You are on page 1of 8

PENGENALAN INTEGRITI

Menurut ensiklopedia bebas Wikipedia yang dipetik daripada wikipedia.com, perkataan integriti berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya menjurus ke arah perwatakanseseorang. Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP (1985) ialah kejujuran dan ketelusan; kesempurnaan;kesempurnaan;keutuhan. Dari maksud yang didapati dari kamus, dapat dikatakan bahawa integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan,keterbukaan, ketelusan , amanah, benar,berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi,boleh dipercayai,boleh dipegang cakapnya, dan lain-lain.

Dari perspektif pendidikan, integriti ialah kualiti unggul yang wujud secara bersepadu dan mantap pada individu anggota anggota perkhidmatan pelajaran dan institusi pelajaran berlandakan etika dan piagam pelanggan berdasar sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika dan piagam pelanggan dijadikan amalan dan dihayati oleh para guru dalam sesebuah sekolah yang akhirnya membentuk budaya kerja institusi. Amanah dan kuasa yang dipertanggungjawab dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam.

Guru bertanggungjawab untuk mendidik murid sebagai persediaan mereka mengharungi kehidupan pada masa hadapan. Hubungan guru-guru yang baik dan berteraskan keikhlasan dan sifat penyayang akan memberi kesan yang baik kepada kedua-dua pihak. Murid adalah ibarat pokok yang ditanam dan perlu disirami serta dibajai dengan penuh kasih sayang. Guru pula umpama lautan yang luas sedangkan murid-murid umpama ikan yang hidup dalam laut yang penuh dengan kesejahteraan. Guru juga perlu memupuk kerjasama dan permuafakatan dengan ibu bapa dan komuniti setempat.

1) Adakah integriti penting kepada anda?jelaskan dengan mengemukakan contoh yang relevan untuk menyokong hujah anda.

Pada pandangan saya integriti amatlah penting dalam diri seseorang individu, tidak kiralah samada kita daripada orang atasan atau orang bawahan sahaja. Jika kita berada dalam sesuatu bidang pekerjaan, maka kita hendaklah melakukan kerja tersebut dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan serta saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Bagi saya integriti dapat melambangkan akhlak setiap individu. Kita dapat melihat akhlak sepertimana integriti iaitu nilai yang telah kukuh dan sebati dalam diri serta diikuti dengan komitmen yang sepenuhnya terhadap nilai tersebut sehingga ia menjadi kebiasaan dalam diri setiap individu. Cuma perbezaan di antara keduanya hanya pada motif nilai tersebut. Integriti adalah berasaskan nilai etika yang diterima sebagai nilai yang positif dan baik secara universal, manakala akhlak pula berpaksikan kepada nilai yang telah termaktub di dalam al-Quran da Sunnah. Sehubungan dengan itu, boleh kita katakan bahawa konsep integriti dan akhlak ini adalah sama iaitu untuk membentuk masyarakat yang mempunyai ciri-ciri moral dan etika yang kukuh,mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh serta berbudi pekerti luhur.

Integriti juga dikatakan amat penting dalam profesion perguruan kerana integriti merupakan identiti yang akan meningkatkan imej serta martabat guru di mata masyarakat. Jika selama ini profesion perguruan sudah mula menjadi buah mulut dan cemuhan dalam kalangan masyarakat, namun dengan adanya integriti ia dapat melonjakkan kembali nama baik guru kepada masyarakat umum.

Sebagai golongan yang telah diamanahkan oleh masyarakat,diberi kepercayaaan untuk mendidik dan membentuk masa depan dan sahsiah anak-anak di masa hadapan. Guru-guru harus membalas kepercayaan tersebut dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Guru seharusnya mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi oleh pelajar. Sebagai contoh, di sekolah kebanyakan guru sering dibebani dengan bebanan tugas yang melampau sehingga sesetengah guru tidak dapat mengawal emosi mereka di hadapan pelajar. Seringkali guru memarahi serta mendenda pelajar bukan kerana kehendak mereka sendiri tetapi disebabkan oleh tekanan yang dihadapi. Biar apapun bebanan tugas dan disiplin pelajar yang dihadapi, guru mesti berpegang pada nilai murni. Usaha mendidik dan membangunkan nilai manusia tidak semudah membina bangunan. Sekali gus guru disanjung kerana maruah dan disiplin keilmuan. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Malah sebagai guru juga kita harus mempunyai jati diri dan pembentukan sahsiah yang bermoral sebelum mendidik anak pelajar menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah. Sebagai contoh, dalam sesuatu situasi, guru sering menegur atau memarahi pelajar kerana melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti ponteng sekolah sedangkan pada hakikatnya guru itu sendiri yang selalu mengambil kesempatan untuk tidak masuk ke kelas tanpa sebab yang munasabah.

Selain itu juga, guru sering menasihati pelajar untuk menghormati orang di sekeliling terutamanya golongan yang lebih tua, tetapi guru tersebut sendiri yang sering meninggikan suara semasa berurusan dengan rakanrakan sekerja dan sebagainya. Cuba kita bayangkan jika sikap guru tersebut dilihat dan diperhatikan oleh para pelajar. Apakah persepsi pelajar terhadap guru tersebut? Mungkin para pelajar akan menganggap semua guru mempunyai sikap negatif seperti itu. Seperti kata pepatah guru kencing berdiri anak murid kencing berlari perlulah difahami maksudnya dan dijadikan peringatan sepanjang masa. Maksud sebenar pepatah tersebut iaitu

sebagai seorang guru perlulah menonjolkan sifat terpuji dalam diri tidak kira di mana sahaja kita berada samada di hadapan pelajar ataupun di belakang mereka. Bukan itu sahaja, malah dalam teras Memartabatkan Profesion Keguruan, integriti merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya serta berusaha meningkatkan keupayaan diri.

Seterusnya kita lihat pula kepentingan integriti kepada masyarakat ialah supaya mereka tidak terlibat dalam perkara-perkara yang negatif yang mana akan merosakkan diri mereka. Sebagai contoh, seorang individu yang melakukan kesalahan jalan raya sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri daripada dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Mereka sanggup memberikan rasuah kepada pihak berkuasa supaya mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan. Namun dengan adanya nilai integriti dalam diri mereka,sekaligus akan dapat membendung dan mengelakkan diri mereka terlibat dalam hal sebegini.

Kepentingan yang terakhir integriti ialah kepada diri. Antaranya ialah dapat memelihara maruah diri dan dapat membentuk jati diri. Perlakuan dan tingkah laku yang kita lakukan sebenarnya mencerminkan kepada maruah dan pembentukan jati diri kita. Oleh itu kita perlu mengawal dan menjaga batas-batas perlakuan kita. Sebagai contoh kita sebagai guru pelatih perlu memelihara maruah diri kita agar tidak dipandang serong oleh masyarakat sekeliling. Perlakuan kita akan selalu diperhatikan oleh masyrakat kerana kita akan diberikan tanggungjawab yang besar iaitu mendidik anak bangsa menjadi manusia yang berguna kepada agama,bangsa dan Negara.

2) Cara-cara untuk meningkatkan amalan guru yang berintegriti dalam kehidupan seharian anda

Penerapan nilai integriti bukan sahaja melalui kurikulum semata-mata, kokurikulum juga bertindak sebagai agen ke arah pembentukan nilai integriti. Ia dilakukan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti persatuan dan pasukan pakaian seragam yang mendedahkan pelajar dengan amalan-amalan serta sifat-sifat murni seperti jujur, ikhlas, dan amanah yang menjurus kepada pemupukan integriti dalam diri mereka.

Menyedari bahawa pentadbir sekolah dan guru-guru merupakan penentu utama kepada kejayaan usaha melahirkan generasi muda yang berintegriti, KPM juga telah berusaha menerapkan elemen-elemen integriti di dalam kursus-kursus kepimpinan dan latihan keguruan. Misalnya, dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), pelatih didedahkan dengan elemen integriti melalui topik Pendidikan Negara Bangsa Malaysia, manakala bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), melalui topik Tatanegara dan Sivik Kewarganegaraan. Kepentingan amalan integriti turut diterapkan melalui Program Bina Insan Guru. Paling penting, elemen integriti disebut sebagai salah satu elemen yang perlu diamalkan oleh para pendidik di dalam buku Budaya IPG. Penerapan nilai-nilai integriti dalam jiwa pendidik amat penting bagi memastikan warga pendidik sentiasa menjalankan tugas dengan bersistematik, berintegriti dan membina kerja cemerlang yang luhur sekali gus mampu membentuk keperibadian pelajar yang berintegriti. Jika tiada nilai integrity dalam diri mereka maka

Tanggungjawab seorang guru amat berat dalam mendidik pelajar dengan penuh keikhlasan dan kejujuran untuk melahirkan generasi yang berguna kepada masayarakat dan negara kita. Dengan demikian, guru perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pelajar yang berteraskan keikhlasan serta sifat penyayang agar dapat memberikan didikan yang terbaik buat semua pelajar.

Guru yang berintegriti akan melaksanakan tugasnya dengan amanah dan mempunyai keprihatinan serta penuh kasih sayang kepada pelajar. Seorang guru yang berintegriti juga tahap ketabahan yang tinggi serta sentiasa bersikap positif dalam proses menyelesaikan masalah pelajar.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran pula, guru perlu bertanggungjawab dan mempunyai kewajipan untuk memberi yang terbaik untuk pelajar. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan sentiasa difikirkan untuk membentuk modal insan dan pelajar yang terbaik. Oleh itu, guru yang berintegriti dan melaksanakan tugas secara ikhlas mampu merancang P&P yang terbaik demi melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. Jika seorang guru yang berintegriti bekerja dengan niat yang ikhlas, amanah dan mempunyai sifat penyayang terhadap pelajar, sudah pasti pelajar akan memperolehi didikan yang terbaik setelah meneladani perwatakan guru mereka.

Namun begitu, profesion guru yang dulunya dipandang tinggi kini mulai dipandang rendah oleh masyarakat disebabkan wujudnya sebahagian kecil guruguru di sekolah yang tidak mengamalkan integriti dalam kehidupan mereka sebagai seorang guru. Hal ini dapatlah digambarkan bak kata perumpamaan Melayu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sebagai contoh terdapat guru yang terlibat dengan penyelewengan dan rasuah semasa mereka berada di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah. Guru sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada murid dan bukannya menunjukkan sesuatu yang buruk dan akan menjadi ikutan kepada murid.

Selain itu, cara untuk meningkatkan amalan integriti guru ialah guru tersebut perlulah mempunyai sikap pengasih dan penyayang dalam proses menyelesaikan masalah pelajar. Pelajar yang mempunyai masalah seharusnya dilayan dan diberikan perhatian yang agak istimewa kerana bimbang pelajar tersebut akan memberontak dan akan terus menjauhkan diri serta tidak mahu berkongsi segala masalah yang dihadapi dengan guru yang bertanyakannnya,

lebih-lebih lagi guru tersebut seorang yang garang dan langsung tidak menunjukkan sikap penyayang dan lemah lembut dengan pelajar itu. Pelajar hanya akan berkongsi masalah yang dihadapinya dengan mereka yang benarbenar mahu berkongsi dengannya dan bukannya mereka yang hanya melihat kepada kesalahan sahaja. Sebagai contoh seorang pelajar selalu menjadi mangsa penderaan oleh ibu tiri di rumah. Pelajar tersebut tidak akan menceritakan perkara tersebut sewenang-wenangnya kerana takut, dan hanya akan menceritakan hal tersebut kepada guru yang betul-betul memahami dan selalu mendampinginya kerana pelajar tersebut sudah mempercayai guru tersebut berbanding orang lain di sekelilingnya. Guru yang hendak mendengar dan mahu murid menceritakan masalah kepadanya tidak boleh menunjukkan sifat yang kasar kerana mereka perlu dilayan dengan penuh kasih sayang.

Bukan itu sahaja, malah guru sering berharap agar ibubapa tidak melepaskan tanggungjawab mendidik pelajarnya ke bahu mereka semata-mata tetapi perlu bersama-sama memikul tugas mengikut masa dan tempat pelajar tersebut berada.Ibubapa pula sering menuding jari mereka kepada keupayaan guru kerana tugasan mereka yang sibuk dari pagi hingga ke malam tidak mengizinkan mereka mendidik sahsiah anak-anak tambahan pula mereka tidak mempunyai kemahiran formal sebagaimana guru yang dilatih untuk membentuk sahsiah pelajar. Maka, tuding menuding berterusan dari tahun ke tahun tanpa penyelesaian tetapi kesan yang ketara gejala sosial semakin bertambah parah dalam kalangan remaja sekolah dicelah-celah perselisihan guru-guru dan ibubapa. Semakin lama kita membicarakannya semakin parah keadaannya. Pepatah Guru kencing berdiri anak murid kencing berlari perlulah difahami maksudnya dan dijadikan peringatan sepanjang masa. Maksud sebenar pepatah tersebut iaitu sebagai seorang guru perlulah menonjolkan sifat terpuji dalam diri tidak kira di mana sahaja kita berada samada di hadapan pelajar ataupun di belakang mereka.

Kesimpulan

Kesimpulannya, pengajaran yang baik tidak semestinya bergantung kepada teknik sahaja tetapi pengajaran yang baik ialah hasil daripada identiti dan integriti seorang guru. Sebagai contoh, kebolehan seorang guru berhubung dengan pelajar dan seterusnya kaitan mereka kepada mata pelajaran berdasarkan pengetahuan dan kepercayaa diri guru serta kerelaan guru memberikan khidmat terbaik untuk pembelajaran. Kita perlu memperakui bahawa nilai murni, ketelusan, akauntabiliti dan etika amat penting diamalkan demi melonjakkan kecemerlangan masyarakat dan negara pada masa depan. Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan yang berkesan merupakan tonggak utama dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti. Oleh itu, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan atau dipertanggungjawabkan kepada warga pendidik semata-mata, tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak.

You might also like