You are on page 1of 4

Rawatan awal autisme mampu memberi kehidupan lebih baik

kepada kanak-kanak
KEHIDUPAN kanak-kanak autistik memang misteri. Tiada siapa dapat membaca apa
yang berlegar dalam fikiran mereka, terutama apabila kanak-kanak istimewa ini mula
menunjukkan perangai pelik seperti berlagak pekak, menjadi terganggu dengan
perubahan kecil pada persekitaran dan mencederakan diri sendiri.
Kanak-kanak ini juga tidak berminat dan enggan menggunakan alat permainan, tidak
mahu bertentang mata dan tiada ekspresi muka apabila bercakap serta lebih suka
bermain sendiri. Di sebalik kekurangan ini, sesetengah kanak-kanak autisme
mempunyai bakat mengagumkan dalam seni lukis, muzik dan matematik.

Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan


sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta
menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang; biasanya berkaitan minat, aktiviti
dan perangai.

Masih ramai ibu bapa yang mempunyai anak autisme menyalahkan diri sendiri
kerana dianugerahkan anak sebegini. Ia bukan salah sesiapa kerana tiada siapa tahu
bagaimana atau kenapa autisme boleh berlaku.

Gangguan ini dipercayai berkaitan dengan ketidaknormalan pada beberapa bahagian


otak. Malah, saiz otak kanak-kanak autistik juga tidak sama seperti kanak-kanak
normal kerana ada yang lebih besar.

Masalah autisme boleh dikesan ketika bayi lagi. Bagaimanapun, biasanya ia hanya
disedari kebanyakan ibu bapa apabila anak mencapai usia tiga tahun.

Sehingga kini, belum ada cara untuk menyembuhkannya. Namun, autisme boleh
dirawat dan rawatan awal mampu memberi kehidupan lebih baik kepada kanak-
kanak ini.

Dianggarkan seorang bayi daripada 1,000 kelahiran mengalami autisme.


Bagaimanapun, ada kajian mengatakan kekerapannya antara dua hingga enam kes
bagi setiap 1,000 kanak-kanak. Kanak-kanak yang ada adik beradik autistik
mempunyai kebarangkalian lebih tinggi (dua hingga lima peratus) mendapat masalah
sama.

Autisme berlaku tiga hingga empat kali lebih kerap pada kanak-kanak lelaki
berbanding perempuan. Tahap serius autisme berbeza antara individu kerana
sesetengah kanak-kanak boleh membesar dan hidup berdikari, manakala segelintir
lagi sentiasa memerlukan bantuan sepanjang hayat.

Menurut Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC), Dr Nor


Hamidah Mohd Salleh, secara umumnya kanak-kanak autistik ada tiga masalah
utama iaitu:

a. Tidak mampu bersosial — Perkembangan sosial pesakit biasanya berlaku


sangat perlahan, menyebabkan mereka jauh ketinggalan berbanding rakan sebaya.
Selain itu mereka menunjukkan perlakuan sangat berbeza daripada normal seperti:
Tidak menghiraukan orang lain.
Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain.
Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap.
Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang).
Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran.
Lebih suka bermain sendiri.
Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi.

b. Tidak boleh bertutur dan berkomunikasi


Lambat bercakap.
Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang.
Tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
Bercakap dalam nada pelik — seperti menyanyi atau bercakap macam robot.
Sukar memulakan percakapan.
Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya.
Kanak-kanak autistik dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan
pertuturan mereka kedengaran seperti orang dewasa.

c. Mempunyai masalah dalam pemikiran dan perlakuan


Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan.
Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan.
Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda
kereta mainan berpusing.
Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi. Contohnya mereka berasa terganggu
apabila mendengar bunyi mesin pengisar dan menunjukkan perlakuan di luar
kawalan.
Menunjukkan pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang.
Sentiasa bergerak.

Masalah tingkah laku


Pada masa sama, kanak-kanak autisme ada masalah tingkah laku yang boleh
dibahagikan kepada empat jenis iaitu:
Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas
negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada
sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri.
Kumpulan pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan
keadaan baik dan buruk. Jadi mereka biasanya terbabit dalam masalah yang
dicetuskan orang lain.
Tidak tahu bersosial — jika melakukan kesalahan, ia sangat mudah dikesan.
Aktif tetapi berperangai pelik — kanak-kanak autistik jenis ini suka mendapatkan
perhatian orang lain dan biasanya mereka diejek atau dibuli kanak-kanak lain.

“Hampir 70 peratus kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal pada tahap
berbeza. Ini sebabnya proses pembelajaran mereka lebih lambat, ada masalah
berinteraksi, berkomunikasi dan tingkah laku.

“Kekurangan dialami kanak-kanak ini menyebabkan mereka tidak faham perasaan


orang lain, tiada usaha menggembirakan orang lain dan tidak pandai berinteraksi
secara spontan. Individu autistik sukar memahami keadaan persekitaran yang
menyebabkan mereka sukar terbabit secara langsung apabila bersembang.

“Tingkah laku yang suka mencederakan diri menandakan autisme teruk. Biasanya ia
berlaku jika IQ kanak-kanak berkenaan kurang daripada 20. Bagaimanapun ia boleh
dibantu dengan pengambilan ubat anti kemurungan,” katanya ketika seminar
pendidikan autisme anjuran GIMC.

Biasanya kanak-kanak autisme memilih satu bahasa pertuturan. Jika selesa


berbahasa Inggeris, mereka bertutur dalam bahasa berkenaan dengan sesiapa juga
dan ibu bapa disaran menggunakan bahasa pilihan anak ketika berinteraksi dengan
mereka.

Banyak faktor boleh mempengaruhi proses pembelajaran individu autisme iaitu:


Sejarah pendidikan — Rawatan dan pendidikan awal dapat memberi kesan lebih
baik. Ia membolehkan kanak-kanak autistik berdikari seperti kanak-kanak lain.
Bahkan sokongan dan kaedah penjagaan di rumah juga memberi pengaruh besar
kepada perkembangan individu ini.
Keadaan persekitaran — Bunyi, bau dan suasana yang tidak selesa mengganggu
proses pembelajaran. Akibatnya mereka sukar menerima apa yang diajar.
Perangai atau tabiat.
Darjah atau tahap autisme — sebahagian besar individu autisme ada masalah
terencat akal. Jadi pencapaian setiap orang berbeza. Ada yang boleh berdikari, tetapi
ramai juga memerlukan bantuan sepanjang hayat.

Setiap individu autistik ada pandangan sendiri terhadap kehidupan di dunia dan
penerimaan terhadap pandangan itu membolehkan kita, terutama ibu bapa,
memahami serta menangani perlakuan golongan istimewa berkenaan.

Seperti diterangkan di atas, masalah autisme boleh dikesan ketika bayi.


Perkembangan dan tumbesaran setiap bayi berbeza; ada yang cepat dan ada pula
lebih perlahan. Bagaimanapun di kalangan bayi autisme, perkembangan mereka
biasanya lambat 18 bulan.

Jika anak anda menunjukkan perkembangan terlalu perlahan, segera bawa berjumpa
doktor untuk dibuat pemeriksaan lanjut. Langkah ini membolehkan anak mendapat
rawatan dan pendidikan khas supaya mereka boleh membesar dengan baik.

Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:


Bayi tidak bercakap bahasa bayi seperti ‘ba ba atau ku ku’ ketika berumur 12
bulan.
Tidak membuat pergerakan bermakna seperti menunjuk ke satu arah pada umur
12 bulan.
Tidak boleh bercakap satu patah perkataan pun ketika berumur 16 bulan.
Tidak boleh bercakap ayat yang mengandungi dua patah perkataan apabila
berumur dua tahun.
Hilang kemahiran bahasa atau sosial pada sebarang umur.
Menangani anak autisme
Cabaran ibu bapa yang ada anak autistik memang besar kerana sukar untuk
memahami kelakuan anak. Gangguan tingkah laku kanak-kanak autisme juga
berbeza antara individu dan ibu bapa perlu belajar cara menanganinya.

“Apabila bercakap dengan anak, bercakaplah mengikut tahap pemikirannya.


Contohnya jika anak berusia 12 tahun, tetapi tahap pemikirannya mungkin sama
seperti kanak-kanak berumur lapan atau enam tahun.

“Pendekatan penting untuk membentuk perlakuan baik ialah meningkatkan


kefahaman anak terhadap kehidupan dan peranan mereka dalam dunia ini. Puji anak
apabila mereka berkelakuan baik kerana ada kanak-kanak sengaja buat perangai
hanya untuk mendapatkan perhatian.

“Jangan hukum anak apabila mereka buat perangai, sebaliknya gunakan pendekatan
lebih positif. Contohnya dengan mengalihkan perhatian, melakukan aktiviti digemari
atau melengahkan memberi apa yang diminta. Kalau semua kaedah tidak berjaya
dan anak masih mengamuk, biarkan seketika hingga perasaan mereka reda,”
katanya.

Mendidik anak autistik memerlukan kesabaran tinggi. Ada kanak-kanak yang meniru
setiap perlakuan atau kata-kata ibu bapa. Jika anda berdepan masalah begini, anda
boleh mengajar anak melalui mimik muka.

Jika marah, buat mimik marah. Cara ini sebenarnya sangat berkesan kerana ia bukan
saja mengajar anak belajar mengenali ekspresi wajah, bahkan menimbulkan suasana
pembelajaran tidak langsung yang lebih positif.

Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak terhindar daripada rangsangan yang
boleh menyebabkan mereka terganggu untuk mengelakkan tindak balas atau
kelakuan yang tidak diingini. Antaranya ialah:
Pastikan anak anda sentiasa berasa selesa. Kadangkala pakaian, kasut dan
persekitaran boleh menyebabkan mereka berasa terganggu.
Elakkan kaedah konfrontasi (pertentangan dan perselisihan) yang boleh
merangsang perlakuan tidak diingini.
Pastikan anak tahu sesetengah tindak balas yang boleh diterima apabila berdepan
satu-satu keadaan.
Ajar anak cara berkomunikasi yang boleh diterima dan mereka tahu komunikasi
berkenaan difahami orang lain.
Ajar anak untuk mengenal satu-satu keadaan supaya mereka tahu apa perlu
dilakukan mengikut masa, tempat, cara dan apa bakal terjadi selepas itu.

“Paling penting, ibu bapa atau penjaga perlu menjaga diri supaya tidak tertekan.
Dapatkan bantuan dan sokongan sama ada daripada ahli keluarga, ibu bapa lain atau
doktor.

“Luangkan masa untuk diri sendiri supaya anda lebih kuat dan tabah untuk mendidik
anak.

“Terima kehadiran anak dengan hati terbuka. Saya percaya Allah memberi ujian yang
setanding dengan kekuatan hati dan minda kita untuk menanganinya,” katanya.

You might also like