You are on page 1of 2

Anjakan 5: Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah Mengapakah perlu?

: Kualiti kepimpinan sekolah merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua terpenting, selepas kualiti guru, dalam menentukan keberhasilan murid. Beberapa kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua/guru besar yang cemerlang, iaitu yang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional dan bukannya kepimpinan pentadbiran, dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20%. Walau bagaimanapun, kriteria pemilihan yang diamalkan pada masa ini sebahagian besarnya ditentukan berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan kepimpinan. Tambahan lagi, 55% daripada semua pengetua/guru besar yang ada pada masa ini tidak pernah mengikuti latihan persediaan atau induksi sebelum atau semasa mereka berada dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai pengetua/guru besar. Hal ini bermakna mereka mungkin menjalankan tugas sebagai pengetua/guru besar dalam keadaan kurang bersedia. Dengan bilangan 40% pengetua/guru besar yang akan bersara dalam tempoh lima tahun akan datang, maka wujud peluang untuk meningkatkan kualiti kohort ini. Apakah bentuk kejayaan?: Setiap sekolah akan mempunya pengetua/guru besar berprestasi tinggi yang sentiasa gigih dalam matlamatnya untuk meningkatkan keberhasilan murid, dari segi akademik dan bukan akademik. Pengetua/guru besar cemerlang akan diberikan insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah, dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas. Seterusnya, asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh, iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin instruksional. Memperkukuh kriteria pemilihan dan proses perancangan penggantian bagi pengetua/guru besar mulai 2013. Kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua/guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan. Setiap pengetua/ guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua/ guru besar. Penetapan syarat ini dijangka menyebabkan purata umur pengetua/guru besar menurun, dan membolehkan mereka berkhidmat bagi tempoh yang lebih lama di setiap sekolah dan dalam sistem pendidikan secara keseluruhannya. Kementerian juga akan memperkenal proses perancangan penggantian yang mengenal pasti dan melatih individu berpotensi tinggi bagi memastikan terdapat kelompok calon yang bersedia

untuk berkhidmat, apabila dipanggil sebaik sahaja terdapat kekosongan jawatan. Setelah mekanisme ini dilaksanakan, Kementerian akan memperluas fokus perancangan mencakupi guru penolong kanan, ketua bidang dan juga ketua panitia.

You might also like