You are on page 1of 7

SOAL JAWAB: PEMANSUHAN PPSMI DEMI MASA DEPAN PELAJAR SELURUH

NEGARA

SEJAK dilaksanakan pada 2003, dasar Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menempuh ranjau hingga akhirnya Kabinet memutuskan untuk
memansuhkannya pada 2012, disertai strategi untuk terus memantapkan Bahasa Malaysia (BM)
dan Bahasa Inggeris (BI). Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR dan ROHANIZA
IDRIS bertemu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin
Yassin untuk penjelasan lanjut keputusan berkenaan.

Ada pihak mendakwa keputusan kerajaan ini hanya atas dasar politik untuk
mengembalikan sokongan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), bukannya
demi masa depan bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri.

Keputusan ini dibuat berdasarkan political will (semangat politik), kerajaan adalah parti yang
mentadbir negara. Apakah kerajaan berani buat keputusan... bagi saya, kerajaan berani buat
keputusan walaupun kita tahu ada kesan pro dan kontranya. Sebab itu kita guna asas rasional,
kajian empirikal dan saintifik. Data yang kita kumpul bukan dalam tempoh singkat,
(pemansuhan) berdasarkan fakta itu, tak perlu ada pihak lain yang mendesak... kita lihat (hasil
kajian) yang sudah saya bentang itu.

Kita buat keputusan ini bukan faedah untuk diri saya... saya sudah lepas (belajar), bukan
faedah untuk siapa pun, (tetapi) kita nak lihat generasi masa depan. Kalau kita tak putuskan
sekarang, kita akan melarutkan lagi dasar itu sampailah tak tahu bila. Kajian di kementerian
pun kata, kalau tak ubah sistem itu sekarang dan kita teruskan lagi, tak tahulah bila masanya
dapat, sempurnalah PPSMI.

Di luar bandar, BI dianggap sebagai bahasa asing, bukan pun bahasa kedua. Bahasa pertama
ialah loghat dia, kedua bahasa Melayu, yang ketiga barulah BI yang dianggap sebagai bahasa
asing. Jadi, bagaimana seorang pelajar itu dapat menangkap ilmu kalau mereka tak faham BI,
sampai saya dimaklumkan oleh pengarah pelajaran bahawa guru yang tahu BI pun kasihan nak
mengajar dalam bahasa itu kerana murid tak faham. Bila tak faham, tak boleh bagi tumpuan
kepada pelajaran, dia tak dapat ilmu. Keputusan yang kita buat ini bukan atas gesaan politik,
bukan kerana kita fikir ini sesuatu yang boleh memberi faedah kepada kita sama ada dari segi
mileage dan sebagainya. Apa yang penting kita buat sebab pelajar, anak kita. Inikah dia
(pemansuhan) atau teruskan. Saya tak nafikan ada juga yang kata PPSMI baik, saya tak nafikan
itu dan tak kata PPSMI tak baik.

Di sesetengah sekolah, mereka (murid) sudah agak begitu selesa dengan PPSMI. Ini sekolah
terpilih di bandar sebab di situ jurang penguasaan BI agaknya tidak besar kerana mereka sudah
biasa mendengar ibu bapa guna BI, suasana di rumah begitu, dihantar ke tadika dan lepas itu
masuk sekolah. Dia sudah senang dan selesa, jadi bagi mereka tidak jadi masalah. Tetapi,
apabila kerajaan nak membuat keputusan, kita tak boleh ambil kira satu, dua, tiga, empat, lima
(murid) ini saja... kita kena ambil kira 10,000 yang majoritinya dan sebab itu, keputusan ini
disambut baik ramai, tetapi ada juga yang tidak menyambutnya kerana mereka kata kenapa tak
kekalkan PPSMI. Kerajaan tak boleh buat dua sistem... nampak macam (sistem) sekolah kita ini
tak menentu, kita kena buat sesuatu.

Adakah kerajaan berasa lega dengan keputusan ini selepas PPSMI mendapat begitu
banyak bantahan selama ini.

Bagi saya, ia satu keputusan yang melegakan kerana kita harus buat keputusan ini... sudah
sampai waktu yang sesuai. Bila ada keputusan, maka perancangan untuk melaksanakannya
bolehlah bermula. Sebab itu kita tidak kata nak buat (pemansuhan) esok atau tahun depan. Ada
orang kata kalau sudah nak buat itu, kenapa tak buat. Macam sesetengah pejuang bahasa kata,
kalau sudah betul (hendak memansuhkan), kenapa tunggu sampai 2012. Kita kena ambil kira
pula faktor pelajar yang ada dalam sistem ini, kalau esok kita tukar, terkejut dia, apa ini cikgu
datang cakap dalam BM... tak boleh. Orang kata mesti ada soft landing, jangan mendarat
dengan terkejut supaya kohort, iaitu kumpulan pelajar yang sekarang ini ada dalam sistem
PPSMI terus habiskan dulu, barulah kita masukkan dalam sistem baru. Yang keduanya, kita nak
buat persiapan untuk kurikulum yang kita cadangkan seperti tambah masa (pengajaran dan
pembelajaran)... kalau tambah masa dan tambah pula dengan... katakan kalau BI dengan tata
bahasanya, komponen sasteranya, di sekolah rendah pula dengan didik hiburnya yang boleh
menyeronokkan. Jadi ada pengubahsuaian pada sistem dan cara yang agak baru dan ini
memerlukan juga guru terlatih dengan kurikulum baru. Komponen dalam kurikulum baru yang
kita cadangkan itu juga perlukan masa. Kita sebut 13,000 (guru terlatih)... kita kena
berusahalah, sebab itu kita melihat kepada beberapa sumber untuk mendapatkan guru terlatih
dalam BI saja. Guru terlatih untuk Matematik dan Sains dalam BM mungkin sudah ada, tetapi
kalau tak cukup kita nak tambah, itu yang kita kata nak memartabatkan BM.

Adakah keputusan ini kekal atau akan ada lagi perubahan selepas ini.

Saya tidak fikir ada perubahan lagi. Kalau ada pun penambahbaikan kepada apa yang kita perlu
buat, itu boleh dibuat dan tidak menjejaskan dari segi dasar. Dasar sudah ada, memartabatkan
BM itu dasar kita, mengukuhkan BI itu dasar kita. Penambahbaikan seperti peningkatan dari
segi cara untuk menyampaikan, itu akan dibuat. Saya tidak fikir akan ubah lagi dasar ini kerana
dalam soal pendidikan, kita kena betul-betul buat satu dasar... sebab itu saya berfikir panjang
apabila kita putuskan sesuatu, implikasinya besar kerana ia membabitkan ramai rakyat. Dalam
bidang ekonomi contohnya, kita putuskan (dasar) hanya membabitkan kelompok tertentu,
tetapi ini (pendidikan) apabila kita kata ya, ikut (dasar) ini... lima juta rakyat yang jadi pelajar
dan kalau kira sekali dengan ibu bapa, kali dua sudah 10 juta rakyat, jadi kita tak boleh main-
main. Bagi saya, ini keputusan yang tepat, jadi kita akan laksanakan sepenuhnya dasar ini.

Bolehkah Tan Sri memberi jaminan, terutama kepada ibu bapa dan guru yang keliru
dengan banyak perubahan berhubung dasar pendidikan sebelum ini.

Saya fikir ia bukan setakat jaminan, tetapi mereka mahu melihat dasar yang konsisten,
berterusan dan seriusnya kita dalam melaksanakan dasar itu. Jadi, kita mengambil masa untuk
betul-betul memikirkan apa yang kita buat sekarang. Orang berkata pendidikan itu dinamik
kerana dunia sering berubah. Dalam persidangan menteri pendidikan Komanwel sebulan lalu,
kita bincang mengenai sistem pendidikan, adakah ia bergerak selari dengan perubahan global
yang amat cepat. Adakah sistem pendidikan berada pada paras yang sama dengan perubahan
global itu, di depan atau terkebelakang. Kita berbicara mengenai teknologi, adakah kita
bergerak selari. Jika tidak selari, kita hanya akan melahirkan mereka yang tidak sesuai dengan
kehendak masyarakat, baik dalam bidang ekonomi, sosial atau bidang lain. Isunya di sini ialah
pendidikan itu bukan statik, tetapi dasarnya mestilah konsisten, boleh dibuat perubahan untuk
meningkatkan sistem itu.... tetapi jangan berkompromi dengan dasar.

Dasar pendidikan kita sudah ada, sebenarnya jika kita lihat kepada Laporan Razak dan Laporan
Rahman Talib, jelas dinyatakan bahasa pengantar mesti bahasa kebangsaan. Jadi, PPSMI agak
tersasar... tujuannya untuk meningkatkan penguasaan BI tetapi orang kata lakukannya dengan
belajar BI, bukan melalui Matematik dan Sains. Seperti yang dikatakan Tun Dr Mahathir
Mohamad, idea PPSMI kerana kita mahu meningkatkan graf ilmu Sains, Teknologi dan
Matematik. Cara terbaik melakukannya ialah melalui BI... itu betul, tetapi masalahnya kita tidak
ada cara melakukannya. Ia memang benda baik, tetapi sukar dicapai. Kemudian kita kata jika
tidak boleh lakukannya, kita mesti perkukuhkan BI kerana ini lebih mudah untuk kita menguasai
ilmu dalam BI.

Ada yang menyatakan keputusan ini menjadikan PPSMI projek 'gajah putih' kerana
segala peralatan seperti LCD, komputer bimbit, kos perundingan dan seumpamanya
akan terbiar.

Saya tak fikir ia akan menyebabkan kerugian kepada sistem keseluruhannya. Terbukti,
pencapaian pelajaran anak-anak juga (dalam PPSMI) tidaklah terlalu menjunam... tidak dapat
ilmu langsung, itu tidak betul. Dalam perubahan sistem, memang biasa kita mengeluarkan
perbelanjaan untuk guru dan perkakasan. Untuk perkakasan, saya fikir ia masih boleh
digunakan cuma perisian perlu diubah suai dengan kandungan baru, tidak semua perlu diubah.
Nak kata ia jadi 'gajah putih", tidak sebegitu kerana tenaga guru sedia ada boleh digunakan.
Kalau dulu guru mengajar Sains dan Matematik dalam BI, tidak susah untuk mereka kembali
mengajar dalam BM. Dari satu sudut, untuk jangka panjang (pemansuhan) nampak lebih
menjimatkan. Pada peringkat awal apabila kita mahu meminda perkara ini memang
memerlukan perbelanjaan, seperti penambahan guru. Jika mahu menambah guru BI kepada
13,933 orang, perlulah gunakan perbelanjaan besar. Ini fakta yang tidak dapat kita elakkan,
begitu juga perbelanjaan mengukuhkan sistem sokongan lain seperti komputer dan makmal
bahasa (linguaphone) serta guru tambahan jika kelas terlalu besar dan jumlah pelajar besar.
Begitu juga kandungan mata pelajaran. Jika kita mahu perkenalkan kandungan sastera, maka
perlu ada buku sastera. Untuk memperkukuhkan (sistem pendidikan), kita kena belanja.
Dakwaan menyatakan perbelanjaan dulu (untuk PPSMI) sebagai pembaziran, tidak betul
sebenarnya. Nak kata anak kita tidak belajar ketika PPSMI dilaksanakan... tak betul, mereka
masih belajar, nak kata PPSMI merosakkan sistem, itu tidak betul. Dengan perubahan ini, apa
yang sudah kita belanjakan tidak harus dianggap sebagai pembaziran kerana pelajar masih
tetap mahu belajar dan perkakasan serta tenaga guru masih boleh terus digunakan.

Boleh Tan Sri jelaskan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan BM dan
memantapkan P&P BI.

Usaha memartabatkan BM ialah dengan mengembalikan P&P Matematik dan Sains dalam BM.
Pemansuhan ini jelas menunjukkan kita mahu mengembalikan semula martabatnya. Bermakna
bahasa Melayu hiduplah kembali, berkembang dalam ilmu sains dan matematik. Jika tidak, tiada
siapa yang mahu belajar bahasa Melayu. Bahasa Melayu hilang dan kesannya besar. Bagi
menaikkan martabat bahasa Melayu juga dicadangkan supaya dihidupkan kembali
kesusasteraan Melayu... dulu tidak diajar secara spesifik dan kini subjek ini ditambahkan waktu
pengajaran dan pembelajarannya. Selain itu, tenaga pengajar iaitu guru terlatih juga ditambah
kerana waktu pengajaran ditambah dan pendekatan modular juga dilaksanakan, termasuk
mewujudkan P&P didik hibur kerana ia lebih berkesan, mudah difahami dan menarik anak-anak
di sekolah rendah.

Kita juga mahu mengeluarkan lebih banyak guru terlatih termasuk daripada kalangan graduan
universiti tempatan, bermakna kita tempatkan graduan di sekolah rendah. Di sekolah rendah
kini, hanya 40 peratus guru lulusan universiti, selebihnya tidak... dengan kata lain majoriti guru
(sekolah rendah) bukan graduan. Apabila ini berlaku, cara penyampaian dan pengajaran sedikit
berbeza. Justeru, matlamat kita untuk menaik taraf tenaga pengajar di sekolah rendah. Ini
kerana sekolah rendah adalah waktu kritikal untuk pembinaan minda anak. Masa di sekolah
rendah juga mudah untuk membentuk dan melenturkan anak, empat lima tahun kemudian
(selepas sekolah rendah), agak sukar. Dengan ada pendekatan baru ini, saya lebih yakin boleh
mencapai matlamat yang kita inginkan.

Bagaimana sebenarnya suasana dalam pertemuan Tan Sri dengan Tun Dr Mahathir.

Suasana pertemuan itu baik dan ada interaksi, malah pegawai kementerian membawa data
yang sebenarnya dan dibuat bukan atas dasar sengaja nak pinda, ini ada asas. Dr Mahathir
minta jika boleh PPSMI dilaksanakan di sekolah menengah. Kita nyatakan kebimbangan bahawa
ia tidak dapat dilaksanakan sedemikian kerana tidak konsisten antara sekolah rendah dan
menengah. Saya tahu beliau tidak berpuas hati dengan keputusan ini tetapi saya terangkan
bahawa dasar yang beliau laksanakan bukannya tidak baik tetapi untuk melaksanakan dasar
berkenaan bukannya mudah. Saya fikir penjelasan yang diberikan cukup.

Apakah keputusan ini boleh dianggap terlewat kerana dasar PPSMI juga sudah
memberi kesan dalam menghakis sokongan orang Melayu kepada BN dan Umno.

Bagi yang mahukan perubahan ini berlaku dari awal lagi, mereka berasa ia perlu dilaksanakan
dengan segera, (tetapi) kita tidak boleh tukar secepat mungkin kerana ia membabitkan satu
pusingan. Kita tidak mahu buat penilaian separuh masak, kalau buat awal, akan timbul implikasi
lain. Apabila sudah matang, mudah untuk buat keputusan.

Ada juga dakwaan menyatakan kerajaan memansuhkan PPSMI kerana dasar ini
melanggar Perlembagaan.

Soal takut tidak timbul kerana kita kena fikir banyak perkara sebelum membuat keputusan ini.
Apabila kita buat keputusan, baru ia sehaluan. Jika kita terpaksa mengakui ada kelemahan, kita
kena akuinya. Mengapa pula kita menyembunyi perkara itu. Kita akui ini kelemahan kerajaan
tetapi kita ada cara memperkukuhkan balik dan membina keyakinan rakyat kepada kita bahawa
kita laksanakan (dasar) dengan bersungguh-sungguh, bukannya kerana desakan. Pada saya,
walaupun 100 kali orang mendesak, jika benda itu baik pada saya, saya tidak akan pinda. Saya
akan buat keputusan yang terbaik walaupun tahu tidak semua orang setuju dengan pandangan
saya, memang perlu ada ketegasan dan keberanian. Penting buat keputusan jika kita fikirkan ia
baik.

Ada juga yang berpendapat PPSMI adalah dasar yang flip flop (tidak konsisten).

Visi dan objektif PPSMI memang baik tetapi usaha melaksanakannya tidak mudah dan tidak
dapat dicapai. Sama ada ia flip flop atau tidak, terpulang kepada anda untuk tafsirkannya.
Cabaran besar untuk melaksanakan dasar ini ialah untuk memastikan ia mencapai matlamat.
Kita tidak boleh terus laksana dan mendedahkan pelajar dengan risiko daripada
pelaksanaannya. Setiap tahun, ada kira-kira 500,000 pelajar keluar daripada sistem
persekolahan. Kohortnya menjadi semakin besar dan jika diteruskan, ia akan membabitkan tiga
juta pelajar (dalam tempoh enam tahun PPSMI dilaksanakan).

Apakah strategi yang bakal diambil bagi pengukuhan BI dan mampukah kita
mendapatkan lebih 13,000 guru BI terlatih yang diperlukan.

Ada beberapa perkara diambil kira iaitu tenaga pengajar, masa pembelajaran, kandungan mata
pelajaran dan cara mengajar di sekolah rendah. Sepatutnya cara mengajar dan belajar di
sekolah rendah ialah dengan pendekatan yang lebih menyeronokkan. Di samping itu, kita mahu
mengukuhkan lagi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Kini memang ada
penggunaan ICT, tetapi selepas ini ia lebih interaktif dengan pendekatan baru yang menarik
pelajar. Untuk P&P BI, saya tidak akan bergantung kepada satu sumber saja iaitu maktab
perguruan. Kita mungkin dapat tenaga guru terlatih daripada institusi pengajian tinggi awam
(IPTA) dan swasta (IPTS). Kita juga boleh mendapatkan khidmat guru bersara yang pakar
mengajar dalam BI, boleh juga sumber dari luar negara.

Boleh Tan Sri rumuskan apakah pengajaran yang diperoleh kerajaan dalam kemelut
PPSMI ini, dalam konteks kuasa rundingan dan perbincangan awam.

Keputusan ini sesuai dengan apa yang Perdana Menteri kehendaki, iaitu rakyat didahulukan.
Kita tidak harus berasa tahu segala-galanya, itu yang disebutkan dan tempoh untuk kerajaan
menyatakan tahu segala-galanya sudah berakhir. Kerajaan kini bersifat lebih terbuka, malah
mengumpul data, pandangan, perbincangan meja bulat serta sesi diskusi dengan pelbagai
pihak, menerima memorandum pelbagai pihak. Kita sentiasa mendapatkan input masyarakat
sepanjang tempoh setahun ini.

Pengalaman ini cukup baik, bermakna pendidikan bukan hak mutlak kerajaan, pendidikan ini
hak mutlak rakyat... semua orang ada kepentingan. Dalam proses ini, perbincangan dan
musyawarah dilakukan dan kita terima pelbagai pandangan. Apa yang kita buat ini adalah yang
terbaik untuk rakyat, bukannya baik untuk kumpulan, kehendak dan politik tertentu. Ini satu
pendekatan yang baik, setidak-tidaknya kita yakin sebelum buat keputusan dan kini saya lihat
reaksi ramai menyambut baik keputusan ini.
DASAR MELANGKAH KE DEPAN

“KALAU ikut saya esok saya nak ubah,” demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin ketika ditanya kenapa dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) tidak dimansuhkan segera.

Beliau yang kelihatan ceria dan segak berbaju batik berkata, persiapan sebelum penguatkuasaan
pemansuhan PPSMI pada 2012 adalah perlu supaya masyarakat dan pelajar benar-benar bersedia
dengan perubahan yang dilakukan.

“Jangan kita ulangi masalah yang berlaku ketika kita mula-mula hendak laksanakan PPSMI dahulu,”
kata beliau yang juga Menteri Pelajaran.

Menurut beliau, perubahan pengurusan pendidikan negara perlu dilakukan dengan berhati-hati. Dengan
adanya tempoh masa yang mencukupi akan memudahkan kerajaan membuat persiapan yang
sewajarnya serta lengkap.

Dalam wawancara yang berlangsung selama 40 minit di pejabatnya di Putrajaya Khamis lalu oleh
wartawan Mingguan Malaysia Zin Mahmud, Ku Seman Ku HussAin, Marhaini Kamaruddin dan
Hafizahril Hamid, beliau menegaskan, keputusan yang dibuat adalah tepat dan telah mengambil kira
semua perkara namun yang paling penting sekarang ialah soal pelaksanaan.

“Dengan sokongan daripada ibu bapa, pelajar dan masyarakat, saya yakin perubahan ini boleh
mempertingkatkan kemajuan sistem pendidikan negara ini,” kata Muhyiddin.

MINGGUAN: Bagaimana dengan reaksi yang diterima selepas pengumuman pemansuhan PPSMI
Rabu lalu?

MUHYIDDIN: Setakat ini secara umumnya ramai yang menerima, namun saya juga telah menjangka ia
tidak akan memuaskan hati semua pihak. Ada pihak yang berpandangan usaha pelaksanaan PPSMI
adalah satu usaha yang baik kerana ia meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pembelajaran
Matematik dan Sains.

Namun seperti yang saya umumkan sebelum ini kita tidak membuat kajian dan keputusan dengan
tergopoh gapah malah ada pihak yang menganggap keputusan ini perlu dilakukan lama sebelum ini.
Namun kita mengkaji dan menunggu satu pusingan dahulu baru membuat keputusan walaupun ada
pihak yang menyatakan pemansuhan ini perlu dibuat lebih awal. Bila kita buat penilaian perlu melihat
semua perkara dan bukan tunggu orang desak baru kita nak buat sesuatu perkara. Keputusan ini
berdasarkan kajian yang mendalam dan akhirnya keputusan ialah kembali menggunakan bahasa
Melayu. Tapi saya tidak menyatakan bahawa kita berundur ke belakang.

Kerajaan mengambil keputusan ini setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan
mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang
dihasratkan. Yang saya nyatakan ialah dasar baru yang boleh membawa kita ke hadapan. Saya ingin
pastikan bila buat keputusan itu ada satu keseimbangan iaitu penting bagi kita memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita memperkukuhkan bahasa
Inggeris.

Ini kerana kedua-dua perkara ini penting. Jika kita tidak teruskan dasar lama orang akan kata perlu ada
penggantian. Maka dari satu sudut ia seimbang umpama satu pendekatan serampang dua mata iaitu
memartabatkan bahasa Melayu dan saya tidak menyatakan dengan panjang lebar ketika pengumuman
semalam namun Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran akan mengumumkan selebihnya
tentang perkara itu.

Satu lagi ialah bagaimana hendak memperkukuhkan bahasa Inggeris kerana di negara ini kita telah
lama laksanakan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua. Dalam pengumuman saya ada
nyatakan penambahbaikan yang akan dilakukan antaranya penambahan waktu, pendekatan
pengajaran, penambahan guru dengan disokong penggunaan ICT dan makmal bahasa Inggeris.

Maka secara umumnya saya dapat lihat perkara ini diterima baik dari pertemuan dan mesej yang saya
terima ramai yang berpuas hati namun ada juga yang sebaliknya kerana mengambil beberapa contoh
ada sekolah yang mendapat keputusan paling baik kerana pelaksanaan PPSMI dan guru besar serta
PIBG tidak bersetuju dengan pemansuhan ini.

Saya akui ada yang mendapat faedah besar dari PPSMI namun bukan semua sekolah mendapat
keputusan sebegitu. Kalau keputusannya baik sudah tentu kita akan teruskan namun ia tidak begitu.
Tapi malangnya di Malaysia ini kita ada 180,000 sekolah mengambil sekolah rendah dan menengah
majoritinya tidak begitu. Yang kita kata PPSMI itu sebenarnya ramai sekolah yang mengajar dalam
bahasa Melayu. Lebih banyak penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran PPSMI, jadi apa
maknanya itu.

Matlamatnya adalah mengajar dalam bahasa Inggeris tetapi ramai cikgu di sekolah yang mengajar
dalam bahasa Melayu kerana kekurangan guru dan murid-murid tidak berapa faham.

Bagaimana dengan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan dari bahasa Inggeris ke bahasa
Melayu?

MUHYIDDIN: Pertamanya kita perlu faham perubahan ini tidak melibatkan Tingkatan Enam dan
Matrikulasi. Untuk memastikan pelaksanaan ini tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang
mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran ini akan dibuat dalam
dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada tahun 2014.

Selaras dengan hasrat untuk memartabatkan bahasa Melayu, Kementerian Pelajaran akan
melaksanakan transformasi kurikulum bahasa Melayu di sekolah rendah dan menengah dengan
memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiran berbahasa di kalangan murid melalui pendekatan
modular yang bersepadu, seimbang dan holistik.

Modul yang disediakan meliputi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta
penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.
Dari segi pelaksanaan saya rasa tidak timbul banyak masalah. Ini kerana sebelum PPSMI dilaksanakan
kita telah lahirkan ramai profesional-profesional berjaya dalam bidang masing-masing seperti doktor,
peguam, arkitek dan sebagainya.

You might also like