You are on page 1of 11

Transformasi Pembelajaran Guru Besar Dalam Kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari

Mohd. Zaki Ishak


Sekolah Pendidikan & Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Sabah, Malaysia. Alamat emel: movolk@ums.edu.my Abstrak Tujuan kajian ini ialah menganalisis transformasi pembelajaran guru-guru besar yang mengikuti kursus Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari (PUPL). Kursus ini merupakan salah satu kursus yang ditawarkan dalam Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) dan dilaksanakan di Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah. PUPL merupakan satu daripada inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menganjurkan tahun-tahun 2005 hingga 2014 sebagai Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari untuk dilaksanakan oleh negara-negara yang bernaung dibawahnya. Data mengenai pembelajaran guru-guru besar dikumpul melalui pembentangan tugasan berkumpulan, soal jawab dalam pembentangan serta sumbangsaran kumpulan-kumpulan lain, penulisan refleksi diakhir kursus, dan pandangan terhadap kursus daripada salah satu soalan yang ditanya dalam peperiksaan akhir. Data-data yang dikumpul dianalisis: analisis dokumen (tugasan berkumpulan); analisis transkripsi penulisan refleksi diakhir kursus dan jawapan peperiksaan akhir; dan jurnal peribadi yang ditulis sendiri. Kesemua analisis yang dibuat dihablurkan dan penerangan serta interpretasi yang dihasilkan dijadikan sebagai hasil kajian. Penerangan mengenai PUPL di kalangan guru besar masih kabur. Pembelajaran melalui perbincangan rakan sekursus di kalangan guru-guru besar bersama pengkaji sebagai pensyarah dengan penglibatan aktif mereka menyuarakan pandangan, pendapat serta berwacana berdasarkan pengalaman yang dilalui telah memberikan impak terhadap pembelajaran dalam aspek-aspek literasi sains, perbendaharaan kata serta pemahaman konsep-konsep pembangunan lestari dan kelestarian. Penglibatan aktif menandakan pendekatan ini merupakan suatu transformasi pembelajaran yang membolehkan berlakunya permerolehan pengetahuan, kefahaman serta kesedaran guru-guru besar terhadap pendidikan untuk pembangunan lestari.

Pengenalan Kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL) merupakan salah satu kursus dalam Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB). Kursus ini ditawarkan kepada guru-guru besar sekolah rendah yang telah memenuhi kriteria pengambilan seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sehingga sesi 2011/2012, sebanyak tujuh kohot telah mengikuti kursus PKPGB di Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS), Universiti Malaysia Sabah. Pengkaji mula melaksanakan kursus ini pada kohot yang ketiga iaitu pada sesi 2008/2009 sehingga pada kohot yang ketujuh. Matlamat kursus ini ialah agar guru-guru besar mampu memahami isu-isu pembangunan lestari sesuai dengan keperluan mereka di sekolah dalam pengurusan pendidikan, kurikulum, ko-kurikulum dan penghijauan. Kursus PUPL yang berjumlah dua jam kredit dijalankan secara intensif, iaitu sama ada ia dijalankan selama empat atau enam jam seminggu. Jumlah 42 jam diperuntukkan untuk pertemuan bersemuka (kuliah) antara guru besar dengan pensyarah (sebagai Pengkaji).

Semasa setiap kuliah dijalankan, pensyarah menyediakan juga beberapa soalan atau isu untuk dibincangkan. Pensyarah menjadi perantara semasa perbincangan berlangsung dengan guru besar. Selain daripada kuliah, guru besar dikehendaki melaksanakan tugasan individu dan tugasan berkumpulan (antara 3 4 orang). Guru besar dikehendaki menyiapkan setiap tugasan, tugasan individu dan tugasan berkumpulan, dalam tempoh yang telah ditetapkan. Senarai soalan atau isu berkaitan kedua-dua tugasan disediakan oleh pensyarah dan ketua kumpulan kursus diminta berbincang dengan ahli-ahlinya untuk menentukan soalan atau isu yang dipilih. Guru besar yang melaksanakan tugasan berkumpulan bukan sahaja menyediakan laporan bertulis malah mereka juga dikehendaki membuat pembentangan semasa sesi kuliah berlangsung. Semasa sesi pembentangan berlangsung, selain daripada pensyarah bertanya dan memberikan pandangan, semua ahli kumpulan lain juga diminta memberikan pandangan dan bertanyakan soalan kepada kumpulan yang membuat pembentangan. Penilaian kursus dibuat berdasarkan kepada tugasan individu, tugasan berkumpulan, ujian pertengahan semester dan peperiksaan akhir. Memandangkan PUPL merupakan satu daripada inisiatif Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu dan ia menganjurkan tahun-tahun 2005 hingga 2014 sebagai Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari. Maka daripada pengalaman pengkaji sebagai pensyarah mengendalikan kursus ini sehingga kohot yang keenam, pengkaji mendapati perlunya kajian di lakukan ke atas kohot-kohot ini. Tujuan kajian di lakukan ke atas salah satu kohot yang mengikuti kursus Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) ini ialah menyiasat bagaimanakah guru-guru besar mempelajari kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari melalui perbincangan rakan sekursus bersama pensyarah boleh membantu mereka meneroka idea-idea dan perspektif baru yang akhirnya membolehkan mereka memahami pembangunan lestari dalam konteks kepimpinan pendidikan. menggabungkan prinsip, nilai dan amalan pembangunan lestari dalam semua aspek pendidikan. Bahagian-Bahagian yang berikutnya membincangkan mengenai sejarah pembangunan lestari, pendidikan untuk pembangunan lestari, transformasi pebelajaran, refleksi pembelajaran, metodologi, hasil kajian, dan perbincangan. Untuk itu, bahagian yang berikutnya ialah sorotan literatur mengenai sejarah pembangunan lestari. Sejarah Pembangunan Lestari Dalam konteks pendidikan di Malaysia, pembangunan lestari telah bermula melalui pendidikan alam sekitar. Walau pun tiada kurikulum khusus pendidikan alam sekitar, namun ia telah dilaksanakan merentasi kurikulum (Geografi, Biologi, Pendidikan Moral, Bahasa) atau dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum (Periasamy, 2004). Perlaksanaan merentasi kurikulum ini (Musally, Yee Ling, John, Ahmad, Joeman, Kobayashi & Tagi, 2005) sama ada melalui kaedah kesepaduan dalam bilik darjah (infusi atau difusi) atau melalui aktiviti-aktiviti ko-kurikulum-keceriaan, landskap sekolah, kempenkempen kebersihan, kesan rumah hijau, dll (Mohd. Zaki, Mashitoh & Hamzah, 2009).

Memandangkan alam sekitar dilihat sebagai strategi utama untuk melaksanakan pembangunan lestari, maka Persidangan Dunia mengenai Pembangunan Lestari yang dikenali sebagai Rio+10 atau Persidangan Johannesburg 2002 telah menggunakan strategi pembangunan lestari bertujuan mengekalkan alam sekitar, sumber-sumber asli dan eko-sistem agar ketigatiganya samada boleh dimanafaatkan, dirasai atau dinikmati bukan sahaja, untuk generasi sekarang bahkan juga untuk generasi akan datang (UNESCO, 2009a). Sebelum inisiatif pembangunan lestari ini, Persidangan Negara BangsaBangsa Bersatu 1992 atau Persidangan Rio mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan telah mengungkapkan pembangunan lestari memenuhi keperluankeperluan generasi sekarang dan generasi akan datang, memudahkan setiap individu menzahirkan keupayaannya, meningkatkan kualiti hidup, dan pada masa yang sama melindungi dan memperkasakan sistem sokongan kehidupan Bumi. (Hart, 2007). Melalui Persidangan Rio, sebanyak 40 bab blueprint mengenai pembangunan lestari yang dikenali Bab 36 dalam Agenda 21 iaitu mempromosikan pendidikan, kesedaran awam dan latihan. Strategi mempromosikan pendidikan ini telah mengakibatkan sesetengah negara dalam Bangsa Bangsa Bersatu menghasilkan pelbagai konsep mengenai pembangunan lestari. Misalnya, Bahagian yang menguruskan pembangunan lestari di Bangsa Bangsa Bersatu telah menyenaraikan 44 tema di bawah tajuk pembangunan lestari (UNESCO, 2009b). Setiap tema menurut Bahagian ini hendaklah dihubungkan dengan masa (lepas-sekarang-akan datang) dan ruang (dekat-jauh). Maknanya setiap tema yang melibatkan pembangunan lestari sama ada aspek sosial, aspek alam sekitar, aspek ekonomi dan aspek budaya hendaklah dihubungkan dengan kedua-dua masa dan ruang, dengan mengambil kira keperluan-keperluan yang sama bagi generasi sekarang dan generasi akan datang. Sorotan ringkas literatur mengenai sejarah pembangunan lestari membawa perbincangan kepada inisiatif pendidikan untuk pembangunan lestari yang diterjemahkan dalam bentuk penganjuran kursus melalui Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB). Perbincangan dalam bahagian yang berikutnya khusus kepada kandungan kursus yang ditawarkan kepada guru besar yang mengikuti Program ini di Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial (SPPS), Universiti Malaysia Sabah. Pendidikan untuk Pembangunan Lestari di UMS Sistem pendidikan di Malaysia berasaskan acuan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu tertumpu kepada menghasilkan individu yang serba serbi seimbang dalam aspek kognitif, fizikal, emosi, dan rohani. Dengan kata lain, pendidikan negara ini masih menitikberatkan pemerolehan ilmu pengetahuan, kebolehan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal, mampu mempamerkan atau memperlihatkan nilai, sikap, akhlak dan tingkahlaku mengikut acuan masyarakat setempat serta mempunyai ketahanan dalaman berkaitan kepercayaan terhadap Pencipta alam semesta. Walau bagaimanapun, pendidikan untuk pembangunan lestari yang dilaksanakan hampir keseluruhan anggota negara bangsa-bangsa bersatu di seluruh dunia mempunyai pelbagai acuan penekanan. Antara acuan pendidikan untuk pembangunan lestari termasuklah menyelesaikan masalah konflik, ketegangan, dilemma dan kontradiksi di kalangan masyarakat sesebuah negara.

Manakala, acuan kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL) yang dilaksanakan di Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah menjurus kepada isu-isu semasa dalam lengkungan kepimpinan guru besar sekolah rendah berasaskan konteks alam sekitar, sosial, budaya dan ekonomi. Kesemua konteks tersebut disesuaikan dengan keperluan guru besar sekolah rendah dalam melaksanakan pengurusan pendidikan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan di sekolah masing-masing. Selain daripada itu, penganjuran kursus PUPL merangkumi sejarah, definisi, rasional dan konsep; konteks, justifikasi dan teori berkaitan PUPL sesuai dengan keperluan pengurusan pendidikan, kurikulum, ko-kurikulum dan penghijauan; dan pendekatanpendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dalam PUPL. Memandangkan kursus PUPL merupakan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan guru-guru besar yang mengikuti kursus ini dikatakan menjalani Program Khas Pensiswazahan, maka pengkaji berpendapat kursus ini lebih menjurus kepada perkembangan professional berbanding dengan pendidikan guru. Oleh itu, istilah transformasi pembelajaran di kalangan guru-guru besar sesuai digunakan kerana matlamatnya ialah untuk memotivasikan sikap, nilai dan persepsi agar mereka dapat melaksanakannya sebagi pemimpin di sekolah. Bahagian berikutnya ialah ringkasan sorotan literatur mengenai transformasi pembelajaran guru-guru besar sekolah rendah. Transformasi Pembelajaran Sterling (2010) mengungkapkan transformasi pembelajaran sebagai suatu kualiti pembelajaran yang dimiliki oleh seseorang. Kualiti pembelajaran ini termasuklah aktif melibatkan diri, mampu menyentuh hati atau perasaan, boleh merobah sikap dan pengetahuan melalui proses kesedaran dan pengikitirafan atau sanjungan. Dengan kata lain, Sterling mengatakan bahawa tranformasi pembelajaran merupakan suatu proses seseorang mengubah kerangka pemikirannya menjadi lebih menyeluruh dan berubah perspektifnya. Meziro (2000) pula mencadangkan bahawa transformasi pembelajaran berlaku, antara lainnya, mengikut peringkat-peringkat berikut: Dilemma iaitu apabila seseorang yang belajar mengemukakan sesuatu sama ada permasalahan, soalan atau menzahirkan rasa tidak puas hati dengan pembelajarannya. Suasana ini boleh mencetuskan transformasi dalam diri seseorang Memeriksa diri sendiri iaitu seseorang pelajar begitu kritikal terhadap pembelajarannya apabila melakukan refleksi Seseorang pelajar yang kritikal terhadap andaian penilaian diri sendiri, misalnya merasai belum cukup pengetahuan mengenai kursus PUPL Adanya pengiktirafan atau sanjungan terhadap ketidakpuasan hati terhadap pembelajarannya dan transformasi ini dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain Membuat tinjauan sendiri terhadap peranan baru dan tindakantindakan seterusnya, perhubungan dan tindakan. Maknanya ada perubahan semasa berjumpa dengan guru-guru, murid-murid dan ibubapa. Perancangan tindakan selanjutnya

Pemerolehan pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan perancangan Latihan percubaan menjalankan peranan baru Membina kompetensi dan keyakinan diri dalam menjalankan peranan baru dan menjalin hubungan Mengintegrasikan semula kehidupan berasaskan keadaan-keadaan yang diarahkan dalam perspektif baru Maka daripada cadangan Meziro ini, refleksi pembelajaran secara kritis membantu kepada perubahan perspektif seseorang. Cara pembelajaran sebegini terfokus terutama ke arah membentuk nilai, moral, sikap, emosi serta konsepkonsep tersirat seperti kelestarian, dan pembangunan lestari. Oleh itu, sorotan literatur seterusnya ialah mengenai refleksi pembelajaran. Refleksi Pembelajaran Dalam literatur terdapat tiga jenis refleksi: refleksi ke atas amalan; refleksi ke atas teori; dan refleksi ke atas teori disiplin ilmu (Uljens, 1997). Fokus sorotan dalam penulisan ini ialah refleksi ke atas amalan professional iaitu pembelajaran mengikuti kursus PUPL. Satu daripada refleksi ke atas amalan yang diperlukan oleh guru besar ialah kebolehan atau kemampuan membedakan kognitif dengan tingakhlaku psikologi (Valli, 1992). Kebolehan atau kemampuan tersebut membolehkan seseorang menganalisis amalan pembelajarannya daripada pelbagai kerangka rujukan. Dengan perkataan lain, seseorang guru besar boleh mengeluar atau menampilkan hujah serta menggabungkannya pengalaman peribadi, nilai, dan sikap dengan teori dan kajiannya sendiri (Kennedy, 1989). Daripada sorotan literatur ini, maka perbincangan seterusnya ialah mengenai metodologi iaitu proses kajian ini dijalankan unutk mendapatkan maklumat yang diperlukan mengenai pembelajaran guru-guru besar dalam kursus PUPL. Metodologi Oleh kerana kajian ini dilakukan sepanjang kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL) dilaksanakan di SPPS, maka pendekatan berasaskan interpretif menggunakan metodologi kualitatif digunakan dalam proses mengumpul data. Pengkaji memakai cadangan Janesick (2003), dan menggunakan idea latihan regangan, bertentangan dengan idea kajian rintis yang selalu digunakan dalam kajian kuantitatif. Idea latihan regangan ini membolehkan pengkaji membina hubungan yang baik dengan guru-guru besar yang mengikuti kursus PUPL semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Maklumat berkaitan pembelajaran mengenai kursus PUPL yang dilalui oleh guru-guru besar, diperolehi melalui melalui pembentangan tugasan berkumpulan, soal jawab dalam pembentangan serta sumbangsaran kumpulan-kumpulan lain, penulisan refleksi diakhir kursus, dan pandangan mereka terhadap kursus daripada salah satu soalan yang ditanya dalam peperiksaan akhir. Guru-guru besar yang mengikuti kursus ini ialah mereka dari salah satu kohot seramai 23 orang. Walau bagaimana pun, beberapa orang di antara mereka bertugas di Jabatan Pelajaran Sabah, dan pernah menjawat jawatan guru besar sebelum mengikuti Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB).

Kemasukan mereka ke dalam PKPGB berdasarkan pengalaman menjadi guru besar selama beberapa tahun dan sudah disahkan dalam gred yang telah ditetapkan. Semasa mengikuti PKPGB, salah satu kursus yang diikuti mereka ialah kursus PUPL. Pengkaji melaksanakan kajian melalui intervensi yang berlangsung dari Ogos November 2010. Intervensi bertujuan guru-guru besar memahami kehendak dan keperluan kursus PUPL. Mereka diberikan secara umum maklumat awal mengenai kursus PUPL dalam pertemuan pertama di dalam kelas. Intervensi berlangsung selama 10 minggu. Kursus ini diperuntukkan sama ada dua atau tiga kali pertemuan setiap minggu, dengan setiap pertemuan mengambil masa 2 jam. Sepanjang intervensi, mereka diberikan tugasan individu dan tugasan berkumpulan (antara tiga hingga empat orang). Setiap tugasan berkumpulan dibentangkan di hadapan pengkaji. Semasa pembentangan, selain soal jawab maklumbalas juga daripada kumpulan lain mengenai apa yang telah dibentangkan. Dipertengahan intervensi, ujian pertengahan semester diadakan sebagai syarat keperluan kursus. Diakhir intervensi, guru-guru besar diminta menulis refleksi pengalaman pembelajaran sebelum, semasa dan selepas mengikuti kursus PUPL. Hasil Kajian Walau pun data mengenai pembelajaran guru-guru besar daripada dua puluh tiga orang guru besar dikumpul melalui pembentangan tugasan berkumpulan, soal jawab dalam pembentangan serta sumbangsaran kumpulan-kumpulan lain, penulisan refleksi diakhir kursus, dan pandangan mereka terhadap kursus daripada salah satu soalan yang ditanya dalam peperiksaan akhir. Hasil kajian yang dibentangkan dalam penulisan ini hanya diambil daripada penulisan refleksi mereka diminggu akhir pertemuan seminggu sebelum peperiksaan akhir bermula: refleksi sebelum kursus; refleksi tugasan individu; refleksi tugasan kumpulan; dan refleksi pembelajaran mengenai kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL). Oleh itu, data-data yang terkumpul yang dianalisis: analisis dokumen (analisis transkripsi penulisan refleksi diakhir kursus dan jawapan peperiksaan akhir); dan jurnal peribadi yang ditulis sendiri oleh pengkaji. Ringkasan dapatan daripada refleksi dan peperiksaan mengenai pembelajaran guru-guru besar kohot mempelajari kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL) ditunjukkan dalam Jadual 1. Jadual 1 Ringkasan pengalaman pembelajaran N=23 Komen guru mengenai kursus pendidikan untuk pembangunan lestari 23 Kesukaran memahami istilah kelestarian dan pembangunan lestari 11 Menyangka pembangunan lestari berkaitan alam sekitar 6 Menyangka kursus PUPL berkaitan keceriaan 4 Kebanyakan program sekolah berkaitan konsep PUPL 8 Kesukaran sumber rujukan berkaitan pembangunan lestari 8 Perbincangan dengan rakan dan pensyarah 10 Menimbulkan kesedaran 9 Menambahkan pengetahuan dan nilai 9

Analisis refleksi sebelum mengikuti kursus: Analisis kandungan telah dibuat terhadap komen-komen daripada 23 orang guru besar. Analisis kandungan terhadap pembelajaran guru besar dalam kursus PUPL mendapati bahawa penglibatan aktif dalam pengajaran dan pembelajaran telah menjurus kepada pemahaman dan kesedaran mereka mengenai kelestarian dan kepentingannya dalam kalangan murid-murid, guru-guru dan masyarakat setempat. Antara komen-komen kesukaran yang dihadapi oleh mereka itu ialah kursus ini pada mulanya agak susah untuk saya memahaminya (R1); kurang memahami masih kabur-kabur (R14); baru pertama kali belajar dan mengenali mata pelajaran pembangunan lestari (R7); satu frasa yang agak asing (R12); rasa susah kurang pasti (R9); baru kenali semasa kuliah dan kerja kursusbaru pertama kali mendengar tentang pembangunan lestari di sekolah (R8); I was wondering what am I going to learn in this course (R13). Antara alasan-alasan kesukaran yang diberikan termasuklah suatu yang baru diperkenalkan di negara ini (R17); terlalu asing (R15); masih gagal mencari di perpustakaan bertanya pada rakan mereka juga sama seperti saya (R7); sumber pembelajaran dan rujukan dalam bentuk buku agak kurang dan tambahan pula internet banyak bahan rujukan tetapi dalam Bahasa Inggeris (R19); rujukan yang ada terhad dan berkisar kepada situasi di tempat lain atau luar negara (R17); belum menyedari mengenai kepentingan pembangunan lestari di sekolah (R20); memberi cabaran baru (R17). Mereka menyangka bahawa aktiviti pelestarian di sekolah berkaitan alam sekitar (R17); keceriaan (R15); konsep sekolah lestari (R12); bertujuan untuk menceriakan dan menambah bilangan pokok di sekolah (R18). Sedangkan pembangunan lestari meliputi pelbagai kontekts (R12) seperti pengurusan alam sekitar (R12); budaya setempat, amalan masyarakat, ekonomi, keutuhan sistem keluarga, masyarakat dan negara (R17); kurikulum, ko-kurikulum, iklim sekolah (R15). Antara sebab kenapa terdapatnya sangkaan-sangkaan ini ialah semua aktiviti ke arah pembangunan lestari tidak didokumentasikan dalam pengurusan sekolah (R20); kurang mengaitkan aktiviti yang dijalankan merupakan suatu pendidikan untuk melestarikan sekolah (R18); rupa-rupanya banyak aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan di sekolah dahulu dan sekarang berkaitan dengan konsep pendidikan untuk pembangunan lestari (R14); secara jujurnya saya tidak sedar yang sekolah saya telah mengamalkan pelestarian dalam berbagai aspek (R10); pengembangan idea berlaku berbanding dengan kita menyelesaikan bersendirian (R2). Mereka merasakan bahawa kesukaran yang dialami semasa mengikuti kursus ini termasuklah pencarian isi dan maklumat telah menyebabkan konflik dalam diri dan kumpulan (R2). terpaksa memilih pengalaman sebagai penyelia atau sebagai guru besar (R21).

Analisis Tugasan Individu: Seramai 23 orang guru besar memberi komen terutama kesukaran ketika memulakan tugasan individu. Antara komen-komen kesukaran yang dialami oleh guru besar: mengambil masa lebih panjang untuk disiapkan agak kabur dan tidak tahu (R16); hampir dua minggu saya terfikir bagaimana hendak memulakan tugasan ini sedangkan saya masih samar samar dengan apa yang telah dikuliahkan begitu juga dengan rakan rakan lain (R1); kadang-kadang merimas dibiarkan mencari bahan sendiri tanpa bimbingan (R11). Selain daripada itu, kenapa tugasan individu telah memberi kefahaman serta kesedaran bahawa sebahagian aktiviti yang dilakukan di sekolah merupakan program pelestarian. Antara komen-komen itu ialah SERASI, 3K (R17); warga sekolah turut memberi idea bagaimana membuat program-program lestari di sekolah (R112); banyak program pelestarian di sekolah tetapi tidak disusunatur dan tidak dilaksanakan dengan betul (R20) ; membantu saya untuk lebih mengetahui dan memahami apa itu pembangunan lestari dalam pendidikan (R10). Walau bagaimana pun terdapat juga komen-komen yang mengatakan bahawa tugasan individu memberi peluang kepada guru besar menilai semula pembangunan lestari yang dilaksanakan di sekolah, misalnya mendapat idea idea yang boleh dipraktikkan semula dengan penambahbaikan (R20). Analisis Tugasan Kumpulan: Seramai 23 orang guru besar memberi komen mengenai kesukaran awal untuk menghasilkan tugasan berbentuk kumpulan. Antaranya mulanya penjelasan tidaklah berapa baik sumber rujukan terhad didapati daripada internet (R16); ahli kumpulan tidak bekerjasama suruh buat tidak buat, buat pun setakat saja-saja. Ada langsung yang tidak tolong buat, lepas itu dia minta dia yang buat pembentangan sahaja (R9); Guru besar mengatakan bahawa perbincangan secara berkumpulan dalam bentuk mengemukakan pandangan, pendapat serta berwacana membantu mereka memahami pembangunan lestari di sekolah: pengembangan idea berlaku (R1); saya banyak belajar daripada rakan-rakan melalui pembentangan dapat mengaplikasikannya di sekolah banyak pengalaman saya perolehi (R8); amat berkesan dan berlaku di sekolah masing-masing (R11); ahli kumpulan sangat memahami dan ada kerjasama, sabar dan bertanggungjawab (R10); lebih yakin kerana dapat mencari bahan-bahan pendapat kawan-kawan (R9). Ini berlaku setelah mereka membaca dan mencari sumber tambahan (R19). Analisis refleksi selepas mengikuti kursus: Walau pun pada awalnya mereka menghadapi kesukaran mengikuti kursus ini, komen-komen mengenai kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL) selepas guru besar mengikutinya menyebut mengenai pentingnya menyiapkan tugasan, menghadiri kuliah, pembentangan kumpulan, dan pembacaan sendiri kerana semuanya amat membantu untuk menambah pengetahuan (R11); mula faham apa itu pembangunan lestari (R10); agak memuaskan kerana tugasan yang saya buat adalah tentang sekolah sendiri dapat membuat penambahbaikan (R9); perbincangan demi perbincangan dibuat dan rujukan demi rujuka n dilakukan (R17); setelah dibentangkan dan diberi output oleh pensyarah dan juga rakan rakan (R16); ulasan dan komen menambah lagi kefahaman saya (R7); advice and guidance from my friends (R13); pembangunan lestari

dipengaruhi oleh sosio-ekonomi pelajar, taraf pendidikan dan budaya yang boleh disampaikan melalui kurikulum dan ko-kurikulum (R15) telah membantu pembelajaran mereka. Kesedaran, pengetahuan dan nilai yang timbul daripada mengikuti kursus ini ialah meningkatkan usaha melestarikan alam sekitar di sekolah menerapkan idea lestari di kalangan pelajar (R19); menyuburkan amalan supaya lebih berdikari dan bertanggungjawab (R11); lebih memahami pentingnya pembangunan lestari terutama sekali dalam aspek penge tahuan dan nilai (R18); tugasan individu dan kumpulan kefahaman tentang pendidikan untuk pembangunan lestari bertambah (R10); ... menambahkan pengetahuan dan kesedaran serta nilai amalan hidup lestari (R16); boleh memberi idea-idea berkaitan (R14); saya begitu terkilan kerana tidak pernah memikirkan betapa pentingnya pembangunan lestari di sekolah (R8); I gain a lot of knowledge about keeping the school environment clean, green and conducive and the way to sustain it through education and everyday practice in school. It even give me a clearer picture about how to sustain the school environment and culture through integration of subjects taught in the class and activities carried out during co-curriculum (R13). Kesemua pengalaman pembelajaran mengikuti kursus PUPL menjurus kepada perancangan untuk dilaksanakan di sekolah. Antara komen-komen tersebut ialah ia perlu dilaksanakan di sekolah kerana pembangunan lestari sebenarnya merupakan satu cara untuk memajukan sekolah dengan lebih cemerlang dan mantap (R20); berusaha belajar mengubah persepsi keceriaan kepada persepsi yang lebih luas (R15); saya bersemangat untuk melaksanakannya (R8); Malah lahirnya kesedaran, pengetahuan dan nilai daripada mengikuti kursus ini telah menyebabkan mereka mencadangkan kursus wajib untuk guru-guru yang berada di sekolah kerana mereka masih kekurangan pengetahuan berkaitan konsep pembangunan lestari di sekolah (R14); sekiranya dilaksanakan di sekolah pelajar cemerlang, gemilang, terbilang cintakan alam sekitar cintakan Tuhan cemerlang dalam akademik (R8). Perbincangan Oleh kerana Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (PUPL) merupakan satu inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ia menganjurkan tahun-tahun 2005 hingga 2014 sebagai Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari untuk dilaksanakan, maka Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Institut Aminudin Baki (IAB) telah mempelopori PUPL sebagai satu kursus dalam Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB). Pengkaji dalam beberapa kali mengendalikan kursus PUPL kepada guru-guru besar mendapati bahawa mereka mengalami kesukaran memahami istilah kelestarian dan pembangunan lestari. In tidak hairanlah kerana istilah kelestarian telah pun digunakan dalam sains alam sekitar dan ia merujuk kepada jangka masa panjang, tahan lama, sistematik atau pun kekal (Filho, 2000). Begitu juga dengan pembangunan lestari, istilah ini digunakan untuk merujuk kepada menggunakan sumber-sumber asli secara sistematik agar sumber-sumber asli juga dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Dalam konteks kursus PUPL, pembangunan lestari meliputi pelestarian pembangunan sosial (contoh kesaksamaan dalam pendidikan dikalangan murid-

muird), pelestarian pembangunan alam sekitar (contoh kebersihan, pengunaan air), pelestarian pembangunan budaya (contoh amalan baik masyarakat setempat), dan pelestarian pembangunan ekonomi (contoh penjanaan pendapatan untuk membolehkan murid dapat belajar selesa). Timbullah pula dalam pemikiran guru-guru besar bahawa sebelum mereka mengikuti kursus ini, PUPL ini mereka rujuk kepada alam sekitar, dan aktivitiaktiviti yang berasaskan keceriaan seperti SERASI, 3K dan lain-lain. Pengkaji berpendapat PUPL tidak sama dengan pendidikan alam sekitar, walau pun sesetengahnya mengatakan sebaliknya (misalnya, Sterling, 2010). Dalam konteks PKPGB, keperluan kursus ini ialah untuk membolehkan guru-guru besar menjadi pemangkin menggalakkan pembangunan lestari melalui kepimpinan, kurikulum, ko-kurikulum dan penghijauan berdasarkan kepada sosio-ekonomi, budaya, dan suasana persekitaran setempat. Oleh kerana terdapat perbincangan rakan sekursus di kalangan guru-guru besar bersama pengkaji dengan penglibatan aktif mereka menyuarakan pandangan, pendapat serta berwacana berdasarkan pengalaman yang dilalui, maka berlakunya permerolehan pengetahuan, kefahaman serta kesedaran mereka terhadap pendidikan untuk pembangunan lestari. Pelbagai pandangan atau perspektif mereka mengenai pembelajaran kursus PUPL ini menandakan pendekatan ini merupakan suatu transformasi pembelajaran yang membolehkan mereka melaksanakannya di sekolah masing-masing. Selaras dengan motto kerajaan, maka motto bersesuaian dengan kursus PUPL ini ialah murid didahulukan dan pembangunan lestari diutamakan. Penghargaan Ucapan terima kasih kepada pelajar-pelajar salah satu kohot yang mengikuti Kursus Pendidikan untuk Pembangunan Lestari kerana penglibatan aktif mereka sepanjang berlangsungnya intervensi bersama Pengkaji, serta Urusetia yang juga pelajar Kohot 7 sessi 2011/2012 yang memberi ruang kepada Pengkaji membentangkan kertas kerja dalam Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Lestari yang diadakan di Pusat Latihan Biro Tatanegara, Kundasang Ranau pada 30 Oktober - 1 November 2011. Rujukan
Filho, W. L. (2000). Dealing with misconceptions on the concept of sustainability. International Journal of Sustainability in Higher Education, 1 (1), 9-19. Hart, P. (2007). Environmental education. In S.K. Abell & N.G. Lederman (Eds.), Handbook of research on science education (pp. 689-726). Hillsdale, NJ: Lawrence Erlbraum. Janesick, V.J. (2003). The choreography of qualitative research design: Minutes, improvisations, and crystallization. In N.K. Denzin, & Y.S. Lincoln (Eds.), Strategies of qualitative inquiry (pp. 4679). Thousands Oaks, London: Sage. Kennedy, M. (1989). Reflection and the problem of professional standards. Colloquy, 2(2), 1-6 Lundegrd, I. & Wickman, Per-Olof (2007). Conflicts of interest: an indispensable element of education for sustainable development. Environmental Education Research, 13(1), 115. Mezirow, J. (2000). Learning as Transformation: Critical Perspectives on a Theory in Progress. San Francisco: Jossey-Bass. Mohd Zaki Ishak, Mashitoh Yaacob, & Hamzah Md. Omar. (2009). Conceptions of environmental education in Malaysia. In N. Taylor (Eds.), M. Littledyke, C. Eames & R.K. Coll (Eds.), Environmental education in context: An international perspective of environmental education (pp.263-275). Dordrecht, Netherlands: Sense Publishers.

Musally, A., Yee Ling, J.L., John, B., Ahmad, A., Joeman, B., Kobayashi, T., & Tagi, K. (2005). Learning through friends of the environment for secondary: Mathematics, Science and English . Kota Kinabalu: Institute for Tropical Biology and Conservation, Universiti Malaysia Sabah. Periasamy, A. (2004). Contribution of teachers towards environmental education in Sabah: A case study. In M. Maryati, K. Takahisa & S.M. Jensen (Eds.), Proceedings of the Bornean Biodiversity and Ecosystems Conservation (BBEC) international conference biodiversity conservation: Forward together (pp. 142-148). Kota Kinabalu: Institute for Tropical Biology and Conservation, Universiti Malaysia Sabah. Sterling, Stephen (2011). Transformative learning and sustainability: sketching the conceptual ground. Learning and Teaching in Higher Education, vol 5. Retrieved October 13, 2011 at http://resources.glos.ac.uk/tli/lets/journals/lathe/index.cfm Uljens, M. (1997). School didactics and learning. A school didactic model framing an analysis of pedagogical implications of learning theory. Hove, East Sussex: Psychology Press. UNESCO. (2009a). UNESCO conference on Education for Sustainable Development, 31st March 02nd April 2009, Bonn Germany. UNESCO. (2009b). Review of contexts and structures for education for sustainable development: United Nations Decade of Education for Sustainable Development (DESD, 2005-2014). Paris: UNESCO. Valli, L. (1992). Reflective teacher education. Albany: SUNY Press.

You might also like