You are on page 1of 2

Adakah pemimpin dan pengurus itu sama?

Ini perlu diketahui kerana ada pendapat yang


mengatakan terdapatnya perbezaan dan ada
pula yang mengatakan tidak. Soalan ini mungkin terjawab bila kita
meneliti tugas dan tanggungjawab kedua-duanya. Sebenarnya, menjadi
seorang pemimpin bukan sekadar mengendalikan sekumpulan manusia.
Mann (1965) berpendapat, pemimpin memudahkan interaksi
perorangan dan hubungan dalam pekerjaan. Mereka mempromosikan
penstrukturan tugas dan kerja-kerja yang perlu disiapkan. Mereka
juga mengatur dan menilai kerja-kerja yang telah dan akan dilakukan.
Sementara itu, tugas pengurus pula ialah merencana, menyiasat,
menyelaras, menilai, menguruskan penstafan, berunding dan mewakili
(Mahoney, Jerdee & Carroll, 1965, Achua; 2001). Sebenarnya kesemua
fungsi-fungsi pengurusan mempunyai potensi kearah menyediakan
kepimpinan, begitu juga semua aktiviti kepimpinan boleh menyumbang
ke arah pengurusan.
Bennis dan Nanus pula percaya asas kepada perbezaan di
antara keduanya adalah terletak kepada definisi mengurus dan
memimpin. Mengikut ahli-ahli teori situasi “mengurus bermaksud,
bertanggungjawab terhadap sesuatu dan mengendali. Memimpin pula
melibatkan mempengaruhi; memandu arah, kelakuan, tindakan atau
pendapat” (Bennis & Nanus, 1985, m.s. 21). Pengurusan bergantung
kepada kuasa sah yang rasmi untuk mempengaruhi orang lain dan ia
juga memberi penekanan kepada kecekapan. Sebaliknya, kepimpinan
menggunakan proses pengaruh sosial untuk mempengaruhi pengikut
dan memberi fokus kepada keberkesanan. Gardner juga percaya
bahawa pemimpin berfikir untuk jangka panjang, memahami hubungan
kumpulannya dengan organisasi luar, mereka juga cuba menjangkau dan
mempengaruhi konstituensi diluar sempadan kuasanya, memberi
penekanan kepada visi, nilai dan motivasi, mempunyai kemahiran
berpolitik dan selalu berfikir tentang pembaharuan (Gardner, 1990).
Pemimpin tidak berpuas hati dengan status quo, Sebaliknya, mereka
lebih gemar memberi cabaran dan inspirasi kepada pengikut mereka
semasa bekerja bersama dalam mencapai visi organisasi. Bennis dan
Nanus mengatakan “dengan memberi fokus kepada visi, pemimpin
tersebut beroperasi dengan menggunakan sumber emosi dan rohani
organisasi, nilai-nilainya, iltizam dan aspirasi. Ini berbeza dengan
pengurus yang beroperasi dengan menggunakan sumber fizikal
organisasi iaitu dananya, kemahiran manusia, bahan mentah dan
teknologi” (Bennis & Nanus, 1985, m.s. 92).
Satu lagi perbezaan diantara kepimpinan dan pengurusan
ialah kepimpinan melibatkan hubungan dengan pengikut. Ada orang
yang berpendapat pemimpin dan pengikut adalah dua kategori yang
sangat berbeza. Walaubagaimana pun kepimpinan dan kepengikutan
adalah dua konsep yang berangkai dan keduanya mesti difahami. Tanpa
pemahaman salah satunya, maka seseorang itu tidak akan dapat
memahami gambaran sebenar mengenai kepimpinan (Heller & Til, 1982;
Witherspoon, 1997). Sebaik-baiknya hubungan ini patut dilihat
sebagai satu hubungan peranan yang ditemui dalam setiap organisasi.
Witherspoon seterusnya mencadangkan pemimpin dan pengikut
mempunyai peranan yang berkaitan dan saling bergantungan
(Witherspoon, 1997). Hasil dari pergantungan ini, kepimpinan
sebenarnya dianugerahkan oleh pengikut. Dengan itu pengikut yang
baik akan menghasilkan pemimpin yang baik. Edgar Schein juga
berpendapat, di dalam organisasi yang berkesan terdapat paduan
diantara kepimpinan yang baik dan kepengikutan yang baik (Schein,
1965).
Dalam hubungan pemimpin-pengikut, pemimpinlah yang
menetapkan piawai organisasi dengan cara berhati-hati memilih
individu-individu yang perlu beliau berinteraksi, dengan
mengkomunikasikan tujuan dan halatuju dan juga dengan menjadi role
model. Seorang pemimpin juga berperanan memutuskan apakah
tingkahlaku-tingkahlaku yang paling sesuai dalam berinteraksi dengan
pengikut untuk menjamin hasil yang diingini. Gaya kepimpinan yang
digunakan oleh seseorang pemimpin boleh mempengaruhi pencapaian
kumpulan atau matlamat perseorangan (Gardner, 1990). Contohnya,
seorang pemimpin boleh menimbangkan sama ada kumpulannya dapat
berfungsi dengan berkesan sekiranya gaya membuat keputusan secara
demokratik dipilih. Mungkin pada masa yang lain, pemimpin berkenaan
boleh menimbangkan samada fokus patut diberikan kepada tugas atau
kehendak ahli dalam organisasi. Gaya kepimpinan yang dipilih
sesungguhnya “terkesan oleh jangkaan pengikut mengenai bagaimana
pemimpin patut bertindak, persepsi pemimpin mengenai apakah
tingkahlaku yang sesuai di dalam berbagai peranan yang bakal
dimainkannya dan apakah tingkahlaku yang akan melahirkan hasil yang
diinginkan” (Whiterspoon, 1997, m.s. 80). Dalam proses berinteraksi
dengan pengikut-pengikutnya, pemimpin akan membentuk gaya
kepimpinan yang paling berkesan dalam usaha menggerakkan organisasi
kearah pencapaian matlamat.
Walaupun terdapat perbezaan, sekiranya diteliti secara
terperinci, seorang pemimpin yang berkesan akan juga menjalankan
fungsi seorang pengurus dan begitu juga sebaliknya. Organisasi pada
masa ini memerlukan pengurus yang juga mempunyai keupayaan dan
keterampilan untuk memimpin.

You might also like