You are on page 1of 0

1

PATRIOTISME SEMAKIN TERHAKIS DALAM KALANGAN MASYARAKAT


MALAYSIA.
Pendahuluan
Patriotisme mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi empat 2007 menyatakan
bahawa perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Seseorang individu yang patriotik
sentiasa bersifat patriot dan sanggup mempertahankan kedaulatan dan membela
negaranya. Dalam kata lainnya, seorang patriot ialah seseorang yang menjuarai
kepercayaan tentang kebesaran dan kebenaran negaranya, seseorang yang memandang
tinggi dan menghargai simbol-simbol yang menjadi kebanggaan negara tersebut dan
seseorang yang melaungkan slogan tentang kesediaannya untuk mempertahankan negara
dan kerajaan negara tersebut dengan nyawanya.
Kita boleh juga katakan bahawa seorang yang patriot sentiasa berusaha menjadikan
negaranya lebih baik sama ada dari segi pendidikan, lebih baik dari segi ketenteraan,
lebih aman, lebih makmur, lebih bersih, lebih sihat, lebih berkuasa dan berpengaruh di
dalam hubungan antarabangsa, lebih cantik dan indah, lebih bersatu padu, lebih dihormati
di luar negara dan sebagainya. Patriotik itu wujud dalam pelbagai rupa bentuk manakala
patriotisme boleh meliputi pelbagai aktiviti.
Malaysia dikenali dengan susunan masyarakat majmuk atau pluralisme. Konsep ini
banyak dibincangkan sejak kebelakangan ini terutama dalam perhubungan ras dan etnik
2
yang mana ia secara langsung mencetuskan semangat patriotisme dalam hati mereka.
Menurut konsep ini, masyarakat majmuk ialah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai
kelompok ras atau etnik berlainan yang berada di bawah satu sistem pemerintahan. Di
Malaysia, kaum-kaumnya mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang
tersendiri. Walaupun pelbagai kaum ini berganding bahu di bawah satu sistem politik
yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan. Interaksi sosial dalam kalangan
mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi.
Dari segi politik pula masyarakat majmuk timbul akibat dominasi penjajah.
Dasar Pendidikan Negara
Di negara ini, penduduknya terdiri daripada tiga kelompok etnik yang utama iaitu
Melayu, Cina dan India. Di Sabah dan Sarawak terdapat kaum Dayak dan bumiputera
lainnya. Penonjolan ras amat ketara seperti berlakunya dalam sistem pendidikan
kebangsaan terdapat sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan sejak negara merdeka
sehingga ke hari ini. Semua pihak harus sedar bahawa sekolah merupakan salah sebuah
institusi yang mampu menjadi agen berkesan ke arah menyatupadukan murid-murid
pelbagai kaum di negara ini. Bagi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, aman dan
sejahtera, segala-galanya bermula dari sekolah. Ibarat kata pepatah jika mahu melentur
buluh biarlah dari rebungnya.
Walau bagaimanapun, setelah negara mencapai usia lebih 50 tahun, sekolah-sekolah
berlainan kaum masih wujud sehingga kelihatannya menghakis sedikit demi sedikit sikap
patriotisme murid terhadap negara yang didiami ini. Sifat perkauman semakin melebar
3
dan membesar sedangkan kerajaan sudah acap kali memperkenalkan pelbagai program
termasuklah Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMP) tahun 1986 bertujuan
meningkatkan dan menyuburkan semangat kerjasama antara kaum sebagai pemangkin
kepada perpaduan nasional serta meningkatkan semangat patriotisme dalam hati rakyat
Malaysia seawal umur tujuh tahun.
Tidak dinafikan usaha merapatkan hubungan antara murid pelbagai kaum ini amat baik
dan diharapkan dapat menimbulkan suasana hormat menghormati dan meningkatkan
perpaduan sesama mereka di sekolah. Sifat berbaik sangka dan bersatu padu ini dipupuk
agar ia berterusan sehingga mereka dewasa. Namun begitu, apakah yang boleh dilakukan
terhadap sekolah-sekolah satu kaum yang masih wujud di negara ini? Bagaimanakah
kementerian pelajaran dapat memupuk sifat itu dalam diri murid-murid. Persoalannya,
adakah negara yang telah lebih 50 tahun merdeka ini memerlukan sekolah mengikut ras?
Tanpa disedari, Malaysia sebenarnya telah mengikut jejak dasar pecah dan perintah
seperti pada zaman penjajah yang memecahkan sekolah mengikut kaum yang mana
Melayu di kampung, India di estet dan Cina di bandar. Hari ini, sekolah-sekolah
mengikut ras ini boleh didapati di mana-mana di seluruh negara. Negara tidak akan dapat
melahirkan sebuah masyarakat majmuk yang tinggi semangat patriotiknya sekiranya
dasar pendidikan pelajaran negara masih di tahap lama. Program-program yang
diwujudkan tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya jika masih wujud sekolah
pelbagai ras. Hasrat melahirkan bangsa Malaysia yang tinggi semangat patriotiknya juga
tidak mungkin menjadi kenyataan walau 100 tahun negara mencapai kemerdekaan.
4
Keadaan orang Melayu di zaman penjajahan dikenali dengan kemunduran dan kurang
berpendidikan tinggi. Peluang untuk belajar seperti di Kolej Melayu Kuala Kangsar
(MCKK) hanya diberikan kepada golongan tertentu. Hari ini, kerajaan telah membuat
pelbagai dasar untuk membantu dan mempertingkatkan ekonomi orang Melayu.
Keadaan dan masa telah memberi kesedaran kepada orang Melayu supaya berubah.
Melayu yang disifatkan sebagai kaum yang lemah dan belum maju harus dibantu maka
wujudlah Akta RIDA 1953 dan Akta MARA 1966 (Majlis Amanah Rakyat). Kerajaan
terpaksa menceburi lapangan perusahaan untuk menolong kaum-kaum yang lemah ini.
Jika tidak selamanya kaum itu akan terus lemah dan bertambah mundur. Dasar Ekonomi
Baru (DEB) bagi membela nasib orang Melayu dan bumiputera diwujudkan. Dasar
Ekonomi Baru (DEB) itu sekurang-kurangnya berjaya mengimbangi kedudukan kaum
dalam pelbagai bidang profesional seperti kejuruteraan, perubatan, perundangan, kegiatan
ekonomi dan sebagainya. Namun, sehingga ke hari ini, hasrat kerajaan untuk menaikkan
taraf ekonomi dan pendidikan orang Melayu supaya seimbang dengan pencapaian kaum-
kaum lain belum tercapai.
Semangat Patriotisme DalamMempertahankan Negara
Semangat cintakan bangsa dan negara bukanlah warisan daripada ibu bapa atau darah
keturunan semata-mata. Ia wujud hasil dari fenomena sosial dan budaya masyarakat.
Semangat patriotisme Melayu mulai tercetus kesan daripada kedatangan pengaruh Islam
yang membawa semangat jihad menentang penjajahan asing. Akibat campur tangan
kuasa-kuasa Barat kemudiannya telah menimbulkan semangat kenegerian dan
kedaerahan. Akhirnya lahirlah negara-negara bangsa di rantau Nusantara seperti
5
Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Malaysia. Setiap negara ini
membangunkan nasionalisme masing-masing. Namun hanya Malaysia sahaja yang
berteraskan Nasionalisme Melayu Semenanjung Tanah Melayu. Berkat usaha dan
semangat patriotisme dalam kalangan orang Melayu akhirnya telah menghasilkan
kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Semangat orang Melayu terus berkobar
sehingga mereka berjaya menguasai kepimpinan politik di negara ini dan seterusnya
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kejayaan menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi negara merupakan suatu kebanggaan dan mercu
kemenangan bagi orang Melayu.
Mana-mana negara maju yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan keturunan
sewajarnya mempunyai suatu ideologi kebangsaan bagi menyatukan rakyatnya. Di
Malaysia, ideologi kebangsaan yang paling sesuai mengikut hasrat dan cita-cita Wawasan
2020 ialah ideologi nasionalisme Malaysia. Menerusi ideologi ini, diharapkan dapat
mengikat rakyat Malaysia dalam satu ikatan yang teguh, kental seterusnya dapat
menangani kerumitan yang selama ini dialami oleh pelbagai kumpulan etnik di negara
ini. Setiap kumpulan etnik mempunyai cita-cita politik yang tersendiri dan enggan untuk
hidup sebagai sebuah bangsa Malaysia. Sekiranya cita-cita etnik itu kekal dan terus
diamalkan, nescaya masyarakat Malaysia akan terus berpecah belah.
Seperti kata Tun Mahathir bahawa kegagalan kita mentransformasi ideologi
nasionalisme Melayu menjadi ideologi nasionalisme Malaya atau Malaysia pada waktu
tercapainya kemerdekaan dan kegagalan golongan imigran melepaskan diri dari
6
mentaliti imigran kolonial dan tidak dapat mengidentifikasikan diri telah melambatkan
proses pembentukan bangsa yang sentiasa ditanggapi oleh kedua-dua pihak sebagai
proses mendominasi dan didominasi.
Ini jelas membayangkan bahawa misi dan visinya mewujudkan sebuah bangsa Malaysia
baru yang bersatu-padu, berdedikasi dan berdaulat haruslah berasaskan semangat
assabiyah atau semangat setiakawan yang mana mengikut pendapat Ibn Khaldun ialah
semangat yang tinggi dan kasih sayang tanpa merasakan adanya perbezaan dari segi
kaum, keturunan dan warna kulit.
Cinta dan patriotisme adalah juga suatu nilai nasionalisme. Sejarah membuktikan
nasionalisme telah berjaya membentuk perpaduan, menyatukan perasaan rakyat terutama
apabila dijajah, melahirkan sikap benci kepada penjajahan atau kuasa asing. Semangat
ini jelas berlaku dalam sejarah negara khususnya dan di negara-negara Asia Tenggara
lain. Ketika perang Dunia Kedua, nasionalisme masih menjadi faktor utama penentangan
terhadap penjajahan kerana dengannya dapat mencetuskan semangat patriotisme dan
kesedaran untuk bersatu dan keinginan yang kuat untuk mendapat kebebasan berpolitik
yang akhirnya mewujudkan negara merdeka. Kemerdekaan fizikal, mental dan spiritual.
Hari ini, keadaan negara yang selesa, aman dan makmur telah membuatkan rakyat dan
masyarakat seluruhnya berada di dalam zon keselesaan hinggakan sebahagian besarnya
lupa tanggungjawab kepada negara dan terhakisnya semangat patriotik yang tulus dan
tinggi terhadap negara. Kemerdekaan tidak dapat dinilai dan dibandingkan dengan apa
7
sahaja. Begitu juga halnya, ia tidak boleh dinilai dan disamakan dengan wang ringgit.
Justeru itu, sesuai dengan masyarakat berbilang kaum dan agama, maka perlulah sentiasa
dipupuk dan diingatkan mengenai tanggungjawab mereka terhadap negara. Kerajaan
tidak boleh mengambil jalan mudah dengan menyalahkan rakyat semata-mata tetapi perlu
memberi perhatian serius dan pengisian kefahaman tentang erti kemerdekaan secara
berterusan.
Pelan Tindakan Meningkatkan Semangat Patriotisme
Semangat patriotisme yang khusus terhadap sesebuah negara selalunya bersaingan
dengan objek sikap, perasaan atau world-view yang lain. Misalnya individu atau
kelompok tertentu yang membelakangkan patriotisme untuk menegakkan ideologi atau
agama pegangannya. Patriotisme boleh ditenggelamkan oleh kepentingan lain seperti diri
sendiri, keluarga, kelompok atau komitmen yang mendalam terhadap ideologi sama ada
ideologi berkaitan agama, negara mahupun falsafah dan ajaran-ajaran tertentu. Maka itu,
seharusnya perlu satu pelan tindakan segera oleh kerajaan bagi meningkatkan semangat
patriotisme dilaksanakan bagi memastikan kelonggaran dan kepupusan semangat itu
tidak akan pernah wujud dalam diri seluruh rakyat Malaysia. Di antara tindakan yang
dirasakan boleh dilaksanakan seperti di bawah.
Bahasa Melayu
Menegakkan bahasa Melayu dan mengembalikan kegemilangannya melalui
perancangan, pengembangan dan penyuburan sebagai bahasa ilmu di sekolah dan
8
institusi pengajian tinggi serta mengukuhkan penggunaannya dalam pentadbiran,
pengurusan dan media. Tanpa bahasa rasmi yang dihormati menjadikan akhirnya bahasa
lain sebagai bahasa dominan dan ia tidak mencerminkan jiwa sesuatu bangsa. Bahasa
mencerminkan jiwa bangsa. Bahasa Melayu itu bahasa lingua franca serantau dan
bahasa tradisi ilmu di serata kota pelabuhan dan kepulauan sehingga kebudayaan Melayu
juga berkembang maju akibat dari pertembungan dengan pelbagai tamadun dari timur
dan barat, bersifat matang menerima dan akomodatif.
Para pengkaji Barat pernah menyamakan bahasa Melayu dengan bahasa Perancis sebagai
bahasa-bahasa diplomatik yang dapat menyirati sesuatu perasaan dan pemikiran benar,
malah kelembutan dan kehalusannya sukar ditandingi oleh bahasa lain (pernah diakui
oleh Clifford, Swettenham dan Brown). Apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai
bahasa nasional Indonesia atau bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia sesudah
kemerdekaan, bukanlah hal itu terjadi semata-mata atas alasan politik. Ada bermacam
alasan yang rasional dan cukup kuat. Atas kedudukan bahasa Melayu itu sebagai bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa inilah yang difahami oleh semua lapisan dan
peringkat masyarakat yang pula sebagai asas pembinaan peradaban bangsa merdeka. Jadi
dengan mempelajari, menguasai dan menjadikan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi
nasional merentas etnik dan sempadan, maka akan banyaklah benih-benih peradaban
dapat disemaikan di samping meningkatkan semangat patriotisme bangsa.
Allahyarham Tun A. Razak, Perdana Menteri Kedua, mengungkapkannya lebih awal
yakni semasa beliau merasmikan Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16 Ogos 1971.
9
Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan negara, kedudukan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan merupakan strategi jangka panjang
untuk mewujudkan Bangsa Malaysia yang bersatu padu. Konsepn itu dijelaskan dengan
kata-kata Wujud kita sebagai satu bangsa masih sangat baru dan belum pun sampai satu
generasi semenjak kita merdeka dan berdaulat, mula-mulanya sebagai bangsa Malaya
dan kemudian jadi bangsa Malaysia. Gagasan beliau itu jauh lebih awal dari salah satu
cabaran dalam Wawasan 2020 Tun Dr Mahathir, 1992. [A Aziz Deraman: 1975,2002 &
2005]. Cita-cita kelahiran bangsa ini telah digariskan konsep dan matlamatnya dalam
Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990, yakni sudah terangkum dalam konsep
kenegaraan yang telah menyepadukan aspirasi Perlembagaan. Semangatnya
diterjemahkan ke dalam dasar-dasar negara tentang bahasa, pendidikan, kesusasteraan,
kebudayaan kebangsaan yang ditunjangi Rukun Negara dan Perlembagaan.
Kepentingan bahasa Melayu adalah sesuatu yang asas dalam proses integrasi antara
kaum. Asas perlembagaan dan dasar bahasa Melayu penting bagi mencorak jenis
manusia yang diperlukan dalam proses pembangunan negara. Penyata Razak dikeluarkan
bagi mendukung semangat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
pendidikan di negara ini dan Penyata Razak juga merupakan salah satu ciri penting Akta
Pelajaran 1961 (kini Akta Pendidikan 1996). Melalui Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan, bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa
kebangsaan negara.
10
Hari ini, bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan itu sedang
menghadapi tekanan yang amat besar Masyarakat Malaysia dihimpit osmosis budaya
luar yang merojakkan bahasa Melayu dengan bahasa luar. Ini berbeza sekali dengan
negara-negara lain seperti Jepun, China dan Inggeris kerana mereka bukan setakat
membebaskan negara daripada penjajah, malah memerdekakan bahasa kebangsaan
masing-masing. Orang Melayu terutama yang cerdik pandai mengalami krisis psikologi
bahawa berbahasa Melayu disifatkan sebagai kekampungan. Bahasa Inggeris digunakan
kerana melambangkan simbol moden, maju dan kontemporari. Edaran akhbar-akhbar
berbahasa Melayu sendiri semakin menurun. Statistik edaran sehari Akhbar Melayu
utama di negara ini ( Berita Harian dan Utusan Malaysia ) kurang 200,000 naskhah
sehari. Sebaliknya, akhbar-akhbar berbahasa Cinalah yang menguasai edaran tertinggi.
Jika dihitung pengguna bahasa Melayu seluruh dunia, angkanya mencecah 250 juta
orang. Dengan penyelarasan sistem ejaan antara negara anggota MABBIM (Majlis
Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia) tahun 1972, seterusnya diikuti dengan usaha
penyelarasan, tidak kurang daripada 400,000 istilah dalam pelbagai bidang ilmu, bahasa
Melayu di rantau ini menjadi semakin kukuh sebagai bahasa pemersatu warga negara
Malaysia dan juga warga serantau. Manakala di peringkat kebangsaan, sejumlah satu
juta istilah telah digubah untuk pelbagai bidang ilmu dan disebarluaskan kepada
pengguna. Maka tidak timbul kerisauan bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa ilmu
sedangkan istilah-istilah yang dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seiring dengan
kepesatan perkembangan ilmu dunia. Kerajaan harus memperkukuhkan lagi penggunaan
bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta
mengukuhkan penggunaannya dalam pentadbiran, pengurusan dan media supaya hasrat
11
kerajaan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri kalangan rakyat Malaysia
akan tercapai.
Mata Pelajaran Sastera
Mata pelajaran sastera hendaklah diwajibkan kepada semua pelajar di semua peringkat
sama ada sekolah rendah, menengah dan di institusi pengajian tinggi di negara ini. Ini
kerana di dalam persuratan Melayu atau karya sastera terkandung segala macam warisan
nilai-nilai budaya yang merangkumi hal ehwal kehidupan bangsa, lengkap dengan nilai-
nilai ketatanegaraan atau politik (tatahubungan manusia dengan kekuasaan), ekonomi
(tatahubungan manusia dengan benda), sosial (tatahubungan manusia dengan manusia),
pengetahuan dan teknik (manusia dengan alam dan kerja), seni (manusia dengan bentuk-
bentuk yang menyenangkan), falsafah (manusia dengan kebenaran dan nilai) dan agama
(tatahubungan manusia dengan Tuhan). Sastera adalah wadah bangsa yang terpenting
kerana di dalamnya dicurahkan segala fikiran Melayu tentang tatasusunan masyarakat
yang unggul, wira dan nilai untuk dijadikan teladan, hubungan sesama manusia malah
pedoman kehidupan buat pembaca. Di dalamnya itu tercakup karya-karya agama, adat
istiadat, hukum, sejarah, salasilah, perubatan dan sebagainya (Muhammad Haji
Salleh:2000).
Nilai-nilai itu membawa erti darjat, kualiti, mutu, taraf dan sifat ketinggian pemikiran,
agama, kemasyarakatan dan lain-lain (Kamus Dewan: 2005), kadangkala nilai itu mudah
ditemui oleh mereka yang mencari atau boleh terbiar begitu sahaja oleh mereka yang
tidak meminati kesusasteraan. Semua aspeknya tersimpan baik dalam persuratan Melayu.
12
Persuratan dan sastera tidak bergerak secara yang berasingan serta amat rapat dengan
tradisi ilmu.
Sastera juga cukup berperanan merangkaikan kesedaran dan kebangkitan bangsa atau
umat. Tradisi persuratan Melayu, sebagaimana diakui kalangan sarjana, hanya bermula
selepas kedatangan Islam, terus berkembang pada zaman ulama, dan mulai abad ke-19
beralih pilihan ke genre persuratan bentuk baharu. Perkembangan kesusasteraan itu
sendiri dengan adanya kemajuan teknologi dan proses penciptaan kesuasasteraan moden
dengan genre baru penyesuaian dari Barat, maka lahirlah bentuk-bentuk sastera kreatif
berupa novel, cerpen, sajak lanjutan dari sastera klasik hikayat, syair, pantun, gurindam,
seloka dan sebagainya sehingga terhimpun ke dalam wadah kesusasteraan nasional dan
serumpun. Kesusasteraan itu cukup berkembang menjadi sumber pemancaran nilai-nilai
bersama kehidupan bangsa serumpun dengan isinya membawa latar kehidupan dan
pengalaman alamiah yang sama.
Dalam zaman pengaruh globalisasi dan liberalisasi ini, sastera masih diyakini ada
peranannya dalam pembinaan bangsa, apalagi mengingatkan bahawa sastera adalah
wadah bangsa Melayu yang penting mengisi rohaniah, intelektual dan praktis bangsa
dengan kandungan yang luas, dan untuk beberapa bidang amat mendalam. Tanpa sastera
sebahagian besar daripada ilmu bangsa Melayu tidak akan sampai kepada kita hari ini,
atau kepada berpuluh generasi sebelum kita yang memerlukannya (Muhammad Haji
Salleh:2000). Ada kesedaran bahawa sungguhpun kita menguasai sains dan teknologi,
tetapi ilmu ini tidak mengajar kita bagaimana memahami konflik sosial dan politik atau
13
musnahnya nilai peradaban dan kemanusiaan dalam pertarungan ekonomi. Ilmu sains dan
teknologi merupakan ilmu pasti yang terlalu objektif untuk mengolah aspek-aspek
kemanusiaan dan kerohanian atau keterbukaan akal budi. Kita sebenarnya memerlukan
keseimbangan dan perseimbangan. Dalam korpus Melayu atau himpunan pemikiran
Melayu terkumpul segala perkara mengenai sistem peradabannya.
Angkatan Tentera Malaysia
Manifestasi yang jelas untuk menggambarkan semangat patriotisme ialah dengan
menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kerajaan perlu menggalakkan rakyat
pelbagai kaum di negara ini menyertai ATM dengan menambah insentif seperti
menaikkan elaun dan gaji anggota. Maka dengan cara ini lebih ramai yang akan berminat
untuk menyertai ATM.
Sepengetahuan semua, anggota-anggota ATM merupakan warganegara yang telah
menzahirkan semangat patriotisme dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan
negara pada setiap masa. Pada masa ini ATM mempunyai 95,000 anggota tetap dan dari
jumlah ini sebanyak 85.5 peratus adalah kaum Melayu manakala 5.16 peratus adalah dari
kaum Iban. Selebihnya pula ialah 2.04 peratus dari kaum India, Cina 0.54 peratus dan
6.76 peratus dari keturunan lain. ATM telah melahirkan ratusan ribu tentera terlatih dan
mereka ini kekal berada pada tahap patriotisme yang paling tinggi. Sama ada mereka
telah bersara atau tidak, namun kedudukan mereka dalam masyarakat dan di negara ini
turut menyumbang kepada semangat patriotisme. Ini boleh diperlihatkan menerusi
perawakan atau penampilan diri mereka yang boleh dijadikan contoh kepada ahli
14
masyarakat yang lain. Mereka juga mempunyai kebolehan tersendrii dalam bidang
masing masing dan ini adalah aset negara dalam mencurahkan semangat patriotisme.
Semangat patriotisme kekal dan berterusan dalam kalangan anggota ATM yang telah
bersara. Mereka yang bersara dalam umur yang muda telah melibatkan diri dalam
berbagai sektor ekonomi dan sosial sebagai rakyat biasa. Setiap tahun purata seramai
5000 anggota tentera bersara dan mereka ini telah kembali berada dalam masyarakat.
Kehadiran mereka dalam masyarakat membawa bersama tradisi dan disiplin ketenteraan
serta semangat patriotisme yang boleh mempengaruhi masyarakat sekitarnya.
Sebenarnya setiap warganegara boleh juga memperlihatkan semangat patriotisme tanpa
perlu terlibat terus dalam ATM. Mereka boleh menyertai Pasukan Simpanan Angkatan
Tentera (PSAT). Penyertaan dalam PSAT merupakan peluang untuk menunjukkan
semangat patriotisme seseorang warganegara kepada negaranya. Ke arah ini adalah
menjadi harapan Kementerian untuk menubuhkan pasukan Askar Wataniah di setiap
kawasan Parlimen. Sehingga kini terdapat lebih 51,000 yang menganggotai Pasukan
Simpanan Angkatan Tentera (sukarelawan) di mana 78 peratus adalah Melayu, 8.8
peratus Cina, 6.6 peratus India dan 6.6 peratus adalah kaum yang lain.
Kongres Patriotisme Remaja
Pertemuan dengan pemimpin remaja melalui penganjuran Kongres Patriotisme Remaja
harus dilaksanakan sepanjang tahun. Bahkan ia boleh dikembangkan menjadi program
utama di setiap negeri di seluruh Malaysia. Kenapa perlunya kongres ini? Banyak yang
perlu diterapkan kepada remaja yang merupakan generasi muda yang juga bakal
15
pemimpin pada masa hadapan. Program kemasyarakatan dan kendiri harus
diperbanyakkan bagi menerapkan nilai-nilai murni pada peringkat yang lebih muda.
Program seperti ini hendaklah dimulakan di sekolah kepada murid-murid seawal 10 tahun
sehinggalah ke peringkat sekolah menengah. Kerajaan tidak perlu menunggu sehingga
pelajar-pelajar ini tamat persekolahan dan memasuki Program Latihan Khidmat Negara.
Program PLKN seharusnya hanyalah kesinambungan dari program-program hasil dari
kongres patriotisme remaja yang dilaksanakan terlebih awal di peringkat umur yang lebih
rendah.
Kita semua sedar bahawa jika rosak generasi muda pada hari ini, maka pincanglah negara
pada masa hadapan. Begitulah pentingnya tugas kerajaan memastikan generasi muda
ditingkatkan semangat patriotisme mereka. Semangat patriotisme dalam kalangan rakyat
perlu terus diperkukuhkan bagi membolehkan negara mengisi kemerdekaan dengan
mencipta lebih banyak kemajuan dan kejayaan pada masa akan datang. Tunjang ke arah
pencapaian tersebut hanya boleh direalisasikan menerusi kerjasama erat pelbagai kaum di
negara ini. Maknanya, perpaduan menjadi alat terpenting
Apa yang kita harapkan melalui kongres patriotisme ini ialah dapat mewujudkan generasi
muda yang tinggi kasih dan sayang kepada negara. Sama ada anak-anak remaja kita
sayang kepada negara atau tidak, itu satu perkara yang sukar dan tidak ada negara dalam
dunia dapat mengukur nilai ini. Apa yang dapat kita lihat cuma penjelmaan kasih sayang
ini melalui program-program berterusan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.
Penjelmaan menggunakan bahasa kebangsaan, menerima sistem yang boleh
menyatupadukan, menggalakkan perbincangan lebih terbuka mengenai hal-hal ini, bukan
16
hanya mengutamakan kepentingan masing-masing dan memikirkan tentang masa depan.
Malangnya kebanyakan kita tidak memikirkan masa depan, tetapi lebih memikirkan
kepentingan sekarang. Negara telah lebih 50 tahun merdeka. Hubungan antara kaum
dikatakan masih rapuh dan membimbangkan pemimpin negara.
Kongres ini dilihat dapat menjadi landasan yang sesuai kepada pemimpin-pemimpin
masyarakat, ahli akademik, pegawai-pegawai kerajaan dan ahli-ahli korporat serta pelajar
untuk bersama-sama terlibat membentuk sebuah masyarakat muda yang lebih patriotik
dan memperkukuhkan jati diri semua yang terlibat di samping menjadi satu landasan
yang mampu menyemarakkan proses pembinaan negara bangsa.
Kibaran Jalur Gemilang
Kempen kibaran jalur gemilang harus dilaksanakan oleh kerajaan sepanjang tahun.
Kementerian terbabit harus memperuntukkan bajet khas untuk tujuan itu. Contohnya
tahun 2007, kerajaan telah menjalankan kempen kibaran jalur gemilang secara besar-
besaran. Ini sekaligus mengundang seluruh rakyat Malaysia terpanggil untuk turut serta
mengibar jalur gemilang. Malang sekali, tahun 2008, kemeriahannya agak pudar. Faktor
kekangan kewangan adalah masalah utama.
Hari ini, ramai kalangan anak muda yang tidak menghormati jalur gemilang dan lagu
Negaraku. Contohnya seorang pelajar Wee Meng Chee dari Muar yang telah
memperlekehkan lagu negara. Sepatutnya perkara seperti ini tidak berlaku kepada negara
yang telah merdeka dari penjajah sejak lebih 50 tahun. Tetapi ini berlaku kerana tidak
ada satu badan yang boleh memainkan peranan meningkatkan semangat patriotisme ini
17
bersama-sama dengan peruntukan bajet yang besar ke arah memastikan masyarakat
Malaysia lebih patriot.
Latihan PLKN
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan kursus latihan wajib kepada
mereka yang menamatkan persekolahan. Ia bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri
bermatlamatkan membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan
generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk
perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni. Program ini bukanlah bersifat Kerahan
Tenaga dan tidak mengikut mana-mana model daripada luar kerana dilaksanakan
menurut cara Malaysia
Program Latihan Khidmat Negara yang dijalankan kepada golongan belia lepasan
sekolah sememangnya suatu program yang baik. Program PLKN telah menghasilkan
keyakinan diri dan ketrampilan serta semangat perpaduan dan ciri-ciri kepimpinan dalam
kalangan belia. Walau bagaimanapun, sudah tiba masanya, perlaksanaannya dikaji
semula untuk suatu pembaharuan yang lebih baik kepada golongan belia.
Kerajaan harus mewajibkan setiap pelajar menyertai PLKN. Tidak ada nama pun yang
harus dicicirkan dari senarai pendaftaran negara untuk mengikuti program Latihan
Khidmat Negara. Seharusnya langkah ini telah diambil sejak dahulu lagi. Apabila
kerajaan memperkenalkan satu program baru untuk meningkatkan semangat patriotisme
kepada generasi muda seperti program PLKN, kerajaan juga seharusnya telah
18
memikirkan kekangan kewangan yang tinggi yang harus dikeluarkan bagi mendapatkan
hasil yang juga tinggi untuk kepentingan negara pada masa hadapan. Kenapa perlu ada
sikap berat sebelah. Ada yang terpilih manakala yang tidak terpilih, akan tercicir dan
tidak dapat apa yang diperolehi oleh rakan-rakan yang lain.
Hasrat itu sudah pasti tetapi pelaksanaannya masih tidak lengkap. Tidak adil kepada
generasi muda yang tidak dipanggil sedangkan keinginan itu tinggi untuk turut serta.
Walau pun boleh memohon, namun berapa kerat sangat yang memohon. Maka itu,
kerajaan harus melihat semula program PLKN dan menambat bajet supaya semua nama
pelajar yang telah menamatkan pelajaran mereka tidak terlepas dari mengikuti program
ini.
Kata pepatah, jika hendak melentur buluh, lenturlah dari rebungnya. Kalau sudah
menjadi buluh sudah tentu sudah tidak boleh dilentur. Jika pepatah ini digunakan dan
implementasikan kepada pelajar-pelajar sudah tentu ia akan menjadi lebih berkesan.
Sekiranya kerajaan dan kementerian terbabit mempunyai bajet besar, dicadangkan
membuat satu program khas seperti PLKN tetapi terhadap pelajar-pelajar sekolah
menengah (mungkin tingkatan satu hingga ke tingakatan enam ). Setiap kali cuti sekolah
panjang, adakan kem-kem motivasi atau kem cuti sekolah. Ketika inilah, semua elemen
positif yang ingin kita masukkan ke dalam diri pelajar-pelajar boleh kita lakukan.
Sementelaah lagi, pelajar-pelajar ini masih boleh dibentuk jika asakkan mental positif
dilaksanakan dengan lebih kerap sehingga mereka selesai SPM atau STPM. Jadi,
kerajaan tidak perlu menunggu sehingga habis SPM barulah diadakan PLKN. Ia
19
mungkin boleh dilaksanakan semasa pelajar-pelajar masih dalam pembelajaran lagi.
Maka, harapan kerajaan untuk melahirkan belia yang berkepimpinan dapat direalisasikan
dengan lebih berkesan. Pelajar-pelajar lemah dibimbing manakala pelajar-pelajar yang
bijak harus diawasi agar tidak terjadi seperti apa yang berlaku kepada Sofia pelajar
bijak matematik.
Penerbitan Buku
Kerajaan harus menggalakkan penerbit buku dan juga penulis untuk menerbitkan lebih
banyak buku-buku berbentuk patriotisme dan motivasi. Geran berbentuk ganjaran wang
tunai boleh diberikan kepada penerbit-penerbit yang aktif menerbitkan buku-buku ilmu
dalam pelbagai genre. Kerajaan juga perlu memperuntukkan sejumlah geran kepada
penulis-penulis yang boleh menulis supaya lebih banyak buku ilmiah dan motivasi boleh
dihasilkan untuk rujukan anak bangsa sendiri. Melalui cara ini diyakini bahawa lebih
ramai yang akan menulis dan lebih banyak bahan berbentuk buku yang boleh digunakan
untuk membuat rujukan oleh para guru dan para penceramah.
Kesimpulan
Pewujudan satu masyarakat Malaysia yang tahan lasak, berkeyakinan, berdisiplin dan
berani menghargai pengorbanan merupakan ciri ciri asas pembentukan masyarakat
patriotik. Sebagai sebuah negara berbilang bangsa maka tanggungjawab mempertahankan
negara sepatutnya tidak terletak di bahu satu kaum sahaja. Semangat patriotik perlu
dihayati oleh semua kaum dan ini adalah teras kepada pertahanan negara yang kental dan
20
mantap. Kepentingan peribadi perlu diseimbangkan dengan semangat patriotisme dan
kesanggupan berkorban nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Malaysia sejak merdeka di bawah kebijaksanaan kepemimpinan negara sentiasa
memberikan perhatian kepada kebajikan semua warga Malaysia. Memang tidak dapat
kita nafikan bahawa banyak teras kebangsaan Malaysia itu adalah bersumberkan kepada
sejarah dan tradisi keMelayuan, maka timbullah konsep Ketuanan Melayu dan Kontrak
Sosial. Kedudukan raja-raja Melayu dan institusi Yang Di Pertuan Agong, agama Islam
sebagai agama negara, bahasa Melayu sebagai bahasa negara, kedudukan istimewa
Melayu dan bumiputera di samping dinyatakan hak kewarganegaraan (citizenship) dan
persamaan (equality) dalam batas-batas tertentu yang menjadi penanda bagi sesebuah
negara bangsa dalam geopolitik, sistem pemerintahan dan kehidupan budaya bangsanya.
Kalau hal ini difahami maka keluhuran Perlembagaan akan sentiasa terpelihara dan
hakikat kewujudan bangsa Malaysia menjadi nyata.
Ends.
Hanita Hassan
Pengurus Projek IKSEP
21
Rujukan
Profesor Dr Hussain Mohamad, Belia dan Patriotisme Malaysia, Institut Kajian Sejarah
dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), 2005.
Datuk Profesor Dr Ramlah Adam, Pejuang-Pejuang Kemerdekaan, Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), 2003.
Khoo Kay Kim(ed.), Pendidikan di Malaysia:Dahulu dan Sekarang, Kuala Lumpur,
Persatuan Sejarah Malaysia, 1980.
Siti Azizah Abod, Dasar Pertahanan Negara dan Patriotisme, laman sesawang
Kementerian Pertahanan Malaysia, 2008.
A. Aziz Deraman, Pemancaran Nilai-Nilai Bersama Dalam Kesusasteraan, Kertas Kerja
Bicara Patriotisme Perdana, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) &
Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Hotel Everly Resort, Melaka. 2008.
Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Petikan Ucapan Perasmian Simposium Bahasa Melayu:
Ke Mana Arahnya Dalam Merentasi Dunia Globalisasi, Institut Kajian Sejarah dan
Patriotisme Malaysia (IKSEP) & Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Hotel
Avillion, Melaka. 2008.
Prof. Dr Teo Kok Seong, Bahasa Melayu dan Komunikasi Dalam Dunia
Globalisasi:Persoalan Keupayaan Bahasa Melayu, Jati Diri Bangsa Melayu dan
Keutuhan Budaya Melayu, Kertas Kerja Simposium Bahasa Melayu: Ke Mana Arahnya
Dalam Merentasi Dunia Globalisasi, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia
(IKSEP) & Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Hotel Avillion, Melaka. 2008.
22
Datuk Dr. Haji Mohd Jamil Mukmin. Ph.D, Ketuanan Melayu Teras Pembinaan Negara
Bangsa Malaysia, Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Masa Depan Politik Malaysia,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 21 23 Julai 2008.
Datuk Prof Madya Zainal Abidin Borhan dan Dr Muhd Saiful Haq Hussin, Bahasa
Melayu:Penggerak, Pemupuk dan Penterjemah Semangat Patriotisme ke arah Bangsa
Malaysia Yang Bersatu Padu, Kertas Kerja Simposium Bahasa Melayu: Ke Mana
Arahnya Dalam Merentasi Dunia Globalisasi, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme
Malaysia (IKSEP) & Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Hotel Avillion,
Melaka. 2008.
Rusli Abdul Ghani, Bahasa Melayu Bahasa Utama Dunia, Kertas Kerja Simposium
Bahasa Melayu: Ke Mana Arahnya Dalam Merentasi Dunia Globalisasi, Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) & Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah
Selatan, Hotel Avillion, Melaka. 2008.
Norazira Abdul Muhid, Kembalikan Martabat Bahasa Melayu, Akhbar Melaka Hari Ini,
5 November 2008.

You might also like