You are on page 1of 10

RINGKASAN EKSEKUTIF

Agenda Negara merealisasikan Wasasan 2020 melalui Misi Nasional menuntut warga
pendidik menggalas tugas dan tanggungjawab yang berat dalam membina modal insan
gemilang berminda kelas pertama menerusi kecemerlangan pendidikan, sebagaimana
yang digariskan dalam objektif PIPP. Dalam merealisasikan objektif PIPP ini, guru
perlu mengamalkan sikap dedikasi yang tinggi dalam semua bidang pendidikan iaitu
Kurikulum, Kokurikulum, dan Hal Ehwal Murid (HEM). Tanggungjawab yang berat ini
menuntut warga pendidik menanamkan minat dan komitmen yang mendalam serta
mengamalkan nilai-nilai murni dan etika kerja yang juga berkelas pertama. Guru
juga harus bersedia mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam
menghasilkan kerja yang berkualiti. Dalam masa yang sama guru juga perlu sentiasa
memperkayakan diri dengan kemahiran dan keperibadian yang tinggi, mengamalkan
sikap terbuka, mengikuti perkembangan ilmu dan bersedia menerima setiap perubahan
yang dibawa oleh arus sains dan teknologi. Pendek kata guru adalah pemimpin dengan
keperibadiannya yang terpuji. Guru juga perlu bersedia melakukan anjakan paradigma
untuk menyuntik nilai tambah dan menguasai ilmu dalam memantapkan
profesionalismenya. Dengan ini guru akan mendahului murid dalam pelbagai aspek
pendidikan. Kertas kerja ini menfokus kepada cara bagaimana saya mengamalkan nilai
dedikasi dalam melaksanakan tugas sebagai seorang guru bagi meningkatkan kualiti
pendidikan dan seterusnya melahirkan modal insan gemilang berminda kelas pertama
melalui aktiviti-aktiviti Kurikulum, Kokurikulum dan HEM. Kertas kerja ini juga
membincangkan bagaimana saya melakukan anjakan paradigma dan menjadikan diri
sebagai “role model” yang unggul kepada murid-murid dalam merealisasikan objektif
PIPP, Misi Nasional dan Wawasan 2020.
1.0 PENGENALAN

Malaysia berazam untuk menjadi sebuah negara maju yang teguh, bersatu dan utuh
mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020 (Wawasan 2020). Bagi mencapai
matlamat tersebut, kerajaan telah merangka satu pelan pelaksanaan yang dinamakan
Misi Nasional (MN). MN ini menetapkan “pembangunan modal insan berminda kelas
pertama” sebagai satu daripada teras perdananya. Ini menunjukkan pendidikan
merupakan satu elemen utama bagi menjayakan MN ini.

Pendidikan berperanan penting dalam membangunkan modal insan berminda kelas


pertama. Selaras dengan itu, salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk
membangunkan satu sistem pendidikan yang berwibawa dan bertaraf dunia yang
menumpukan kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran yang
mampu bersaing di pasaran kerja global serta bersifat menyeluruh, progresif,
bermoral dan beretika tinggi yang dapat mengisi keperluan negara maju menjelang
2020 (Haili, 2008). Bagi menjayakan agenda tersebut, Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) telah menyediakan satu pelan khas yang dinamakan “Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan” (PIPP) 2006-2010. PIPP merupakan satu dokumen perancangan
pembangunan pendidikan yang bersepadu, komprehensif dan menyeluruh yang
menggariskan fokus, strategi utama dan pelan pelaksanaan untuk menjadikan
pendidikan negara relevan dengan keadaan semasa dan masa hadapan.

Cabaran membina modal insan berkualiti mengikut agenda PIPP sebahagian besarnya
terletak di bahu guru-guru. Untuk mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia yang
mampu melahirkan modal insan berminda kelas pertama, negara memerlukan guru-guru
yang cemerlang. Guru yang cemerlang mempunyai minat yang penuh terhadap tugasnya,
cemerlang akademiknya, teguh pegangan agamanya serta sentiasa mengamalkan nilai-
nilai murni yang terkandung dalam Tonggak Dua Belas yang menjadi teras Etika Kerja
Perkhidmatan Awam (EKPA) (Mohd Fuad, 2008a). Penghayatan nilai-nilai murni yang
terkandung dalam EKPA oleh warga pendidik akan menjamin mereka melaksanakan
tugas tanpa berbelah bahagi serta penuh berdisiplin dan bertanggungjawab mengikut
norma, etiket sosial dan budaya masyarakat, demi menjamin segala aktiviti
kehidupan dan pengurusan organisasi dapat dijalankan dengan sistematik serta
berkesan tanpa sebarang kesilapan dan penyelewengan, di samping meningkatkan
produktiviti dan kualiti perkhidmatan (Mok, 2008). Dedikasi merupakan salah satu
daripada nilai murni dalam EKPA yang mesti diamalkan oleh guru. Kertas kerja ini
akan menfokuskan kepada nilai dedikasi yang saya amalkan semasa menjalankan tugas
bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

2.0 DEFINISI KONSEP

2.1 Dedikasi

Dedikasi bermaksud rela mengorbankan tenaga pada bila-bila masa, demi menghasilkan
kerja yang berkualiti (Mok, 2008) atau pengabdian diri, masa dan tenaga
sepenuhnya kepada sesuatu tujuan tertentu (Kamus Dewan, 2005). Dedikasi merupakan
satu keperibadian yang mulia dan tinggi martabatnya yang sepatutnya dimiliki oleh
setiap insan.

2.2 Kualiti Pendidikan

Kualiti ialah darjah kecemerlangan yang tinggi mutu (Kamus Dewan, 2005). Dato’ Dr.
Hj. Ahamad bin Sipon, Ketua Pengarah KPM dalam Perutusan Hari Guru 2005
menyatakan, "kualiti merupakan sesuatu yang subjektif dan ia merujuk kepada darjah
kecemerlangan, mutu atau sifat keunggulan. Dalam membangunkan pendidikan
berkualiti dan bertaraf dunia supaya negara kekal kompetitif di persada
antarabangsa maka kualiti perlu dibudayakan dalam sistem pendidikan negara secara
berterusan dan menyeluruh". Pendidikan ialah perbuatan mendidik (Kamus Dewan,
2005). Pendidikan merupakan satu proses memupuk dan memperkembangkan seluruh
potensi manusia iaitu jasmani, emosi, rohani, dan intelek (JERI) (Wan Mohd
Zahid, 1993). Oleh itu, kualiti pendidikan boleh didefinisikan sebagai mutu atau
keunggulan proses bimbingan secara sedar oleh guru terhadap perkembangan JERI
orang yang dididik, yang menghala ke arah mencapai matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). FPK menjadi indikator kepada kualiti pendidikan yang dicitakan.

3.0 AMALAN DEDIKASI DALAM MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN

Meningkatkan kualiti pendidikan menjadi cabaran utama kepada guru-guru. Guru perlu
berkeupayaan untuk melahirkan modal insan yang perkasa dari aspek ilmu pengetahuan
dan kemahiran dan mampu bersaing di peringkat global. Ini menuntut guru menjadi
seorang yang dinamik, proaktif dan sentiasa mempunyai iltizam untuk menjayakan
tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi dalam semua aktiviti pendidikan seperti
bidang kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid (HEM) dan pembinaan sahsiah murni
yang sejagat. Bidang kurikulum melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P)
merupakan medium utama dalam menghasilkan pendidikan bermutu. Kualiti pendidikan
turut dimantapkan oleh aktiviti kokurikulum. Ia diteguhkan lagi dengan anjakan
paradigma para guru serta penglibatan aktif mereka dalam program-program yang
dirancangkan di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) atau KPM.
Dalam memberikan pendidikan berkualiti secara berterusan kepada murid-murid,
para guru yang merupakan medium perantara utama dalam aktiviti-aktiviti
pendidikan haruslah sentiasa komited serta berdedikasi dalam menjayakan semua
aktiviti pendidikan. Oleh sebab itu, saya sebagai guru turut mengamalkan sikap
komited dan nilai dedikasi dalam tugas saya supaya mampu menghasilkan produk yang
berkualiti iaitu modal insan yang berminda kelas pertama serta bermentaliti
futuristik.

3.1 Bidang Kurikulum

Kurikulum adalah satu program yang mengandungi aktiviti-aktiviti P&P yang disusun
oleh guru untuk membolehkan murid-murid mencapai objektif yang ditentukan (Mok,
2008). Pengajaran ialah satu proses mengajar yang melibatkan aktiviti menerang,
menyoal, mendengar, menjawab serta menggalakkan sesuatu. Pembelajaran pula
dikatakan telah berlaku sekiranya kebolehan murid telah meningkat di antara dua
masa yang berlainan. Guru harus menyediakan strategi serta perancangan P&P yang
mengintegrasikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dengan teknik-teknik
penyampaian tertentu, serta penggunaan bahan dan aktiviti yang boleh mewujudkan
iklim P&P yang kondusif, bermakna dan berkesan untuk meningkatkan kecemerlangan
dan kualiti pendidikan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1990).

Sebagai menyahut seruan PPK tersebut saya mengamalkan pedagogi berkualiti melalui
kepelbagaian pendekatan, kaedah mahupun teknik agar proses P&P berjalan dengan
lancar, berkesan dan mampu menarik minat murid-murid untuk belajar. Saya sentiasa
berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kualiti pendidikan dengan mengorbankan
masa dan tenaga dalam membuat perancangan P&P yang rapi dan persediaan yang
mencukupi sebelum mengajar serta mengaplikasikan pelbagai Alat Bantu Mengajar
(ABM) dan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran.
Prof. Dr. Mohd Yusof Othman, Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, "dengan membuat persediaan rapi, seseorang
guru akan lebih yakin untuk berdepan dengan pelajarnya.” (Mohd Fuad Razali,
2008b). Saya juga sentiasa kreatif dalam menarik minat murid-murid untuk belajar
dengan turut menyelitkan unsur kecindan dalam pengajaran supaya mereka tidak
bosan dan P&P yang kondusif terhasil. Pelbagai kaedah pengajaran berpusatkan
pelajar seperti Kajian Luar, Inkuiri-Penemuan, Sumbang Saran, Pembelajaran Masteri
dan Konstruktivisme diaplikasikan untuk merangsang perkembangan minda murid ke
tahap tertinggi bagi mencapai objektif P&P dan seterusnya membolehkan murid
menguasai ilmu yang dipelajari. Dedikasi saya dalam mempelbagaikan kaedah P&P ini
memberi ruang kepada murid-murid untuk meningkatkan keupayaan kognitif mereka
seperti membuat analisis, sintesis dan penilaian serta melatih murid-murid untuk
berdikari, bersikap berani dan membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran
baru dalam situasi yang berlainan pada masa hadapan.

Sebagai contoh, saya sebagai guru Geografi STPM tanpa gagal telah
menganjurkan P&P melalui kaedah Kajian Luar. Terbaru, saya telah menganjurkan
kajian luar untuk murid-murid Geografi STPM di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.
Melalui kajian luar ini murid-murid didedahkan kepada persekitaran sebenar untuk
mengukuhkan kefahaman mereka tentang teori yang telah dipelajari di bilik darjah.
Saya memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan aktiviti ini dengan memohon
kebenaran daripada beberapa agensi kerajaan, membuat tinjauan awal ke lokasi
kajian dan menguruskan penginapan serta makan minum murid sepanjang masa kajian
diadakan. Kesemua itu dilakukan di luar waktu bekerja serta menggunakan
perbelanjaan sendiri. Bagi mengurangkan beban kewangan murid, saya turut berusaha
mendapatkan tajaan bagi merealisasikan kajian lapangan itu. Usaha saya ini,
selaras dengan pernyataan yang terkandung dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah
iaitu guru merupakan penggerak utama yang boleh mendorong murid secara langsung
untuk meningkatkan perkembangan intelek. Hasilnya, program ini telah menjadi
program prototaip kepada guru-guru lain kerana didapati ianya mampu merangsang
serta mengukuhkan kualiti pengetahuan murid-murid. Hasil dedikasi saya ini juga
telah memperlihatkan bahawa murid-murid saya lebih memahami konsep-konsep yang
dipelajari di dalam bilik darjah dan mereka berjaya mengaplikasikannya ketika
menjawab soalan-soalan peperiksaan. Program kajian lapangan seperti ini tidak akan
terlaksana serta tidak mencapai matlamat jika saya sebagai guru tidak komited dan
tidak bersedia berkorban masa, tenaga dan kewangan dalam merancang dan
melaksanakannya.

Sebagai guru yang mementingkan kecemerlangan akademik murid, saya sentiasa


berusaha mendapatkan informasi tambahan berkaitan subjek yang saya ajar melalui
pelbagai sumber untuk menambah baik kualiti pendidikan. Saya turut menggunakan
kemudahan TMK untuk menarik minat murid dalam proses P&P. Informasi tambahan yang
saya perolehi daripada internet misalnya akan dicetak, dibuat salinan dan
diedarkan kepada murid-murid sebagai rujukan tambahan. Saya turut membina pelbagai
ABM seperti peta, carta, graf dan rajah bagi memudahkan murid-murid memahami
pengajaran serta membolehkan mereka lebih fokus dalam pembelajaran. Hasilnya, daya
kreativiti dan imaginasi murid akan meningkat dan natijahnya terhasil modal insan
yang cemerlang seperti yang diharap-harapkan.

Saya juga melakukan inisiatif dalam mewujudkan bank soalan dengan mengumpul
soalan-soalan ujian, peperiksaan dalaman dan peperiksaan awam untuk dijadikan
panduan dalam menyediakan rancangan P&P dengan memberi lebih fokus kepada topik-
topik popular dalam peperiksaan. Selain itu, saya sentiasa proaktif dalam
menjayakan pelbagai program khas yang kebiasaannya dijalankan di luar waktu
persekolahan untuk meningkatkan kecemerlangan murid. Antaranya ialah menjayakan
kelas bimbingan tambahan pada waktu malam serta pada setiap cuti pertengahan
penggal, melaksanakan Projek “Aim All A’s” (Q3A) untuk calon Penilaian Menengah
Rendah yang berpotensi mencapai keputusan cemerlang dan membawa murid-murid kelas
Pengajian Am ke Parlimen untuk melihat perjalanan perbahasan Dasar-Dasar Negara di
Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Segala inisiatif, kreativiti dan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan
kewangan seperti dinyatakan di atas merupakan manifestasi dedikasi dalam
melonjakkan kualiti pendidikan anak didik dan sekolah saya. Lonjakan kualiti
pendidikan ini terzahir melalui pencapaian cemerlang murid-murid saya dalam
peperiksaan. Setiap tahun peratus kelulusan murid di bawah bimbingan saya dalam
mata pelajaran Pengajian Am dan Geografi STPM sentiasa melepasi peratus kelulusan
peringkat negeri dan kebangsaan.

3.2 Bidang Kokurikulum

Kokurikulum atau kurikulum tambahan melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan


di luar waktu P&P (Mok, 2008) dan melibatkan penyertaan semua murid dan guru
(Surat Pekeliling Iktisas, 2000). Aktiviti kokurikulum diiktiraf sebagai
sebahagian daripada proses pendidikan. Oleh itu, ia harus dirancang, diurus dan
dilaksanakan secara sistematik, cekap dan efektif seperti proses P&P. Pengorbanan
guru dengan menyumbangkan masa dan tenaga dalam melaksanakan aktiviti kokurikulum
di luar waktu persekolahan menuntut komitmen dan dedikasi yang tinggi. Hal ini
selari dengan saranan Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman, Presiden Himpunan Lepasan
Institusi Pengajian Tinggi Malaysia bahawa "guru perlu sentiasa menggunakan masa
dan tenaganya dengan cara berkesan sama ada sewaktu di sekolah mahupun selepas
waktu persekolahan" (Mohd Fuad, 2008a).

Saya turut memainkan peranan yang proaktif dan menyumbang tenaga dalam
melaksanakan aktiviti kokurikulum sama ada di peringkat sekolah, daerah atau
negeri tanpa mengira waktu, tenaga dan ganjaran. Di peringkat sekolah, saya
berperanan sebagai perancang, pembimbing, pengurus dan jurulatih kepada pasukan
bola sepak sekolah. Latihan dijalankan sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari
Selasa, Khamis dan Sabtu bermula pada jam 4.30 petang dan berakhir pada jam 6.30
petang. Adakalanya perlawanan persahabatan diadakan pada hari-hari cuti dan hujung
minggu untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan dalam situasi
perlawanan sebenar. Masa yang saya peruntukan untuk menjayakan aktiviti
kokurikulum ini adalah melebihi waktu yang ditetapkan oleh KPM supaya aktiviti
latihan bola sepak yang saya jalankan dapat menghasilkan impak yang berkesan
kepada pasukan. Sepanjang tempoh saya menjadi guru sukan bola sepak, saya telah
membantu pasukan sekolah mencapai kejuaraan di peringkat daerah dan negeri.
Contohnya pada tahun ini, pasukan bola sepak SMK Tinggi Kajang (SMKTK) telah
menjuarai Kejohanan Bola Sepak Peringkat Daerah Hulu Langat dan Kejohanan
Peringkat Negeri Selangor bagi kategori umur 15 tahun dan ke bawah. Beberapa murid
bimbingan saya terpilih mewakili pasukan Selangor seperti dalam pertandingan Bola
Sepak Juara Sekolah-Sekolah 100 Plus dan pasukan Kebangsaan kategori umur bawah
15 tahun ke Pertandingan Peringkat Negara-Negara Asia Tenggara di Vietnam.
Kejayaan ini menjadi penawar yang paling mujarab terhadap pengorbanan, komitmen
dan dedikasi yang telah saya berikan serta membawa konotasi bahawa nilai dedikasi
yang saya terapkan dalam aktiviti kokurikulum telah menjulang kecemerlangan dan
kualiti pendidikan murid-murid saya khasnya yang merangkumi aspek-aspek jasmani
dan sahsiah.

Semenjak tahun 2005, SMKTK telah mengadakan Temasya Sukan Tahunan (TST) di pusat-
pusat sukan di luar kawasan sekolah seperti di Stadium UKM dan di Stadium Majlis
Perbandaran Kajang. Pemilihan lokasi luar bertujuan untuk memberi peluang kepada
murid bertanding di trek olahraga sebenar yang dilengkapi alatan terkini dengan
harapan ianya akan dapat meningkatkan kecemerlangan murid dalam bidang sukan.
Perancangan TST tersebut dilakukan selama beberapa minggu dan pastinya memerlukan
komitmen dan dedikasi yang tinggi daripada para guru. Ini kerana seringkali
mesyuarat dan perbincangan dalam merencanakan TST tersebut berlarutan melepasi
waktu bekerja dan TST tersebut turut dikelolakan oleh para guru sendiri. Sebagai
Ahli Jawatan Kuasa Teknikal TST tersebut, saya sendiri telah menyumbangkan banyak
tenaga dan masa dalam merencana dan mengelolakan TST ini. Hasilnya, program ini
dijayakan dengan lancar dan telah menarik minat lebih ramai murid untuk turut
serta dalam TST berbanding dengan TST yang dijalankan di padang sekolah. Murid-
murid turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam sukan pada Kejohanan Olahraga
Sekolah Daerah Hulu Langat. Lebih membanggakan beberapa orang murid turut terpilih
mewakili Daerah Hulu Langat dalam Kejohanan Olahraga antara Sekolah-Sekolah
Selangor dan berjaya mewakili Selangor dalam Kejohanan Olahraga antara Sekolah-
Sekolah Malaysia.

3.3 Bidang Hal Ehwal Murid (HEM)

Pengurusan HEM merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Antara aktiviti yang
dikendalikan di bawah HEM adalah (i) memupuk disiplin dalam kalangan murid, (ii)
memberi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kepada murid, (iii) meningkatkan
pengetahuan, kefahaman dan kemahiran murid supaya dapat mengelakkan diri daripada
terjebak dengan dadah, (iv) memastikan kebajikan dan keselamatan murid ketika di
sekolah dan semasa menjalankan aktiviti pendidikan yang diluluskan di luar sekolah
dan (v) meningkatkan keselamatan dan keceriaan di sekolah supaya kondusif untuk
aktiviti pendidikan. Aktiviti HEM yang tidak dikendalikan dengan baik akan
mencacat dan menjejaskan perjalanan dan prestasi sekolah. Oleh itu, prinsip dan
strategi dalam pengurusan HEM amat mustahak demi mencapai keberkesanan sesuatu
program khususnya untuk membina sahsiah pelajar. Sebagai guru, saya turut
bertanggungjawab dan sentiasa komited dan berdedikasi untuk membantu pihak
pentadbir dalam memainkan peranan sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang,
pemudah cara, penyelaras, pengawal, penawar dan kaunselor dalam membantu
perkembangan diri murid supaya berfungsi sebagai individu yang seimbang dan
harmonis sejajar dengan FPK.

Pembentukan disiplin di sekolah dilihat sama pentingnya dengan penyebaran ilmu


pengetahuan. Disiplin dibentuk bukan sahaja untuk mengawal murid-murid daripada
melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang, norma, kebudayaan dan akhlak
masyarakat, tetapi juga untuk menanamkan nilai-nilai murni dalam diri mereka.
Dalam konteks perkembangan pendidikan, proses P&P tidak boleh berjalan dengan
licin dan teratur jika disiplin murid tidak baik (Robiah dan Ahmad Nadri, 1991).
Ini kerana pencapaian seseorang murid dalam sesuatu bidang baik kurikulum mahupun
kokurikulum bergantung kepada tahap disiplin murid itu sendiri. Oleh itu, badan
disiplin sekolah harus bergerak secara aktif, terancang dan sistematik. Sebagai
salah seorang AJK Disiplin saya sentiasa berusaha memastikan yang murid-murid di
sekolah saya sentiasa berdisplin dan mematuhi segala peraturan sekolah. Contohnya,
pada setiap perhimpunan harian saya akan membuat pemeriksaan aspek kekemasan diri
murid. Murid-murid yang tidak berpakaian kemas atau berambut panjang akan
dikumpulkan selepas perhimpunan dan diberi amaran supaya memperbetulkan kesalahan
mereka. Pada setiap waktu senggang, saya membuat pemeriksaan rambang dari kelas
ke kelas untuk mengesan bahan-bahan larangan seperti bahan lucah, rokok atau
telefon bimbit yang mungkin dibawa oleh murid ke sekolah. Saya juga membuat
rondaan di setiap pelosok sekolah untuk memastikan tiada murid yang ponteng kelas
atau melakukan aktiviti tidak sihat seperti merokok, bergaduh dan merosakkan harta
benda sekolah.

Saya turut bertanggungjawab dalam menganjurkan kem motivasi untuk murid-murid yang
bermasalah disiplin. Kem motivasi seperti ini bertujuan untuk memberi kesedaran
kepada murid-murid yang bermasalah ini bahawa antara teras utama kejayaan ialah
disiplin diri. Pada tahun 2007 contohnya, murid-murid bermasalah disiplin telah
mengikuti Program Mendaki Gunung Nuang selama dua hari di Hulu Langat, Selangor.
Antara nilai yang dipelajari mereka melalui program tersebut ialah “perkara yang
sukar sekalipun pasti dapat dicapai dengan kesungguhan, usaha yang gigih tanpa
mengenal putus asa dan disiplin diri”. Jelas sekali, tanggungjawab mendisiplinkan
murid-murid adalah amat mencabar dan memerlukan komitmen serta pengorbanan masa
dan tenaga yang berterusan dari saya sebagai guru dan ianya dilakukan dalam usaha
saya memastikan yang murid-murid mendapat bimbingan yang sewajarnya sebagai
persediaan menghadapi dunia luar yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Saya turut diberi tanggungjawab oleh pihak pengurusan sekolah untuk membimbing
Badan Pengawas sekolah yang peranan utamanya adalah membantu guru mengawasi
disiplin murid. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai guru
pembimbing Badan Pengawas ialah mengadakan mesyuarat Unit Disiplin untuk memilih
Pengawas, menyusun tugas-tugas Pengawas, mengadakan perbincangan dengan
pengawas-pengawas dari semasa ke semasa dan merencanakan aktiviti-aktiviti
Pengawas. Dalam usaha untuk memupuk ciri-ciri pemimpin yang berwibawa, membentuk
semangat berpasukan dan membina jati diri yang tinggi dalam kalangan pengawas
sekolah agar menjadi contoh teladan kepada murid lain dan melicinkan lagi
perjalanan tugas mereka, saya dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling telah
menganjurkan Kursus Kepimpinan Pengawas pada setiap tahun. Contohnya, Kem
Kepimpinan Pengawas 2007 telah diadakan di Sungai Congkak, Hulu Langat dan Kursus
Kepimpinan Pengawas 2008 telah diadakan di Kolej PTPTL Shah Alam, Selangor. Dalam
kursus ini pengawas didedahkan dengan aktiviti pembentukan sahsiah diri, membina
keyakinan diri dan membentuk kerjasama dalam kumpulan seperti yang dikehendaki
dalam menguruskan organisasi yang cemerlang. Kursus-kursus yang dijalankan telah
dilangsungkan dengan lancar dan berjaya mencapai matlamat.

Saya turut memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi terhadap aktiviti-aktiviti
HEM yang lain seperti menjadi AJK Pelaksana Hari Anugerah Kecemerlangan Murid dan
Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum. Saya turut memikul tanggungjawab sebagai
AJK Pelaksana Majlis Graduasi Pelajar-Pelajar Tingkatan Enam Atas yang bertujuan
memotivasikan murid Tingkatan Enam Atas untuk mencapai kecemerlangan dalam STPM.
Adakalanya saya membuat lawatan ke rumah murid-murid yang telah tidak hadir ke
sekolah untuk satu jangka waktu yang lama tanpa sebab. Lawatan seperti ini
bertujuan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit. Jika
perlu, bantuan yang sepatutnya akan diberikan untuk membolehkan murid terbabit
bersekolah dan belajar seperti biasa.
Rumusannya, tugas mendidik amatlah berat dan penglibatan proaktif saya dalam
aktiviti-aktiviti HEM menuntut saya menjadi seorang guru benar-benar komited,
amanah, jujur dan sanggup bekerja keras tanpa mengira masa, tenaga dan wang
ringgit untuk memastikan segala perancangan pendidikan murid-murid dapat
dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan berkualiti. Hasil pelaksanaan pelbagai
program Unit HEM dapat dilihat dari segi peningkatan tahap disiplin murid melalui
pengurangan kes salah laku disiplin dari tahun ke tahun dan tahap moral dan
motivasi murid-murid yang tinggi. Nyatanya, program-program yang dirancang berjaya
membentuk sahsiah dan menanam budaya cinta akan sekolah dan ilmu pengetahuan dalam
kalangan murid.

3.4 Anjakan Paradigma dalam Ilmu Pengetahuan dan Kemahiran

Paradigma adalah dari perkataan Greek "paradeigma" yang membawa maksud model,
bentuk atau contoh. Anjakan paradigma pula merupakan peralihan daripada satu
situasi kepada situasi yang baru, biasanya lebih baik (Barker, 1993). Setiap guru
perlu sentiasa melakukan anjakan paradigma dari aspek keupayaan, keilmuan,
kemahiran dan pengalaman mereka agar dapat memperkembang dan memantapkan potensi
serta profesionalisme mereka untuk melahirkan murid-murid berkualiti yang berminda
kelas pertama. Guru tidak boleh berpuas hati dan berada di zon yang selesa
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimilikinya dan tidak harus terikat
dengan rutin yang sama saban hari. YAB Perdana Menteri dalam ucapannya sempena
Hari Buruh 2006 menyatakan "Rakyat sebagai modal insan perlu terus memperkasakan
diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membudayakan semangat pendidikan
sepanjang hayat. Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu
pengetahuan dan kemahiran-kemahiran terkini dan ditunjangi pula dengan nilai-nilai
murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati budaya kerja
berprestasi tinggi" (Utusan Malaysia, 2006). Selaras dengan saranan YAB Perdana
Menteri ini, saya sentiasa memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan dan
kemahiran profesionalisme dengan menerima dengan ikhlas apa saja tugasan dan
lantikan di peringkat sekolah, daerah dan juga negeri dengan tujuan
mempertingkatkan ilmu dan kemahiran saya demi memenuhi tuntutan pendidikan masa
kini dan akan datang

Anjakan paradigma saya dari aspek keilmuan diterjemahkan melalui komitmen dan
dedikasi saya dalam meningkatkan penguasaan ilmu khususnya dalam bidang dan subjek
yang diajar secara berterusan melalui pembacaan. Prof. Dr. Mohd Yusof Othman
menegaskan bahawa, “antara pola-pola utama yang perlu ditanam di dalam diri
pelajar dan pendidik ialah budaya membaca selain budaya belajar, dan budaya
berfikir". Sebagai guru yang mengajar murid prauniversiti, saya sentiasa perlu
peka dengan perkembangan isu-isu semasa. Sehubungan itu saya mengorbankan
sebahagian pendapatan untuk membeli bahan-bahan bacaan bercorak ilmiah dan
motivasi seperti majalah Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik, Ehwal Pendidikan dan
Times.

Saya turut memperkayakan pengetahuan dengan menonton rencana-rencana yang


berkaitan dengan pendidikan. Saya dapat merealisasikannya dengan melanggan
saluran televisyen berbayar yang menayangkan rancangan-rancangan berinformasi
seperti National Geography, Discovery dan pelbagai lagi rancangan bercorak
dokumentari. Saya turut mempunyai akses kepada internet di rumah untuk memudahkan
saya mendapatkan rencana-rencana berkaitan pendidikan dari seluruh dunia secara
‘online’. Akses internet juga membolehkan saya melayari laman-laman ‘web’ sekolah-
sekolah yang berprestij dan cemerlang untuk melihat program pendidikan sekolah-
sekolah tersebut dan jika sesuai akan dilakukan inovasi dan diaplikasikan kepada
murid-murid saya. Saya juga sering berdiskusi dan bertukar-tukar idea dan pendapat
tentang pelbagai isu dengan rakan-rakan setugas untuk menambahkan lagi pengetahuan
dan keberkesanan dalam proses penyampaian maklumat kepada murid. Perkongsian
maklumat dengan murid-murid menjadikan P&P saya lebih menarik dan meninggalkan
impak kepada mereka apabila keputusan peperiksaan semakin meningkat.

Sebagai guru, saya sendiri tidak jemu belajar dan memperbaiki diri. Ini saya
terjemahkan melalui perancangan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana
menggunakan perbelanjaan sendiri. Saya turut menghadiri bengkel dan kursus
seperti "Bengkel Membina Modul P&P Geografi STPM dan Menyediakan Set Soalan
Latihan" di Genting Highlands anjuran JPN Selangor dan "Kursus Pemantapan
Pengajaran Pengajian Am" anjuran Panitia Pengajian Am Daerah Hulu Langat. Sebagai
usaha dan dedikasi saya untuk menambah ilmu pengetahuan walaupun harus
mengorbankan cuti hujung minggu, saya komited menghadiri bengkel dan kursus
tersebut dalam usaha memastikan yang saya sentiasa beranjak ke tahap yang lebih
baik dan berada jauh di hadapan murid-murid saya dari aspek ilmu pengetahuan dan
kemahiran kerana guru adalah "sumber" ilmu kepada murid-murid.

Anjakan paradigma dalam bidang kokurikulum sukan saya laksanakan melalui


penambahbaikan kemahiran saya dalam aspek kejurulatihan. Contohnya, saya telah
mengikut Kursus Asas Kejurulatihan Bola Sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Daerah
Hulu Langat dan Kursus Asas Jurulatih Olahraga kendalian Majlis Sukan Negara.
Tugas saya membimbing pasukan bola sepak sekolah membuatkan saya terpanggil
melibatkan diri dengan pasukan bola sepak Persatuan Sukan Kakitangan Perkhidmatan
Pendidikan Daerah Hulu Langat dan Negeri Selangor. Pengalaman dan ilmu dalam
kejurulatihan sukan bola sepak dan olahraga yang diperolehi mampu menjadi unsur
nilai tambah untuk saya melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan lebih berkesan
dan mampu menjadikan murid-murid saya ahli sukan yang berjaya hingga ke peringkat
antarabangsa.

Saya turut mempertingkatkan keterampilan saya sebagai guru disiplin dengan


menghadiri Kursus Pengurusan Disiplin Murid di Langkawi anjuran PPD Hulu Langat
selama seminggu pada Disember 2005. Saya yakin bahawa penambahbaikan ilmu dan
kemahiran dalam kalangan warga pendidik akan dapat melonjak kualiti pendidikan ke
taraf dunia untuk menjayakan MN dan Wawasan 2020.

3.5 Keperibadian Guru

Ketua Pengarah KPM, Y. Bhg Dato’ Abdul Shukor Abdullah berkata dalam perutusan
Hari Guru 1999 bahawa "guru-guru perlu menyampaikan ilmu pengetahuan secara
berkesan, menjadi pembimbing yang dihormati dan memastikan diri masing-masing
dapat dijadikan contoh kepada pelajar. Oleh itu pada setiap masa para guru
hendaklah menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia dan berwawasan
sebagai pendidik unggul" (Hamzah, 2003).

Keperibadian guru sendiri mampu menjadi faktor kepada peningkatan kualiti


pendidikan kerana seringkali murid menjadikan guru sebagai model mereka. Saya
sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan menjaga sahsiah serta keterampilan diri
agar sentiasa dihormati oleh murid selain dapat mengelakkan persepsi negatif
daripada murid-murid. Nilai-nilai murni seperti bertanggungjawab, berdisiplin,
menepati waktu, ikhlas, cekap, rajin, jujur dan tidak pilih kasih sentiasa menjadi
amalan saya selari dengan konsep “Kepimpinan Melalui Teladan”.

Sehubungan dengan itu saya memastikan saya sentiasa masuk ke kelas menepati waktu.
Sekiranya saya perlu menghadiri kursus atau urusan rasmi di luar sekolah , saya
akan menyediakan tugasan yang perlu diselesaikan oleh murid-murid semasa ketiadaan
saya. Langkah ini dapat mengelakkan murid daripada membuang masa semasa ketiadaan
guru sebaliknya mereka masih memperoleh manfaat pembelajaran melalui tugasan yang
disediakan. Saya juga sentiasa berpakaian kemas dan berkomunikasi dengan penuh
hemah dengan murid mahupun dengan guru-guru lain. Saya juga sentiasa menunjukkan
rasa hormat dan bertimbang rasa kepada murid-murid. Pendek kata, saya memainkan
peranan sebagai mentor dalam mendidik, mendorong, membimbing, membina keyakinan
diri serta membentuk akhlak mulia dalam kalangan murid. Saya tidak pernah
melepaskan peluang untuk menyertai siri perkembangan staf yang dianjurkan oleh
pihak pengurusan sekolah bagi memotivasikan diri agar terus berkhidmat dengan
penuh dedikasi dan cemerlang. Menurut Prof. Sidek Baba, "pendidik sentiasa
menghubungkan kerjanya untuk mendapat keredhaan Allah. Hasilnya ia menjadi
cemerlang dan merasakan kerja mendidik manusia adalah amanah yang perlu
dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur" (Sidek, 2008).
4.0 PENUTUP

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa, "cita-
cita negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 memerlukan satu peningkatan
tahap produktiviti dan daya saing negara. Kejayaan agenda ini amat bergantung
kepada kualiti pendidikan negara” (PIPP, 2007). Penegasan YAB Perdana Menteri itu
mengukuhkan bahawa hanya pendidikan yang berkualiti mampu menghasilkan modal insan
yang berkualiti dan berminda kelas pertama yang akan memacu negara ke arah
mencapai matlamat wawasan 2020.
Sebagai guru, saya sewajibnya menyintai bidang tugas saya serta memiliki sikap dan
kefahaman yang betul mengenai tugas dan tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa.
Ini adalah kerana saya menggalas tanggungjawab dan peranan yang besar dalam
melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang mempunyai semangat menguasai
ilmu pengetahuan, kemahiran, kompetensi serta mempunyai nilai moral dan sikap
positif yang dapat memacu Malaysia mencapai Wawasan 2020. Oleh itu saya perlu
komited dan berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab mendidik tersebut.
Dedikasi dan komitmen saya dalam meningkatkan kualiti pendidikan baik dalam bidang
kurikulum, kokurikulum mahupun sahsiah diri murid-murid terzahir melalui (i)
amalan pedagogi berkualiti melalui kepelbagaian pendekatan, kaedah dan teknik
dalam P&P, (ii) pengwujudan iklim P&P yang kondusif, (iii) penguasaan pelbagai
cabang ilmu dan kemahiran, (iv) kesediaan melakukan anjakan paradigma, (v) sahsiah
diri yang boleh dijadikan “role model” serta (vi) kemahiran menyampai dan
berkomunikasi dengan berkesan.

Rumusannya, bagi merealisasikan hasrat PIPP (2006-2010) untuk melahirkan modal


insan berminda kelas pertama melalui kecemerlangan pendidikan bagi mendokong MN
dalam merealisasikan Wawasan 2020, saya wajib menuntut dan mengamalkan ciri-ciri
guru cemerlang dan nilai-nilai dedikasi seperti yang telah dikupaskan di atas.
Dengan prestasi yang cemerlang serta dedikasi yang tinggi, saya yakin kualiti
pendidikan dapat dipertingkatkan dan seterusnya melunaskan matlamat-matlamat murni
negara. Seharusnya saya meneladani Nabi Muhammad S.A.W yang tidak menyampaikan
ilmu dengan niat untuk mendapat ganjaran, balasan atau ucapan terima kasih
sebaliknya Baginda ikhlas kerana Allah dan untuk mendekati diri kepadaNya.
Pujangga pula ada berkata bahawa “Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi
manfaat kepada orang lain”
5.0 RUJUKAN

1. Barker, Joel Arthor, 1993. Paradigms : The Business of Discovering the


Future. Haper Colline Publishers. Inc.

2. Haili Dolhan, 2008. PIPP Bantu Tingkat Daya Saing, Produktiviti Negara.
Majalah Pendidik, Bil. 47, April, m/s:18-19. Widad Publication Sdn. Bhd.. Ampang.

3. Hamzah Mohammed, 2003. Guru Berkesan Dalam Merealisasikan Pendidikan


Cemerlang. http://www.angelfire.com/journal2/fakir_zamani/ceramah3.htm.

4. Kamus Dewan Edisi ke Empat, 2005. Dewan Bahasa & Pustaka, K. Lumpur.

5. Mohd. Fuad Razali, 2008a. Sepuluh Peranan untuk jadi Guru Cemerlang.
Majalah Pendidik, Bil. 48, Mei, m/s: 8-11. Widad Publication Sdn. Bhd., Ampang.

6. Mohd Fuad Razali, 2008b. Guru Contoh Teladan Budaya Membaca. Majalah
Pendidik, Bil. 47, April, m/s: 14-17. Widad Publication Sdn. Bhd., Ampang.

7. Mok Soon Sang, 2008. Kursus Penilaian Tahap Kecekapan: Pengurusan dan
Pentadbiran untuk Pegawai Perkhidmatan Pelajaran. Multimedia-es Resources Sdn.
Bhd., Puchong.
8. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, 2007. Edisi Pelancaran.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.

9. Rujukan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), 2004. Kompetensi Khusus. Penerbit


Femina, Petaling Jaya.

10. Pusat Perkembangan Kurikulum, 1990. Falsafah Pendidikan Negara. Dewan Bahasa
& Pustaka, K. Lumpur.

11. Robiah Sidin dan Ahmad Nadri Mat Daud, 1991. Disiplin dan Pengajaran: Satu
Kajian Awal Dalam Disiplin Dalam Pendidikan. Nurin Enterprise, K. Lumpur.

12. Sidek Baba, 2008. Ihsan Dalam Pengajaran & Pembelajaran. Majalah Pendidik,
Bil 48, Mei, m/s: 60-61. Widad Publication Sdn. Bhd., Ampang.

13. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000. Panduan Keselamatan Diri Pelajar
Semasa PJK, Aktiviti Kokurikulum dan Sukan di Dalam/Luar Kawasan Sekolah.
Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya.

14. Utusan Malaysia, 1 Mei 2006. Perutusan Hari Buruh.

15. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, 1993. Wawasan Pendidikan. Nurin Enterprise, K.
Lumpur.

You might also like