You are on page 1of 12

Pencemaran Bunyi

Disediakan Oleh: Nurul Nadiah bt Kamal Pengenalan: Pencemaran bunyi adalah salah satu daripada pencemaran alam. Jika pencemaran alam sekitar yang lain memberi impak kepada ekologi, ekosistem dan penghuni alam, pencemaran bunyi memberi kesan langsung kepada manusia. Bunyi bising bukanlah sesuatu perkara asing kepada kita. Kebisingan yang berlaku berbeza antara satu sumber dengan sumber yang lain. Gangguan yang berlaku juga bergantung kepada persepsi individu masing-masing sama ada boleh bertoleransi atau tidak. Misalnya ada orang yang cepat melenting jika mendengar bunyi motor yang bising tetapi ada orang yang masih boleh bertahan ke suatu tahap yang lebih tinggi. Seperti juga pencemaran air dan udara, bunyi juga boleh dianggap sebagai suatu pencemaran kerana ia menyebabkan gangguan. Walau bagaimanapun, pencemaran bunyi ini biasanya tidak mendapat perhatian khusus seperti pencemaran air dan udara kerana mungkin disebabkan sifat tidak boleh dilihat serta kehadiran yang biasanya akan lenyap dalam suatu jangka masa yang singkat. Pada masa kini, aktiviti manusia seharian dan perkembangan teknologi telah menyebabkan paras bunyi menjadi semakin tinggi berbanding zaman dahulu. Sebagai contoh, bilangan kenderaan di jalan raya telah semakin meningkat, bilangan penduduk yang bertambah menyebabkan aktiviti-aktiviti sosial boleh menghasilkan bunyi bising serta penciptaan kapal terbang dan jet merupakan antara beberapa contoh pertambahan bunyi di persekitaran. Oleh yang demikian, menurut Hamidi Abdul Aziz (2008), pencemaran bunyi pada masa ini telah mula diberi perhatian serius lebih-lebih lagi apabila bunyi dikaitkan dengan kesihatan manusia. Keadaan kesihatan yang dimaksudkan antaranya adalah kerosakan pendengaran pekerja di persekitaran yang bising juga telah memungkinkan standard bunyi diperkenalkan.

Menurut OECD (2003), perhatian kurang diberikan kepada bunyi bising berbanding pencemaran lain kerana beberapa faktor antaranya adalah bunyi bising merupakan suatu masalah setempat. Dimana ia berlaku di kawasan yang berhampiran dengan sumber bising sahaja. Ia tidak dipindahkan dalam jarak yang jauh sama ada melalui udara mahu pun melalui air. Selain itu, faktor kesukaran untuk mengenalpasti kesan-kesan kerosakan segera akibat terdedah kepada bunyi bising dalam keadaan normal. Keadaan ini menyebabkan masyarakat kurang sedar akan bahaya pencemaran bising dan seterusnya kurang memberikan perhatian terhadapnya .

Menurut Kamus Dewan Bahasa edisi ketiga, bunyi bermaksud getaran di dalam medium yang bergetar pada frekuensi tertentu yang dapat didengar oleh telinga manusia. Bunyi merupakan gelombang mekanikal, kerana perambatannya memerlukan medium udara. Terdapat tiga komponen utama yang dapat menghasilkan bunyi. Komponen tersebut adalah sumber bunyi, medium, dan pendengar. Perambatan buyi menghasilkan gelombang bunyi. Gelombang bunyi bergerak melalui pepejal, cecair dan gas tetapi tidak melalui vakum. Ini kerana tenaga bunyi dipindahkan oleh getaran molekulmolekul udara dalam siri mampatan dan renggagan udara. Terdapat pelbagai kegunaan bunyi dalam kehidupan manusia. Antaranya adalah memudahkan manusia berhubung dengan berkomunikasi antara satu sama lain. Selain itu, bunyi juga digunakan oleh manusia semasa menggunakan alat muzik untuk berhibur. Malah bunyi juga merupaka elemen penting dalam agama Hindu.. Bunyi loceng sering digunakan oleh sami semasa aktiviti pemujaan ketika di kuil. Manakala dalam agama Islam pula, bunyi azan digunakan bagi menandakan waktu solat telah tiba. Dewasa ini, manusia dilihat semakin memanfaatkan kegunaan bunyi. Terutama sekali dalam bidang perikanan dan juga perubatan. Di dalam, bidang perikanan laut dalam, nelayan-nelayan telah menggunakan gelombang ultrasonik bagi mengetahui kedalaman laut tersebut dan mengesan kehadiran spesies hidupan laut. Manakala dalam bidang perubatan, gelombang bunyi digunakan bagi mengenalpasti jantina bayi di dalam rahim. Walaupun banyak kegunaan bunyi kepada kehidupan manusia, tetapi akibat daripada kepesatan pembangunan dan populasi masyarakat yang semakin bertambah menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi. Menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia, pencemaran bunyi bunyi ditakrifkan sebagai bunyi yang keterlaluan sehingga memekakkan telinga sesiapa yang mendengarnya. Pencemaran bunyi biasanya berlaku apabila melebihi 80 desibel (dB). Menurut Stephen and Mark (2003) pencemaran bunyi adalah bunyi yang tidak diingini dan menyebabkan gangguan dan memberikan tekanan pada manusia sehingga menimbulkan perasaan marah dan tertekan.

Selain itu, menurut Hamidi (2008), istilah paling mudah bagi pencemaran bunyi adalah bunyi yang tidak dikehendaki dan boleh diertikan sebagai sebarang bunyi yang boleh memberi gangguan psikologi dan kesan sosial kepada seseorang atau kumpulan. Contohnya seperti gangguan percakapan, kerja, berehat, rekreasi, tidur dan sebagainya. Bunyi ini boleh tersebar melalui medium udara, air dan bahan pepejal yang lain seperti kayu, besi dan sebagainya. Berdasarkan definisi tersebut dapat dirumuskan bahawa tidak terdapat seorang pun pada hari ini yang boleh terlepas dari pencemaran bunyi bising. Ia juga terjadi tanpa mengira batasan politik atau sosial. Pencemaran bunyi bising didapati seringkali dilupakan atau diabaikan berbanding dengan pencemaran lain seperti air dan udara. Keadaan ini terjadi mungkin disebabkan pencemaran bunyi bising merupakan suatu pencemaran yang tidak meninggalkan sisa kepada alam sekitar. Menurut Mulholland (1981), pencemaran bunyi telah berlaku sejak beratus tahun dahulu lagi. Pada zaman Rom purba, pencemaran bunyi sering berlaku akibat daripada bunyi bising yang terhasil daripada geseran bunyi roda kenderaan berkuda dan jalan berbatu. Ia telah menyebabkan gangguan tidur terutama sekali pada waktu malam. Kesannya, kerajaan pada zaman itu telah mengambil langkah dengan mengharamkan penggunaan kenderaan berkuda pada waktu malam. Manakala, kerajaan pada zaman pertengahan di negara-negara Eropah pula memperkenalkan jalan raya yang berturap bagi mengurangkan bunyi bising yang disebabkan oleh kenderaan beroda. Ternyata, pencemaran bunyi telah berlaku sejak sekian lamanya dan semakin meningkat sehingga hari ini kesan daripada pembangunaan dan kepesatan teknologi. Terdapat empat jenis pencemaran bunyi. Antaranya adalah kebisingan selanjar, kebisingan fluktasi, hentakan impuls dan kebisingan selang seli. Bagi kebisingan selanjar ia berlaku pada desibel kurang daripada 3. Sebagai contoh apabila seseorang sedang berbisik. Kedua, adalah kebisingan fluktasi. Kebisingan ini terletak antara puncak gelombang yang tinggi dan rendah. Pada tahap ini getaran gelombang bunyi akan bergetar dengan lebih cepat daripada kebisingan selenjar. Sebagai contoh, bunyi enjin kenderaan atau orang sedang bercakap.

Manakala, yang ketiga adalah hentakan impuls. Bunyi yang terhasil adalah lebih kuat dan berlaku dalam tempoh yang lebih singkat. Contoh, apabila berlaku tembakan, ketukan atau lagaan daripada benda yang keras. Pada kebiasaannya, tahap ini getaran gelombang akan memuncak dan menurun dengan cepat. Pada tahap ini intensiti bunyi adalah melebihi 80 dB kemudian gelombang bunyi akan menurun. Akhir sekali, jenis kebisingan selang-seli. Kebisingan ini berlaku secara berselang-seli. Ianya dihasilkan apabila bunyi bising menjadi perlahan dan kuat dalam jangka masa yang pendek. Contoh adalah ketika seseorang sedang menggergaji kayu, getaran akan berlaku ketika gergaji itu bergerak dan getaran tidak akan berlaku apabila gergaji kayu dihentikan. Semasa gergaji sedang ditarik intensitinya akan meninggi pada kadar tertentu dan menurun apabila gergaji tidak disorongkan. Terdapat dua sumber utama yang menghasilkan pencemaran bunyi. Iaitu daripada alam semulajadi dan perbuatan manusia. Pencemaran bunyi yang berpunca daripada sumber semulajadi seperti bunyi guruh, bunyi air terjun mengalir dan bunyi haiwan. Tetapi, kebanyakan bunyi semulajadi yang dihasilkan memberi kebaikan kepada pendengar berbanding keburukan. Sebagai contoh, bunyi cengkerik, bunyi ombak membadai dan bunyi air terjun menghempas dapat menenangkan jiwa dan mental seseorang. Sumber yang kedua adalah punca yang disebabkan oleh perbuatan manusia. Sebagai contoh pencemaran bunyi banyak terhasil daripada bunyi-bunyi kenderaan, kawasan binaan dan kuari serta tabiat masyarakat. Bunyi bising sering terhasil daripada bunyi-bunyi kapal terbang yang menggunakan enjin berkuasa tinggi untuk terbang dan menjalankan operasi. Selain itu, pencemaran bunyi juga terhasil daripada kebisingan bunyi hon dan enjin kereta di jalan raya akibat daripada kesesekan jalan raya. Setiap tahun, bilangan penggunaan kenderaan darat di Malaysia mengalami proses peningkatan. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada tahun 1987, jumlah kenderaan bermotor di Malaysia ialah 3.6 juta meningkat sehingga 6.8 juta pada tahun 1995 dan terus meningkat sehingga 10.5 juta pada tahun 2000 dan pada tahun 2004 menjadi 13.7 juta.

Pertambahan bilangan kenderaan ini menunjukkan bahawa alam sekitar menjadi lebih parah dengan pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh kenderaan-kenderaan tersebut. Kemudian, pencemaran juga disebabkan oleh bunyi bising daripada aktivitiaktiviti pembinaan apabila mereka menggunakan jentera yang besar untuk menyiapkan sesebuah binaan. Bagi yang tinggal di kawasan kuari pula,bunyi yang agak kuat sudah biasa didengari oleh orang tempatan kerana kuari menggunakan bahan letupan untuk memecahkan bongkah batu yang besar. Pembinaan kawasan kuari yang berdekatan dengan kawasan perumahan akan menimbulkan ketidakselesaan bukan sahaja disebabkan bunyi yang terlalu kuat tetapi pencemaran udara yang berdebu. Malah memetik laporan akhbar New Sabah Time, penduduk Kampung Lahon, Ranau melaporkan bahawa pembinaan kuari menyebabkan kesihatan penduduk semakin merosot terutama sekali pendengaran mereka. Selain itu, kawasan rumah mereka juga dicemari dengan debu-debu dan asap yang menyebabkan mereka mengalami sesak nafas. Di samping itu, punca utama masalah pencemaran bunyi berlaku adalah disebabkan oleh sikap masyarakat sendiri. Terdapat masyarakat yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menganggu kehidupan masyarakat lain.

Sesetengah daripada mereka suka membuka radio, televisyen dan alat hiburan yang lain dengan sangat kuat sehingga mengganggu kawasan kejiranan . Ada pula yang suka bercakap dengan nada yang agak tinggi. Walaupun perkara ini dilihat agak remeh,tetapi perkara ini adalah punca utama penghasilan pencemaran bunyi. Selain itu, kesedaran masyarakat di Malaysia mengenai kesan pencemaran bunyi juga masih rendah. Masyarakat masih belum sedar akan betapa bahayanya kesan pencemaran tersebut kepada kehidupan dan kesihatan manusia. Isu yang sering timbul akibat daripada pencemaran ini adalah berkaitan dengan kesihatan manusia. Kesan yang paling ketara adalah menganggu sistem pendengaran manusia. Seperti yang diketahui, semakin meningkat umur seseorang, organ telinga yang berfungsi menukarkan bunyi kepada isyarat yang difahami oleh otak akan menjadi semakin lemah. Apabila umur seseorang makin meningkat, kecekapan untuk

mendengar semakin kurang. Tetapi jika seseorang mendapat pendedahan kepada kebisingan yang kuat untuk satu jangka masa, individu tersebut akan lebih berisiko untuk kehilangan kebolehan untuk mendengar. Ini bergantung kepada tahap kebisingan dan tempoh pendedahan terhadap individu. Menurut Bugliarello (1976), kerosakan pada sistem pendengaran manusia akan berlaku sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripada 120 dB. Ini akan menyebabkan selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan tulang kecil yang boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, ia akan merosakkan koklia dan menyebabkan pendengaran menjadi tidak berkualiti dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara perlahan-lahan. Beliau turut menambah kesan pencemaran ini turut memberi kesan kepada kawasan di luar telinga. Sebagai contoh, kesan fisiologi iaitu meningkatkan tekanan darah, meningkatkan pergerakan otot, meningkatkan pergerakan gastrik dan

pembesaran anak mata. Seterusnya kesan psikomatik juga berlaku kepada individu tersebut. Sebagai contoh, sakit kepala, pening, loya, muntah, pergerakan mata tak dapat dikawal, gangguan percakapan, dan juga memberi kesan kepada tingkah laku. Kesan pencemaran bunyi juga turut terkesan pada psikologi dan minda manusia. Sebagai contoh pendedahan kepada kebisingan yang berterusan akan mengganggu kebolehan kita untuk berkomunikasi. Ini adalah disebabkan oleh kecederaan pendengaran dan mengganggu percakapan seseorang. Selain itu, pencemaran bunyi turut mengganggu tidur manusia. Kesan daripada gangguan tidur, ia akan

menyebabkan gangguan kepada kehidupan manusia seharian. Jika terdapat bunyi yang ganjil ataupun kebisingan yang melampau pada ketika itu, setiap individu akan terkejut dan terjaga dari dari tidur. Ia akan menyebabkan anak mata membesar, kulit menjadi pucat, pengurangan rembesan gastrik, peningkatan tekanan darah diastol dan rembesan adrenalina yang berlebihan ke dalam peredaran darah yang akan meningkatkan ketegangan saraf dan otot, kegelisahan dan emosi yang tidak stabil.

Pencemaran bunyi juga mampu memberi kesan kepada kehidupan haiwan. Pencemaran bunyi menyebabkan haiwan berada dalam keadaan tekanan, meningkat risiko kematian dengan menukar keseimbangan sensitif pengesanan dan mengelak pemangsa atau mangsa, dan menganggu penggunaan bunyi mereka sebagai perhubungan terutama berkait dengan pembiakan dan navigasi. Pencemaran bunyi juga menyebabkan haiwan kemusnahan habitat. Dalam kes spesies terancam, pencemaran bunyi mungkin merupakan laluan kepada kepupusan haiwan. Pencemaran bunyi telah menyebabkan kematian speseis paus tertentu akibat daripada terdedah kepada sonar tentera yang kuat. Pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh alam semula jadi sukar untuk dikawal, tetapi terdapat cara untuk mengawal pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh manusia. Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ini dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Melalui penguatkuasaan undangundang, banyak sumber-sumber pencemaran bunyi dapat dikurangkan. Kebanyakkan negara luar telah pun memperketatkan undang-undang mengurangkan pencemaran bunyi yang berpunca daripada kenderaan bermotor. Kesannya, undang-undang tersebut dapat mengurangkan secara tidak langsung kuantiti pencemaran bunyi kepada kadar yang lebih minimum sekaligus dapat mengurangkan risiko kesan pencemaran tersebut kepada manusia. Selain itu, kerajaan perlu memanfaatkan teknologi yang semakin membangun pada masa kini. Sebagai contoh, untuk mengurangkan bunyi di kawasan jalan raya, alatan halangan bunyi diletakkan. Selain itu, kerajaan perlu mengehadkan kelajuan kenderaan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penduduk bagi mengurangkan bunyi bising kenderaan. Dengan kemajuan teknologi yang semakin maju, bunyi bising daripada kapal terbang juga dapat dikurangkan dengan mereka bentuk enjin jet yang lebih senyap. Ini dapat mengurangkan tahap bising untuk penduduk yang menetap berhampiran di kawasan lapangan terbang. Kebisingan hasil dari kawasan

perindustrian juga dapat dikurangkan dengan memastikan pengusaha kilang mereka bentuk semula peralatan perkilangan, yang tidak terlalu bising dan memasang sistem

penggantungan dan halangan fizikal di tempat kerja. Pengusaha kilang yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan hukuman yang lebih berat. Di Malaysia, kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) kerap menganjurkan kempen-kempen kesedaran contohnya kempen berbudi bahasa, kempen anti sumbang mahram dan kempen anti dadah. Namun begitu, kempen yang berkaitan dengan pencemaran bunyi dilihat kurang diberi perhatian oleh kerajaan. Kempen kesedaran berkenaan anti pencemaran bunyi perlu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar bagi menyedarkan rakyat betapa bahayanya kesan pencemaran ini terhadap kehidupan manusia. Selain itu, kempen tersebut dapat mendidik masyarakat agar menjadi lebih peka dengan keadaan alam sekitar. Masyarakat terutama golongan sasaran perlu diingatkan tentang betapa berharganya nilai sepasang telinga. Usaha menangani masalah pencemaran bunyi bukanlah terletak di bahu kerajaan sahaja. Masyarakat juga memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah ini. Masyarakat boleh membantu pengurangan kadar bunyi bising walaupun tidak secara keseluruhannya dengan memperlahankan bunyi radio, muzik karaoke dan bunyi motorsikal yang telah diubah suai. Perkongsian kereta merupakan strategi serampang tiga mata iaitu mengurangkan kesesakan lalulintas, mengurangkan kos dan mengurangkan pencemaran bunyi. Sebagai contoh, bunyi dan ruang jalanraya bagi empat buah kereta telah diisi hanya dengan sebuah kereta. Cara ini juga sangat digalakkan oleh kerajaan dan rakyat harus menyokong dan mempraktikan saranan itu. Sebagai bakal guru, saya melihat masalah pencemaran ini adalah sesuatu yang amat serius. Masyarakat Malaysia dilihat tidak mengambil cakna akan hal ini kerana kurangnya pengetahuan mereka mengenai kesan pencemaran bunyi kepada manusia. Oleh itu, saya berpendapat bahawa pendidikan alam sekitar perlu diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah. Ini supaya, murid-murid dapat menambahkan

pengetahuan mereka dengan lebih mendalam mengenai kepentingan menjaga alam sekitar daripada pencemaran. Selain itu, dapat memudahkan guru mendapatkan silibus yang tepat untuk diajar kepada murid-murid di sekolah.

Melalui pengalaman saya berpraktikum di sekolah aktiviti kokurikulm yang dijalankan tidak menekankan kepada aspek penjagaan alam sekitar. Guru-guru seharusnya memanfaatkan waktu kokurikulum ini dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat menambahkan pengetahuan murid mengenai kesan pencemaran bunyi ini. Sebagai contoh, mengadakan kuiz, menjemput wakil-wakil daripada Jabatan Alam Sekitar bagi memberi penerangan mengenai bahayanya pencemaran bunyi dan pertandingan melukis poster Langkah ini penting bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada murid-murid dala suasana yang lebih menyeronokkan. Saya juga berpendapat ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka agar mengurangkan akitivti yang dapat menyumbangkan kepada permasalahan pencemaran bunyi. Hal ini kerana ibu bapa mempunyai masa yang panjang bersama anak-anak. Ibu bapa boleh menasihati anakanak agar tidak menbuka radio dan televisyen terlalu kuat. Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka.

Penutup: Kesimpulannya, masalah pencemaran bunyi di negara kita haruslah ditangani dengan segera dan usaha ini memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak. Alam sekitar telah dianugerahkan dan diamanahkan oleh Tuhan kepada manusia. Manusia haruslah menjaganya dengan penuh tanggungjawab kerana alam sekitar tidak sepatutnya dikorbankan dalam arus pemodenan dan pembangunan sesebuah negara. Seandainya masalah ini dibiarkan, kesannya akan memudaratkan manusia itu sendiri walaupun hidup dalam kemewahan. Adakah pemodenan negara lebih penting daripada keindahan alam sekitar? Adakah kita menginginkan kemewahan hidup semata-mata tanpa mengharapkan kesihatan? Tepuk dada tanyalah selera. Banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi masalah pencemaran bunyi. Oleh itu, sikap bagai aur dengan tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Dengan itu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar daripada pencemaran bunyi memerlukan kerjasama, kesedaran dan keprihatinan daripada setiap lapisan masyarakat. Mudah-mudahan generasi akan datang dapat menikmati keindahan dan ketenangan alam sekitar yang dianugerahkan kepada manusia.

Rujukan

Bugliarello,G. et.al, 1976. The Impact of Noise Pollution. New York : Pergamon Press.

Hamidi Abdul Aziz. 2008. Pencemaran Bunyi : Teori, Sumber, Perundangan dan Kawalan. Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Jasiman Ahmad. 1996. Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemar Alam. Eddiplex Sdn.bhd, Kuala Lumpur.

Jasman Ahmad dan Siti Razmah Idris. 1996. Pencemaran Udara dan Bunyi. Mikamas.

Mansor Ibrahim dan Mohd Asri Abu Bakar. 1997. Pencemaran Bunyi Bising. Universiti Teknologi Malaysia, Johor. Mulholland, K.A. 1981. Noise Assesment and Control. London : Construction Press.

Kuari Batu Beroperasi Di Kampung Lohan Dapat Bantahan Dari Penduduk ( 2010,Ogos) Dilayari pada http://www.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/37493

OECD (1975). Reducing Noise in OECD Countries, A Report of The Ad-Hoc Group On Noise Abatement Policies. Paris.

You might also like