You are on page 1of 3

Ke arah Memartabatkan Bahasa Melayu

oleh Ani Awang dan Zumurni Hamzah

SEJARAH kegemilangan zaman lampau Bahasa Melayu, kedudukannya sebagai bahasa


pribumi, fungsinya sebagai lingua franca, sifatnya yang sangat lentur dan senang dipelajari
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.

Oleh itu, pembinaan bahasa dimaksudkan sebagai usaha ke arah memantapkan Bahasa
Melayu dari sudut sistemnya iaitu sistem ejaan, sebutan. tatabahasa, peristilahan, kosa kata dan
laras bahasa.

Menurut pakar bahasa, Dr. Nik Safiah Karim, pemantapan sistem bahasa sebagai
persediaan menjadi bahasa yang cekap dan yang mempunyai daya pengungkap hal ehwal ilmu,
teknologi dan segala bidang untuk kehidupan moden telah mencapai tahap yang kukuh, walaupun
proses ini masih berterusan dan masih perlukan pemantapan.

Beliau berkata, kemajuan pendidikan dalam Bahasa Melayu telah berlaku dengan pesatnya
apabila kerajaan menubuhkan sekolah menengah berbahasa pengantar Melayu dan terlaksananya
Dasar Pendidikan Negara yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di
institusi-institusi pengajian tinggi (IPT).

‘Setelah merdeka, melalui usaha-usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perancangan
yang tersusun telah dijalankan terhadap Bahasa Melayu.

“Fungsi utama DBP direalisasikan melalui dua program besar, iaitu melalui pembinaan
bahasa dan pengembangan bahasa.

“Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan, tiba di kemuncaknya


apabila menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti.

“Kejayaan Bahasa Melayu itu dapat dilihat sebagai wahana ilmu pengetahuan melalui
penggunaan bahasa tersebut dalam syarahan-syarahan perdana,” katanya ketika membentangkan
kertas kerja Pemerkasaan Bahasa Melayu di IPT pada Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di Selangor baru-baru ini.

Seminar bertemakan Bahasa Melayu Wahana Pembangunan Negara itu berlangsung pada 6
hingga 8 September lalu.

Menurut Nik Safiah, usaha memperkasakan Bahasa Melayu di IPT adalah menggunakannya
dalam situasi-situasi rasmi dan memupuk semangat cintakannya.

Kata beliau, kini Bahasa Melayu menghadapi semacam zaman kegelapan sementara, tetapi
kita yakin bahawa Bahasa Melayu akan dapat bangun kembali, mengambil tempatnya yang asal
apabila mendapat sokongan dan dukungan terhadap pengguna bahasanya terutama dalam konteks
penggunaan d IPT.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Seni Budaya Malaysia, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh
berkata, perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem
pendidikan sehingga ke universiti.

Menurut beliau, ia menunjukkan kesungguhan serta komitmen yang tinggi pihak kerajaan
untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi.

Namun, realitinya kini, kata Wan Hashim, Malaysia sudah mengamalkan pendidikan dwi
aliran pada peringkat pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu aliran bahasa kebangsaan untuk
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan aliran bahasa asing terutama Bahasa Inggeris untuk
Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Di sektor swasta, kata beliau, penggunaan Bahasa Inggeris masih diutamakan dengan
alasan ia satu keperluan yang membabitkan perhubungan luar negara dan perdagangan
antarabangsa.

Wan Hashim yang juga Ahli Parlimen Gerik berkata, kelahiran institusi pendidikan swasta
yang dibenarkan melahirkan dua aliran pendidikan yang menggunakan dua bahasa pengantar yang
berbeza.

“Ia sekali lagi memulakan sejarah persaingan di antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
untuk diterima umum sebagai bahasa utama khususnya sebagai wahana untuk menyampaikan ilmu
tinggi dan ilmu baru.

“Dasar baru pengajian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris meningkatkan kembali
martabat Bahasa Inggeris walaupun ia secara formalnya tetap dianggap sebagai bahasa kedua
negara,” katanya dalam kertas kerja Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu Melalui Jalan Berliku.

Wan Hashim menambah, fenomena globalisasi dan budaya ICT muncul sebagai ombak
besar yang meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dunia.

Dalam konteks Malaysia, kata beliau, ia muncul kembali untuk bersaing hebat dengan
Bahasa Melayu yang telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Beliau berkata, Bahasa Inggeris diberi ruang yang luas dan keutamaan serta kedudukan
yang istimewa dalam pada yang sama menurunkan nilai ekonomi Bahasa Melayu.

“Sayugia diingatkan bahawa Bahasa Melayu masih merupakan bahasa utama dan bahasa
rasmi dalam sidang Parlimen, dalam ucapan dan perbahasan tahunan. Perhimpunan Agung UMNO,
urusan pentadbiran kerajaan dan bidang perundangan” ujarnya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia, Kolej Universiti
Teknologi Tun Hussein Onn, Miswan Surip dan Biamin Ahmad berkata, Bahasa Melayu dalam
bidang teknologi maklumat perlu jelas untuk menjadikannya lebih berkeupayaan dan digunakan oleh
lebih ramai pengguna.

Menurut kedua-duanya,. ini kerana bidang perisian merupakan bidang yang penting dalam
meperkatakan keupayaan sesuatu bahasa itu menjadi bahasa teknologi maklumat.

Ketika membentangkan kertas kerja Keupayaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Teknologi
Maklumat (IT) Di Era Globalisasi, mereka menjelaskan, untuk menjadikan Bahasa Melayu berupaya
menjadi bahasa IT beberapa cabaran yang perlu diatasi di peringkat nasional antaranya
penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang pencipta perisian masih sedikit.

“Cabaran kedua adalah semua peralatan Computer Aided Software Engineering (CASE)
yang mendapat tempat di negara ini menggunakan Bahasa Inggeris.

“Keadaan ini menyebabkan pembangunan perisian akan selesa dengan budaya kerja
mereka dan akan terus mengabaikan perkembangan teknologi perisian sejagat,” kata mereka.

Untuk mengatasi masalah ini, menurut mereka, institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) perlu
mengadakan lebih banyak kursus yang berkaitan dengan kejuruteraan perisian dan pelajar yang
berpotensi melanjutkan pelajarann ke peringkat yang lebih tinggi.

“Tujuannya untuk memperbanyakkan golongan dengan penggunaan dwibahasa dan


berpengetahuan luas dalam bidang yang kian berkembang pesat ini.
“Dengan cara ini bilangan golongan yang menggunakan Bahasa Melayu pada peringkat
kepimpinan dalam industri perisian dapat diperbanyakkan dan mempertingkatkan penyelidikan
dalam bidang kejuruteraan perisian.

“Syarikat tempatan atau golongan penyelidik tertentu perlu bekerjasama dengn pengeluar
peralatan CASE luas negara untuk menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu sepenuhnya,”
tambah mereka.

(Sumber : Utusan Malaysia (31/10/2005) )

Dikemaskini pada 21 Jan 2009

You might also like