You are on page 1of 2

Kekurangannya adalah amanah Allah padamu

Kita hidup di dalam dunia ini penuh dengan bermacam jenis rupa perangai manusia. Tak
dapat kita nafikan kehadiran mereka, malah kita juga menjadi salah satu daripada watak-
watak lakonan di pentas dunia. Hari ini mungkin kita melihat manusia lain, dan esok pula
kita menjadi perhatian orang lain. Bermacam-macam karakter manusia yang dapat kita
temui. Sekeliling kita sahaja bukan seorang dua, malah beribu karakter yang telah kita
temui.

Saya hendak bawakan dua karakter berbeza antara dua orang sahabat saya. Seorang dari
mereka merupakan anak datuk. Berasal dari keluarga kaya raya, tiada masalah kewangan.
Manakala seorang lagi datang dari keluarga kurang berada, keluarga nelayan dari Perak
dan kadang-kala menghadapi kesulitan kewangan.

Si anak datuk, Si S, menerima kehidupan sebagai suatu yang mudah dan senang baginya.
Tidak perlu banyak memikirkan masalah, malah mampu menghadapi segala kesulitan
hidup sebagai pelajar dengan wang ringgit. Si S mampu memiliki kereta sendiri ketika
baru di tahun 2 pengajiannya. Tinggal di rumah sewa bukanlah masalah baginya, sewa
bulanan rumahnya tiada pernah tertangguh. Pulang bercuti dengan Penerbangan Malaysia
(MAS) bukan lagi AirAsia. Setakat hujung minggu terasa di hati hendak pulang ke
rumah, boleh sahaja. Tiada masalah.

Manakala seorang lagi sahabat saya, si H, adalah seorang yang sangat berhati-hati di
dalam menguruskan kehidupan belajarnya. Wang biasiswa yang diterima digunakan
dengan penuh hemat. Jangan fikirlah hendak pakai kereta sendiri, telefon tangan pun
tidak dimilikinya. Hanya setelah mengumpul wang beberapa tahun, barulah merasa
telefon tangan sendiri. Harapan selalunya dapat tinggal di dalam kolej kediaman pelajar
lantaran tidak mampu menyewa di luar. Kadangkala, mengikat perut untuk mengumpul
wang membeli buku rujukan. Pulang bercuti hanya pada hari raya. Tiada mimpi hendak
pulang di hujung minggu seperti si S.

Namun, Allah itu Maha Adil. DijadikanNya si S seorang yang pemurah. Sentiasa
membantu kawan-kawan yang tiada berkemampuan. Setakat hendak menumpang
kenderaan ke kuliah atau ke bandar, bila-bila masa sahaja boleh dibantu. Kalau setakat
kekurangan wang untuk makan tengahari, sepuluh dua dihulur sebagai pemberian biasa
sahaja. Jangankan wang, bantuan lain-lain seperti pelajaran juga tidak ketinggalan.

Akhirnya, si H berjaya dan si S juga berjaya. Menghadapi hari-hari bersama dan bakal
menamatkan pengajian tidak berapa lama lagi. Sungguh pun si H tidak mampu dari segi
kemewahan, ada juga bantuan lain yang disumbangkan pada si S. Ketika di dalam
kesedihan dirundung malang, si H menghadiahkan kegembiraan buat temannya. Nasihat
dan tegurannya membetulkan langkah si S yang bengkok. Biar pun bukan kemewahan
yang diberikan tapi ianya suatu yang berharga bagi sebuah persahabatan.

Kesimpulannya, setiap insan dilahirkan Allah ke dunia ini dan diberikan pelbagai rupa
perangai. Tujuannya adalah untuk sama bantu membantu. Setiap manusia ada
keurangannya; maka kekurangan itulah yang akan ditampung oleh insan lain untuk
menjadikan kita sempurna. Kelebihan yang Allah berikan pada kita adalah sebahagiannya
milik teman kita yang lain. Dijadikannya amanah Allah pada kita untuk ditunaikan pada
masa dan ketika yang sesuai. Benarlah kata-kata bahawa manusia tidak ada yang
sempurna.

You might also like