You are on page 1of 8

SYAIR KEMANGKATAN SULTAN SULAIMAN (Tingkatan 1) Deli tua namanya itu, Kotanya kukuh berpagar batu, Pasarnya ramai

bukan suatu, Tiada berbanding di zaman itu. Baginda berputera tiga orang jua, Laki-laki konon putera yang tua, Puteri cantik putera kedua, Parasnya elok jarang tersua. Putera yang bongsu laki-laki jua, Parasnya elok tiadalah dua, Menarik hati orang semua, Dikasihi rakyat muda dan tua. Adapun akan dulu baginda, Isterinya lama sudah tiada, Banyak dicari gadis dan janda, Hati baginda penuju tiada. Beberapa lama demikian itu, Di atas takhta konon sang ratu, Dengan kehendak Tuhan yang satu, Baginda pun gering suatu waktu. Baginda nan gering bukan kepalang, Badannya kurus tinggallah tulang, Tabib pun selalu dating berulang, Mengubati baginda raja terbilang. Tabib berusaha bersungguh hati, Menolong baginda raja berbakti, Sudah takdir Rabbulizzati, Penyakit tak dapat lagi diubati. Pertolongan tabib tiada berfaedah, Semakin payah sultan yang syahdah, Ajal baginda hampirlah sudah, Ke negeri yang baqa akan berpindah. Dengan hal yang demikian itu, Penyakit menggoda setiap waktu, Ubat pun tiada dapat membantu, Baginda pun mangkat ketika itu. Baginda berpulang ke rahmatullah, Takhta kebebasan semua tinggallah, Harta dunia sudah terjumlah, Kepada yang lain diberikan Allah. Anwar Ridhwan & Rahman Shaari (Penyelenggara) Kumtum Pertiwi Buku 2, 2002 Dewan Bahasa dan Pustaka Sumber lagu asal : Ali Badron Penyampai : Roslan Madun

SYAIR WASIAT AYAHANDA SITI ZAWIYAH (Tingkatan 1) Ada kepada suatu hari, Sakit saudagar laki dan isteri, Adalah kiranya tujuh hari, Tidak bergerak kanan dan kiri. Saudagar tahu akan dirinya, Hampirlah mati kepada rasanya, Lalu memanggil akan anaknya, Dicium kepada dengan tangisnya. Katanya wahai cahaya mataku, Tinggallah tuan buah hatiku, Hampirlah mati gerangan aku, Baiklah tuan tingkah dan laku. Serta hartaku aku tinggalkan, Tuan seorang yang menyukakan, Sampai habis semua diterimakan, Faedahnya akan diberikan. Jikalau tidak anakku berakal, Harta pusaka di manakan kekal, Habislah harta badan yang tinggal, Laksana perahu bersauh tunggal. Kerana harta tiada berguna, Jikalau tidak akan sempurna, Sekalian itu habislah fana, Hanyalah tinggal badan merana. Budi bahasa janganlah lupa, Muliakan olehmu ibu dan bapa, Mana yang dating padamu berjumpa, Janganlah lambat tuan menyapa. Kerana adat orang berbeza, Tiada memandang harta dan benda, Tegur dan sapa itu yang ada, Itu penambah di dalamnya dada.

Anwar Ridhwan & Rahman Shaari (Penyelenggara) Kumtum Pertiwi Buku 3, 1993 Dewan Bahasa dan Pustaka Sumber lagu asal : Jabatan Warisan Negara/Universiti Malaya Penyampai : Roslan Madun

SYAIR NASIHAT (PENGHUJUNG THAMARAT AL-MUHIMMAH) (Tingkatan 2) Dengarlah ayah berperi, Kepada anakanda muda bestari, Nasihat kebajikan ayahnada beri, Amalkan jangan malas dan nyeri. Ayuhai anakanda muda remaja, Jika anakanda menjadi raja, Hati yang betul hendak disahaja, Serta rajin pada bekerja. Kerja kebajikan jangan malas, Zahir dan batin janganlah culas, Jernihkan hati hendaklah ikhlas, Seperti air di dalam gelas. Menuntut ilmu janganlah segan, Ilmu yang benar jangan yang bukan, Iaitu ilmu yang kebajikan, Di kitab ini sudah disebutkan. Hendaklah anakanda mengaji selalu, Dari yang lain lebihkan dulu, Had syarak jangan dilalu, Tidaklah anakanda beroleh malu. Segala perbuatan dengan berilmu, Maka kebajikan boleh bertemu, Jika sebarang-barang diramu, Akhirnya ankanda jatuh tersemu. Ilmu besar faedahnya, Membezakan hal dengan batilnya, Mengetahui rakyat benar salahnya, Supaya dihukumkan dengan adilnya. Jika ilmu tidak diendah, Sebab anakanda cepak permudah, Rakyat datang membawa gundah, Anakanda tercengang tunduk tengadah.

Abu Hassan Sham (Penyelenggara) Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993 Dewan Bahasa Dan Pustaka Sumber lagu : Md Ali Bachik Penyampai : Roslan Madun

SYAIR TENAGA PEMUDA (Tingkatan 3) Tenaga pemuda kalau diasuh, Pimpin dan didik kotor dibasuh, Tidaklah ia menjadi lusuh, Amat berguna menentang musuh. Tenaga pemuda memang terbilang, Tenaga yang sedang gilang gemilang, Beban yang berat dapat dijulang, Benda yang jauh dapat dijelang. Tenaga pemuda tenaga bererti, Tenaga yang berani menempah mati, Tidak mengenal erti nanti, Hanya penuh kemahuan mesti. Tenaga pemuda mestilah sayang, Jangan dibiarkan lemah dan goyang, Di waktu muda tenaga kencang, Berani sampai berputih tulang. Tenaga pemuda kalau dijaga, Kelak akhirnya sangat berharga, Tenaga yang menjadi harapan bangsa, Cegah berani mempertahankan negara.

Custam Negara Puisi Melayu Klasik, 1996 Oscar Book International Sumber lagu asli : Syair lama Penyampai : Roslan Madun

SYAIR SITI SIANAH (Tingkatan 4) Setengah perempuan terlalu janggalnya, Roma di muka pula dicukurnya, Seperti taji berandam di keningnya, Kemudian memakai dengan selengkapnya. Mengagak mengilai terlalu suka, Melihat lelaki ditampakkan muka, Supaya lelaki boleh menyangka, Ianya elok tiada berhingga. Setengah perempuan berapa eloknya, Ada setengah kembang hidungnya, Serta pula kepik batangnya, Seperti buaya besar mulutnya. Setengah perempuan perangainya cela, Habis dipenuh rambut dikepala, Rambut yang sikit disiputnya pula, Memakai cemara berjela-jela. Terkadang muka dibubuh pupuri, Kaki dan tangan lengan dan jari, Jadilah rupanya putih berseri, Pekerjaan tipu sangat digemari. Setengah perempuan yang makan angkat, Memakai gelang bertingkat-tingkat. Memandang lelaki matanya lekat, Dengan jangan suka berdekat. Kaki dan tangan dinaikkan pula, Pura-pura dikatakan ubat segala, Hakikatnya diketahui Allah Taala, Supaya lelaki berhati gila. Berlindunglah kita kepada Allah, Daripada perbuatan yang salah, Mudah-mudahan dilepaskanlah, Jangan menjadi betina sempolah. Setengahnya suka bermain judi, Inilah perangai banyak terjadi, Habis tergadai intan serudi, Kerana perangai sudah membadi. Lelaki perempuan bertindih lutut, Banyak kelakuan yang tidak patut, Sembahyang ibadat sudahlah bantut, Kerana syaitan duduk di buntut.

Abu Hassan Sham (Penyelenggara) Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993 Dewan Bahasa Dan Pustaka Sumber lagu : Jabatan Warisan Negara/ Universiti Malaya Penyampai : Zarina Samah

SYAIR DEFINISI ORANG BERAKAL (Tingkatan 4) Orang berakal sangatlah mulia, Pakaian anbia dan aulia, Barang siapa mengikut dia, Itulah tanda orang bahagia. Kerana ia akalnya tajam, Menjadi kepala bela bermacam, Jikalau mata melihatkan kejam, Disebutlah jalannya ia tersunjam. Telek pandangan dengan makrifat, Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat, Tiada mengasihi orang yang jahat, Takut akhirnya menjadi fazihat. Sebagai lagi tanda berakal, Perintah syarak tidak menyangkal, Menjauhkan tamak hendak tawakal, Ibanya tahu dunia tak kenal. Demikian lagi dengar olehmu, Tanda berakal kasihkan ilmu, Suka mentelaah tiadalah jemu, Mencari kupasan jangan tersemu.

GURINDAM 12 FASAL YANG KEENAM(Tingkatan 4)

Cahari olehmu akan sahabat, Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru, Yang tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri, Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan, Pilih segala orang setiawan.

Abu Hassan Sham (penyelenggara) Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993 Dewan Bahasa dan Pustaka Sumber lagu asal : Rohani B Penyampai : Rusmawani Ishak

Abu Hassan Sham (penyelenggara) Puisi-puisi Raja Ali Haji, 1993 Dewan Bahasa dan Pustaka Sumber lagu asal : Jabatan Warisan Negara/Universiti Malaya Penyampai : Zarina Samah

SYAIR MAKNA RIAK (Tingkatan 5) Kemudian dinyatakan makna riak, Amal ibadat kerana manusia, Inilah kebencian Tuhan yang sedaya, Sebab kerana syirikkan Dia. Supaya disangka ianya wali, Akan dunia tidak peduli, Hemahnya itu sangatlah ali, Tetapi hatinya ke dunia bertali. Terkadang riakkan ia berilmu, Bersurah ketika orang berjamu, Berkata-kata tidaklah jemu, Nahu dan sarap habis diramu. Terkadang bercakap ilmunya mantik, Bicara alhayat konon diselidik, Supaya disangka ianya cerdik, Sukalah orang memberinya gundik. Terkadang riak dengan pakaian, Berserban lilit Allah Taala, Terkadang jazbah seperti gila, Kasadnya hendak jadi kepala.

Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh (penyelenggara) Puisi Melayu Tradisi, 1993 Oxford Fajar Sdn.Bhd. Sumber lagu asli : Md Ali Bachik Penyampai : Roslan Madun

GURINDAM TONGGAK DUA BELAS (Tingkatan 5) Hendak pandai menghargai masa, Jangan dinanti esok lusa. Ketekunan akan membawa kejayaan, Kegigihan bekerja dengan keupayaan. Wajah ceria keseronokan bekerja, Usah berduka bermuram durja. Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan, Bertindak dengan penuh kebijaksanaan. Ketinggian peribadi jadi amalan, Ketelusan hati jadi bekalan. Kekuatan sifat baik hati, Bertimbang rasa dan bersimpati. Pengaruh kepimpinan melalui teladan, Baik buruk jadikan sempadan. Menjadi kewajipan menjalan tugas, Walaupun sederhana tetapi tegas. Kebijaksanaan berhemat perlu diutama, Tidak membazir teliti saksama. Keutamaan kesabaran fikiran tenang, Perkara susah menjadi senang. Peningkatan bakat diberi sokongan, Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan. Nikmat mencipta budaya kreatif, Kembangkan bakat semoga aktif.

Mohd Sidek Mohd Dollah ( Mas Adeki) (penyelenggaraan) Seuntai kasih secebis harapan, 2007 Akam Print Sumber lagu asli : Md. Ali Bachik Penyampaian : Roslan Madun

You might also like