You are on page 1of 9

Ayat (Sintaks) Sintaksis kajian berkenaan binaan/struktur ayat.

Definisi Ayat ialah struktur (susunan perkataan) yang mengandungi topik cerita (subjek) dan cerita mengenai topik tersebut (predikat), serta mempunyai makna yang lengkap dan logik.

Unsur/Komponen Ayat Sesuatu ayat mesti mengandungi subjek dan predikat. Dalam struktur dasarnya, ayat terbentuk daripada susunan subjek diikuti oleh predikat. Ayat subjek + predikat

Contoh: Siti + membaca buku di dalam biliknya. Siti - subjek. Membaca buku di dalam biliknya - predikat.

Selain subjek dan predikat, sesuatu ayat mungkin juga mengandungi objek, pelengkap dan keterangan/penerang. Objek ialah unsur yang hadir selepas frasa kerja transitif. Oleh itu, objek ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh: Ali + memukul ular itu. Ali - subjek Memukul ular itu - predikat Memukul - frasa kerja transitif Ular itu - objek

Pelengkap pula ialah unsur yang hadir selepas sesetengah frasa kerja tak transitif. Oleh itu, pelengkap juga ialah sebahagian daripada predikat.

Contoh: Siti + pergi ke sekolah. Siti - subjek Pergi ke sekolah predikat Pergi - frasa kerja tak transitif Ke sekolah - pelengkap

Keterangan boleh hadir dalam pelbagai posisi ayat tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu keterangan subjek dan katerangan predikat. Keterangan subjek hadir sebelum/selepas subjek dan membentuk sebahagian daripada subjek.

Contoh: Seorang pelajar + dipilih untuk menyertai program itu. Seorang pelajar - subjek Seorang - keterangan (bilangan)

Contoh: Pelajar itu + dipilih untuk menyertai program tersebut. Pelajar itu - subjek Itu - keterangan (ketentuan)

Contoh: Dua orang pelajar USM + dipilih untuk menyertai program itu. Dua orang pelajar USM - subjek Dua orang - keterangan (bilangan dan penjodoh bilangan) USM - keterangan (pemilik)

Keterangan predikat dapat dibahagikan kepada beberapa subkategori. Antaranya adalah keterangan frasa kerja (adverba), keterangan FN objek dan keterangan pelengkap.

(1) a. Siti menelaah bersungguh-sungguh pelajarannya.. b. Siti membaca novel kegemarannya. c. Dia menjadi pensyarah universiti.

Dalam (1a), frasa bersungguh-sungguh ialah keterangan bagi frasa kerja menelaah. Dalam (1b), frasa kegemarannya ialah keterangan bagi FN objek novel. Dalam (1c), frasa universiti ialah keterangan frasa nama pelengkap pensyarah. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut: (1) a. Siti menelaah pelajarannya.. b. Siti membaca novel. c. Dia menjadi pensyarah.

Jenis-jenis Ayat Pada umumnya terdapat dua jenis ayat sahaja iaitu ayat dasar dan ayat terbitan.

Ayat Dasar Ayat yang belum melalui proses transformasi, iaitu penyisipan/penambahan, pengguguran atau pergerakan unsur (perkataan/frasa/klausa). Ia ialah ayat asal yang daripadanya diterbitkan ayat jenis lain (ayat terbitan).

Ada empat pola ayat dasar (berdasarkan susunan subjek + predikat).

a) FN + FN Siti + guru.

b) FN + FAdjektif Siti + pandai.

c) FN + FSN (sendi nama) Siti + di dalam bilik.

d) FN + FKerja Siti + tidur.

Ayat Terbitan Ayat terbitan diterbitkan daripada ayat dasar melalui mana-mana proses transformasi. Dari segi bilangan klausa yang terdapat di dalamnya, ayat terbitan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk. Dari segi tujuan pula, ayat terbitan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya adalah penyata, ayat soal, ayat perintah dan ayat seru.

a) Ayat Tunggal Ayat yang mengandungi satu klausa/ayat sahaja. Contoh: Siti guru sekolah rendah. Siti tidur di dalam biliknya.

b) Ayat Majmuk Ayat yang mengandungi dua atau lebih klausa di dalamnya. Berdasarkan status klausa yang menganggotainya, ayat majmuk dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu gabungan, pancangan dan campuran.

a) Ayat majmuk gabungan Ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat/klausa yang sama taraf (tiada ayat/klausa induk). Sebagai contoh, enam ayat yang berikut boleh digabungkan menjadi satu ayat majmuk. 1. Dia pandai menyanyi. 2. Dia pandai berlakon. 3. Dia pandai menggubah lagu. 4. Dia pandai mengarah filem. 5. Dia pandai menulis skrip. 6. Dia pandai berlawak.

Ayat majmuk: Dia pandai menyanyi, berlakon, menggubah lagu, mengarah filem, menulis skrip dan berlawak.

b) Ayat majmuk pancangan Ayat yang mengandungi dua ayat yang tidak sama taraf (satu ayat induk dan satu lagi ayat kecil / klausa).

Nota: Ayat induk ialah ayat yang wujud secara bebas (tidak bergantung pada kewujudan ayat lain) sementara ayat kecil ialah ayat yang wujud secara terikat (kewujudannya bergantung pada kewujudan ayat induk).

Dari segi jenis kata hubung yang berfungsi menghubungkan klausa induk dengan klausa kecil di dalamnya, ayat majmuk pancangan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu komplemen dan relatif. i) Ayat majmuk pancangan komplemen (bahawa, supaya/agar) Dia menegaskan bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan. Ayat induk : Dia menegaskan sesuatu. Ayat kecil : bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan. Perhatikan: Kewujudan ayat kecil bahawa kejayaannya dicapai melalui usaha dan pengorbanan adalah terikat dengan kewujudan ayat induk dia menegaskan sesuatu.

ii) Ayat majmuk pancangan relatif (yang) Orang yang meminjam buku itu (ialah) Ali.

Ayat induk : Orang meminjam buku itu. Ayat kecil : Orang itu (ialah) Ali.

c) Ayat Majmuk Campuran Ayat yang mengandungi dua atau lebih ayat pelbagai jenis.

Contoh: Ali membaca buku tetapi kawan-kawannya yang keletihan telah tidur nyenyak di dalam bilik masing-masing. Ali membaca buku. ayat dasar. Kawan-kawannya yang keletihan .... ayat majmuk pancangan relatif.

Proses Penerbitan Ayat Terdapat tiga proses penerbitan ayat, iaitu penambahan/penyisipan, pengguguran dan penyusunan semula/pemindahan unsur. Dalam bahagian ini akan dibincangkan proses yang dapat menerbitkan ayat yang posisi pangkalnya tidak diisi oleh frasa nama. Dengan kata lain, ayat yang tidak bermula dengan frasa nama. Hal ini perlu dijelaskan kerana ada orang berpandangan bahawa sesetengah jenis perkataan/frasa, misalnya kata tunjuk dan frasa sendi nama, tidak boleh mengisi posisi ini.

Nota: Istilah yang biasa digunakan untuk proses penerbitan ayat ialah proses sintaksis atau transformasi.

a) Ayat bermula dengan FK, FA dan FSN Proses transformasi yang dapat menjana ayat seperti ini ialah penyusunan semula urutan subjek dan predikat. Dalam proses ini, seluruh predikat atau sebahagian unsurnya akan dipindahkan ke pangkal ayat, lalu mengubah pola ayat menjadi predikat + subjek atau predikat (sebahagian) + subjek + predikat (sebahagian). Oleh sebab predikat ayat mungkin terdiri daripada frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) atau frasa sendi nama (FSN), ayat yang terjana akan bermula dengan jenis frasa ini.

(2) a. Berdamai juga mereka akhirnya. b. Sungguh indah pemandangan di pantai ini. c. Di sinilah rumah saya. Ayat (2a) bermula dengan FK berdamai, ayat (2b) bermula dengan FA sungguh indah dan ayat (2c) bermula dengan FSN disinilah. Ayat (2a) diterbitkan melalui pemindahan sebahagian unsur predikat berdamai juga akhirnya manakala ayat (2b) dan (2c) diterbitkan melalui pemindahan seluruh predikat. Ayat asalnya adalah seperti yang berikut: (2) a. Mereka berdamai juga akhirnya. b. Pemandangan di pantai ini sungguh indah. c. Rumah saya di sinilah.

Nota: Oleh sebab ayat yang melalui proses transformasi penyusunan semula ini berstruktur terbalik, iaitu predikat + subjek, ia juga dikenali sebagai ayat songsang. Proses yang menerbitkannya dikenali juga sebagai penyongsangan ayat.

b) Ayat bermula dengan kata kerja, kata adjektif, kata tunjuk dan kata hubung Proses transformasi yang dapat menjana ayat seperti ini ialah pengguguran perkataan. Dalam proses ini, perkataan yang menjadi inti bagi FN yang berfungsi sebagai subjek sesuatu ayat digugurkan, meninggalkan unsur keterangan bagi FN berkenaan untuk mengisi posisi subjek ayat. Oleh sebab keterangan bagi sesuatu FN boleh terdiri daripada KK, KA, kata tunjuk atau kata hubung, ayat yang terjana akan bermula dengan jenis perkataan ini.

(3) a. Membaca meluaskan pengetahuan. b. Putih melambangkan kesucian dan keikhlasan. c. Itu menara Kuala Lumpur. d. Yang tinggi itu menara Kuala Lumpur.

Semua ayat (3a-d) telah melalui pengguguran kata nama yang menjadi inti FN subjek. Dalam ayat (3a), KN yang digugurkan ialah hobi (daripada FN hobi membaca). Dalam ayat (3b) KN yang digugurkan ialah warna (daripada FN warna putih). Dalam ayat (3c), KN yang digugurkan ialah bangunan (daripada FN bangunan itu). Perlu dijelaskan bahawa FN bentuk ini hanya boleh melalui pengguguran KN inti jika predikat ayat ialah FN (menara Kuala Lumpur ialah FN). Jika tidak, ayat (4a) dan (4b) yang dijana tidak gramatis.

(4) a. Bangunan itu sangat cantik. a. *Itu sangat cantik. b. Bangunan itu di Kuala Lumpur. b. *Itu di Kuala lumpur. Pengguguran KN bangunan daripada FN bangunan itu menyebabkan ayat yang dijana tidak gramatis kerana predikat ayat berkenaan ialah FA sangat cantik (4a) dan FSN di Kuala Lumpur (4b). Dalam ayat (3d) KN yang digugurkan ialah bangunan (daripada FN bangunan yang tinggi itu). Perlu dijelaskan bahawa FN bentuk ini hanya boleh melalui penggug uran KN inti jika predikat ayat ialah FN (menara Kuala Lumpur ialah FN). Jika tidak, ayat (5a) dan (5b) yang dijana tidak gramatis.

(5) a. Bangunan yang tinggi itu sangat cantik. a. *Yang tinggi itu sangat cantik. b. Bangunan yang tinggi itu di Kuala Lumpur. b. *Yang tinggi itu di Kuala lumpur. Pengguguran KN bangunan daripada FN bangunan yang tinggi itu menyebabkan ayat yang dijana tidak gramatis kerana predikat ayat berkenaan ialah FA sangat cantik (5a) dan FSN di Kuala Lumpur (5b).

Ayat asal bagi (3a-d) adalah seperti yang berikut: (3) a. Hobi membaca meluaskan pengetahuan. b. Warna putih melambangkan kesucian dan keikhlasan. c. Bangunan itu menara Kuala Lumpur. d. Bangunan yang tinggi itu menara Kuala Lumpur.

You might also like