mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran mereka. Remaja memang menyedari adanya jurang generasi antara mereka dengan kumpulan dewasa dan mereka sering berhadapan masalah dalam mewujudkan hubungan dengan generasi yang lebih tua. Kajian yang dilakukan oleh Lambert dan rakan-rakannya ( 1972 ) menunjukkan remaja menghadapi berbagai konflik apabila mereka berusaha merentasi jurang generasi( generation gap ) tersebut antara pemikiran mereka dan pemikiran ibubapa mereka.

Kajian menunjukkan bahawa masalah remaja lelaki dan perempuan adalah : 1. kesukaran untuk membincangkan permasalahan mereka dengan para ibubapa mereka dan para penjaga mereka 2. kesukaran untuk memberitahu ibubapa dan penjaga mereka mengenai apa yang mereka lakukan

3. wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan pemikiran ibubapa dan penjaga mereka. Oleh kerana itu golongan remaja umpamanya sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial tertentu untuk mendapat bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam memilih kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak, gangster atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan mengakibatkan kemusnahan akhlak golongan remaja dan dewasa . i - Peranan rumah ibadah

Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam; bahkan di kota-kota besar dunia kedapatan bangunan masjid yang berbagai bentuk dan rupa. Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.

Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu bersepadu dengan nilai tauhid, ruh Islam dan akhlak . Ia mengimbaukan ketakwaan dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .

Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan, kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah: 1. Kelas Fardu Ain 2. Kelas Tajuid & Qiraat. 3. Kelas Bimbingan Remaja. 4. Kelas Bahasa Arab. 5. Ceramah Berkala. 6. Seminar Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah.

7. Kursus Rumahtangga Bahagia. 8. Kursus Pengurusan Jenazah. 9. Madrasah atau Sistem Pengajian Formal. 10. Kursus Dakwah dan Imamah. 11. Acara Tadarus al-Quran. 12. Khemah Ibadan & Qiamullail. 13. Kursus Pengurusan Masjid. 14. Kegiatan Amar Ma'ruf & Nahi Munkar. 15. Seminar Pengurusan Sumber Masjid. 16. Kempin Memakmurkan Masjid. 17. Membentuk organisasi Belia Masjid ( Rakan Masjid )

Seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan, Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badanbadan Korporat, swasta dan awam hendaklah digembling untuk bersama-sama berperanan meningkatkan kualiti akhlak umat samada dengan mengadakan kempen hidup beretika dan berakhlak atau melancarkan buku-buku rujukan yang menjelaskan nilai-nilai akhlak tersebut dan sebagainya.

Rumusan

Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia harus bermula dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan bertakwa. Pemimpin yang mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada set-set nilai akhlak Islam, mempunyai kerohanian yang amat tinggi, mewarisi ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun akhlak dan keluhuran akan beroleh kedudukan dalam pemerintahan lantas memastikan semua umat menunaikan solat, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah. Mereka menguatkuasakan sistem hidup Islam yang memang membela akhlak. Mereka melaksanakan undang-undang Allah yang sebenarnya memang melindungi nilai dan norma akhlak dalam masyarakat.

Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan akan menghala ke arah yang sama. Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak. Pengaruh luar yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa jua pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar kementerian dan agensi pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan nilai dan tatanan akhlak. Tidak berlaku proses pertentangan antara kerja membangun dan merosak akhlak serentak dalam jentera-jentera berkenaan.

Agenda-agenda khusus menangani gejala keruntuhan dan kemorosatan akhlak akan disusun dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Segala-galanya akan dimanfaatkan dalam menjana kekuatan untuk meningkatkan mertabat umat dalam segala bidang.Kebenaran keadilan dan ihsan akan didaulatkan . Manusia diasuh kembali menjadi hamba Allah yang ta'at dan bukan hamba benda, wang, pembangunan, bangsa atau negara. Semoga semua langkah-langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu mengatasi masalah keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa, khasnya di kalangan remaja kita dewasa ini.. DISIPLIN PELAJAR SEKOLAH SEMAKIN MEROSOT

ponteng

PENGENALAN

Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial, Buli gugat semangat belajar dan Kerjasama penting bagi banteras gangsterisme. Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada akhbar-akhbar tempatan pada masa kini. Berita-berita seperti ini membayangkan kemerosotan disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata.

Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam negara dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan

budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja sekolah. Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Masalah disiplin di sekolah kini telah menjadi lebih kompleks dengan kewujudan kes pelajar yang terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali Black Metal. Hakikatnya jelas dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin seperti ini serta penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar.

PONTENG SEKOLAH

Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajarpelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hujan walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini.

Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna (disfungsi). Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.

KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap didefinisikan sebagai Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah. Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara tersebut beliau berkata; " Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar umbi." (Utusan Malaysia 20 Feb 97)

Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea, melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor. Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:

Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional. Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan. Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan.

Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas. Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993) iaitu: a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka. b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging, dikagumi dan kekuasaan. c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti. d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai. e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.

KESAN Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993). Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan salah laku di sekolah.

Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka. Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah ialah: a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya.

b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka. c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam. d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang berkesan serta menyeluruh.

CADANGAN 1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah ini. 2. Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk dan sebagainya. 3. Perkhidmatan Bimbingan & Kaunseling Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-sekolah seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara pada masa akan datang. 4. Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi sokongan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur.

5. Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun yang paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

PENUTUP Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.

Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya. Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah. Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang. Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PONTENG SEKOLAH

1.

Kurang berminat terhadap pengajaran dan pelajaran di sekolah.

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana kurang atau tidak berminat terhadap pengajaran dan pembelajaran di sekolah Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran yang banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata pelajaran sejarah, matematik, sains, geografi dan sebagainya.

Di samping itu, pelajar kurang berminat terhadap sekolah kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

2.

Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa

Pelajar ponteng sekolah adalah kerana mereka telah hilang pemerhatian, kasih sayang daripada ibu bapanya dan ibu bapa telah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu bapa. Dengan membuktikan keadaan tersebut, ibu bapa kini sentiasa bekerja di luar dari awal pagi sampai tengah malam, masa mereka bersama dengan anak semakin berkurang sehingga anak-anak tidak dapat menyampaikan perasaan mereka kepada ibu bapa. Lama-lama kemudian, anak tersebut akan cuba menggunakan cara lain iaitu cara negatif seperti ponteng sekolah kerana mereka berjaya mendapat perhatian daripada ibu bapa mereka. Malangnya anak-anak ini akan berkawan dengan orang luar semasa mereka memonteng sekolah dan kesannya kawan baru ini akan mengajak mereka pergi ke tempat lain untuk berhibur sehingga anak-anak ini tidak lagi mementingkan pelajarannya.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke arah masalah ini.

3.

Pengaruh rakan sebaya

Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir ke sekolah.

4.

Mencari Keseronokan

Pelajar ponteng sekolah berkemungkinan adalah kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di suatu tempat terutamanya pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan.

5.

Peraturan sekolah yang terlalu ketat

Terdapat juga para pelajar ponteng sekolah kerana takut dimarahi ataupun didenda oleh guru contohnya semasa mereka tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru, mereka akan pilih cara ponteng sekolah supaya mereka tidak dapat didenda oleh cikgu. Selain daripada itu,pelajar yang datang lewat juga akan mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana kesalahan mereka itu. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

6.

Tekanan Ekonomi

Taraf ekonomi keluarga pelajar yang rendah juga menyebabkan mereka malu untuk pergi ke sekolah. Mereka sering ponteng sekolah bagi mengelakkan dipersenda oleh rakan-rakan. Apabila ponteng sekolah, mereka mula melakukan sesuatu yang negatif bagi memenuhi masa lapang mereka. Oleh kerana kedudukan ekonomi yang rendah, maka ibu bapa sibuk untuk mencukupkan perbelanjaan harian dan menyebabkan tanggungjawab anak terabai. Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana terpaksa bekerja secara sambilan dan oleh kerana terlalu keletihan mereka tidak berdaya untuk bangun awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam. Ponteng Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas. Ponteng adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut digunakan bagi kes ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri, dan bukannya kes-kes yang "dimaafkan" seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. Definisi sebenar

mungkin berbeza mengikut sekolah, tetapi biasanya diterangkan secara jelas di dalam peraturan sekolah. Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari. Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah ataupun menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah kekurangan tersebut diisi melalui tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian. Isi kandungan [sorokkan] 1 Punca gejala ponteng 2 Menangani pelajar ponteng 3 Rujukan 4 Pautan Luar Punca gejala ponteng[sunting]

Suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi, seperti pembinaan arked permainan video, kafe siber atau pusat membeli-belah berhampiran sekolah Pengaruh media elektronik Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa Pengaruh rakan sebaya Persekitaran sekolah yang kurang kondusif serta dibebani tekanan, umpamanya guru yang terlalu garang Menangani pelajar ponteng[sunting]

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius akan gejala ponteng sekolah, memandangkan gejala ini seterusnya akan membawa kepada permasalahan sosial yang lebih teruk seperti gejala maksiat dan samseng remaja. Oleh itu, di beberapa tempat seperti di Lembah Klang, Polis Diraja Malaysia menempatkan beberapa anggota polis bagi memantau kawasan tumpuan remaja bagi mengesan pelajar ponteng, dan sekiranya pelajar yang didapati ponteng tertangkap maka ibu bapa berkemungkinan akan dikenakan tindakan. Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan secara menyeluruh, orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya terserempak dengan pelajar yang ponteng sekolah.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi menangani gejala ponteng dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat bagi mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan video. Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Guru-guru juga disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu garang dengan pelajar. Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.

You might also like