You are on page 1of 19

PENDAHULUAN

Gasing merupakan sejenis permainan tradisional yang begitu popular pada suatu ketika dahulu. Kepenatan membanting tulang dalam mencari rezeki menyebabkan orang Melayu dahulu mencari alternatif untuk bergembira tanpa mengeluarkan belanja yang besar dan menggunakan bahan terbuang. Ini telah menimbulkan idea kepada masyarakat Melayu untuk mencipta permainan gasing yang diperbuat daripada saki-baki kayu yang terbuang. Pelbagai faedah boleh didapati daripada permainan gasing ini. Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan bahan terbuang, permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat Melayu, dan ini terbukti dengan kemunculan pelbagai bentuk gasing serta teknik permainan. Permainan gasing juga dapat menyerikan lagi rumah tradisional Melayu kerana gelanggang permainan gasing kebiasaannya dibina di halaman rumah dan di bawah pohon yang rendang yang meredupkan gelanggang. Permainan gasing bagi orang Melayu juga mengukur tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi. Kemahiran dan kebolehan ini diaplikasi secara sistematik dalam gelanggang gasing. Kepantasan dan ketepatan amat jelas dalam permainan gasing dan ia juga memupuk semangat kekitaan yang tinggi. Permainan gasing harus terus dimainkan oleh generasi muda sekarang sebagai langkah mengekalkan daya kreatif bangsa Melayu mencipta permainan berasaskan serpihan kayu. Jika usaha gigih diteruskan pasti suatu ketika nanti gasing akan menjadi permainan yang digemari. Pemulihan permainan ini diharapkan dapat memaparkan kepada umum tentang warisan bangsa Melayu yang telah dilupakan agar terus berkekalan.

ASAL-USUL
Unsur seni dan permainan adalah keperluan asas kehidupan manusia di dunia dan tidak mungkin dapat dipisahkan daripada kehidupan masyarat. Masyarakat Melayu tradisional juga tidak ketinggalan dalam soal ini. Dalam menjalankan aktiviti kehidupan sara diri mereka telah mengisi masa lapang dengan pelbagai kegiatan yang dapat menghiburkan hati. Antara kegiatan yang dilakukan ialah bermain gasing. Gasing bukan sahaja menjadi permainan orang dewasa malah turut dimainkan oleh golongan remaja dan kanak-kanak. Mereka bermain gasing untuk beradu kemahiran, kecekapan, kepantasan, dan kerjasama berpasukan. Disamping itu, mereka juga dapat mengeratkan hubungan sesama mereka dan berpeluang berbincang tentang pelbagai tentang pelbagai perkara. Terdapat pelbagai cerita yang timbul berkaitan asal-usul permainan gasing dan inilah yang menyebabkan corak permainan gasing ini dengan buah berembang. Buah berembang mudah diperoleh di tepi-tepi pantai berbentuk bulat, agak leper dan licin. Ia pula mudah dipusing dengan tangan. Buah yang lama dan ligat pusingannya dikira menang. Bagi ahli silat, satu daripada latihan menguatkan tangan ialah memusingkan buah berembang. Lama-kelamaan timbul ilham meniru bentuk buah ini dan diperbuat daripada kayu. Pemusing akan cuba memusingkannya dengan tangan seligat yang mungkin. Ketika ligat ia disebut gah, yang bermakna tegak dan kuat semasa berpusing. Daripada istilah inilah dikatakan bermulanya permainan gasing. Menurut seorang tua di Kulim, Kedah, permainan gasing berasal daripada permainan laga telur yang dimainkan oleh kanak -kanak. Menurutnya, kanak-kanak ketika itu begitu asyik memusingkan dan melagakan telur. Jadi, timbul idea mengukir kayu dalam bentuk telur dan dipasangkan paksi. Seutas tali digunakan untuk memusingkan kerana memusingkan dengan tangan kurang ligat dan pusingan tidak tahan lama. Seorang pemain gasing veteran, yang tinggal di kawasan pinggir Sungai Pahang berkata bahawa permainan gasing ini bermula dengan penciptaan alat memburu binatang yang berbentuk leper dan bulat. Apabila dilemparkan alat ini berpusing ligat dan melayang sebelum mengenai binatang buruan. Mereka kemudian menggunakan tali untuk mendapatkan pukulan yang lebih kuat. Dari sinilah mereka menggunakan sebagai satu cara untuk menguji kecekapan seseorang itu mencampakannya dan mengenai sasaran. Alat tersebuat kemudian direka bentuk sedemikian rupa hinggalah seperti bentuk gasing yang terdapat pada hari ini.

PERMAINAN GASING MASA KINI


Kini permainan gasing tidak begitu mendapat tempat seperti permainan lain yang diperkenalkan oleh penjajah. Pemain dan peminat permainan gasing mula memikirkan cara untuk menyerbarkan permainan ini secara meluas dan meyeluruh. Peristiwa ini bermula pada 16 April 1971 dalam Kongres Kebudayaan Malaysia Pertama yang diadakan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah tentang pertukangan wau, gasing dan patung wayang kulit yang dibentangkan oleh Tan Sri Datuk Haji Mubin Sheppard. Terlalu sedikit hal tentang gasing sebenarnya merupakan permainan yang terkenal di kalangan orang Melayu sejak zaman dahulu. Ekoran kongres itu, beberapa orang peminat dan penyokong permainan ini dengan kerjasama Kemnterian Kebudayaan Belia dan Sukan (kini Kementerian Belia dan Sukan) telah berusaha menganjurkan Seminar UndangUndang Permainan Gasing yang bertempat di Sekolah Dato Seri Amar Diraja, Muar, Johor. Tujuan seminar ini ialah untuk menyatu dan mencari persamaan terhadap beberapa masalah permainan gasing. Pada peringkat awal perbincangan ini beberapa negeri telah membantah dan tidak menerima resolusi ini kerana mereka tidak mahu menukar bentuk dan peraturan gasing yang dihasilkan. Sebagai langkah awal dalam melaksanakan amalan permainan bersama, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 23 September 1972 iaitu kirakira lima bulan selepas seminar Penyatuan Undang-Undang Gasing dibentuk di Muar. Mesyuarat pertama yang diadakan di Rumah Persinggahan Melaka akhirnya bersetuju untuk mencuba peraturan yang telah digubal. Langkah ini telah dilaksanakan pada 5 Ogos 1973 dalam pertandingan gasing di negeri Melaka yang disertai oleh tiga buah negeri. Kemudian dua mesyuarat penyelaras lagi telah dibentuk, iaitu di Wisma Belia, Kuala Lumpur pada 10 Februari 1974 dan di Bangunan Majlis Perbandaran Johor Bharu, Johor pada 10 Julai 1974. Cadangan menubuhkan Lembaga Pengadil Gasing telah dibuat dalam mesyuarat penyelaras kali ketiga pada 20 Mei 1975, di Wisma Belia. Majlis penubuhan Lembaga Pengadil Gasing telah berlangsung di Pejabat Daerah Klang pada 20 Jun 1975. Bersamaan penubuhan ini juga telah diadakan perbincangan tentang penubuhan Persekutuan Gasing Malaysia. Pada 5 Disember 1977, Persekutuan Gasing Malaysia telah ditubuhkan dan didaftar di Melaka setelah melalui beberapa perbincangan.

MEMBUAT GASING
Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing. Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik. Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.

JENIS-JENIS GASING
Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.

Gasing Uri

Ciri-ciri: Bentuk : rendah dan agak leper Berat : 6 kg Lilitan : 60 cm Tinggi : 8 cm Gasing ini amat terkenal di negeri Kelantan. Badan asasnya kecil sahaja dililiti dengan simpai. Gasing ini disimpai dengan menggunakan timah, besi atau plumbum. Jika simpai ini diperbuat daripada timah, ia digunakan untuk memusing dan jika simpainya besi ia digunakan untuk memangkah. Gasing ini kecil tetapi berat. Dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang pokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat daripada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras. Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam.

Gasing Pangkah

Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian. Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing. Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.

Gasing Leper Kelantan

Ciri-ciri: Bentuk: Rendah dan juga leper Berat: 8 kg Lilitan: 48 cm Tinggi: 6 cm Jenis ini hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional. Gasing ini berat dan itulah sebabnya ia mampu berpusing ligat dan lama. Simpaian gasing ini meliputi 60% berat asal gasing ini. Sehingga kini ia masih dimainkan dan banyak terdapat dalam pasaran, tetapi harganya terlalu mahal. Gasing Kuno

Ciri-ciri: Bentuk : sederhana dan berembang Berat : 0.6 kg Lilitan : 30 cm Tinggi : 8 cm Gasing ini juga terdapat di Kelantan selain Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor dan Johor. Gasing ini merupakan reka bentuk lama yang diperbaiki daripada bentuk berembang. Biasanya ia hanya di gunakan untuk memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, meranti dan keranji.

Gasing Baba

Ciri-ciri: Bentuk : tinggi dan seperti telur Berat : 0.6 kg Lilitan : 38 cm Tinggi : 20 cm Gasing yang beridentiti wang seringgit ini juga merupakan gasing yang biasa digunakan oleh pemain Baba. Gasing ini banyak terdapat di Kelantan, Pahang, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor. Pada asasnya gasing ini berbentuk telur.

Gasing Tanjung

Ciri-ciri: Bentuk : tinggi dan Berembang. Berat : 0.6 kg Lilian : 30 cm Tinggi : 10cm

Gasing Tanjung sama fungsinya dengan gasing toyol. Gasing jenis ini dimainkan oleh pemain gasing dari Muar, Johor. Ia fungsinya sebagai gasing pengacau dan untuk memangkah. Di negeri Selangor, gasing ini dinamakan gasing labu lemak. Gasing ini diperbuat daripada kayu keranji, kempas, cengal dan merbau.

Gasing Jantung

Ciri-ciri: Bentuk: jantung Berat : 0.25 kg Lilitan : 20 cm Tinggi : 12 cm Gasing jenis ini biasanya terdapat di negeri Kelantan, Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Ada juga pemain yang menamakannya sebagai gasing lundu. Jenis kayu yang digunakan untuk membuat gasing ini yang akan membezakan negeri asal gasing ini. Umpamanya, di Kelantan gasing ini menggunakan kayu merbau, manakala pemain negeri lain menggunakan kayu seperti kayu melawis, mengaris dan sepetir.

CARA BERMAIN
Kaedah bermain gasing dahulu dan sekarang tidak banyak perbezaannya. Sebelum tahun 1970, permainan gasing di Malaysia tidak teratur dan berlainan antara satu daerah dengan daerah yang lain. Pelbagai bentuk, saiz dan kegunaan gasing membezakan sifat gasing dan membentuk sistem permainan yang turut berbeza. Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing, memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing. Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing. Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan. Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.

MELILIT TALI Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari kelingking. Kedua-dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri. Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan lilitan tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri. Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain. Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter(cm) untuk memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi memudahkan tugas mengangkat atau menegak uri.

MELILIT GASING Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu kemudian barulah dililit di sekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh pemain gasing tradisional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir, mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilkan cengkaman yang kuat biasanya pemain gasing akan menyapu kanji di bahagian bahu gasing. Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas, padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang.

MEMUSING GASING

Terdapat berbagai-bagai gaya dalam memusing gasing. Memusing mengikut cara yang betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap. PUSING SORONG TARIK

Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan. Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun, gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini agak rendah dan dekat.

PUSING SENTAP

Bagi pusingan sentap, gaya pusingan ini menghasilkan pusingan yang tegak, ligat dan kuat. Pemain memegang gasing dengan kedudukan tegak, iaitu kepala gasing menghala ke atas dan diangkat tinggi. Kedudukan tangan kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Tangan dihayunkan ke arah sasaran dengan kedudukan gasing tegak sehinggalah tiba ke hadapan, sebelum dilepaskan. Setelah gasing terpacak ke bumi, sedikit sentapan dikenakan dan pastikan ia berada dalam keadaan tegak. Jika tidak gasing akan meliuk dan pusingan akan menjadi kurang ligat. Gasing diangkat paras bahu sebelum dilepaskan.

MEMANGKAH GASING

Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan, perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang dan pangkah tebang.

PANGKAH TOTOK

Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian gasing mestilah di aras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai dengan jenis pangkahan ini.

PANGKAH HENTAK

Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah. Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran, kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan mematikan dan merosakkan gasing lawan.

PANGKAH LAYANG

Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.

PANGKAH TEBANG

Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat.

MENGANGKAT GASING Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi. Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan mengurangkan keligatan.

http://malaysiana.pnm.my/03/0307gasing.htm , Gasing, perpustakaan negara malaysia 2000 http://zamhi34.blogspot.com/2007/03/sejarah.html Zamran b. Haji Idderis,2007, permainan tradisional melayu http://tradisional-bib.blogspot.com/ Bib,2007, permainan tradisional

You might also like