You are on page 1of 11

Pengenalan

Kini media massa sama ada media cetak mahupun media elektronik banyak membincangkan mengenai sekolah satu aliran. Saranan tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim supaya kerajaan melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum tercapai telah membangkitkan banyak isu oleh semua pihak seperti ahli politik, tokoh akademik serta pelbagai kaum di Malaysia seperti India dan Cina. Isu-isu yang dibincangkan adalah adakah cadangan ini dapat membentuk perpaduan Malaysia.

Bagi kaum India dan Cina, mereka khuatir dengan pembentukan sekolah satu aliran, bahasa dan adat mereka akan dilupakan oleh generasi pada masa akan datang. Banyak persoalan timbul mengenai isu ini. Namun begitu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah menjelaskan kerajaan hanya akan mengubah dasar itu berdasarkan kepada kehendak masyarakat demi kepentingan mereka. Beliau turut menjelaskan, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

Oleh itu, isu terbabit masih lagi dibincangkan sehingga kini untuk melihat pro dan kontra terlebih dahulu sebelum dilaksanakan kerana terdapat segelintir masyarakat yang tidak bersetuju dengan cadangan yang telah dikemukakan. Isu ini menjadi semakin hangat apabila terdapat segelintir rakyat yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa berfikir secara mendalam mengenai cadangan yang telah dikemukakan dan menyebarkan pelbagai fitnah yang kurang enak kepada masyarakat.

Konsep Sistem Pendidikan Satu Aliran

Menurut tokoh pendidikan, Prof Datuk Dr Kamaruddin, sistem pendidikan satu aliran ialah sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar di sekolah. Ia bertujuan mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional. Menurut beliau, wujudnya sisitem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar , secara tidak langsung akan mewujudkan satu sistem nilai dan budaya sosial. Melalui sekolah satu aliran, murid kaum lain masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi pendidikan.

Jika pengasingan pendidikan mengikut kaum ini berterusan, ia akan menghasilkan masyarakat yang terpisah di antara satu sama lain, mengakibatkan satu suasana segrasi dengan memiliki bibit perpecahan yang berbahaya. Semangat kekitaan dalam satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu akan tercapai sekiranya sistem persekolahan yang menggabung terus ketiga-tiga aliran ini menjadi satu dapat direalisasikan. Menurut beliau lagi sekolah satu aliran dilihat sebagai reformasi pendidikan yang harus diperjuangkan bagi mewujudkan perpaduan dan integrasi nasional selaras matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Melalui cara ini, di samping boleh bergaul secara meluas di antara mereka, secara tidak langsung, mereka juga boleh memahami budaya kaum lain. Jika perkara ini dapat dipraktikkan, maka masalah semangat perkauman akan terhakis dengan sendirinya melalui pergaulan antara pelajar dan saling faham-memahami. Ia akan mewujudkan satu sistem nilai dan budaya sosial. Pengwujudan sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar juga diberi jaminan tidak akan menggugat bahasa ibunda kaum lain seperti yang dibimbangi selama ini.

Menurut tokoh pendidik, Tan Sri Ainuddin Wahid, sekolah satu aliran adalah sebuah sistem yang dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di Malaysia khususnya Melayu, India dan Cina. Menurut beliau jika sekolah satu aliran tidak dilaksanakan, ia akan member kesan pada masa hadapan seperti timbulnya masalah perkauman berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah yang berlainan.

Perpaduan kaum tidak dapat dicapai jika semua pelajar diletakkan di sekolah yang berasingan. Sekolah adalah tempat terbaik untuk memulakan hubungan integrasi. Apabila kanak-kanak sudah terdedah dan biasa dengan pergaulan antara berbilang kaum di sekolah, mereka tidak lagi mengalami kejutan apabila memasuki alam pekerjaan dan bermasyarakat. Menurut beliau lagi, dalam kehidupan realiti kita sekarang, pergaulan antara kaun hanya terjadi dalam keadaan luaran dan tidak mendalam. Tembok perkauman mesti diruntuhkan untuk memberi laluan kepada kehidupan satu bangsa Malaysia yang lebih harmoni. Tempat terbaik untuk memulakan usaha mencambah rasa harmoni ini ialah melalui sekolah satu aliran baik di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

Menurut tokoh akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim pula menerangkan konsep sekolah aliran ialah semua pelajar akan ditempatkan di sekolah yang sama dan penggunakan bahasa pengantar yang sama. Namun begitu bahasa ibunda setiap kaum akan diselitkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum di bilik darjah. Menurut beliau lagi, sekolah satu aliran penting untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dan ia bersesuaian dengan konsep Satu Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri kita iaitu Dato Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan 1Malaysia. Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalankan. Walaupun terdapat beberapa pihak yang membantah cadangan pembentukan sekolah satu aliran, mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa.

Dalam perspektif lain, Tun Mahathir Mohamad menyatakan bahawa sistem pendidikan satu aliran sebernarnya telah pun diamalkan tetapi kebanyakan daripada kita tidak faham peranan sistem sekolah kebangsaan. Beliau menjelaskan, semasa kerajaan membentuk sistem sekolah kebangsaan dahulu, sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil sudah pun ada. Kerajaan memberi bantuan kepada sekolah aliran tersebut dengan harapan pada akhirnya murid-murid dari sekolah itu kelak menyertai sekolah kebangsaan.

Tetapi sehingga kini orang Cina dan India tidak berminat menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana suasananya kurang menarik serta bimbang anak-anak mereka terpengaruh dengan adat resam orang Melayu dan Islam. Sikap dan fahaman agama yang terlalu kuat juga menakutkan bukan Melayu terhadap sekolah kebangsaan. Lalu apa yang berlaku dalam sistem persekolahan sekarang adalah faktor sikap perkauman yang masih menebal di kalangan masyarakat.

Oleh itu kesedaran masyarakat terhadap sekolah satu aliran harus dipertimbangkan untuk memupuk perpaduan antara kaum supaya perpecahan tidak akan berlaku dan tragedy 13 Mei tidak akan berulang lagi.

Isu dan Cabaran

Etnik Dan Kebudayaan Di dalam mengupas dan membincangkan mengenai tajuk sekolah satu aliran ini, sedar ataupun tidak, terdapat beberapa isu telah timbul. Isu- isu ini telah dibangkitkan selepas Prof Emiratus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang merupakan seorang tokoh sejarah telah menyokong cadangan Mukhriz Mahathir agar sistem pelbagai sekolah dihapuskan dan disatukan menjadi sistem tunggal dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa ibunda orang Cina serta India diperkukuh dan diperluaskan pengajarannya.

Dipetik daripada Utusan Malaysia pada 2 Disember, Prof Emiratus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim telah menyifatkan bahawa, cadangan Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun merangkap ahli majlis kerja Pemuda Umno ini adalah sangat baik dan menyamai cadangan dalam Penyata Razak 1956 dan Jawatankuasa Barnes (1950). Namun, cadangan ini telah mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya orang Cina dan India. Hal yang demikian telah mencetuskan bermacam- macam isu yang jika dibiarkan boleh membawa masalah kepada perpaduan antara kaum.

Antara isu yang paling banyak dibangkitlan rata-ratanya menyentuh kepada elemen etnik dan kebudayaan. Kebudayaan merupakan sesuatu yang amat penting bagi setiap kaum atau etnik. Dengan kebudayaan ini jugalah sesebuah etnik itu dapat dibezakan dengan etnik yang lain. Memandangkan ia adalah antara sesuatu yang berharga, maka setiap individu daripada kumpulan etnik itu akan cuba dengan sedaya upaya untuk mempertahankan kebudayaan masing-masing.

Hal yang sedemikian telah menyebabkan cadangan untuk menubuhkan sekolah satu aliran kurang diterima oleh sesetengah masyarakat di Malaysia ini terutamanya oleh etnik Cina dan India dengan alasan masing-masing ingin tradisi dan kebudayaan mereka dikekalkan. Ini bermaksud, mereka ingin bahasa ibunda mereka dijadikan seebagai bahasa penghantar dan bahasa Melayu menjadi bahasa kedua semasa perlaksanaan sistem sekolah satu aliran itu.

Jika kita kaji dan renungkan semula, isu Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum penting untuk difikirkan. Kita melihat perbezaan bukan sahaja dari segi etnik malahan dari aspek ekonomi, kebudayaan dan agama. Sesuatu etnik adalah mustahil untuk menjadi etnik yang lain. Maka struktur ekonomi, budaya dan pendidikan telah dijadikan pemangkin untuk mencapai perpaduan. Kerajaan telah merancang berbagai strategi jangka panjang untuk menyelesaikan masalah berkaitan hubungan antara etnik. Antaranya adalah melalui dasardasar pendidikan pada tahun 1970an seperti perubahan aliran Inggeris kepada bahasa Melayu. Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet dihasilkan sebagai matlamat untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat pelbagai etnik.

Sistem pendidikan melalui bahasa kebangsaan, pengalaman persekolahan yang sama dan peperiksaan yang selaras telah menyediakan pengalaman-pengalaman yang bertujuan mensosialisasikan pelajar-pelajar ke arah cara berfikir yang sama. Pada masa kini, murid-murid di sekolah dididik untuk memeperkembangkan nilai-nilai positif yang akan menggalakkan perpaduan. Kurikulum sekolah dibentuk sebegitu rupa agar ianya mempunyai hubungan yang erat dengan perpaduan nasional. Kurikulum juga dapat membentuk personaliti dan watak baik sebagaimana yang dikehendaki oleh aspirasi negara.

Cabaran ataupun masalah berbangkit sememangnya banyak yang perlu ditempuhi oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkenaan. Etnik Cina dan India sekeras-kerasnya menyatakan yang mereka ingin menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa penghantar dan agama serta kebudayaan masing-masing sebagai yang utama dalam perlaksanaan sekolah satu aliran itu kelak. Mereka juga ingin sistem perlaksanaan sekolah tersebut dijalankan seperti sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT ) kerana pada mereka, sistem persekolahan tersebut adalah yang terbaik.

Hal ini menambahkan lagi masalah kerana mana mungkin sesebuah sistem persekolahan menggunakan dua bahasa penghantar yang sama pada satu masa.

Mereka berasa sangat khuatir terhadap kebudayaan masing-masing akan terhakis dan lenyap apabila anak mereka dihantar untuk belajar di sekolah satu aliran kelak. Sikap mereka yang terlalu mementingkan kebudayaan masing-masing ini sedikit sebanyak akan

menambahkan kerumitan dan menyebabkan keadaan menjadi tegang. Ketegangan ini juga, jika tidak dikawal akan dikhuatiri menyababkan hubuan antara etnik di Malaysia ini menjadi semakin rapuh.

Pendekatan

Oleh itu, pihak yang berkenaan telah mengambil beberapa pendekatan untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit ini dan secara tidak langsung akan meredakan isu yang telah timbul. Melalui sekolah satu aliran, murid kaum atau etnik lain masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi pendidikan. Sukatan pelajaran juga dibaiki dan diperhalusi agar semua kaum dapat mempelajari agama dan bahasa ibunda mereka walaupun Bahasa Melayu dijadikan bahasa yang rasmi dan merupakan bahasa penghantar untuk sekolah satu aliran tersebut. Nilai kebudayaan setiap kaum juga tidak akan dilupakan. Malah, pelbagai aktiviti akan dirancang untuk dilaksanakan dan dilakukan bersamasama dengan semua kaum dan etnik bagi mengeratkan lagi perpaduan antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Perpaduan Dan Perkauman

Selain itu, isu yang melibatkan dan menyentuh sensitiviti perpaduan dan perkauman dalam membincangkan cadangan pelaksanaan sekolah satu aliran ini juga hangat

diperkatakan disana sini. Etnik Cina dan India adalah kelompok majoriti yang mempersoalkan cadangan penubuhan sekolah satu aliran ini. Ramai yang mempersoalkan, jika ingin meningkatkan perpaduan antara kaum, mengapa baru ditubuhkan sekarang dan bukan daripada dahulu lagi. Nampaknya penerimaan mereka terhadap sekolah satu aliran ini amatlah tipis. Jika kita merujuk kembali kepada sejarah terdahulu mengenai sistem persekolahan ini, sekolah satu aliran ini sebenarnya telah lama dicadangkan untuk dilaksanakan bagi tujuan mengeratkan perpaduan antara kaum.

Menurut tokoh pendidik, Tan Sri Ainuddin Wahid, sekolah satu aliran sepatutnya dilaksanakan sebelum merdeka lagi seperti yang dicadangkan 48 tahun lalu oleh Allahyarham Aminuddin Baki yang menjadi Penasihat Pelajaran Negara. Ainuddin menjelaskan, cadangan Aminuddin itu kerana beliau telah menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul di kemudian hari berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah yang berlainan. ``Jangkaan beliau itu betul dan kita lihat apa yang berlaku sekarang. Jika kita bertegas dari dulu dan semua kaum sanggup berkorban untuk belajar di satu sekolah mungkin soal permusuhan antara kaum tidak terjadi,'' katanya.

Kata -kata beliau terang lagi jelas dapat menjawab semula isu yang telah dibangkitkan yang mempersoalkan sistem sekolah satu aliran yang baru ingin diwujudkan sekarang. Jika sekolah satu aliran ini ditubuhkan, maka sekolah jenis kebangsaan akan di mansuhkan. Hal ini kerana, semua pelajar akan menjalankan persekolahan mereka dengan menggunakan sistem persekolahan yang sama iaitu sekolah satu aliran. Etnik lain tidak bersetuju terhadap penubuhan sekolah ini juga kerana mereka terpaksa menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya semasa sesi pengajaran dan pembelaran.

Jika dibandingkan di SJK mereka dahulu, mereka bebas untuk belajar dan bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Ini merupakan halangan yang besar kepada pihak kerajaan kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran. Hal ini sebenarnya adalah berpunca daripada semangat perkauman yang telah lama menebal dalam diri mereka. Sejak daripada kecil, mereka telah dilahirkan dan dibesarkan berlatar belakangkan etnik dan kebudayaan masing-masing. Semasa menerima pendidikan awal di sekolah tadika dan sekolah rendah juga mereka telah dibiasakan untuk bertutur menggunakan bahasa ibunda mereka. Tetapi, apabila memasuki alam sekolah menengah, mereka terpaksa bersekolah di sekolah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Perkara ini sedikit sebanyak telah memberikan masalah kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan dalam masa yang sama mereka perlu memahirkan diri mereka untuk bertutur dengan fasih dalam bahasa Melayu. Hal ini adalah merupakan salah satu daripada penghalang dan sebab mengapa mereka mnenentang sekeras kerasnya cedangan penubuhan sekolah satu aliran ini. Akibat daripada keyakinan yang kurang, mereka telah memberikan pelbagai alasan bagi mengelakkan sekolah satu aliran ini tidak dilaksanakan. Ada juga ibu bapa yang menentang cadangan ini kerana mereka khuatir apabila anak mereka dihantar di sekolah ini, fikiran mereka tidak berkembang kerana kurangnya komunikasi antara pelajar dan guru.

Jika berlaku masalah komunikasi, maka proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dilakukan secara optimum disebabkan tiada komunikasi dua hala. Hanya para guru yang bercakap, tetapi pelajar hanya mendengar dan tidak mahu memberikan pandangan dan idea kerana mungkin disebabkan perasaan malu ataupun takut ditertawakan oleh rakan-rakan kerana tidak fasih Berbahasa Melayu. Situasi ini amatlah merugikan pelajar kerana masalah komunikasi telah menjadi penghalang bagi mereka untuk berkomunikasi seterusnya bertukartukar idea dan pandangan. Jika perkara yang terjadi ini terus dibiarkan begitu sahaja tanpa memirkan cara yang sesuai untuk mengatasi, maka Malaysia akan kekurangan pelapis untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan yang terdiri daripada seorang yang betul-betul berkeyakinan dan berani bersuara.

Pendekatan

Justeru itu, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan telah berbincang bagi mencari pendekatan yang sesuai bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Bagi memuaskan hati semua pihak, cadangan penubuhan sekolah satu aliran ini telah dikaji semula. Pelbagai elemen-elemen penting telah diperkasakan agar, jika sekolah ini telah mendapat persetujuan untuk melaksanakan sekolah satu aliran pada suatu hari nanti, tidak banyak masalah yang akan timbul. Sekolah satu aliran tidak akan membawa apa-apa masalah dan tidak mungkin mendatangkan akibat yang negatif, sebaliknya dari satu sudut lain, ia akan membantu mewujudkan hubungan harmoni antara kaum. Mereka yang menentang cadangan sekolah satu aliran ini adalah mereka yang tidak mengutamakan cita-cita dan rakyat Malaysia untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu.

Kesimpulan Pendidikan telah lama dianggap sebagai satu elemen penting bagi menyatupadukan rakyat. Aspek perpaduan kaum perlu diberi perhatian serius dan penekanan yang menyeluruh oleh semua pihak. Generasi awal terutamanya para pelajar sekolah rendah perlu didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk ini. Mahu tidak mahu, perkara ini turut melibatkan sistem pendidikan negara kerana melalui pendidikanlah, generasi pelajar dapat membentuk dan mencorakkan masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Ianya selaras dengan pepatah Melayu iaitu melentur buluh birlah dari rebungnya. Mereka ini perlu dan semestinya didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan akibat buruk yang akan timbul daripada sikap curiga mencurigai di antara mereka. Matlamat ini boleh dicapai dengan berkesan dan lebih cepat jika pendidikan di negara ini menggunakan satu sistem berbanding pellbagai aliran ketika ini. Ia akan mewujudkan satu sistem nilai dan budaya sosial. Pengwujudan sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa pengantar juga diberi jaminan tidak akan menggugat bahasa ibunda kaum lain seperti yang dibimbangi selama ini.

Ibu bapa serta guru perlulah memainkan peranan serta memikirkan masa depan generasi akan datang. Jika perpaduan tidak dipupuk dari awal ini dikhuatiri akan tercetus kembali tragedy 13 Mei yang mana telah meragut banyak nyawa. Tragedi itu masih lagi segar di ingatan setiap rakyat Malaysia. Pembentukan sekolah satu aliran juga bersesuaian dengan gagasan 1Malaysia pada masa kini. Maka semua pihak perlulah bersetuju dengan pembentukan sekolah satu aliran tersebut. Walaupun terdapat kebaikan dan keburukan mengenai sistem tersebut, perkara ini masih boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Tiada perkara yang sempurna di dunia ini melainkan Maha Pencipta kita.

You might also like