You are on page 1of 2

LAPORAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN Pada 16 Mei 2013 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Tanah Liat telah mengadakan gotong-royong

membersih dan mengecat surau sekolah, membersih dan mengemas bilik Kemahiran Hidup serta mengutip sampah disekitar kawasan sekolah. Aktiviti ini adalah di bawah program aktiviti kemasyarakatan untuk Program Bina Insan Guru fasa 2 di bawah kendalian En. Mohamad Hafizi Bin Zainul Abidin selaku penyelaras program dan dibantu oleh Pn. Norshamiza Bt Ismail. Seramai 30 orang murid telah terlibat untuk menjayakan program ini. Aktiviti ini berlangsung selama 3 jam. Program ini dimulakan dengan mengumpulkan semua murid di Bilik Kemahiran Hidup untuk diambil kedatangan mereka dan sesi penyampaian taklimat ringkas oleh penyelaras berkaitan aktiviti yang perlu dijalankan. Setelah selesai mendapat pesanan dan arahan, kesemua murid telah dibahagikan kepada dua kumpulan besar iaitu kumpulan aktiviti di surau sekolah dan kumpulan aktiviti di bilik KH. Kumpulan aktiviti di surau terdiri daripada murid-murid lelaki manakala di bilik KH terdiri daripada murid-murid perempuan. Murid-murid ini dipisahkan bagi menjalankan 2 aktiviti gotong-royong secara serentak. Lebih kurang jam 2.45 petang aktiviti gotong-royong telah dimulakan. Antara aktiviti gotong-royong yang dilakukan oleh murid-murid semasa di surau ialah menanggalkan semua langsir dan membersihkan kekotoran pada cermin tingkap, membuang sawang pada dinding dan siling surau, menggulungkan karpet, membersihkan habuk pada kipas dan menyapu sampah. Murid-murid juga secara berkumpulan dilatih untuk mengecat dinding surau sekolah dengan bantuan dan tunjuk ajar oleh guru. Komitmen dan kesabaran yang ditunjukkan oleh guru dan murid semasa kerja mengecat sangatlah dipuji. Manakala bagi murid perempuan pula, mereka telah membersihkan semua cermin tingkap dan mencuci segala alatan tangan yang terdapat di dalam bengkel. Setelelah selesai proses membersihkan sekeliling Bilik KH aktiviti mengemaskini maklumat dan penyimpanan peralatan secara tersusun telah dilakukan. Murid-murid terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dijalankan. Gotong-royong bagi kedua-dua aktiviti ini diselesaikan pada jam 4.30 petang.

Setelah itu, murid-murid disediakan dengan jamuan bihun goreng dan air mineral semasa waktu rehat. Kesemua murid berkumpul di pondok bacaan bersebelahan surau untuk mengambil makanan. Mereka sangat gembira dengan layanan yang diberikan dan menikmati makanan dengan hati yang gembira. Guru-guru juga turut serta menjamu selera dan mengawasi tingkah laku murid-murid. Riak wajah keletihan jelas terpancar di kalangan guru dan murid. Namun begitu semangat dan keikhlasan untuk memberikan khidmat bakti kepada sekolah telah mengatasi segalanya. Program gotong-royong diteruskan lagi dengan aktiviti yang terakhir iaitu mengutip sampah di sekitar kawasan sekolah. Aktiviti yang dilakukan ini sangat sesuai diterapkan kepada murid dalam memberi kesedaran kepada mereka tentang aspek kebersihan. Murid-murid telah dibekalkan dengan plastik sampah dalam kumpulan masing-masing dan bergerak ke seluruh kawasan sekolah untuk mengutip semua sampahsarap yang bertaburan. Masa 30 minit yang diperuntukkan digunakan sepenuhnya. Semangat ikhlas membantu dan mementingkan kebersihan menjadi aspirasi kepada murid-murid ini membantu pihak sekolah mengatasi masalah sampah sarap yang bertaburan di merata-rata tempat. Apa yang jelas setiap kumpulan telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Selesai melakukan gotong-royong mengutip sampah, murid-murid diarahkan untuk berkumpul di hadapan surau. Majlis penutup dan sesi rumusan berkaitan program ini telah dijalankan. Ucapan terima kasih dan penghargaan telah disampaikan oleh penyelaras program kepada semua guru dan murid yang terlibat. Program ini ditamatkan pada jam 5.30 petang.

Disediakan Oleh : ___________________ (MOHAMAD HAFIZI BIN ZAINUL ABIDIN)

You might also like