You are on page 1of 6

Ciri-ciri Pengguna Bijak!

Sediakan senarai membeli-belah


Pernahkah anda berbelanja lebih daripada yang diperlukan? Untuk memastikan perkara sebegini tidak berlaku, sediakan senarai membeli-belah anda. Ini akan mengurangkan pembelian barangan yang tidak mustahak. Ia akan membantu menjimatkan wang anda. Mudah, kan?

Bandingkan harga.

Pernahkah anda membeli sesuatu yang anda idamkan, tetapi mendapat tahu yang barang itu dijual pada harga yang lebih rendah di kedai yang lain selepas melakukan pembelian anda? Anggap aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti tawar-menawar. Bandingkan harga barangan dari setiap kedai sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Pilihlah produk berkualiti

Kualiti atau harga murah? Pada kebiasaannya, kos harga produk berkualiti lebih mahal. Ini bergantung kepada produk tersebut. Sekiranya anda membeli beg berjenama tiruan, ini bermakna anda telah membeli produk yang tidak berkualiti.

Pilihlah harga murah

Belilah dari peniaga yang menawarkan harga yang lebih rendah untuk barangan yang anda ingin beli. Segolongan peniaga membeli barangan mereka secara borong, untuk menawarkan harga yang lebih rendah kepada pengguna.

Baca label - pastikan tarikh luput

Anda harus membaca label dan memastikan tarikh luput barangan sebelum membelinya. Ini untuk memastikan anda tidak membeli barangan yang tidak harus digunakan lagi. Barangan seperti susu dan roti mempunyai jangka hayat simpanan yang pendek, jadi pastikan anda membaca label pemakanan untuk mengelakkan pembaziran.

Elakkan dari membeli barangan cetak rompak!

Anda mungkin telah mendengar pesanan ini berulang kali. Membeli barangan cetak rompak merupakan satu kesalahan di sisi undangundang. Membeli CD audio cetak rompak adalah sama seperti mencuri dan merompak artis kesayangan anda! Anda boleh memainkan peranan besar dalam membantu membanteras kegiatan cetak rompak. Tanpa permintaan, tiada jualan.

Berhati-hati dengan taktik jualan yang tidak beretika

Peniaga yang tidak beretika seringkali mencari jalan dan cara-cara baru untuk mendapatkan wang anda. Salah satu taktik yang kerap digunakan ialah taktik 'Gores dan Menang'. Pastikan aktiviti yang dijalankan itu sah dan boleh dipercayai. Taktik yang digunakan oleh sesetengah peniaga yang tidak beretika itu mudah saja. Anda akan disuruh untuk menggores kad dan kemungkinan besar anda akan memenangi hadiah utama! Untuk mendapatkan hadiah utama tersebut, anda perlu membayar sejumlah wang ataupun disuruh untuk membeli barangan yang tidak berkualiti.
Gunakan kad kredit dengan betul

Kad kredit memang bermanfaat, tetapi ini bergantung kepada cara anda menggunakannya. Walaupun ianya lebih selamat kerana anda tidak perlu membawa terlalu banyak wang tunai, berbelanja secara berlebihan dengan kad kredit boleh mendatangkan masalah besar! Berbelanja dengan kad kredit memang mudah, tetapi membayar balik jumlah yang digunakan agak sukar. Pastikan yang anda memang perlu menggunakan kad kredit sebelum membeli sesuatu. Seboleh-bolehnya, bayarlah secara tunai.

Berkongsi kereta ke tempat kerja!

Anda boleh menjadi Pengguna Bijak dengan berkongsi kereta ke tempat kerja. Dengan berbuat demikian anda boleh menjimatkan perbelanjaan minyak petrol kenderaan anda. Semasa musim perayaan ramai yang ingin balik ke kampung masing-masing. Memang munasabah dan mudah sekiranya anda

menggunakan pengangkutan awam! Pastikan anda menempah tiket bas ataupun keretapi seawal mungkin sebelum kehabisan.

Usaha-usaha untuk melahirkan pengguna yang bijak


Ketika negara kita melangkah ke arah pembangunan fizikal yang pesat, ilmu kepenggunaan dalam kalangan rakyat Malaysia masih berada di takuk yang lama dan tidak mengalami anjakan paradigma. Walhasilnya, pengguna kita sering menjadi mangsa kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab lagi licik. Lebih-lebih lagi, segelintir peniaga kita sanggup menangguk di air keruh terhadap pengguna kita ketika negara kita dilanda tsunami kewangan. Apabila peniaga kita meraih keuntungan yang bagai tikus jatuh ke gudang beras, pengguna yang tidak berdosa turut menjadi mangsa dalam gelombang inflasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia perlu dilengkapi dengan ilmu kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak. Untuk melahirkan pengguna yang bijak, media massa memainkan peranan yang signifikan. Sama ada pihak media elektronik seperti televisyen atau pihak media cetak terutama akhbar perlu menerapkan pengetahuan atau hak-hak pengguna kepada khalayak ramai. Hal ini demikian kerana media massa mempunyai pengaruh yang besar kepada masyarakat kita. Dengan bantuan media, pengguna akan mengetahui cara-cara yang berkesan untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh peniaga. Sehubungan dengan itu, pihak media harus menyiarkan iklan, rencana, wawancara, forum dan ceramah tentang hak pengguna. Lantaran, suri ramah tangga yang merupakan golongan pengguna yang terbesar turut mendapat pengetahuan tentang ilmu kepenggunaan dan tidak seperti katak di bawah tempurung. Badan-badan NGO perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk mengadakan Kempen Pengguna Yang Bijak. Dalam konteks ini, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) perlu memikul amanah untuk mengadakan kempen tersebut dari semasa ke semasa supaya orang ramai benarbenar mengetahui hak mereka sebagai pengguna. Aktiviti tentang ceramah, pameran, forum, persidangan, pertandingan koir, peraduan melukis poster dan menulis esei tentang hak pengguna harus diadakan bersempena dengan kempen tersebut. Khalayak ramai akan mengetahui cara untuk menuntut pampasan ketika membeli barangan atau mendapat perkhidmatan yang tidak bermutu. Orang ramai juga diberitahu tentang cara untuk membuat aduan ketika menghadapi penyelewengan peniaga seperti menaikkan harga dengan sesuka hati, menjual barangan yang telah lapuk tarik, menjual barangan yang tidak selamat atau mengancam kesihatan mereka. Keyakinan perlu diberikan kepada pengguna supaya berani menuntut hak mereka, dengan prinsip berani kerana benar. Selain itu, kurikulum dan kokurikulum tentang ilmu kepenggunaan di sekolah adalah pendekatan yang ampuh untuk melahirkan pengguna muda yang bijak. Kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantas, ilmu kepenggunaan perlu disuntik kepada sanubari pelajar kita ketika masih di bangku sekolah. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup, pelajar telah disalurkan pengetahuan tentang hak-hak pengguna. Di samping itu, semua sekolah juga digalakkan supaya menubuhkan Kelab Pengguna kepada remaja yang berusia setahun jagung dan berdarah setampuk pinang. Pelbagai aktiviti boleh dianjurkan seperti perbahasan, pidato, perbicaraan mahkamah pengguna dan sebagainya. Tindakan ini amat penting supaya anak muda kita akan menjadi jauhari yang mengenal manikam, iaitu menjadi pengguna yang bijak. Gara-garanya ketika melangkah ke kedewasaan, golongan tersebut dapat menggunakan kuasa pengguna daripada terus ditindas oleh pengguna yang tamak dan tidak beramanah.

Walaupun hak pengguna telah dimaktubkan dalam perundangan negara kita, tetapi pengguna yang kedangkalan pengetahuan sering menjadi mangsa dalam dunia perniagaan yang hanya mengutamakan riba dan terus mengabaikan etika mereka. Rentetan daripada itu, pengguna kita harus bijak berbelanja tanpa diheret oleh pemiutang akibat hutang keliling pinggang. Pengguna harus sentiasa membanding harga di premis yang berbeza sebelum membeli belah. Pengguna harus membeli barangan dengan keperluan dan bukan berdasarkan nafsu. Ketika berbelanja, pengguna dinasihati supaya menyediakan belanjawan dan senarai barangan yang perlu dibeli. Pendekatan ini sungguh mustahak agar kita tidak berbelanja secara berlebihan terutamanya menghadapi jualan megah, jualan murah dan promosi yang istimewa. Ingatlah peribahasa, mulut disuap pisang, buntut dikaitkan onak. Jangan kita mudah terpengaruh oleh pujukan jurujual yang berbahasa manis. Eloklah kita meminimumkan penggunaan kad kredit supaya tidak membeli barangan mewah yang tidak berguna. Natijahnya pengguna yang bijak perlu sentiasa mengukur baju pada badan sendiri tanpa berbelanja secara berlebihan sehingga berhutang kepada ceti haram atau ceti halal, iaitu syarikat kad kredit. Bak kata peribahasa, alah membeli menang memakai harus dihayati oleh umat sejagat. Setiap pengguna harus mementingkan kualiti barangan yang dibeli. Misalnya, ketika membeli sesuatu benda, kita perlu memperoleh maklumat tentang produk itu dan mengkaji kandungannya , tarikh lupuk serta fungsi penggunaan. Barangan yang disahihkan oleh SIRIM atau ISO (Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa) sepatutnya menjadi pilihan kita. Pengguna yang bijak harus mengutamakan faktor keselamatan, kesihatan dan mesra alam terhadap sesuatu produk. Tamsilnya kita tidak akan membeli sesuatu produk yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar seperti pakaian kulit binatang liar, alat penghawa dingin yang mengeluarkan CFC dan sebagainya kerana kita juga pengguna alam sekitar. Dengan kata lain pengguna yang bijak perlu menitikberatkan kualiti barangan yang tahan lama, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar. Secara tuntasnya, pengguna yang bijak perlu mengetahui hak asasi pengguna dan ilmu kepenggunaan. Pengguna bertanggungjawab untuk membela nasib sendiri. Pengguna harus berani bersuara dan bertindak ketika dianiayai oleh peniaga yang berniat jahat. Kempen Konsumen Kebangsaan, yang dianjurkan oleh FOMCA, dengan tema, Perubahan Bermula Dengan Saya harus dihayati oleh setiap pengguna.

Cara-cara untuk menjadi seorang pengguna yang bijak.


Masalah kenaikan harga barangan sememangnya begitu ketara pada masa kini terutama di kawasan urbanisasi. Sebagai pengguna kita perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak untuk berupaya mengharungi kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai kuasa untuk menentukan barangan itu perlu atau sebaliknya dalam menjalani kehidupan harian itu. Pengguna mestilah berjimat cermat untuk menjadi pengguna yang bijak. Kita hanya perlu membeli barangan yang benar-benar perlu dan tidak membazir. Pada masa yang sama barangan yang boleh digunakan semula janganlah dibuang dengan begitu sahaja. Jelaslah, amalan berjimat cermat juga merupakan satu amalan yang mulia yang harus dimiliki oleh semua pengguna. Selain itu, pengguna boleh mengamalkan amalan menabung sejak muda. Sikap menabung ini boleh menjadi satu kaedah simpanan pada hari depan yang turut boleh dimanfaatkan oleh anak-anak terutama ketika mereka ingin melanjutkan pelajaran mereka kelak. Menabung memberikan satu jaminan kehidupan yang lebih baik kepada pengguna kerana kehidupan ini suka diduga masa depannya. Malah, pengguna yang bijak tidak akan berbelanja di kawasan-kawasan mewah. Biasanya barangan yang dijual di kawasan mewah lebih mahal harganya bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa kedai yang lebih tinggi menyebabkan kos barang menjadi mahal. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan tertentu. Berkaitan dengan tidak membeli di kawasan mewah ialah pengguna tidak harus mengutamakan jenama sahaja. Sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa pengguna berbelanja besar. Konsep hidup sederhana dan tidak mementingkan aspek kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih selesa dan tenang tanpa sebarang masalah kewangan pula. Kesimpulannya, masalah kenaikan harga barang ini boleh diatasi jika pengguna menggunakan akal fikiran ketika berbelanja. Semua perbelanjaan yang dirancang akan mampu memberikan lebih banyak manfaat kepada pengguna. Sikap penggunalah yang menentukan kejayaan mereka dalam mengharungi kemelut kenaikan harga barang.

You might also like