Professional Documents
Culture Documents
Tokoh Teori
Teori Rasional Emotif Terapi telah diasaskan oleh Albert Ellis. Beliau dilahirkan
pada tahun 1913 di Pittsburgh, Amerika Syarikat. Teori ini terbina apabila beliau
mendapati bahawa teori Psikoanalasis yang dipelopori oleh Freud tidak mendalam dan
adalah satu bentuk pemulihan yang tidak saintifik. Pada awal tahun 1955, beliau telah
menggabungkan terapi-terapi kemanusiaan, fisolofikal dan tingkah laku dan dikenali
sebagai teori emosi-rasional (RET). Semenjak itu beliau terkenal sebagai bapa kepada
teori RET dan datuk kepada teori tingkah laku kognitif.
Ellis berpendapat pendekatan yang dibawakan oleh Freud kurang lengkap kerana
ada individu yang bertambah teruk selepas menjalani pendekatan psikoanalisis. Hipotesis
RET berdasarkan bahawa emosi berpunca daripada kepercayaan, penilaian, interpretasi
dan tindakan daripada situasi kehidupan. Di dalam proses teraputik emosi-rasional, klien
mempelajari kemahiran yang akan digunakan untuk mengenal dan memerangi
kepercayaan yang telah tertanam lama di dalam diri seseorang. Ini disebabkan oleh teori
ini lebih bersifat ‘pendidikan’ daripada perubatan yang direka dalam keadaan di mana
kaunselornya aktif terarah dengan tepat dan mengajar. Ellis terkenal dengan bukunya
yang bertajuk ‘Reason and Emotion In Psychotherapy’ dan bersama-sama dengan Robert
A Harper beliau mengeluarkan buku berjudul ‘A Guide to Rational Living’.
Pendekatan Teori
RET juga dikenali sebagai Terapi A-B-C yang mana merupakan suatu teori yang
mempunyai kelainan dengan teori-teori yang lain terutamanya Teori Psikoanalisis, Teori
Pemusatan Insan, Gestalt dan lain-lain lagi. Ini disebabkan oleh teori ini mementingkan
tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan aspek tingkah laku. Teori ini memberi
penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat
keputusan. Pendekatan teori ini bercorak deduktif atau mengajar, mengarah dan
mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional.
Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai sistem kepercayaan yang
tidak rasional. Kepercayaan ini perlu dicabar dan diperbetulkan supaya dapat
mewujudkan sistem kepercayaan yang baik dan rasional. Dalam konteks ini ia merupakan
satu sistem pendidikan semula yang mengajar individu untuk melihat semula sistem
kepercayaan yang membuatkan dirinya menderita dengan menggantikan semula dengan
satu set kepercayaan yang membawa kesejahteraan dan kebahagiaan pada diri seseorang
individu dan seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.
Prinsip terapi RET boleh digunakan kepada masalah semasa, masalah yang lain
dalam kehidupan dan juga masalah yang mungkin dihadapi pada masa akan datang.
Fokus prinsip ini adalah kepada pemikiran dan tindakan, bukan hanya mengikut
perasaan. Terapi ini dianggap sebagai satu proses pembelajaran kerana fungsi kaunselor
yang berbagai-bagai. Kadang kala kaunselor bertindak sebagai seorang guru, yang
memberi tugasan kepada pelajar iaitu klien dalam konteks terapi ini.
Menurut Muhd Mansur Abdullah (1997), dalam melahirkan teorinya Ellis banyak
menggunakan sistem-sistem psikologi dan falsafah iaitu menggabungkan intipati Falsafah
Stoic, Psikoanalisis Freud, Psikologi Individu Alfred Adler dan Orientasi tingkah laku
Pavlov dan Wolpe. Semua sistem itu membantunya meneguhkan lagi teori dan
pendekatannya. Sebab itulah Ellis menekankan: “When people emote they also think and
act. When they act, they also think and emote. When they think, they also emote and act.
To understand self-defeating behavior , one must understand how a person feels, thinks,
perceives and acts”.
Hubungan emosi dan pemikiran adalah berhubung rapat dan tidak boleh untuk
dipisahkan. Oleh sebab itu segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu
berpunca daripada proses dan pengaruh budaya dan pembelajaran . Menurut George dan
Cristiani (1995) telah mengandaikan bahawa manusia bertindak sebagai penilai,
perunding dan pengawal diri. Gangguan emosi dan tingkah laku akan bermula apabila
manusia menganggap beberapa keutamaan seperti keinginan untuk disayangi, diperakui
kejayaan dan menganggap keutamaan tersebut sebagai keperluan yang utama. RET juga
memandang bahawa manusia dilahirkan dengan beberapa kecenderungan ke arah
perkembangan dan pengiktirafan diri tetapi mereka akan mengkhianatinya disebabkan
oleh kecenderungan untuk berfikir tidak rasional dan contoh-contoh mengalah diri yang
telah mereka pelajari.
Menurut Gerald Corey (1996) pula mendapati bahawa terapi RET berlandaskan
kepada andaian bahawa manusia dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikiran secara
rasional dan tidak rasional. Manusia berupaya untuk memelihara dirinya, bergembira,
berfikir, menterjemahkan diri, sayang menyayangi, berkomunikasi dengan orang lain,
berkembang dan mengiktiraf diri sendiri. Manusia juga berkecenderungan untuk
merosakkan dirinya, tidak mahu berfikir, suka menangguh untuk membuat sesuatu,
mengulangi kesilapan, tidak sabar, mementingkan kesempurnaan semata-mata, selalu
menyalahkan diri sendiri, cuba mengelakkan pengikhtirafan dan pertumbuhan potensi.
Fenomena ini meyakinkan terapi ini dapat membantu manusia untuk menerima kembali
diri mereka sendiri setelah melakukan kesilapan dan belajar untuk hidup lebih harmonis.
Menurut teori RET, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu sistem
kepercayaan atau suatu ‘belief system’ yang penuh dengan kepercayaan yang tidak
rasional mengenai perkara yang dilihat atau dialaminya. Albert Ellis telah memberikan
beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional, antaranya adalah seseorang individu
mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang penting atau signifikan kepada
dirinya seperti ibubapa, adik-beradik dan rakan-rakan. Individu juga percaya bahawa ia
mesti membuktikan bahawa ia seorang yang berkebolehan dan berkemampuan.
Seseorang individu juga mempercayai bahawa jika terdapat individu yang lain melakukan
kesalahan atau tidak berlaku adil, maka seharusnya ia dikutuk dan menyalahkan dirinya
dan dilihat sebagai orang yang tidak baik. Masa lampau juga dianggap sangat penting
kerana ia mempengaruhi hidup seseorang individu. Ellis mempercayai bahawa masa
lampau itulah yang akan menentukan perasaan seseorang individu pada masa kini.
Bagi menerangkan dengan jelas bagaimana gangguan emosi dan fikiran berlaku
maka kita akan menggunakan konsep ABCDE yang telah dinyatakan oleh Ellis iaitu A
ialah penggerak pengalaman activating experience atau peristiwa, faktor sikap atau
tingkah laku yang dialami oleh seseorang. Misalnya gagal dalam peperiksaan. B pula
adalah sistem kepercayaan yang dianuti oleh seseorang person’s belief system. Misalnya,
“saya tidak kelihatan cantik atau hodoh”. Manakala C ialah akibat consequence iaitu
hasil daripada penilaian oleh B ke atas A dan ditafsirkannya. Misalnya, sentiasa keadaan
muram dan tidak bersemangat. D pula adalah kaedah-kaedah untuk berhujah, mengajar,
mencabar dan memperbetulkan sistem kepercayaan yang tidak rasional yang
menyebabkan individu itu mengalami suatu reaksi emosi yang tidak rasional. Misalnya,
“Saya tidak mahu kamu yang menyebabkan saya mengalami kerugian besar dalam
hidup saya”. Dan akhir sekali E ialah menjadi normal dan mempunyai sistem
kepercayaan dan penilaian yang rasional dan positif. Misalnya Saya rasa gembira.
Corey (1996) menjelaskan bahawa konsep ABC dalam teori RET adalah seperti
berikut; Menurut beliau, prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian besarnya
akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri. Hasil daripada
pemkiran ini menyebabkan seseorang individu itu suka menyatakan sesuatu dengan
perkataan ‘sepatutnya’, ‘seharusnya’ dan ‘semestinya’. Dari perspektif RET, ramai terapis
telah membuat kesilapan kerana memfokuskan kepada sejarah hidup yang lampau dan
cara tindakan ialah semua peristiwa masa kanak-kanak boleh diubah. Terdapat juga
terapis melakukan kesilapan dengan terlalu menekankan dalam usaha klien mengenal
diri, meluahkan perasaan dan perubahan pemikiran. Keadaan ini mendorong klien
melupakan peristiwa awal kanak-kanak dan menumpukan pemikiran sekarang. Bagi
Ellis cara ini tidak produktif kerana sesuatu yang menyebabkan emosional tidak akan
hilang malah ia akan menambahkan lagi kehebatan perasaan tersebut.
Oleh itu bagi Ellis , terapis dan klien perlu bekerjasama untuk mencabar
kepercayaan tidak rasional yang mengakibatkan gangguan emosional. Mereka perlu
menuju ke arah mengubah perkara yang tidak realiti, tidak matang, terlalu menuntut dan
tidak lojik kepada pemikiran yang logik, matang dan realistik. Persoalannya,
bagaimanakah emosional yang terganggu itu boleh wujud di dalam diri seseorang
individu? Dalam hal ini , Ellis telah menjelaskan bahawa individu yang mengalami
gangguan kerana sentiasa berterusan mengulangi ayat-ayat yang tidak logikal.Misalnya ,
individu itu berkata : “Saya sangat kecewa dengan kegagalan peperiksaan ini.
Kegagalan saya semuanya berpunca dari kesilapan saya sendiri. Saya adalah
merupakan manusia yang paling bodoh”
Gangguan emosi ini menyebabkan wujudnya depresi dan anxieti dalam diri
seseorang. Keadaan ini akan mengakibatkan individu itu akan kekal berpegang dengan
kepercayaan yang tidak rasional itu. Kepercayaan inilah yang perlu dibantu oleh
kaunselor agar klien tersebut dapat merasionalkan dirinya dalam menghapuskan
fahaman-fahaman dan kepercayaan yang tidak rasional yang ada pada dirinya.