You are on page 1of 22

KANDUNGAN ISI KANDUNGAN 1.0 PENGHARGAN 2.0 PENGENALAN 3.

0 KAJIAN PUISI-PUISI PILIHAN USMAN AWANG 6 (NILAI KEMANUSIAAN) 3.1 SATU MEI 3.2 MATA AYAH 3.3 KEKALLAH PERDAMAIAN (KEJAYAAN DI GENEVA) 3.4 GADIS KECIL 3.5 KEMANUSIAAN 4.0 KESIMPULAN 5.0 RUJUKAN 6 9 12 14 17 20 22 HALAMAN 2 3

1.0 PENGHARGAAN Kami pelajar BSK3033 keterampilan Penulis telah diamanahkan untuk mengkaji puisi-puisi pilihan karya Sasterawan Negara terulung, Usman Awang. Kajian yang dilakukan adalah pada nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak-sajak nukilan Usman Awang. Sebelum meneruskan bicara, rasa kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana telah mengurniakan kami kesihatan yang baik serta memberikan kami kesempatan untuk menyelesaikan artikel ini tepat pada tempoh waktu yang diberi. Kesyukuran ini dipanjatkan sekali lagi kerana telah memberi kami peluang untuk menimba ilmu di Universiti perguruan terulung di Malaysia iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Sekalung rasa hormat dan terima kasih kepada pensyarah yang disegani, Encik Ghazali Bin Din selaku pengajar yang bertanggungjawab untuk mendidik kami dalam kursus BSK3033 Keterampilan Penulis. Terima kasih encik atas perkongsian ilmu pengetahuan dan buah fikiran kepada kami semua dalam mempelajari ilmu keterampilan penulis ini. Serangkai kata kasih buat keluarga tersayang. Semoga bahagia dan sihat hendaknya. Doakan pemergian anakanda jauh meninggalkan bumi bertuah adalah untuk membawa pulang segulung Izajah yang terukir nama anakanda sekalian. Tidak lupa juga buat rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu untuk berkongsikan maklumat. Semoga visi murni kita sebagai anak kandung Suluh Budiman membuahkan hasil berlipat ganda dan berkeupayaan untuk mengembangkan ilmu yang dipelajari kepada bakal anak-anak didik pada masa hadapan. Terima kasih diucapkan kepada semua yang menyumbangkan buah fikiran yang bernas dalam proses penyiapan kajian ini. Tidak lupa juga buat mereka yang prihatin dan sering memberi sokongan moral dan mental sehingga berjayanya kajian ini dilaksanakan dengan sempurna. Jasa kalian hanya Tuhan yang mampu balas.

2.0 PENGENALAN Kumpulan kami telah menggunakan puisi-puisi karya Usman Awang sebagai bahan kajian. Kami telah dipertanggungjawabkan untuk mengkaji nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam puisi Usman Awang. Buku yang telah kami gunakan sebagai bahan kajian ialah buku Puisi-puisi Pilihan : Sasterawan Negara Usman Awang yang mengandungi 134 buah puisi yang dihasilkan oleh Usman Awang semasa hayatnya. Namun begitu, kami bataskan kajian kami hanya pada lima buah puisi yang terdapat dalam buku tersebut. Antara puisi yang menjadi bahan kajian kami ialah puisi Satu Mei, Mata ayah, Kekallah Perdamaian, Gadis kecil dan puisi Kemanusiaan. Usman Awang atau nama sebenarnya Wan Osman Bin Wan Awang amat dikenali sebagi seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden khususnya dalam genre sajak dan drama. Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Usman Awang dikenali juga dengan nama penanya iaitu Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Ros Murni, U.A, Setiabudi, dan Zaini. Pendidikan formal yang diterima oleh Usman Awang hanya setakat sekolah Melayu sahaja kerana situasi keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Usman Awang mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) sehingga lulus ke Darjah VI. Namun

Usman Awang memperolehi pengetahuan dan ilmu melalui pendidikan tidak formal iaitu melalui pengalaman dalam alam kehidupan semulajadi mematangkan dan beliau. Ketika penjajahan Jepun di Malaya pada tahun 1942, Usman menjadi petani di Segamat dan kemudiannya menjadi buruh paksa Jepun di Singapura selama enam bulan. Namun beliau berjaya melepaskan diri dan pulang semula ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi budak pejabat di Pejabat Tali Air Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai) tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, Jepun menyerah kalah. Pada tahun 1946 hingga tahun 1951, Usman Awang menjadi anggota polis dan Jungle Squad apabila Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, Usman Awang meletak jawatan dan berhijrah ke Singapura bersama-sama Jamil Sulung dan di Singapura Usman Awang diterima
3

bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan. Kemudian Usman Awang menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu. Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-kanak dan kemudian diangkat sebagai pengarang akhbar Utusan Zaman dan majalah Mastika. Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Utusan Melayu berpindah pula ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dengan memegang jawatan yang sama. Namun, akibat peristiwa pemogokan Utusan Melayu pada tahun 1961, Usman Awang berhenti dari Utusan Melayu dan menganggur dalam beberapa tempoh masa. Pada tahun 1962, Usman Awang berkhidmat pula dengan Penerbitan Federal dan setahu kemudian mula berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa dan kemudian menjadi pengarang Dewan masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan Usman Awang di Dewan Sastera dan Pustaka ialah sebagai Pengawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan, dan Pengembangan Sastera. Mulai dari Mei 1982, Usman Awang menjadi ketua bahagian pembinaan sehingga beliau bersara pada bulan Julai 1985. Usman Awang mula mencipta nama dalam dunia kesusasteraan Melayu moden menerusi penulisan puisi yang sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan keperimanusiaan. Beberapa buah puisinya menjadi bahan yang amat menarik dalam kalangan masyarakat termasuklah menjadi pilihan pelajar-pelajar sekolah dalam sebarang ucapan mendeklamasikan puisi. Antara puisinya Usman Awang yang cukup popular iailah Bunga Popi, Gadis di Kuburan, Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, dan Salam Benua. Selain puisi, Usman Awang turut aktif dalam dunia drama. Bidang ini telah diterokainya sejak awal tahun 1960-an dengan menulis drama untuk radio dan pentas. Usman Awang juga banyak menulis cerpen pada tahun 1950-an dan 1960-an lebih banyak memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep Seni untuk Masyarakat yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Kebanyakkan cerpen-cerpen yang ditulisnya berdasarkan kepada rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian serta pemikiran untuk mendedahkan segala
4

kesulitan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Degup Jantung adalah satu-satunya kumpulan cerpennya setakat ini. Usman Awang hanya menghasilkan sebuah novel sahaja, iaitu Tulang-tulang Berserakan dan Novel ini banyak mengisahkan tentang peristiwa peribadi beliau semasa berkhidmat sebagai anggota polis. Usman Awang banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Sejak dari tahun 1950-an lagi, beliau adalah salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha dan Ketua PENA yang pertama iaitu dari tahun 1962 hingga 1965. Usman Awang juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi, dan Genta Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti seni yang lain. Beberapa karya-karya yang dihasilkan oleh Usman Awang juga telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa seperti bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Thailand, Czechoslovakia, Danish, Tamil, Itali, dan Rusia. Pada 29 Mei tahun 1976, Usman Awang telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan telah dianugerahkan gelaran Peluang Sastera dengan membawa wang tunai sebanyak RM 10 000,00 oleh Perdana Menteri ketika itu. Banyak jawatan dan anugerah yang pernah disandang dan diterima oleh Usman Awang seperti menjadi Setiausaha Kepada Panel Anugerah Sastera, menerima S.E.A Write Awards, mendapat anugerah Ijazah Doktor Kehormat (UM), Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1983, anugerah Zamalah Sastera daripada Akhbar Berita Harian pada tahun 1985 dan juga pernah mempengerusikan Persatuan Persahabatan Malaysia China serta Penasihat Kebudayaan Maybank. Sebagai tanda penghargaan Usman Awang dalam bidang sastera, beliau telah dianugerahi gelaran kebesaran Dato Paduka Mahkota Perak oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato pada tahun 1991. Tanggal 29 November 2001, setelah lama menghidapi penyakit jantung, Usman Awang akhir pulang rahmatullah dan dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

3.0 KAJIAN PUISI-PUISI PILIHAN USMAN AWANG (NILAI KEMANUSIAAN)

3.1 Satu Mei Merekalah menyusun lapis-lapis besi wajah Merekalah membina batu-bata Membancuhnya dengan titik peluh - bangunan tinggi itu masih jua meminta lalu diberikanlah nyawanya. Merekalah yang menyedut udara kotor Racun gas itu berbaur di rongga menjalari saraf pernafasannya menghentikan detik jantungnya - segalanya untuk upah beberapa sen cuma. Merekalah membunyikan mesin-mesin kilang debu dan serbuk logam bertentangan hari demi hari berkumpul bersarang di jantung dan paru-parunya - jentera kilang itu masih jua meminta lalu kudunglah jarinya lalu kudunglah tangannya lalu kudunglah nyawanya segalanya untuk upah beberapa sen cuma. Merekalah menggali perut bumi yang sakit lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati menimbusi membungkus tubuh para pekerja melindunginya dari pemerasan kejam - upah yang diterimanya sekadar beras segenggam. Merekalah mewarisi pusaka zaman seluar sehelai baju bertampal tikar buruk di sudut bangsal tulang selangka dapat dibilang. Mereka kini menyedari kekuatan diri Mengubah wajah sebuah negeri Menukar nama seorang menteri Di matanya api di tangannya besi.

Sajak Satu Mei karya Usman Awang ini diantologikan khas kepada kaum buruh. Tajuk sajak ini sesungguhnya menjelaskan bahawa sajak ini memang ditujukan kepada mereka kerana tarikh satu Mei merupakan sambutan Hari Buruh yang kemudiaannya dikenali sebagai Hari Pekerja di Malaysia. Golongan buruh yang diperkatakan oleh Usman Awang dalam sajak ini ialah pekerja kontrak bangunan, pekerja kilang, dan pekerja lombong dan hal ini boleh dirujuk melalui rangkap pertama hingga rangkap keempat sajak yang masing-masing menyebut tentang pekerjaan yang dilakukan oleh golongan buruh. Contohnya rangkap ketiga sajak ini yang berbunyi ; Merekalah membunyikan mesin-mesin kilang debu dan serbuk logam bertentangan hari demi hari berkumpul bersarang di jantung dan paru-parunya - jentera kilang itu masih jua meminta lalu kudunglah jarinya lalu kudunglah tangannya lalu kudunglah nyawanya segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Melalui rangkap di atas, penyajak telah menggambarkan tentang suasana yang terpaksa dilalui oleh golongan pekerja kilang saban hari sehingga banyak perkara yang tidak diingini berlaku semasa sedang menjalankan tanggungjawab. Baris kedua dan ketiga yang berbunyi hari demi hari berkumpul bersarang, di jantung dan paru-parunya menggambarkan keadaan udara yang dipenuhi habuk debu dan logam namun para pekerja kilang tetap bekerja dalam keadaan tersebut meskipun keadaan seperti itu boleh mendatangkan bahaya pada kesihatan mereka. Merekalah mewarisi pusaka zaman seluar sehelai baju bertampal tikar buruk di sudut bangsal tulang selangka dapat dibilang. Mereka kini menyedari kekuatan diri
7

mengubah wajah sebuah negeri menukar nama seorang menteri di matanya api di tangannya besi Nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak ini jelas terbukti melalui pengorbanan yang dilakukan oleh golongan buruh untuk mendapatkan wang keperluan yang sedikit dan tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan sehingga kadang kala pengorbanan yang dilakukan menaik nama seseorang yang tidak bekerja sepertinya saban hari. Penyajak menggunakan tema memperjuangkan golongan buruh ini adalah kerana senimannya yang sensitif dan bersimpati terhadap golongan yang tertindas apatah lagi beliau sendiri pernah merasai sendiri kehidupan sebagai seorang buruh semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu sehinggalah pernah berhenti kerja dan menganggur selepas peristiwa pemogokan Utusan Melayu dalam tahun 1961. Akibat suasana telah berubah, jika dahulu pihak pekerja tidak mempunyai tempat untuk mengadu, kini mereka mendapat hak yag lebih baik untuk bersuara. Malah sebarang pertikaian antara pekerja dengan majikan juga boleh diselesaikan melalui undang-undang. Hak pekerja juga dijamin oleh peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. Namun, tindakan majikan yang dianggap menindas seperti yang pernah berlaku pada dekad-dekad awal dahulu masih lagi berlaku walaupun pada kadar yang rendah. Penindasan ini lebih kerap dilakukan oleh pihak majikan terhadap pekerja bawahan.

3.2 Mata Ayah Kujabat mesra tangan ayah urat-urat daging-daging tua keras terasa mataku tersenyum, matanya menyapa anak yang pulang disambut mesra. Tapi matanya, mata yang menatapku kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu. Kelibat senyum matanya masih jua ramah akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang memintaku pulang menikmati beras baru. Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah merasakan kepedihan yang tercermin di mata meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

Sajak Mata Ayah karya Usman Awang ini menggambarkan penderitaan hidup seorang ayah yang cuba disembunyikannya daripada pengetahuan anaknya. Anak yang baru pulang ke kampung disambut dengan penuh mesra dan kasih sayang. Penyajak merasa sayu melihat perubahan-perubahan yang berlaku pada ayahnya yang kelihatan semakin tua tetapi tetap tersenyum dan tenang kerana penderitaan hidup yang dilalui sudah sebati dengan dirinya. Melalui sajak Mata Ayah karya Usman Awang terdapat nilai-nilai kemanusian yang mampu membawa pengajaran dan panduan kepada pembaca. Antaranya adalah nilai kasih sayang yang ditunjukkan oleh seorang ayah kepada anaknya. Contohnya dalam petikan dibawah : Kelibat senyum matanya masih jua ramah akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang memintaku pulang menikmati beras baru.

Melalui petikan diatas memperlihatkan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Hal ini dapat dibuktikan melalui tindakan ayahnya yang menyuruh anaknya balik ke kampung semata-mata untuk menikmati beras baru. Jika dilihat secara kasar sememangnya agak tidak munasabah alasan seorang ayah menyuruh anaknya pulang hanya kerana mahu menikmati beras baru, tetapi sebenarnya ayah merindui anaknya dan menjadikan alasan untuk menikmati beras baru tersebut agar anaknya pulang ke kampung. Walaupun kasih sayang ayah tidak diperlihatkan secara jelas namun melalui tindakan atau perbuatan yang dilakukannya itu sebenarnya adalah cara untuk seorang ayah menunjukkan kasih sayangnya terhadap anak. Apabila anak pulang ke kampung ayah juga menyambutnya dengan penuh kasih sayang. Dalam sajak diatas juga menunjukkan pengorbanan seorang ayah terhadap anaknya. Seorang ayah sanggup berkorban untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik kepada anaknya. Segala suka duka dalam kehidupannya sudah menjadi sebati dalam diri seorang ayah kerana kasihnya terhadap anaknya dia sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya itu. kesengsaraan hidup yang di alaminya tidak pernah dipamerkan dihadapan anaknya. Selain itu nilai kemanusian yang terdapat dalam sajak ini ialah nilai bertanggungjawab yang boleh memberikan teladan kepada pembaca. Melalui petikan di bawah ini memperlihatkan tanggungjawab seorang anak terhadap ayahnya. Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah merasakan kepedihan yang tercermin di mata meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia. Dalam sajak diatas memperlihatkan tanggungjawab seorang anak terhadap ayahnya melalui ungkapan anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah. Anak tersebut tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap ayahnya. Hal ini dapat dibuktikan apabila ayah menyuruh anaknya pulang ke kampung dan anaknya pulang ke kampung. Melalui sajak diatas ayah bekerja keras untuk mencari sumber pendapatan bagi menyediakan keperluan asas

anaknya. Sesungguhnya, jasa ayah amat besar terhadap anak. Setelah meningkat dewasa, sewajarnya anak melaksanakan tanggungjawabnya kepada ayah.

10

Sebagai seorang anak wajib melakukkan tanggunjawab terhadap ayahnya. Antaranya tanggungjawab anak yang pertama ialah memberikan kasih sayang kepada ayah. Semasa kecil anak disayangi oleh ayah dengan sepenuh hati dan kini sampai masanya, anak pula yang menyayangi ayah dengan sepenuh hati. Kasih sayang yang ditunjukkan oleh anak dapat dilihat melalui tindakkannya yang pulang ke kampung halaman setelah ayahnya menyuruhnya balik ke kampung. Oleh itu, kita sebagai seorang anak bertanggungjawab menjaga ayah dengan penuh kasih sayang apabila dewasa kelak.

11

3.3 Kekallah Perdamaian (Kejayaan di Geneva) Sudah terdengar suara penyelesaian senjata diletak dan darah tidak berlambak ibu dan adik-adik juga kekasih menanti pemuda kembali dari medan perang. Lihat segala kebuasan bisa besi dan kerendahan hati di mana-mana kehancuran tersayat dalam pembunuhan dan mayat-mayat. Manusia mabuk tanah dan darah kekejaman seperti setan bermata merah di mana-mana benua manusia mengharap hidup yang rukun berjalan sederap. Syukurlah! Penyelesaian dan tanda damai kekallah! Kekallah dengan kasihmu permai.

Sajak Kekallah Perdamaian nukilan Usman Awang ini mengisahkan kedamaian yang telah dikecapi setelah lama menderita akibat peperangan yang berlaku di Geneva. Antara nilai kemanusian yang digarap melalui sajak ini ialah nilai belas kasihan. Nilai belas kasihan sesama insan haruslah diterapkan dalam norma kehidupan bermasyarakat. Hal ini demikian kerana, dengan merasai penderitaan yang dihadapi oleh orang lain sedikit sebanyak akan mengajar dan mendidik kita tentang keperitan liku-liku dalam sebuah kehidupan. Dalam sajak karya Usman Awang ini, nilai belas kasihan dapat dilihat melalui rangkap sajak di bawah : Lihat segala kebuasan bisa besi dan kerendahan hati di mana-mana kehancuran tersayat dalam pembunuhan dan mayat-mayat. Melalui rangkap sajak di atas, kita dapat melihat betapa kasihannya bila ada segelintir insan manusia yang diperlakuan sedemikian rupa. Melalui rangkap diatas, tersirat kekejaman segelintir manusia yang sanggup memperlakukan manusia seperti binatang dimana mereka tanpa belas kasihan membunuh sesama insan manusia. Oleh hal yang demikian, kita sebagai golongan
12

manusia yang mempunyai pegangan agama yang kuat haruslah menghindarkan diri dari melakukan perbuatan yang tiada belas kasihan seperti itu. Kita haruslah menerapkan sifat saling sayang-menyayangi sesama insan tanpa mengira status sosial, agama dan bangsa. Sehubungan itu, antara nilai kemanusian yang turut digarap dalam sajak Kekallah Perdamaian ini ialah nilai kasih sayang sesama manusia. Nilai kasih sayang sesama manusia ini sangat penting dalam memupuk perpaduan kaum disamping dapat mengeratkan lagi silaturahim antara ahli keluarga mahupun orang lain. Dalam sajak karya Usman Awang ini, nilai kasih sayang ini dapat dilihat melalui keutuhan tali persaudaraan antara ahli keluarga yang sentiasa menanti kepulangan anak-anak pemuda mereka yang berjuang di medan perang demi mempertahankan negara. Hal ini dapat diperhatikan melalui baris sajak di bawah: ibu dan adik-adik juga kekasih menanti pemuda kembali dari medan perang. Melalui baris sajak di atas, kita dapat melihat betapa besarnya kasih sayang ibu, adikberadik dan juga kekasih hati menanti kepulangan mereka yang berjuang mempertahankan negara. Kasih sayang yang utuh sesama manusia seperti ini haruslah sentiasa dipupuk dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita apatah lagi kita hidup dalam kelompok masyarakat yang mempunyai pelbagai bangsa, kaum dan budaya. Selain itu, jika manusia menerapkan nilai kasih sayang dalam diri masing-masing, perang saudara tidak akan terjadi. Hal ini demikian kerana, hidup dalam kelompok masyarakat yang besar, kita haruslah sentiasa menghormati dan menerapkan nilai kasih sayang sesama manusia tanpa memandang perbezaan di antara kita.

13

3.4 Gadis Kecil Tubuh itu mengingatkan daku sebatang pinang di desa sepi kurus dan tinggi ketika ribut besar pohon sekitarnya rebah terkapar dan pohon pinang tegak menanti sinar mentari pagi Demikianlah gadis kecil itu kurus seperti sebatang pinang bertahun berulang-alik melalui penjara kawat duri menemui ayahnya yang bertahun pula sendiri menentang tiap penderitaan tabah dan beriman Gadis kecil itu mengagumkan daku tenang dan senyuman yang agung dengan sopan menolak pemberianku saya tak perlu wang, pak cik, cukuplah kertas dan buku. Usianya terlalu muda jiwanya didewasakan oleh pengalaman tidak semua orang mencapai kekuatan demikian ketabahan yang unik mempesonakan bila aku menyatakan simpati dan dukaku rasa pilu terhadapnya sekali lagi dia tersenyum dan berkata: jangan sedih pak cik, tabahkan hati banyak anak-anak seperti saya di dunia ini. Aku jadi terpaku Dia, si gadis kecil itu menenteramkan Mengawal ombak emosiku Jangan sedih melihat derita pahitnya Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa Yang mahu membela manusia derita terpenjara Menerima nasihat supaya tabah dan berani, Dari anak penghuna penjara sendiri? Sepuluh anak seperti dia Akan menghapuskan erti seribu penjara.
14

Sajak Gadis Kecil karya Usman Awang ini menceritakan kisah seorang gadis kecil yang sering melawati penjara. Tujuan gadis kecil itu berulang alik ke penjara adalah untuk menemui ayahnya yang telah dipenjarakan. Keadaan gadis kecil itu telah menarik perhatian penyajak kerana bentuk fizikalnya kurus. Disebabkan bentuk fizikal anak gadis itu yang kurus, penyajak telah mengumpamakan gadis kecil itu seperti sebatang pinang di desa yang kecil. Penyajak telah mengumpamakan sikap anak kecil yang begitu tabah menanti ayahnya itu sama seperti pokok pinang yang tetap tegak walaupun ditolak ribut besar dan dipanah sinar mentari. Sajak Gadis Kecil ini sarat dengan nilai kemanusiaan yang dapat dijadikan sebagai panduan dan nasihat kepada masyarakat. Pertama, nilai kemanusiaan yang jelas sekali dalam sajak ini ialah ketabahan dalam menempuh kehidupan. Gadis kecil yang diceritakan oleh penyajak itu mempunyai ketabahan yang sangat tinggi. Gadis kecil itu tabah menjalani kehidupannya yang daif sehingga badannya menjadi kurus. Tambahan lagi, gadis kecil itu juga tabah menanti ayahnya keluar dari penjara yang membuatkan ayahnya menderita. Melalui sikap gadis itu dapat kita lihat bahawa nilai ketabahan itu perlu ada dalam diri setiap individu. Hal ini adalah supaya kita dapat melawan segala cabaran dan halangan yang datang pada kita. Nilai kemanusiaan yang seterusnya ialah nilai kasih sayang. Nilai ini dapat dirujuk melalui peristiwa gadis kecil yang sering melawat ayahnya di penjara. Walaupun ayahnya dipenjarakan tetapi dia tidak berasa malu malah dia kerap melawat ayahnya. Peristiwa tersebut jelas menggambarkan kasih sayang seorang anak kepada ayahnya. Oleh itu, sebagai manusia ciptaan Tuhan kita hendaklah menanam nilai kasih sayang dalam diri kita sendiri. Kasih sayang bukan sahaja menyatu dan mengeratkan hubungan antara ahli keluarga malah dengan masyarakat disekeliling kita. Tambahan lagi, nilai kasih sayang ini memberi kekuatan kepada setiap individu untuk meneruskan kehidupan mereka. Contoh jelas dapat dilihat melalui kisah gadis kecil yang tetap meneruskan kehidupannya kerana dia tahu ayahnya sayang kepadanya sama seperti dia menyayangi ayahnya. Disamping itu, nilai kemanusiaan yang dapat kita perolehi melalui sajak gadis kecil ini ialah simpati insan lain terhadap insan yang mempunyai kekurangan. Disini penyajak menyatakan rasa simpatinya terhadap nasib gadis kecil itu. Hal ini kerana pada umur yang masih terlalu muda dia sudah dihujani dengan kesukaran hidup. Gadis kecil itu kehilangan seorang ayah tempat bergantung dan tidak bersekolah. Ketika penyajak ingin menghulurkan wang kepada
15

gadis kecil itu, gadis kecil itu menolak dan mengatakan dia tidak memerlukan wang tetapi cukuplah buku dan kertas. Mendengarkan kata-kata gadis kecil itu penyajak merasa begitu kasihan kerana gadis kecil itu sanggup menolak pemberian daripada penyajak walaupun dia memerlukan wang tersebut. Di sini dapat kita lihat bahawa perlunya kita bersimpati pada insan lain kerana kita tidak sentiasa hidup dalam keadaan yang baik untuk selamanya. Nilai lain yang terdapat dalam sajak ini ialah nilai keinsafan. Melalui sajak Gadis Kecil ini, penyajak menyatakan bahawa dia merasai keinsafan setelah dia berbicara dengan gadis kecil itu. Hal ini demikian kerana gadis kecil itu menyatakan kepada penyajak agar dia tidak bersedih melihat penderitaan gadis kecil itu kerana ramai lagi anak-anak sepertinya. Penyajak merasakan keinsafan kerana sikap mulia gadis kecil itu yang mampu mengawal golak perasaannya ketika mereka berbicara. Penyajak juga berharap agar ramai lagi anak kecil seperti gadis kecil itu. Disamping itu, penyajak berasa kagum dengan semangat juang gadis kecil itu yang telah didewasakan oleh pengalaman yang dialaminya. Disebabkan hal itulah, timbul keinsafan dalam diri penyajak yang terlebih dahulu merasai alam kehidupan tetapi gadis kecil yang muda itu memberi nasihat kepadanya agar terus tabah dan berani menempuhi dugaan. Nilai kemanusiaan selanjutnya yang terdapat dalam sajak Gadis Kecil ini ialah nilai kesopanan. Nilai kesopanan amat penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Lebih-lebih lagi apabila kita berhadapan dengan orang yang lebih tua atau dewasa daripada kita. Kesopanan yang ada pada kita mencerminkan budi bahasa yang ada dalam diri kita. Contohnya, dalam sajak ini gadis kecil itu menolak wang pemberian penyajak dengan cara yang sopan dan dia juga memberi senyuman kepada penyajak. Disebabkan peristiwa itu, penyajak tertarik dengan sikap gadis kecil itu yang bukan sahaja tabah dan berani tetapi juga mempunyai nilai kesopanan yang tinggi di dalam dirinya.

16

3.5 Kemanusiaan (kematian Kennedy) Segala daun dan angin menyapa menoleh hanya bersama kain-kain yang berkibar di tengah-tengah tiang kerana mereka tidak bergetar oleh berita-berita besar atas kehendak yang telah berlaku dan manusia segala terpaku. Telah mereka saksikan sejak pertama cair merah tumpah putera Adam membunuh-terbunuh dalam pertarungan menangkalah dan kematian demi kematian dinyanyikan dimana-mana dan dilanjutkan sehingga segala tanah jadi pusara. Berapa titiskah air mata untuk seorang yang pergi sebelum keranda bertolak untuk nanti ditambah lagi dibandingkan dengan hebatnya air terjun di Niagara air mata putera-putera tercinta dan gadis-gadis menunggu di muka jendela bersama kerutan pahit para ibu yang pernah menyusui mendengar berita kematian ngeri dari daerah peperangan? Jika kita menyesali kematian atas seorang dan hati tidak berdenyut untuk kematian yang lain maka kemanusiaan tidak wujud di mahkota kebenaran sebab bukanlah kemanusiaan bila ia ada perbatasan. Dan sekarang tiap kota menangis dan mengucap kata kerana sewajarnyalah kemanusiaan itu berdenyut dan terasa tapi tak seorang pun akan menangis untuk pembunuhan yang bakal tiba atau akan berkata: mari kita padamkan segala api sengketa. Siapa yang merasa dan kehilangan kesayanganya, menangislah dunia telah didandankan; kehidupan adalah kematian yang berdarah.

Sajak Kemanusiaan karya Usman Awang ini mengisahkan tentang kematian misteri John Kennedy iaitu Presiden Amerika Syarikat pada suatu ketika dahulu. Maksud penyajak dalam rangkap pertama sajak ini ialah ketika berlakunya peperangan, pejuang-pejuang sanggup berkorban dan bersedia menerima nasib yang mendatang. Manakala rangkap kedua sajak Kemanusiaan ini menjelaskan kepada para pembaca bahawa perebutan kuasa yang berlaku telah mengakibatkan peristiwa pertumpahan darah yang tidak putus-putus menyebabkan
17

kematian. Seterusnya rangkap ketiga yang menggambarkan keadaan ramai masyarakat yang terkorban dalam perjuangan masing-masing dan kematian yang berlaku adalah secara berterusan. Kematian yang berlaku ini juga telah membuatkan keluarga si mati berasa sangat sedih dan digambarkan juga seorang ibu yang sangat menyayangi anaknya lebih merasai kepahitan itu setelah kematian anaknya. Apabila seseorang itu tidak merasai keperitan hidup orang lain yang telah kehilangan orang tersayang, dia telah menunjukkan dirinya seorang yang tidak berperikemanusiaan dan perkara ini menerangkan maksud penyajak secara jelas dalam rangkap keempat. Rangkap kelima pula menerangkan tentang orang yang sedar akan sifat berperikemanusiaan akan tetapi tidak mempunyai keberanian untuk menghalang pertumpahan darah yang akan berlaku dan tidak berani menyuarakan pendapat. Mereka hanya mampu bersedih dan bercakap tentang kemanusiaan dalam kelompok mereka sahaja. Rangkap terakhir membawa maksud mereka yang kehilangan orang tersayang akan terus merasai kesedihan yang berterusan dan menganggap dunia ini tiada makna lagi. Sebuah kehidupan ditamatkan dengan kematian yang kejam iaitu berlakunya pertumpahan darah. Sajak ini merupakan salah satu sajak Usman Awang yang sangat baik kerana dalam sajak ini, beliau sangat menekankan sifat kemanusiaan dan juga menyatakan akibat jika tiadanya sifat kemanusiaan dalam diri seseorang manusia. Melalui sajak ini, kita dapat memahami jiwa Usman Awang sebagai seorang yang sangat peka terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya tanpa mengira sesuatu itu berlaku di dalam negara mahupun di luar negara. Usman Awang berjaya melukiskan perasaan ahli keluarga pejuang yang sangat sedih apabila kehilangan orang yang tersayang. Nilai kemanusiaan yang terdapat dalam sajak Kemanusiaan ini ialah nilai simpati. Penyajak bersimpati dengan kematian Kennedy. Pemergian Kenndy meninggalkan anak dan isteri sungguh menyayat hati penyajak sehingga beliau melakarkan sajak ini. Contohnya adalah dalam rangkap ketiga; Berapa titiskah air mata untuk seorang yang pergi sebelum keranda bertolak untuk nanti ditambah lagi dibanding dengan hebatnya air terjun di Niagara
18

air mata putera-putera tercinta dan gadis-gadis menunggu di muka jendela bersama kerutan pahit para ibu yang pernah menyusui mendengar berita kematian ngeri dari daerah peperangan? Nilai seterusnya adalah nilai belas kasihan. Penyajak berasa kasihan terhadap keluarga yang ditinggalkan oleh Kennedy terutamanya anak-anak dan isteri serta rakyat Amerika Syarikat pada masa itu. Kematian Presiden itu dianggap kehilangan yang sangat besar yang pernah berlaku. Buktinya pada rangkap kelima; Dan sekarang tiap kota menangis dan mengucap kata kerana sewajarnyalah kemanusiaan itu berdenyut dan terasa tapi tak seorang pun akan menangis untuk pembunuh yang bakal tiba atau akan berkata: mari kita padamkan segala api sengketa. Selain itu terdapat juga nilai kasih sayang. Dalam sajak Kemanusiaan ini rakyat menangisi pemergian kemimpin mereka kerana mereka mengganggap Kennedy adalah seorang pemimpin yang sangat bermakna bagi Amerika Syarikat ketika itu. Mereka meratapi kematian pemimpinan mereka yang telah terkorban dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Contohnya di dalam rangkap terakhir yang berbunyi; Siapa yang merasa dan kehilangan kesayanganya, menangislah dunia telah didandankan; kehidupan adalah kematian yang berdarah.

19

4.0 KESIMPULAN Kami telah menggunakan lima buah sajak yang terdapat di dalam buku Puisi-puisi Pilihan : Sasterawan Negara Usman Awang sebagai bahan kajian. Antara sajak yang telah kami kaji ialah sajak Satu Mei, Mata Ayah, Kekallah Perdamaian, Gadis Kecil dan sajak Kemanusiaan. Kesemua sajak yang telah kami kaji rata-ratanya mempunyai nilai-nilai kemanusiaan yang terselit dalam setiap rangkap dan baris sajak. Dalam sajak Satu Mei terselit nilai pengorbanan golongan buruh dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mendapatkan wang keperluan yang sedikit dalam menampung kehidupan seharian. Dalam sajak ini, penyajak jelas menunjukkan rasa simpati dan empatinya terhadap golongan buruh yang terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai situasi yang tidak terduga. Manakala dalam sajak Mata Ayah turut mengandungi nilai kemanusiaan seperti kasih sayang seorang anak kepada ayahnya atau kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Disamping itu, nilai pengorbanan seorang ayah dalam membesarkan seorang anak juga tergambar dengan jelas dalam sajak ini. Nilai tanggungjawab juga boleh dilihat melalui kesediaan anak untuk pulang menemui ayahnya. Seterusnya di dalam sajak Kekallah Perdamaian yang mengisahkan tentang peperangan ini diterapkan juga nilai kasih sayang antara manusia atau insan. Selain itu, sajak ini turut mengandungi nilai belas kasihan yang jelas digambarkan pada maksud keseluruhan sajak. Seorang insan yang mempunyai sifat belas kasihan sudah pastinya mempunyai rasa kasih sayang kepada insan lain tanpa memandang kedudukan. Disamping itu, Sajak Gadis Kecil merupakan sajak yang sangat baik sebagai tatapan masyarakat dan sudah tentunya boleh dijadikan sebagai teladan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak. Gadis kecil yang digambarkan penyajak dalam puisi tersebut adalah seorang anak yang tabah menjalani kehidupan meskipun dia tiada tempat bergantung kerana ayahnya telah dipenjarakan. Nilai kasih sayang yang ada pada diri gadis kecil tersebut terbukti apabila dia sering melawati ayahnya di penjara. Nilai ketabahan dalam menjalani kehidupan juga terpancar pada perwatakan gadis kecil itu.

20

Sajak terakhir ialah sajak yang berjudul Kemanusiaan yang menceritakan tentang Kennedy iaitu Presiden Amerika Syarikat satu ketika dahulu yang mati secara misteri. Kematian Kennedy menjadi ratapan ribuan rakyatnya yang menganggap Kennedy sebagai seorang pemimpin yang baik. Nilai kemanusiaan yang terselit dalam sajak ini ialah nilai kasih sayang. Nilai kasih sayang dapat dilihat pada ibu yang merasai kehilangan anaknya. Nilai seterusnya adalah nilai belas kasihan. Penyajak berasa kasihan terhadap keluarga yang ditinggalkan oleh Kennedy terutamanya anak-anak dan isteri serta rakyat Amerika Syarikat pada masa itu. Nilai yang terakhir ialah nilai simpati. Penyajak berasa simpati dengan kematian Kennedy. Secara keseluruhannya, sajak-sajak nukilan Usman Awang merupakan sajak yang cukup baik dan berkualiti sebagai bahan bacaan masyarakat. Dengan terselitnya banyak nilai-nilai kemanusiaan dalam puisi-puisi ini, berkeupayaan untuk mendidik masyarakat dalam menempuhi dunia realiti yang cukup mencabar. Kesusasteraan sesungguhnya tidak dapat dipisahi daripada manusia. Permasalahan manusia menjadi intipati utama dalam penghasilan kesusasteraan. Kesusasteraan dianggap sebagai satu ekspresi hidup iaitu ekspresi yang penting tentang kemanusiaan yang digunakan sebagai alat untuk menyempurnakan kehidupan. Sajak-sajak ini memperlihatkan Usman Awang begitu menitikberatkan soal kemanusiaan.

21

5.0 RUJUKAN Muhammad Haji Salleh (2006). Biografi Usman Awang : seorang penyair, sebuah benua rusuh. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Usman Awang (1987). Puisi-puisi pilihan : Sasterawan Negara Usman Awang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

22

You might also like