You are on page 1of 12

Strategi mengesan Masalah Pembelajaran Murid Topik pada kali ini adalah Strategi Mengesan Masalah Pembelajaran Murid.

Baru-baru ini, guru Pemulihan di sekolah saya datang berjumpa dan ingin berbincang sesuatu bersama saya. Masalah yang dihadapinya adalah bagaimana hendak mengesan masalah murid yang diajarnya. Saya pun memberikan pandangan berikut ; 1. Pemerhatian 2. Pentafsiran rekod prestasi 3. Pentafsiran rekod profil 4. Ujian kertas dan pensel 5. Temu bual dengan guru darjah 6. Temu bual dengan ibu bapa / penjaga murid. PEMERHATIAN ; Guru boleh melakukan pemerhatian ini secara tidak langsung di bilik darjah masing. Melalui cara ini, guru akan mengetahui perubahan yang mungkin jelas kelihatan misalnya dari aspek emosi, ketegangan murid, kedudukan tubuh badan yang tidak semula jadi dan perubahan tingkah laku. Dalam strategi ini ada beberapa teknik pemerhatian yang sesuai dilaksanakan. Antaranya : 1. Teknik pemerhatian dengan senarai semak 2. Pemerhatian di luar bilik darjah 3. Pemerhatian tingkah laku PENTAFSIRAN REKOD PRESTASI Rekod prestasi merupakan rekod yang menyimpan maklumat tentang pencapaian akademik murid dan keterangan yang tepat dan lengkap tentang pencapaian murid dalam kelas. Pentingnya rekod prestasi ini antaranya dapat membantu guru menilai secara jangka panjang dan membolehkan guru sentiasa mempunyai pengetahuan tentang murid-murid mereka. Bagi ibu bapa pula, rekod prestasi dapat membantu mereka memahami prestasi akademik, perkembangan sosila, fizikal dan emosi anak-anak. Melalui sumber berkenaan, ibu bapa dapat membantu pihak sekolah seperti menilai anak-anak, meningkatkan tanggungjawab sebagai penjaga dengan menasihati dan memberi tunjuk ajar di rumah. REKOD PROFIL Rekod yang memberi maklumat tentang pencapaian murid dalam semua mata pelajaran yang diikuti disekolah dan ditunjukkan menggunakan markah dan gred.

UJIAN KERTAS dan PENSEL Ujian bentuk ini melibatkan penggunaan perkataan dan secara tidak langsung menguji penguasaan bahasa murid. TEMU BUAL dengan GURU DARJAH Perbincangan dengan guru darjah dapat memberi maklumat tentang seseorang murid yan hendak dikenal pasti. Melalui teknik ini, guru akan dapat maklumat seperti kehadiran, pencapaian akademik, tingkah laku dan perbezaan individu. TEMU BUAL dengan IBU BAPA Saya kerap menggunakan kaedah ini kerana ibu bapalah individu yang paling rapat dengan murid di rumah selain guru semasa di sekolah. Banyak maklumat yang boleh diperolehi daripada ibu bapa berkaitan murid termasuklah latar sosio-ekonomi keluarga, faktor baka, kesihatan, penceraian, faktor kelahiran dan sebagainya.

Cara Mengenalpasti Murid yang Bermasalah Tingkahlaku dan Pengurusan Tingkahlaku Bermasalah

1.0) PENGENALAN Kebelakangan ini, masalah tingkah laku di kalangan pelajar menjadi topik perbincangan di kalangan masyarakat umum yang mana tidak mengira peringkat umur membincangkannya. Masalah ini boleh menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan di antara emosi dan aktiviti kehidupan seharian individu serta memberi kesan yang buruk dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Umumnya, sekolah rendah merupakan tapak utama asas pendidikan. Dari sini, kanak-kanak dibentuk mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Oeh itu, setiap orang guru perlu memainkan peranan utama dalam membentuk peribadi tingkah laku murid-murid semasa berada di sekolah. Selain dari tanggungjawab ibu bapa, guru adalah orang yang penting dalam menghasilkan insan yang sempurna dalam pendidikan. Dengan bertambahnya bilangan anggota masyarakat yang berpendidikan moden, sikap yang tidak mementingkan kanak-kanak ini telah beransur berubah. Kanak-kanak pada hari ini telah diberikan perhatian serius secara keseluruhan dari segi emosi, jasmani dan rohani. Kini, ibu bapa sudah mula pandai melayan pertanyaan anak-anak, membawa mereka makan bersama, berbincang serta memberi peluang kepada anak-anak

menyuarakan pendapat dan pandangan serta memberi mereka kebebasan memilih atau membuat keputusan asalkan tidak memudaratkan diri dan keluarga. Perkembangan sikap ini telah memberikan kesan positif dalam dunia kehidupan kanak-kanak supaya ia dapat menghasilkan satu generasi yang lebih aktif, berani dan mahu tampil ke hadapan untuk bertanding lebih gigih dalam kehidupan masyarakat. Walaubagaimanapun, masalah tingkah laku sememangnya sering dihadapi oleh guruguru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Bukannya mudah untuk menguruskan masalah tingkah laku di kalangan murid-murid. Adakalanya ia dapat dikawal dan ada kalanya ianya seperti barah yang boleh menyebabkan lumpuhnya proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Apa yang pasti, tanggungjawab seorang guru di sekolah amat berat sekali. Bak kata pepatah Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul . Itulah hakikat tugas seorang guru di sekolah. Apabila berlaku masalah salah laku disiplin di kalangan murid-murid, maka guru akan dipersalahkan dan jari dituding ke arah guru. 1.1) PENGERTIAN MASALAH TINGKAH LAKU Mengikut Mohd Nazar Mohamad ( 1990 ), mentakrifkan masalah tingkah laku individu sebagai tingkah laku yang menggangu perjalanan kehidupannya. Menurut Robert H Woody di dalam bukunya berjudul The School and the Behaviour Problem Child menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam berbagai bentuk dan ragam. Kanak-kanak tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan keadaan dan suasana pembelajaran. Keadaan begini selalu menjejaskan pelajaran dan keupayaan mereka untuk belajar dan berhubung dengan orang lain. Mengikut pandangan Lewis M. Beaker (2001), sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Bagi Garry Martin & Joseph Pear (2003), tingkah lagu juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindak balas, tindakan atau reaksi. Dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kalenjar (glandular) dan aktiviti eletrik oleh setiap organ. Pada dasarnya tingkahlaku adalah apa saja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu. Feldhusen ( Levin & Nolan, 2004), merujuk kepada tingkah laku yang bermasalah yang melakukan gangguan terhadap perlaksanaan proses pengajaran yang lancar. Menurut Emmer ( Levin & Nolan, 2004) pula, mengganggu pengajaran guru serta pembelajaran beberapa orang murid untuk jangka masa yang tertentu.

Manakala, dalam konteks pendidikan, masalah tingkah laku merujuk kepada sebarang tingkah laku murid yang boleh menjejaskan kelicinan atau keberkesanan pembelajaran dan pengajaran khasnya di dalam bilik darjah. Kanak-kanak yang menghadapi masalah tingkah laku tidak boleh menyesuaikan dirinya dengan kelakuan-kelakuan yang diterima oleh masyarakat dan selalunya keadaan ini menjejaskan keadaan pelajarannya, keupayaan untuk belajar dan perhubungannya dengan orang lain. Di dalam bahasa Inggeris, masalah tingkah laku disebut sebagai Abnormal Behavior iaitu tingkah laku yang terkeluar dari nilai dan norma masyarakat. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat. Tingkah laku bermasalah ini boleh berupa tingkah laku negatif atau positif dan yang pastinya masalah ini boleh membawa kesan yang tidak baik atau memudaratkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang guru mengenalpasti murid-murid yang bertingkah laku bermasalah di dalam kelasnya agar strategi atau teknik tertentu dapat diguna pakai bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar serta berkesan. Justeru itu, terdapat cara-cara untuk mengenal pasti masalah tingkah laku di kalangan murid iaitu melalui jenis ujian (diagnostik dan psikologi), jenis bukan ujian (pemerhatian dan temubual) dan kajian (kajian kes, kajian dokumen dan kajian membujur). Disamping itu, terdapat pengurusan tingkah laku yang mana terdapat beberapa proses yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan tingkah laku dikalangan murid-murid. 2.0) CARA-CARA MENGENAL PASTI MURID-MURID YANG BERMASALAH TINGKAH LAKU Untuk mengenal pasti murid-murid yang bermasalah tingkah laku, terdapat kaeadah yang digunakan iaitu mengumpulkan maklumat berasaskan ujian (diagnostik dan psikologi), jenis bukan ujian (pemerhatian dan temubual) serta berasaskan kajian ( kajian kes, kajian dokumen, kajian membujur). Apabila seseorang murid telah dikenal pasti mempunyai masalah tingkah laku di sekolah, gurunya mestilah membincangkan masalah tersebut dengan ibu bapa murid tersebut. Dalam perbincangan ini, guru akan meminta maklumat yang lebih lanjut mengenai perkembangan murid tersebut. Tambahan lagi, dalam perbincangan ini, guru harus memberikan murid yang bermasalah satu ujian kecerdasan I.Q. untuk

menentukan tahap kebolehan akademiknya secara keseluruhan serta untuk mengenal pasti aspek-aspek kekuatan dan kelemahannya. Berdasarkan keperluan setiap murid, guru juga boleh memberikan ujian diagnostik untuk mendiagnos tingkah laku murid dengan lebih terperinci. Semua keputusan ini perlu dibincangkan dengan ibu bapa murid tersebut. Selepas itu, guru perlu menasihati ibu bapa murid tentang tindakan susulan yang mereka perlu ambil untuk mengatasi masalah tingkah laku anak mereka. Selain itu, ibu bapa perlu diberikan keputusan ujianujian ini oleh guru dalam satu laporan khas. Laporan ini mesti mengandungi rekomendasi-rekomendasi untuk mengatasi masalah tingkah laku murid tersebut. 2.1) Teknik Jenis Ujian ( Ujian Psikologi, Diagnostik) Guru boleh menggunakan ujian psikologi atau ujian diagnostik untuk menganalisis semua masalah tingkah laku yang berlaku dalam bilik darjah dengan lebih terperinci. Murid boleh diuji melalui ujian pencapaian akademik iaitu Ujian Sumatif dan Ujian Formatif. Ujian Sumatif ialah peperiksaan awam seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Penilaian Menengah (STPM). Manakala, Ujian Formatif merujuk ujian bulanan, ujian pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun. Melakukan Ujian Kecerdasan untuk mengukur darjah kecerdasan murid (I.Q) seperti yang disarankan oleh Terman dan Binet. Seterusnya Ujian Kecenderungan Bakat seperti Ujian Aptitut Differential (DAT), Ujian Minat untuk menilai minat murid terhadap sesuatu aktiviti atau kerjaya seperti Career Assessment Inventory (CAI) yang mengandungi tiga bidang, merangkumi enam tema am, 22 asas minat dan skala 89 kerjaya. Kemudian, melakukan Ujian Personaliti untuk mengkaji aspek bukan kognitif seperti aspek afektif, motivasi, emosi dan sikap seseorang murid. Contohnya, The Survey of Personal Values (SPV), dan The Mooney Problem Check Lists (MPCL). Kedua-dua ujian ini digunakan untuk mendapatkan maklumat peribadi serta nilai sikap murid. Ujian Saringan digunakan untuk mengasingkan murid-murid yang cerdas dengan murid yang kurang cerdas. Selain itu, turut menggunakan Ujian Diagnostik untuk mengesan punca kelemahan atau masalah penguasaan kemahiran pembelajaran murid. Keputusan ujian ini penting bagi guru untuk merancang aktiviti pemulihan. Akhir sekali, melakukan Ujian Aptitut Khas seperti Ujian Aptitut Mekanikal, Ujian

Aptitut Perkeranian, Ujian Aptitut Seni, dan Ujian Aptitut Muzik yang mana digunakan untuk mengukur potensi murid dalam bidang tertentu. Di dalam Unit Bimbingan dan Kaunseling di peringkat sekolah, maklumatmaklumat asas dikumpulkan dan yang diperlukan ialah hal peribadi murid, pencapaian akademik, serta aktiviti kokurikulum yang disertainya. 2.2) Teknik Jenis Bukan Ujian (Pemerhatian dan Temubual) Pemerhatian boleh ditakrifkan sebagai satu kaedah kajian yang boleh digunakan guru untuk mencari kebaikan dan kelemahan murid dan menentukan faktor-faktor yang menyebabkan sesuatu masalah tingkah laku berlaku. Guru boleh mengenal pasti ciri-ciri perkembangan murid daripada bidang afektif dan psikomotor khasnya bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Jasmani. Ianya boleh dibuat di dalam bilik darjah atau luar bilik darjah. Pemerhatian seperti ini penting bagi guru untuk menentukan kekerapan, tempoh langsungnya serta intensiti sesuatu salah laku yang telah dikenal pasti. Data yang dikumpul melalui teknik pemerhatian adalah sangat penting kerana guru dapat merancang tindakan susulan untuk menyelesaikan masalah tingkah laku yang berlaku. Selain itu, pemerhatian ini juga penting kerana ia dapat menolong guru mengawal tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Berikut disertakan satu contoh borang pemerhatian untuk meneliti tingkah laku bermasalah yang digunakan oleh guru.

Nama Murid : Pemerhati : Aktiviti Tingkah Laku : Peristiwa peristiwa yang berlaku sebelum tingkah laku bermasalah

Tarikh Pemerhatian : Masa : Mata Pelajaran :

Tingkah Laku Bermasalah

Kesan-kesan daripada tingkah laku bermasalah

Rajah 1 : Borang Pemerhatian Tingkah Laku Bermasalah Selain kaedah pemerhatian, guru juga boleh menggunakan kaedah temubual dengan murid-murid yang mempunyai masalah tingkah laku ini. Temubual ini boleh dijalankan antara guru bimbingan atau guru biasa dengan murid bermasalah, ibu bapa atau penjaga, rakan sebaya dan pihak lain untuk mendapatkan maklumat.

2.3) Kajian Dokumen ( Kajian Rentasan, kajian membujur, kajian kes) Kajian dokumen ialah, analisis yang dibuat oleh guru terhadap sesuatu tingkah laku masalah murid berdasarkan dokumen-dokumen yang telah dikumpulkan mengenai murid-murid yang biasa menunjukkan salah laku di sekolah. Menurut Bailey (1978), dokumen ini terbahagi kepada dua iaitu, Dokumen Utamadan Dokumen Sekunder. Dokumen Utama merangkumi autobiografi murid, anekdot dan kad kumulatif. Manakala, Dokumen Sekunder merupakan laporan ditulis berdasarkan temubual, pemerhatian ataupun rujukan dokumen-dokumen utama. Contoh Dokumen Sekunder ialah biografi murid, laporan guru dan senarai semak. REKOD ANEKDOT Nama Murid : _______________ Tingkatan : _______________ Jantina : _______________ Umur : _______________ Tarikh Tempat Kejadian / Peristiwa Komen

_______________________ Nama Guru : Rajah 2 : Borang Rekod Anekdot Dalam kajian membujur, murid bermasalah yang dikaji diperhatikan untuk jangka masa yang panjang oleh guru untuk menilai semua perubahan tingkah lakunya. Kajian ini meliputi pemerhatian kepada tingkah laku murid bermasalah untuk mendapat maklumat terperinci mengenai perubahan-perubahan tingkah lakunya. Kajian ini memakan masa yang lama dan memerlukan belanja yang banyak. Manakala, dalam kajian rentasan pula, guru akan mengkaji murid-murid bermasalah pada peringkat- peringkat umur tertentu sahaja. Contohnya, guru mengambil sampel kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku daripada umur yang berlainan untuk dikaji. Perubahan-perubahan dalam tingkah laku bermasalah diukur dengan membandingkan perlakuan murid-murid dari satu peringkat umur ke peringkat umur yang lain. Oleh itu, kajian rentas menjimatkan. Guru juga boleh membuat kajian kes untuk menganalisa tingkah laku bermasalah secara terperinci khususnya untuk murid-murid yang mempamerkan salah laku yang serius. Melalui kajian kes, seseorang yang mempunyai tingkah laku

yang bermasalah yang serius akan diperhatikan untuk satu tempoh masa yang lama supaya guru dapat satu gambaran yang tepat dan menyeluruh mengenai murid tersebut. Kelemahan kajian kes adalah, ianya mengambil masa yang lama dan panjang. Justeru itu, pihak kaunselor sekolah perlu menjalankannya.

3.0) PENGURUSAN TINGKAH LAKU 3.1) DEFINISI PENGURUSAN TINGKAH LAKU Menurut Dr Ragbir Kaur A/P Joginder Singh (2005), pengurusan tingkah laku ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai. Dalam rancangan ini, guru harus memberitahu murid-murid tentang tingkah laku yang harus diamalkan di sekolah dan peraturan-peraturan social yang harus ditunjukkan dalam bilik darjah. Disamping itu, guru harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan contohnya membetulkan tingkah laku murid yang salah dengan menunjukkan mereka tingkah laku yang betul. Dalam proses modifikasi tingkah laku, guru mesti mengikut langkah-langkah yang berikut, antaranya membuat pemerhatian awal dan penilaian terhadap sesuatu tingkah laku yang bermasalah, mengenal pasti dan menetapkan matlamat tingkah laku yang diingini, menunjukkan tingkah laku yang betul (memodelkan atau memberitahu) serta memberikan ganjaran untuk tingkah laku yang positif secara konsisten. Guru- guru perlu menggunakan banyak teknik untuk modifikasikan tingkah laku murid-muridnya. Ianya melalui satu sistem pengurusan tingkah laku bermasalah dengan membuat pemantauan dan penilaian terhadap tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah. Setiap orang guru perlu menyimpan rekod salah laku muridmuridnya seperti bila ia berlaku dan bagaimana ia berlaku. Proses merekod ini amat penting dalam memodifikasikan tingkah laku dan juga sebagai bahan rujukan guru.

3.2) TEKNIK MODIFIKASI TINGKAH LAKU i. PENEGUHAN Terdapat dua jenis peneguhan iaitu peneguhan negatif dan peneguhan positif. Peneguhan positif ialah, proses di mana guru akan cuba mengawal tingkah laku murid dengan motivasi, hadiah, ganjaran, sentuhan serta kata-kata perangsang yang dapat membaiki atau mengubah tingkah laku murid-muridnya. Terdapat dua ganjaran peneguhan positif iaitu, ganjaran primer (susu, makanan, gula), ganjaran terlazim ( bintang, token, markah tinggi, penerimaan sosial dan sentuhan, perkataan

(lisan dan bertulis), permainan dan aktiviti, ekspresi dan wajah guru (muka atau badan). Terdapat beberapa contoh peneguhan positif yang boleh digunakan oleh guru untuk murid-murid. Antaranya, murid disuruh untuk menjadi pembantu guru seperti membantu guru memungut buku latihan selepas tamat waktu, diberi masa rehat selama lima hingga 10 minit untuk melakukan aktiviti bebas iaitu murid bebas membuat aktiviti yang mereka suka namun bukan melakukan perkara yang negatif, murid diberi masa untuk belajar di perpustakaan dan tidak hanya belajar di dalam bilik darjah. Kemudian, guru menulis satu nota pujian daripada guru kepada ibu bapa murid serta murid diberi peluang untuk menjadi ketua dalam melakukan aktiviti berkumpulan. Jika peneguhan positif tidak berkesan, maka guru boleh menggunakan peneguhan negatif untuk mengawal tingkah laku murid seperti denda, memarahi murid, atau menyuruh mereka menjalani times out. Jikalau peneguhan ini masih tidak berkesan, maka guru perlu menggunakan hukuman disiplin yang lebih kuat seperti denda dan merotan. Selain itu, guru perlu memuji murid-muridnya dan memberitahu bahawa dia menyukai mereka tetapi hanya tidak suka tingkah lagu negative mereka sahaja. Diharapkan dengan pujian ini, murid dapat berfikir dan berubah untuk tidak melakukan perkara negatif. ii. DENDAAN Semua hukuman denda perlu dimaklumkan kepada murid dan pihak sekolah mesti menentukan bahawa sesuatu hukuman itu betul-betul dilaksanakan dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Terdapat beberapa dendaan yang boleh dilaksanakan di sekolah seperti, dimarahi oleh guru, diberikan amaran apabila melakukan kesalahan, mengenakan hukuman yang dibayar dengan membuat kerja di sekolah seperti mengutip sampah dan mencuci tandas. Seterusnya, times out sama ada dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah dan menghantar murid ke bilik guru besar jika tidak mengikut arahan oleh guru. Tambahan lagi, ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bermasalah tingkah laku dikehendaki ke sekolah untuk membincangkan masalah anak mereka. Tujuan mengenakan adalah untuk menghentikan tingkah laku negatif tersebut. Skinner berpendapat bahawa denda hanya boleh membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja. Selepas itu, tingkah laku yang tidak diingini biasanya akan berulang lagi. Murid yang didenda, kerana tidak boleh menguasai setengahsetengah kemahiran matematik, mungkin akan menimbulkan sikap kebencian terhadap pembelajaran matematik. iii. REVERSE PSYCHOLOGY

Reverse Psycology ialah satu teknik modifikasi tingkah laku yang boleh digunakan oleh guru untuk mendapatkan tingkah laku yang boleh digunakan oleh guru untuk mendapatkan tingkah laku yang dikehendaki daripada murid-murid di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, jika seorang guru ingin muridnya diam, beliau mungkin menyatakan sesuatu yang berikut seperti, Teruskan, dan buat bising sekuat yang anda semua boleh dalam suara yang kuat dan tegas. Muridnya akan faham apa yang sebenar dikehendaki oleh gurunya iaitu mahu mereka diam dengan serta merta kerana mereka tahu guru itu tidak bermaksud dengan apa yang beliau sedang mengatakan. Teknik modifikasi tingkah laku ini ialah menggunakan psikologi untuk modifikasikan tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif. Teknik ini memerlukan kemahiran guru memahami psikologi murid yang berkenaan. Tujuan menggunakan teknik ini adalah untuk menginsafkan murid agar melepaskan sikap negatif dan memupuk sikap positif demi membentuk tingkah laku yang diingini. iv. SHAPING Ditakrifkan sebagai satu usaha memberikan ganjaran kepada murid setiap kali dia semakin hampir kepada satu matlamat tingkah laku yang ditetapkan oleh guru. Dalam teknik ini, ganjaran yang ditawarkan oleh guru menjadi semakin besar apabila murid bergerak ke arah pencapaian matlamat tingkah laku yang ditetapkan. Contohnya, untuk murid yang mempunyai tingkah laku bermasalah di mana selalu bergerak dalam bilik darjah, guru boleh menetapkan matlamat tingkah lakunya sebagai Berhenti bergerak dalam bilik darjah. Jika murid berjaya, guru akan menawarkan ganjaran yang lebih besar sehinggalah tingkah laku bermasalah itu terhapus. TOKEN EKONOMI Guru boleh memberikan token untuk mengawal tingkah laku murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung supaya proses pembelajaran tidak terganggu. Setiap kali murid menunjukkan tingkah laku yang positif, akan diberikan satu token oleh guru. Token terdiri daripada kad-kad berwarna atau bintang yang mempunyai nilai-nilai tertentu. Sebagai contoh kad biru sebanyak lima markah, kad merah sebanyak 10 markah dan sebagainya. Jika murid telah mengumpul banyak markah, maka akan diberikan hadiah. Ini akan memotivasikan murid untuk terus menunjukkan tingkah laku yang positif. Selain itu, jika murid menunjukkan tingkah laku yang baik seperti menghasilkan kerja yang bermutu, maka, guru akan memberikan hadiah sebagai tukaran. Ini akan memotivasikan murid supaya lebih gigih lagi.

v.

vi.

KONTRAK (LISAN ATAU BERTULIS) Guru boleh membuat kontrak dengan muridnya supaya menunjukkan tingkah laku yang positif. Kontrak boleh dibuat secara lisan dan bertulis diantara guru dan murid. Jika dibuat secara bertulis perlu, menandatanganinya dan terdapat peraturan yang perlu diikuti. Jika tidak mematuhinya maka, hukuman akan di kenakan. Contohnya, jika murid menunjukkan tingkah laku yang baik dan prestasi kerja yang tinggi, murid akan diberikkan ganjaran seperti yang ditetapkan oleh kontrak. Muridmurid akan terus berkelakuan baik kerana pandangan mereka dipandang serius oleh guru. TIMES OUT Dalam teknik times out, jika murid tidak dapat mengawal diri, maka akan dikeluarkan daripada bilik darjah dan dibiarkan dalam bilik kecil yang berdekatan atau mana-mana sudut bilik darjah. Apabila murid tersebut berkelakuan positif, maka akan dibenarkan masuk semula ke dalam kelas. Times out amat berkesan untuk kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun. Masa yang diperuntukkan untuk duduk dalam masa times out ialah diantara satu hingga 10 minit bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan. Selepas masa hukuman dijalankan, guru perlu terangkan kenapa melakukan hukuman tersebut. Kemudian arahan yang asal diberikan semula kepada murid tersebut dan jika mengikut arahan yang diberikan akan dipuji manakala jika masih tidak mengikut arahan maka akan terus dikenakan hukuman.

vii.

viii.

PENGASINGAN Merupakan teknik dimana murid-murid disuruh keluar daripada bilik darjah atau dimasukkan ke dalam kelas detensi untuk menjalani hukuman yang ditetapkan guru. Satu konsep yang penting dalam teknik pengasingan ialah guru membiarkan tingkah laku murid yang bermasalah negatif serta tidak memberi apa-apa perhatian kepadanya. Teknik ini adalah sesuai apabila murid tidak menunjukkan tingkah laku yang positif walaupun telah diingatkan oleh guru beberapa kali. Dalam teknik ini, guru tidak akan memberikan perhatian kepada tingkah laku bermasalah sehinggalah murid berubah sikap. Jika masih tidak mengikut arahan, maka pengasingan ke dalam kelas detensi disyorkan. 4.0) KESIMPULAN Kadangkala keadaan dan suasana sekolah juga menimbulkan keadaan yang tidak selesa dan menyebabkan masalah tingkah laku berlaku. Kelas yang terlalu ramai, alat kelengkapan yang tidak mencukupi, suasana di dalam kelas yang tidak harmoni, alat bantu mengajar yang tidak cukup, gangguan dari luar dan keadaan

sekolah yang tidak sempurna dari segi kemudahan asas. Kesemuanya ini boleh menimbulkan kegelisahan dan menganggu kelancaran perjalanan kelas. Oleh itu, pendapat-pendapat dan kajian dari beberapa tokoh terkenal boleh dijadikan sebagai bahan rujukan oleh pihak sekolah bagi merancang strategi-strategi untuk meningkatkan lagi keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah dan prestasi murid-murid dan akademik di sekolah. Sebagai ibu bapa, kita mestilah menjaga keselamatan dan jaminan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Ibu bapa mesti memberikan kasih sayang dan perhatian selain dari wang ringgit dan keperluan asas mereka.Ibu bapa juga perlu memberi peluang atau kebebasan kepada anak-anak untuk memilih apa yang mereka suka, mendengar penjelasan dan pendapat serta memberi sokongan tentang perkara-perkara yang mereka minati.. Oleh demikian, tingkah laku bermasalah harus ditangani oleh guru dengan bijak dan teratur agar ia tidak membantutkan atau menganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Melalui keberkesanan sistem pembelajaran yang berkesan akan mempercepatkan perkembangan pembelajaran murid-murid di sekolah. Memodifikasikan tingkah laku ialah satu strategi penting yang boleh digunakan guru yang mana tingkah laku yang dikehendaki diteguhkan melalui peneguhan positif dan tingkah laku yang tidak dikehendaki dihapuskan atau dikurangkan melalui peneguhan negatif. BIBLIOGRAFI Mok Soon Sang. 2011. Psikologi Pendidikan Nota Intisari Ilmu Pendidikan. Selangor. Penerbitan Multimedia. Mok Soon Sang. 2007. Ilmu Pendidikan Untuk KPLI : Komponen 3 : Profesionalisme Keguruan Sekolah Rendah. Subang Jaya. Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Dr Ragbir Kaur A/P Joginder Singh. 2006. Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah dan Menengah). Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Murugiah Velayutham. 1996. Psikologi Pendidikan 1.: Psikologi perkembangan. Kuala Lumpur. Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Cikguhaidi.wordpress.com/2009/07/21/Strategi-Masalah Pembelajaran Murid http://dmaza.blogspot.com/2010/06/maksud-definisi-tingkah-laku.html www.slideshare.net/.../masalah-tingkahlaku-43642

You might also like