You are on page 1of 11

PENCAPAIAN DAN SUMBANGAN TOKOH - TOKOH ISLAM DALAM BIDANG PSIKOLOGI, FALSAFAH DAN SEJARAH

BIDANG PSIKOLOGI
Psikologi Islam lebih mementingkan kejiwaan daripada tingkah laku seperti yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud, Ketahuilah bahawa dalam tubuh itu ada sepotong daging,sekiranya ia elok maka eloklah seluruh tubuh badan itu.Sekiranya ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh badan pula. Ia merupakan hati.

Menurut Ab. Alim Abdul Rahim (1994), konsep kejiwaan dalam Islam meliputi empat aspek iaitunafs (jiwa),qalb (hati), roh danaql (akal). Istilah nafs lebih menyatakan unsur penggerak dan aktiviti biologi.Nafs merupakan kata umum meliputi manusia kesuluruhannya. Istilahqalb (hati) selalu digunakan berkaitan dengan emosi dan akal pada manusia. Penggunaanqalb lebih khusus berbanding dengannafs. Al-Ouran telah banyak menyentuh keempat-empat istilah yang digunakan ini. Antaranya perkataanal-Nafs disebut atau diulang sebanyak 367 kali,al-Qalb disebut sebanyak 144 kali,al-Aql disebut sebanyak 49 kali danal- Roh disebut sebanyak 25 kali.

Antara tokoh psikologi Islam pada zaman keagungan ilmu pengetahuan Islam ialah al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd dan Imam Ghazali. Menurut AlFarabi, akal adalah satu gejala yang mempunyai daya kekuatan yang dapat memancarkan roh. Dalam daya kekuatan itu terdapat beberapa daya yang lain seperti daya keinginan untuk hidup (survival instinct), dalam pemeliharaan diri (self defence mechanism) dan pengembangan zuriat (breeding mechanism). Selain itu terdapat juga daya perasaan dan imiginasi yang terkandung dalam daya mengenal. Menurut Al-Farabi lagi, akal juga mempunyai dua bahagian kekuatan lain, iaitu dapat berfikir sesuatu yang berbentuk abstrak yang terpisah daripada kebendaan yang dapat diinderai, dan daya kekuatan untuk mencari sesuatu yang dapat memberi faedah,kebaikan dan kesempurnaan jasmani.

Al-Farabi berpendapat lagi bahawa daya kekuatan yang kedua ini akan hancur jasad ditelan bumi sedangkan daya kekuatan yang pertama akan dibangkitkan bersama roh pada hari kiamat. Teori al-Farabi ini telah diperkembangkan lagi oleh Ibnu Sina. Menurut beliau terdapat tiga bahagian roh iaitu roh manusia, roh haiwan

dan roh tumbuh-tumbuhan yang mempunyai daya kekuatan masing-masing. Kejadian roh manusia menurutnya adalah unik kerana keupayaan roh untuk hidup tanpa jasad. Tetapi mustahil jasad hidup tanpa roh kerana sekiranya roh memisahkan dirinya dari jasad, jasad akan menjadi mayat. Menurutnya lagi roh haiwan dan tumbuh-tumbuhan penting untuk kehidupan jasad manusia kerana dengan adanya kedua-dua unsur ini telah membolehkan manusia untuk terus hidup.

Ibnu Rusyd pula, di dalam karya agungnyaal-Tahafut menyatakan bahawa roh membolehkan jasad seseorang itu hidup. Menurut beliau, apabila mati, roh itu akan terus hidup dalam alam kerohanian yang tidak berbentuk kebendaan. Pada hari kiamat kelak, hanya roh sahaja yang akan dibangkitkan kembali, sedangkan jasad telah menjadi tanah tetap musnah. Berbeza pula dengan pendapat ulama Al-Kalam yang menjelaskan bahawa pada hari kiamat manusia dibangkitkan dalam bentuk roh dan jasad. Selain itu, Imam Ghazali dalam karyanya Ihya Ulumuddin telah membezakan roh dan jasad manusia. Menurut Ghazali, terdapat tiga unsur di dalam roh manusia iaitual- qalb (hati),al-nafs (nafsu) danal- aql (akal). Di dalam hati menurutnya, sifat semula jadinya cintakan kebaikan. Nafsu pula mempunyai dua unsur kekuatan iaitu kebaikan dan kejahatan yang mempengaruhi hati. Jika nafsu baik lebih banyak, maka hati akan bertambah baik, tetapi jika nafsu jahat lebih banyak maka hati akan dikuasai oleh nafsu jahat. Akal pula berfungsi untuk mencari ilmu bagi membersihkan hati ke arah kebaikan dan kebenaran. Ia juga berfungsi untuk mencari jalan yang paling berkesan untuk melaksanakan kehendak hati ke arah kebaikan Malah akal juga berfungsi untuk melaksanakan kehendak hati bagi tujuan kebaikan atau kejahatan. Al-Ghazali juga menjelaskan bahawa rohanilah yang menguasai jasad manusia. Segala pancaindera rasa seperti mata, telinga, mulut, lidah, akalnya dan anggota badannya serta segala organ yang ada dalam diri manusia semuanya tunduk kepada titah perintah rohani manusia. Al-Ghazali menganggap bahawa jasad

manusia dengan segala anggotanya merupakan tentera kepada hati dan rohani manusia

BIDANG FALSAFAH
Kedatangan Islam telah membawa perkembangan yang baharu di dalam falsafah dunia. Hal ini kerana falsafah Islam mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang mengatasi falsafah sebelumnya. Falsafah Islam diasaskan atas kekuatan wahyu dan akal memperkukuhkannya. Antara tokoh yang menyumbang dalam bidang falsafah Islam ialah Al- Kindi, al-Farabi, Ibnu Rusyd, Al-Ghazali, Ibnu Hazm, Ibnu Maskawaih, Ibnu Sina dan sebagainya. Al-Kindi merupakan orang pertama dalam Islam membincangkan falsafah sebagai suatu ilmu yang tersendiri. Beliau telah mengarang sebanyak 263 karya falsafah yang sebahagian besarnya telah diterjemahkan ke beberapa bahasa Eropah. Falsafah Al-Kindi membincangkan tentang pertama, adanya Tuhan menyebabkan adanya alam ini, kedua kegiatan Tuhan berkembang di antara langit dengan bumi, ketiga jiwa bumi adalah daya penggerak Tuhan, keempat jiwa bumi telah menyebabkan terjadinya langit, bintang dan planet-planet di angkasa lepas, kelima jiwa manusia merupakan pancaran jiwa bumi, keenam manusia bersifat dualisme, ketujuh kemerdekaan kekal dan abadi hanya dapat dicapai dalam dunia akal budi keamanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t dan yang terakhir, orang yang hendak mencapai kemerdekaan dan kebebesan itu harus memperkembangkan kekuatan akalnya dengan jalan ilmu ketuhanan dan ilmu tentang alam semesta . Falsafah Islam mencapai kematangan dengan munculnya ahli falsafah Islam iaitu Al- Farabi. Nama sebenar beliau ialah Abu Nasr al-Farabi (870-950 M) dan dikenali di dunia Barat dengan panggilan Alpharabius. Al-Farabi telah mempelajari falsafah daripada Yuhanna Ibnu Khailan. Pada awalnya beliau sangat berminat dengan falsafah yang dikemukakan oleh Aristotles sehingga beliau sanggup membaca bukuAnima karya Aristotles sebanyak 200 kali danPhysica sebanyak 40 kali. Beliau menggunakan ilmu falsafah untuk mencari dan menentukan kebenaran. Beliau berpendapat bahawa kebenaran yang sempurna dan mutlak adalah berdasarkan

kepada akidah Islamiah. Menurut Al- Farabi lagi, seorang ahli falsafah tidak seharusnya memisahkan dirinya daripada sains dan politik. Sebaliknya perlu menguasai kedua-duanya untuk menjadi seorang ahli falsafah yang sempurna.

Tanpa sains menurutnya, seorang ahli falsafah tidak mempunyai cukup peralatan untuk dieksploitasikan untuk kepentingan orang lain. Justeru, seorang ahli falsafah yang tulen tidak akan merasai sebarang perbezaan di antaranya dengan pemerintah yang tertinggi kerana keduanya saling lengkap melengkapi. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar diwujudkan sebuah Negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah. Antara buku-buku yang masyhur ialah seperti al-Mahaniyatul Fadhilah (bidang politik), Bandar yang Ideal ( al-Madinah al-Fadila) dan Bandar Kerajaan (alSiyasah al-Madaniyyah). Ibnu Rusyd atau nama sebenarnya Abu Al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad bin Ahmad bin Ahmad bin Rusyd juga turut menyumbang terhadap bidang falsafah. Beliau lahir di Cordova dan lebih dikenali sebagaiAv e r ro e s di dunia Barat. Antara buku-buku yang telah dihasilkan mengenai falsafah ialah Mahadi al-Falasifah danTahafut al-Tahafut. Menurut Mustafa Hj Daud (1991), Ibnu Rusyd telah membuat pembaharuan dalam bidang falsafah Islam dengan membawa pandangan baru berkaitan Al-Quran. Beliau telah menjelaskan, Al-Quran itu diturunkan oleh Tuhan untuk semua manusia.Oleh sebab manusia mempunyai tingkat-tingkat tertentu, ada yang berilmu, ada yang bodoh, maka pengertian AlQuran itu pun, tentu bertingkat pula menurut tingkat mereka. Aboe Bakar Atjeh (1979) menyatakan bahawa mengikut Ibnu Rusyd, hidup sendiri dan terasing daripada pergaulan umum tidak dapat menhasilkan sesuatu yang berfaedah kepada manusia. Azizan Baharudin (1986) menyatakan Ibnu Rusyd memainkan peranan penting dalam perkembangan skolatisisme melalui ulasannya tentang tulisan-tulisan Aristotle. Pada pertengahan abad ke 13 Masihi, hampir kesemua karya falsafah Ibnu Rusyd telah diterjemahkan ke bahasa latin dan telah mempengaruhi ahli pemikir Eropah. Antaranya ialah St. Thomas Aquines.

Selain itu, Al-Ghazali atau nama sebenarnya Abu Hamid Ibnu Muhammad alTusi al- Ghazali merupakan tokoh falsafah Islam yang paling agung. Beliau sangat berminat terhadap falsafah. Beliau telah berjaya menggabungkan antara falsafah dan tasauf dengan akidah, syarak dan akhlak. Karyanya yang terkenal ialah Ihya Ulumuddin. Dalam kitab ini beliau telah menghubungkan ilmu lahir dengan ilmu batin dan ilmu fekah dengan tasauf di bawah tinjauan falsafah yang mendalam. Menurut Aboe Bakar Atjeh (1979) kitab ini berisi suara jiwanya yang sudah insaf,dan oleh sebab itu merupakan hasil pengalaman-pengalaman dalam perjalanannya mencari kebenaran, mencari Tuhan serta kebahagiaan jiwanya. KitabIhya disusun di dalam empat bahagian iaitu Ibadat, Adat, Muhlikat danMujiat. Kitab ini merupakan pandangan al-Ghazali mengenai akhlak hasil daripada penyelidikannya bertahuntahun lamanya. Kitab ini banyak diterjemahkan ke dalam berpuluh-puluh bahasa di dunia ini termasuk bahasa Malaysia. Kitab-kitab lain Al-Ghazali ialah Mizan al-Amal, Al-Arbain, Minhajul Abidin dan banyak lagi. Tokoh-tokoh dari Andalus juga mempelopori bidang falsafah. Antaranya ialah Ibnu Hazm yang telah menulis lebih kurang 400 karya mengenai falsafah. Antara yang termasyhur ialah Ring of The Dove, Kitab al-Taqrib li-Hadd al-Mantiq alMadkhal ilayh, Jenis Sams dan Al-Akhlaq. Azizan Baharuddin (1986) menjelaskan Ibnu Hazm menyatakan bahawa mereka yang bertemankan ilmu dan mengetahui kegunaannya, patut pula menyampaikannya kepada orang lain dengan cara yang sebaik mungkin. Dia juga mengatakan bahawa falsafah bukanlah bidang yang boleh dikaji oleh sebahagian orang khasnya mereka yang belum mempunyai ilmu dan persediaan yang cukup. Ibnu Hazm menganggap falsafah sebagai suatu alat yang boleh digunakan untuk membela agama. Tokoh yang lain ialah Ibnu Maskawaih (936-1030 Masihi) yang berasal dari Parsi. Nama sebenar beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Yaakub dan dikenali dalam dunia falsafah sebagai nama Abu Ali. Beliau sangat terkenal sebagai ahli falsafah akhlak, terutama karyanyaTahzibul-Akh lak. Menurut Aboe Bakar Atjeh (1979), menyatakan Ibnu Maskwaih ialah seorang teoritis dalam hal-hal akhlak iaitu

mengupas falsafah akhlakiah serta analisis pengetahuan. Beliau telah mengupas dengan begitu mendalam tentang falsafahassaadah (bahagia) dengan cara ilmiah. Di samping itu, muncul pula Ibnu Sina ( 980-1037 Masihi). Beliau lebih dikenali sebagai Avicenna di dunia Barat. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1988), falsafah Islam telah mencapai kesempurnaanya di tangan Ibnu Sina. Ibnu Sina telah menghasilkan buku al-Shifa yang menerangkan dan menghuraikan semua sistem falsafah Yunani dengan cara yang mudah. Antara karya falsafah beliau dalam falsafah ialah Danesh Nameh ( dalam bahasa Parsi), Uyun al-Hikmah (bahasa Arab), Mujiz Kahir dan Tisu rasail fi hikmati wal tabiiyyat. Menurut Mustafa Haji Daud ( 1991), isu utama yang dibicarakan oleh Ibnu Sina di dalam falsafah ialah pertama, membuktikan kewujudan dan keesaan Allah s.w.t dan kedua

membicarakan hal roh manusia dan kaintannya dengan Allah s.w.t.

BIDANG PENDIDIKAN
Pendidikan meliputi hampir semua bidang aktiviti manusia dan mencakupi pelbagai bidang yang sama luasnya dengan tamadun manusia seperti politik, ekonomi, falsafah, seni dan sebagainya. Pakar-pakar pendidikan mengemukakan pelbagai pendapat mengenai tujuan pendidikan dalam Islam termasuk para pemikir Islam zaman silam seperti Ibn Khaldun, Al-Ghazali, Al-Farabi dan lain-lain. Imam Al-Ghazali merupakan salah seorang tokoh pemikir Islam yang sangat terkenal bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, bahkan di kalangan bukan Islam. Beliau sangat tinggi ilmunya dalam pelbagai bidang seperti falsafah, akidah, fikah, ilmu kalam, tasawuf, pendidikan, politik dan lain-lain. Semasa hayatnya, Imam Al-Ghazali telah memperkatakan dan membincangkan tentang banyak perkara mengenai pendidikan, dalam konteks kaedah pembelajaran dan penyebaran ilmu. Ilmu serta pendidikan adalah amat penting bagi sesiapa sahaja di mana-mana tempat di dunia ini. Melalui pendidikan, individu dapat memajukan diri, negara, bangsa dan agama. Pendidikan perlulah sentiasa berkembang dalam proses mencari kebenaran ilmu. Pendidikan juga pada dasarnya merupakan aset terpenting dalam pembinaan tamadun manusia dan

perkembangannya. Al-Ghazali memegang falsafah yang menyatakan, "Sebahagian ilmu tidak akan menyerah dirinya kepada kamu sebelum kamu menyerah sepenuh jiwa raga kepadanya. Apabila kamu telah menyerah sepenuh jiwa raga kepadanya, sebahagian ilmu diberikan kapada kamu, namun sebahagian lagi masih belum tentu untuk menerima kamu" (Mahayudin Yahaya, 2001). Melalui ungkapan ini, Al-Ghazali menekankan bahawa seseorang yang ingin menuntut ilmu haruslah membersihkan hati mereka daripada pekerti buruk dan unsur negatif. Malahan kesucian jiwa dan kemuliaan akhlak merupakan asas untuk memperoleh kesucian ilmu dan keberkatan daripada Tuhan supaya dapat dimanfaatkan untuk diri dan orang lain. Imam AlGhazali juga menyarankan agar seseorang menuntut ilmu secara tertib mengikut

keutamaan ( Sivachandralingam S. R. & Ayadurai L., 2001). Ini bermakna, ilmu yang paling penting haruslah dituntut terlebih dahulu sebagai bekalan untuk

menyempurnakan ilmu akhirat jika sekiranya umur tidak panjang.

Al-Farabi dalam falsafah pendidikannya menekankan bahawa pendidikan adalah sesuatu yang harus diperjuangkan. Beliau melahirkan idea tentang pendidikan berdasarkan falsafah yang dibawa oleh Plato dan Aristotel. Melalui falsafah ini beliau mencuba untuk memperkenalkan suatu kaedah yang mampu membawa keluar sesuatu bangsa dari sebuah pemikiran yang sempit kepada realiti kehidupan yang sebenarnya. Dasar pendidikan Al-Farabi adalah bertujuan untuk mencapai kesempurnaan hidup yang dicapai melalui kebahagaian yang diperolehi. Dan menurut beliau lagi, untuk mencapai tujuan ini seseorang haruslah berani dan bersikap terbuka. Konsep pendidikan yang diperkenalkan oleh Al-Farabi adalah berdasarkan konsep menurut paradigma Islam. Konsep ini merupakan gabungan antara teori dan praktikal yang dapat menunjukkan kebenaran yang sebenarnya. Gabungan teori dan praktikal dalam falsafah Al-Farabi ini adalah gabungan antara aspek demonstratif dan aspek persuasif yang digunakan dalam kaedah pembelajaran. Dalam perspektif Al-Farabi, aktiviti pendidikan merupakan penerapan nilai-nilai, pengetahuan intelektual dan ketrampilan praktikal yang kemudiannya harus dikembangkan menurut tujuan asalnya iaitu membawa manusia ke arah kesempurnaan. Kesempurnaan manusia menurutnya adalah proses akhir dalam mendapatkan nilainilai pengetahuan intelektual dan nilai-nilai tingkah laku bermoral. Untuk mencapai tahap ini, negara harus menyediakan belanjawan khas untuk pendidikan dan AlFarabi menetapkan bahawa belanjawan pendidikan diambil dari sebahagian zakat dan kharaj (pajak tanah). Ibn Khaldun pula menggariskan bahawa pendidikan atau ilmu dan mengajar merupakan suatu kemestian dalam membangun masyarakat manusia. Ini dapat dirumus pada pandangannya mengenai tujuan pendidikan iaitu untuk memberi peluang kepada fikiran untuk aktif dan bekerja kerana ia penting bagi mematangkan

fikiran, memperoleh pelbagai cabang ilmu pengetahuan dan memperoleh pekerjaan untuk mencari penghidupan. Ibn Khaldun menyatakan bahawa maksud pendidikan adalah transformasi nilai-nilai yang diperoleh dari pengalaman untuk

mempertahankan kewujudan manusia dalam peradaban masyarakat (Mahayudin Yahaya, 2001). Ini kerana dengan adanya pendidikan manusia berupaya melestarikan dan mewariskan nilai-nilai yang ada dalam masyarakat agar masyarakat dapat mengadaptasi kehidupan dengan lebih sempurna. Menurut Ibnu Khaldun lagi, pertumbuhan pendidikan dan ilmu pengetahuan dipengaruhi oleh peradaban. Beliau berpendapat bahawa terdapat perbezaan dari segi sosial hasil daripada kecerdasannya yang diperoleh melalui pengajaran. Ibnu Khaldun membahagikan ilmu pengetahuan kepada tiga iaitu Ilmu Lisan, Ilmu Naqli dan Ilmu Aqli. Beliau juga menekankan bahawa terdapat tiga jenis kurikulum yang perlu diajarkan kepada murid-murid. Pertama, kurikulum yang merupakan alat bantu pemahaman. Kurikulum ini termasuklah ilmu bahasa, ilmu nahwu, ilmu balaghah dan syair. Kedua, kurikulum sekunder, iaitu matapelajaran yang menjadi tonggak untuk memahami Islam. Kurikulum ini meliputi ilmu-ilmu hikmah seperti logika fizik, metafizik, dan matematik. Ketiga, kurikulum primer iaitu subjek yang menjadi pati ajaran Islam. Kurikulum ini meliputi semua bidang al-ulum al naqliyah seperti ilmu tafsir, ilmu hadis, ilmu qiraat dan sebagainya.

KESIMPULAN
Intelektual-intelektual Islam seperti AL-Ghazali, Al-Farabi, Ibn Khaldun, Al- Kindi, Ibn Rusyd dan ramai lagi telah banyak menyumbangkan ilmu dan falsafah dan teori dalam dunia Islam dan mengembangkan Tamadun Islam. Sumbangan- sumbangan tokoh-tokoh ini seharusnya dihargai dan setiap umat manusia amnya dan umat Islam khususnya perlu mempelajari dan mencontohi para ilmuan ini yang tidak jemu menimba ilmu dan seterusnya memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat seluruh dunia.

You might also like