You are on page 1of 19

aya Dan Teori Kepimpinan

1.1 PENGENALAN Di jabatan-jabatan kerajaan dan jabatan swasta daya pengeluaran boleh terjejas dengan adanya tanda masalah psikologi seperti ponteng kerja, datang lambat, melambat-lambatkan kerja, lembap memberi layanan kaunter, menggunakan masa pejabat untuk kerja-kerja peribadi, berlengah-lengah di kantin pejabat dan juga bersikap kasar dan sombong terhadap orang ramai yang memerlukan khidmat (Aminuddin Mohd Yusuf, 1994: 1). Masalah-masalah ini menunjukkan bahawa peranan dan gaya kepimpinan seseorang dapat mempengaruhi kejayaan ataupun kegagalan di dalam sesebuah organisasi. Kepimpinan merupakan satu proses interaksi sosial yang dialami oleh semua individu pada hari ini. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa setiap orang adalah pemimpin dan setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab terhadap orang yang dipimpin. Kepimpinan merupakan satu konsep yang mengandungi pelbagai maksud yang berbeza-beza. Misalnya, Bernard Urwick berpendapat bahawa kepimpinan adalah kualiti tingkah laku individu ketika dia memandu (mengetuai) aktiviti kumpulan untuk mencapai objektif organisasi. Robert J. House dan Mary L. Baetz (1979), berpendapat bahawa kepimpinan boleh berlaku dalam kumpulan yang melibatkan dua orang atau lebih dan selalunya melibatkan pengaruh kepada ahli kumpulan dalam mancapai sesuatu matlamat kumpulan. 3.1 DEFINISI KEPIMPINAN Ramai diantara pengkaji mendefinisikan kepimpinan berdasarkan perspektif masing-masing serta berasaskan aspek fenomena yang paling menarik bagi mereka (Yukl,1981). Oleh sebab itu bersesuaian dengan pendekatan teori yang akan digunakan nanti, definisi yang disarankan oleh Fleisman (1973) dan Tannenbaum, Weshler dan Massarik (1961) daripada tradisi kajian-kajian Ohio States yang pada akhirnya mengembangkan teori laluan matlamat serta serta definisi Fiedler (1967) dalam teori kontingensi sesuai di gunakan sebagai panduan. Fleishman menyatakan: Kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan yang diarahkan melalui proses

komunikasi, ke arah pencapaian matlamat atau beberapa matlamat (1973: 3). Tannenbaum, Weschler dan Massarik (1961) juga memberi definisi yang hampir sama. Bagi Fiedler pula, kepimpinan adalah : ......kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan dimana kuasa dan pengaruh diagihkan secara tidak sama rata sehingga seorang individu boleh mengarah dan mengawal tindakan-tindakan orang lain lebih daripada kawalan mereka ke atas induvidu itu(1967: 11). Kedua-dua definisi ini boleh digolongkan ke dalam klasifikasi kepimpinan sebagai pengenaan pengaruh seperti yang disarankan oleh Stogdill (1974, Bass, 1981) iaitu kepimpinan mempunyai sebelas makna, antaranya ialah fokus proses kelompok, personaliti dan kesannya, penggunaan pengaruh, tindakan atau tingkah laku, satu bentuk pemujukan, hubungan kuasa, alat mencapai matlamat, kesan interaksi yang muncul, peranan terbeza dan pendayautamaan struktur. Beberapa perkara yang boleh dimiliki oleh kepimpinan ialah dengan berasaskan definisi-definisi ini. Pertama, kepimpinan mengandungi andaian bahawa ia adalah fenomena kelompok. Kedua, kepimpinan melibatkan hubungan antara perseorangan. Ketiga, dalam kepimpinan seseorang atau beberapa orang lain dalam kelompok itu. Akhir sekali, tindakan mempengaruhi ini diarah kepada usaha mencapai matlamat yang dimiliki (common) oleh anggota-anggota kelompok. Sungguhpun Fiedler (1967) tidak menyebut cara arahan itu dilakukan seperti yang disarankan oleh Fleishman (!973) tetapi hubungannya mengarah dan mengawal itu tentulah tidak dapat dilakukan tanpa proses komunikasi. Sebagai satu konsep yang abstrak, kepimpinan menjadi lebih bermakna jika diberi definisi operasi. Di dalam ini, dua aspek kepimpinan menjadi fokus iaitu tingkah laku pemimpin dan gaya kepimpinan. Kebanyakan pengkaji (misalnya Stogdill,1974: Bass,1981) merujuk kepada kedua-dua istilah ini secara bertukar ganti sedangkan Fiedler (1967) mendefinisikan keduaduanya sebagai dua konsep yang berbeza. Bagi beliau: ......dengan tingkah laku kepimpinan kita maksudkan pada amnya tindakan-tindakan tertentu yang dibuat oleh pemimpin dalam masa mengarah dan menyelaraskan kerja-kerja anggotaanggota kelompoknya. (1967: 36)

Ini mungkin melibatkan tindakan seperti menstrukturkan hubungan kerja, memuji atau mengkritik anggota-anggota kelompok dan menunjukkan timbang rasa kepada kebajikan dan perasaan mereka. Gaya kepimpinan pula sebalinya didefinisikan sebagai: ..... struktur keperluan yang mendasari induvidu yang memotivasikan tingkah laku dalam aneka situasi kepimpinan. (1967:36) Gaya kepimpinan merujuk kepada matlamat dan keperluan dalam situasi-situasi yang berbeza. Perbezaan ini dianggap penting oleh Fiedler (1967) kerana tingkah laku penting untuk seseorang berubah daripada satu situasi ke situasi lain, struktur keperluannya yang memotivasikan tingkah laku itu mungkin tidak berubah-ubah. Pemimpin pula boleh didefinisikan sebagai suatu kuasa yang dapat mempengaruhi orang lain iaitu kuasa yang dapat menghubungkan pemimpin (ketua) dan juga pengikut (pekerja) untuk mendorong pekerja supaya menggunakan tenaga secara tersusun untuk mencapai satu matlamat. Pemimpin muncul apabila ada kelompok manusia. Dalam kelompok manusia, ketua atau pemimpin diperlukan agar segala rancangan dan tindakan setiap anggota kelompok dapat berjalan dengan baik. Pemimpin boleh dikatakan sebagai penyatu hasrat kelompok. Oleh itu, tidak ada kelompok yang boleh hidup sebagai sebuah masyarakat tanpa pemimpin. Malah dalam perkembangan kehidupan masyarakat hari ini kita tidak boleh memilih untuk hidup tanpa pemimpin, kita memerlukan pemimpin pada semua peringkat kehidupan. Ini kerana pemimpin adalah penanda atau pelengkap pada reka bentuk organisasi. Tanpa pemimpin juga carta organisasi tidak akan sempurna dan organisasi tidak akan kekal lama (Robiah K. Hamzah 2001: 18). Pemimpin juga berfungsi sebagai penentu sempadan bidang kuasa dan tindakan antara peringkat bawahan dengan peringkat atasan. Tanpa pemimpin hukum beradat dalam masyarakat tidak akan wujud. Dengan cara ini sahaja sesebuah organisasi akan berjaya mengalami perubahan. Pemimpin juga merupakan penggerak utama dalam sesebuah organisasi. Tanpa pemimpin sesebuah organisasi tidak akan dapat bergerak lancar kerana tiada pengawasan dan pengarahan. Kebiasaanya orang yang sanggup menjadi pemimpin ingin mendapatkan kedudukan, kekayaan, kekuasaan dan juga ingin benar-benar mendapatkan kepuasan untuk berkhidmat pada

kelompoknya. Kepuasaan ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk kelompoknya (Robiah K. Hamzah 2001: 19). 4.1 CIRI-CIRI KEPIMPINAN Bagi menjadi seorang ketua tak kira apa jua jenis kepimpinan, maka seseorang itu memerlukan ciri-ciri kepimpinan tertentu. Sebenarnya banyak ciri-ciri kepimpinan yang boleh dibincangkan. Oleh itu seorang ketua haruslah mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Di bawah ini dihuraikan ciriciri tersebut:a) Sihat - Seorang ketua hendaklah sihat tubuh badannya dan sihat mentalnya. Seseorang itu tidak boleh memimpin apa jua jenis kegiatan jika ia tidak sihat dan tidak mempunyai kecergasan fizikal yang secukupnya. Mental yang sihat pula akan membolehkan seseorang ketua itu sentiasa bertindak waras dan rasional. b) Minat dan dedikasi minat yang mendalam di dalam bidang yang dipimpin hendaklah wujud di dalam jiwa seorang ketua. Tanpa minat seseorang ketua tidak akan berjaya memimpin kumpulan-kumpulannya di dalam bidang yang dipimpin. Minat yang mendalam biasanya akan melahirkan semangat gigih, rajin bekerja atau dedikasi. Tanpa sifat gigih dan dedikasi seseorang ketua itu tidak akan berjaya membangunkan kumpulan tersebut. c) Sikap sosial seorang pemimpin kegiatan luar hendaklah mempunyai sikap sosial yang baik. Ia hendaklah mengasihi orang dipimpinnya, menerima mereka sebagai ahli kumpulan, bertolak ansur, bertimbang rasa, adil, tidak mementingkan diri sendiri dan selalu meluangkan masa bagi mendengar masalah ahli kumpulan. d) Taat Setia Ketua hendaklah juga taat setia kepada kumpulan sebagai mana ia mengharapkan kumpulannya berbuat perkara yang sama terhadapnya. Ia mesti mementingkan kumpulannya dari kumpulan lain. Ia mesti sentiasa berdiri teguh di belakang kumpulan. Segala susah payah dan tumbang bangun kumpulan adalah juga adalah susah payah dan tumbang bangun ketua itu. e) Pintar Seseorang pemimpin mestilah pintar. Orang yang pintar dapat menganalisa sesuatu keadaan atau permasalahan yang baik serta dapat memisahkan antara perkara yang penting dengan yang tidak. Dengan demikian beliau dapat menghasilkan pendapat-pendapat atau rumusan yang bernas lagi berkesan. Orang yang bodoh sudah tentu tidak layak memimpin orang lain. Perlu ditekankan bahawa orang yang pintar tidak semestinya orang yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. Orang yang pintar biasanya berpandangan jauh dan cepat peka terhadap apa yang berlaku di sekitarnya. Dengan demikian ia dapat bertindak bagi kebaikan kumpulan.

f) Daya usaha Daya usaha atau inisiatif adalah satu kualiti yang membuat seseorang itu dapat bergerak atau bekerja tanpa menunggu arahan atau gesaan dari mana-mana pihak. Orang yang bekerja di atas dasar seperti pahat dengan pemukul adalah tidak sama sekali layak dijadikan ketua. Ketua yang mempunyai daya usaha akan sentiasa melahirkan program-program aktivitiaktiviti atas sesuatu untuk kumpulan. Tanpa aktiviti kumpulan akan menjadi statik. Orang yang mempunyai inisiatif adalah biasanya orang yang kreatif dan produktif. g) Berani ciri ini membolehkan ketua supaya terus dapat memimpin kumpulan walau di dalam apa keadaan sekali pun. Ketua yang (samada dari segi fizikal atau moral) dapat melahirkan keputusan yang sukar dan berat. Ia berani bertanya, berani berhadapan orang ramai, berani menegur dan sentiasa bersifat cekal di dalam kecemasan. Tetapi perlu ditekankan bahawa berani yang dimaksudkan di sini bukanlah berani yang tidak berasas dan membabi buta sehingga terkeluar dari batas logik dan kewarasan. Seorang ketua yang berani membabi buta adalah lebih merbahaya. h) Jujur Dengan bersifat jujur seorang ketua akan sentiasa berterus-terang kepada kumpulannya. Jika ia tidak tahu mengenai sesuatu perkara ia akan mengatakan tidak tahu. Jika ia belum melakukannya sesuatu perkara maka ia akan berkata ia belum melakukannya. Sementara ketua yang tidak jujur atau membohongi kumpulannya dengan beberapa alasan yang hebat. Seorang yang jujur ialah juga orang yang amanah. Kumpulan akan sejahtera jika ketua tidak menyeleweng samada dari segi tugas moral atau material. i) Disiplin Ketua yang berdisiplin akan dicontohi dan dipatuhi oleh pengikutnya. Di dalam ciriciri disiplin yang tinggi adalah diperlukan demi menjaga nama dan keselamatan kumpulan. Segala arahan peraturan dan etika perlu dipatuhi sepenuhnya. Ketua yang berdisiplin akan sentiasa mematuhi perkara-perkara tersebut dan selanjutnya ia akan menentukan pula supaya kumpulan juga berbuat demikian. Hanya mereka yang berdisiplin sahaja boleh mendisiplinkan orang lain. Disiplin yang dimaksudkan disini bukan setakat mematuhi arahan dan peraturan sahaja tetapi juga termasuk dari segi mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik. j) Tegas dan fleksibel Dengan bersifat tegas seseorang ketua itu akan di yakini oleh kumpulan. Keputusan dan arahannya akan dipatuhi tanpa keraguan dan kelewatan. Ketua yang tegas akan disegani oleh pengikutnya. Ketegasan adalah perlu terutamanya yang berkaitan dengan keselamatan. Seseorang yang tegas diterima adalah orang yang berdisiplin dan berani. Seseorang ketua hendaklah pula bersifat fleksibel pada ketika-ketika tertentu terutama sekali bagi tujuan keselamatan kumpulan. Sebagai contoh ia haruslah boleh memilih cara lain apabila satu cara

yang dirancangkan itu membahayakan kumpulan. k) Yakin Seseorang pemimpin hendaklah yakin kepada dirinya sendiri. Yakin kepada diri sendiri ialah yakin kepada kebolehan yang ada, yakin kepada segala keputusan dan tindakan yang telah dibuat untuk kumpulan dan apa yang lebih penting ialah yakin kepada kepimpinan sendiri. Dengan demikian seseorang ketua dapat menjalankan tugasnya tanpa ragu-ragu. Ketua yang ragu-ragu kepada dirinya sendiri tidak akan mempunyai kekuatan dalaman untuk memimpin orang lain. (http://www.angelfire.com/az/progscoutkedah/kepimpinan.html [29.5.07]. 5.1 GAYA KEPIMPINAN Dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi, pemimpin perlu proaktif melalui aspek keberkesanan gaya kepimpinannya terhadap pekerja. Seorang pemimpin tidak semestinya hanya seorang Pengarah ataupun seseorang yang memegang jawatan tertinggi dalam organisasi. Tetapi mereka yang mampu mempengaruhi organisasi ke arah pencapaian matlamat juga boleh diklasifikasikan sebagai pemimpin berasaskan kemampuan memimpin menggunakan kebijaksanaan, kemahiran, pengalaman, tahap senioriti dan sebagainya (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). Gaya kepimpinan dalam kajian Fiedler adalah hubungan peribadi apabila seseorang mengarah, menyelaras dan menyelia orang lain dalam pelaksanaan tugas bersama. Pemimpin mengurus kelompok dengan salah satu cara memberitahu orang apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak membuatnya atau berkongsi tanggungjawab kepimpinan dengan anggota-anggota kelompok dan melibatkan mereka dalam perancangan pelaksanaan tugas. Fiedler tidak menafikan terdapat berbagai-bagai gaya antara kedua-dua gaya kepimpinan ini tetapi asasnya ialah kerja-kerja memotivasi dan menyelaraskan ahli kelompok dilakukan dengan dua gaya kepimpinan ini. Gaya ini boleh difahami daripada cara seseorang menilai rakan sekerjanya yang paling tidak disukainya (LTC). Pertama dipanggil LPC-rendah dan kedua LPC-tingg (Aminuddin Mohd. Yusof 1994:14). Gagasan teori kepimpinan ini mempunyai akarnya dalam teori hubungan antara perseorangan. Dalam kajian asalnya yang memeriksa hubungan antara ahli terapi dengan pelanggannya, Fiedler mendapati ahli terapi yang baik reputasinya cenderung menghuraikan pesakitnya sebagai sama dengan dirinya. Sementara yang tidak baik reputasinya menghuraikan pesakit tidak sama dengan dirinya. Ukuran ini, yang dipanggil persamaan andaian (Assumed Similarity A.S.) (Aminuddin

Mohd. Yusof 1994:14).

6.1 TEORI-TEORI KEPIMPINAN Umumnya organisasi boleh dibahagikan kepada tiga model iaitu model pertama dinamakan pendekatan klasik atau pendekatan mekanistik, kedua adalah pendekatan neo-klasik dan ketiga adalah pendekatan sistem. Model pendekatan klasik mempunyai ciri-ciri seperti menganggap manusia setaraf dengan mesin dan peralatan lain dalam organisasi, mengganggap manusia sebagai sejenis makhluk ekonomi yang rasional dan hanya berminat kepada wang, mempunyai struktur organisasi yang bersifat birokrasi dengan hierarki yang jelas, mempunyai komunikasi sehala (dari atas ke bawah) dan juga mempunyai pembahagian kerja yang jelas dengan penekanan pada tugas. Semua tugas ini dirumuskan secara saintifik hingga model ini digelar sebagai pengurusan saintifik yang mempercayai bahawa hanya terdapat satu sahaja cara bekerja yang terbaik dan berkesan. Gaya kepimpinan ini adalah bersifat autokratik atau dipanggil juga teori X. Model organisasi yang kedua adalah pendekatan neo-klasik (hubungan manusia). Model ini memberi penekanan kepada peranan pengurus pemimpin organisasi dengan andaian bahawa manusia bukan hanya semata-mata mahkluk ekonomi, tetapi juga mahkluk sosial yang mempunyai peranan, nilai, sentimen dan rasa setia kawan. Model ini menekankan peranan pengurus dalam organisasi yang memberi implikasi yang penting pada komunikasi dan gaya kepimpinan. Corak kepimpinan bersifat demokratik dan bersikap positif terhadap pekerja. Dalam model ini komunikasi adalah bersifat dua hala dan pekerja diberi sedikit kebebasan untuk membuat keputusan. Keadaan ini merupakan teori Y. Model organisasi yang ketiga ialah pendekatan sistem. Model ini memberi tumpuan pada organisasi secara keseluruhan, secara sepadu sebagai suatu sistem terbuka yang mempunyai dua jenis persekitaran iaitu dalaman dan juga luaran. Kedua-duanya saling mempengaruhi antara satu sama lain. Oleh itu organisasi adalah satu subsistem dan sistem yang lebih besar yang di dalamnya mengandungi subsistem yang lain pula. Keberkesanan sesebuah organisasi dapat diukur melalui keuntungan dan produktiviti serta

kepuasan dikalangan pekerja. Namun kedua-dua faktor ini adalah bertentangan. Produktiviti boleh dicapai tanpa kepuasan bekerja dan sering kali pula kepuasan bekerja tercapai tanpa produktivitinya yang tinggi. Oleh sebab itu ada induvidu yang menganjurkan supaya keberkesanan itu diukur daripada keupayaan sesebuah organisasi mendapatkan dan menggunakan sumber dengan cekap untuk mencapai matlamat organisasi. Kesimpulannya sesebuah organisasi dikatakan berkesan apabila pekerjanya melakukan tugas dengan baik ( doing the right thing right) dan melakukan tugas yang betul (doing thing right). Kedua-dua sikap dan amalan ini memerlukan pemikiran yang strategik dan latihan yang sesuai dengan jenis kerja yang hendak dilakukan. Andainya kedua-dua faktor ini diutamakan, sesebuah organisasi akan berjaya. Organisasi yang produktif dan berjaya tahu mengimbangkan keperluan fizikal dan manusia. Namun dalam operasinya ia memberi fokus pada aspek manusia secara sedar dan teratur oleh pemimpin organisasi. Organisasi juga perlu peka pada standard yang tinggi yang dapat di capai, bukan sekadar berbangga dengan slogan kosong. Organisasi yang berjaya juga memiliki ahli-ahli yang iltizam terhadap peranan dan tugas masing-masing berasaskan sikap saling percayamempercayai antara pihak pengurusan dengan pekerja tanpa sebarang motif untuk menipu (dari pihak pengurusan) atau sabotaj (daripada pihak pekerja), iltizam ini berasaskan kejujuran dan keikhlasan yang harus dimulakan oleh pemimpin yang sentiasa memberi bimbingan kepada pekerjanya. Organisasi yang produktif dan berjaya tidak terikat kepada model atau struktur yang tertentu tetapi terikat pada standard, etos organisasi dan kebajikan para pekerja. 6.1.1 Teori Latar Teori dan kajian kepimpinan sebagai satu cabang psikologi sosial mengambil begitu banyak konsep dan model yang berasal daripada ahli-ahli falsafah Eropah, ahli-ahli Psikologi dan ahli sisiologi. Kepimpinan kini didekati melalui empat perspektif yang berbeza iaitu perspektif dinamik kelompok , perspektif konflik, perspektif keperluan dipelajari dan perspektif penghakikian diri. (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57). a) Pendekatan-pendekatan teori i. Pendekatan Tret Usaha mendekati fenomena kepimpinan bermula dengan pendekatan tret. Terdapat kepercayaan yang meluas pada abad ke-20 bahawa pemimpin adalah semula jadi bukan dibentuk. Pemimpin dianggap lebih tinggi kedudukannya daripada anggota-anggota lain dalam kelompok dan diberi

sifat-sifat ketuhanan. Pemimpin juga diistilahkan sebagai orang kenamaan yang mana seseorang pemimpin itu mempunyai sifat-sifat yang tinggi untuk orang lain mengikutinya (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57). Kajian Teori tret selalunya mengambil bentuk pembandingan sifat-sifat fizikal, intelek dan personaliti antara pemimpin dengan pengikut. Mengikut kajian Cartwright dan Zander menyatakan pemimpin adalah lebih besar saiz fizikalnya dan lebih cerdas daripada anggotaanggotan lain. Pemimpin yang diterima dengan baik menunjukkan penyesuaian yang lebih baik dalam pelbagai ujian personaliti. Manakala kajian yang berpusatkan kemahiran pemimpin lebih cenderung kepada memberi maklumat dan lebih kerap membuat penjelasan tentang sesuatu situasi berbanding dengan lain-lain anggota. Kepercayaan terhadap peranan tret ini jugalah yang melahirkan pandangan tentang sifat karisma (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 57). ii Pendekatan Fungsi Kajian-kajian ini tidak lagi cuba mencari tret-tret pemimpin tetapi cuba menjawab soalan apakah tindakan yang dikehendaki oleh kumpulan kalau mereka ingin mencapai tugas yang dikehendaki, dan bagaimana anggota-anggota kumpulan yang berbeza mengambil bahagian dalam tindakantindakan tersebut. Kepimpinan dianggap sebagai melaksanakan fungsi kumpulan. Oleh sebab itu ia mengandungi tindakan anggota-angota yang membantu menetapkan matlamat kumpulan, menggerakan kumpulan ke arah mencapai matlamat, memperbaiki kualiti interaksi antara anggota-anggota dan memastikan adanya sumber-sumber bagi kumpulan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 59). Matlamat utama pendekatan ini ialah untuk mencari ciri-ciri tingkah laku yang perlu untuk terus hidup dan mencapai matlamat. Menurut Cartwright dan Zander, kebanyakan objektif kumpulan boleh disimpulkan dibawah satu daripada dua perkara, pertama pencapaian matlamat kumpulan tertentu dan kedua penyelenggaraan atau pengukuhan kumpulan itu sendiri. Ini bermakna setiap tingkah laku dalam kumpulan mestilah dapat menyumbang kepada pencapaian tugas dan penyelenggaraan kumpulan sungguhpun kedua-dua peranan ini boleh dimainkan oleh manamana anggota dalam kumpulan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 59). iii Pendekatan Tingkah Laku Daripada pendekatan tret juga telah melahirkan teori tingkah laku yang cuba menerangkan

fenomena kepimpinan berasaskan pola tingkah laku yang didefinisikan sebagai tindakan atau gaya pemimpin. Banyak teori tingkah laku yang telah diuji, kesemuanya mengandungi unsurunsur dimiliki (gaya kepimpinan). (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 60).

b) Contoh Tokoh Pemimpin Teori Latar Tokoh yang dapat disesuaikan dengan teori ini ialah Sidharta Gautama Budha. Beliau dilahirkan pada 563 SM di Taman Lumbini Kapilawastu, dari keturunan keluarga Shakya. Bapanya adalah seorang Raja yang bernama Sudhadana dan ibunya bernama Maya. Beliau tinggal di sebuah istana yang lengkap dengan segala kemewahan. Kepimpinan yang dimilikinya bukan dibentuk, tetapi secara semulajadi. Ketika beliau di dalam kandungan, seorang ahli nujum memberitahu bapanya bahawa anak yang akan dilahirkan ini akan menjadi seorang pengasas agama. Mendengar berita tersebut bapanya bimbang kerana beliau adalah satu-satunya pewaris yang bakal menduduki takhta bagi menggantikannya kelak. Bapanya berusaha sedaya upaya untuk mengelak beliau daripada menjadi pengasas agama dengan menyediakan segala kemewahan. Walau bagaimanapun, semua itu tidak dapat mengubah pendiriannya. Dalam agama yang telah diasaskan oleh beliau ini terkandung ajaran-ajaran yang menyuruh manusia ke arah kebaikan. Sifat-sifat kepimpinan yang dimilikinya mendorong pengikutpengikutnya menganggap beliau sebagai Tuhan. 6.1.2 Teori Kontingensi Fiedler Teori ini mengandaikan bahawa tidak munasabah untuk menjangkakan bahawa seorang pemimpin boleh melakukan segala-galanya pada setiap masa lebih baik daripada orang lain. Setiap pemimpin yang mempunyai ciri yang baik akan berbeza daripada kelompok dengan kelompok yang lain dan situasi dengan situasi yang lain (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 62). Istilah Kontingensi bermula apabila Fiedler mengemukan model Kontingensinya berasaskan andaian bahawa jenis sikap dan tingkah laku kepimpinan yang paling berkesan adalah bergantung kepada situasi tugas kelompok. Teori ini bermula sebagai pendekatan tret kerana

Fiedler menumpukan perhatian kepada aspek sikap pemimpin. Fiedler pada mulanya menghipotesiskan bahawa persepsi pemimpin terhadap rakan-rakan sekerjanya mencerminkan sikap penting yang releven dengan tugas dan ini akan mempengaruhi interaksi dan prestasi kelompok. Untuk menarik makna psikologi daripada penemuan-penemuan yang signifikan, Fiedler mengembangkan teorinya menjadikan teori Kontingensi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 63). a) Situasi Kepimpinan Model ini menetapkan jenis situasi tempat yang tinggi LPC-nya lebih berkesan daripada pemimpin yang rendah LPC-nya. Hubungan antara kedua-dua hirarki motif (LPC tinggi dan LPC rendah) ini dengan kriteria kebekersanan bergantung kepada pemboleh ubah situasi yang kompleks iaitu hubungan pemimpin pengikut, struktur tugas dan kuasa jawatan. Hubungan pemimpin pengikut melibatkan sejauhmana pemimpin diterima dan disukai iaitu hormat dan taat setia anggota-anggota kepada pemimpin itu. Bagi Fiedler ini adalah unsur terpenting dalam menentukan pengaruh pemimpin dalam kelompok kecil. Pemimpin yang diterima dengan sepenuh hati akan membuatkan orang bawahannya menjalankan kerja dengan lebih baik. Hubungan ini bagi Fiedler mungkin menjadi kuat seperti hubungan bapa anak dalam proses psiko analisis Frued. Ini juga berlaku dalam kelompok-kelompok yang anggotanya bergantung kepada kemahiran dan kebaikan pemimpin seperti dalam kelompok bilik darjah dimana guru ada kuasa kepakaran dalam mata pelajaran berkenaan (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 63). Dimensi kedua dalam membentuk situasi ini ialah struktur tugas. Tugas kelompok adalah diberi oleh organisasi yang memiliki kelompok itu untuk mencapai matlamatnya. Bila struktur tugas tinggi maka organisasi melalui ketua kelompok boleh mengawal sejauhmana tugas yang akan dilaksanakan. Sesiapa yang melakukan kesalahan akan mudah dapat dilihat. Tugas seperti ini tentulah meletakkan pemimpin dalam keadaan yang sukar berbanding dengan tugas yang boleh diprogram dengan teratur dan terkawal. Dimensi ketiga dalam situasi kepimpinan ialah kuasa jawatan iaitu sejauhmana jawatan itu membolehkan pemimpin membuat anggota-anggota kelompoknya mematuhi dan menerima arahan kepimpinannya. Fiedler menyarankan ketiga-tiga dimensi ini bergabung untuk membentuk keberuntungan situasi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 64). b) Contoh Pemimpin Teori Kontingensi Fiedler

Pemimpin Teori Kontingensi Fiedler ini boleh dilihat dalam kepimpinan Jemaah al-Arqam iaitu Ustaz Asaari Muhammad yang dianggap oleh semua pengikutnya sebagai pemimpin agung. Pengikut-pengikut al-Arqam ini terkenal dengan taat setia mereka terhadap pemimpin sehingga mereka menerima apa sahaja ajaran tanpa menafikannya. Sebelum ini, Jemaah al-Arqam adalah satu badan dakwah yang aktif dan gigih menyebarkan ajaran Islam yang bercirikan ajaran tasawwuf. Hasil daripada kegigihan jemaah ini, akhirnya mereka berjaya menarik sebahagian masyarakat Islam di Nusantara amnya dan Malaysia khasnya untuk menyertai kumpulan mereka. Kebanyakkan masyarakat tertarik dengan jemaah ini disebabkan oleh imej kepimpinan yang ditunjukkan oleh Asaari. Sifat beliau yang cukup bijak dalam setiap strategi dakwahnya, mendorongnya mengambil kira setiap aspek. Contohnya, beliau akan memahami dahulu suasana masyarakat yang disasarka seperti budaya, agama, amalan dan geografi. Beliau bijak meyesuaikan kumpulan yang dipimpin olehnya dengan masyarakat dan mudah mesra. Jikalau beliau pergi kepada masyarakat Kristian di luar negara, imej yang dibawa lebih kepada orang korporat yang datang untuk mencari rakan perniagaan, bukan sebagai pendakwah. Ini kerana orang Kristian cukup anti-Islam. Dalam pada masa yang sama, beliau menyelitkan dakwah secara berhemah dan kasih sayang. Strategi-strategi ini menarik ramai masyarakat menjadi pengikutnya. 6.1.3 Teori Laluan Matlamat Kepimpinan memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Teori Kepimpinan Laluan Matlamat (Path Goal Theory) yang diperkenalkan oleh Robert House mencadangkan bahawa tingkah laku pemimpin seharusnya dilihat sebagai suatu tindakan yang boleh memotivasikan pekerja (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). Seorang pemimpin perlu menguatkan hubungan di antara gaya kepimpinannya dengan perwatakan pekerja dan agenda tugas sesebuah organisasi. Dengan ini, pemimpin akan memahami bahawa pekerja akan termotivasi sama ada dalam keadaan merasa berkemampuan untuk mencapai sesuatu tugas yang diberikan ataupun mereka dapat menjangkakan hasil kerja yang akan disiapkan ataupun berkepercayaan tentang aspek penghargaan yang akan diberikan berkaitan dengan hasilnya (http://www.johordtgov.my/%20pmbj/v2/%20index [24.5.07]). Justeru, adalah menjadi cabaran kepada seseorang pemimpin untuk menggunakan gaya kepimpinan terbaik bagi menemukan titik keperluan motivasi pekerja. Pemimpin perlu

menyediakan elemen-elemen yang difikirkan dapat mengisi keperluan pekerja bagi mencapai matlamat organisasi (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). Teori Laluan Matlamat menggariskan tentang empat gaya kepimpinan yang boleh dimanfaatkan untuk memotivasikan pekerja iaitu: a) Kepimpinan berorientasikan arahan (Directive Leadership) Ia dikaitkan dengan gaya menyampaikan atau memberi penjelaskan kepada pekerja. Pemimpin memberikan arahan mengenai sesuatu tugas. Dengan menyertakan mengenai apakah harapannya berkaitan tugas tersebut. Pemimpin juga turut memberikan klu mengenai bagaimana tugas itu boleh disempurnakan dan juga penetapan waktu yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya. Arahan yang baik disampaikan kepada pekerja secara spesifik supaya pekerja mendapat gambaran awal dan kefahaman yang jelas untuk memulakan sesuatu tugasan yang diberikan (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). b) Kepimpinan berorientasikan sokongan (Supportive Leadership) Ia merujuk kepada tingkah laku memberi pertimbangan kepada pekerja. Iaitu dengan gaya beramah mesra dan prihatin sebagai seorang pemimpin. Tingkah laku ini bertujuan untuk mewujudkan suasana kerja yang menyenangkan kepada pekerja. Di samping itu, seorang pemimpin melayan pekerja tanpa berdasarkan mobiliti sosial dan turut menghormati status kedudukan mereka. Gaya kepimpinan ini mampu mewujudkan suasana mesra agar pekerja termotivasi dengan penuh rela hati bagi melaksanakan sesuatu tugasan (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). c) Kepimpinan berorientasikan penyertaan (Participative Leadership) Gaya ini pula merujuk kepada pemimpin yang mengalu-alukan penyertaan pekerja untuk mereka berkongsi menetapkan sesuatu keputusan. Pemimpin membuka ruang untuk rundingan kepada pekerja agar mereka dapat menyumbang idea serta pandangan. Begitu juga dengan peluang untuk meningkatkan cadangan dalam sesuatu keputusan berdasarkan persetujuan organisasi (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index[24.5.07]). d) Kepimpinan berorientasikan pencapaian (Achievement-Oriented Leadership) Kepimpinan dengan gaya ini memberikan cabaran kepada pekerja untuk melaksanakan tugasan pada peringkat tertinggi kemampuan mereka. Pemimpin akan sentiasa mencari peningkatan dan pencapaian yang berkesinambungan. Ini melalui langkah menyatakan keyakinan yang tinggi bahawa pekerja mempunyai kemampuan untuk mencapai matlamat bagi cabaran tersebut (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). Teori Laluan Matlamat tidak mengongkong seseorang pemimpin untuk menggunakan hanya satu

gaya kepimpinan sahaja. Sebaliknya terbuka kepada penggunaan pelbagai gaya mengikut kesesuaian situasi. Cuma ia lebih tertumpu kepada pemberian motivasi kepada pekerja agar mereka lebih bersemangat untuk melaksanakan tugas dengan sempurna (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). e) Contoh Negeri yang Mengamalkan Laluan Matlamat Bagi merealisasikan agenda pembangunan negeri Johor melalui program Kerajaan Cekap, aspek kepimpinan adalah elemen yang sangat penting dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi atau jabatan. Pemimpin berperanan membentuk organisasi yang berkesan dari pelbagai sudut, terutamanya dalam memotivasikan pekerja. Motivasi pekerja perlu diperbaharui dari semasa ke semasa agar pencapaian tugasan dalam organisasi terus meningkat dan berkesinambungan. Kecemerlangan dalam pembangunan negeri adalah terhasil melalui kecemerlangan modal insan dalam setiap organisasi (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). Setiap organisasi terutamanya jabatan-jabatan kerajaan perlu diperlengkapkan dengan pengetahuan mengenai gaya kepimpinan. Demikian agar persekitaran kerja yang kondusif dapat diwujudkan. Pencapaian dalam tugasan sesebuah organisasi juga akan lebih meningkat dengan pemantauan serta keprihatinan para pemimpin yang terdapat di dalam sesebuah organisasi (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07]). Kesimpulannya, pemimpin perlu mengarah (directive) jika sesuatu tugasan yang dihadapi adalah kompleks; sekiranya tugasan bersifat kurang mendesak, gaya menyertai (participative) pula boleh digunakan; jika pekerja mempunyai keinginan ke arah kecekapan berganda, gaya berorientasikan pencapaian (achievement oriented) boleh dimanipulasikan; manakala gaya berasaskan penyertaan (participative) pula digunakan bagi pekerja yang memerlukan kawalan (http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index [24.5.07] 6.1.4 Teori sumber Kongnitif Teori ini menyatakan bahawa kebolehan intelek pemimpin merupakan sumber utama kepada rancangan, keputusan dan strategi yang memandu tindakan kelompok, rancangan, keputusan dan strategi ini dikomunikasikan kepada kelompok dalam bentuk tingkah laku yang mengarah dan akan dilaksanakan jika kelompok menyokong pemimpin dan matlamat organisasi (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 75). Teori sumber Kognitif membawa dua andaian dan tujuh hipotesis. Salah satu hipotesis ini menghubungkan teori baru dengan teori asal. Hipotesis ini menyatakan bahawa unsur

kontingensi iaitu LPC dan kawalan situasi yang terbentuk daripada struktur tugas, hubungan pemimpin pengikut dan kuasa jawatan. Ia meramalkan bukan sahaja prestasi kepimpinan tetapi juga tingkah laku pemimpin. Tingkah laku pemimpin ini pula menentukan bagaimana kebolehan intelek memberi sumbangan kepada tugas. Hipotesis inilah yang memberi saranan kepada kemungkinan menggabungkan pembolehubah-pembolehubah daripada teori asal Fiedler dengan teori laluan matlamat (Aminuddin Mohd. Yusof 1994: 75). a) Contoh Pemimpin Teori sumber Kongnitif Tokoh yang dapat disesuaikan dalam teori ini adalah Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Di Malaysia, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dilihat sebagai seorang pemimpin berintelektual tinggi. Ini dapat dilihat apabila beliau telah mengemukakan wawasan 2020, walaupun jangka masa itu jauh lagi. Beliau hadir sewaktu Malaya diliha memerlukan seseorang intelektual yang mampu berfungsi sebagai seorang pemikir dan beliau sesungguhnya adalah seorang thinking politician yang lebih terserlah berbanding dengan tokoh sezaman dengannya (Sivamurugan 2005: 32). Edward Shils menganggap sekadar mempunyai prasarana masih belum berupaya memastikan berubahnya daya intelektual. Tun Dr. Mahathir dilihat mengeksploitasi suasana dan menggunakan krisis semasa untuk mengetengahkan daya intelektualnya. Golongan intelektual lazimnya terserlah dalam suasana krisis dan krisis 13 Mei 1969 boleh dianggap sebagai sebahagian daripada modern intellectual culture kerana it carries with it a partial transformation of the self and a changed relationship to the authority of the dead and the living. Ciri-ciri yang telah digariskan oleh Edward ini kebetulannya terdapat pada Tun Dr. Mahathir dari aspek pekerjaan iaitu sebagai seorang professional, sementara menggunkan politik sebagai arena yang menyerlah keberkesanan dan kebolehannya sebagai pemikir dan intelektual. Beliau merupakan seorang pemikir intelektual yang meneroka alam pemikiran dan melihat sesuatu secara radikal dalam usaha untuk membangunkan orang Melayu (ibid). Tun Dr. Mahathir merupakan seorang pemimpin yang unik berbanding dengan kepimpinan sebelum ini. Hal ini kerana sejak beliau mengambil alih kepimpinan Negara pada tahun 1981, rakyat mengharap perubahan memandangkan beliau merupakan tokoh yang berwawasan, berjiwa rakyat, radikal dan dahagakan kemajuan untuk menjadi Malaysia sebagai sebuah negara berdaya

saing. Keintelektualan beliau ini jelas boleh dilihat daripada penulisan beliau sehingga kini yang telah dimuatkan dalam akhbar-akhbar seperti The Straits Times dan The Sunday Times,The Malay Dilemma, The Challenge, Way Forward dan A New Deal For Asia untuk mengupas ideaidea beliau. 6.1.5 Teori Bidang Daya Penggerak Teori ini dikemukakan oleh Kurt Lewin (1952). Mengikut teori ini sebarang tingkah laku adalah akibat keseimbangan antara daya penggerak tolakan dan daya penggerak penghalang. Daya penggerak tolakan mendorong ke satu arah, manakala daya penggerak penghalang mendorong ke arah yang lain. Prestasi yang muncul merupakan penyesuaian bagi kedua-dua set daya penggerak itu. Peningkatan daya penggerak tolakan mungkin akan meningkatkan prestasi atau sebaliknya, iaitu berlaku peningkatan daya penggerak menghalang. Contohnya apabila Pengetua meminta guru-guru bertugas di luar kemampuan dengan andaian akan meningkatkan kualiti kerja. Tindakan ini mungkin boleh menyebabkan kebencian dan sikap memberontak yang boleh mengurangkan tahap kerajinan dan kreativiti seseorang guru. Mungkin melalui pendekatan yang betul dan terancang boleh mengubah kepercayaan dalaman, guru-guru akan sukarela melaksanakan perubahan dengan lebih efisyen. Jadual 1 boleh menjelaskan Teori Bidang Daya Penggerak oleh Kurt Lewin. Daya Penggerak Bagi Perubahan Daya Penggerak Bagi Mengekalkan Status (Daya Penggerak Tolakan) (Daya Penggerak Menghalang) Teknologi Baru Norma-norma Prestasi Kumpulan Input Yang Lebih Kebimbangan Terhadap Perubahan Persaingan Dari Kumpulan Lain Rasa Kepuasan Anggota Tekanan Penyelia Kemahiran Yang Dikuasai Tingkat Prestasi Semasa Tingkat Prestasi Yang Lebih Tinggi Jadual 1.

Teori ini menjelaskan perubahan organisasi boleh dipengaruhi oleh perubahan manusia, teknologi, perubahan struktur organisasi, proses dan keadaan. Proses perubahan dianggap sebagai satu sistem di mana jika salah satu faktor tersebut berubah, maka faktor lain juga turut berubah. Ia menjelaskan perubahan perlakuan berlaku hasil dari tiga peringkat perubahan iaitu : Peringkat pencarian. Perubahan baru. Pembentukan semula. Peringkat pencairan melibatkan tindakan menjadikan keperluan bagi perubahan begitu ketara sehinggakan individu, kumpulan atau organisasi dapat melihat atau menerimanya dengan baik. Perubahan baru memerlukan seorang agen perubahan yang terlatih untuk memupuk nilai, sikap dan perilaku yang baru melalui peroses-proses pengenalpastian dan penjiwaan. Para anggota organisasi mengenalpasti nilai, sikap dan perilaku yang dibawa oleh agen perubahan dan menjiwainya apabila mereka telah melihat keberkesanannya. Peringkat terakhir iaitu pembentukan semula bererti memantapkan pola perilaku yang baru itu dengan bantuan alat-alat sokongan, supaya ia menjadi norma yang baru (http://www.geocities.com/padeat68/%20jurnal_Institut%20Pengetua%20.htm[24.5.07]). 6.1.6 Teori Kepimpinan Karismatik Teori Kepimpinan Karismatik dirujuk kepada kepimpinan yang berwibawa dan mampu mempertahankan kepimpinannya kerana pemimpin tersebut dilihat seolah-olah sebagai saviors of the nations. Pemimpin yang mengamalkan teori ini dianggap sebagai agen perubahan, mereka cepat melihat kekurangan dalam apa-apa keadaan sekalipun dan mampu bertindak secara drastik dan professional. Pemimpin seperti ini tidak merasa puas dan sentiasa mencari kesempatan untuk membuat perubahan. Pemimpin seperti ini juga tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir serta ingin melihat hasil perubahan dengan cepat (Jay A. Conger 1996: 34-35). a) Contoh tokoh Teori Kepimpinan Karismatik Tokoh yang dapat disesuaikan dengan teori ini adalah seperti Archie McGill. Beliau merupakan seorang tokoh yang berani dan penuh wawasan. Beliau terkenal dengan sifat yang tidak pernah duduk berdiam diri, ciri-ciri ini menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang berkarismatik. Ketokohan beliau dilihat sewaktu American Telephone and Telegraph (AT&T) mengambil beliau bekerja sebagai pengarah pemasaran di syarikat itu pada awal tahun 1970. Sewaktu menjawat jawatan tersebut, beliau bijak menangani masalah-masalah yang timbul

dalam syarikat. Ini dapat dilihat pada waktu itu, pemasaran telah dibanjiri oleh produk pesaing dari seluruh dunia. Keadaan ini menyebabkan pasaran pemasarannya merosot sama sekali. Bagi menghindari daripada berulang lagi,beliau telah berpaling kepada pasaran luar. Bagi beliau, tanggapan cepat terhadap jualan lebih penting daripada infisiensi intern (Jay A. Conger 1996: 2123). Selain Archie McGill, terdapat tokoh lain juga yang boleh dikaitkan dengan teori kepimpinan ini seperti Mahatma Gandhi, John F. Kennedy, Peron, Sukarno, Tito, Castro, Mao Tze Tung, Nelson Mandela dan Ayatollah Khomeini (Sivamurugan 2005: 11). 7.1 PENUTUP Setiap organisasi memerlukan pemimpin. Tanpa pemimpin sesebuah organisasi tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Ini kerana jatuh bangunnya sesebuah organisasi bergantung kepada pemimpin. Seseorang pemimpin dikatakan berjaya sekiranya dia berjaya menerapkan kepemimpinan yang tepat di dalam organisasinya. Kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada sokongan dan sanjungan semua ahli. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, seseorang bukan sahaja perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga perlu bekerja untuk membina kuasa dalaman lebih dari kekuatan fizikal. Daya kekuatan yang dimaksudkan ialah kekuatan untuk mengawal, mempengaruhi, memujuk, daya memaksa, mengesahkan dan daya membuat rujukan. Terdapat beberapa teori kepimpinan di dalam menguruskan organisasi antaranya ialah teori latar, teori kontigensi Fiedler, teori laluan matlamat, teori sumber kongnitif, teori Karismatik dan juga teori bidang daya penggerak. Teori latar mengambil kira kajian kepimpinan sebagai salah satu cabang psikologi sosial iaitu dengan melihat beberapa perspektif yang berbeza iaitu perspektif kelompok, perspektif konflik perspektif keperluan di pelajari dan perspektif penghakikian diri. Perspektif-perspektif ini pula boleh dilihat melalui tiga pendekatan iaitu pendekatan tret, pendekatan fungsi dan juga pendekatan tingkah laku. Teori kontigensi Fiedler pula mengandaikan tidak munasabah untuk menjangkakan bahawa seorang pemimpin boleh melakukan segala-galanya pada setiap masa lebih baik daripada orang lain. Teori kontigensi dapat dilihat malalui situasi kepimpinan, situasi ini merupakan hubungan yang dijalinkan diantara pemimpin dan juga pengikut serta dimensi kedua dalam membentuk situasi iaitu struktur tugas. Manakala teori laluan matlamat pula ialah peranan kepimpinan dalam menentukan kejayaan sesebuah organisasi. Teori ini menggariskan empat gaya kepimpinan yang boleh di manfaatkan untuk memotivasikan pekerja iaitu kepimpinan berorentasikan arahan, kepimpinan berorentasikan sokongan, kepimpinan berorentasikan penyertaan dan juga

kepimpinan berorentasikan kepimpinan. Teori sumber kongnitif pula menyatakan bahawa kebolehan intelek pemimpin merupakan sumber utama kepada rancangan, keputusan dan strategi yang memandu tindakan kelompok, rancangan, keputusan dan strategi ini dikomunikasikan kepada kelompok dalam bentuk tingkah laku yang mengarah dan akan dilaksanakan jika kelompok menyokong pemimpin dan matlamat organisasi. Teori terakhir iaitu teori bidang daya penggerak dimana sebarang tingkah laku adalah akibat keseimbangan antara daya penggerak tolakan dan daya penggerak penghalang.

You might also like