You are on page 1of 15

PEMULIHARAAN UDARA Oleh: Siti Nazariah Binti Isa

Malaysia kini sedang mengalami proses pembangunan yang pesat. Kesan daripada pembangunan pesat sektor ekonomi dan perindustrian serta kestabilan politik dan sosial ini telah membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan menaikkan imej negara kita di kaca mata dunia. Namun begitu, disebalik keselesaan dan pembangunan tersebut timbulnya beberapa masalah sampingan yang boleh memudaratkan kehidupan masyarakat. Buktinya, pada penghujung abad ke-20 ini, banyak laporan yang menunjukkan peningkatan pencemaran yang berlaku di seluruh dunia. Pencemaran itu berlaku di segenap pelosok dunia termasuk di negara membangun apatah lagi di negara maju. Malah, masalah pencemaran bukanlah suatu perkara yang asing lagi di Malaysia.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2003), pencemaran adalah suatu perbuatan yang mencemarkan atau mengotorkan. Pencemaran juga merupakan kehadiran atau penambahan sesuatu bahan semulajadi atau bukan semulajadi ke dalam alam persekitaran, sehingga merosakkan sebahagian atau keseluruhan ekosistem. Sesuatu pencemaran dikatakan berlaku apabila sesuatu yang mulia, baik, murni, bersih, dan sistematik dicerobohi oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan sistem, moral, tatacara, tabii dan nilai alam. Sikap manusia yang tidak beretika

(melanggar prinsip) akhirnya menyebabkan berlakunya perubahan dan kerosakan dalam fenomena alam seperti yang disebutkan dalam Al Quran yang mulia: "Telah nyatalah berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" (Surah Al-Rum : 41)

Pencemaran dan kerosakan ke atas sesuatu sistem ini perlu dihentikan segera menurut amaran yang terkandung dalam Al Quran yang mulia :

Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya, dan berdoalah kepadaNya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dimakbulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik. (AI A'raaf: 56) Menurut Chief Seattle Kita tidak mewarisi bumi kita ini daripada nenek moyang kita, tetapi sebaliknya kita hanya mampu meminjamnya daripada anak cucu kita. Kata kata tersebut membuktikan betapa pentingnya menjaga alam sekitar yang menjadi tanggungjawab setiap manusia, masyarakat atau penduduk yang tinggal bumi ini. Pencemaran udara merupakan antara jenis pencemaran yang perlu diberikan perhatian yang serius kesan daripada peningkatannya yang semakin membimbangkan di Malaysia khususnya. Udara merupakan elemen yang sangat yang penting dalam kehidupan manusia. Manusia memerlukan mengandungi gas oksigen yang penting udara untuk hidup untuk pernafasan. kerana Namun udara dengan

meningkatnya pembangunan bandar-bandar dan pusat industri, kualiti udara telah mengalami perubahan. Udara yang dulunya segar, kini telah kering dan kotor. Perubahan ini berlaku adalah disebabkan kemasukkan bahan pencemar ke dalam udara sebagai contoh habuk, debu, asap dan gas-gas beracun. Habuk, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain yang boleh menghalang penglihatan mata merupakan antara bentuk-bentuk pencemaran udara.

Pencemaran udara boleh didefinisikan sebagai terdapatnya gas, cecair atau zarah yang terkandung di dalam udara sehingga menyebabkan perubahan dan

menjejaskan hidupan dan juga persekitaran. Bahan-bahan tersebut terampai di udara dan memberi kesan negatif kepada manusia, tumbuhan dan haiwan. Bahan-bahan ini akan memasuki tubuh manusia melalui proses pernafasan dan berupaya menyekat

pengaliran oksigen ke dalam salur-salur darah. Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti penyakit barah, asma, kekejangan dan anemia.

Rajah 1: Pencemaran Udara

Pencemaran udara dikatakan berlaku apabila sesuatu bahan ataupun kumpulan bahan-bahan dimasukkan ke udara sehinggakan ia dapat mempengaruhi manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan atau bahan lain (Chambers, 1962). Manakala menurut Wark dan Warner (1901), mendefinisikan pencemaran udara sebagai kehadiran satu atau lebih bahan cemar atau gabungannya di dalam atmosfera dalam kuantiti tertentu pada suatu jangka waktu yang boleh berkecenderungan menyebabkan mudarat kepada kehidupan manusia, tumbuhan atau haiwan atau harta benda yang akan menganggu suasana kehidupan yang tenteram.

Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau zarah yang mengandungi toksik atau radioaktif dalam atmosfera, khususnya yang terhasil menerusi kegiatan manusia. Pencemaran udara di negara kita khususnya di bandar-bandar besar berpunca daripada pelepasan asap atau bahanbahan cemar lain daripada ekzos kenderaan terutamanya kenderaan awam. Kenderaan awam seperti bas, lori dan teksi menggunakan minyak diesel kerana harganya yang lebih murah. Namun penggunaan minyak diesel ini menyebabkan asap yang terhasil dan dibebaskan adalah berwarna hitam dan mencemarkan udara.
3

Rajah 2: Pencemaran udara hasil pelepasan asap dari kenderaan

Rajah 3: Pencemaran udara dari pembangunan industri

hasil

Selain itu pencemaran udara turut dikaitkan dengan penghasilan dan pelepasan asap daripada aktiviti perindustrian dan pembuatan di kawasan bandar. Perkembangan ekonomi Malaysia bergantung kepada industri pembuatan, terutamanya elektronik, kimia dan juga getah kerana Malaysia merupakan antara negara pengeluar bahan mentah yang terbesar di Asia Tenggara. Kesannya, banyak kilang-kilang yang dibina bagi memenuhi keperluan bahan mentah dunia. Kadar pengeluaran dan permintaan yang kian meningkat ini telah menyebabkan peningkatan kepada pencemaran udara sebagai contoh kilang penapis minyak mengeluarkan asap yang mengandungi sulfur dioksida dan hidrokarbon manakala industri logam pula mencemarkan udara dengan sulfur dioksida dan habuk toksik.

Selain itu, pembakaran terbuka merupakan antara punca utama kepada pencemaran udara. Pembakaran pokok tua di kawasan ladang dan hutan untuk tujuan penanaman semula serta pembakaran sampah secara terbuka dan berleluasa dalam skala yang besar menghasilkan banyak partikel jelaga. Partikel jelaga ini boleh diterbangkan pada jarak yang jauh oleh angin dan inilah punca jerebu yang kerap menyelubungi ruang udara. Jerebu yang telah melanda negara kita baru-baru ini berpunca dari pembakaran hutan secara terbuka dan berleluasa di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia sehingga memberi kesan kepada negara-negara serantau.
4

Singapura dan sebahagian Malaysia merupakan antara negara yang terjejas teruk sehingga diistiharkan darurat. Kronologi dan sejarah jerebu dikatakan telah berlaku sejak tahun 1977 lagi. Kemudian jerebu yang lebih teruk lagi telah melanda negara kita pada tahun pada 2005 sehingga beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang juga terpaksa diisytiharkan darurat. Pada tahun 2006, masalah yang sama berulang lagi namun jerebu yang melanda negara kita baru-baru ini merupakan antara jerebu yang terburuk dalam sejarah negara kita sehingga mengakibatkan beberapa sekolah-sekolah di kawasan yang terjejas teruk terpaksa ditutup buat sementara.

Rajah 4: Kebakaran hutan yang berlaku di Kalimantan, Indonesia

Rajah 5: Keadaan jerebu di Muar

Rajah 6: Keadaan jerebu di Kuala Lumpur


5

Selain itu, aktiviti harian juga merupakan penyebab berlakunya pencemaran udara. Isi rumah menyumbang kepada pencemaran melalui penggunaan tenaga untuk mesin dan perkakas elektrik seperti peti sejuk. Peti sejuk dan penyaman udara bukan sahaja menggunakan banyak tenaga tetapi alat-alat ini juga mencemarkan udara apabila cecair penyejuk yang digunakan melepaskan klorofluorokarbon (CFC) ke udara seterusnya menipiskan lapisan ozon. Pencemaran udara bukan melibatkan kawasan bandar dan industri sahaja malah boleh berlaku menerusi kegiatan di kawasan pedalaman seperti penyemburan racun makhluk perosak, perlombongan yang menghasilkan habuk ataupun amalan pertanian seperti pendebungaan dan

penyemburan baja.

Dalam keadaan tertentu, pencemaran juga boleh berasal dari

sumber-sumber semula jadi seperti letusan gunung berapi ataupun ribut debu. Tetapi pada keseluruhannya sumbangan dari sumber-sumber semula jadi ini adalah kecil jika dibandingkan dengan bahan-bahan pencemaran yang terhasil dari manusia sendiri.

Rajah 7: Letusan Gunung Berapi Krakatau, Indonesia menghasilkan asap tebal dan menyebabkan pencemaran udara

Pencemaran udara boleh mengakibatkan pelbagai kesan negatif

kepada

hidupan dan alam sama ada manusia, haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Kesan utama pencemaran udara adalah ke atas kesihatan dan sistem pernafasan manusia. Jika udara yang dihidu tercemar, sistem pernafasan kita akan menyerap pelbagai bahan tercemar ke dalam paru-paru. Hal ini akan mengakibatkan proses penukaran
6

karbon dioksida kepada oksigen tidak dapat dilakukan dan darah akan mengalami kekurangan oksigen. Seterusnya akan menyebabkan fungsi paru-paru manusia terjejas dan sistem pengaliran darah mengalami masalah. Manakala haiwan juga akan terancam atau mati akibat dari pencemaran udara. Ini disebabkan dari udara yang memasuki paru-paru haiwan dan makanan dari sumber tumbuhan yang tercemar kesan pencemaran udara.

Di samping itu, pencemaran udara juga memberi kesan ke atas atmosfera bumi kita. Bahan-bahan pencemar seperti CFC (klorofluorokarbon) boleh mengakibatkan

lapisan ozon menjadi nipis dan bocor seterusnya akan menyebabkan berlaku pemanasan global kesan daripada penyusutan lapisan ozon yang melindungi bumi daripada sinaran terus cahaya matahari. Kenaikan suhu bumi dan penipisan lapisan ozon merupakan punca utama kepada isu pemanasan global yang hangat diperkatakan kini.

Rajah 8: Penipisan lapisan ozon pemanasan global

Selanjutnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya hujan asid. Hujan asid terjadi melalui penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang
7

terdapat di dunia. Hujan asid mampu membunuh dan merosakkan tumbuh-tumbuhan serta hidupan air serta mampu mempercepatkan kadar hakisan dan pengaratan barangan besi.

Rajah 9: Kesan Hujan Asid terhadap ekosistem akuatik

Rajah 10: Kesan Hujan Asid terhadap tumbuh-tumbuhan

Pemuliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama setiap generasi supaya pembangunan lestari dikekalkan serta penggunaan sumber alam dapat diguna pakai sehingga generasi akan datang. Dalam konteks alam sekitar, Islam menegah dan melarang penyalahgunaan sumber asli yang dikurniakan Allah. Allah berfirman bermaksud: ..Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya (Surah Hud, ayat 61)

Pada hari ini masalah pencemaran udara telah mengakibatkan berlaku dan hilangnya ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Manusia pada hari ini bersikap tamak dan sering menyalahgunakan dan melupakan nikmat udara yang dikurniakan kepada mereka. Melihat kepada bahayanya pencemaran udara ini kepada umat manusia, maka langkah-langkah pemuliharaan udara yang menyeluruh perlu segera diambil. Pemuliharaan ialah usaha-usaha untuk melestarikan bekalan sumber alam yang telah diteroka menerusi usaha-usaha memelihara dan membaik pulih sumber setelah digunakan. Maka dapat disimpulkan di sini pemuliharaan udara ialah usahausaha yang perlu diambil bagi memelihara dan membaik pulih sumber udara yang telah digunakan.

Terdapat pelbagai langkah yang sesuai untuk digunakan bagi mengurangkan masalah pencemaran udara yang melanda negara kita. Pertama, penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran udara adalah amat penting Semua maklum bahawa antara punca utama masalah ini ialah pelepasan asap atau bahan-bahan cemar lain daripada ekzos kenderaan dan kilang-kilang. Maka, penggunaan teknologi moden dilihat sebagai satu langkah yang penting dan mampu membantu untuk memulihara udara daripada terus tercemar. Penciptaan dan pemasangan alat penapis udara pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian merupakan salah satu hasil daripada teknologi moden yang telah diperkenalkan bagi tujuan mengurangkan pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara. Selain itu,
9

alat ini turut berfungsi untuk mencegah dan mengurangkan pelepasan bahan pencemar ke persekitaran.

Melalui akhbar Utusan Malaysia (bertarikh 22 Jun 2010) telah melaporkan kejayaan beberapa orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut, Sabah dalam menghasilkan Penapis Asap Bio (Bio Smoke Filter). Penapis Asap Bio merupakan penapis asap yang berfungsi meneutralkan serta membersihkan asap-asap hitam yang dikeluarkan oleh kilang-kilang. Penapis ini juga turut mampu menghilangkan bau asap yang dikeluarkan oleh kilang-kilang perindustrian. Sistem penapisan alat ini adalah menggunakan prinsip tindak balas kimia di antara wap asap dan wap air. Wap asap yang dilepaskan akan diperangkap oleh kabus air dan dibantu oleh beberapa sistem tapisan lain seperti penapis karbon atau arang bagi menghilangkan bau asap. Alat ini dapat mengatasi masalah pencemaran asap yang terhasil daripada aktivitiaktiviti perindustrian, ekzos kenderaan serta pusat pelupusan sampah yang mengamalkan pembakaran terbuka. Penapisan ini bukan sahaja dapat menapis gasgas berbahaya malah ia dapat menapis partikel-partikel halus yang terdiri daripada habuk-habuk yang mengotorkan persekitaran. Maka secara tidak langsung

membuktikan bahawa penggunaan alat ini adalah sangat praktikal terutamanya bagi negara kita yang terkenal sebagai sebuah negara perindustrian selain kos alat penapis ini yang sangat murah dan efektif.

Alat Penapis Asap Bio (Bio Smoke Filter)


10

Selain itu, penggunaan petrol tanpa plumbum juga merupakan salah satu hasil daripada penggunaan teknologi moden. Penggunaan petrol tanpa plumbum ini dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam atmosfera yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Penggunaan petrol berplumbum telah menyumbang kepada peratusan pencemaran udara yang tinggi. Petrol berplumbum berupaya menghasilkan karbon monoksida yang membahayakan kualiti udara kerana mengandungi kadar plumbum yang tinggi. Untuk mengatasi masalah ini penggunaan petrol tanpa plumbum telah diperkenalkan pada 1990. Petrol tanpa plumbum dapat mengurangkan plumbum di dalam petrol daripada 0.4 gram per liter kepada 0.15 gram per liter. Pemasangan alat catalytic converter pada enjin kenderaan juga merupakan antara teknologi-teknologi moden yang diperkenalkan bagi mengurangkan pencemaran udara di mana alat bertujuan untuk mengurangkan pengeluaran asap kenderaan. Manakala di bandarbandar besar contohnya di Kuala Lumpur, penggunaan kereta api elektrik seperti LRT, ERL, Komuter dan Monorel telah digunakan sebagai pengangkutan awam dan telah berjaya mengurangkan kadar pencemaran udara di kawasan tersebut. Hal ini kerana kereta api elektrik merupakan sistem pengangkutan yang bersifat mesra alam dan tidak mengeluarkan asap hitam yang membahayakan. Langkah pemuliharaan udara yang seterusnya ialah melalui penguatkuasaan undang-undang. Undang-undang yang lebih ketat perlu digubal dan

penguatkuasaannya perlu ditambah. Satu pelan induk industri juga perlu dirangka agar kesan industri ke atas pencemaran udara dapat diminimumkan. Kementerian Sains dan Alam Sekitar melindungi alam sekitar melalui penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang atau akta ke atas orang ramai. Undang-undang mengenai pelbagai jenis pencemaran harus memberi panduan tentang langkah-langkah yang perlu dijalankan bagi mengawal kadar pencemaran, terutamanya dari kilang-kilang perindustrian dan individu persendirian. Kerajaan Malaysia telah menggubal pelbagai undang-undang, peraturan dan akta untuk melindungi dan mencegah pencemaran alam sekitar. Ianya bertujuan untuk melindungi alam sekitar antaranya ialah :

11

a) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, 1984 (pindaan) Mula dikuatkuasa pada 1 April 1988. Berkaitan dengan udara bersih, kelapa sawit, getah, gas kenderaan, kumbahan, fluen industri dan juga bahan-bahan buangan kilang. Penguatkuasaan dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar.

b) Peraturan Kenderaan Bermotor ( Kawalan Pelepasan Asap, 1977) Dikuatkuasa pada 15 Mac 1978. Asap ekzos tidak boleh melebihi 50 HSU (Hartridge Smoke Unit). Semua kenderaan bermotor perlu dipasang dengan alat-alat kawalan yang boleh memerangkap gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida. Melalui peraturan dan akta yang ditubuhkan, jelas menunjukkan bahawa kerajaan telah memberi perhatian yang serius terhadap isu pencemaran udara yang berlaku di negara kita. Peraturan dan akta yang digubal adalah bertujuan bagi mengurangkan kadar pencemaran udara di negara kita. Selain itu, akta ini turut digubal bagi memastikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan saling menghormati antara satu sama lain.

Selain daripada penggubalan akta dan peraturan, kesan daripada jerebu akibat daripada pembakaran hutan yang tidak terkawal, satu perjanjian antara 7 anggota negara-negara ASEAN telah ditandatangani iaitu Perjanjian ASEAN mengenai Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution ) pada tahun 2002. Malah baru-baru ini, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah mengambil langkah untuk membincangkan cara yang lebih ke hadapan secara praktikal bagi mengurangkan risiko jerebu teruk yang telah menjejaskan ketiga-tiga buah negara termasuk pengesahan dan pengoperasian segera Perjanjian Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.

12

Seterusnya, langkah pemuliharaan udara juga boleh dilaksanakan melalui kempen kitar semula. Mengitar semula bermaksud memproses atau menggunakan semula bahan buangan seperti kertas bekas kaca atau plastik, tin aluminium dan kertas. Program Kitar semula barang-barang yang terpakai dilihat sangat berkesan bagi mengurangkan aktiviti pembakaran sampah sarap secara terbuka. Hal ini dapat memastikan kualiti udara lebih bersih dan selamat. Selain program ini, pihak berkuasa turut mengambil langkah selamat bagi mengelakkan lebih banyak pembakaran secara terbuka dengan menetapkan hari-hari tertentu untuk mengangkut bahan-bahan buangan pepejal di kawasan-kawasan perumahan. Langkah ini secara tidak langsung mampu mengurangkan pembakaran sampah secara terbuka oleh orang-orang awam.

Keratan daripada akhbar Berita Harian

Seterusnya, masyarakat juga bertanggungjawab kepada alam sekitar. Semua kaum tanpa mengira agama, budaya dan warna kulit perlu berganding bahu antara satu sama lain dalam memastikan kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan sehingga ke generasi akan datang. Oleh itu, setiap individu perlulah mempunyai kesedaran. Bagi memupuk kesedaran di kalangan rakyat, cara yang terbaik ialah melalui pendidikan. Pendidikan mengenai alam sekitar ini penting ialah kerana mampu membentuk sikap positif dan tanggungjawab diri terhadap alam sekitar. Dengan adanya kesedaran pada
13

seseorang individu, dia akan sedar tentang peri pentingnya menjaga dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.

Oleh itu, saya berpendapat pameran-pameran mengenai isu-isu alam sekitar sesuai dijadikan agenda utama kerajaan dalam langkah memulihara udara. Pameran ini boleh dilakukan di sekolah-sekolah dan juga tempat-tempat awam seperti kompleks membeli-belah. Pameran ini yang ingin dijalankan boleh merangkumi isu-isu

pencemaran udara yang berlaku di sekeliling kita, sebab-sebab pencemaran, kesankesannya dan apa yang boleh dibuat untuk mengurangkan kadar pencemaran udara. Bahan-bahan menarik seperti carta, poster dan keratan surat khabar perlu dipamerkan bagi membuktikan kepada masyrakat bahawa isu dan masalah yang cuba diketengahkan sebagai contoh isu jerebu adalah benar-benar berlaku. Pameran sebegini boleh meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan meningkatkan kesedaran mereka untuk melindungi alam sekitar.

Kesimpulannya, memandangkan dunia sekarang sedang diancam bahaya pencemaran, langkah-langkah wajar dan berkesan patut diambil. Langkah untuk melindungi alam sekitar ini bukanlah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Ia merupakan tanggungjawab semua pihak. Pengguna khususnya memainkan peranan yang terpenting dalam menangani masalah pencemaran. Jika semua pihak bekerjasama untuk menangani masalah pencemaran, sudah tentu bumi akan di panjangkan usianya. Alam sekitar yang bersih dan terlindung mencerminkan masyarakat yang harmonis dan sihat bagi menerajui pembangunan sains dan teknologi negara di masa akan datang.

14

BIBLIOGRAFI

Buku
Jasiman Ahmad. 1996. Pencemaran Alam Sekitar, Siri Pencemar Alam. Kuala Lumpur; Eddiplex Sdn.bhd,

Jasman Ahmad dan Siti Razmah Idris. 1996. Pencemaran Udara dan Bunyi. Mikamas. Wark,K. dan Warner,C.F. 1981. Air Pollution : Its Origin and Control. Edisi Kedua. New York; John Wiley and Sons. Zaini Ujang. 2000. Pengenalan Pencemaran Udara. Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustak . Afiza Abdullah Suhaimi & Mohd Armi Abu Samah.2012.Pengurusan Pencemaran Udara. Dewan Kosmik. Mikdar Rusdi. 2010. Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar menurut perspektif al-Quran. Penerbit UTHM.

Laman Sesawang Pencemaran udara. Dipetik daripada http://eportfolio.utm.my/view/view.php?id=8538 pada 4 September 2013 Eyu Ghim Siang (2011). Isu-Isu Alam Sekitar. Dipetik pada 4 September 2013. Dari http://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1024:isu -isu-alam-sekitar&catid=71:admin%20ag&lang=bm Air Pollution Kills. Dipetik pada 4 September 2013. Dari http://www.washingtonpost.com/blogs/wonkblog/wp/2012/12/20/air-pollutionnow-kills-more-people-than-high-cholesterol/

15

You might also like