You are on page 1of 12

2.

Rencana

Berkaitan

Perkembangan

Isu-isu

Sains

Teknologi

dan

Masyarakat di Malaysia

2.1

Isu Reka Bentuk/ Inovasi Kestabilan Struktur (Bangunan)

Reka bentuk boleh didefinisikan sebagai penggunaan prinsip-prinsip saintifik, maklumat teknikal dan juga imaginasi bagi struktur mekanikal, mesin ataupun sistem supaya fungsinya dapat berjalan dengan baik dengan memaksimumkan ekonomi dan keefisienan. Bangunan pula biasanya dikaitkan dengan rumah, gedung, prasarana atau infrastruktur dalam kebudayaan atau kehidupan manusia dalam membangunkan peradabannya. Umumnya sebuah peradaban suatu bangsa dapat dilihat daripada teknikteknik bangunan mahupun prasarana yang dibuat ataupun ditinggalkan oleh manusia dalam perjalanan sejarahnya. Oleh kerana bangunan berkaitan dengan kemajuan peradaban manusia, manusia memerlukan ilmu atau teknik dalam membina suatu bangunan. Ilmu triginometri dalam matematik merupakan perkara asas dan sering digunakan dalam pembinaan sesebuah bangunan. Bahkan penggunaan trigonometri turut digunakan pada masa Mesir kuno dalam membangun Piramid.

Pada awalnya manusia hanya memanfaatkan apa yang ada di alam sebagai prasarana ataupun infrastruktur dalam kehidupannya. Kemudian, peradaban manusia berkembang dengan memanfaatkan apa yang ada di alam seperti batu, tanah dan kayu sebagai bahan asas untuk membuat suatu infrastruktur. Bangunan Istana Seri Menanti, Kuala Pilah dan Istana Kenangan, Kuala Kangsar merupakan antara bangunan yang dibina berasaskan bahan asas iaitu kayu. Istana-istana ini kekal stabil dan utuh dari dahulu hingga kini dengan sedikit penambahbaikan dan penyelengaraan daripada pihak yang dipertanggungjawabkan.

Mengikut Datuk Besar Meon, tidak ada sepucuk paku besi pun digunakan dalam pembinaan. Semuanya diperbuat daripada kayu daripada tiang hinggalah ke atapnya dan binaannya dipaku' dengan kayu yang dipanggil pasak. Begitu juga dengan Istana Kenangan, daripada segi bentuk

seni binanya Istana Kenangan ini melambangkan seni bina Melayu tradisional yang mengagumkan. Pembinaan bangunan ini keseluruhannya menggunakan kayu jenis keras, berdindingkan tepas dan beratapkan kayu papan. Pakupaku besi tidak digunakan dalam pembinaan istana ini dan pada kebanyakan bahagian istana ini dihiasi dengan ukiran yang melambangkan corak tradisional. Ini ditambah lagi dengan corak anyaman dinding tepasnya yang berkelarai.

Istana Seri Menanti penuh dengan keunikan. Istana ini masih kukuh tersergam menyaksikan arus pembangunan. Walaupun pembangunan pesat berlaku, tetapi ianya tetap dengan keaslian bentuknya sebagai sebuah istana yang menjadi lambang kebudayaan Melayu yang indah dan mempesonakan. Yang di-Pertuan Muhammad ibni Almarhum Yamtuan Antah menginginkan reka bentuk istana yang menunjukkan dan mempunyai pertalian dengan alam Minangkabau. Oleh itu, istana ini bukan sahaja sekadar menyerupai reka bentuk bangunannya tetapi juga dilengkapi dengan bahagian-bahagian yang melambangkan kekeluargaan, pendidikan dan kesenian asli yang mempunyai perkaitan yang erat dengan budaya Minangkabau dan menjadi ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan.

Berlainan pula dengan reka bentuk dan budaya Istana Kenangan, bentuk bangunan ini agak unik jika dipandang dari bahagian atas bangunan iaitu ia berupa sebilah pedang yang tersimpan di dalam sarungnya. Bentuk ini amat bersesuaian sekali kerana pedang adalah salah satu dari alat-alat kebesaran diraja Negeri Perak. Sesuai dengan nama Istana Kenangan, kini istana ini yang telah dijadikan Muzium Diraja benar-benar memancarkan dan mengembalikan kenangan para pelawat muzium ini kepada kerajaan dan tamadun Melayu yang asli. Ini dapat dilihat daripada reka bentuk bangunan, ukiran-ukiran yang indah serta pameran urutan sejarah Negeri Perak semenjak Kerajaan Bruas lagi. Muzium Diraja ini bukan sahaja memaparkan artifak-artifak sejarah dan kebudayaan tetapi juga siratan sejarah bangsa Melayu dan keagungannya pada masa silam.

Pada masa berikutnya pula, peradaban berkembang lagi dengan ditemukannya bahan-bahan lain yang boleh digunakan untuk membuat alat mahupun benda yang mampu membina sebuah bangunan seperti barang logam, batuan kapur, pasir dan tanah.

Allah berfirman:

()
Ertinya: Sesungguhnya rumah yang pertama dibangun untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makkah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia (Ali Imran: 96)

Para ulama dalam menafsirkan ayat ke-96 dari surah Ali Imran, bahawa rumah ibadah yang mula-mula dibangun untuk manusia adalah Baitullah (Kabah), bahkan as-Sudi menegaskan sebagai bangunan pertama yang diletakkan di muka bumi secara mutlak.

Berdasarkan kepada pencarian maklumat dan pembacaan, tiada fakta yang menyatakan terdapat bangunan pertama yang dibina di Malaysia ini. Oleh itu, saya hanya memperolehi maklumat daripada Arkib Negara Malaysia berkaitan Kota AFamosa antara bangunan tertua dan bersejarah di Malaysia. Kota AFamosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. AFamosa merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia. Pada mulanya, Alfonso de'Albuquerque iaitu Ketua Portugis pada masa itu bercadang membina kota ini daripada kayu dan batu, tetapi kemudiannya mengarahkan supaya kota ini dibina daripada batu sepenuhnya

memandangkan kemudahan bahan itu pada masa itu.

Kemudiannya, manusia beralih ke arah memenuhi kepentingan dan keperluan asas mereka iaitu pembinaan tempat untuk berlindung. Misalnya, dahulu manusia memanfaatkan gua sebagai tempat tinggal dan perlindungan

daripada sebarang ancaman. Kini, rumah menjadi tempat perlindungan kepada mereka. Rumah merupakan salah satu peralatan budaya yang penting dalam kehidupan sesuatu masyarakat. Sebagai contoh, rumah Melayu dan pembinaannya menggambarkan satu bentuk budaya bagi orang Melayu yang mendiaminya.

Secara amnya, rumah diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia atau nipah atau pun kayu. Tingkap-tingkap mendominasi tampak dari segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya kepada rumah. Tambahan pula, budaya dan adat resam juga memainkan peranan yang besar dalam membentuk seni bina rumah Melayu. Misalnya kehadiran Islam telah mempengaruhi orientasi bangunan mengarah ke kiblat.

Selain mengklasifikasikan rumah sebagai bangunan dan prasarana untuk manusia berlindung, kehidupan manusia juga bergantung kepada agama, kepercayaan, adat resam dan budaya masing-masing. Misalnya, masjid merupakan rumah ibadat kepada umat Islam untuk tunduk dan bersujud kepada Allah S.W.T. Begitu juga dengan kaum-kaum lain yang ada di Malaysia seperti Cina dan India. Mereka juga mempunyai rumah ibadat masing-masing.

Dalam masyarakat yang beragama Islam, Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini dan turut disenaraikan antara masjid paling bersejarah di Asia Tenggara. Masjid Kampung Laut juga merupakan sebuah masjid yang terletak di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Usia masjid ini dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Berdasarkan Portal Rasmi Kerajaan Negeri Kelantan, masjid yang asal bukannya apa yang dilihat pada hari ini. Ia merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia. 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan ini. Binaan tambahan ini menggunakan teknik 'Tebuk-Pasak' yang amat unik. Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun.

Malangnya, asas masjid itu lemah. Dibina di tebing sungai, masjid itu sering dilanda oleh banjir kilat seperti banjir tahun 1926 yang dikenali sebagai "Bah Air Merah" yang melemahkan lagi asasnya. Selepas dilanda sekali lagi oleh banjir yang teruk pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian masjid itu, Persatuan Sejarah Malaysia mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat. Pada tahun 1968, masjid itu dibuka dan dipasang semula di kawasan Sekolah Pengajian Islam di Nilam Puri. Hal ini jelas menunjukkankan ilmu pengetahuan mengenai faktor yang

mempengaruhi kekuatan dan kestabilan sesuatu bangunan itu penting dalam memulakan pembinaan suatu infrastruktur. Dalam kes ini, faktor luas tapak dan ketinggian yang menjadi ukuran kepada kestabilan sesuatu struktur bangunan. Kedudukan masjid ditebing sungai sebelum itu memberikan ruang yang sangat minima untuk menyokong kestabilan masjid tersebut. Hal ini kerana semakin besar luas tapak, semakin stabil struktur bangunan itu.

Di Malaysia, reka bentuk seni bina Cina terdiri daripada dua jenis iaitu tradisional dan Baba-Nyonya. Contoh seni bina tradisional termasuk yang terdapat pada kuil Cina di seluruh negara seperti kuil Cheng Hoon Teng yang dibina pada 1646. Kebanyakan rumah lama terutamanya di Melaka dan Pulau Pinang adalah daripada warisan Baba-Nyonya. Rumah-rumah ini juga telah dijadikan simbolik kebudayaan bagi masyarakat mereka. Kombinasi reka bentuk seni bina yang jarang dilihat iaitu elemen Cina dan Barat ditunjukkan pada masjid Terengkera di Melaka. Hal ini jelas apabila bentuk bumbung masjid itu mempunyai pengaruh Cina iaitu menyerupai pagoda dan digabungkan dengan butiran Barat seperti pada birai dan susur.

Reka bentuk menara yang menyamai senibina pagoda pada masjid Terengkera.

Sesungguhnya jelas menunujukkan reka bentuk bangunan yang terdapat di Malaysia memiliki keunikan yang tersendiri pengaruh daripada budaya masyarakat yang berbilang agama dan kaum. Tambahan pula, bangunan negara ini juga kaya dengan nilai estetikanya. Namun, terdapat juga bangunan yang telah mengalami inovasi kesan daripada arus

pemodenan kini. Sektor pembinaan di Malaysia nampak begitu berkembang pesat dan maju sejak era 90-an lagi. Malah, dewasa ini terdapat begitu banyak bangunan yang didirikan seperti peribahasa Melayu menyatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Industri binaan di Malaysia semakin berkembang setiap tahun kerana permintaan yang tinggi terhadap hartanah. Oleh itu, semakin banyak jugalah bangunan yang perlu diselenggara. Penyelenggaraan penting bagi memastikan bangunan yang dibina berkualiti dan dapat berfungsi dengan baik agar keselamatan dan keselesaan pengguna atau penghuni bangunan tersebut terjamin. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui bagaimana suatu bangunan itu dihasilkan dan diselenggara.

Pada zaman yang serba canggih selari dengan perkembangan Sains dan Teknologi, kini asas pembinaan sesuatu bangunan yang pertama ialah konkrit. Konkrit dihasilkan daripada simen, batu baur kasar, batu baur halus dan air yang digaul mengikut kadar campuran tertentu dan dibiarkan mengeras supaya membentuk suatu anggota struktur. Konkrit merupakan satu daripada bahan binaan yang paling banyak digunakan. Oleh hal yang demikian, teknik membuat konkrit yang baik kualitinya mesti difahami dan diperhati dengan teliti. Kualiti konkrit ini bergantung pada kualiti bahan mentah yang digunakan, kadar campuran, amaun air yang digunakan, cara menggaul, cara mengangkut, cara menimbunkan dan memadatkan konkrit, kualiti acuan dan cara pengawetan. Kesemua aspek ini merupakan ukuran yang penting dalam proses pembinaan sesuatu infrastruktur agar tidak mendatangkan isuisu yang buruk pada masa akan datang.

Bagi mana-mana projek pembinaan, isu kerosakkan bangunan sememangnya tidak dapat dielakkan. Malah, isu ini sudah menjadi fenomena biasa dalam industri pembinaan. Oleh itu, kesedaran tentang pentingnya kestabilan dan kekuatan sesebuah bangunan perlu dipertingkatkan lagi secara

global dan holistik supaya bukan sekadar isu kerosakan bagunan dapat dicantas bahkan isu-isu lain seperti keretakan dan keruntuhan bangunan juga dapat disingkirkan dalam industri pembinaan di negara kita. Para pemaju, arkitek dan jurutera pembinaan seharusnya bergabung dalam menitikberatkan faktor-faktor yang mempengaruhi kestabilan dan kekuatan struktur bangunan sebelum bercadang untuk mendirikan sesebuah bangunan. Selain itu aspek persekitaran seperti faktor kandungan kelembapan, tindak balas kimia dan pergerakan tanah juga memainkan peranan yang penting dalam pembinaan bangunan. Kegagalan dalam mengambilkira aspek persekitaran akan mengakibatkan kerosakkan pada struktur bagunan itu kelak. Kerosakan yang mungkin timbul adalah seperti keretakan dalam dan luar bangunan serta keruntuhan lantai.

Baru-baru ini isu keretakan bangunan pangsapuri Taman Permata di Dengkil telah mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia. Semua penghuni pangsapuri itu terpaksa berpindah akibat struktur bangunan yang retak, senget dan tidak seimbang. Perkara ini berlaku akibat pemendapan tanah di kawasan itu. Malah setelah diselidik, bangunan berkenaan juga tiada kelulusan Certificate of Fitness (CF) walaupun pangsapuri ini telah dibina selama 14 tahun. Hal ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa terutamanya pihak pemaju dan jurutera terlibat dalam menitikberatkan aspek persekitaran. Mereka perlu sensitif kepada persekitarannya dalam membuat pemilihan kawasan kediaman. Situasi ini telah mendatangkan akibat buruk kepada penghuni pengsapuri tersebut.

Keretakan yang berlaku di dalam dan luar Pangsapuri Taman Permata.

Selain itu, isu bangunan runtuh juga pernah berlaku di negara kita akibat daripada pengabaian aspek persekitaran sebelum pembinaan

bangunan didirikan. Tragedi Highland Towers setinggi 12 tingkat di Hulu Kelang adalah antara tragedi sadis yang meragut banyak nyawa dan mengakibatkan kerugian harga benda yang tidak ternilai. Tragedi ini juga mencatatkan sejarah dalam industri pembinaan di Malaysia kerana

merupakan kejadian pertama yang berlaku membabitkan bangunan tumbang di negara ini.

Secara umumnya punca-punca tragedi tersebut adalah disebabkan pembinaan bangunan di pinggir kawasan tanah tinggi sememangya tidak sesuai khususnya di kawasan iklim Khatulistiwa dan Tropika yang mempunyai jumlah hujan yang tinggi. Tambahan pula, pembinaan kondominium di lereng bukit juga adalah bercanggah dengan Akta Pemuliharaan Tanah 1960. Akta itu melarang pembangunan dilakukan di lereng bukit dengan kecerunan lebih daripada 18 kerana sebab-sebab yang berkaitan dengan alam sekitar. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Penyiasatan Teknikal punca utama berlakunya kejadian ini adalah kejadian gelinciran tanah yang berlaku secara berlebih-lebihan terhadap cerun bukit di bahagian belakang bangunan kondominium tersebut.

Selain itu, kesilapan dalam reka bentuk tembok penahan yang dibina di belakang Blok Satu Kondominium Highland Towers juga antara punca berlakunya tanah runtuh itu. Perunding jurutera geoteknikal, Prof Noel Edward Simons menyalahkan reka bentuk tembok penahan kondominium yang runtuh itu adalah tidak sempurna. Oleh yang demikian, tragedi seperti ini harus dijadikan ikhtibar kepada semua pihak terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam projek pembinaan bangunan. Pihak-pihak yang terlibat semasa peringkat reka bentuk, seharusnya mempunyai pengetahuan yang lebih luas dalam aspek reka bentuk dan pembinaan bangunan. Mereka sepatutnya kompeten dan mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bahan

pembinaan, produksi dan pengawalan tapak binaan serta teknik-teknik pembinaan.

Tragedi runtuhan 1 daripada 3 blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang, Selangor, pada 11 Disember 1993.

Pada zaman yang serba canggih ini, kebanyakan pihak lebih mementingkan keuntungan yang diperolehi daripada mementingkan

keselamatan nyawa individu lain. Tambahan pula, terdapat segelintir arkitek yang cuma mementingkan nilai estetika pada bangunan mereka tanpa memikirkan kekuatan dan kestabilan bangunan berkenaan. Pekara ini mendorong kepada pemilihan bahan yang tidak sesuai dan sukar untuk diselenggara kelak. Manakala, sikap jurutera yang hanya bersikap ambil mudah sahaja memberikan impak negatif dalam struktur sesebuah bangunan. Segala reka bentuk struktur yang dilakukan, tidak berlandaskan kepada faktorfaktor penting yang patut diambilkira. Kurangnya sifat sensitiviti dalam diri seseorang jurutera itu akan menyebabkan pemilihan bahan yang tidak sesuai digunakan. Pemilihan gred konkrit bagi sesuatu pembinaan penting kerana ia memerlukan sifat sensitiviti terhadap persekitaran supaya tidak berlaku kesilapan semasa projek pembinaan yang boleh menyumbangkan masalah kelak.

Lazimnya, masalah kerosakan bangunan juga bepunca daripada penggunaan bahan binaan yang bermutu rendah. Hal ini kerana bahan yang bermutu rendah dapat menjimatkan kos walaupun diketahui bahan tersebut tidak melepasi dan mencapai tahap spesikasi. Faktor inilah menyumbang kepada kegagalan struktur binaan tersebut. Kesan daripada penggunaan

bahan binaan yang bermutu rendah ini akan menyumbang kepada masalah pengaratan dan peleraian bahan. Sesetengah bahan yang tidak dapat bertahan lama, mudah peroi dan patah. Hal ini berlaku disebabkan bahan itu terdedah kepada haba panas atau cahaya matahari. Oleh itu, beberapa langkah atau cadangan boleh dilakukan bagi mengelakkan isu ini terus menular dalam industri pembinaan negara ini. Pihak yang bertanggungjawab seperti penyelia perlulah memastikan sijil atau waranty daripada bahan diperolehi daripada pengeluar untuk mengetahui kualiti bahan binaan yang digunakan. Ujian-ujian terhadap kekuatan dan ketahanan bahan seperti ujian kiub hendaklah dijalankan untuk mndapatkan keupayaan kekekuatan sebenar.

Selain itu, salah satu punca berlakunya isu-isu berkaitan dengan struktur binaan bangunan adalah kurangnya kemahiran yang dimiliki oleh kontraktor dan pekerja pembinaan. Ketidakmahiran kontraktor dan pekerja akan menyebabkan kualiti hasil pembinaan yang dihasilkan tidak bermutu. Hal ini kerana mereka kurang pengetahuan dalam kejuruteraan awam dan

menyebabkan cara pembinaan yang dihasilkan tidak mengikut spesifikasi atau piawaian yang betul. Tambahan pula, pekerja yang tidak mahir akan melakukan kesilapan dan menyababkan sesebuah bangunan yang sedang dibina itu tidak kukuh serta tidak mustahil akan menyebabkan masalah keruntuhan pada bangunan tersebut.

Oleh itu, kerajaan perlulah memainkan peranan penting dalam memastikan kontraktor yang dipilih untuk membina sesebuah bangunan mengikuti ketetapan atau peraturan yang telah ditetapkan. Kontraktor mestilah memastikan semua kerja pembinaan mengutamakan standard pembinaan yang betul dengan penggunaan bahan binaan yang berkualiti. Seterusnya, kontraktor berperanan untuk menyemak secara terperinci segala spesifikasi kerja dan mentafsir kandungan spesifikasi dan arahan kerja dengan tepat. Sebarang kekeliruan yang melanda semasa pembinaan seharusnya merujuk kepada perunding atau perekabentuk dan pengurus projek yang

dipertanggungjawabkan.

Selain itu, kerajaan juga perlu menguatkan kuasa undang-undang dengan memastikan segala bahan binaan yang digunakan terutamanya konkrit perlu melepasi ujian dan penilaian agar setiap bahan yang akan digunakan berkualiti. Beberapa ujian yang boleh dilakukan ialah ujian komposisi kimia, ujian kehalusan, ujian masa memejal, ujian kekuatan dan ujian soundness. Ujian ini boleh dijalankan pada simen Portland dan simen cepat mengeras. Manakala, ujian yang boleh dilakukan pada batu baur pula ialah ujian tekstur dan bentuk butiran, ujian kekeuatan baur dan kekeuatan ikatannya, ujian sifat fizikal batu baur dan ujian penggredan batu baur. Sepertimana konkrit, batu-bata juga perlu melalui beberapa ujian tertentu bagi mengawal mutu batu-bata yang digunakan. Ujian yang boleh dilakukan ialah ujian kekuatan mampatan, ujian penyerapan air dan ujian keperoian.

Kesan atau implikasi isu berkaitan dengan kerosakan, keretakan atau keruntuhan bangunan ini sedikit sebanyak akan memburukkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin membangun. Masyarakat atau individu dari negara lain akan berpendapat rakyat Malaysia tidak mempunyai keadibiliti sebagai jurutera yang berjaya kerana menghasilkan bangunan yang tidak berkualiti. Tambahan pula, pihak luar akan beranggapan Malaysia masih tidak berkembang terutama dalam bidang Sains dan Teknologi kerana masih gagal memenuhi spesifikasi dan piawaian yang betul dalam membina bangunan. Selain itu, Malaysia akan dikenali sebagai sebuah negara yang lemah kerana mempunyai peraturan yang longgar disebabkan masih gagal membendung rasuah dalam kalangan kontraktor dan pemaju yang menggunakan bahan yang bermutu rendah dan tidak mengikut spsifikasi yang ditetapkan.

Beberapa cadangan yang boleh digunakan bagi mengelakkan isu-isu berkaitan dengan bangunan ini antaranya ialah pihak-pihak yang terbabit sepatutnya lebih peka dalam menyelaraskan dan memperbetulkan perkara yang silap. Contohnya sebelum memberi sebarang kelulusan, pihak kerajaan harus memastikan pelan rekaan arkitek adalah stabil dan kualiti binaan kontraktok mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Badan yang

bertanggunghjawab memberi kelulusan projek mestilah dianggotai oleh ortang yang benar-benar pakar, profesional dan tidak berkepentingan. Selain itu,

pasukan Geo-Teknik diwujudkan berfungsi untuk mengkaji struktur fizikal tanah dan binaan sesebuah bangunan tinggi dari semasa ke semasa. Hal ini kerana ketinggian sesuatu bangunan juga mempengaruhi kekuatan dan kestabilan sesuatu struktur bangunan itu sendiri. Seterusnya, masyarakat khususnya perlulah berkerjasama dalam membasmi isu-isu pembangunan ini dengan berani tampil memberi maklumat jika telah dirasuah untuk menutup mulut sekiranya melibatkan keselamatan orang ramai seperti ketidaklulusan CF pada sesuatu bangunan.

Jika

diimbau

pada

sejarah,

binaan

dahulukala

sememangnya

menggunakan kayu sebagai asas binaan. Setelah bahan berasaskan batuan mula maju, kayu mula dipinggirkan. Kini, permintaan terhadap binaan berasaskan kayu meningkat kembali. Bagi sesetengah individu, binaan berasaskan kayu lebih memberi kepuasan dan nilai estetika yang tinggi kepada pemiliknya. Namun, setelah diselidik banyak kelemahan yang terdapat pada kayu untuk dijadikan sebagai bahan binaan. Kayu mudah terbakar dan merebakkan api. Selain itu, kayu juga mudah mengecut dan meleding serta mudah diserang oleh serangga perosak seperti anai-anai. Sesungguhnya, bangunan yang baik memerlukan asas yang kuat. Pada masa kini, bahan binaan konkrit merupakan bahan asas yang kuat dan sesuai untuk membina bangunan. Semua pihak yang bertanggungjawab seperti pihak kerajaan, jurutera, arkitek, pemaju, pekerja dan masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah berkaitan kerosakan bangunan di Malaysia agar jalan penyelesaian yang sesuai dapat dilakukan seterusnya dapat melakukan tindakan yang sewajarnya.

You might also like